BlogList Malaysia
Showing posts with label salahuddin. Show all posts
Showing posts with label salahuddin. Show all posts

02 January 2013

Amanat Hadi: Rais patut jemput PM sekali, kata Pas

SHAH ALAM - Pas menyindir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berkata mufti dan tokoh agama akan menyertai Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di televisyen dalam sesi penjelasan berkaitan polemik Amanat Haji Hadi.

Sehubungan itu, Pas berkata adalah lebih baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir.


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di televisyen bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah lebih baik.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, jemputan dibuat itu adalah perkara kedua, yang penting bagi Pas penjelasan amanat presiden perlu dibuat secara langsung di televisyen.

Beliau berkata, peluang dan ruang yang adil perlu diberi kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik di media.

"Bagi saya yang penting perkara itu dapat dijelaskan dan disegerakan.

"Namun perkara yang berkaitan jemputan ini nombor dua, yang penting penjelasan yang akan disampaikan Presiden nanti adalah secara langsung," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Dalam laporan media kelmarin, Rais berkata, tokoh agama dan mufti akan turut dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Hadi bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatarbelakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita."

"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerajaan perlu adil dan tidak membezakan hak untuk rakyat menggunkan saluran media sedia ada.

Read More...

20 June 2012

Debat - Salahuddin VS Saifuddin

Keputusan undian sinar harian menunjukkan YB Salahuddin Ayub menang besar dalam debat malam ini. tahniah bakal MB Johor

DEBAT SINAR: Hujah siapa yang anda lihat konstruktif:

Saifuddin Abdullah 14 % (140)
Salahuddin Ayub 81 % (803)
Kedua-dua pendebat 5 % (54)
Jumlah Undian: 997


Salahuddin: 'Tiada demo jika kerajaan beri cukup ruang'


SHAH ALAM - Salahuddin Ayub menegaskan bahawa demonstrasi jalanan tidak akan berlaku sekiranya parti atau pembangkang diberi ruang yang secukupnya untuk memperjuangkan hak kebebasan bersuara mengikut Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Pas berkata pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan yang memerintah terpaksa mengambil tindakan seumpama itu apabila ruang untuk bersuara secara aman dan teratur disekat dan dihalang.

"Ruang bersuara ketika pilihan raya kecil dan pilihan raya umum umum terlalu kecil, maka rakyat yang ada hanya lidah dan gigi ini turun ke jalan raya untuk menuntut hak mereka," kata beliau ketika mengambil bahagian dalam Debat Sinar di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini, malam ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian berkatal, pemimpin negara tidak sewajarnya berfikiran sempit, sebaliknya perlu melihat demonstrasi jalanan sebagai hak peluang rakyat untuk bersuara.

"Ini setiap kali ada perhimpunan, mesti ada gas, tu yang jadi huru hara," katanya lagi.

Salahuddin berkata, hak asasi manusia tidak boleh dibunuh dalam demokrasi.
Justeru, katanya pemimpin harus urus dan pimpin tangan anak muda tidak secara sempit tetapi secara adil dan seimbang seperti di negara Korea.

Katanya, sekiranya cukup ruang,tidak perlu demonstrasi jalanan dan tidak perlu menyatakan secara jalanan.

Dalam perbahasan ilmiahnya katanya, bagi negara yang berpura-pura dengan keadilan demokrasi, demonstrasi jalanan itulah yang melahirkan demokrasi.

Salahuddin berkata, demonstrasi secara aman boleh dijadikan sebagai alat untuk menghentikan kemelut kepada negara yang impikan demokrasi.

“Jika ada pengasingan kuasa, kerajaan tidak akan jatuh sebaliknya kerajaan penakut sahaja yang takut kepada demonstrasi jalanan.

“ Masalahnya, kami tidak dapat secara lembut (kebebasan bersuara) jadi demontrasi jalanan adalah cara terbaik untuk kukuhkan demokrasi,”
katanya.

Salahuddin berkata, perlu diingat ketika zaman Nabi Muhammad SAW, sewaktu perang Badar dan Qubra juga bermula daripada protes.

Maka dalam konteks Bersih 3 katanya, ia perlu dilihat dengan niat yang betul dan diterjemahkan secara jelas.

Sehubungan itu katanya, perlunya ditubuhkan suruhanjaya diraja yang benar-benar bebas untuk menyiasat secara jelas pihak yang mencetuskan provokasi.

"Polis kata ada video, tetapi sampai sekarang tidak juga ditayang. Jika begitu, kami juga ada video dakwaan polis mengasari peserta perhimpunan,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasional/salahuddin-tiada-demo-jika-kerajaan-beri-cukup-ruang-1.58155


Read More...

12 June 2012

Debat Saifuddin vs Salahuddin 19 Jun Depan

Untuk kali kedua, Debat Sinar Harian akan dianjurkan antara dua tokoh berlainan ideologi politik bagi memberi peluang kepada rakyat mendengar idea mereka berhubung isu yang menjadi buah mulut masyarakat hari ini.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, tajuknya masih lagi dibincangkan peringkat akhir sebelum diumumkan penganjur dalam masa terdekat.

“Debat antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub itu akan diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada 19 Jun depan.


“Penyertaannya adalah terhad, jadi kami akan membuat jemputan khas untuk 350 kerusi yang disediakan pada malam berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Debat berkenaan akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Abd Jalil berkata, Sinar Harian sebagai akhbar rasmi, juga akan siarkan laporan penuh debat ini keesokan harinya.

