BlogList Malaysia
Showing posts with label kastam. Show all posts
Showing posts with label kastam. Show all posts

24 October 2012

Awang Adek Demam - Pegawai Kastam Beli-Belah RM1.8j

Apa yang bermula sebagai satu pertanyaan mudah berkaitan Laporan Ketua Audit Negara 2011 akhirnya bertukar menjadi huru-hara apabila para ahli Parlimen menjadi emosional semasa jawapan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin di peringkat jawatankuasa dalam perbahasan belanjawan Kementerian Kewangan.

Fong Poh Kuan (DAP-Batu Gajah) berkali-kali mendesak mendapatkan
jawapan dari Awang Adek (kanan) apakah tindakan yang akan diambil terhadap pegawai kastam yang membelibelah sebanyak RM1.82 juta tanpa kebenaran, tetapi diejek oleh penyokong BN kerana ia memanjangkan lagi sesi Parlimen yang sudahpun panjang.


Awang Adek berkata pegawai tersebut telah meletak jawatan dan audit telah mengenal pasti masalah tersebut, manakala (jabatan) kastam telah membuat laporan polis.

Tegasnya lagi, tindakan akan diambil kerana tiada siapa pun yang mahu melindungi orang yang bersalah.

Fong pula berkata beliau tidak berpuas hati dengan jawapan Awang Adek, sambil meminta penyokong BN supaya senyap.

Katanya beliau mahu tahu apakah tindakan yang akan diambil, dan bukan setakat berkata 'akan, akan, akan', tetapi mahu jawapan yang konkrit.

Fong juga meminta supaya penyokong (BN) menghormatinya kerana beliau sedang menjalankan tugasnya, sambil menegaskan, jika mereka tidak berminat, mereka boleh balik.

Sementara itu, Awang Adek berkata kesalahan telah dikenal pasti dan tindakan akan diambil, sambil bertanya kepada Fong apa lagi yang dia mahu dan meminta ahli Parlimen DAP itu mencadangkan kepadanya, apakah jenis tindakan yang dia mahu?

Fong: Apa tindakan? Hanya laporan polis?

Awang Adek: Satu laporan polis telah dibuat, apa ini ... Aiyo ... Okay, saya mengucapkan terima kasih kepada semua, Wassalamualaikum.

Awang Adek yang kelihatan berang duduk di kerusinya dan enggan menjawab sebarang soalan lagi, termasuk soalan yang telah dikemuka oleh ahli parlimen lain sebelum itu, manakala Fong pula terus mendesaknya.

Ini menyebabkan beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat membantah
tindakan Awang Adek itu dan Dewan menjadi riuh-rendah: "Tak boleh! Tak boleh! kami telah menunggu sepanjang hari untuk mendapatkan jawapan!".

Timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee kemudian campurtangan, dengan menyatakan bahawa Awang Adek akan memberikan jawapan bertulis dan berkata sesi tamat dan Awang Adek telahpun menjawab selama satu jam 20 minit.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pakatan termasuk Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) tidak puas hati.

Chong Eng berkata, mana boleh Awang Adek menjadi emosional dan enggan menjawab soalan.

Azan pula mencelah, dengan berkata mereka sering dijanjikan jawapan bertulis sebelum ini, tetapi tetapi tidak pernah menerimanya.

Pada ketika ini, Ronald memberi jaminan bahawa jawapan bertulis akan diberikan "secepat mungkin" dan merayu kepada ahli Parlimen berkenaan supaya tidak bertengkar tetapi usahanya itu tidak berhasil.

Timbalan speaker itu akhirnya putus asa cuba untuk mengawal ahli Parlimen dan terus meminta undian dengan suara untuk meluluskan bajet Kementerian Kewangan dan kemudiannya menangguh sidang semalam dalam keadaan Dewan menjadi riuh-rendah dengan jeritan bantahan.

Ketika ditemui di luar Dewan kemudiannya, Awang Adek menjelaskan bahawa tindakan selanjutnya terhadap pegawai kastam itu hanya akan diputuskan selepas siasatan polis selesai.

