'Rendah martabat Parlimen jika jemput peguam Suaram'
Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Latiff Ahmad berkata tindakan menjemput peguam yang mewakili NGO hak asasi Suaram untuk memberi taklimat kepada MP "menjatuhkan maruah" Parlimen.
Katanya, dua peguam yang mewakili Suaram itu juga cuba menjadi hero dan mahu martabat mereka diangkat di Parlimen Malaysia.
"Rendah martabat Parlimen kalau kita jemput mereka... Siapa mereka?," soalnya yang menjelaskan bahawa Malaysia terbuka sekiranya taklimat dijalankan di antara kerajaan dengan kerajaan dan bukannya daripada peguam Suaram.
Beliau turut menggelarkan salah seorang peguam tersebut dengan nama "William Bodoh" – merujuk kepada peguam William Bourdon. Seorang lagi peguam Perancis itu ialah Joseph Breham.
Dalam ucapannya ketika menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa untuk belanjawan kementerian itu, Abdul Latiff juga berkata Malaysia terbuka sekiranya majistret Perancis melawat Malaysia.
Namun, majistret berkenaan tidak mempunyai locus standi dan perlu bekerjasama dengan jabatan kehakiman, katanya lagi.
Ahmad Latiff menjawab soalan yang dikemukakan Tian Chua (PKR-Batu) yang bertanya sekiranya kerajaan akan membenarkan peguam Suaram memberi taklimat kepada MP dan juga untuk memberi penjelasan bagi pihak Putrajaya.
Peguam berkenaan dijadualkan untuk memberi taklimat MP berhubung isu berkenaan semalam, namun acara itu dibatalkan memandangkan Kementerian Dalam Negeri tidak dapat memberi jaminan berhubung kunjungan mereka ke negara ini.
Bourdon diusir daripada Malaysia pada tahun lalu, atas dakwaan menyalahgunakan pas lawatannya dengan berucap di satu majlis anjuran Suaram.
Timbalan menteri itu berkata, mana-mana kerajaan yang bertanggungjawab, termasuk Perancis, akan mengusir mereka kerana mendedahkan segala rahsia siasatan.
KUALA LUMPUR 18 Nov:Tindakan kerajaan menghalang dua peguam Perancis ke Malaysia mengukuhkan dakwaan rasuah dalam pembelian Scorpene, kata Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah.
“Halangan akan menguatkan persepsi masyarakat dunia bahawa kerajaan Malaysia mengamalkan rasuah (dalam kes Scorpene). Perkara ini mencemarkan imej Malaysia sendiri,”
“Kalau kerajaan telus, kalau tidak ada rasuah, kenapa takut?,” soalnya mengulas jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Kelmarin, Hishamuddin menyatakan peguam terbabit, Wiliam Bourdon dan Joseph Breham akan ditahan jika hadir ke Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan ‘keputusan yang dibuat’
Mengulas lanjut, Sivarasa menegaskan kes mengenai Scorpene difailkan di Mahkamah Perancis kerana kerajaan enggan menjalankan siasatan.
“Sebab itu kita adakan taklimat di parlimen. Bukan sahaja Pakatan Rakyat, malah ahli parlimen BN juga boleh mendengar status siasatan,” tambah beliau.
Sementara itu ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula hairan dengan alasan kerajaan bahawa taklimat itu kononnya mengancam keselamatan.
“Sebelum ini mereka ganggu Suaram. Sekarang halang peguam dengan memperguna jabatan Imigresen dan Polis. Ini dolak dalik mereka yang ketakutan,” kata Tian.
Sebelum ini, kedua-duap peguam berkenaan dijadual memberi taklimat berhubung kes Scorpene di parlimen pada 22 November ini.
Surat jemputan rasmi kepada mereka diserahkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 November 2012.
Pada Julai 2011, kerajaan bertindak menghantar pulang William Bourdon ketika tiba di KLIA untuk memberi taklimat pada majlis makan malam Suaram di Petaling Jaya.
KUALA LUMPUR 16 November: Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron dari Barisan Nasional (BN) ‘meroyan’ apabila disoal tentang Scorpene.
Ketika dihubungi Keadilan Daily, beliau ditanya berhubung kesediaannya untuk hadir mendengar taklimat Scorpene yang akan disampaikan dua peguam Perancis, William Bourdon dan Joseph Breham di Parlimen minggu depan.
Idris menjawab, “Saya tak perlu dengar keterangan penipu macam itu, orang macam itu akan guna apa cara sekalipun untuk buktikan dia betul,” katanya penuh emosi.
Lebih teruk lagi, beliau turut merapu dengan menghambur kata-kata ‘pedas’ terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan cuba memburukkannya.
Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen BN menafikan kebenaran kes rasuah pembelian Scorpene yang melibatkan pemimpin tertinggi negara.
Antaranya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertegas kononnya pembelian kapal selam Scorpene adalah mengikut prosedur perundangan.
Kerajaan juga mengatakan tiada kes sedang berjalan di Mahkamah Perancis.
Bourdon dan Breham akan memberi penerangan kepada Ahli Parlimen mengenai prosiding inkuiri di Tribunal De Grande Instance berkenaan pembelian kapal selam Scorpene oleh Kerajaan Malaysia.
Berbeza dengan Idris, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang juga pemimpin BN dilihat agak profesional kerana sedia untuk hadir taklimat tersebut Khamis depan.