“Sinar Harian telah mengadakan beberapa perbincangan dengan kedua-dua pendebat ini, masing-masing menunjukkan kesungguhan dan sedia berdepan dengan hujah masing-masing,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menganjurkan 13 siri wacana setiap bulan dengan pelbagai tajuk menarik untuk disajikan kepada pembaca setia.

- SinarHarian


Read More...

30 April 2012

Lagi Pendedahan Sabotaj BERSIH 3.0

Pas mahu suruhanjaya siasat insiden Bersih

IPOH – Pas mempelawa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perhimpunan Bersih 3.0 kelmarin, yang berakhir dengan insiden tidak diingini, bagi mengenal pasti kebenaran di sebalik perkembangan itu dan diambil tindakan jika perlu.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Siasatan Diraja mampu menjalankan siasatan dengan adil kepada semua pihak, malah Pas akan memberikan kerjasama.

“Kita tunggu keputusan dahulu sama ada kerajaan mahu tubuhkan atau tidak. Namun, kita mahukan ketelusan dalam siasatan yang dijalankan dengan mengambil kira semua aspek untuk dimuatkan dalam laporan penuh kelak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Perak di sini, semalam.


Pendirian ini dibuat beberapa jam sebelum Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga berkata pihaknya mahu Suhakam menjalankan satu siasatan bebas dan menyeluruh.

Dalam kenyataannya, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas menolak dakwaan bahawa Jabatan Amal Malaysia (Unit Amal) bertindak merempuh sekatan yang dibuat polis di jalan berdekatan KLCC semasa perhimpunan Bersih 3.0, kelmarin dan menegaskan ia bukan arahan daripada Pas.

Salahuddin berkata, Pas dan kepimpinan Bersih sendiri tidak pernah memberi arahan untuk melakukan perbuatan sebegitu.

“Sehari sebelum perhimpunan Bersih, kita telah mengeluarkan kenyataan tidak akan merempuh kawasan yang telah dikuatkuasakan oleh perintah mahkamah dan arahan ini jelas malah Pas mematuhi perkara itu.

“Sama ada Unit Amal mahupun peserta dalam kalangan ahli Pas, kita tidak mengizinkan mereka melanggar arahan itu,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan media semalam bahawa peserta Bersih 3.0 yang terdiri daripada Unit Amal Pas merempuh sekatan yang dilakukan polis dan bertindak ganas.

Beliau turut berkata,Pas tidak menolak wujud ejen provokasi yang memakai baju Unit Amal bagi tujuan menimbulkan kacau ganggu sewaktu perhimpunan selain memberikan imej tidak baik kepada Pas.

Beliau merujuk insiden yang berlaku pada anggaran jam 4.19 petang di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur berhubung tindakan orang ramai menterbalikkan kereta polis selain Unit Amal Malaysia yang merempuh sekatan polis berdekatan KLCC.

“Kami nyatakan di sini, mereka yang memakai baju Unit Amal dan bertopeng itu bukan kita dan mereka ini adalah ejen provokasi yang cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi keadaan termasuk insiden kereta polis.

“Oleh sebab itu kita akan teliti balik video yang berjaya dirakam dan kita juga akan buat laporan polis malah akan mengemukakan bukti yang berkaitan, dalam sehari dua ini kita akan terima banyak lagi video dan gambar bagi tindakan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyatakan perhimpunan itu berjaya dan mendakwa 200,000 rakyat Malaysia turun menyertai Bersih 3.0 menuntut reformasi pilihan raya.

Perhimpunan kali ini disifatkannya satu isyarat dan perlu dibaca oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa apa pun janji transformasi politik yang dibawanya tidak meyakinkan rakyat yang menuntut pilihan raya yang bersih serta adil.

Malah katanya, Bersih 3.0 diadakan hasil tindakan kerajaan yang tidak serius melakukan transformasi politik. -SH


Read More...

31 March 2012

PRU13 - Panglima Pas Sudah Bersedia Untuk Tawan Johor

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub akhirnya mengesahkan hasrat mahu bertanding di Johor, kampung halamannya, dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Walaupun belum menetapkan mana-mana kerusi, beliau berkata kerusi seperti Pulai, Tanjung Piai dan Batu Pahat "dilihat menarik" untuknya pada masa ini.

"Saya tiada masalah jika pucuk kepimpinan parti sedia beri laluan di kerusi-kerusi yang saya sebutkan tadi," katanya kini yang bertugas sebagai anggota parlimen Kubang Kerian, Kelantan.


Beliau mengumumkan perkara itu hari ini dalam pertemuan dengan beberapa media terpilih dan penulis blog di sebuah hotel di Skudai.
Turut hadir Pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, ketua Pemudanya Suhaizan Kaiat dan anggota jawatankuasa pusat PAS Mazlan Aliman.

Sementara itu, ditanya tentang khabar angin bahawa beliau berniat untuk menjadi menteri besar Johor jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Johor, Salahuddin sambil tersenyum berkata:

"Soal siapa nak jadi menteri besar, itu mesti diputuskan oleh majlis pimpinan Pakatan Rakyat dan perkara itu tidak berbangkit langsung buat masa ini."


Read More...

14 February 2012

Isu Perkauman Sudah Tidak Laku Lagi Di Johor

SKUDAI,14 Februari 2012 – Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub menegaskan bahawa pengamal politik berunsurkan perkauman kian berada dipenghujung.

Malah ujarnya lagi, Johor yang terkenal dengan kubu kuat UMNO dipercayai bakal menerima tempias yang sama setelah keyakinan itu diterjemahkan melalui sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini.