"Satu laporan polis telah dibuat, apa lagi yang (MP) Batu Gajah mahu? Adakah dia mahu bunuhnya?" katanya.

Ditanya mengenai dakwaan ahli Parlimen tidak menerima jawapan bertulis seperti yang dijanjikan oleh kementerian lain, Awang Adek berkata beliau adalah seorang yang mengotai janjinya.

'Saya kurang sihat'

Pada masa ini, Chong Eng yang kebetulan lalu di situ, terus melepaskan rasa kecewaannya tetapi akhirnya berbual dengan elok dengan imbalan menteri itu.

Chong Eng: Aiya, apa ini!

Awang: Jangan macam itulah (MP) Bukit Mertajam, saya demam hari ini, anda tak tahu.

Chong Eng: Mengapa tak cakap? (Beralih kepada media) Beliau sangat emosional hari ini, dia tidak boleh terima cabaran

Awang: Saya demam...

Kedua-duanya kemudian berdamai dan Awang Adek memberi jaminan beliau akan memberikan jawapan bertulis kepada Chong Eng hari ini


Read More...

20 October 2011

Keluarga: Bagaimana bahan bukti SPRM 'dapat kepada papagomo?'

Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad menimbang untuk membuat laporan polis berhubung satu dakwaan yang disiarkan dalam satu blog pro-Umno bahawa allahyarham antara lainnya mempunyai seorang perempuan simpanan.

Blog berkenaan juga mendakwa bahawa allahyarham bukanlah seorang yang bersih, kata seorang anggota keluarga itu, Makhtar Mansor yang menafikan dakwaan tersebut.

Polis perlu menyiasat dakwaan berkenaan, kata Mokhtar, yang turut akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Katanya, beliau akan membuat laporan kepada SPRM kerana dakwaan tersebut turut melibatkan bahan bukti yang diambil daripada siasatan badan itu ke atas kes melibatkan allahyarham.

Bercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, Makhtar mendakwa, tulisan dalam blog tersebut turut menyertakan foto yang didakwa sebagai perempuan simpanan berkenaan.

Keluarga allahyarham pergi ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum menggesa perdana menteri menubuhkan suruhanjaya diraja untuk membolehkan siasatan kes kematian bekas pegawai kanan jabatan kastam itu dibuka semula.

Makhtar mendakwa, apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana gambar berkenaan dapat terlepas ke blog berkenaan.

"Macam mana gambar dalam telefon bimbit arwah dapat kepada (blog) papagomo?," soalnya yang mendakwa, foto berkenaan tersimpan di dalam telefon bimbit allahyarham.

Menurutnya, telefon bimbit itu telah dirampas SPRM ketika siasatan dijalankan ke atas pegawai kastam itu.

Makhtar mendakwa wanita di dalam foto berkenaan juga bukanlah seorang wanita simpanan, seperti didakwa blog berkenaan.

Sebaliknya, dakwa beliau, wanita itu merupakan rakan kepada seorang anak perempuan allahyarham.

"Anak arwah telah pinjam telefon arwah untuk rakam gambar tersebut," katanya Makhtar lagi yang juga seorang bekas majistret.

Katanya lagi, pihak keluarga allahyarham telah mengetahui mengenai dakwaan dalam blog tersebut sejak dua minggu lalu.

"Ini yang buat keluarga rasa begitu sedih," katanya lagi.

Malaysiakini

Read More...

25 September 2011

Jangan aib Kastam, Sarbaini dengan video seks tanpa asas

vKUALA LUMPUR, 25 Sept — Blog-blog pro-Umno, yang mengeluarkan klip video seks dengan entri mengaitkan inkues kematian Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed, tidak wajar menyiarkan bahan-bahan tanpa bukti, yang secara langsung mengaibkan Kastam Diraja Malaysia dan individu yang sudah pun meninggal dunia.

