PETALING JAYA, 1 FEB: Datuk Seri Najib Razak dan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi perlu memberikan keterangan terhadap siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja(RCI) berhubung ‘Projek IC’ di Sabah.
Ini kerana, menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berkuasa Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memberi kad pengenalan kepada pendatang asing di Sabah bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya negeri ketika itu.
Anwar juga mengulangi kesediaan untuk disiasat berhubung perkara ini.
Tambahnyan,semasa beliau menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri, tidak pernah ada satu minit mesyuarat yang menunjukkan beliau hadir dan menerima laporan berkenaan.
“Tidak pernah ada sama sekali rekod yang berkenaan kerana itu adalah operasi khas Jawatankuasa yang dikendalikan oleh Perdana Menteri dan pada masa itu diserahkan kepada (Tan Sri) Aziz Samsudin dan (Tan Sri)Megat Junid.
“Yang penting kita tahu ialah bahawa jawatankuasa khas itu adalah berterusan. Sepatutnya kita tanya juga Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib.
“Najib sebagai Perdana Menteri masih meneruskan dan mengendalikan jawatankuasa khas itu dibawah Perdana Menteri sehinggalah mungkin hujung tahun lalu.
“Apakah dia (Mahathir) boleh menafikan dia bertanggungjawab? Dia mengasaskan jawatankuasa khas, dia yang melantik Aziz Samsuddin dan Megat Junid dan semua laporan tersebut diberikan dan dalam pengetahuan beliau. Ini yang patut dijawab,” katanya dalam reaksi terhadap kenyataan Mahathir.
Media pada semalam melaporkan kenyataan Tun Mahathir yang mendakwa bahawa Anwar terlibat di dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing di Sabah.
Dalam pada itu Anwar mendesak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kerjasama kepada kerajaan Filipina berhubung dakwaan penglibatan individu yang dikehendaki polis Filipina, Manuel Karingal Amalilio dalam kes penipuan terhadap lebih 15,000 orang dan membabitkan wang bernilai hampir RM900 juta (12 bilion peso).
Tegasnya, kerjasama ini penting dalam usaha memulihkan semula nama negara serta hubungan deplomatik yang terjalin selama ini memandangkan kes ini mendapat liputan meluas media tempatan Filipina meskipun individu berkenaan mempunyai hubungan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman.
“Yang penting kalau ada kes sepatutnya polis, Kementerian Dalam Negeri ambil tahu kes ini dan nampak ada asas terus bekerjasama dengan kerajaan Filipina untuk meneruskan siasatan dan pendakwaan.
“(Keadaan ini) tidak baik dalam menjaga hubungan antara dua negara bila kita cuba melindungi penjenayah,” ujarnya lagi.
http://www.selangorku.com/?p=22407
Read More...
Summary only...
Najib, AG guna RCI Sabah untuk benam kebenaran?
Adakah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang tanpa izin di Sabah satu rancangan tersembunyi dan sandiwara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Peguam Negara (AG) Tan Sri Gani Patail?
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim membangkitkan persoalan itu dan bertanya apakah
kedua mereka itu cuba membenamkan perkara sebenar berkaitan masalah pendatang asing yang diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi?
Beliau menjelaskan bahawa tidak satu pun daripada lapan terma rujukan RCI menjuruskan untuk mengenalpasti pihak yang didakwa bertanggungjawab terhadap pengkhianatan kepada negara atau untuk RCI mengesyorkan tindakan terhadap mereka yang terlibat.
"Najib dan Gani seolah mempunyai niat bersama untuk melindungi dalang dan pengkhianat sebenar yang terlibat dalam Operasi Durian Buruk di antara tahun 1992 dan 1995 seperti yang didedahkan oleh salah seorang saksi RCI Sabah Mohd Nasir Sugip.
"Proses untuk mengeluarkan satu sahaja sijil kerakyatan palsu pun, adalah merupakan perbuatan jenayah terancang yang melibatkan penipuan, pemalsuan dan salahguna kuasa membabitkan beberapa pihak.
"Apatah lagi jika untuk menyediakan 40,000 kad pengenalan biru kepada pendatang haram, seperti berlaku dalam operasi khas berpusat di kediaman Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin," kata Mat Zin.
Bekas pemimpin tinggi polis itu, dalam susulan suratnya sebelum ini yang menggesa polis supaya menyiasat pendedahan yang dibuat dalam RCI, berkata Najib adalah menteri pertahanan dari tahun 1991 hingga 1995 iaitu sepanjang tempuh Ops Durian Buruk itu.

Manakala Gani Patail pula adalah peguam persekutunan kanan Sabah
sehingga Februari 1994 sebelum dilantik menjadi ketua bahagian pendakwaan Jabatan Peguam Negara.
Mat Zin juga mendakwa saksi yang membuat "pendedahan sensasi" dianggap pesalah yang telah melakukan perbuatan jenayah tersebut.
Bagaimanapun, dakwanya, mereka tanpa perasaan takut kepada sebarang akibatnya ketika menceritakan peranan masing-masing, sedangkan mereka sedar perkara yang dilakukan itu menyalahi undang-undang negara.
http://www.malaysiakini.com/news/219937
Read More...
Summary only...
Proiek IC kepada pendatang Sabah oleh Mahathir tanpa pengetahuan Kabinet - DSAI
KUALA LUMPUR 23 Jan: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia beri keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah jika dipanggil.
Anwar menegaskan, sepanjang menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak pernah terlibat secara langsung dalam projek tersebut.
Menurut beliau, bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu adalah peneraju utama projek tersebut.