”Saya lihat politik perkauman tiada tempat dalam negara, mahupun di Johor ini. BN tidak boleh berbangga Johor akan jadi kubu kuat mereka kerana kita akan meruntuhkan kubu kuat ini,” ujar anak kelahiran Tanjung Piai itu yang dipetik Sinar Harian.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PKR Johor di sebuah pusat membeli belah dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang, Datuk Chua Jui Meng, Pengerusi PKR Johor.


Read More...

20 October 2011

Zulkifli Noordin Kencing Dan Berak Dalam Parlimen

PAS akan rujuk Zul Noordin ke JK Hak Parlimen

KUALA LUMPUR, 20 Okt: PAS dan Pakatan Rakyat akan mengemukakan usul bagi menghadapkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataannya yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Ianya berhubung kenyataan ahli parlimen bebas itu yang mengatakan bahawa "hudud PAS menghalalkan suami meliwat isteri" dan "Mukallaf bagi PAS berumur 18 tahun" ketika membahaskan Bajet 2012 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa merujuk kepada 'draf' dan 'enakmen' Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 2002 yang dibuat sewaktu PAS memerintah negeri itu.


"Ini satu kenyataan yang cukup memalukan yang dikeluarkan oleh orang Islam untuk memalukan Islam itu sendiri.

"Kita anggap Kulim-Bandar Bharu sebagai pembohong," kata Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pada sidang media di parlimen.

Turut serta pada sidang media itu Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor), Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang), Dr Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Yusmadi Yusof (PKR-Balik Pulau), dan Azan Ismail (PKR-Indra Mahkota).

Salahudin yang juga Naib Presiden PAS berkata, mereka akan menunggu hansard parlimen esok sebelum mengemukakan usul tersebut di bawah perkara 26 (1b) peraturan mesyuarat.

Read More...

22 September 2011

Mahathir patut nasihat Najib batal ‘surat ugutan 1994’

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Tun Dr Mahathir Mohamad yang sepatutnya menasihati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menarik balik surat yang mengugut mahu mengenakan tindakan perundangan jika Kelantan tetap bertegas mahu melaksanakan Kanun Jenayah Syariah (II) berkaitan hukum hudud pada 1994, kata seorang pemimpin kanan PAS hari ini.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar), berkata oleh kerana bekas perdana menteri itu sendiri yang mengeluarkan surat sedemikian, sewajarnya beliau yang berbuat demikian, bukan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Dr Mahathir jangan hanya pandai menyuruh Tuan Guru (Nik Aziz) ... beliau sendiri yang sepatutnya menasihati Najib supaya menarik balik surat ugutan itu,” kata beliau lagi.


Salahuddin berkata sekiranya Dr Mahathir boleh menasihati Najib agar melewatkan tarikh pilihan raya umum ke-13, bekas presiden Umno itu sewajarnya boleh menggunakan pendekatan yang sama dalam isu berkaitan dengan hukum hudud.

“Kalau Dr Mahathir boleh menasihati Najib supaya menangguhkan pilihan raya, tak mungkin beliau tak boleh nasihatkan Najib supaya menarik balik surat yang mengugut mahu dikenakan tindakan terhadap Kelantan sekiranya Kanun Jenayah Syariah (II) dilaksanakan,” kata Salahuddin merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir awal minggu lalu.

Surat tersebut dihantar kepada kerajaan Kelantan oleh Dr Mahathir sendiri atas sifatnya sebagai Perdana Menteri waktu itu.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir juga memberi amaran pada 14 Ogos 1994 bahawa “kita (kerajaan pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud.”
“Kerajaan pusat tidak berhajat untuk bersubahat dengan PAS bagi melaksanakan ketidakadilan semata-mata untuk kepentingan politik dan sokongan oleh orang yang telah diabui matanya.

“Kerajaan Malaysia yang sentiasa dan terus mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Islam tidak dapat membenarkan kerajaan PAS menjalankan sesuatu yang bercangah dengan prinsip keadilan dalam Islam, maka kerajaan pusat akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap kerajaan PAS demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya,” kata Dr Mahathir dalam suratnya kepada Nik Aziz.

Salahuddin juga mahu Dr Mahathir menarik balik pelbagai tuduhannya terhadap hukum hudud.

“Sempena bulan Syawal ini, saya dengan rendah diri menyeru Dr Mahathir menarik balik pelbagai tuduhannya terhadap hukum hudud. Beliau pernah menuduh hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.

Salahuddin berkata, Dr Mahathir sepatutnya berjiwa besar dan menarik balik persendaannya terhadap hukum potong tangan itu memandangkan hukum tersebut diperintahkan di dalam al-Quran.

“Kalau ada kelapangan, dengan rendah diri juga saya menyeru Dr Mahathir membaca surah al-Maidah ayat 38 dan 39,” kata beliau.

Ayat tersebut membawa maksud, “laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan dari Allah. Dan, Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka barang siapa bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Dalam ulasannya pagi tadi, Nik Aziz menyifatkan kenyataan Dr Mahathir semalam sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.

“Saya tidak pernah mendengar dasar bahawa mana-mana surat yang dihantar oleh perdana menteri akan tamat tempoh kuat kuasa apabila perdana menteri tersebut meletakkan jawatan.

“Adakah semua perkara akan tamat tempoh dan perlu diperbaharui apabila berlaku peralihan perdana menteri? Lucu sekali cabaran Tun Mahathir ...,” kata Nik Aziz dalam mesej dikeluarkan menerusi laman sosial Facebook beliau pagi ini.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Najib agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

“Saya juga memohon Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menarik balik surat tersebut,” kata Mursyidul Am PAS ini mengulas kenyaatan Dr Mahathir yang dikeluarkan di Tanjong Malim semalam.