Rakyat perlu diberikan sepenuh pengetahuan dan fakta tentang isu pembelian kapal selam Scorpene yang tidak habis-habis diperkatakan sekarang ini. Isu ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dan ‘law-makers’ negara kerana ini merupakan satu skandal yang teramat besar yang melibatkan wang rakyat. Ia juga hampir sama besar dengan skandal PKFZ yang melibatkan pimpinan BN dan berkaitan dengan beberapa Menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir dan Abdullah Badawi.
Ia berkaitan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan dan oleh kerana ia melibatkan pihak yang berkuasa, ia amat susah untuk ditampilkan dengan setelus-telusnya kepada penghakiman rakyat. Saya mengajak seluruh rakyat yang berbilang kaum di negara ini untuk memberikan perhatian serius dan mengamati dengan sesungguh-sungguhnya isu-isu ini kerana rakyat sudah tidak tertanggung lagi kelakuan pihak-pihak yang begitu jahil dan tidak menganggap mengambil rasuah sebagai satu jenayah yang terlalu besar ini.
Mesti ada pihak yang terlibat. Ia tidak boleh dinafikan dengan alasan tiada bukti kukuh dan sebagainya. Kita juga mahukan bukti yang wang itu tidak dibelanjakan seperti yang dituduh jika alasan tiada bukti itu menjadi alasan untuk menutup kes-kes seperti ini. Kita tidak mahu berlaku seperti kes PKFZ yang sedang dalam penghakiman mahkamah dengan alasan tiada kes penipuan seperti yang disebut oleh Dr Mahathir tetapi pihak defendant (kerajaan) wajar juga membuktikan yang wang sejumlah yang disebut dalam isu ini tidak dibelanjakan. Kita tidak mahu mendengar dan menerima yang tiada kes seperti yang dituduh tetapi wang yang begitu besar telah dibelanjakan.
Pada 22hb Nov ini, dua orang peguam Perancis akan tiba di Parlimen Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia di atas jemputan Ketua Pembangkang Malaysia, Saudara Anwar Ibrahim. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa, telah mengesahkan yang William Bourdon dan Joseph Breman akan datang ke Malaysia untuk memberikan taklimat kepada Parlimen Malaysia.
Rakyat mesti memberikan perhatian tentang isu sebesar ini. Kita berharap tidak akan ada halangan-halangan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa kerajaan dan Parlimen kerana jika tidak ada elemen-elemen rasuah seperti yang dituduh oleh sesetengah pihak itu, tidak ada sebab ada pihak yang takut dan cuba menghalang kedua-dua peguam ini untuk datang dan memberikan taklimat kepada rakyat Malaysia melalui wakil-wakil mereka di Parlimen.
Kalau pihak yang dikaitkan dengan isu ini benar-benar tidak bersalah, tidak ada sebab taklimat dua peguam ini kepada rakyat Malaysia ditolak dan dihalang untuk memberikan taklimat ini dengan semudah-mudahnya. Malahan pihak berkuasa, seperti Najib sendiri, mesti memberi segala kerjasama kerana beliau boleh memberikan keyakinan kepada pihak-pihak yang menuduh beliau terlibat itu mendapat kebenaran yang beliau adalah sebersih-bersih pemimpin yang tidak langsung terbabit dengan isu rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene ini.
Kita akan lihat, jika ada usaha pihak Parlimen dan kerajaan untuk menghalang kehadiran kedua-dua peguam ini maka sekali gus rakyat akan yakin yang Najib serta mereka yang menuduh itu ada kebenarannya.
Ketua pembangkang telah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamudin untuk meminta kepastian yang kemasukan kedua-dua peguam ini ke Malaysia tidak dihalang dan Hisham sepatutnya memberikan jawapan ‘ya’ dengan secepat mungkin.
Kita semua ingin tahu pandangan dan penyiasatan yang dilakukan oleh kedua-dua peguam Perancis ini kerana ia melibatkan wang rakyat dan moral kepimpinan negara. Jika ada halangan dari pihak Kementerian Dalam Negeri, maka jangan disalahkan rakyat ramai mengekalkan persepsi mereka pucuk pimpinan kita benar-benar terlibat dengan kes Scorpene ini.
Jika perkara ini tidak diselesaikan, bagaimana Najib hendak menunaikan janji untuk mentadbir negara dengan sebaik mungkin sedangkan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa memandang serong terhadap beliau? Lagipun bagaimana Najib hendak meyakinkan rakyat yang jika PR memerintah negara, negara akan bangkrap seperti yang beliau kata di mana-mana dalam siri kempen beliau di seluruh negara?
Jika pimpinan BN lebih cenderung untuk menunjukkan kepada kami rakyat di bawah ini yang mereka tidak jujur dengan menggunakan wang rakyat dengan sewenang-wenangnya, bukankah pihak BN itu yang mempunyai lebih kebarangkalian untuk menjadikan negara ini sebuah negara yang bangkrap?
Elak Peguam Scorpene Hadir Parlimen, Rakyat Sendiri Dihalau Dari Parlimen
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merasa amat terkilan dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang hanya membenarkan Ahli-Ahli Parlimen sahaja untuk membuat Sidang Media di lobi Parlimen.