“Ia (kewarganegaraan untuk warga asing) disebabkan penglibatan Abdul Aziz Shamsuddin dan Megat Junid Megat Ayub, dengan sokongan Perdana Menteri pada masa itu (Mahathir),” katanya pada sidang media di Ibu pejabat KEADILAN di sini hari ini.
“Saya sedia beri keterangan jika dipanggil. Saya yakin saya tidak terlibat dalam apa-apa perkara dan tidak mempunyai kaitan langsung,” katanya.
Menurut Anwar, projek IC tersebut tidak melalui Kabinet kerana ia adalah satu ‘task force’ di bawah Mahathir selaku Perdana Menteri pada ketika itu.
“Bahkan semasa saya memangku jawatan Perdana Menteri selama dua bulan itu, saya tidak menerima sebarang laporan apa-apa mengenai projek IC ini,” kata Anwar.
Beliau turut menegur Datuk Seri Najib Razak kerana membiarkan proses pemberian kewarganegaraan diteruskan semasa pentadbiran Perdana Menteri itu.
Read More...
Summary only...
Salleh cabar Anwar beritahu RCI perkara sebenar
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu perkara sebenar mengenai pendatang tanpa izin kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dipertanggungjawabkan menyiasat masalah itu yang berlarutan di negeri ini.
Beliau menegaskan Anwar perlu berbuat demikian kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri pada waktu itu, dan menurutnya "beliau (Anwar) seorang amat berkuasa dan tahu apa yang berlaku di Sabah".
"Jangan jadi hipokrit, mungkin dengan pengetahuan hal sebenar atau "dalaman" itu, Anwar boleh membantu memberikan maklumat...jadi beritahu perkara sebenar kepada RCI. Beliau tidak usah main politik. Sekurang-kurangnya (Datuk Seri) Najib (Tun Razak), perdana menteri kita mahu mengetahui kebenarannya dan meluluskan penubuhan RCI untuk mengenal pasti punca masalah itu.
"Kita tidak patut buat kesimpulan dan menyalahkan pihak tertentu hanya kerana keterangan oleh beberapa bekas tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Kita patut biarkan RCI selesaikan tugasnya...apa yang kita mahukan ialah penyelesaian muktamad," katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi bertemu rakyat di SK Sembirai, dekat Kota Belud hari ini.
Oleh itu, Salleh, yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri berkata rakyat sepatutnya menghargai dan menyokong Najib bagi langkah berani beliau dalam menubuhkan RCI.
"Sebaik sahaja RCI menyelesaikan tugasnya, dengan itu kerajaan akan mengkaji dan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan perkara itu.
"Mereka yang layak dan memperoleh kewarganegaraan menerusi prosedur sah tidak sepatutnya dihukum dan mereka yang memperolehnya secara tidak sah atau "ikut pintu belakang' kewarganegaraan mereka perlu dibatalkan. Itu lah cara yang betul," katanya.
Melahirkan keyakinan masalah pendatang tanpa izin akan dapat diselesaikan di oleh kerajaan pimpinan Najib, Salleh berkata penduduk jati Sabah perlu sabar menunggu penyelesaian itu.
Penubuhan RCI dan pelantikan anggota suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri pada 11 Ogos tahun lepas untuk menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.
Prosiding pendengaran RCI dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Anggota panelnya terdiri bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah Profesor Datuk Seri Dr Kamaruzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Kee Mustafa dan bekas Timbalan Ketua Menteri dan bekas Peguam Besar Sabah Tan Sri Herman J Luping.
Prosiding seterusnya akan diadakan 28 Januari hingga 1 Februari dan 22 Februari hingga 27 Februari.
-Bernama
Read More...
Summary only...
Umno, MCA dan MIC serang Tun Dr Mahathir
KUALA LUMPUR: Semua pihak dalam BN samada Umno, MIC dan hari ini MCA melahirkan rasa tidak senang mereka dengan cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat suruhanjaya diraja mengenai kerakyatan sebelum merdeka.
Hari ini, MCA tidak bersetuju dengan cadangan Mahathir untuk menubuhkan sebuah panel Suruhanjaya Di Raja (RCI) istimewa bagi mengkaji kewarganegaraan sebelum Merdeka, sambil menegaskan ia telah disepakati antara nenek moyang pada ketika itu.
Namun, presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek meragui Dr Mahathir benar-benar serius semasa membuat cadangan tersebut, memandangkan bekas perdana menteri tersebut cuba menyatakan kerajaan hanya memberi kerakyatan kepada mereka yang berhak menerimanya mengikut undang-undang.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata dakwaan bekas perdana menteri itu berhubung isu pemberian kerakyatan kepada warga asing sebelum merdeka tidak perlu diberi tumpuan.
Katanya, tumpuan sebaliknya perlu diberikan ke atas perjalanan siasatan suruhanjaya diraja (RCI) dalam isu pemberian kerakyatan kepada warga asing di Sabah yang kini sedang berlangsung.
Sebelum ini, anak mantan Presiden MIC, S Vell Paari telah mengecam dan menyelar Tun Mahathir akan hasutan yang dihamburkannya tentang kaum India dan Cina bersabitan kerakyatan semasa era kemerdekaan dahulu.
Vell Paari adalah Pengarah Strategik MIC.
Kenyataan Mahathir itu turut mendapat perhatian pakar perlembagaan, Prof Abdul Aziz Bari yang berkata, cadangan Dr Mahathir agar dikaji balik kerakayatan sebelum merdeka itu akan menjejaskan kontrak sosial antara kaum.