Dr Mahathir meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanaannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib kot dia nak bagi ... ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya.



Read More...

07 August 2011

Daftar pemilih: Pakatan beri Najib tujuh hari panggil sidang Parlimen khas

KUALA LUMPUR, 7 Ogos — Pakatan Rakyat akan menyerahkan satu surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta agar diadakan sidang tergempar Parlimen bagi menyelesaikan Isu berkaitan pengurusan pilihan raya — didakwa pemastautin tetap diberikan hak untuk mengundi.

Isu daftar menjadi hangat baru-baru ini ekoran pendedahan mengenai tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap kepada warganegara dalam tempoh yang singkat dan ia mendapat bantahan kepimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun perkara itu dinafikan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Najib untuk memanggil sidang tergempar Parlimen.

Surat rasmi itu akan diserahkan esok di Parlimen dan akan diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz.

“Kita beri tempoh tujuh hari untuk adakan sidang tergempar Parlimen.

“Kita mahu isu pemastautin tetap bertukar kepada warganegara dengan cepat dibahaskan sebelum kita membuat tindakan selanjutnya,” kata Salahuddin sambil menambah, tindakan itu akan mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini Pakatan Rakyat juga mendakwa Barisan Nasional (BN) mendaftarkan warga asing sebagai rakyat negara ini melalui operasi “MyDaftar”.

Operasi itu dikatakan mahu menjadikan warga asing sebagai pengundi yang sah bagi memenangkan BN pada pilihan raya umum ke-13.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula berkata, pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak untuk pastikan pilihan raya diadakan dengan bersih dan adil.

“Kita akan jumpa dengan siapa sahaja untuk pastikan pilihan raya yang bersih dan adil,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja PAS pusat di sini.

Tambah Hadi, tindakan menukar status kewarganegaraan pemastautin tetap bertujuan untuk memenangkan BN dalam pilihan raya umum ke-13.

“Kita bincang mengenai daftar pemilih yang kita mahu ia dibersihkan terutamanya yang melibatkan pendatang asing, yang mana ia melibatkan jentera kerajaan untuk memberikan kemenangan kepada BN,” katanya.

The Malaysia Insider

Read More...

10 July 2011

Mahfuz & Salahuddin Buat Laporan Cabar Polis Tangkap Mereka Esok

Semalam adalah hari pengebumian demokrasi: Mahfuz

Sambil menyifatkan tanggal 9 Julai sebagai hari pembunuhan dan pengebumian demokrasi, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dan rakannya Salahuddin Ayub mahu membuat laporan polis mengenai tindakan polis menahan mereka di ibu negara, semalam.

Mahfuz , Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa selain pembunuhan demokrasi, semalam juga merupakan hari kematian seorang pejuang demokrasi, Allahyarham Baharuddin Ahmad.

“Dia mati sebagai seorang pejuang yang ingin hidupkan demokrasi di Malaysia. Saya juga percaya, setiap kegelapan yang berlaku, pasti akan ada cahaya kebahagiaan untuk masa depan Malaysia,” katanya selepas berarak mengiringi jenazah Baharuddin ke tanah perkuburan Islam Lembah Keramat AU4 tengah hari tadi.


Mahfuz turut melahirkan rasa kecewanya terhadap tampuk pimpinan kerajaan yang tidak menunjukkan sikap keterbukaan ke atas Himpunan Bersih 2.0.

Mahfuz dan Salahuddin merupakan antara 1,401 orang yang ditahan semalam kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Malah mereka juga merupakan sebahagian daripada 91 individu yang dilarang memasuki ibu negara semalam.

Semalam, Bersih juga mengisytiharkan seramai 50,000 orang menyertai Himpunan Bersih 2.0.

“Mereka (pentadbiran Najib) tidak menunjukkan sikap keterbukaan mereka dan berjaya memperalatkan pihak keselamatan demi untuk memenuhi nafsu pemimpin Umno dan BN,” tegasnya.

Tamba Mahfuz, kejadian yang menimpa Himpunan Bersih 2.0 semalam harus dinilai sewajarnya oleh masyarakat untuk menamatkan penguasaan kerajaan yang membunuh demokrasi dan pejuang demokrasi di Malaysia.

Mahfuz juga berkata, esok beliau bersama Salahuddin akan membuat laporan polis berhubung tangkapan yang dibuat semalam.

Jelas beliau, “laporan polis yang akan dibuat adalah untuk menuntut ganti rugi malu dan kesusahan hati saya, anak-anak saya dan isteri saya.”

“Selepas laporan dibuat, saya akan serah kepada peguam untuk memulakan proses tuntutan,” katanya sambil menambah, beliau akan membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields di sini.

Semalam, pemimpin Pakatan Rakyat dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih 2.0) ditangkap polis di KL Sentral.

Selain mereka turut ditahan ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Mohamad Sabu.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenavesan mahu Suhakam mengadakan siasatan segera berhubung kekerasan polis terhadap mereka yang menyertai perhimpunan anjuran pihaknnya.

Dipetik dari tmi

Read More...

20 June 2011

Negara kebajikan: Buku Hijau pelengkap Buku Jingga Pakatan

Buku Hijau, yang bakal memperincikan konsep negara berkebajikan PAS, akan menjadi pelengkap kepada Buku Jingga Pakatan Rakyat yang diterima komponen-komponen perikatan itu Disember lalu.

Buku Jingga antara lain menggariskan program 100 Hari yang akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya.

Khamis lalu, PAS menubuhkan satu panel khas pelaksana yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan dalam bentuk Buku Hijau untuk dijelaskan kepada rakyat negara ini.


