Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengkritik kerajaan Umno BN kerana merahsiakan penaja artis antarabangsa dari Korea Selatan, Psy yang menelan kos hingga RM 2 juta
“Siapakah penaja yang sanggup bayar RM 2 juta tetapi merahsiakan? Bukankah penaja sepatutnya mahu tajaan mereka diketahui bagi mempromosi khidmat atau barangan mereka
“Inilah kali pertama dalam dunia penaja buang duit tetapi mahu merahsiakan,” kata Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin dipetik daripada blognya, hari ini
Beliau juga mempersoal tindakan Umno Pulau Pinang sebelum ini mengkritik dan mempertikaikan aktiviti anjuran Kerajaan Pulau Pinang tetapi bersetuju dengan pembaziran itu
“Adakah Umno Pulau Pinang bersetuju membawa artis Korea dengan RM 2 juta untuk menyanyikan satu lagu?” Laporan berita sebelum ini mendakwa Umno-BN membelanjakan RM 2 juta hanya untuk membawa “Psy” mempersembahkan lagu “Gangnam Style” di program rumah terbuka Tahun Baru Cina Kerajaan Persekutuan di Georgetown, Pulau Pinang
Akan tetapi, tujuan Umno-BN untuk meraih populariti daripada persembahan tersebut gagal dan menjadi buah mulut pelayar internet semasa Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan persembahan “Psy” kepada hadirin
“Apabila ditanya adakah yang hadir bersedia untuk Psy, semua serentak mengatakan ‘Ya’,” kata Badrul Hisham
“… Malangnya apabila dia mengambil kesempatan dengan bertanya adakah bersedia untuk BN? Majoriti yang hadir menjawab ‘Tidak’”
14 February 2013
Tak Logik Penaja Gangnam Style Mahu Rahsiakan Identiti..
12 February 2013
Samseng Umno Belasah Mahasiswa Di Parlimen Pekan
KUALA LUMPUR 12 FEB: Baru lima hari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengumumkan bertanding dalam PRU 13 di kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan, kempen mereka sudah pun diganggu samseng Umno dengan membelasah aktivisnya, Ekhsan Bukhari tengah hari tadi.
Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) itu dibelasah empat samseng Umno selepas mengedar risalah ‘Harapan Malaysia’ di Kampung Datuk Keramat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis
“Selepas edar risalah, saya dan Fatih Abdul Aziz dan Alif Hafiz masuk ke kereta untuk ke lokasi lain. Tiba-tiba datang tiga lelaki tempatan merampas kunci kereta kami.
“Kemudian, datang tiga orang lagi yang mengaku ahli Umno, memaki kami. Mereka tarik saya keluar dari kereta hingga terjatuh. Mereka serta-merta menendang kepala dan badan yang terbaring di tanah.
“Saya cedera di beberapa bahagian di badan, antaranya siku saya berdarah dan bahagian leher baju koyak,” kata bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) itu ketika dihubungi Keadilan Daily dari sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ekhsan berkata, kereta yang dinaiki mereka turut kemek di bahagian tepi manakala kereta seorang ahli PAS yang menjadi penunjuk arah kemek di bahagian depan.
“Saya hairan, kalau Datuk Seri Najib Razak betul-betul kuat di Pekan, kenapa hantar samseng untuk pukul kami? Kami datang bawa hujah dan idea. Mereka patut lawan dengan cara sama,” katanya.
Ketika ini, mereka dalam perjalanan ke balai polis untuk membuat laporan.
Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) sebelum ini membuat pengumuman untuk bertanding di Parlimen Pekan yang disandang Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sebagai ekspresi penolakan mahasiswa terhadap Umno BN.
www.keadilandaily.com/
29 January 2013
PANAS - Syarikat Menteri Monopoli Kontrak Petronas
SHAH ALAM, 29 JAN: Kontraktor pengangkutan kepada syarikat Petronas Dagang Berhad (PDB) memberitahu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) perniagaan mereka terjejas teruk disebabkan kontrak pengangkutan syarikat itu kini dimonopoli oleh syarikat Shaziman Transport Sdn Bhd.
Shaziman Transport Sdn Bhd (STSB) yang didakwa milik seorang Menteri Kabinet dikatakan memonopoli lebih 90 peratus kontrak pengangkutan di sesetengah tempat menyebabkan beberapa syarikat bumiputra lain gulung tikar dan menanggung kerugian.
Menurut pengusaha pengangkutan lori yang ditemui Penyelaras SMMM, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin, semua syarikat kontraktor lori lain tidak diberikan ‘trip’ perjalanan tanpa notis awal dengan alasan kononnya untuk menguji kemampuan STSB.