Ini merupakan satu bentuk arahan yang menyerlahkan keangkuhan dan ketakutan rejim UMNO/BN dalam menghadapi kebangkitan rakyat dan juga pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau masyarakat sivil dalam mendedahkan kecurangan dan penyelewengan yang dilakukan mereka.
Adakah ini merupakan satu lagi cara rejim Pemerintah untuk menyelamatkan pemimpin-pemimpin mereka daripada terus dibongkar segala jenis kecurangan yang selama ini ingin disorok? Atau adakah ini merupakan cubaan Rejim menghalang kehadiran dan sidang media Peguam Peranchis yang bakal hadir ke Parlimen bagi mendedahkan sisi gelap pembelian kapal selam Scorpene?
Parlimen Malaysia adalah satu-satunya institusi tertinggi demokrasi berperlembagaan. Di sinilah tempat Wakil-Wakil yang telah dipilih oleh rakyat melalui proses demokrasi pilihanraya berbahas dan meluluskan rang undang-undang demi kemaslahatan rakyat. Sekiranya rakyat ataupun pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili masyarakat sivil tidak lagi dibenarkan hadir membuat sidang media bersama wakil-wakil rakyat di Parlimen, ia merupakan satu tragedi besar kepada lanskap demokrasi negara.
Parlimen adalah milik rakyat bukannya eksklusif kepada beberapa kerat Ahli-ahli Parlimen. Rakyat harus menghantar mesej jelas kepada mereka yang terus menerus angkuh dengan kuasa yang dipegang. Parlimen yang dikunci membuktikan pemerintah manipulasi kuasa yang ada untuk menghalang kebobrokan mereka dari dibogelkan.
Rakyat perlu bersama kali ini untuk memberi peringatan kepada semua yang berada di koridor kuasa, jangan berselindung di sebalik kuasa yang anda ada hari ini kerana kami, sekalian rakyat Malaysia yang telah mengangkat kamu ke sana dan kami jugalah yang mampu memastikan kamu akan diheret keluar dari kerusi empuk Parlimen Malaysia.
SAMM tidak menolak sekiranya arahan diberikan bagi kemudahan rakan-rakan pengamal media. SAMM tidak menolak malah menyokong sama sekali sekiranya penggiliran dan had masa sidang media dikenakan, sidang media tidak diadakan semasa waktu rehat, sidang media yang ingin diadakan mesti diiringi Ahli Parlimen sebagai wakil untuk membawakan isu-isu berbangkit tersebut ke dalam Dewan dan lain-lain arahan yang sesuai untuk pengamal media. Namun, bukannya arahan yang tidak membenarkan selain Ahli Parlimen untuk membuat sidang media di Parlimen. SAMM turut melihat bahawa sidang media yang diadakan di Parlimen mempunyai nilai berita atau “News Value” yang tinggi berbanding sidang media di lokasi lain.
Sehubungan itu, SAMM dan sekutu-sekutu akan melancarkan memorandum “Berani Langgar” bagi membantah arahan tidak masuk akal Yang Dipertua Dewan Rakyat dan mendesak arahan ini ditarik balik sebaik sahaja sidang mesyuarat Dewan Rakyat bersambung selepas cuti perayaan minggu depan. Ini merupakan mesej jelas dan keras anak muda Malaysia dalam berhadapan dengan keangkuhan Rejim Penguasa.
Juga, ia bukan termaktub untuk penggal ini sahaja malah termasuk pasca PRU-13, dan ia pasti memudahkan Barisan Nasional yang ketika itu sebagai pembangkang.
“Perjuangan Adalah Perlaksanaan Kata-Kata”
Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia melarang penggunaan sudut sidang media di lobi parlimen oleh mereka yang bukan merupakan ahli parlimen.
Larangan lisan itu berkuat kuasa serta merta kerana tidak mahu sudut bertulisan 'Parlimen Malaysia Sidang Media' disalahguna oleh mereka yang bukan ahli parlimen.
Beliau tidak berpuas hati dengan beberapa sidang media yang diadakan di situ antaranya pendedahan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin berhubung dakwaan anak lelaki Datuk Seri Nazri Aziz ada hubungkait dengan jutawan balak Michael Chia.
Pandikar turut menunjukkan gambar sidang media tersebut yang sepatutnya tidak diadakan di situ.
Menurutnya lagi, walaupun parlimen adalah kawasan larangan untuk orang awam tetapi budaya rakyat Malaysia yang meraikan tetamu menyebabkan pihaknya tidak begitu tegas memantau mereka yang mengadakan sidang media sebelum ini.
Katanya, amalan itu akan menjejaskan nama baik parlimen Malaysia jika ia diteruskan.
"Jika mereka datang, guna kemudahan itu, ia tidak dibenarkan sama sekali," katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.
Bagaimanapun Pandikar berkata orang luar yang hadir ke Parlimen dengan ditemani ahli parlimen masih dibenarkan mengadakan sidang media dengan syarat ia tidak diadakan di sudut itu.
"Kalau nak buat sidang akhbar boleh tapi berdirilah di penjuru yang tidak nampak perkara itu," katanya. ~mkini
KUALA LUMPUR - Rata-Rata ahli Parlimen hari ini bersetuju dengan desakan beberapa pihak terutama Pemuda Umno supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan.
Malahan mereka berpendapat kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan.
Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.