Menurut Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, Buku Hijau yang akan diedarkan ke seluruh negara dalam masa terdekat tidak bercanggah dengan keputusan bersama Pakatan Rakyat yang diterjemahkan dalam Buku Jingga.

Sebaliknya kata Salahuddin (gambar) yang juga pengerusi panel khas pelaksana itu, Buku Hijau negara berkebajikan itu akan menjadi pelengkap kepada Buku Jingga.

“Tidak... tidak... ia (Buku Hijau) akan menjadi satu nilai tambah dan ia sama sekali tidak bercanggah dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat.

“Apa yang ada dalam Buku Jingga itu adalah ciri-ciri penting negara berkebajikan dan Buku Hijau ini akan menjadi pelengkap, gandingan dua buku ini akan memperkukuhkan antara satu sama lain,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah Ahli Parlimen Kubang Kerian ini, Buku Hijau dirangka supaya rakyat memahami negara berkebajikan yang mahu dibawa parti Islam itu yang mendapat kritikan hebat oleh Umno.

“Kalau kita lihat respons yang diberikan rakyat terhadap Buku Jingga dan negara berkebajikan, ia sangat menarik dan menggamit rasa ingin tahu kandungan konsep itu.

“Jadi apabila buku ini dilancarkan kita berharap rakyat memahami dengan jelas akan konsep negara berkebajikan yang mahu kita bawa,” kata Salahuddin sambil menambah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menerbitkan sebuah buku tentang negara berkebajikan.

“Buku Hijau adalah sinopsis daripada buku yang akan dikeluarkan presiden,” tambah beliau.

Panel khas itu akan mengadakan mesyuarat pertama hari ini untuk memperincikan konsep negara berkebajikan, yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS pada 3 Jun lalu.

Ucapan dasar itu bertemakan “Membangun Negara Berkebajikan”.

Panel khas pelaksana itu turut dianggotai oleh Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata Buku Hijau bertindak sebagai penerangan tentang konsep negara berkebajikan dan ia tidak bercanggah dengan Buku Jingga.

Jelas beliau, segala maklumat dan ciri-ciri negara berkebajikan akan dirumuskan seterusnya diterjemahkan dalam bentuk dokumen iaitu Buku Hijau.

“Kita kini dalam persiapan untuk menyiapkan buku lengkap tentang konsep negara berkebajikan, apa yang kita bincangkan akan dirumuskan supaya rakyat faham apa matlamat kita.

“Buku Hijau ini tidak bercanggah dengan Buku Jingga kerana ia dokumen yang bersifat pelengkap... Buku Jingga itu adalah tawaran Pakatan Rakyat manakala Buku Hijau ini adalah konsep tapi dalam ruang lingkup yang lebih dasar,” katanya.

Justeru beliau percaya konsep negara berkebajikan akan diterima baik sekiranya rakyat memahami dan jelas tentang dasar itu.

“Buku Hijau ini tidak bercanggah, malah konsep negara berkebajikan ini diterima oleh PKR dan DAP, malah tinjaun di peringkat akar umbi juga baik.

“Setelah buku ini, siap kita akan edarkan kepada masyarakat dan kita harap ia dapat membantu rakyat memahami dengan lebih jelas, sekali lagi Buku Hijau ini akan membantu memperkukuhkan Pakatan Rakyat,” katanya.

Manifesto pilihan raya umum 2008 PAS juga bersandarkan tema negara berkebajikan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keputusan pemilihan PAS yang memihak kepada golongan profesional adalah kemenangan kepada DAP kerana parti itu berjaya “mempengaruhi” parti Islam itu mengubah dasar memperjuangkan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Selain itu dua bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi turut mengkritik konsep itu.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

09 June 2011

PAS Tidak Mahu Buang Masa Layan Khaled Nordin

PETALING JAYA: PAS tidak akan meminta maaf kepada Umno seperti yang diminta oleh seorang pemimpin parti itu, tegas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

“Tiada sebab untuk PAS minta maaf. Tuduhan itu sudah ketinggalan zaman,” kata ahli parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau menjawab desakan ketua Umno bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendakwa PAS telah membuat pelbagai tuduhan liar terhadap Umno.

PAS, menurut menteri pengajian tinggi itu melabelkan Umno parti haram kerana tidak membentuk negara Islam.


“PAS seharusnya meminta maaf kepada Umno kerana semasa memperjuangkan negara Islam menuduh Umno membuat pelbagai kesalahan tetapi ketika ini mereka tidak lagi berjuang membentuk negara Islam kerana tidak ada dalam al Quran tetapi negara berkebajikan,” kata Mohamed Khaled di Kuantan hari ini.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Syed Azman Ahmad Nawawi tuduhan atau kenyataan Mohamed Khaled itu tidak perlu dilayan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam itu, negara kebajikan yang ditawarkan PAS bertujuan untuk menyelamatkan rakyat yang kini dibebani kos hidup yang tinggi, krisis ekonomi dan kenaikan harga barangan.

“Tawaran ini bukan hanya untuk ahli PAS tetapi kepada keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang , dalam ucapan di muktamar parti minggu lalu berkata, PAS memfokuskan kepada negara berkebajikan selaras dengan perjuangan pakatan pembangkang.

Hadi juga berkata, negara Islam tidak disebut dalam al Quran.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

06 June 2011

Seruan Untuk Muhyiddin - Kalau Tak Tahu Bertanya Dan Jangan Tunjuk Bodoh..

KUALA LUMPUR, 6 Jun — Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu belajar dengan ulama atau bertanya mufti sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai PAS kononnya ia sudah menggadai prinsip Islam, kata timbalan presiden baru Mohamad Sabu.