Justeru, Chegu Bard dalam sepucuk suratnya yang dihantar kepada PDB, 26 Januari lalu, menuntut agar PDB dapat menjelaskan isu ini.
“Sebuah syarikat di Melaka yang berurusan dengan PDB sebelum ini memiliki 12 buah lori, menjadi 3 lori sahaja kerana lorinya ada yang dijual dan ada ditarik bank kerana masalah kewangan ekoran penurunan ‘trip’ mendadak oleh PDB yang memberi laluan kepada STSB.
“Ini menyebabkan rata-rata syarikat bumiputra lain di Melaka bukan sahaja hilang pendapatan tetapi terpaksa menanggung kerugian RM50,000 ke RM60,000 bulan lepas untuk membayar gaji pokok pemandu lori dan kos berkaitan.
“Di Johor dilaporkan monopoli syarikat STSB yang diberikan oleh PDB hampir 90 peratus menyebabkan banyak syarikat bumiputera lain gulung tikar,” menurut kandungan surat itu.
Menurut Chegu Bard, surat tersebut dihantar melalui faks dan emel dan beliau akan menyerahkan salinan asalnya kepada pejabat PDB di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) minggu ini.
Chegu Bard ketika mengulas isu sama berkata kontraktor terlibat yang beroperasi di Melaka juga ada memberitahu beliau bahawa monopoli kontrak PDB akan berlaku ekoran mereka mungkin dikehendaki mengambil sub-kontrak pengangkutan PDB melalui STSB.
“STSB ini naik dengan cepat sekali, sekali dari cuma beberapa buah lori kini dikatakan sudah memiliki 80 buah lori sehingga STSB disenaraikan sebagai antara peneraju dalam syarikat pengangkutan negara,” ujar beliau kepada TV Selangor.
Menurut beliau dasar monopoli yang diamalkan ini mampu mengundang risiko bahaya kepada ekonomi negara sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap syarikat yang menguasai pasaran.
“Dasar monopoli ini juga punya risiko keselamatan, bayangkan setahun dua ini jika ini berterusan, syarikat lain pasti mati dan 100 peratus PDB bergantung kepada satu syarikat sahaja.
“Bayangkan jika sesuatu berlaku seperti syarikat mogok, menyebabkan berapa banyak stesen minyak akan putus bekalan minyak dan beberapa sektor dalam negara pasti lumpuh,” katanya lagi.
STSB yang dikaitkan dengan Menteri Kabinet ini bukan sahaja mendapat kontrak dari PDB tetapi juga dari Proton, Perodua dan banyak syarikat berkepentingan kerajaan lagi.
Chegu Bard yang enggan menyebut nama menteri yang dimaksudkan, bagaimanapun tidak menolak kemungkinan isu ini melibatkan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.
-selangorku
23 January 2013
Kami tidak ceroboh pejabat Sharifah Zohra
KUALA LUMPUR - Tiga pertubuhan bukan kerajaan iaitu Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Kumpulan Aktivis Kebebasan Mahasiswa (Kami) dan Independent Student Front (Instef) menyifatkan dakwaan menceroboh pejabat Suara Wanita 1Malaysia sebagai satu fitnah.
Penyelaras Segmentasi Mahasiswa SAMM, Wan Noor Faril Azli Wan Haron berkata, kedatangan mereka ke pejabat SW1M telah disambut baik oleh pekerja pertubuhan itu.
Menurutnya, laporan yang mendakwa wujud penecerobohan hanyalah rekaan dan berbaur fitnah yang mempunyai agenda lain.
"Kami datang ke pejabat dan disambut baik, diberikan air mineral dan coklat serta dijemput duduk di sofa.
"Kehadiran kami bertujuan menyerahkan surat jemputan rasmi untuk presiden SW1M, Sharifah Zohra Jabeen menjadi salah seorang panel," katanya kepada media tamat Forum Kebebasan Akademik dan Hak Asasi yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, di sini malam tadi.
Katanya, terdapat bukti kukuh di mana tidak berlaku sebarang perkara tidak baik sekalipun tidak dapat bertemu dengan Sharifah Zohra.
"Kami dimaklumkan beliau tidak ada di pejabat tetapi menurut pembantunya, beliau sudi hadir memandangkan tiada apa yang perlu dirisaukan.
"Semasa di pejabat, kami berbincang dengan salah soerang pekerja di sana mengenai hal ini. Kehadiran kami juga adalah disebabkan surat kami dikatakan tidak diterima (faks dan emel)," katanya.