Presiden Kesatuan Pegawai-pegawai Kastam Semenanjung Malaysia Ibrahm Ahmad berkata, blog The Unspinners tidak wajar mengeluarkan klip video berjudul “Pegawai Kastam Yang Terlampau” — yang merujuk kepada agensi itu dan kakitangannya kerana inkues hanya menyiasat kematian Sarbaini, yang mati ketika berada di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata beliau, fokus inkues sangat jelas iaitu melihat pada punca kematian Sarbaini di SPRM dan bukannya soal lain.

Sarbaini merupakan salah seorang daripada 62 orang pegawai Kastam disoal siasat oleh SPRM awal April lalu.


“Permintaan kami, tolong hentikan kerja-kerja menyiarkan klip video yang mengaibkan orang lain, tolong hentikanlah,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Pihak kesatuan kecewa dengan pemblog yang menyiarkan klip ini. Tolong jangan kaitkan dengan inkues Sarbaini kerana inkues tersebut sedang berjalan untuk mencari punca kematian Sarbaini,” kata beliau lagi.

Keputusan inkues akan diketahui esok.

“Tindakan blog ini sebenarnya akan menyebabkan reputasi atau maruah keluarga Sarbaini tercemar, juga menyebabkan maruah keseluruhan Jabatan Kastam turut tercemar,” tambah Ibrahim.

Ibrahim yang agak terkejut dengan tindakan blog itu menambah, “kami tidak mengesyaki siapa di belakang perbuatan ini.”

“Kami tidak syak sesiapa, walaupun ada orang kata pihak ini pihak itu. Saya tak berani tuduh... tak tahu, cuma kita minta (pemblog dan laman blog) hentikan perbuatan macam ini,” katanya lagi.

Kelmarin, The Malaysian Insider membawa laporan penyiaran klip berkenaan, usaha yang dilihat sebagai percubaan mahu mencemarkan reputasi pegawai-pegawai Kastam Diraja Malaysia menjelang keputusan inkues yang akan diumumkan berhubung kematian Sarbaini.

Video itu, yang kelihatan dirakamkan secara rahsia, menunjukkan seorang lelaki Melayu mengadakan hubungan seks dengan wanita Caucasus, dipercayai di sebuah bilik hotel.

Blog The Unspinners merupakan laman pertama mengeluarkan video itu, mendakwa lelaki dalam rakaman itu adalah seorang pegawai kastam manakala wanita itu pula pelacur rakyat Rusia.

Lelaki dalam video itu tidak dinamakan tetapi pemblog itu memaut rakaman tersebut yang berjudul “Pegawai Kastam Yang Terlampau,” dengan kematian seorang pegawat kastam di bangunan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Pemblog itu berpendirian selari dengan kedudukan SPRM dan peguamnya Datuk Seri Muhamad Shafee Abdullah ketika prosiding berkenaan kematian Sarbaini.

Video itu dikaitkan dengan Kastam Diraja Malaysia selepas balu Sarbaini memberikan satu kenyataan kepada Raja Petra Kamarudin yang mengendalikan blog Malaysia Today, mendakwa kenyataan Shafee dan SPRM telah mencemarkan nama suaminya.

Maziah Manap berkata dia tidak gembira dengan kenyataan Shafee kerana mendakwa suaminya cuba mahu melepaskan diri daripada SPRM untuk bertemu dengan seorang rakannya dan bagi memastikan kenyataan mereka adalah konsisten.

Kata blog itu, Sarbaini adalah pegawai kastam yang ada kes rasuah yang sedang disiasat dan “hairannya Raja Petra cuba nak pertahankan kematiannya seolah-olah SPRM ada lakukan ‘foul play’.”

Pemblog itu menambah, apa yang ditulis Raja Petra adalah motif pembangkang yang mahu kes Sarbaini seperti mendiang bekas setiausaha politik Teoh Beng Hock bagi mendapatkan sokongan pegawai kerajaan.