Sehubungan itu tegas beluau, dakwaan Muhyiddin yang mengatakan PAS sudah mengorbankan prinsip Islam kerana kepentingan politik adalah tidak berasas sama sekali.

“Muhyiddin perlu belajar dengan ulama atau berbincang dengan mufti sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan.

“Dia tak boleh kata kita begitu kerana kepimpinan kita adalah ulama yang berwibawa yang merujuk kepada al-Quran dan Hadis,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin (gambar) semalam bahawa PAS sudah mengorbankan prinsip-prinsip Islam demi kepentingan politik sedangkan parti itu sepatutnya menggunakan muktamar kali ini untuk mencari kebenaran di sebalik isu video seks didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Muktamar Tahunan PAS Ke-57 yang berakhir semalam ada meluluskan usul, yang dibawa Dewan Ulama, mengecam tindakan penayangan video seks itu dan dianggap sebagai satu fitnah.

“Jadi saya nak tegaskan di sini bahawa berbincang dengan ulama terlebih dahulu sebelum bagi pandangan.

“Perkara itu membabitkan zina dan kita tidak boleh beri pandangan sendiri,” kata Mohamad ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, apa yang diucapkan oleh Muhyiddin adalah mereka yang tidak tahu akan prinsip dan keadilan dalam Islam.

“Dia (Muhyiddin) tak tahu prinsip keadilan Islam. Prinsip Islam ialah tidak dibenar mengaibkan orang lain. Itu prinsip Islam kita.

“Tuduhan terhadap (Datuk Seri) Anwar merupakan tuduhan yang melibatkan maruah,” kata beliau yang mempertahankan kerusinya buat penggal kedua.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menambah, seseorang Muslim juga tidak dibenarkan menghukum mana-mana pihak sesuka hati kerana dalam Islam tidak mengajar agar umatnya mengaibkan orang lain.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi The Malaysia Insider hanya ketawa apabila diajukan soalan mengenai kenyataan timbalan perdana menteri itu.

Katanya, Muhyiddin dan pemimpin Umno kini dilihat sudah mulai gelabah dan ia menunjukkan petanda kejayaan muktamar kali ini.

“Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin Umno dilihat semakin menggelabah. Nampaknya muktamar kali ini berjaya membuatkan mereka kucar-kacir.

“Nasihat saya kepada Muhyiddin ialah lebih baik dia banyak belajar dari ulama jika nak bercakap mengenai soal zina dan qazaf,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena ini juga memberitahu, jangan disebabkan politik, asas agama tergadai.

“Apa yang dicakap Muhyiddin tidak langsung bersandarkan prinsip pada agama. Beliau patut rujuk pada ulama.

“Sama ada PAS mengetepikan Islam atau tidak, itu tidak muncul. Umno sedang dalam kegelabahan kerana perkara yang mereka cetuskan, masyarakat menolaknya,” katanya.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

21 May 2011

Umno Tak Akan Berhenti Selagi PAS Tidak Jahanam

PAS Makin Dekat Dengan Kerajaan Perpaduan ?

SHAH ALAM 21 MEI : Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menyifatkan kenyataan pengekalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas pada pemilihan kali ini akan mendekatkan PAS dengan kerajaan perpaduan, sebagai pandangan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, pandangan cetek seumpama itu sekadar mahu menimbulkan ketakutan dan keresahan dikalangan ahli PAS dan rakan kompenan Pakatan Rakyat, DAP dan PKR.

Semalam editorial yang diterbitkan agensi berita BERNAMA mengajukan persoalan, adakah pengekalan Hadi sebagai pemimpin tertinggi PAS pada penggal akan datang, akan mendekatkan PAS dengan kerajaan perpaduan ?


“Kenyataan yang berniat jahat dan tidak bertanggungjawab yang saya anggap cuba untuk mewujudkan satu tanggapan buruk terhadap Presiden Pas,” katanya.

BERNAMA dalam editorialnya berhujah rapuh apabila menyatakan Hadi dipilih untuk kekal sebagai presiden berikutan direstui ramai ahli yang menyokongnya untuk bekerjasama dengan UMNO BN menerusi kerajaan perpaduan.

Ia hanya bersandarkan kenyataan Hadi yang diputar belit media arus perdana, kononnya beliau berminat untuk perpaduan itu semasa berucap di Muktamar PAS ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, pada Jun 2009.

Hadi dipilih menjadi Presiden Pas selepas kematian penyandangnya, Datuk Mohd Fadzil Noor pada tahun 2002.

Salahuddin menambah, kenyataan yang tidak bertanggungjawab ini sengaja dimainkan demi mewujudkan suasana tidak sihat menjelang Muktamar Pas yang bakal berlangsung Jun ini.

“Itu satu agenda mereka mewujudkan suasana tidak sihat, mewujudkan kenyataan yang tidak berasas menjelang muktamar kali ini,” katanya.

Muktamar Pas ke- 57 akan berlangsung pada 3 hingga 5 Jun ini di Taman Melewar Kuala Lumpur.

Sehingga berita ini ditulis, Presiden Pas, Hadi Awang dan Ketua Pemuda, Nasrudin Hassan Tantawi berjaya mengekalkan jawatan masing- masing tanpa sebarang tentangan.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

19 May 2011

Lagi Wang Rakyat Bakal Lesap

PAS kurang senang dengan cadangan penggabungan antara Bank Muamalat dan Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang dianggapnya sebagai satu lagi tindakan menyelamatkan syarikat menggunakan dana awam.

"Apa manfaat bagi BIMB untuk membeli atau bergabung dengan Bank Muamalat?" soal naib presiden PAS Salahuddin Ayub.