Katanya, sehingga semalam, pihaknya masih tidak mendapat sebarang kenyataan berhubung ketidakhadiran Sharifah Zohra dan hanya mengetahui hal tersebut menerusi media sahaja.
"Sikap Sharifah Zohra tidak profesionalismenya sebagai anggota masyarakat.
"Kami ada gambar serta bukti surat kami diterima pihaknya walaupun insiden cop rasmi syarikat 'tiada' di pejabat. Di mana yang menunjukkan kami menceroboh?" katanya.
Sementara itu, presiden Instef, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada polis sekiranya minta tampil memberi penjelasan.
"Kami tidak gentar. Kami tidak melakukan kesalahan seperti yang didakwa. Selain menceroboh, kami dituduh menggunakan alamt e-mel palsu sedangkan tidak kerana kami menggunakan alamat emel yang sah.
"Pun begitu, kami sudah mendapatkan khidmat nasihat daripada peguam kami untuk mengatur langkah jika beliau (Sharifah Zohra) terus membuat menimbulkan fitnah.
-SinarHarian
17 January 2013
SAMM Akan Anjur Forum Libatkan Sharifah Zohra & Bawani
SHAH ALAM, 16 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah menjemput Presiden Suara Wanita Satu Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen dan mahasiswi Universiti Utara Malaysia (UUM), KS Bawani ke satu forum bertajuk ‘Kebebasan Akedemik dan Hak Asasi.’
Forum yang akan diadakan pada jam 22 Januari, 8.30 malam itu akan dilangsungkan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Kuala Lumpur.
Selain itu, turut dijemput sebagai panelis forum tersebut, Pensyarah Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik.
Menurut pengarah segmentasi mahasiswa SAMM Wan Noor Farel Azli Wan Haron jemputan kepada ketiga-tiga panelis terbabit telah pun dihantar.
“Walaupun tidak setuju dengan pemikiran Zohra yang menghalau orang yang tidak setuju dengan regim penguasa BN agar keluar dari negara ini, namun SAMM merasakan perlunya Zohra diberi ruang untuk muncul secara waras dan teratur.
“(Ini) bagi menyatakan apa sebenarnya yang berlaku dan memberi ruang beliau menyatakan pendapat.
“Situasi negatif ini harus diambil kesempatan oleh anak muda untuk menjadikannya pertembungan pendapat yang positif berasaskan fakta dan ilmu,” menurut Wan Noor Farel Azli dalam satu kenyataan hari ini.
Sharifah Zohra dikritik hebat apabila beliau cuba menghalang Bawani daripada bercakap di dalam satu forum UUM bertajuk “Seiringkah Mahasiswa dan Politik?”
Dalam forum itu Sharifah Zohra cuba memaksa Bawani untuk berhenti berhujah apabila Bawani menyebut tentang gerakan BERSIH 2.0 dan isu pendidikan percuma.
Apabila Bawani tidak menendahkannya, Sharifah Zohra mengarahkan Bawani supaya berhenti berhujah dengan berkata “listen.., listen.., listen…” hampir sepuluh kali.
Sharifah Zohra turut mencapai pembesar suara dan menjauhkan dari Bawani yang tidak sempat menghabiskan hujahnya.
Sharifah Zohra juga dikatakan berkata dalam forum sama, bahawa binatang juga sama seperti manusia, turut mempunyai masalah.
Insiden tersebut menarik perhatian pelayar internet dalam dan luar negara dan mengundang pelbagai kecaman terhadap Sharifah Zohra.
Dilaporkan bahawa laman facebook milik Sharifah Zohra dihujani dengan pelbagai kritikan yang mengata beliau tidak berani berdebat secara terbuka dan sihat.
09 November 2012
Elak Peguam Scorpene Hadir Parlimen, Rakyat Sendiri Dihalau Dari Parlimen
Kenyataan Media
SAMM Kebangsaan
9 November 2012
Elak Peguam Scorpene Hadir Parlimen, Rakyat Sendiri Dihalau Dari Parlimen
Ini merupakan satu bentuk arahan yang menyerlahkan keangkuhan dan ketakutan rejim UMNO/BN dalam menghadapi kebangkitan rakyat dan juga pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat sivil dalam mendedahkan kecurangan dan penyelewengan yang dilakukan mereka.
Adakah ini merupakan satu lagi cara rejim Pemerintah untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin mereka daripada terus dibongkar segala jenis kecurangan yang selama ini ingin disorok? Atau adakah ini merupakan cubaan Rejim menghalang kehadiran dan sidang media Peguam Peranchis yang bakal hadir ke Parlimen bagi mendedahkan sisi gelap pembelian kapal selam Scorpene?
