KUALA LUMPUR, 20 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendesak kerajaan mendedahkan syarat perjanjian dengan penjana tenaga bebas (IPP) kepada rakyat yang didakwa merugikan negara.
Sambil mempersoal kenapa kerajaan begitu takut mendedahkannya, beliau juga mendesak kerajaan mendedahkan kenapa perjanjian itu turut dibantah pihak Petronas, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Kementerian Kewangan.
"Dedahkan kepada rakyat, kenapa Petronas bantah, TNB bantah dan apa pendapat Kementerian Kewangan ketika itu.
"Siapa di sebalik IPP, siapa nominee tertentu di Hongkong, anak siapa", soalnya pada sidang media di lobi parlimen hari ini.
Menurut Anwar, perjanjian dengan IPP diluluskan semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad atas nasihat Unit Perancang Ekonomi EPU.
Perjanjian itu dibantah Bekas Ketua Eksekutif TNB, Tan Sri Ani Arope, Bekas Ketua Eksekutif Petronas dan Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Terdahulu Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh membahaskan peruntukan tambahan RM13.2 bilion di Dewan Rakyat.
Beliau berkata amat tidak munasabah perbelanjaan tambahan sebanyak itu dalam keadaan belanjawan asal RM162.8 bilion baru sahaja diguna dalam masa tiga bulan.
"Yang dimusykilkan adalah peningkatan 5 peratus emolumen. Apakah muslihat meninggalkan peruntukan emolumen yang wajib dimasukkan," katanya.
Isu IPP itu pula disentuh ketika beliau mengemukakan laporan pembayaran subsidi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri untuk petrol, desel dan Gas petroleum cecair LPG bernilai RM7.4 bilion.
Namun yang dipertikaikan subsidi gas untuk syarikat swasta IPP adalah lebih tinggi iaitu RM20 bilion untuk 2010 dan RM22 bilion untuk 2011.
"Kita berbalah soal istilah, RM22 bilion kepada IPP dikata isentif, RM20 juta kepada rakyat dikata subsidi. RM200 juta kepada kementerian dikatakan komisyen, RM20 kepada sarjan dikatakan korupsi.
"Sekiranya subsidi untuk IPP ini dikurangkan atau dihapuskan, sudah tentu belanjawan tambahan RM13 bilion ini tidak diperlukan sama sekali.
1MDB, kenyataan PM bercanggah
Anwar turut mendakwa kenyataan Datuk Seri Najib berhubung keuntungan 1Malaysia development Berhad (1MDB) bercanggah dengan penyata kewangan syarikat itu.
Najib sebelum ini mengumumkan 1MDB untung RM425 juta pada tahun pertama berakhir 31 Mac 2010.
Namun penyata kewangan enam bulan pertama 1MDB menunjukkan syarikat itu rugi RM20.5 juta.
1MDB didakwa membuat pelaburan melibatkan usahasama dengan PetroSaudi International Limited dikenali 1MDB PetroSaudi Limited berjumlah RM3.5 bilion yang dibayar secara tunai.
Pelaburan itu kemudiannya dijual kepada penjual asal, PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 bilion dengan keuntungan diperoleh sebanyak RM615 juta.
Bagaimanapun bayaran RM4.1 bilion itu dibuat kepada 1MDB secara ansuran selama 11 tahun.
"Persoalannya, apa jaminan 1MDB akan memperolehi semula wang tunai RM3.5 bilion dan keuntungan RM615 juta", soalnya.
Turut dikhuatiri, 1MDB PetroSaudi Limited dan PetroSaudi International Limited bukan syarikat operasi minyak sebenar.
Ia didakwa diperbadankan di Cayman Island dan British virgin Island dimana maklumat kewangan dan transaksi syarikat dirahsiakan dari umum.
"Ia merupakan saluran menggelap wang pinjaman melalui pengeluaran bon 1MDB", katanya.
20 June 2011
Dedah 'anak siapa' di sebalik IPP
12 June 2011
Pemuda Umno Mahu Perjanjian IPP Didedahkan
Kedua-dua parti - Umno dan Pakatan Rakyat, iaitu PAS dan PKR - bersetuju supaya Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) didedahkan kepada umum demi kepentingan negara.