BIMB mempunyai 115 cawangan di seluruh negara dengan 600 mesin auto-teller dan justeru, Salahuddin, "terdapat sesuatu yang aneh dalam urusniaga itu yang tidak membawa manfaat kepada BIMB”.


Dakwa ahli parlimen Kubang Krian itu, kebimbangannya adalah tangan-tangan tersembunyi di sebalik arahan BIMB untuk membeli Bank Muamalat daripada DRB-Hicom, yang memiliki 70 peratus bank berkenaan manakala Khazanah, pula memiliki 30 peratus lagi.

"Saya risau ini satu lagi 'bailout' yang merupakan budaya tidak sihat di negara kita dan akan terus membebankan rakyat,” katanya.

Menurut Salahuddin meskipun tiada bukti bagi menunjukkan tindakan itu bagi menyelamatkan Bank Muamalat namun keputusan untuk bergabung berkenaan adalah petanda yang jelas.

"Tidak ada bank yang stabil akan mahu bergabung dan hilang identitinya,” hujahnya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Bank Muamalat untuk mendedahkan status kewangannya dan menjelaskan mengapa mereka mahu bergabung dengan BIMB.

"Saya akan tulis kepada pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atas kedudukan saya selaku ahli parlimen bagi memaksa Bank Muamalat membekalkan kenyataan kewangannya. Jika ia beroperasi dengan lancar, kita ingin tahu selancar mana? Jika ia mencatatkan kerugian, berapa banyak yang rugi? Dan kenapa ia mahu bergabung?” soal pempin PAS itu lagi.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

05 May 2011

Mufti Separuh Masak Ditegur Lagi

Jangan cepat label pengkhianat Islam, pemimpin PAS tegur Mufti Perlis

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub hari ini menyelar kenyataan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya yang dilaporkan berkata pihak yang menentang penyatuan Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Sehubungan itu Salahuddin (gambar) menambah, tidak timbul soal siapa pengkhianat Islam jika Umno dan PAS tidak bersatu.

Oleh itu katanya, apa yang perlu masyarakat faham ialah sebenarnya memutuskan hubungan silaturrahim sesama Islam tidak dibenarkan dalam agama.

“Saya rasa kita perlu faham sebenarnya kita tidak boleh putuskan hubungan silaturahim. Apa yang terjadi sekarang ialah cuma perbezaan pandangan politik dan itu merupakan perkara biasa.


“Jangan terlalu cepat mengeluarkan kata-kata pengkhianat itu. Sebuah negara demokrasi diberi kebebasan untuk berpolitik dan menubuhkan parti politik,” katanya.

Malah kata beliau, perpecahan tidak berlaku tetapi cuma wujud perbezaan politik.

“Kita tidak memutuskan silaturrahim sehingga membawa kesan yang besar kepada umat Islam,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau juga berkata, perpaduan atau penyatuan tidak semestinya perlu berada di bawah satu bumbung dan kenyataan Juanda semalam sama sekali tidak praktikal dan tidak wajar.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Juanda Jaya menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara Umno dan PAS sebagai pengkhianat Islam.

Selain itu Juanda berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam.

“Penyatuan (Umno dan PAS) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,’’ katanya.

Seorang lagi Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, terpulang kepada Mufti Perlis itu untuk berkata apa-apa sekalipun kerana ia merupakan permainan Umno.

“Dia (Juanda) nak kata apa, dia punya suka nak kata apa pun.

“Umno main sentimen ini kerana Umno sebenarnya dah tenat dan ada masalah penyakit dalam jiwa. Kita perlu sedia pakar sakit jiwa untuk pimpinan Umno kerana takut mereka akan tertekan sehingga menyebabkan mereka bunuh diri atau terjun bangunan. Jadi kita perlu bersedia,” katanya berseloroh.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad juga menganggap kenyataan Juanda sebagai seorang yang tidak memahami situasi yang berlaku antara Umno dan PAS.

Beliau berkata, sebagai seorang mufti, sepatutnya sebelum mengeluarkan apa-apa pandangan perlu memahami tentang gambaran sesuatu hukum tersebut.

“Dia kenal ke siapa Umno yang sebenarnya? PAS menolak tentulah ada sebab. Jangan disebabkan Juanda makan gaji dengan Umno, dia boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu (pengkhianat Islam).

“Adakah dia (Juanda) nak kita bersekongkol dengan parti yang terbukti banyak melakukan pengkhianatan terhadap amanah rakyat, dengan soal rasuah yang banyak melibatkan orang di dalam parti itu,” katanya.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

17 February 2011

Pas Bantai Azmin Ali

Kerusi campur: Azmin silap, kata PAS

Sepatutnya timbalan presiden PKR itu membicarakannnya dalam ruang yang betul dan tidak mengungkit perkara itu secara terbuka.

PETALING JAYA: Dakwaan bahawa PAS turut berminat dengan kerusi PKR menimbulkan rasa kurang senang kepada Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali bahawa PAS berminat dengan kerusi kawasan bercampur sebagai tidak tepat dan dibuat di tempat yang salah.

“Sepatutnya Azmin membicarakannnya dalam premis yang betul. Kita (Pakatan Rakyat) tidak membincangkan perkara ini.


“Bagaimanapun, saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin bahawa “tiada lagi formula PAS akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP di kawasan Majoriti Cina dan PKR di kawasan bercampur. “

“Sekarang, PAS juga mahu kawasan bercampur,” kata Azmin seperti dilapurkan.

