Kenyataan Media
SAMM Kebangsaan
9 November 2012
Elak Peguam Scorpene Hadir Parlimen, Rakyat Sendiri Dihalau Dari Parlimen
Ini merupakan satu bentuk arahan yang menyerlahkan keangkuhan dan ketakutan rejim UMNO/BN dalam menghadapi kebangkitan rakyat dan juga pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat sivil dalam mendedahkan kecurangan dan penyelewengan yang dilakukan mereka.
Adakah ini merupakan satu lagi cara rejim Pemerintah untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin mereka daripada terus dibongkar segala jenis kecurangan yang selama ini ingin disorok? Atau adakah ini merupakan cubaan Rejim menghalang kehadiran dan sidang media Peguam Peranchis yang bakal hadir ke Parlimen bagi mendedahkan sisi gelap pembelian kapal selam Scorpene?
Parlimen Malaysia adalah satu-satunya institusi tertinggi demokrasi berperlembagaan. Di sinilah tempat Wakil-Wakil yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi pilihanraya berbahas dan meluluskan rang undang-undang demi kemaslahatan rakyat. Sekiranya rakyat ataupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili masyarakat sivil tidak lagi dibenarkan hadir membuat sidang media bersama wakil-wakil rakyat di Parlimen, ia merupakan satu tragedi besar kepada lanskap demokrasi negara.
Parlimen adalah milik rakyat bukannya eksklusif kepada beberapa kerat Ahli-ahli Parlimen. Rakyat harus menghantar mesej jelas kepada mereka yang terus menerus angkuh dengan kuasa yang dipegang. Parlimen yang dikunci membuktikan pemerintah manipulasi kuasa yang ada untuk menghalang kebobrokan mereka dari dibogelkan.
Rakyat perlu bersama kali ini untuk memberi peringatan kepada semua yang berada di koridor kuasa, jangan berselindung di sebalik kuasa yang anda ada hari ini kerana kami, sekalian rakyat Malaysia yang telah mengangkat kamu ke sana dan kami jugalah yang mampu memastikan kamu akan diheret keluar dari kerusi empuk Parlimen Malaysia.
SAMM tidak menolak sekiranya arahan diberikan bagi kemudahan rakan-rakan pengamal media. SAMM tidak menolak malah menyokong sama sekali sekiranya penggiliran dan had masa sidang media dikenakan, sidang media tidak diadakan semasa waktu rehat, sidang media yang ingin diadakan mesti diiringi Ahli Parlimen sebagai wakil untuk membawakan isu-isu berbangkit tersebut ke dalam Dewan dan lain-lain arahan yang sesuai untuk pengamal media. Namun, bukannya arahan yang tidak membenarkan selain Ahli Parlimen untuk membuat sidang media di Parlimen. SAMM turut melihat bahawa sidang media yang diadakan di Parlimen mempunyai nilai berita atau “News Value” yang tinggi berbanding sidang media di lokasi lain.
Sehubungan itu, SAMM dan sekutu-sekutu akan melancarkan memorandum “Berani Langgar” bagi membantah arahan tidak masuk akal Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mendesak arahan ini ditarik balik sebaik sahaja sidang mesyuarat Dewan Rakyat bersambung selepas cuti perayaan minggu depan. Ini merupakan mesej jelas dan keras anak muda Malaysia dalam berhadapan dengan keangkuhan Rejim Penguasa.
Juga, ia bukan termaktub untuk penggal ini sahaja malah termasuk pasca PRU-13, dan ia pasti memudahkan Barisan Nasional yang ketika itu sebagai pembangkang.
“Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata”
Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor
0 Komen :
Post a Comment