Ahli panel forum subsidi dari ketiga-tiga parti terbabit berkata paling
tidak pun, PPA itu didedahkan kepada sebuah panel pakar atau ahli parlimen.
Forum anjuran Dewan Pemuda PAS, diadakan di Kuala Lumpur pagi ini dan disertai oleh exco Pemuda Umno, Ahmad Zaki Zahid (kanan); pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli and ahli jawatankuasa Pemuda PAS, Mohd Zuhdi Marzuki.
Ahmad Zaki bersetuju PPA dikaji semula dan didedahkan sekiranya itulah kehendak rakyat.
Sekurang-kurangnya, bentuk sebuah panel pakar atau ahli parlimen untuk mengkaji PPA, katanya, sambil menambah isu berhubung pengeluar tenaga bebas (IPP), telah menjadi satu isu 'emosional'.
Ahmad Zaki turut menyokong gesaan ahli parlimen Gua Musang MP dan bekas menteri kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah semalam supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk mengkaji PPA.
Sementara itu, Mohd Zuhdi (kanan) pula berkata, semua dokumen syarikat kaitan kerajaan yang membabitkan kepentingan awam, mestilah diumumkan dan telus.
Gesaan supaya PPAs didedahkan kepada umum semakin mendapat sokongan banyak pihak.
Manakala Rafizi (kanan), seorang tokoh korporat yang pernah
bersama Petronas dan Pharmaniaga, menjadi tumpuan apabila beliau mendedahkan angka-angka sensasi dan kemahirannya berpidato.
Beliau mendakwa, YTL Corporation, dengan hanya memiliki sebuah IPP, memberi dividen berjumlah RM1.9 bilion pada 2009 sedangkan TNB hanya memberi RM900 juta dividen.
10 June 2011
Ku Li mahu Putrajaya tubuh suruhanjaya siasat konsesi IPP
GUA MUSANG, 10 Jun — Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat konsesi syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) — yang membekalkan kuasa kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan mengaut keuntungan berpuluh kali ganda.
Sejak kebelakangan ini banyak pihak juga meminta kerajaan agar mendedahkan perjanjian IPP, yang didakwa berat sebelah, kepada umum.
Pemimpin veteran ini berkata kandungan perjanjian IPP menyebabkan TNB menanggung kos perbelanjaan yang tinggi, sekali gus membebankan kehidupan rakyat.
Mulai 1 Jun lalu, tarik elektrik dinaikkan purata 7.1 peratus.
“Suruhanjaya berkenaan penting bagi memberi keadilan kepada rakyat walaupun kenaikkan tarif eletrik itu hanya membabitkan 4.4 juta pengguna domestik di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Limau Kasturi dekat sini hari ini.
Menurut laporan Bernama Online, Tengku Razaleigh (gambar), bekas menteri kewangan berkata, beliau mahu kerajaan memberi perhatian serius terhadap bebanan hidup rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah termasuk masyarakat kampung di seluruh negara kerana turut menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi sejak kebelakangan ini.
“Suruhanjaya itu hendaklah menyiasat dan membuat kajian langkah yang perlu diambil kerajaan terhadap bebanan hidup rakyat hasil daripada kenaikan tarif elektrik ekoran syarikat pembekal kuasa elekrik menjual dengan harga terlalu tinggi,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Umno Gua Musang berkata walaupun tidak semua pengguna menanggung beban kenaikan tarif elekrik itu, namun penduduk juga akan turut merasai bebanan terutama kenaikan harga barang.
Kata Tengku Razaleigh, peniaga-peniaga besar yang terbabit dengan kenaikan tarif baru elekrik sudah tentu akan menaikkan harga barangan pengeluaran mereka disebabkan kos yang meningkat termasuk juga pengangkutan.
“Kita harus berlaku adil dalam menyelesaikan masalah itu kerana saya melihat sekarang ini syarikat pembekal kuasa tenaga elektrik kepada TNB memonopoli keuntungan berpuluh kali ganda disamping mendapat subsidi pula daripada Petronas,” katanya.