"Saya menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di seluruh negara tetapi pemasangan AES harus diletakkan di kawasan yang sesuai.
"Apa yang berlaku sekarang, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya bahawa pemasangan AES bukan sahaja diletakkan di tempat yang tidak sesuai, malah ia turut mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya," katanya kepada Bernama.
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyarankan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES yang didapati terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya dan perlu diatasi, antaranya, lokasi serta halaju praktikal
sesebuah kawasan.
Mohd Radzi juga berkata beliau percaya ramai yang telah ditangkap gambar kerana melakukan kesalahan lalu lintas tidak akan membayar saman untuk menunjukkan protes.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan sistem tersebut dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan.
Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, yang menyambut baik cadangan penangguhan AES, mencadangkan supaya sistem itu diberi satu tempoh percubaan.
Beliau berkata sepanjang tempoh percubaan itu, kerajaan akan mempunyai ruang untuk mengkaji keberkesanan sistem tersebut terutama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Saya cadangkan tempoh percubaan selama enam bulan boleh menjadi proses untuk mendidik rakyat, yang kemudiannya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) misalnya, boleh mengemukakan laporan sejauh mana tempat yang dipasang AES ini betul-betul berkesan dari segi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.
Pada masa sama, Ibrahim turut mencadangkan agar saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya ditangguhkan bagi menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap desakan rakyat.
Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian Salehuddin Ayub, penangguhan pelaksanaan AES adalah wajar kerana ia bukan penyelesaian dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya tetapi lebih kepada membebankan pengguna.
"Semua pihak harus bersuara dengan memberi pendapat mengenai isu ini, dan memastikan ia mencapai matlamatnya untuk menyelesaikan kes kemalangan jalan raya dan bukan menjadikan pengguna jalan raya sebagai mangsa kepada sistem penguatkuasaan yang tidak berkesan," katanya dipetik Bernama.
Apa yang bermula sebagai satu pertanyaan mudah berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2011 akhirnya bertukar menjadi huru-hara apabila para ahli Parlimen menjadi emosional semasa jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin di peringkat jawatankuasa dalam perbahasan belanjawan Kementerian Kewangan.
Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) berkali-kali mendesak mendapatkan
jawapan dari Awang Adek (kanan) apakah tindakan yang akan diambil terhadap pegawai kastam yang membelibelah sebanyak RM1.82 juta tanpa kebenaran, tetapi diejek oleh penyokong BN kerana ia memanjangkan lagi sesi Parlimen yang sudahpun panjang.
Awang Adek berkata pegawai tersebut telah meletak jawatan dan audit telah mengenal pasti masalah tersebut, manakala (jabatan) kastam telah membuat laporan polis.
Tegasnya lagi, tindakan akan diambil kerana tiada siapa pun yang mahu melindungi orang yang bersalah.
Fong pula berkata beliau tidak berpuas hati dengan jawapan Awang Adek, sambil meminta penyokong BN supaya senyap.
Katanya beliau mahu tahu apakah tindakan yang akan diambil, dan bukan setakat berkata 'akan, akan, akan', tetapi mahu jawapan yang konkrit.
Fong juga meminta supaya penyokong (BN) menghormatinya kerana beliau sedang menjalankan tugasnya, sambil menegaskan, jika mereka tidak berminat, mereka boleh balik.
Sementara itu, Awang Adek berkata kesalahan telah dikenal pasti dan tindakan akan diambil, sambil bertanya kepada Fong apa lagi yang dia mahu dan meminta ahli Parlimen DAP itu mencadangkan kepadanya, apakah jenis tindakan yang dia mahu?
Fong: Apa tindakan? Hanya laporan polis?
Awang Adek: Satu laporan polis telah dibuat, apa ini ... Aiyo ... Okay, saya mengucapkan terima kasih kepada semua, Wassalamualaikum.
Awang Adek yang kelihatan berang duduk di kerusinya dan enggan menjawab sebarang soalan lagi, termasuk soalan yang telah dikemuka oleh ahli parlimen lain sebelum itu, manakala Fong pula terus mendesaknya.
Ini menyebabkan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah
tindakan Awang Adek itu dan Dewan menjadi riuh-rendah: "Tak boleh! Tak boleh! kami telah menunggu sepanjang hari untuk mendapatkan jawapan!".
Timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee kemudian campurtangan, dengan menyatakan bahawa Awang Adek akan memberikan jawapan bertulis dan berkata sesi tamat dan Awang Adek telahpun menjawab selama satu jam 20 minit.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pakatan termasuk Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) tidak puas hati.
Chong Eng berkata, mana boleh Awang Adek menjadi emosional dan enggan menjawab soalan.
Azan pula mencelah, dengan berkata mereka sering dijanjikan jawapan bertulis sebelum ini, tetapi tetapi tidak pernah menerimanya.
Pada ketika ini, Ronald memberi jaminan bahawa jawapan bertulis akan diberikan "secepat mungkin" dan merayu kepada ahli Parlimen berkenaan supaya tidak bertengkar tetapi usahanya itu tidak berhasil.
Timbalan speaker itu akhirnya putus asa cuba untuk mengawal ahli Parlimen dan terus meminta undian dengan suara untuk meluluskan bajet Kementerian Kewangan dan kemudiannya menangguh sidang semalam dalam keadaan Dewan menjadi riuh-rendah dengan jeritan bantahan.