Keadaan ini boleh menyukarkan rundingan komponen Pakatan Rakyat yang membabitkan PKR, PAS dan DAP menentukan pembahagian kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata jika PAS berminat bertanding di kawasan bercampur ia merupakan fenomena semasa berikutan sokongan pengundi bukan Melayu, terutama pengundi Cina, kepada parti itu.

Tambahnya, fenomena ini sepatutnya tidak menjadi pertikaian dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, kata bekas Ketua Pemuda PAS itu, parti Islam itu mempunyai penyokong setia di kalangan pengundi Melayu.

“Kalau pilihanraya umum 2008 dijadikan ukuran, pengundi Melayu masih memberi sokongan kepada PAS,” katanya.

Sementara itu, Salahuddin menjelaskan PAS belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Katanya, keputusan tersebut akan dibuat dalam mesyuarat PAS.

Pilihanraya kecil Kerdau akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63 akibat serangan jantung Sabtu lalu.

Sumber di sini

Read More...

24 January 2011

PRK Tenang - PAS Akur Kesilapan Nizar

PAS tegur Nizar, boleh terus beri ceramah di Tenang

PAS mempertahankan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang sebelum ini didakwa telah mengeluarkan “fatwa” baru dalam satu ceramah menjelang pilihan raya kecil DUN Tenang di sini, minggu lalu.

Bagaimanapun, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, beliau telah menegur Nizar kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya ketika berceramah.

“Bagi saya itu biasa bagi mana-mana penceramah yang terlepas cakap, itu tidak bermakna kita akan halang beliau (Nizar) daripada memberikan ceramah di sini (Tenang).

“Bagaimanapun apa yang beliau cakap kita dah sedia maklum dan kita harap ia tidak berulang lagi.


“Saya juga dah menghubungi beliau tentang perkara itu,” kata beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang ketika ditemui The Malaysian Insider hari ini.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Nizar adalah seorang individu yang bersemangat terutamanya ketika memberikan ceramah.

“Beliau sangat bersemangat ketika berkempen khasnya kepada pengundi Cina dan India,” katanya.

Nizar dalam kempen ceramahnya di Kampung Ayer Panas di sini mengatakan mengundi untuk calon Umno-BN adalah haram di sisi agama, sebaliknya wajib menyokong calon PAS, Normala Sudirman.

Beliau berkata, pengundi Islam adalah wajib di sisi agama untuk menyokong calon PAS.

Read More...

12 January 2011

Video lucah: PAS minta polis ambil tindakan tegas

Semua ahli dan petugas PAS diminta menyerahkan kepada pihak polis jika terjumpa video lucah yang dikatakan pelakunya adalah seorang bekas menteri kabinet.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS untuk Dun Tenang, Salahudin Ayub berkata, beliau telah membuat arahan itu apabila terbaca berita dalam sebuah laman web kononnya video yang pernah dihebahkan itu kini muncul semula di Tenang.

"Kita tidak mahu difitnahkan terlibat dengan penyebaran video itu dan kita telah arahkan semua petugas atau ahli kita menyerahkan video itu kepada polis jika ia dijumpai di Tenang," kata Salahudin kepada Harakahdaily.


Menurut Salehudin, PAS tidak akan terlibat dalam penyebaran video sedemikian kerana ia amat bertentangan dengan dasar PAS.

"Kami bimbang ia satu provokasi terhadap kerukunan pilihan raya kecil ini," kata beliau kepada Harakahdaily.

Sejak dari awal lagi, PAS mahu pilihan raya kecil di Tenang berjalan dengan aman tanpa sebarang provokosi. Ini kerana, PAS bimbang jika kekecohan, ia akan menyusahkan para pengundi untuk keluar menjalankan tugas mereka sebagai warganegara.

Malaysiakini hari ini melaporkan, isu video ini muncul kembali apabila orang yang membuat laporan polis tentang video ini 2008 lalu, Lim Kok Long, sekali lagi membuat laporan.

Kali ini beliau melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mendakwa polis telah tidak mengambil tindakan terhadap bekas menteri berkenaan.

Menurut laporan sebuah akhbar Cina, Lim Kok Long tidak berpuas hati kerana polis tidak mengambil tindakan ke atas bekas menteri itu yang sepatutnya diambil tindakan di bawah seksyen 377A, Penal Code.

Bimbang juga di Selangor

Sementara itu, kebimbangan yang sama berlaku kepada Pakatan Rakyat di Selangor apabila satu kain rentang yang provokatif dinaikkan dengan meletakkan lambang PAS, PKR dan DAP pada kain rentang itu.

Pakatan Rakyat Selangor hari ini menafikan bahawa gabungan itu menggantung kain rentang yang yang didakwa menolak campur tangan sultan dalam pentadbiran negeri.

"Kami menafikan ianya daripada pihak kami. Daripada isu kandungan (kain rentang) ia bercanggah dengan (pendirian) Pakatan.

"Kita tidak mahu ada sengketa dengan pihak Istana. Ia terbukti apabila MB dan Exco hadir dalam majlis Sultan (dalam pelantikan setiausaha kerajaan negeri," kata ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Shah Alam, Khalid berkata, terdapat tiga kain rentang, di mana salah satu daripadanya berbunyi "Dimanakah Keadilan Sultan Dalam isu pemilihan SUK Siapa Lebih Berhak?" ditemui di Seksyen 9, Shah Alam.

Dua lagi kain rentang ditemui di seksyen 13 dan satu lagi bulatan di kawasannya.

Menurutnya lagi, dalam kain rentang tersebut tertera bendera ketiga-tiga parti gabungan Pakatan, dan tertulis biro penerangan PKR Selangor.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas