Sebuah kenderaan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diterbalikkan dan dibakar oleh orang ramai yang marah selepas kemalangan teruk yang membabitkan 10 kenderaan di Ayer Tawar, Perak petang ini.
Pegawai penyiasat trafik polis daerah Manjung, yang bernama Nurul, memberitahu Malaysiakini bahawa 15 orang cedera dalam kemalangan tersebut, dengan tiga daripadanya dirawat di hospital, kerana cedera parah.
Tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Kemalangan itu berlaku petang ini selepas sesi persekolah di Jalan Beruas-Ayer Tawar, yang melibatkan kenderaan penguatkuasa pacuan empat roda JPJ , dua bas sekolah, dua lori, sebuah motosikal dan empat buah kereta.
Saksi telah memuat-naik ke Facebook video selama lapan minit yang menunjukkan sekumpulan orang ramai marah dan menjerit serta membaling objek ke arah kenderaan pacuan empat roda itu.
Mereka kemudiannya menterbalikkan kenderaan itu sebelum dua anggota polis trafik tiba dan cuba untuk menghalang mereka.
Bagaimanapun, mereka gagal untuk meredakan kemarahan orang ramai dan mereka bertindak memecahkan tingkap kenderaan, itu diiringi oleh teriakan marah "bakar!"
Selepas satu objek dibaling ke arah kenderaan pacuan empat roda yang terbalik itu, ia terbakar, memaksa orang ramai berundur.
Tidak lama kemudian, beberapa anggota bomba datang dan memadamkan api.
Malaysiakini masih cuba untuk mendapat punca kemalangan tersebut dan kemarahan orang ramai itu.
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) hari ini membuat laporan polis berhubung dengan tindakan dua syarikat Beta Tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd yang telah menyamar sebagai penjawat awam.
Laporan polis terhadap syarikat tersebut dibuat secara berasingan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan juga Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.
Menurut Mahfuz, laporan ini dibuat apabila dua syarikat pengendali kamera AES telah bertindak menyamar sebagai penjawat awam iaitu dengan mewarnakan kenderaan milik syarikat dengan warna dan logo Jabatan Pengangkutan Jalan.
"Saya mengesyaki kedua-dua syarikat tersebut telah melakukan kesalahan yang amat serius apabila menyamar sebagai penjawat awam dengan mewarnakan kenderaa milik mereka menyerupai warna kenderaan JPJ.
"Mereka melakukan penyamaran ini sewaktu mengendali kamera mobile AES di beberapa lokasi," jelasnya.
Tambahnya lagi, hasil carian yang dibuat melalui JPJ dan Polis mendapati kedua-dua kenderaan tersebut adalah milik ATES Sdn Bhd dan Preferred Synergy Sdn Bhd yang beralamat di Petaling Jaya dan bukannya milik JPJ.
"Perkara ini merupakan satu kesalahan yang amat serius dan pihak polis perlu mengambil tindakan segera atas penyamaran tersebut.
"Kita tidak mahu sesuatu berlaku atas kekeliruan penyamaran itu dan rakyat terus menjadi mangsa dalam pelaksanaan AES," sambung beliau lagi.
Dalam pada itu, peguam Kase, Zulhazmi Sharif juga turut hadir sewaktu laporan dibuat.
Laporan tersebut dibuat di bawah Seksyen 170 dan Seksyen 171 Kanun Keseksaan, iaitu menyamari penjawat awam dan memakai pakaian atau membawa tanda yang digunakan oleh penjawat awam dengan niat untuk menipu.
Sementara itu, kira-kira 30 anggota NGO Aktivis Bantah AES (Bantah AES) dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) berhimpun di hadapan bangunan Parlimen bagi memberi amaran kepada kerajaan agar membatalkan AES dengan segera.
Himpunan tersebut diketuai Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Chang Lih Kang yang juga Adun Teja.
Jurucakap Bantah AES, Saifullah Zulkifli berkata, jika kerajaan enggan berbuat demikian, himpunan besar-besaran bagi membantah AES akan diadakan.
"Hari ini hanya wakil sahaja yang datang menyerahkan memorandum dan mendesak Kementerian Pengangkutan membatalkan AES.
"Kami bagi amaran, jika kerajaan tidak juga menghiraukan bantahan kami, himpunan lebih besar akan diadakan melibatkan semua rakyat," katanya.
Memorandum tersebut diserahkan kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong. Turut bersama dalam himpunan tersebut Tian Chua (PKR-Batu), Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) dan Jeff Ooi (DAP-Jelutong).
Harakah/- Milosuam
Read More...
Summary only...
Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mendedahkan kelemahan terbaru saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dikeluarkan terutama di lokasi kilometer 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff berkata, kamera AES di lebuh raya tersebut keliru dan celaru apabila menangkap kelajuan 80 kilometer sejam (km/j) sedangkan had laju di situ adalah 90 kilometer sejam.
“Salah satu saman yang diterima adalah di kilometer 6.6 SKVE, menunjukkan pemandu terbabit melakukan kesalahan Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, atas kesalahan gagal mematuhi isyarat lalu lintas dan had laju yang ditetapkan 80 km sejam.
“Padahal menurut laman web JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), had laju yang ditetapkan di sana adalah 90 km/j,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Menurut Zulhazmi, Pengarah Penguatkuasa JPJ, Jaafar Mohamed dalam laman web JPJ menjelaskan, kamera AES dilengkapi sistem ‘speed limit buffer’ (lonjakan had laju).
“Maknanya, di tempat had laju 90 km/j, pemandu hanya akan disaman jika pandu lebih 100 km/j.
“Tetapi dinyatakan (menurut surat saman yang ditunjukkan) bukan lonjakan, sebaliknya pengurangan had laju,” kata beliau.
Ekoran itu, Zulhazmi berkata, Kase akan menyediakan khidmat guaman kepada pemandu yang disaman yang tampil kepada mereka.
“Kita sedia lawan di mahkamah, atau (kalau perlu) saman JPJ kerana menipu,” tegasnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar turut menyeru pemandu yang disaman tidak menerima tawaran kompaun terhadap saman AES.
“Kompaun tidak wajib bayar.
Bawa kes ini ke mahkamah juga bukan bermakna kita lawan undang-undang, tetapi sebaliknya ikut proses undang-undang,” kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR - Rata-Rata ahli Parlimen hari ini bersetuju dengan desakan beberapa pihak terutama Pemuda Umno supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan.
Malahan mereka berpendapat kajian menyeluruh perlu dilakukan sebelum sistem itu dilaksanakan.
Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad berkata, pelaksanaan AES dibuat secara mendadak tanpa mendapat pandangan orang ramai dan pakar berkaitan keselamatan jalan raya.
"Saya menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di seluruh negara tetapi pemasangan AES harus diletakkan di kawasan yang sesuai.
"Apa yang berlaku sekarang, terdapat banyak rungutan daripada pengguna jalan raya bahawa pemasangan AES bukan sahaja diletakkan di tempat yang tidak sesuai, malah ia turut mendedahkan pengguna jalan raya kepada bahaya," katanya kepada Bernama.
Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyarankan supaya kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES yang didapati terlalu banyak kelemahan dalam pelan pelaksanaannya dan perlu diatasi, antaranya, lokasi serta halaju praktikal
sesebuah kawasan.
Mohd Radzi juga berkata beliau percaya ramai yang telah ditangkap gambar kerana melakukan kesalahan lalu lintas tidak akan membayar saman untuk menunjukkan protes.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan meneliti semula pelaksanaan sistem tersebut dan mendapatkan pandangan pakar sebelum meneruskannya pada masa depan.
Ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, yang menyambut baik cadangan penangguhan AES, mencadangkan supaya sistem itu diberi satu tempoh percubaan.
Beliau berkata sepanjang tempoh percubaan itu, kerajaan akan mempunyai ruang untuk mengkaji keberkesanan sistem tersebut terutama dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.
"Saya cadangkan tempoh percubaan selama enam bulan boleh menjadi proses untuk mendidik rakyat, yang kemudiannya pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) misalnya, boleh mengemukakan laporan sejauh mana tempat yang dipasang AES ini betul-betul berkesan dari segi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya," katanya.
Pada masa sama, Ibrahim turut mencadangkan agar saman yang dikeluarkan kepada pengguna jalan raya ditangguhkan bagi menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap desakan rakyat.
Bagi Ahli Parlimen Kubang Kerian Salehuddin Ayub, penangguhan pelaksanaan AES adalah wajar kerana ia bukan penyelesaian dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya tetapi lebih kepada membebankan pengguna.
"Semua pihak harus bersuara dengan memberi pendapat mengenai isu ini, dan memastikan ia mencapai matlamatnya untuk menyelesaikan kes kemalangan jalan raya dan bukan menjadikan pengguna jalan raya sebagai mangsa kepada sistem penguatkuasaan yang tidak berkesan," katanya dipetik Bernama.
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) terus mempersoal alasan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan dan mengenakan saman terhadap pesalah trafik.
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar (LPAS) dewan itu, Mohd Firdaus Jaafar, berkata tinjauan dan kajian yang dilakukan oleh LPAS mendapati rata-ratanya tidak menyokong pelaksaan sistem ini.