Ketika ditemui di luar Dewan kemudiannya, Awang Adek menjelaskan bahawa tindakan selanjutnya terhadap pegawai kastam itu hanya akan diputuskan selepas siasatan polis selesai.
"Satu laporan polis telah dibuat, apa lagi yang (MP) Batu Gajah mahu? Adakah dia mahu bunuhnya?" katanya.
Ditanya mengenai dakwaan ahli Parlimen tidak menerima jawapan bertulis seperti yang dijanjikan oleh kementerian lain, Awang Adek berkata beliau adalah seorang yang mengotai janjinya.
'Saya kurang sihat'
Pada masa ini, Chong Eng yang kebetulan lalu di situ, terus melepaskan rasa kecewaannya tetapi akhirnya berbual dengan elok dengan imbalan menteri itu.
Chong Eng: Aiya, apa ini!
Awang: Jangan macam itulah (MP) Bukit Mertajam, saya demam hari ini, anda tak tahu.
Chong Eng: Mengapa tak cakap? (Beralih kepada media) Beliau sangat emosional hari ini, dia tidak boleh terima cabaran
Awang: Saya demam...
Kedua-duanya kemudian berdamai dan Awang Adek memberi jaminan beliau akan memberikan jawapan bertulis kepada Chong Eng hari ini
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, laporan Ketua Audit Negara 2011 langsung tidak menyentuh mengenai aliran wang haram berjumlah USD338 juta (RM1.03 bilion) yang mengalir keluar dari negara ini.
Katanya, penyembunyian ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) seolah-olah cuba melindungi perompak wang negara.
“Menurut Global Financial Index (GFI), ‘illicit financial’ (aliran wang haram keluar) berjumlah USD338 juta. Ini masalah besar. Belum dijawab oleh kerajaan.
“(Seperti) ada muslihat untuk melindungi penjenayah yang merompak wang negara. Kita diberikan senarai oleh laporan ketua audit negara, hasil belanja, defisit dan akaun wang disatukan, (aliran wang keluar) tak disentuh langsung,” katanya di Dewan Rakyat semalam.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, teguran Ketua Audit Negara langsung tidak diambil berat, meskipun terdapat jawatankuasa yang memantau prestasi ekonomi negara.
“Dalam masa sama defisit membengkak. Keadaan semakin parah dari tahun ke tahun. Tapi, yang hanya disebut (Menteri Kewangan ialah serangan kepada Pakatan Rakyat),” tegasnya.
Beliau turut menyentuh kadar hutang isi rumah rakyat Malaysia berjumlah RM571 juta, iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara.
“Ini kadar paling tinggi sewaktu (Ahli Parlimen) Pekan (Najib Altantuya) sebagai Menteri Kewangan. Untuk diketepikan (fakta laporan) adalah tidak munasabah. Ini ada kaitan dengan beban rakyat.
“Di bawah Menteri Kewangan rujuk kepada prestasi, tetapi dalam masa sama (Najib Altantuya) sebagai orang yang tak mampu urus ekonomi dengan baik,” tempelak Anwar.
Bercakap dalam sidang medianya sebelum ini, Ketua Umum KEADILAN itu berkata, ceramah Pakatan Rakyat akan membangkitkan isu kerugian ‘berbilion ringgit’ yang didakwa ‘hilang atau dipadamkan begitu sahaja’ daripada laporan Ketua Audit Negara 2011.
Laporan Audit berkenaan dibentangkan di Parlimen 15 Oktober lalu selepas lebih dua minggu pembentangan Bajet 2013 yang diumumkan
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, berlaku defisit sebanyak RM21.6 bilion dalam perbelanjaan Bajet 2013 disebabkan banyak ketirisan urus tadbir negara.
“Jika diperhatikan, sejak Najib Altantuya menjadi Menteri Kewangan, saya khuatir keghairahan berbelanja ini sudah menjadi penyakit dan ketagihan,” katanya pada perbahasan Bajet 2013 di Parlimen semalam.
Anwar berkata, bayaran khidmat hutang meningkat paling ketara sebanyak 56 peratus atau kepada RM8 bilion sejak Najib Altantuya menjadi Menteri Kewangan pada 2009.
“Contoh peningkatan sejak 2009 hingga 2013…(ialah) RM8 bilion (diguna) untuk membayar khidmat hutang dan ia telah meningkat sebanyak 56 peratus. Subsidi pula dari 2009 hingga 2013 meningkat sebanyak (RM)17.2 bilion iaitu peningkatan 85 peratus.
“Bunyinya lunak untuk kebajikan, tetapi sebahagian besar subsidi ini hanya dinikmati oleh kroni mereka, tidak sampai ke golongan sasaran,” katanya
“Ini bermakna jumlah pinjaman baru mengikut data Bank Negara sejak 2009 hingga 2013 adalah (RM)184 bilion,” jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
Menurutnya, perbelanjaan perbekalan dan perolehan melonjak 28 peratus kepada RM15 bilion, berbanding hanya RM7 bilion jika ia dilakukan melalui tender terbuka.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ketirisan tersebut boleh dimanfaatkan kepada rakyat terutama untuk memberi pendidikan percuma dan memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Beliau berkata, perancangan ekonomi perlu kepada unjuran yang munasabah, kemudian dinilai sama ada sasaran itu berjaya dicapai atau sebaliknya.