Jelasnya, cadangan itu disifatkan demikian kerana ia menganggap pemberian kewarganegaraan kepada orang Cina dan India yang dibuat perdana menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, dilakukan secara tidak sah.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/16255-umno-mca-dan-mic-serang-tun-dr-mahathir?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter
Read More...
Summary only...
Timbalan presiden PKR Azmin Ali mendakwa parti itu menerima maklumat bahawa terdapat cubaan pihak tertentu untuk mengaitkan siasatan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu pendatang tanpa izin Sabah dengan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, PKR sudah menjangka bahawa perkara itu akan ditimbulkan kerana ia didakwa satu jalan mudah bagi Umno dan BN untuk mengatasi isu berkenaan.
"Kita sedang meneliti perkembangan ini, saya dapat maklumat-maklumat akhirnya akan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim... Semua masalah dalam negara akan dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Azmin.
Saksi di RCI tersebut semalam mengaitkan dua bekas orang kanan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk menjadi pengundi di Sabah.
Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.
Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.
Read More...
Summary only...
Timbalan presiden PKR Azmin Ali mendakwa perkembangan terbaru siasatan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing di Sabah membuktikan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seorang "pengkhianat negara".
Azmin memberi alasan, semua agensi dan institusi kerajaan yang didakwa memberi kewarganegaraan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi pada masa itu berada di bawah pentadbiran Mahathir.
"Kita sedang meneliti perkembangan dan keterangan saksi, beberapa kejutan telah berlaku, (beberapa) nama-nama disebut, (dan perkara ini) tidak mengejutkan kita.
"Memang kita fahami ini satu usaha terancang yang diketuai mantan PM dan bagi saya beliau pengkhianat negara kerana bagi kad pengenalan kepada warga asing untuk kekalkan kuasa politik Umno," dakwanya.
Beliau mendakwa demikian dalam satu sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Semalam, dua bekas orang kanan Mahathir dikaitkan oleh saksi yang memberi keterangan kepada suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung dakwaan pemberian kewarganegaraan untuk jadi pengundi di Sabah.
Bekas ketua Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tamparuli, Yakup Damsah memberi keterangan bahawa dia dan beberapa orang lain menginap di rumah Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin, yang merupakan setiausaha politik kepada Dr Mahathir pada masa itu untuk mengeluarkan kad pengenalan biru kepada pendatang asing.
Seorang lagi saksi, bekas pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah, Ramli Kamaruddin mendakwa menerima arahan dari timbalan menteri dalam negeri ketika itu, Tan Sri Megat Junid Megat Ayub untuk mengeluarkan resit kad pengenalan sementara (resit JPN) dengan tarikh luput kepada warga asing, semata-mata untuk tujuan pilihan raya.
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Pihak pembangkang Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengecam Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat isu pendatang tanpa izin di Sabah, dan mengatakan bahawa RCI itu tidak berkuasa dan "terlalu lambat".
Petang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi RCI enam bulan untuk menyiasat dakwaan bahawa orang asing telah diberikan kad pengenalan untuk mengundi.
Lim Kit Siang dari DAP hari ini memberitahu The Malaysian Insider bahawa terdapat "satu lautan keraguan bahawa kerajaan ikhlas dengan RCI untuk menyelesaikan masalah ini yang sudah lama berlanjutan" selama empat dekad
"Apakah bidang yang boleh disiasat oleh RCI?" beliau bertanya. "Apakah bidang yang ia tidak boleh siasat?"
"Bolehkah RCI fokus pada Project M dan panggil Dr M untuk menjadi saksi utama?" beliau bertanya dan mendakwa ia merupakan satu "punca yang diakui (ramai)".
Pihak pembangkang telah mendakwa bahawa kerajaan, terutamanya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, telah memberi kad pengenalan Malaysia kepada orang asing dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi untuk membantu BN kekal berkuasa.
Lim juga bertanya kenapa BN perlu mengambilkan masa enam bulan untuk memuktamadkan terma RCI itu dan berkata ini menunjukkan kekurangan "ilitizam politik yang nyata".
"Ada keraguan kalau RCI itu berupaya menangani (kes pendatang tanpa izin) 1.5 hingga 2 juta kes dalam enam bulan," beliau berkata dalam komen beliau tentang enam bulan yang dibagi untuk penyiasatan itu.
Ketua PKR Johor Datuk Chua Jui Meng juga seperti rakan sekutunya kurang yakin dengan tindakan BN itu.
Beliau berkata RCI itu merupakan tindakn oleh perdana menteri untuk "mengaburkan isu itu dan mengurangkan impaknya ke atas corak mengundi di Sabah."
"Kami tidak mengharapkan banyak dari RCI ini. RCI yang lalu telah dibuktikan tidak berkesan (toothless)," kata bekas menteri Kabinet itu melalui telefon.
"Ia tidak mempunyai terma-terma untuk mencadangkan tindakan untuk diambil terhadap mereka yang terlibat dalam pengeluaran IC biru atau kewarganegaraan."
Beliau berkata ini merupakan "omission yang kejam dan zalim" dan merupakan "ketidakadilan kepada orang Sabah".
Berdasarkan lapan perkara terma RCI yang diumumkan oleh Najib di Sabah petang ini, panel RCI tidak akan menyiasat dakwaan tentang siapa yang memberi kewarganegaraan kepada pendatang tanpa izin atau sebab-sebab pemberian kewarganegaraan itu.
Chua mengkritik pelantikan orang yang "pro-establishment (pro-kerajaan)" untuk menjadi ahli panel RCI itu, tetapi tidak mengutuk pengerusi RCI itu.
Panel yang mempunyai lima ahli itu akan diketuai oleh bekas hakim Sabah and Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong.
Empat ahli suruhjaya itu adalah bekas naib canselor Universiti Malaysia Sabah, Datuk Seri Prof Dr Kamaruzaman Ampon; bekas peguam negeri Sabah, Tan Sri Herman J. Luping; bekas timbalan pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan bekas ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Henry Poy-Wu; dan bekas setiausaha negeri Sabah, Datuk Kee Mustafa.
Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga dari PKR berkata bahawa terma-terma itu “tidak berkata apa-apa tentang membersihkan senarai pengundi dari pendatang tanpa izin”.
"Kalau pilihan raya dipanggil sebelum RCI itu (menghabiskan siasatannya), ia (RCI) itu akan tidak bermakna," kata beliau, merujuk kepada pilihan raya umum ke-13 yang mesti dipanggil pada April tahun depan. - TMI
Read More...
Summary only...
RCI tidak akan membuahkan hasil, kata Dr M
Oleh Mohd Farhan Darwis
KUALA LUMPUR, 10 Ogos — Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, pembentukan Suruhanjaya Inkuiri Diraja (RCI) berkenaan pemberian kerakyatan kepada warga asing di Sabah tidak akan memberikan sebarang perubahan yang akan menyelesaikan masalah berkenaan.
Menurut bekas perdana menteri itu lagi, pembentukan RCI itu juga hanya akan merumitkan keadaan kerana ia akan menjurus kepada perkara lain dan tidak fokus kepada membincangkan permasalahan.
“RCI ini tidak akan hasilkan apa-apa yang boleh selesaikan masalah. Bila ada RCI nanti ia akan bawa kepada perkara lain,” kata bekas perdana menteri yang paling lama berkhidmat di negara ini.
Pembangkang sebelum ini pernah menuduh Dr Mahathir menjadi dalang untuk membawa masuk warga asing berkenaan ke Sabah dan diberikan kerakyatan bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya.
“Saya dituduh kononnya bawa mereka (pendatang asing) ini (masuk ke Sabah) ... kita tak perlu buat begitu, mereka yang akan datang sendiri.
“Dulu mereka boleh datang ulang-alik ke situ. Mereka bukanlah asing sangat dengan Sabah, mereka ini sudah sekian lama berulang-alik ke Filipina dan Sabah, mungkin mereka rasa Sabah lebih selamat, sebab itu mereka tinggal di sana,” kata Dr Mahathir kepada pemberita hari ini ketika sidang media.
Jelas pemimpin yang masih berpengaruh ini lagi, ada antara pendatang asing itu telah menetap lebih 10 tahun di Sabah dan berhak mendapat kerakyatan.
“Ada antara mereka pernah menetap selama lebih 12 tahun, di Sabah. Ikut undang-undang kita, lebih 10 tahun mereka di negara ini, mereka berhak mendapat kerakyatan.
“Kalau kerajaan kita nak beri (kerakyatan), kita boleh beri, tapi kalau tidak tak mengapa, namun mereka memang berhak,” katanya lagi.
Malah, jelas Dr Mahathir, semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau pernah mengarahkan warga asing berkenaan di hantar pulang ke negara mereka, namun ia hanyalah tindakan sia-sia kerana mereka akan kembali semula ke Sabah.
“Dulu kita sudah hantar balik, tapi mereka datang balik ke Sabah. - TMI
Read More...
Summary only...
BAGAN DATOH 14 April - Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan bagi menyiasat dan mengheret beberapa pemimpin pembangkang yang didakwa menghina serta mengejek raja-raja Melayu semasa majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, Rabu lalu.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, suruhanjaya itu perlu bagi melengkapkan siasatan pihak berkuasa, walaupun enakmen sudah ada kerana pihak bertanggungjawab wajar diberi pengajaran secara tegas.
Sambil memberi amaran institusi diraja bakal mengalami penghinaan lebih dahsyat jika pembangkang diberi kuasa untuk memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, perbuatan beberapa pemimpin pembangkang itu tidak boleh dimaafkan.
"Saya sendiri hadir pada majlis pertabalan tersebut dan saya dimaklumkan mengenai kejadian ejekan sebaik sahaja majlis tamat. Ini soal prinsip asas dalam Perlembagaan, raja-raja serta Yang di-Pertuan Agong adalah ketua negara yang wajib dihormati dan bukan untuk dihina dan diejek sesuka hati.
- Utusek
Read More...
Summary only...
Perdana Menteri anda Ha Najib Razak telah membuat keputusan tribunal khas untuk menyiasat peguam negara Ghani Petail dan bekas ketua polis negara Musa Hasan yang dikatakan terlibat memerangkap seorang pegawai tinggi polis sehingga dia dipecat tidak akan ditubuhkan.
Mengumumkan demikian selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi Najib memberi alasan untuk tidak menubuh tribunal itu kerana ia dakwaan yang bukan sah. Maksudnya apa yang dikatakan ke atas Ghani dan Musa itu hanya dakwaan yang kena disahkan.
Mungkin keputusan dan alasan Najib itu tidak pelik baginya; dakwaan kena disahkan dulu. Tetapi bagi orang lain termasuk saya merasa pelik bahkan bengong dengan kata-kata perdana menteri itu. Apakah sesuatu dakwana itu kena disahkan dan siapa yang perlu mengesahkannya. Perdana Menteri kah?