Parlimen Malaysia adalah satu-satunya institusi tertinggi demokrasi berperlembagaan. Di sinilah tempat Wakil-Wakil yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi pilihanraya berbahas dan meluluskan rang undang-undang demi kemaslahatan rakyat. Sekiranya rakyat ataupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili masyarakat sivil tidak lagi dibenarkan hadir membuat sidang media bersama wakil-wakil rakyat di Parlimen, ia merupakan satu tragedi besar kepada lanskap demokrasi negara.
Parlimen adalah milik rakyat bukannya eksklusif kepada beberapa kerat Ahli-ahli Parlimen. Rakyat harus menghantar mesej jelas kepada mereka yang terus menerus angkuh dengan kuasa yang dipegang. Parlimen yang dikunci membuktikan pemerintah manipulasi kuasa yang ada untuk menghalang kebobrokan mereka dari dibogelkan.
Rakyat perlu bersama kali ini untuk memberi peringatan kepada semua yang berada di koridor kuasa, jangan berselindung di sebalik kuasa yang anda ada hari ini kerana kami, sekalian rakyat Malaysia yang telah mengangkat kamu ke sana dan kami jugalah yang mampu memastikan kamu akan diheret keluar dari kerusi empuk Parlimen Malaysia.
SAMM tidak menolak sekiranya arahan diberikan bagi kemudahan rakan-rakan pengamal media. SAMM tidak menolak malah menyokong sama sekali sekiranya penggiliran dan had masa sidang media dikenakan, sidang media tidak diadakan semasa waktu rehat, sidang media yang ingin diadakan mesti diiringi Ahli Parlimen sebagai wakil untuk membawakan isu-isu berbangkit tersebut ke dalam Dewan dan lain-lain arahan yang sesuai untuk pengamal media. Namun, bukannya arahan yang tidak membenarkan selain Ahli Parlimen untuk membuat sidang media di Parlimen. SAMM turut melihat bahawa sidang media yang diadakan di Parlimen mempunyai nilai berita atau “News Value” yang tinggi berbanding sidang media di lokasi lain.
Sehubungan itu, SAMM dan sekutu-sekutu akan melancarkan memorandum “Berani Langgar” bagi membantah arahan tidak masuk akal Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mendesak arahan ini ditarik balik sebaik sahaja sidang mesyuarat Dewan Rakyat bersambung selepas cuti perayaan minggu depan. Ini merupakan mesej jelas dan keras anak muda Malaysia dalam berhadapan dengan keangkuhan Rejim Penguasa.
Juga, ia bukan termaktub untuk penggal ini sahaja malah termasuk pasca PRU-13, dan ia pasti memudahkan Barisan Nasional yang ketika itu sebagai pembangkang.
“Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata”
Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor
23 July 2012
SAMM Rancang Tangkap Hantu Pada PRU13 Nanti
NGO pro-Pakatan Rakyat Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mendedahkan, mereka merancang membuat tangkapan awam terhadap warganegara asing dan "agen tempatan" yang cuba mengundi secara tidak sah dalam pilihan raya umum akan datang.
"SAMM akan bersama sekutu anak muda untuk menyusun kekuatan yang cukup di seluruh negara untuk mengawal di kebanyakan 'hotspot' pusat pengundi terpilih di majoriti kawasan parlimen seluruh negara," kata NGO itu.
Menurut kenyataan kumpulan itu, membenarkan warga asing menentukan hala tuju negara pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan kerana seolah-olah membenarkan negara ini tergadai.
"Maka rakyat bersatu hati untuk menghalang campur tangan warga asing di hari pengundian dengan sekeras-keras tindakan," kata kenyataan itu lagi.
Resolusi diperoleh hasil rapat kebangsaan SAMM di Pulai Pinang pada 29 dan 30 Jun lalu.
18 July 2012
SAMM Sedia Hadapi Sebarang Kemungkinan Malam Ini di Jalan Kebun!!
Kenyataan Terbuka
18 Julai 2012
AYUH HADIR KE SIRI JELAJAH MERDEKA RAKYAT JALAN KEBUN
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menjemput anda semua yang berada di lokasi Klang, Pandamaran dan kawasan berhampiran bagi mendengar amanat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat yang akan berlangsung malam ini di Jalan Kebun, Klang.