Malangnya, kata Anwar, sejak Najib Altantuya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, unjuran bukan sahaja tidak berjaya dicapai, malah tersasar jauh.
Beliau turut mengecam pendekatan ekonomi Umno BN yang lebih mengutamakan golongan maha kaya.
Katanya, pendekatan ekonomi harus adil dengan memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan isi rumah setiap keluarga.
“Harta tidak seharusnya berlegar kepada orang-orang kaya. Sebab itu, Pakatan Rakyat menekankan perancangan ekonomi perlu beralih daripada mengejar sasaran ekuiti dan pertumbuhan semata-mata kepada sasaran isi rumah minimum sebanyak RM4,000 sebulan setiap keluarga menjelang pentadbiran Pakatan Rakyat.
“Paras pendapatan isi rumah keluarga menjadi sasaran ekonomi utama untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan dari arus pembangunan,” jelas Anwar.
Pakatan unjur garis panduan tingkat ekonomi
Beliau turut menggariskan beberapa pendekatan ekonomi dalam jangka panjang yang menjamin peningkatan pendapatan melalui sasaran seperti berikut:
1. Pertumbuhan ekonomi perlu dijana oleh usahawan kecil dan sederhana yang membentuk kelas perniagaan terbesar dalam ekonomi bukan hanya satu dua tauke besar yang membolot sebahagian besar ekonomi.
2. Pertumbuhan ekonomi bergantung kepada nilai tambah yang dihasilkan melalui peningkatan kemahiran dan kepakaran kerana peluang pekerjaan mempunyai pengaruh besar kepada ekomomi.
3. Peranan kerajaan dalam menjana ekonomi perlu dibatas kepada usaha mencambahkan bidang baru yang memesatkan kegiatan ekonomi secara strategik, bukan terlibat sama dalam kegiatan ekonomi dan bersaing pula dengan usahawan kecil serta pengusaha lain seperti yang berlaku oleh Khazanah Nasional.
Manakala pendidikan dan kemahiran yang khusus untuk berdepan dengan persaingan global adalah fokus kerajaan sebagai tangungjawab asas kepada rakyat untuk memesatkan ekonomi.
Dasar khusus yang menjamin paras gaji yang saksama juga perlu digubal demi menjamin kesejahteraan rakyat dan mengambil kira rakyat berpendapatan miskin dan rendah.
Bila akhbar dan televisyen sibuk mencanangkan pesanan Perdana Menteri saya, Datuk Seri Najib bahawa bajet pembangkang hanyalah janji kosong, hanya akan membawa kepada malapetaka negara dan sebagainya.
Maka sudah tentulah saya yakin Perdana Menteri yang saya kasihi, Datuk Seri Najib serta rakan-rakan kabinetnya kelak akan hadir apabila giliran pihak yang mereka sindir, yang mereka hina dan mereka tohmah itu akan berdiri pulak membuat perbahasan tentang bajet 2013 yang dikemukakan oleh Datuk Seri Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan...
Tetapi malangnya, Perdana Menteri yang saya kasihi itu tetiba hilang. Seorang yang saya harapkan akan mempertahankan apa yang dibentangkan sendiri olehnya tetiba tiada... yang ada hanyalah macai-macai yang masih berhingus, terkial kial memberi alasan bodoh...
Jadi, saya rasa sangat terkilan dengan betapa sibuknya akhbar, televisyen dan saluran media massa yang sibuk mentohmah keburukan janji dan cadangan pihak pembangkang ini...
Kerana, sebusuk busuk pembangkang pun mereka hadir juga dikala Perdana Menteri saya yang merangkap Menteri Kewangan negara saya itu membentangkan belanjawan. Maka pada saya adalah relevan mereka mengkritik, kerana mereka hadir, bahkan disindir pula oleh Perdana Menteri saya itu.
Tetapi di mana relevannya kata-kata Datuk Seri Najib, apabila dia dan rakan-rakannya pula langsung tidak hadir mendengar pembentangan dan perbahasan yang dibuat oleh pihak pembangkang?
Sangka baik saya, Perdana Menteri dan rakan-rakan mungkin tonton melalui internet... kalau tidak pun senggugut menyerang lagi... hadoiihh...
Dah agak dah.. Kecut telor bila tiba giliran DSAI berbahas. Nak buat macam mana bila ketua pon kecut telor untuk menghadapi DSAI, anak buah lagi lah.. Cabut.. Hehehe..
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir pada sesi perbahasan bajet minggu depan dan sekaligus berdebat berkaitan dengan bajet yang beliau bentangkan petang semalam.
Tegasnya lagi, Najib sepatutnya hadir untuk mendengar apa yang ingin dibahaskan nanti bagi untuk mengetahui apa yang tidak kena dengan apa yang telah dibentangkan.
"Sebagai negara demokrasi, Najib perlu hadir pada sesi saya berbahas bajet 2013, saya tahu Najib mesti berani untuk mengetahui apa yang ingin saya bahaskan nanti," usul beliau.
Anwar ketika mengulas bajet 2013 memberitahu sepatutnya pada bajet kali ini kerajaan menyentuh senario antarabangsa kerana sebagai sebuah negara dagang sepatutnya Najib tahu perancangan ekonomi terikat dengan perkara sedemikian.