Pada 12 September lalu, Shafee berkata keputusan inkues berhubung kematian Sarbaini, Penolong Pengarah Kastam Selangor, perlu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Shafee mewakili SPRM dalam inkues itu berkata tiada sedikitpun keterangan untuk mencadangkan bahawa kematian beliau disebabkan dibunuh atau terdapat pembabitan pihak ketiga seperti didakwa seorang peguam bagi keluarga itu, Awtar Singh.

Shafee berkata, mangsa telah mati selepas jatuh dari belebas tingkap di tingkat tiga tingkat bilik pantri dan ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.

Shafee juga menjelaskan bahawa SPRM tidak mempunyai sebab untuk marah atau kecewa memandangkan bahawa mangsa telah bercadang untuk menukar kenyataannya pada 6 April 2011.

Dalam penghujahan bertulis 19 halaman, Awtar berkata wujud elemen ‘main kotor’ oleh SPRM yang menyebabkan kematian Sarbaini.

“Mungkin SPRM tidak berniat menyebabkan kecederaan kepada mangsa atau membunuhnya, tetapi terdapat elemen kecuaian dalam kes ini yang menyebabkan kematian Sarbaini,” katanya.

Awtar berkata siasatan ke atas kematian Sarbaini tidak begitu lengkap kerana banyak persoalan masih belum berjawab termasuk kenapa mangsa berada di luar tingkap.

Inkues itu bermula 4 Julai lalu dan berakhir 4 Ogos.



Read More...

20 July 2011

Gempar.... Allahyarham Ahmad Sarbaini Ditolak Hingga Jatuh... Siapa Yang Tolak?

KUALA LUMPUR, 20 Julai – Peguam keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed menegaskan pihaknya akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat ekoran pendedahan baru dibuat editor portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu 6 April lalu.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Awtar Singh berkata, pendedahan yang dibuat Raja Petra itu ada asasnya kerana mustahil untuk Sarbaini membunuh diri seperti yang didakwa.

Selain itu, jelas Awtar, pada inkues yang akan bersambung 2 Ogos ini, beliau akan meminta agar mahkamah koroner sekali lagi melawat tempat kejadian di kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Mahkamah koroner yang diketuai Aizatul Akmal Maharani ada melawat tempat kejadian pada 5 Julai lalu.


“Kita akan buat satu laporan polis yang baru berhubung pendedahan dalam blog Raja Petra Kamaruddin, mana mungkin Ahmad Sarbaini bunuh diri... mungkin dia ditolak dari tingkap.

“Mungkin pada inkues nanti kita akan minta untuk sekali lagi ke bangunan (SPRM) untuk kaji dan lakukan semula tentang apa yang berlaku... kita memang sudah jangka Ahmad Sarbaini tidak mungkin bunuh diri.

“Kita akan buat laporan polis dengan segera, kita mahu polis siasat semula perkara ini sebab mustahil Ahmad Sarbaini boleh jatuh sendiri, saya tidak kata dia dibunuh tapi mungkin berlaku kecuaian,” kata Awtar.

Inkues Sarbaini telah bermula pada 4 Julai lalu dan ramai saksi termasuk ahli keluarga Sarbaini telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Sarbaini, penolong pengarah Kastam yang disiasat dalam Operasi 3B, ditemui mati di pejabat SPRM Kuala Lumpur di Jalan Cochrane pada 6 April lalu ketika datang secara sukarela bagi menukar pengakuannya.

Sebanyak 27 saksi telah selesai memberi keterangan di hadapan Aizatul Akmal sehingga 15 Julai lalu.

Tegas Awtar, pihaknya telah mengesyaki dua individu yang didakwa beliau terlibat dalam kematian Sarbaini..

“Kita juga sejak dari awal sudah mengesyaki dua suspek yang terlibat dalam perkara ini (kematian Sarbaini).

“Sebab, kalau dari segi kecederaan yang dialami (Sarbaini) seperti ada sesuatu yang berlaku, apa sahaja boleh berlaku,” tambah Awtar.

