KUALA LUMPUR 12 FEB: Baru lima hari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mengumumkan bertanding dalam PRU 13 di kawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pekan, kempen mereka sudah pun diganggu samseng Umno dengan membelasah aktivisnya, Ekhsan Bukhari tengah hari tadi.
Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) itu dibelasah empat samseng Umno selepas mengedar risalah ‘Harapan Malaysia’ di Kampung Datuk Keramat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis
“Selepas edar risalah, saya dan Fatih Abdul Aziz dan Alif Hafiz masuk ke kereta untuk ke lokasi lain. Tiba-tiba datang tiga lelaki tempatan merampas kunci kereta kami.
“Kemudian, datang tiga orang lagi yang mengaku ahli Umno, memaki kami. Mereka tarik saya keluar dari kereta hingga terjatuh. Mereka serta-merta menendang kepala dan badan yang terbaring di tanah.
“Saya cedera di beberapa bahagian di badan, antaranya siku saya berdarah dan bahagian leher baju koyak,” kata bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) itu ketika dihubungi Keadilan Daily dari sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ekhsan berkata, kereta yang dinaiki mereka turut kemek di bahagian tepi manakala kereta seorang ahli PAS yang menjadi penunjuk arah kemek di bahagian depan.
“Saya hairan, kalau Datuk Seri Najib Razak betul-betul kuat di Pekan, kenapa hantar samseng untuk pukul kami? Kami datang bawa hujah dan idea. Mereka patut lawan dengan cara sama,” katanya.
Ketika ini, mereka dalam perjalanan ke balai polis untuk membuat laporan.
Gerakan Mahasiswa PRU13 (GM13) sebelum ini membuat pengumuman untuk bertanding di Parlimen Pekan yang disandang Najib Razak pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sebagai ekspresi penolakan mahasiswa terhadap Umno BN.
www.keadilandaily.com/
0 Komen :
Post a Comment