Istimewa malam ini, kita dapat mendengar apakah jawapan DSAI mengenai fitnah terbaru sebuah blog pedoman paling top di kalangan blog pro-Umno, di mana pihak polis sendiri mengesahkan tiada laporan polis dibuat ke atas DSAI. SAMM dengan keras menolak 'gutter politics' yang diamalkan oleh Umno dan Bn.
Malam ini juga tidak kurang panasnya kerna ia berlangsung di Jalan Kebun sepertimana yang kita maklum samseng Jalan Kebun berkemungkinan berlegar-legar membuat kekacauan. Tanda-tanda berlakunya kekacauan telah dikenalpasti SAMM apabila semua banner yang dipasang malam kelmarin telah didapati koyak/hilang dan salah satunya diconteng oleh samseng Jalan Kebun. Setakat 17 siri Jelajah Merdeka Rakyat sebelum ini berjaya mencapat matlamat di mana program berlangsung hingga ke detik akhir dan semua yang hadir mendapat input penting dari penceramah pimpinan Pakatan Rakyat.
Baru-baru ini kekacauan di program yang melibatkan DSAI berlaku di Langkawi di mana Penyelaras SAMM Kedah bersama beberapa komradenya yang bertugas ketika itu telah berjaya menangkap si pengacau majlis. Si pengganggu majlis ini telah disoal-siasat dan mendapati kerjanya untuk membuat kacau telah dibayar RM50 oleh gerombolan Umno. Setelah selesai disoal-siasat, si pengganggu ini di bawa ke balai polis untuk siasatan selanjutnya.
Malam ini juga di Jalan Kebun, SAMM dan pasukan besar tuan rumah telah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. SAMM juga seperti biasa akan membawakan siaran LIVE sepanjang pesta Merdeka Rakyat berlangsung. Jika bernasib baik, apa jua bentuk gangguan oleh Umno akan menjadi tontonan secara langsung ke seluruh dunia. Pautan siaran langsung adalah seperti berikut : http://www.ustream.tv/channel/merdeka-rakyat
SAMM sekali lagi menjemput kehadiran semua tanpa mengira warna kepartian demi sebuah kemerdekaan sebenar - Kemerdekaan Rakyat. Kehadiran anda semua membuktikan anda pencinta demokrasi dan bertindak adil dalam soal menilai maklumat.
Sekian
Edy Noor Reduan (EDYES)
Pengarah Propaganda SAMM
www.anakmudamalaysia.com
http://edyesdotcom.blogspot.com/
14 July 2012
SAMM Seru Anak Muda Bersama Dalam Himpunan Oren Selamatkan Felda
Kenyataan Media
11 Julai 2012
SAMM Seru Anak Muda Bersama Dalam Himpunan Oren
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat komited untuk bersama dalam Himpunan Oren yang akan berlangsung pada 14 Julai 2012 sambil menyeru kepada semua anak muda untuk turun berhimpun demi menyelamatkan saki-baki khazanah negara sebelum terlambat.
Himpunan Oren dijangka mendapat sambutan yang besar kerana rakyat terutamanya golongan muda harus bertindak melakukan sesuatu mempertahankan hak negara ini daripada dirompak oleh lanun berkolar putih. SAMM juga melalui Segmentasi Peneroka dan Luar Bandar telah masuk ke beberapa gugusan Felda termasuklah pertemuan di Gugusan Felda Palong baru-baru ini untuk pencerahan Himpunan Oren dan juga mobilisasi massa.
Bagi SAMM, penyenaraian FGVH seumpama memperjudikan nasib peneroka felda yang sudah berpuluh tahun berbakti kepada negara. Menyenaraikan FGVH adalah satu perjudian yang harus dielak dan ditentang kerana tiada jaminan keuntungan yang berkekalan malah peneroka Felda terdedah kepada risiko kerugian melampau sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998 yang lalu.
Kerajaan kononnya memberi jaminan adalah penipuan semata-mata merujuk kepada banyak amanah saham yang sebelumnya dijamin kerajaan tetapi lingkup menyembah bumi dan nasib pemegang saham langsung tidak dibela. SAMM melihat tidak mustahil tanah Felda akan tergadai melalui penyenaraian FGVH dan ia akan melibatkan ratusan ribu hektar tanah rezab melayu.
SAMM juga turut mempersoal laporan yang menunjukkan Pengerusi Felda yang tidak mempunyai walau seinci pun tanah Felda yang dibangunkan, namun memperolehi 180ribu unit saham sedangkan peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang hanya dikurnia 800 unit saham sahaja. Ini satu pengagihan tidak adil yang melampau dan harus ditentang habis-habisan.