Ini kerana ianya dilihat bukan untuk keselamatan semata-mata tetapi lebih kepada cuba mengaut keuntungan yang agak besar dalam masa singkat.
"LPAS juga mempersoal adakah pelaksanaan kamera AES ini dapat menjamin 100 peratus keselamatan kepada pengguna jalan raya, mendisplinkan pengguna jalan raya ataupun sebaliknya hanya mahu membuat keuntungan semata-mata," soalnya.
Beliau berkata demikian mengulas alasan yang diberi kerajaan kononnya AES perlu bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.
Menurut Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai, banyak faktor lain juga yang menyumbang kepada kemalangan maut selain faktor memandu secara laju.
Ia termasuk soal kualiti permukaan jalan raya, keadaan kenderaan dan lain-lain.
"Kerajaan mahupun JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) sepatutnya menyelesaikan faktor-faktor penting yang boleh menyumbang ke arah kemalangan jalan raya, bukannya mencari salah pengguna jalan raya yang kononya membawa kenderaan dengan laju.
"Dengan alasan seperti ini terlalu senang kerajaan Umno BN membazir ratusan juta semata-mata untuk mewujudkan kamera AES sedangkan banyak lagi kaedah dan cara yang lebih efisyen serta menjimatkan," katanya.
Malah katanya, kerajaan juga boleh menggunakan kaedah lain selain AES bagi menangani masalah kemalangan maut tersebut.
"Dah sampai masanya Kerajaan mahupun JKJR memikirkan dan juga mengkaji polisi-polisi atau plan-plan perancangan demi untuk kepentingan pengguna jalan raya dan bukannya ‘berniaga dengan nyawa rakyat’," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Datuk Mahfuz Omar turut mendedahkan satu kajian yang dibuat menunjukkan kadar kemalangan di bandar yang menggunakan kamera AES lebih tinggi berbanding bandar yang tidak menggunakan sistem tersebut.
Kajian yang dibuat sekumpulan masyarakat awam pembayar cukai di London itu mengkaji kadar kemalangan terhadap 1000 kenderaan berdaftar di beberapa bandar yang menggunakan AES dan tidak menggunakan AES.
Kajian mereka mendapati kadar kemalangan di bandar London yang menggunakan kamera AES adalah 90.9.
Sebaliknya sebuah lagi bandar Swindon di UK yang telah memansuhkan kamera AES pada 2009 hanya merekodkan kadar kemalangannya 2.0.
Berikut adalah cadangan LPAS kepada kerajaan:
- Sepatutnya pihak Kerajaan Persekutuan dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) perlu menyelesaikan masalah ini dengan menganal pasti dan membaik pulih setiap permukaan jalanraya yang mempunyai faktor risiko yang tinggi terjadi nahas kemalangan, supaya ia selamat kepada pengguna jalan raya walaupun dalam keadaan cuaca panas mahupun hujan.
- Memasang lampu-lampu keselamatan di tempat-tempat yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan agar jalan seperti ini sentiasa kelihatan terang dan jelas semasa memandu pada waktu malam. Tetapi sebaliknya pemasangan lampu-lampu ini hanya berada di zon-zon bandar dan juga di plaza tol-tol.
- Pihak JKJR, sepatutnya menyedarkan pengguna jalanraya dengan mengadakan kempen besar-besaran punca yang menyumbang kemalangan dengan mengiklankan papan tanda seperti jumlah atau peratus kemalangan, gambar-gambar kemalangan dan juga bilangan atau angka nyawa-nyawa yang terkorban di kemalangan jalanraya. papan iklan ini perlu dipasang setiap penjuru ataupun kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalagan.
- Memperkasakan pengangkutan awam.
.harakahdaily.net
Read More...
Summary only...
Kerajaan negeri Kedah berhasrat untuk membuat penangguhan bagi pemasangan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik di negeri itu bagi membuat kajian sebelum pemasangan dibuat.
Exco Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata, keputusan itu dibuat semasa mesyuarat PAS yang diadakan semalam.
Beliau berkata lagi, keputusan itu akan dibawa ke mesyuarat exco yang akan diadakan Rabu depan.
"Kita dah buat keputusan dalam mesyuarat parti untuk tangguh pelaksanaan AES di Kedah.
"PBT (pihak berkuasa tempatan) yang ada kuasa untuk pasang. Jadi kita akan arahkan PBT supaya tangguh dulu.
"Keputusan ini akan dibawa ke mesyuarat Exco Rabu depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebelum ini negeri Pakatan Pulau Pinang telah mengumumkan penangguhkan AES manakala Kelantan pula dilapor sedang mempertimbangkan tindakan sama.