Bagaimanapun beliau turut menasihatkan rakyat supaya jangan menuduh kerajaan yang sengaja menaikkan harga barang keperluan di pasaran termasuk gula, minyak masak dan bahan bakar kerana semuanya bergantung kepada harga naik turun di pasaran dunia.
“Kita tidak mempunyai banyak bahan mentah untuk minyak masak dan gula, begitu juga bahan bakar yang terpaksa diimport dari negara luar hingga berlaku kenaikan yang perlu ditanggung bersama,” katanya.
07 June 2011
Perjanjian IPP - Bapak Saya Kata Tak Boleh Dedah...
Dokumen rahsia perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang dimeterai antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengeluar tenaga bebas (IPP) boleh didedahkan kepada ahli Dewan Rakyat, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Namun menurut beliau butiran perjanjian itu tidak boleh didedahkan kepada orang ramai kerana ia adalah perkara sulit.
"Di parlimen, apabila seseorang MP bertanyakan sesuatu, kita mesti sentiasa telus,” kata Mukhriz kepada wartawan semasa sebuah majlis di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau ditanya sama ada kerajaan bercadang mendedahkan perjanjian itu berikutan luahan rasa tidak puas hati rakyat dan pelbagai pihak kerana perjanjian PPA itu yang dikatakan berat sebelah.
Mukhriz berkata ahli parlimen adalah perwakilan rakyat dan parlimen adalah tempat yang bersesuaian bagi perkara yang membabitkan kepentingan awam seperti perjanjian PPA dibincangkan.
Baru rakyat tahu kenapa Ani Arope tinggalkan TNB
15 tahun yang lalu, Tan Sri Ani Arope mengejutkan seluruh negara dengan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), akhirnya rakyat hari ini tahu bahawa peletakan jawatannya dilakukan demi menjaga kepentingan mereka, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Ramai yang menganggap (pengunduran Ani) sebagai satu tindakan biasa seorang staf yang meletakkan jawatan, mungkin faktor umur atau prestasi kerja. Hari ini, kita tahu ianya adalah kerana sikap tegasnya dalam membantah perjanjian yang sangat tidak adil antara TNB dan IPP (pengeluar bebas kuasa elektrik),” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Ani sebelum ini di laman Facebooknya menyelar tindakan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik baru-baru ini sebanyak 7 peratus 1 Jun yang lalu dengan mendakwa ia berpunca daripada perjanjian yang tidak adil dengan IPP dan TNB.
“Anda tidak perlu pergi ke sekolah bisnes yang canggih untuk memahami mengapa kita memerlukan peningkatan tarif – Cuma perlu tengok balik syarat-syarat yang diberikan kepada IPP.
Dengan fasal ambil-dan bayar, dan dengan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, satu pihak hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan pihak lain dan dibayar 80 sen dengan kapasiti dipersetujui.
“Bagus EPU — Unit Penyamun Ekonomi,” tulis beliau di laman Facebooknya minggu lalu.
Ani mencetuskan kontroversi 15 tahun yang lalu apabila beliau lebih rela melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.
Ani turut berkata TNB tidak boleh dipersalahkan atas hal ini kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga yang perlu dibayar kepada IPP.
“TNB ialah budak belasahan. TNB tidak mempunyai kawalan harga yang ia perlu bayar kepada IPP. Pergi kepada punca masalahnya,” katanya.
Kata Tuan Ibrahim, yang juga merupakan bekas Naib Presiden PAS, apa yang dibimbangi Ani kini menjadi kenyataan apabila kerajaan Barisan Nasional berdolak-dalih untuk menyemak semula perjanjian dengan IPP yang sangat tidak adil walaupun didesak pelbagai pihak.
“Kerajaan tidak sanggup bertegas memotong subsidi sebanyak RM19 billion utk IPP berbanding tindakan mereka memotong subsidi ke atas keperluan rakyat.
"Hari ini rakyat merasa bangga di atas ketegasan Tan Sri Ani Arop menentang dasar yang tidak adil ini. Syabas dan tahniah di atas pengorbanan beliau dalam menentang kemungkaran ekonomi yang dibuat tangan Umno Barisan Nasional ini,” tambah Tuan Ibrahim.
Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus bermula Jun 1 itu adalah sebagai langkah mengurangkan subsidi yang dikatakan semakin menghauskan perbendaharaan negara ekoran keputusan kabinet untuk menaikkan harga gas asli kepada RM3 mmBtu setiap enam bulan, dari RM10.70 juta unit termal British (mmBTU) kepada RM13.70 mmBTU sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016.
05 June 2011
Isu TNB dengan IPP, Dr Mahathir wajar menjawabnya kepada rakyat
Salah satu yang terang dinyatakan oleh agama kita ialah ‘kemiskinan membawa kekufuran’. Itu sebabnya Islam sentiasa menggalakan supaya umatnya berusaha dengan tekun untuk mengelak dari menjadi miskin kerana kemiskinan boleh membawa sesuatu kaum, masyarakat dan juga negara menuju kearah kekufuran itu.
Itulah sebabnya di dalam islam dan juga di dalam agama-agama lain, membentuk pihak yang kurang bernasib baik merupakan satu amalan fardhu kifayah yang amat dirahmati Tuhan. Islam menganjurkan kita membayar zakat dan itu merupakan salah satu dari rukun agama kita itu. Zakat itu disempurnakan untuk membela umat yang miskin dan tidak bernasib baik, malahan itu merupakan tanggungjawab semua samada kerajaan atau individu-individu untuk membantu dan membawa mereka keluar dari cengkaman kemiskinan itu.
Di peringkat negeri dan negara kerajaan diwajibkan untuk mentadbir secara Islam yang mengambil elemen sedekah dan pembayaran zakat itu dengan serius. Adalah sangat berdosa bagi kita untuk membebankan rakyat dengan sengaja walaupun ada jalan untuk mengelakan dari kita membebani mereka. Setiap agama menggalakan kerajaan membela rakyat yang ramai ramai susah ini dan nilai ini bukan sahaja dianuti oleh kerajaan tetapi dipraktikkan di dalam kehidupan seharian dan dijadikan addin oleh individu-individu yang telah berjaya di dalam kehidupan mereka.
Salah seorang yang terkaya di dalam dunia ini, Bill Gates misalnya, diketahui umum yang beliau hanya mengambil 20 peratus dari kekayaannya untuk diri dan keluarga beliau. Selebihnya diberikannya kepada kerja-kerja sosial bagi kepentingan manusia sejagat. Ramai lagi di antara individu-individu kaya-raya di dunia ini membelanjakan kekayaan mereka untuk kepentingan rakyat. Amalan ini merupakan satu amalan yang mempunyai nilai kesyukuran terhadap apa yang telah dianugerahkan Tuhan terhadap mereka.
Tetapi tidak semua kerajaan atau individu yang berbuat perkara mulia seperti ini, malahan mereka melakukan kerja yang nilainya terbalik dari mereka yang disebutkan tadi. Selalunya nilai terbalik ini berluasa di dalam kerajaan-kerajaan dan rakyat di negara-negara membangun dan di dunia ketiga. Sifat tamak dan haloba serta mementingkan diri sendiri di atas kepentingan rakyat yang miskin itu menjadi lumrah. Ianya berlaku sehingga tahap memperdayakan rakyat ramai semata-mata untuk kepentingan segelintiran individu yang menghampiri orang yang berkuasa sahaja.
Kita baru sahaja berhadapan dengan isu kenaikan tariff letrik kerana kerajaan mahu mengurangkan pertambahan peruntukan subsidi. Rakyat bukan membantah kenaikan itu dengan sewenang-wenangnya Rakyat pun berfikir untuk kebaikan kerajaan juga dan itu pun yang selalu dilakukan oleh rakyat selama ini. Tetapi yang rakyat naik marah ialah sikap pemimpin yang bertanggungjawab di atas ketinggian tariff itu dari dahulu lagi.