Namun perkara tersebut tidak disentuh langsung oleh kerajaan pada bajet 2013 kali ini.
"Saya melihat apa yang diberitahu pada bajet tersebut hanyalah gimik politik semata-mata dan untuk memenangi hati rakyat," jelas beliau.
Anwar memberitahu, mungkin Najib beranggapan rakyat itu tidak mengetahui bahawa keuntungan berbilion ringgit diambil oleh kroni mahupun keluarga pemimpin menyebabkan Najib tidak menyentuh langsung soal tersebut.
"Contohnya peruntukan untuk Tun Razak Exchange (TRX), itu hanyalah insentif untuk mereka yang kaya sahaja bukannya golongan yang berpendapatan rendah.
"Keuntungan Penjana Tenaga Bebas (IPP) langsung tidak diceritakan tetapi bagi peruntukan RM200 kepada rakyat di bawah telah diperbesarkan," sambungnya.
Tambah beliau lagi, kerajaan juga tidak menjelaskan langsung tentang monopoli gula yang diberikan kepada individu tertentu tetapi berkaitan penarikan subsidi gula serta harga pula disentuh.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga turut melahirkan kekecewaan apabila kerajaan hanya memikirkan tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mendesak pembayaran balik dari pelajar.
Namun kerajaan tidak pula menjelaskan perancangan pembayaran balik pinjaman berbilion ringgit oleh syarikat-syarikat besar.
Menyentuh tentang hasrat kerajaan ingin melaksanakan program rumah pertama, beliau tidak yakin ada kesungguhan dalam perlaksanaan tersebut.
"Kita kemukakan cadangan dalam belanjawan Pakatan Rakyat bahawa perumahan itu tidak boleh dilaksanakan jika syarikat yang mengendalikannya mementingkan keuntungan.
"Syarikat perumahan rakyat tidak tidak mungkin berhasil kalau motifnya keuntungan sepertimana yang dilakukan sekarang," kata beliau.
Anwar menyatakan jika ingin menjayakan program rumah pertamaku ini mesti ada badan kerajaan yang tidak semestinya rugi besar tetap mesti menjana projek yang boleh memenuhi permintaan rakyat.
Nampaknya PM Najib semakin konfiden Umno/BN boleh menang PRU-13 ini. Entah nak tunggu apa lagi? Pakatan Rakyat sekarang ini sedang bergelora bergolak dengan pelbagai isu.
Kalau sebelum ini, Pakatan Rakyat mengasak Umno/BN dengan pelbagai isu,tetapi kali ini giliran PR pula yang terpaksa bertahan bila Umno/BN mengasak PR.
Isu Mansor Osman tiba-tiba muncul tak semena-mena.Ramai blogger Pakatan Rakyat sendiri tidak berapa minat nak membela Mansor Osman yang bercita-cita nak jadi Duta ke China tu.Hanya blog Pakaq sahaja yang cuba nak selamatkan Mansor. Rata-rata bloggers PR lain tidak begitu gemar dengan sikap Mansor yang dilihat tidak ubah macam perangai Umno/BN yang pentingkan diri semata-mata dan bukan kerana nak membela rakyat. Elok jadikan tukon dan campakan dia ke dalam laut!
Kenyataan Mansor sehingga kini tidak mampu menyangkal kesahihan cerita yang dimuat naik oleh blog yang dikatakan ’blog anti PR’. Sedikit hari lagi, tentunya rakaman bersuara akan diaorang upload kat U-Tube.
Dalam waktu yang sama isu Hudud, PAS dan DAP berlaga angin sedang dalam carta tertinggi Umno/BN untuk dieksploitasikan. Umno berhutang budi mengenai isu Hudud ini kepada Nasharudin yang tidak pasal-pasal sekembalinya dari membontot PM Najib ke Mekah, menyondol Karpal Singh.
Budak-budak PAS pun ada yang terkinja-kinja terikut-ikut menari sama.Pencacai Umno/BN pun bertepuk tangan mengiringi tarian Nasha. Tentu ada antara kita ingat pesanan Allahyarham Ust Fadhil Nor dulu, supaya waspada apabila musuh memuji kita ....
Utusan Meloya semakin rancak dalam memainkan isu panas yang melanda Pakatan Rakyat.Anwar Ibrahim pun dah keluar kenyataannya yang jelas memberi ingatan kepada PAS mengenai ’konsensus’.
Lujnah Politik PAS yang akan membincangkan mengenai kenyataan kontraversi Nasha dipercayai akan play safe, memandangkan pilihanraya dah dekat sangat. Besar kemungkinan, Nasha hanya akan diberikan nasihat sahaja ...
Memecat Nasha lebih buruk padahnya. Subky Latif pun ada berkata supaya PAS biarkan sahaja si Luncai tu terjun dengan labunya.
Episod Hasang Beras Hancor mungkin boleh kita jadikan teladan. Korang faham tak maksud aku ? Mudah cakap begini – daripada kita melepaskan pergi pelesit yang jenis makan tuan sendiri nih, lebih baik lagi kalau kita ’botolkan’ sahaja pelesit tersebut. Musuh tidak boleh pergunakan dia dan kita mudah memantaunya ...
Cuma risikonya ialah pelesit ini boleh terkeluar dari dalam botol . Maklumlah, bukan mudah nak kawal budak-budak dari bermain botol ...