Raja Petra dalam entri terbaru dalam blognya berkata Penolong Penguasa SPRM Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad telah membawa Sarbaini ke pejabat Ketua Unit Siasatan SPRM Kuala Lumpur Mohd Fauzi Husin yang terletak di sebelah bilik pantri di aras tiga bangunan SPRM itu.

“Di sana, Sarbaini telah ‘didera’ secara lisan (kerana mahu mengubah keterangan). Secara tiba-tiba mereka membawa Sarbaini ke bilik pantri dan telah menghukum Sarbaini dengan mengarahkan dia berdiri di atas kaki lima tingkap (bilik pantri).

“Mohd Fauzi juga mengatakan ‘orang macam kau ni lebih baik mati dari hidup menyusahkan orang lain’, terkejut dengan itu Sarbaini memanjat tingkap dengan terus dihina Mohd Fauzi.

“Sheikh Niza hanya melihat sahaja, dan secara tiba-tiba tali pinggang Sarbini tersangkut di kaki lima tingkap, hilang pertimbangan dan jatuh lalu meninggal dunia,” dakwa beliau.

Sarbaini sebelum ini dilaporkan membuat pengakuan menerima rasuah, namun bertindak mengubah keterangan yang diberikan itu.

Pada 15 Julai lalu, DSP Sharul Othman Mansur berkata, Sarbaini tidak membunuh diri ataupun dibunuh.

Sharul Othman, yang merupakan pegawai forensik berkata penelitiannya di kawasan kejadian, Sarbaini cuba untuk melompat ke arah gelanggang badminton tetapi terjatuh menyebabkan kematiannya.

Baca seterusnya disini

Read More...

04 July 2011

Inkues Sarbani - Balu Beritahu Suami Dianiaya

KUALA LUMPUR, 4 Julai - Balu Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed mendedahkan bahawa suaminya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal April lalu kerana telah dianiayai oleh ejen berhubung baucer bernilai RM100. Bercakap pada inkues yang bermula hari ini, Maziah Manap, 50, menceritakan peristiwa yang berlaku antara 1 dan 6 April lalu. Dia menceritakan peristiwa itu apabila disoal Abazafree Abas yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues.

“Pada 1 April (sebelah pagi) saya mendapat panggilan daripada anak mengatakan abah nak cakap kerana kawan abah ada tapi saya tak sempat cakap, panggilan terputus. “Ketika saya pulang ke rumah pada pukul 9 malam anak beritahu saya abah tidur di SPRM, saya cuba hubungi dia tapi tak dapat,” kata Maziah.

Kata Maziah, pada keesokan hari dia cuba untuk menghubungi suaminya pada sebelah pagi namun gagal. Sebaliknya, Maziah berkata dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya yang berbunyi “kalau kita di pihak benar Allah akan bantu, kalau boleh baliklah sebab esok kita ada kursus haji.”


“Kemudian pada pukul 11 pagi suami hubungi minta ambil dia di pejabat SPRM, suruh datang naik teksi sahaja. “Ketika tiba di sana, saya disoal oleh seorang pegawai SPRM yang bernama Ghani berkenaan harta saya dan saya ceritakan semua sekali tapi saya dipersoalkan berkenaan dengan wang KWSP.

“Pegawai itu tanya dari mana datang duit dan saya beritahu ia adalah duit KWSP dan saya keluarkan sebahagian sebab dah berumur 50 tahun. “Tapi saya terus dipersoalkan oleh pegawai itu dan saya minta senaraikan dokumen yang diperlukan agar saya boleh sediakan,” katanya.

Kemudian kata Maziah, dia akhirnya dibenarkan untuk menemui suamninya di tingkat atas pejabat SPRM. Dia bertanya kepada suaminya mengenai tindakan SPRM itu. “Dia kata ejen aniaya dia, saya tanya macam mana dan dia kata pasal baucer berharga RM100.

“Ejen sudah mengaku RM70 ejen ambil dan RM30 suami saya... suami kata dia tak ambil dan tidak terima baucer itu,” katanya. Pada 4 April, Maziah berkata suaminya memberitahunya akan ke pejabat SPRM kerana mahu menyelesaikan masalah yang berlaku.

“Pada sebelah malam suami bercakap kepada ‘apalah orang SPRM ini, saya ada tiga kereta tapi suruh kata empat kereta’. “Saya tanya mana datang lagi sebuah, suami kata masuk kereta yang sudah dijual,” katanya.

Sumber - TMI

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

Inkues kematian Sarbani hari ini

KUALA LUMPUR 3 Julai - Inkues untuk menyiasat kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, April lalu, akan bermula esok.

Perbicaraan yang ditetapkan berjalan selama 10 hari sehingga 15 Julai ini akan didengar oleh Majistret Aizatul Akmal Maharani yang bertindak sebagai koroner.

Pada 3 Jun lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini untuk mengadakan inkues tersebut selain turut menyertakan laporan kematian mengejut (SDR) mengenai kejadian tersebut.


Sehari sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dilaporkan bersetuju dengan cadangan PDRM supaya satu inkues diadakan berhubung kematian Ahmad Sarbani.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dalam laporan terdahulu menyatakan, inkues itu perlu diwujudkan bagi menyiasat secara menyeluruh punca kematian Ahmad Sarbani.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini pada 6 April lalu.

Dia meninggal dunia disebabkan kecederaan parah akibat jatuh dari tempat tinggi.

Ahmad Sarbani dilaporkan pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

26 May 2011

MP gesa polis jelaskan sebab kematian Sarbani

Ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad hari ini menggesa polis mengemukakan penjelasan lanjut berhubung sebab kematian pegawai kanan kastam Ahmad Sarbani Mohamed bagi mengelakkan kesangsian bahawa isu berkenaan cuba ditutup.

"Semua orang masih tidak puas hati dengan penjelasan (polis). Bagaimana (Sarbaini) pergi ke SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dengan rela hati untuk berjumpa pegawai penyiasat, tiba-tiba ditemui mati," kata Khalid.

Jelasnya, kesangsian itu timbul memandangkan polis setakat ini hanya menjelaskan bahawa "Sarbaini tidak dibunuh" dan "mati mengejut."


"Banyak lagi persoalan yang pihak polis tidak jawab. Saya nak pertikaikan mengapa dia susah payah (ke SPRM) kalau dia hendak bunuh diri.

"Polis mesti jelaskan apa yang (Sarbaini) hendak ceritakan kepada SPRM sehingga membawa kepada kematiannya," kata Khalid lagi dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Jelasnya, isu berkenaan perlu dijelaskan memandangkan balu Sarbaini sendiri telah membuat satu laporan polis berhubung kes kematian itu, berdasarkan satu perbualan dengan salah seorang pegawai kanan SPRM.

Masiah @ Maziah Manap, 50, dalam laporannya pada awal bulan ini mendakwa bahawa pegawai yang dinamakannya sebagai Ghani itu telah memberi gambaran kepadanya bahawa salah seorang kakitangan bawahan terlibat dalam kes berkenaan.

"Saya menyatakan kepadanya bahawa saya reda dengan kematian suami saya. Seterusnya saya bertanya soalan – apakah Encik Ghani akan buat sekiranya Encik Ghani berada di tempat saya?

"Apa yang mengejutkan saya ialah jawapan yang perlahan daripada Encik Ghani yang menyatakan – 'Bukan saya...Orang saya.'

"Saya membuat laporan ini kerana saya mengesyaki bahawa Encik Ghani terlepas cakap semasa perjumpaan di pejabat kastam," laporan tersebut dipetik.

Dalam laporan itu juga, Masiah berkata pertemuan itu dilakukan di satu pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Subang pada 28 April lalu.

Sarbani, 56, ditemui mati di dalam dalam premis ibu pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 6 April lalu setelah hadir ke pejabat berkenaan bagi bertemu salah seorang pegawai berhubung kes siasatan melibatkan dirinya.