Dakwaan atau tuduhan mestilah sesuatu yang bersifat tidak sahih. Makanya ia perlu disiasat untuk mengetahui akan kesahihan itu. Bengong? Kalau ianya sudah sah tidak perlu kepada penubuhan tribunal dan penyiasatan lagi.
Saya rasa inilah kenyataan seorang perdana menteri yang paling bengong dan hamprak di dunia ini dan tidak masuk akal. Kalau Najib tidak mahu ditubuhkan tribunal itu carilah alasan yang lebih cerdik sikit seperti negara ketiadaan wang atau pun isteri saya tidak membenarkannya.
Tujuan tribul itu ditubuhkan ialah untuk menyiasat dakwaan itu. Bukankah sudah ada beberapa saksi untuk memberi keterangan terhadap dakwaan itu? Tidak cukup lagikah dengan saksi itu? Najib nampaknya telah menjatuhi hukum sebelum dibicarakan.
Najib nampaknya hendak melindungi gajah di sebalik kuman. Dia mungkin bimbang kalau tribunal itu ditubuhkan dan siasatan berjalan lebih banyak lagi angkara buruk akan terdedah. Apakah ada yang membabitkan dengan dirinya juga? Mungkin...
Elok rasanya kuasa menubuh tribunal khas ini harus diletak kuasa penubuhan kepada Yang Dipertuan Agong. Wajar kalau perlembagaan negera untuk memberi kuasa penubuhan tribunal itu kepada Agong agar ia bebas. Kalau terus berada ditangan perdana menteri, membolehkan perdana menteri bebas melindungi sesiapa saja yang dia sukai menerusi kuasa agar tribunal tidak ditubuhkan.
Kalau siasatan dalam tribunal itu nanti tidak terbabit dengan Najib, apa lagi kalau terbabit dengan pihak pembangkang saya kira Najib akan cepat bersetuju. Rakyat memahami keadaan ini dan helah ini. Hamlau... mana transformasi yang dilaung-laungkan? [wm.kl.12:51 t/hari 24/03/12]
http://msomelayu.blogspot.com/
Read More...
Summary only...
Kerajaan pada dasarnya telah bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat projek IC tetapi terma rujukan dan ahli-ahlinya masih belum dimuktamadkan.
Justeru kata, setiausaha agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut (Upko) Wilfred Madius Tangau, pemimpin negeri Sabah tidak bimbang apabila Perdana Menteri Najib Abdul Razak, semasa lawatannya ke Sabah minggu lalu, tidak mengumumkan perkara berkenaan.
Menurut Tangau, jemaah menteri pada mesyuarat 8 Fenrurari telah meluluskan pembentukan suruhanjaya itu dan perkara itu juga telah diminitkan.
"Kabinet membuat keputusan pada 8 Februari dan hari ini hanya 22 Februari. Kami telah berjuang membuat tuntutan itu sekian lama, jadi apa salah tunggu satu atau dua minggu lagi untuk menunggu pengumuman itu?
"Saya difahamkan bahawa kabinet juga elah membincangkan bidang rujukan (suruhanjaya itu)," kata kata Tangau yang juga adalah bekas ahli parlimen Tuaran.
Penduduk Sabah yang meningkat secara mendadak adalah isu yang amat penting, justeru kata beliau, terma suruhanjaya itu tidak boleh diputuskan pada hanya satu mesyuarat sahaja.
http://www.malaysiakini.com/news/190019
Read More...
Summary only...
Tidak ada keperluan untuk memenuhi tuntutan pembangkang supaya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kontroversi Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).
Ini kerana siasatan kerajaan terhadap NFC adalah mencukupi, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
"Mungkin pembangkang mahu melihat program ini gagal, supaya ia boleh mendakwa, ia betul," kata Muhyiddin dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.
Muhyiddin mengulas tuntutan pembangkang supaya RCI ditubuhkan untuk menyiasat syarikat kontroversi tersebut yang dimiliki dan dikendalikan oleh anggota menteri pusat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Syarikat tersebut menjadi sasaran cemuhan awam dan kecaman pembangkang selepas PKR membangkitkan beberapa perbelanjaan yang tidak berkaitan dengan NFC berhubung pembelian kondominium, tanah dan lawatan ke luar negara oleh anggota keluarga Shahrizat.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan berkata kelemahan yang dilaporkan dalam laporan audit 2010 ialah di Pusat Fidlot Kebangsaan dan bukan NFC, yang merupakan syarikat yang bertanggungjawab untuk operasi dan bertanggungjawab terhadap projek yang dibiayai oleh dana awam.
Read More...
Summary only...
PAS mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden berdarah akibat keganasan pihak polis menyurai perhimpunan mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik berkata tindakan ganas polis memukul mahasiswa yang berhimpun di bagi membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada malam sambutan tahun baru 2012 sangat tidak wajar.
Katanya, suatu siasatan perlu dilakukan segera bagi mencari punca permasalahan hingga berlaku perhimpunan seumpama itu.
Menurutnya, jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat insiden tersebut hingga mendatangkan kecederaan parah kepada mahasiswa terbabit.
“Saya minta suatu siasatan dilakukan yang menjurus bagaimana hendak menyelesaikan masalah yang sedia ada dan bukan siasatan hendak cari siapa salah.
“Apa puncanya berlaku permasalah (perhimpunan) itu. Jika perlu ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan.
“Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri mesti bertanggungjawab. Pihak polis mesti bertanggungjawab, Kementerian Pengajian Tinggi mesti bertanggungjawab dan pihak Kementerian Pelajaran sendiri juga mesti bertanggungjawab terhadap insiden ini,” tegasnya dalam sidng media khas di sini pada Ahad 1 Januari.
Beliau memberi reaksi terhadap insiden Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan UPSI, hingga menyebabkan dua cedera parah serta 17 lagi ditahan di Balai Polis Tanjung Malim, Perak.
Menurut Ustaz Abu Bakar, tindakan tersebut telah menimbulkan keresahan yang sangat besar di kalangan rakyat serta mahasiswa di negara ini.
Katanya, pihak keselamatan terbabit bertindak mengikut arahan pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat.
Sepatutnya, kata beliau pihak pasukan keselamatan seperti polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bertindak menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai.
“Mereka (polis) mesti sedar tindakan mereka ini telah menimbulkan keresahan yang besar di kalangan rakyat dan mahasiswa sendiri.
“Mereka (polis) sedar bahawa mereka mengikut peraturan yang diarahkan oleh pimpinan kerajaan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat. Sedangkan, tugas mereka (polis) sepatutnya menjaga kepentingan rakyat dan orang ramai.
“Tidak padan (layak) pihak polis hendak berlawan dengan mahasiswa dan bukan lawan dia (polis) untuk memukul mahasiswa, untuk mencederakan mahasiswa bukan lawan polis,” jelasnya.
Dato’ Abu Bakar berkata pihak polis wajar membuat pertimbangan dengan memberi ruang dan masa kepada pelajar menyuarakan rasa hati mahasiswa.
Katanya, biarlah mahasiswa menyuarakan rasa hati, berunding serta pihak berkenaan mendengar pendapat dari golongan tersebut.
“Polis selayaknya memberi ruang dan masa. Biar mereka (mahasiswa) menyuarakan rasa hati, biar mereka berunding dan dengar pendapat mereka.
“Tetapi dengan cara (polis) menunjukkan kekuatan, kehebatan dan kekerasan tidak mendatangkan kebaikan untuk rakyat dalam negara ini,” ujarnya.
Beliau yang juga mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 70-an menyokong kebebasan bersuara mahasiswa serta menghapusan akta AUKU.
Menurutnya, sejak akta AUKU diperkenalkan dan dikuatkuasakan hingga sekarang pergerakan mahasiswa menjadi agak ‘lumpuh’.
Ini kerana, kata Dato’ Abu Bakar mahasiswa dan pensyarahnya dikongkong oleh Akta AUKU yang begitu menekan golongan tersebut.
“Akta ini diperkenalkan sehinggalah tahun 1974, Akta AUKU dikuatkuasa. Pergerakan Mahasiswa menjadi ‘lumpuh’ dan hingga ke hari ini, kita tidak menyaksikan gerakan mahasiswa bersuara untuk kepentingan negara dan rakyat kecuali terlalu sedikit.
“Ini kerana, mereka (pelajar) dikongkong oleh Akta AUKU. Ini bukan sahaja mahasiswa termasuk di kalangan Pensyarah Universiti di negara ini,” jelasnya.
Beliau mengulangi kekesalan bahawa insiden keganasan polis hingga mendatangkan kecederaan parah kepada pelajar tersebut sebenarnya boleh dielakkan.
Katanya, kumpulan mahasiswa terbabit sekitar 60 orang yang berhimpun secara aman bagi menyatakan sokongan terhadap rakan mereka.
Menurutnya, alasan pihak keselamatan bertindak dengan memukul terlalu kasar dan ganas itu tidak wajar.
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar tetap berpendirian penubuhan Suruhanjaya Diraja adalah langkah terbaik untuk membaik pulih sistem pilihan raya di Malaysia.
Beliau berkata, berbanding Jawatankuasa Khas Parlimen yang dicadangkan kerajaan baru-baru ini, Suruhanjaya Diraja boleh disertai oleh banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).
"Kalau Suruhanjaya Diraja ditubuhkan, ia boleh membabitkan pelbagai pihak, bukan hanya ahli Parlimen sahaja.
"Jawatankuasa Khas terhad kepada ahli parlimen sahaja, NGO seperti Bersih tak boleh sertai, tak boleh bawa pakar-pakar perlembagaan," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.
Kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa pilihanraya umum (PRU) ke 13 boleh diadakan bila-bila masa meskipun jawatankuasa (JK) parlimen khas untuk reformasi pilihanraya sedang bersidang, beliau berkata jawatankuasa khas itu tidak membawa sebarang makna.
"Bila kerajaan nak tubuh jawatankuasa khas ini (mereka) kena hormatlah. Maksudnya kena tunggu jawatankuasa ini selesaikan perbincangan mereka kemudian mengemukakan cadangan kepada kerajaan dan kerajaan perlu mematuhi cadangan yang dibuat jawatankuasa ini sebagai menghormati Parlimen," katanya yang juga ahli Parlimen Pokok Sena.
Namun katanya, kerajaan seolah-olah hanya mahu 'menurunkan suhu politik' yang panas dengan tuntutan rakyat melalui cadangan penubuhan jawatankuasa khas itu.
"Bila Najib kata kerajaan tidak terikat dan boleh bubar Parlimen bila-bila masa bermakna jawatankuasa itu hanya ditubuhkan untuk menurunkan suhu politik yang menunjukkan kemarahan rakyat terhadap isu yang berkaitan pilihan raya ini.
"Tapi bila tubuh, Parlimen bubar, hilanglah fugsi jawatankuasa itu untuk kemukakan cadangan untuk kebaikan pilihan raya," katanya.