SAMM mengambil kesempatan untuk memberi amaran kepada pihak polis yang hadir menjaga keselamatan awam agar benar-benar bertindak menjaga keselamatan, bukan memukul orang awam sepertimana yang berlaku di himpunan-himpunan sebelum ini. SAMM turut memberi amaran keras kepada polis agar beruniform lengkap bersama nama dan nombor anggota. Sekiranya dikenalpasti ada anggota polis yang tidak menayangkan nama dan nombor anggota, itu adalah penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis dan wajib ditangkap oleh peserta himpunan.
Akhir sekali, SAMM juga akan cuba membawakan siaran LIVE dari Himpunan Oren untuk tatapan semua melalui channel ustream http://www.ustream.tv/channel/himpunan-oren .
Ayuh anak muda Malaysia bersama SAMM berarak dari Masjid Wilayah di Jalan Duta ke Istana Negara untuk memberi tekanan dan signal yang jelas kepada kerajaan betapa rakyat terutamanya warga Felda menolak penyenaraian FGVH.
Sekian
Edy Noor Reduan (EDYES)
Pengarah Propaganda SAMM
27 March 2012
SAMM Dedahkan Hubungan Dagang Israel Di Parlimen Hari Ini
Kenyataan Terbuka
24 Mac 2011
SAMM KE PERLIMEN DEDAH BUTIRAN DAGANG MALAYSIA BANTU ISRAEL
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada YB Er Teck Hwa, Ahli Parlimen Bakri kerana telah dua kali membawa isu yang dibawa oleh SAMM iaitu membongkarkan hubungan dagang Malaysia membantu Israel ke arah mendesak regim ini segera menghentikanya. Teck Hwa telah bekerjasama dengan SAMM dengan membawa bahan - bahan yang disediakan oleh SAMM ke Parlimen Malaysia.
7 November lepas Teck Hwa telah bangun beberapa kali kerana kegagalan Menteri berkaitan untuk memberi respon mengenai peranan Malaysia selaku negara ke 15 dunia yang bersungguh - sungguh membantu ekeonomi Israel sebagai rakan dagang. Pada persidangan lepas Menteri hanya berselindung disebalik perdagangan berlaku atas kehendak syarikat asing yang melabur dalam negara. 21 Mac lepas di Parlimen Malaysia Teck Hwa sekali lagi membawa isu berkaitan Israel yang dibangkitkan SAMM iaitu hubungan dagang melibatkan sawit Malaysia.
Cuma kali ini sedikit kontroversi apabila berlaku kekeliruan antara Felda dan Felcra. Serentak dengan itu juga berlaku penafian oleh Menteri yang terbabit.
Sehubungan dengan itu SAMM akan tampil ke bangunan Parlimen Malaysia bersama YB Er Teck Hwa dan beberapa ahli parlimen lain akan membuat sidang media di lobi berkenaan perkara ini pada 26 Mac sekitar jam 12.00 tengahari. SAMM akan memperlihatkan dokumen - dokumen asal mengenai hubungan dagang Malaysia - Israel dan membuktikan betapa hipokritnya regim dalam isu memerangi Israel ini.
Sebarang pertanyaan mengenai sidang media tersebut sila hubungi 0176849693 (Anuar, Penyelaras SAMM)
che'GuBard
Solidariti Anak Muda Malaysia.
11 December 2011
Perkasa nak buat hura-hara di Ceramah Mat Sabu malam ini
SAMM, Unit Amal Sedia !
Adakah kumpulan seperti Perkasa di negeri yang kononnya terkuat Umno akan mengganggu program ceramah dan juga program penghijrahan ahli Umno ke Pakatan Rakyat di Muar malam esok?
Kumpulan-kumpulan upahan ini pada asalnya akan mengganggu program ceramah Mat Sabu di atas alasan menyampaikan memorandum kepada Timbalan Presiden PAS yang terkait isu komunis. Tetapi setelah semboyan SAMM berbunyi untuk turun ke Muar bersama semangat ABU, kita tidak pasti samada Perkasa akan hadir untuk membuat kacau ataupun tidak.
Jika mereka hadir untuk menyerahkan memorandum, kami akan memberi laluan dengan etika dan syarat yang ditentukan. Samada terus serah kepada Mat Sabu begitu sahaja, ataupun diberi pula ruang untuk berdebat dengan Mat Sabu mengenai apa yang tertulis dalam memo tersebut? Sama-sama kita tunggu.
Namun jika mereka hadir dengan kain provokasi kain rentang yang menghina seperti di Rembau, maka seperti Rembau jugalah kesudahannya.