Beliau merupakan antara 62 orang pegawai kastam yang ditahan pada 1 April dalam satu operasi besar-besaran SPRM ke atas jabatan berkenaan.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

24 May 2011

Keluarga Ahmad Sarbini Patut Saman Mangkuk Ni..


Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, berkata ketegasan SPRM menangani jenayah rasuah sudah mula menunjukkan kesan positif kerana ia memberi tekanan jiwa yang hebat terhadap penjenayah rasuah sehingga ada sanggup membunuh diri.


“Apabila suspek jenayah rasuah sanggup membunuh diri berbanding menghadapi tindakan di mahkamah, ia menunjukkan usaha dan kerja SPRM selama ini sudah mula menunjukkan kesannya."katanya.


... tuduhan yang terlalu kurang ajar lagi biadap....

Sumber - http://dppwm.blogspot.com


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

14 May 2011

Petunjuk Baru Bukti Sarbani Tidak Bunuh Diri !!

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, 56, pegawai kastam yang ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lalu, percaya mangsa tidak membunuh diri berdasarkan petunjuk baru diperolehi akhir bulan lalu.

Petunjuk itu merujuk kenyataan 'bukan saya... orang saya' yang dilafazkan oleh seorang pegawai SPRM kepada balu mangsa, Masiah @ Maziah Manap, 50, ketika pegawai berkenaan serta beberapa individu lain dari SPRM menemui Masiah dan dua anaknya untuk menyerahkan kembali dokumen peribadi Allahyarham di Pejabat Kastam Subang, Selangor, pada 28 April lalu.

Peguam yang mewakili keluarga Allahyarham, Awtar Singh, dari Tetuan Awtar, Ghazali, Augustine & Co berkata, jawapan mengejutkan itu terpacul dari mulut pegawai itu sebaik Masiah meluahkan perasaannya berhubung kematian suaminya sebelum bertanya kepada pegawai berkenaan apa yang akan dilakukan jika pegawai itu berada ditempatnya.


Katanya, pada ketika itulah, pegawai berkenaan dengan nada perlahan mengeluarkan kata-kata 'bukan saya...orang saya' kepada Masiah tetapi apabila Masiah mahu mendapatkan penjelasan apa dimaksudkan 'orang', pegawai terbabit hanya mendiamkan diri.

"Masiah sudahpun membuat laporan polis berhubung petunjuk baru itu pada 2 Mei lalu, namun sehingga kini kami difahamkan polis belum mengambil keterangan daripada mana-mana individu berhubung maklumat terbaru itu.

"Dengan maklumat yang ada berserta maklumat baru ini, anak guam kami yakin sepenuhnya bahawa arwah tidak membunuh diri sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu sebelum ini," katanya pada sidang media di frima guaman berkenaan di sini, semalam.

Sementara itu, rakannya, Ghazali Mohd Ramli dari firma guaman sama berkata, keluarga Allahyarham mengesyaki kenyataan 'terlepas cakap' pegawai SPRM itu mendedahkan siapa yang bertanggungjawab di dalam kes kematian Ahmad Sarbani.

Katanya, kenyataan akhbar semalam juga bagi menyangkal dakwaan dan spekulasi dibuat akhbar dan media elektronik yang memberi gambaran bahawa ada kemungkinan Allahyarham membunuh diri akibat tekanan yang diterima daripada siasatan yang dibuat SPRM.

Ahmad Sarbani yang juga Penolong Pengarah Cawangan Import, Eksport dan Kawalan Sempadan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor ditemui mati di tingkat satu, pejabat SPRM berkenaan yang terletak di Jalan Cochrane pada 6 April lalu, selepas datang ke kepajabt itu untuk memberi keterangan berhubung siasatan dilakukan agensi itu.

Polis sebelum ini mengesahkan siasatan kes kematian itu sudah selesai dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kerana mendapati tiada unsur jenayah.