Di dalam isu kenaikan tariff bekalan letrik ini, ianya di lakukan dengan sengaja oleh kerajaan untuk kepentingan beberapa rakan dan sahabat korporat pemimpin yang berkuasa. Yang tidak disenangi rakyat ialah mereka telah merasa tertipu dengan apa yang berlaku di dalam isi PPA (Power Purchase Agreement) di antara TNB dan syarikat IPP pada tahun 2006 yang lalu sehingga menyebabkan Pengerusi TNB sendiri begitu kecewa dan marah dengan tindakan kerajaan memaksa TNB membeli bekalan tenaga dari IPP dengan harga yang tinggi dari yang sepatutnya. Tan Sri Ani Arope telah meletakan jawatan dan sehingga hari ini beliau merasakan ketidak adilan yang dilakukan oleh EPU di Jabatan Perdana Menteri ketika itu.
Jika TNB mempunyai bekalan tenaga dengan harga .12 sen kenapa EPU memaksa TNB untuk membeli bekalan tenaga itu dengan harga .23 sen dari syarikat kroni pemimpin besar kita itu. Kenapa EPU sanggup memaksa TNB membeli dengan harga yang begitu tinggi dengan jumlah yang di tentukan oleh EPU samada bekalan itu diguna atau pun tidak. Bukankah ini satu tindakan yang sangat hina dan memalukan negara?
Bukankah tindakan itu sama seperti syarikat IPP itu merompak segala dana yang ada di dalam TNB itu? Ramai difahamkan yang kebanyakan infrastuktur pembekalan itu telah disiapkan oleh TNB dari awal lagi. Kenapa begitu zalim dan di manakah letaknya maruah pimpinan yang bersama melakukan kerja yang sangat hina ini.
Bukankah tugas TNB untuk mendapatkan bekalan yang semurah mungkin supaya rakyat tidak dibebankan dengan harga tariff yang tinggi hasil dari kos pembelian yang terlalu mahal dari syarikat kesayangan pucuk pimpinan itu? Apabila isu ini sudah menjadi pengetahuan umum, saya mencadangkan supaya perjanjian di antara TNB dan syarikat IPP terbabit di ‘declassify’kan untuk tatapan rakyat. Ini merupakan satu isu yang sangat serius dan ini bukannya isu kecil-kecilan. Ini adalah rompakan yang lebih merbahaya dari rompakan bersenjata.
Menteri yang bertanggungjawab terhadap tenaga ini telah menyatakan yang perjanjian itu tidak boleh di paparkan kepada pengetahuan umum kerana perjanjian ini adalah ‘private agreement’ di antara TNB dan syarikat IPP itu. Saya ingin bertanya kepada Peter Chin, kalau kerajaan tidak boleh melakukannya siapa yang boleh? Bukankah TNB itu kepunyaan rakyat dan kerajaan yang di berikan mandat oleh rakyat?
Bagi saya ini merupakan jawapan yang tidak bertanggungjawab dan ianya menampakan dengan jelas yang perjanjian itu mempunyai elemen ‘hanky-panky’ yang tidak mungkin diampunkan rakyat jika mereka mengetahui perkara yang sebenarnya. Dr Mahathir wajar menghadap rakyat untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan orang ramai kerana beliau merupan PM semasa itu dan jabatan EPU yang memaksa TNB menerima kandungan perjanjian itu terletak di bawah dagu beliau.
Alang-alang sudah menyebut isu ini, kita wajar bertanya pula bagaimana dengan perjanjian konsessi-konsessi lebuhraya yang juga merupakan bebanan terhadap rakyat? Hanya kerajaan sahaja yang boleh untuk melakukan ‘declassification’ ini. Untuk mengelakan kerajaan ini diragui dengan lebih teruk lagi saya mencadangkan supaya pemimpin yang bertanggungjawab itu menjawabnya secara terbuka kepada khalayak ramai.
Dr Mahathir mesti menjawab kenapa pilih untuk membeli tenaga dengan harga .23 sen/pKh sedangkan ada pihak yang berkemampuan untuk menjualnya kepada TNB dengan harga .12 sen/pKh. Dr Mahathir juga perlu menjawab kenapa TNB dimestikan membeli tenaga itu dengan jumlah yang di tentukan samada tenaga itu diperlukan atau pun tidak?