Ada maklumat dari sumber yg boleh dipercayai, parlimen akan dibubarkan dlm masa terdekat. Arahan telah dikeluarkan kpd menteri kabinet, khususnya Komponen BN agar siap sedia. Perisik BN dari SB, Military dan survey yg dibuat ini masa yg sesuai. Laporan telah dihantar kpd Majlis Keselamatan Negara.
Ikut laporan, sokongan Cina kpd Najib meningkat manakala melayu kekal pada tahap sekarang. Yang menariknya kata maklumat ini, usaha pecah belah PAS-DAP melalui isu hudud mula berhasil. Watak penting spt Ust Nasharudin Mat Isa, Karpal Singh dan beberapa kepimpinan PAS akan terus di eksploitasikan.
Lepas ini beberapa tokoh ulama spt Mufti, Ust Fathul Bari, Ulama yg kononnya bebas politik, tok guru pondok dll akan diheret secara agresif dlm isu hudud. BN perlukan lonjakan 5% lagi sokongan melayu utk kekal memerintah.
MELAKA: Pakar perlembagaan negara, Dr Abdul Aziz Bari (gambar) berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekarang berkeadaan ‘mati kutu’ untuk membubarkan parlimen kerana rakyat semakin menolak BN.
"Perdana Menteri dan Umno BN sebenarnya ‘mati kutu’ untuk membubarkan parlimen kerana mereka tahu bahawa sokongan rakyat kepada BN semakin teruk, Najib tidak yakin BN akan menang sebab dia takut untuk bubar Parlimen.
"Segala perancangan dan tindakan Umno BN selama ini tidak dapat mengubah persepsi negatif terhadap Umno BN, walaupun pelbagai bantuan, sogokan dan projek pembangunan dilakukan tetapi rakyat tetap menolak BN," ujar Abdul Aziz yang sekarang menjadi ahli politik sepenuh masa.
Justeru, beliau berkata rakyat mesti bekerja kuat untuk memastikan negara ini diselamatkan dari pentadbiran BN yang jelas korup, mengamalkan nepotisme, membazir dan membelakangkan undang-undang demokrasi.
"Kita yakin walaupun mereka mendaftarkan puluhan malah ratusan ribu pengundi luar yang bukan warganegara, Umno BN tetap tumbang dengan kuasa rakyat," katanya dalam majlis ceramah di Taman Indah dekat sini malam tadi.
Menyentuh tentang keengganan Najib untuk berdebat dengan Anwar, beliau berkata ia sudah menjadi sifat dan lumrah pemimpin Umno BN yang sememangnya takut untuk berhadapan secara anak jantan dengan lawan politk dan rakyat sendiri.
"Sampai bila pun Najib takkan berani berdebat dengan Anwar dan Najib akan sentiasa mencari alasan dan helah untuk tidak berdenat dengan Anwar.
"Anwar kata dia cakap 20 minit, Najib bercakap 40 minit pun tak apa asalkan Najib berani untuk berdebat dalam apa juga tajuk," katanya.
Ahli Parlimen Sri Gading, Mohamad Aziz hari ini menarik balik kenyataan yang dibuat pada hari Selasa lalu di mana beliau bertanya sama Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga perlu digantung kerana menderhaka.
Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebagai seorang yang berdisiplin dan dari parti yang berdisiplin, beliau - atas semangat setiakawan dalam BN - menarik balik kenyataannya itu jika ia menyinggung perasaan pemimpin rakan-rakannya dari MIC atau PPP.
Mohamad telah diarahkan menarik balik kenyataannya itu oleh Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidy Jaafar.
Ianya selepas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bangun meminta satu keputusan berhubung kenyataan Mohamad yang menurutnya telah "keterlaluan".
KUALA LUMPUR, 27 Jun: DAP mengarahkan wakil rakyatnya membuat laporan polis beramai-ramai terhadap Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz berhubung kenyataannya yang bersifat ekstrimis.
Aziz, wakil BN dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam meminta Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan digantung sampai mati kerana didakwa mahu menggulingkan negara.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak mahu membuang masa meminta Aziz menarik balik kenyataan tersebut tetapi mahu semua wakilnya membuat laporan polis agar Aziz dapat disiasat sewajarnya.
Katanya, laporan polis akan dibuat esok namun belum dinyatakan di balai polis mana.
"Semalam kita amat terkejut dengan kenyataan Sri Gading yang mengatakan bahawa kita harus gantung ambiga kerana menganjurkan Bersih.
"Ini adalah kenyataan yang menghasut dan bersifat ekstrimis dan mengancam nyawa Ambiga dan bersifat perkauman kerana ditujukan kepada seorang wanita berbangsa India dan beragama Hindu," kata Ahli Parlimen Bagan itu pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Guan Eng juga berkata, kenyataan Aziz itu sangat tidak relevan kerana penganjuran Bersih bukan satu kesalahan.
"Ini adalah saranan yang serius untuk minta gantung sampai mati. Tak pernah ada ahli parlimen di dunia minta seorang dibunuh.
"Apakah kesalahan Ambiga? Beliau hanya salah seorang penganjur Bersih yang merupakan perhimpunan aman.
"Kenapa hanya Ambiga? Kami yakin sebab Ambiga seorang India dan wanita. Sasaran yang mudah. Sikap ini harus dibantah," katanya.