Selain itu, Phahrolrazi juga berkata, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan syarikat yang berkenaan akan dipanggil bagi memberi taklimat kepada semua exco.
Jelasnya, ia bertujuan bagi memberi pemahaman kepada Exco tentang prosedur dan kaedah pemasangan kamera tersebut.
"Kita juga berhasrat nak panggil JPJ dan syarikat yang pasang kamera itu supaya bagi taklimat dan penjelasan tentang kaedah, perundangan dan sebagainya tentang kamera itu," katanya lagi.
Awal bulan ini JPJ menyasarkan pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.
Read More...
Summary only...
KOTA BHARU: Kelantan mungkin mengikut jejak langkah Pulai Pinang menggantung sementara pemasangan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi kesalahan trafik kerana ia dianggap menguntungkan syarikat kroni.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, Kelantan mungkin boleh mengikut jejak langkah serupa kerana projek berkenaan dilihat memberi keuntungan kepada kroni.
“Sebelum ini Pulau Pinang mengumumkan tidak akan meneruskan pemasangan AES sementara menunggu kajian berhubung pelaksanaan projek tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2013 pada persidangan Dun hari ini.
Baru-baru ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilaporkan berkata, Pulau Pinang akan mengkaji pemasangan kamera AES dan membincangkan dengan semua pihak yang berkepentingan.
Menurutnya kamera AES dianggap sebagai “kamera 1Malaysia” akan dikaji secara terperinci untuk memastikan ia memenuhi tujuannya dan bukannya berkhidmat sebagai “sumber kewangan untuk kroni”.
Bermula 23 September lalu sebanyak 14 kamera AES dipasang di kawasan hitam di Lembah Klang dan Perak.
Difahamkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan pemasangan 831 kamera AES secara berperingkat dalam masa 18 bulan di seluruh negara.
Mengikut satu laporan pada lapan hari pertama pelancaran sebanyak 63,558 kesalahan trafik dicatatkan dan sebanyak 170 juta saman akan dikeluarkan.
Dua syarikat pengendali AES iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd, yang mana kedua-dua syarikat itu dikatakan mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun.
Husam berkata, biar pun rakyat diberi BR1M sebanyak RM500 bagi kali kedua, namun saman tersebut dikenakan kadar kompaun sehingga RM2,000.
“Kerajaan memberi bantuan BR1M sebanyak RM500 namun syarikat kroni mendapat keuntungan berlipat kali ganda melalui projek AES,” ujarnya.
harakahdaily.net
Read More...
Summary only...
Untung Jadi Menteri Boleh Dapat No Plat Percuma ?

Liow: Saya dapat nombor plat percuma
Sehari selepas menjadi sasaran soalan pemberita mengenai nombor plat WWW 15 yang dibidanya, Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai kini mengatakan bahawa dia tidak membayar satu sen pun untuk nombor tersebut.
Dalam tweetnya lewat hari ini, Liow berkata telah dimaklumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa beliau tidak perlu membayar RM24,200 harga bidaan yang ditawarkan kepadanya, kerana nombor itu adalah "percuma".
Katanya, sebarang pertanyaan lanjut hendaklah dirujuk kepada JPJ. Bagaimanapun, ini bercanggah dengan laporan akhbar China Press hari ini, yang memetik jurucakap JPJ Wilayah Persekutuan sebagai berkata setiap orang yang membida nombor plat, perlu membayar untuk mendapatkannya.
Katanya, para menteri boleh memohon nombor plat secara percuma dari JPJ, tetapi ia tidak membabitkan 'nombor panas' seperti yang dibida oleh Liow.
Nota : Untung ye jadi menteri apa yang saya tahu setiap orang yang membida no plat, perlu membayar untuk mendapatkannya. Apa pun bila dia buat kalut dan gamat sikit..dalam paper ..at last dapat free. mana nak mai pendapatan negara.?
Dipetik dari - http://kachipemas.blogspot.com/
Read More...
Summary only...
Utusan Malaysia 7 Mac 2011 ISU SAMAN EKOR - MAHKAMAH, melalui kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak tahun 2009 telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di mahkamah.
Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan.
JPJ juga telah diarahkan membayar ganti rugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.
Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan.
Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.
Berbalik kepada tawaran kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman.
Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, adakah seseorang itu benar-benar melakukan kesalahan yang didakwa sehingga mereka wajib membayar denda?
Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak.
Jika ada yang tertunggak maka ia bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk menjawab saman itu.
Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah.
Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesailah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga saman itu. Tidak tertunggak.
Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.
Saman ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi had laju.
Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenali dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran.
Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke mahkamah bagi menjawab tuduhan memandu melebihi had laju.
ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
Read More...
Summary only...
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar akan menghantar surat kepada Dewan Negara meminta untuk tidak meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam.
Beliau berkata, ini kerana rang undang-undang itu hanya menguntungkan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan sistem berkenaan manakala rakyat yang terpaksa menanggung bebannya.
"Kita kecewa apabila tidak diberitahu model kewangan yang disebut itu. Sepatutnya diberitahu kepada awam apabila dia membabitkan syarikat yang akan mendapat habuan ataupun peratus daripada saman yang dikenakan kepada pemilik kenderaan.
"Jadi saya harap Dewan Negara menolak rang undang-undang ini dan saya akan menghantar surat kepada ahli Dewan Negara," katanya.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010, yang antara lain akan membolehkan pendaftaran kereta elektrik, pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) bagi membanteras pemanduan berbahaya, dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Darat (SPAN).
Bagaimanapun, rang undang-undang itu terpaksa melalui proses undi belah bahagian pada bacaan kedua yang menyaksikan 70 ahli Parlimen menyokong, manakala 40 lagi menentang.
Ini kerana majoriti ahli Parlimen, terutama Pakatan Rakyat mendesak supaya rang undang-undang itu ditarik balik kerana tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai pelaksanaan AES.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, bagaimanapun menegaskan bahawa pelaksanaan sistem AES tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan.
Menjawab desakan beberapa ahli Parlimen mengenai simulasi pulangan hasil daripada pelaksanaan AES pula, beliau berkata bagi setiap enam juta saman yang dikeluarkan, dua syarikat yang mengendalikan sistem itu akan berkongsi 34.3 peratus daripada hasil, manakala selebihnya iaitu 65.7 peratus akan diperoleh kerajaan.
Menurut Mahfuz, apabila undang-undang itu dilaksanakan, syarikat yang terlibat akan memastikan jumlah saman yang dikeluarkan melalui sistemnya dan akan mendapat faedah daripada saman yang dikeluarkan.
"Syarikat akan pastikan seberapa banyak saman akan dikeluarkan melalui sistem ini yang akan mengawal dan yang menjalankan operasinya ialah syarikat. Walaupun disebut ia dikawal oleh JPJ tapi saya percaya pihak JPJ tak ada kepakaran dalam sistem yang dibangunkan itu," katanya.
Tambahnya, pelaksanaan sistem ini juga tidak membantu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya dan mendidik pengguna jalan raya.
"Saya sangat kecewa kerana pembantangan undang-undang ini tidak mengatasi masalah kemalangan maut yang besar kerana tak ada hukuman kerana pemandu yang membawa kenderaan secara bahaya tapi yang ada hanyalah kesalahan nombor pendaftaran kenderaan sehingga menyebabkan hukuman penjara," katanya lagi.
Menjawab desakan beberapa anggota Parlimen mengenai simulasi pulangan hasil daripada pelaksanaan AES pula, beliau berkata bagi setiap enam juta saman yang dikeluarkan, dua syarikat yang mengendalikan sistem itu akan berkongsi 34.3 peratus daripada hasil, manakala selebihnya iaitu 65.7 peratus akan diperoleh kerajaan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, bagaimanapun menegaskan bahawa pelaksanaan sistem AES tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan kerajaan.
Menjawab desakan beberapa anggota Parlimen mengenai simulasi pulangan hasil daripada pelaksanaan AES pula, beliau berkata bagi setiap enam juta saman yang dikeluarkan, dua syarikat yang mengendalikan sistem itu akan berkongsi 34.3 peratus daripada hasil, manakala selebihnya iaitu 65.7 peratus akan diperoleh kerajaan.
Isu itu dibangkitkan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) ketika sesi perbahasan yang menggesa timbalan menteri berkenaan mendedahkan hasil bakal diperoleh syarikat pelaksana sistem AES.
Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) turut membangkitkan persoalan yang serupa kerana menyifatkan perkara itu penting diketahui rakyat.
"Apa yang Wangsa Maju (Wee) kata itu saya juga mahu tanya...rakyat bayar, potongan yang diberi kepada syarikat ini, rakyat yang diperas, syarikat ini esok makan darah rakyat, dia kembung perut tetapi rakyat menderita," katanya.
Asakan Wee dan Mohamad itu menyebabkan Abdul Rahim agak beremosi dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam mana-mana syarikat pengendali AES.
"Saya tidak ada kepentingan dalam syarikat-syarikat ini...kepentingan saya ialah kepentingan negara dan rakyat," katanya
Read More...
Summary only...