Semuanya ini melibatkan untung nasib dan masa depan rakyat. Setelah diberikan mandat untuk berkuasa sebegitu lama, kenapa pimpinan tidak mensyukuri mandat yang telah diberikan rakyat selama ini?
Kita jangan miskinkan rakyat dengan berbagai-bagai bebanan kerana kemiskinan itu akan membawa kekufuran. Itu bukan sesiapa yang berkata,: itu adalah apa yang nyata dan jelas di sebut oleh agama suci kita.
Aspan Alias
01 June 2011
BN kawal IPP atau IPP kawal kerajaan
KUALA LUMPUR, 1 Jun: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan Kerajaan BN membubarkan sahaja Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air jika benar dakwaan menterinya, Datuk Peter Chin bahawa kementerian itu tidak ada kuasa bagi mendesak Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) didedahkan kepada umum.
Sehubungan itu, ketua penerangannya, Herman Samsudeen mempersoalkan adakah kerajaan BN yang memimpin IPP atau IPP memimpin Kerajaan BN sekarang ini.
“Bila rakyat mahu tahu pasal kontrak perjanjian, menteri kata tiada kuasa. Tapi bila mahu umum kenaikan tarif elektrik, menteri ada kuasa,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, rakyat kini melihat pemimpin yang ada sebagai boneka kepada IPP dan bukannya berkhidmat untuk rakyat lagi.
Justeru, ujarnya, slogan kerajaan sekarang patut ditukar kepada "IPP didahulukan, kroni diutamakan".
Beliau berkata, dasar Fuel Cost Pass Through (FCPT) yang dicipta oleh Kerajaan BN pula adalah tindakan culas yang jelas mahu membebankan rakyat kerana kos gas asli yang akan dinaikkan daripada RM3 setiap mmBtu bagi setiap 6 bulan melalui arahan kepada Petronas bakal menyebabkan kenaikan tarif elektrik berganda di masa depan.
“Dan segala kos bahan api itu akan dibayar sendiri oleh rakyat bila mana Kerajaan BN kini nekad membuat pemansuhan subsidi kepada perkhidmatan tenaga elektrik dan gas,” ujarnya lagi.
DPPWP juga, katanya melihat jaminan Kerajaan BN bahawa harga barang-barang dan perkhidmatan dipasaran tidak akan naik dengan kenaikan harga minyak, gula dan tarif elektrik ini sebagai satu lawak jenaka sahaja.
Menurutnya, orang yang faham tentang ekonomi tidak akan bercakap demikian.
Baginya, adalah mustahil harga barang-barang dan perkhidmatan di pasaran tidak naik bila bahan mentah mereka tidak naik.
“Jika kerajaan gagal mengawal tindak tanduk kapitalis dalam IPP dan TNB maka semakin sukarlah matlamat mengurangkan jurang pendapatan rakyat dilaksanakan. Yang kaya akan terus kaya dan yang miskin akan terus melarat,” katanya.
Tambahnya, DPPWP juga berasa hairan, kenapa kerajaan beria-ria sangat mahu menghapuskan subsidi dan cuba perkenalkan GST.
“Di manakah peranan GLC Kerajaan yang ditubuhkan untuk melabur dan memberikan pulangan kepada negara?
“Ke mana duit hasil-hasil bumi dan industri yang dijana selama ini pergi sampai kerajaan terpaksa mengambil langkah ortodoks dengan menumpukan kepada pengambilan hasil-hasil negara dari kantung-kantung rakyat melalui pemansuhan subsidi serta pelbagai kenaikan harga dan cukai?” soalnya.
Sehubungan itu, DPPWP mengajak rakyat turun ke jalan raya pada pada 9 Julai ini untuk mendesak Kerajaan BN menghentikan kegilaan mereka mencipta mala petaka ekonomi kepada rakyat.
Katanya, 9 Julai ini juga adalah Hari Demokrasi untuk rakyat.
Tambahnya, ia adalah hari untuk rakyat menuntut keadilan dalam memastikan sistem demokrasi dan pengurusan pentadbiran negara berjalan dengan cekap.