Nazri hina Parlimen
Sementara itu, beliau turut mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz menghina Parlimen apabila mengeluarkan kenyataan mendahului Parlimen mengenai jumlah ahli Parlimen yang akan menganggotai jawatankuasa khas tersebut.
"Tak wajar menteri yang menjga hal ehwal Parlimen membuat kenyataan mendahului Parlimen dengan buat kenyataan jumlah anggota jawatankuasa berapa daripada BN dan Pakatan Rakyat.
"Dia yang tentukan siapa yang akan menjadi pengerusi.Menteri sendiri menghina dan tidak menghormati Parlimen," katanya.
Tambahnya adalah sesuatu yang lucu apabila pihak yang dipertikaikan ketelusannya yang akan menjadi pengerusi jawatankuasa khas yang akan dibawa ke Parlimen Oktober ini.
"Sedangkan yang dipertikaikan dalam sistem pilihan raya ialah kerajaan tapi tiba-tiba kerajaan jadi pengerusi," katanya.
Justeru Pakatan Rakyat akan bermesyuarat Rabu ini bagi memutuskan sama ada akan menyertai jawatankuasa tersebut atau sebaliknya.
Read More...
Summary only...
Nazri: ‘Kematian Teoh tidak berlaku jika siasatan ikut standard’
KUALA LUMPUR, 24 Julai — Putrajaya memperakui bekas setiausaha politik DAP Teoh Beng Hock tidakmati dua tahun lalu jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mematuhi prosedur-prosedur siasatan yang sewajarnya dengan betul.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) menegaskan, beliau tetap bersetuju dengan cadangan suruhanjaya diraja kerana apa yang telah berlaku adalah satu kematian.
Pada sidang media Khamis lalu juga, Nazri berkata kerajaan memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang melanggar prosedur SPRM berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.
Katanya, hasil siasatan suruhanjaya itu juga mendapati bahawa tiga pegawai penyiasat yang terbabit dalam kes ini telah menggunakan taktik soal siasat yang berterusan, agresif dan keterlaluan ke atas Teoh yang didapati melanggar prosedur sedia ada.
Dalam satu temu bual hari ini, tegas Nazri, kematian melibatkan Teoh tidak berlaku kalau sisatan dijalankan mengikut standard siasatan yang telah ditetapkan dan menepati piawaian yang memuaskan.
“Apabila berlaku keadaan macam ini kita kena teima hakikat bahwa ada perkara-perkara yang tidak patut dilakukan,” kata Nazri sambil menambah, “saya ingin mencadangkan supaya SPRM yang bekerja rapat dengan badan pencegahan rasuah di Hong Kong supaya mengikut cara mereka bekerja.”
“Dulu mereka belajar daripada kita, sekarang mereka berada di kedudukan nombor satu,” katanya lagi.
Nazri menambah, prosedur operasi standard (SOP) di Hong Kong mempunyai piawaian yang sangat tinggi dan SPRM seharusnya berunding dengan badan pencegahan rasuah berkenaan.
“Ikut dan contohilah mereka,” kata beliau lagi dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia edisi hari ini.
“Di Hong Kong tuntutan kepada demokrasi sangat kuat, mereka tidak akan bertolak ansur dengan badan pencegahan rasuah di sana kalau SOP yang diamalkan adalah tidak baik,” kata menteri yang bertanggungjawab atas hal ehwal perundangan dan Parlimen ini.
Nazri juga berkata, kerajaan perlu mengakui bahawa sudah tentu ada kelemahan dalam sistem semasa.
“Jangan nafi. Saya bukan tidak hendak mempertahankan pegawai-pegawai ini tetapi saya percaya dan tahu ada perkara yang berlaku.
“Berdasarkan laporan yang kita baca jelas menunjukkan bagaimana siasatan dijalankan secara berterusan,” katanya yang turut mahu SPRM membetulkan diri.
“Dunia dahulu mungkin berbeza, orang tak banyak buat aduan, aliran maklumat juga sangat perjalan, tetapi sekarang apa saja berlaku sekelip mata, semua orang tahu. Mereka mesti berubah,” katanya lagi.
Suruhanjaya siasatan terdiri daripada lima anggota diketuai oleh seorang hakim telah menjalankan prosiding siasatan selama 50 hari dan memanggil 70 saksi.
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR, 6 Julai — Sekretariat Bersih 2.0 akan meminta Datuk Seri Najib Razak agar mengadakan satu suruhanjaya diraja meneliti amalan-amalan pilihan raya negara ini dan membebaskan kesemua penyokongnya yang sedang ditahan, kata pengerusinya Datuk Ambiga Sreenevasan hari ini.
Ambiga juga berkata, Bersih 2.0 kecewa kerana pihak polis meneruskan tindakan mereka menahan dan mendakwa meskipun Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah bertitah menasihatkan agar segala isu yang ada diselesaikan menerusi saluran perundingan.
“Adalah lebih baik jika mereka hentikan (tindakan menahan) dan keutamaan yang sangat penting (sekarang) ialah membebaskan kesemua yang ditahan,” kata Ambiga pada sidang media di sini pagi ini.
Bekas presiden Majlis Peguam itu berkata Yang di-Pertuan Agong telah perkenan mendengar isu-isu yang dibawa ketika pertemuan di Istana Negara semalam.
“Atas semangat penyatuan, kami menerima tawaran sebuah stadium (sebagai lokasi perhimpunan) atas semangat yang baik,” kata Ambiga lagi.
Dipetik dari Malaysia Insider
Read More...
Summary only...