Mereka ini terdesak mengganggu majlis yang memperlihatkan rakan-rakan Umno menyambut baik kempen ABU dengan meninggalkan parti dinasor itu. Lebih buruk, mereka terlalu bacul untuk berdepan ketika SAMM dan Unit Amal sedia mempertahankan pengunjung program seperti yang berlaku di Segamat.
Inilah sikap Umno yang berada di penghujung nyawa. Meroyan tak bertempat ! Bawa najis buat hadiah lah, bagi penyapu lah. Umno sudah tidak relevan sama sekali !
Di bawah ialah kenyataan SAMM Johor mengenai program ceramah malam esok yang dijangka akan diganggu Umno/Perkasa. Kenyataan khas yang menyentuh sikap buas Umno menggunakan anak muda hanya kerana mereka tidak berani berdepan dengan 'ruas' rakyat.
Sebelum menelaah kenyataan di bawah, ingin saya membuat panggilan kepada semua komrad SAMM, Unit Amal dan semua penggiat politik yang menyokong Pakatan Rakyat dan kempen ABU, supaya dapat turun mempertahankan rakyat. Ini kerana, polis berhemah dwi-standard dijangkakan akan terlepas pandang dalam menjalankan tugas.
Berikut adalah venue dan tentatif program;
Tarikh : 11 Disember 2011 (Ahad)
Tempat : Pejabat PKR Ranting Sg Balang, Parit No 3, Parit Yusof, Muar Johor.
Penceramah: Abg Mat Sabu, DS Chua Jui Meng, che'GuBard
Jom hadir sama untuk melihat sejarah - Umno/Perkasa lari lintang pukang seperti di Rembau, tetapi kali ini Umno/Perkasa dihambat dalam negeri sendiri kerana kebiadapan mengganggu majlis maklumat dan ilmu.
EDYES
Pengarah Propaganda SAMM
Kenyataan Umum
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor (SAMM Johor)
10 Disember 2011
Hentikan Politik Ugutan, Raikan Demokrasi dan Jangan Lacurkan Anak Muda.
Semalam beberapa akhbar memetik kenyataan dan laporan Polis oleh beberapa NGO dan Pemuda UMNO Bakri berhubung bantahan mereka terhadap program ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Muar pada 11 Disember 2011.
Atas prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, SAMM Johor menyambut baik langkah NGO tersebut menghantar memorandum mereka kepada penganjur, namun kami turut berpendirian agar mereka turut menghormati hak parti-parti politik selain UMNO/BN untuk mengadakan aktiviti dan program mereka di kawasan premis mereka sendiri.
Sebelum ini, dalam beberapa siri Ceramah Mohamad Sabu di Negeri Johor telah berlaku provokasi dan gangguan tindakan tidak bertamadun oleh sekumpulan anak muda. Sehubungan itu, SAMM Johor menyeru UMNO/BN untuk tidak lagi mempergunakan anak muda untuk tujuan politik samseng mereka. Jangan mengotori minda anak muda Muar dengan anasir politik sempit, politik samseng dan politik ugutan anda.
Baru-baru ini juga dalam aksi perarakan peguam di Taman Tasik Perdana yang berkisar menolak Bil Perhimpunan Aman, anak muda sekali lagi digunakan untuk membuat provokasi yang mengelirukan. Sekumpulan anak muda dipercayai diupah oleh Umno, cuba untuk turut sama berarak dan telah mengenakan seragam baju kuning kononnya mewakili seketariat BERSIH. Lebih pelik, kumpulan anak muda tersebut turut memegang sepanduk yang menyokong 'pesta seks bebas'. Ini sama sekali satu taktik jahat yang mengundang fitnah dan anak muda tidak terlepas dari menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
SAMM Johor dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak akan bertoleransi dengan pihak-pihak yang menjajah minda anak muda dengan anasir politik sebegini. Seharusnya, UMNO dan Parti Politik yang ada di Malaysia mendidik anak muda untuk berpolitik secara matang, secara ilmiah sebagai pewaris masa depan negara bukannya melakukan tindakan sembrono yang membonsaikan pemikiran masyarakat khususnya anak muda.
Sebagai penggerak anak muda, SAMM selain berperanan melahirkan anak muda berkualiti, SAMM juga berpendapat anak muda sepatutnya didedahkan dengan aktiviti yang lebih mendatangkan manfaat kerana golongan inilah yang menjadi pelapis kelangsungan negara, bukan diajar menjadi samseng dengan upah semurah RM10. Jangan hina anak muda dengan tawaran yang tidak bermaruah. Umno jangan lacurkan anak muda.
Hujah biarlah dilawan dengan hujah. Namun jika keras yang dijual maka keras jugalah yang dibeli. Jika baik budi bicara, kami anak muda sedia memberi laluan agar memorandum selamat sampai kepada yang dituju, dengan etika dan syarat yang ditentukan. Tetapi jika kehadiran mereka ini jelas lagi terang hanya untuk mengacau majlis rakyat, kami anak muda SAMM sentiasa bersedia di barisan hadapan, begitu juga dengan unit amal serta aktivis-aktivis Pakatan Rakyat lain. Adalah menjadi tugas anak muda untuk memastikan keselamatan orang ramai ketika kemungkinan pihak berkuasa 'terlepas pandang' dalam menjalankan tugas.
Justeru itu, SAMM Johor akan menggerakkan kesemua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program daripada terjadinya tragedi-tragedi seperti di Segamat, Labis dan Pasir Gudang baru-baru ini. Ramai yang tidak lupa peristiwa di Rembau memperlihat bagaimana Perkasa dan Umno lari lintang pukang berkilometer jauhnya, ketika ratusan komrad SAMM, Unit Amal dan aktivis Pakatan Rakyat menggempur si pengganggu majlis.
Akhir, SAMM Johor sekali lagi menyeru UMNO Muar dan NGO tajaannya untuk menghormati lunas-lunas demokrasi seperti yang telah ditunjukkan oleh pihak penganjur program yang sudi menerima memorandum anda. Serta, jangan racuni pemikiran anak muda Muar dengan permainan politik kotor, politik ugutan dan politik samseng.
Keras lawan keras, api lawan API !!
Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Johor
www.anakmudamalaysia.com
Sumber di sini
10 December 2011
Hentikan politik ugutan!
Perkasa Negeri Sembilan lari lintang pukang berkilometer jauhnya, ketika ratusan komrad SAMM, Unit Amal dan aktivis Pakatan Rakyat menggempur mereka.
PETALING JAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) cawangan Johor berikrar untuk menggerakkan semua aktivis untuk membantu pihak penganjur dalam menjaga keselamatan lokasi program ceramah Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu di Muar esok, 11 Disember.
“Sehubungan itu, kami menyeru Umno-Barisan Nasional (BN) untuk tidak lagi mempergunakan anak muda untuk tujuan politik samseng mereka.
“Jangan mengotori minda anak muda Muar dengan anasir politik sempit, politik samseng dan politik ugutan anda,” tegas Ahmad Anwar Asyraf Ismail, penyelaras negeri SAMM Johor dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata langkah ini diambil bagi mengelak trajedi yang berlaku di Segamat, Labis dan Pasir Gudang baru-baru ini berulang kembali.
“Ramai yang tidak lupa bagaimana Perkasa Negeri Sembilan lari lintang pukang berkilometer jauhnya, ketika ratusan komrad SAMM, Unit Amal dan aktivis Pakatan Rakyat menggempur si pengganggu majlis.
Oleh itu, SAMM Johor sekali lagi menyeru Umno Muar dan NGO tajaannya untuk menghormati lunas-lunas demokrasi seperti yang telah ditunjukkan oleh pihak penganjur program yang sudi menerima memorandum mereka.
Ujar beliau, “jangan racuni pemikiran anak muda Muar dengan permainan politik kotor, politik ugutan dan politik samseng. Tetapi jika kehadiran mereka ini jelas lagi terang hanya untuk mengacau majlis rakyat, kami anak muda SAMM sentiasa bersedia di barisan hadapan.
“Begitu juga dengan unit amal serta aktivis-aktivis Pakatan Rakyat lain. Adalah menjadi tugas anak muda untuk memastikan keselamatan orang ramai ketika kemungkinan pihak berkuasa ‘terlepas pandang’ dalam menjalankan tugas,” katanya.
Semalam beberapa akhbar memetik kenyataan dan laporan polis oleh beberapa NGO dan Pemuda Umno Bahagian Bakri berhubung bantahan mereka terhadap program ceramah Mohamad @ Mat Sabu di Muar esok.
Ahmad Anwar menerangkan bahawa atas prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara, SAMM Johor menyambut baik langkah NGO tersebut menghantar memorandum mereka kepada penganjur.
“Namun kami turut berpendirian agar mereka turut menghormati hak parti-parti politik selain Umno-BN untuk mengadakan aktiviti dan program mereka di kawasan premis mereka sendiri,” tambahnya.




