Kenyataan Media
11 Julai 2012
SAMM Seru Anak Muda Bersama Dalam Himpunan Oren
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat komited untuk bersama dalam Himpunan Oren yang akan berlangsung pada 14 Julai 2012 sambil menyeru kepada semua anak muda untuk turun berhimpun demi menyelamatkan saki-baki khazanah negara sebelum terlambat.
Himpunan Oren dijangka mendapat sambutan yang besar kerana rakyat terutamanya golongan muda harus bertindak melakukan sesuatu mempertahankan hak negara ini daripada dirompak oleh lanun berkolar putih. SAMM juga melalui Segmentasi Peneroka dan Luar Bandar telah masuk ke beberapa gugusan Felda termasuklah pertemuan di Gugusan Felda Palong baru-baru ini untuk pencerahan Himpunan Oren dan juga mobilisasi massa.
Bagi SAMM, penyenaraian FGVH seumpama memperjudikan nasib peneroka felda yang sudah berpuluh tahun berbakti kepada negara. Menyenaraikan FGVH adalah satu perjudian yang harus dielak dan ditentang kerana tiada jaminan keuntungan yang berkekalan malah peneroka Felda terdedah kepada risiko kerugian melampau sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998 yang lalu.
Kerajaan kononnya memberi jaminan adalah penipuan semata-mata merujuk kepada banyak amanah saham yang sebelumnya dijamin kerajaan tetapi lingkup menyembah bumi dan nasib pemegang saham langsung tidak dibela. SAMM melihat tidak mustahil tanah Felda akan tergadai melalui penyenaraian FGVH dan ia akan melibatkan ratusan ribu hektar tanah rezab melayu.
SAMM juga turut mempersoal laporan yang menunjukkan Pengerusi Felda yang tidak mempunyai walau seinci pun tanah Felda yang dibangunkan, namun memperolehi 180ribu unit saham sedangkan peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang hanya dikurnia 800 unit saham sahaja. Ini satu pengagihan tidak adil yang melampau dan harus ditentang habis-habisan.
SAMM mengambil kesempatan untuk memberi amaran kepada pihak polis yang hadir menjaga keselamatan awam agar benar-benar bertindak menjaga keselamatan, bukan memukul orang awam sepertimana yang berlaku di himpunan-himpunan sebelum ini. SAMM turut memberi amaran keras kepada polis agar beruniform lengkap bersama nama dan nombor anggota. Sekiranya dikenalpasti ada anggota polis yang tidak menayangkan nama dan nombor anggota, itu adalah penjenayah yang menyamar sebagai anggota polis dan wajib ditangkap oleh peserta himpunan.
Akhir sekali, SAMM juga akan cuba membawakan siaran LIVE dari Himpunan Oren untuk tatapan semua melalui channel ustream http://www.ustream.tv/channel/himpunan-oren .
Ayuh anak muda Malaysia bersama SAMM berarak dari Masjid Wilayah di Jalan Duta ke Istana Negara untuk memberi tekanan dan signal yang jelas kepada kerajaan betapa rakyat terutamanya warga Felda menolak penyenaraian FGVH.
Sekian
Edy Noor Reduan (EDYES)
Pengarah Propaganda SAMM
0 Komen :
Post a Comment