GUA MUSANG, 10 Jun — Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) — yang membekalkan kuasa kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan mengaut keuntungan berpuluh kali ganda.
Sejak kebelakangan ini banyak pihak juga meminta kerajaan agar mendedahkan perjanjian IPP, yang didakwa berat sebelah, kepada umum.
Pemimpin veteran ini berkata kandungan perjanjian IPP menyebabkan TNB menanggung kos perbelanjaan yang tinggi, sekali gus membebankan kehidupan rakyat.
Mulai 1 Jun lalu, tarik elektrik dinaikkan purata 7.1 peratus.
“Suruhanjaya berkenaan penting bagi memberi keadilan kepada rakyat walaupun kenaikkan tarif eletrik itu hanya membabitkan 4.4 juta pengguna domestik di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Limau Kasturi dekat sini hari ini.
Menurut laporan Bernama Online, Tengku Razaleigh (gambar), bekas menteri kewangan berkata, beliau mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap bebanan hidup rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah termasuk masyarakat kampung di seluruh negara kerana turut menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.
“Suruhanjaya itu hendaklah menyiasat dan membuat kajian langkah yang perlu diambil kerajaan terhadap bebanan hidup rakyat hasil daripada kenaikan tarif elektrik ekoran syarikat pembekal kuasa elekrik menjual dengan harga terlalu tinggi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Gua Musang berkata walaupun tidak semua pengguna menanggung beban kenaikan tarif elekrik itu, namun penduduk juga akan turut merasai bebanan terutama kenaikan harga barang.
Kata Tengku Razaleigh, peniaga-peniaga besar yang terbabit dengan kenaikan tarif baru elekrik sudah tentu akan menaikkan harga barangan pengeluaran mereka disebabkan kos yang meningkat termasuk juga pengangkutan.
“Kita harus berlaku adil dalam menyelesaikan masalah itu kerana saya melihat sekarang ini syarikat pembekal kuasa tenaga elektrik kepada TNB memonopoli keuntungan berpuluh kali ganda disamping mendapat subsidi pula daripada Petronas,” katanya.
Bagaimanapun beliau turut menasihatkan rakyat supaya jangan menuduh kerajaan yang sengaja menaikkan harga barang keperluan di pasaran termasuk gula, minyak masak dan bahan bakar kerana semuanya bergantung kepada harga naik turun di pasaran dunia.
“Kita tidak mempunyai banyak bahan mentah untuk minyak masak dan gula, begitu juga bahan bakar yang terpaksa diimport dari negara luar hingga berlaku kenaikan yang perlu ditanggung bersama,” katanya.
Read More...
Summary only...
Adalah tidak mungkin bagi Teoh Beng Hock mencangkung di belebas tingkap dan melompat keluar, kata laporan seorang pakar pada keterangannya kepada Suruhajaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh.
Dalam laporannya, Sallehuddin Muhamad, seorang professor madya dalam jurusan kejuruteraan melanikal dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata kesimpulan itu adalah berdasarkan beberapa rumusannya yang melakonkan semula cara-cara kemungkinan Teoh jatuh.
Katanya, terdapat sembilan kemungkinan.
"Mencangkung di belebas tingkap dan melompat keluar tidak mungkin kerana saiz tingkap yang terbuka itu. Kepala mangsa akan terhantuk panel tingkap jika beliau melompat dari kedudukan itu,” kata Sallehuddin dalam laporannya.
Sallehuddin, yang mengkhusus dalam siasatan kemalangan kapalterbang dibawa oleh penyisat persendirian yang dilantik RCI, iaitu Michael Leslie Squires selepas suruhanjaya berkenaan mengarahkan lakonan semula kemungkinan kejatuhan itu melalui animasi komputer pada Februari lalu.
Katanya, suruhanjaya tersebut melawat lokasi kejadian pada Mac lalu dengan diiringi oleh beberapa anggota Jabatan Kimia dan pegawai polis.
Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
Suruhanjaya itu dianggotai Hakim Mahkamah Tingi, Tan Sri James Foong, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 26 Jan lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.
Read More...
Summary only...
Barisan Nasional (BN) akan mengesyorkan agar satu suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat pendedahan rakaman video seks - oleh tiga “Datuk T” dua minggu lalu — mendakwa aksi seks Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun Ketua Pembangkang itu menafikan perkara tersebut.
Minggu lalu, polis mengesahkan rakaman video seks itu adalah tulen dan bukan sesuatu yang direka.
Rakaman itu didedahkan oleh “Datuk T” pada 21 Mac lalu di hotel Carcosa Seri Negara di sini, mengejutkan banyak pihak ketika negara berhadapan dengan pilihan raya negeri Sarawak bulan ini dan kemungkinan pilihan raya umum tergempar tahun ini.
“BN akan mengesyorkan satu usul supaya diadakan suruhanjaya diraja bagi mendedahkan segala-galanya,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insider.
Difahamkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Parlimen, akan membawa usul berkenaan secepat mungkin sebelum sesi Parlimen semasa berakhir Khamis ini.
Beliau juga sedang berusaha mengumpulkan beberapa ahli Parlimen BN untuk menyokong usul tersebut.
Bagaimanapun Anwar tidak boleh bercakap mengenai usul itu memandangkan beliau masih menjalani hukuman digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan berhubung isu APCO Worldwide dan gagasan 1 Malaysia, yang dijatuhkan akhir tahun lalu.
Jika usaha itu menjadi kenyataan ini kali pertama satu suruhanjaya diraja disyorkan untuk menyiasat rakaman aksi seks melibatkan ahli poliitik.
Read More...
Summary only...