“Inilah masa dan peluang terbaik bagi rakyat menunjukan kuasa mereka sebagai mana kebangkitan rakyat di Thailand dan Timur Tengah yang bangkit menolak kezaliman ke atas diri dan negara mereka. - hrkh
29 May 2011
IPP projek khas untuk kroni Dr Mahathir
Mungkin ramai masih ingat kejadian gangguan bekalan elektrik berlaku di seluruh negara pada 1996. Ada dakwaan ia sengaja dilakukan bagi mengizinkan kelahiran syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP).
Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) ketika itu, Tan Sri Ani Arope menjadi mangsa apabila dihentam secara terbuka Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dan akhirnya membawa perletakan jawatan Ani.
TNB juga menjadi mangsa apabila dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal.
Petronas juga diarah menjual gas dengan harga lebih murah kepada IPP biar pun membeli mahal daripada Indonesia dan kawasan JDA Malaysia-Thailand.
Bekas akauntan Petronas, Rafizi Ramli mendakwa Petronas membeli satu barrel dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10.
Katanya, TNB juga dipaksa membeli kuasa dibekalkan penjana bebas milik kroni Dr Mahathir dengan harga mahal.
“Berdasar kepada perjanjian yang berat sebelah tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga RM21 bilion untuk IPP milik bukan Melayu yang rapat dengan Dr Mahathir.
“IPP diwujudkan sebagai usaha menjaga kroni pemimpin Umno dengan berselindung di sebalik gangguan bekalan elektrik pada 1996,” katanya pada ceramah isu semasa di Kampung Kubur Kuda dekat sini malam tadi.
Hadir sama pada ceramah itu bekas Ketua Pemuda Umno Ketereh, Sobri Safii, pegawai penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Ustaz Abdul Hamid Derani, Ketua Cabang PRK Kota Bharu, Abdul Halim Harun dan Ketua Pemuda PAS kawasan, Wan Azimin Wan Adnan.
Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR berkata, belum pun kerajaan mengumumkan kenaikan tarif elektrik secara rasmi, bil terbaru yang diterima pengguna sudah tercatat kadar tarif baru.
Katanya, ramai terkejut menerima bil bulanan terbaru mereka apabila tercatat kenaikan tarif elektrik biar pun kerajaan belum mengumumkan secara rasmi.
Menurutnya juga mengikut perancangan awal kerajaan BN, harga Petrol RON95 akan dinaik kepada RM2.25 sen seliter menjelang hujung tahun hadapan.
Bagaimanapun katanya kerajaan tidak berani melakukan sekarang kerana dibantah orang ramai.
Namun sepanjang 18 bulan lalu kerajaan menaikkan harga gula lebih 58 peratus dan petrol RON97 sekarang melonjak kepada RM2.90 seliter.
”Harga petrol boleh dikurangkan sehingga 60 sen seliter apabila rakyat memberi mandat kepada Pakatan memerintah Putrajaya nanti.
“Ia boleh dilakukan dengan menghapuskan subsidi untuk IPP di mana sekarang sebanyak RM21 bilion diperuntuk kerajaan setiap tahun,” ujarnya.
Abdul Hamid pula berkata sepatutnya Pemuda Umno meminta kerajaan pusat menyediakan kertas putih mengenai banyak berlaku penyelewengan dalam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada).
Katanya, projek pemasangan longkang fiber yang dibuat Kada suatu ketika dahulu bagi menyalur air ke sawah hanya mampu bertahan semusim tanaman padi sahaja.
”Banyak duit dibazirkan untuk projek tersebut. Begitu juga kewujudan Dataran Kada tidak banyak memberi manfaat kepada petani,” ujarnya.
Sobri pula berkata, kerajaan negeri berjaya memintas rancangan Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bagi membodek Perdana Menteri untuk mendapatkan peruntukan membina stadium di Kelantan.
Katanya, projek stadium tersebut dimohon dengan harapan BN dapat merampas semula Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.
”Tiba-tiba projek yang sedang dilobi pemimpin Umno sudah diumumkan lebih awal kerajaan negeri,” ujarnya.
IPP projek khas untuk kroni Dr Mahathir
Sumber - Tranungkite