Pejabat Peguam Negara yang menerima kertas siasatan itu daripada polis bagaimanapun memulangkan semula kertas itu kepada pasukan berkenaan untuk siasatan lanjut termasuk mengambil semula keterangan seorang saksi berhubung kes berkenaan secara terperinci. -BH



SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

22 April 2011

Keluarga Tidak Puas Hati, Nak Tahu 'Kisah Sebenar'

Keluarga Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis dan mendakwa ia tidak dibuat secara menyeluruh bagi mengetahui punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu.

Sebaliknya, menurut sumber rapat keluarga Ahmad Sarbani ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, pihaknya mempersoalkan hasil siasatan polis kerana ia tidak dibuat secara menyeluruh selain didakwa cuba “menyembunyikan” sesuatu daripada diketahui umum.

“Keluarga mempersoalkan kenapa hasil siasatan tidak begitu menyeluruh, macam nak sorokkan sesuatu... bila sudah jadi macam ini, cuba pula nak sorokkan sesuatu.

Kindle Wireless Reading Device, Wi-Fi, Graphite, 6" Display with New E Ink Pearl Technology
“Kami sekeluarga tertanya-tanya adakah cerita ini akan habis begini sahaja, kami memang tidak berpuas hati dengan hasil siasatan dan kami tetap nak tahu apa yang terjadi, kami nak tahu kisah sebenar,” katanya.

Kata sumber itu, keluarga Ahmad Sarbani sedia maklum punca kematian Allahyarham adalah jatuh dari paras tinggi tetapi apa yang dipersoalkan adalah bagaimana beliau boleh jatuh sehingga membawa kepada kematian bapa lima anak itu.

“Kami sekeluarga tetap mempersoalkannya, siasatan macam tak begitu menyeluruh... kami memang tahu Allahyarham jatuh dari tempat tinggi tapi atas sebab apa dia jatuh? Sebab apa dia mati, sebab apa yang saya tahu kebiasaannya kalau jatuh dari tingkat tiga dia mungkin hanya akan patah-patah sahaja tapi ini sampai mati (meninggal dunia) pula.

“Sebab itu kami nak tahu apa yang terjadi, sebab apa dia jatuh? Adakah benar dia jatuh dari tingkat tiga dengan sindiri atau ditolak dari atas?

“Kami nak tahu semuanya, kami memang tidak puas hati dan kami nak tahu cerita yang sebenarnya,” tambah sumber itu.

Ditanya mengenai kemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kelalaian sekali gus membersihkan dakwaan kononnya Ahmad Sarbaini membunuh diri sebagaimana yang dikatakan sebelum ini, sumber itu berkata, ia akan dibincangkan bersama keluarga terdekat.

“Kami akan bincangkan dulu perkara ini, nanti akan dimaklumkan kemudian,” jawabnya ringkas.

Semalam polis berkata kematian Ahmad Sarbaini disebabkan kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM.

Justeru Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata, beliau menyerahkan kes tersebut kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Katanya, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Jelas Zulkifli, punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Minggu lalu, keluarga Ahmad Sarbani memberitahu The Malaysian Insider bahawa berkemungkinan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM jika hasil siasatan polis tidak memihak keluarga pegawai kastam itu.

Ahmad Sarbani ditemui mati di aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan 6 April lalu.

Ahmad Sarbani merupakan salah seorang daripada 62 pegawai kastam yang menjadi tumpuan Operasi 3B kendalian SPRM dan beberapa agensi kerajaan yang lain.

Kematian Ahmad Sarbani merupakan kejadian kedua dalam dua tahun ini membabitkan premis SPRM. Kes kematian Teoh Beng Hock, yang ditemui jatuh dari Plaza Masalam, yang menempatkan pejabat SPRM Selangor pada Julai 2009, masih disiasat oleh suruhanjaya diraja - tvs

KLIK UNTUK SPONSOR BLOGLIST
Photobucket

Read More...

08 April 2011

Kesatuan harap anggotanya tak 'dipukul' SPRM

Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung berharap anggotanya tidak akan "dipukul atau dijentik" ketika disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

NONEPresidennya, Ibrahim Ahmad berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden melibatkan seorang anggotanya, Ahmad Sarbani Mohamed (kiri), yang ditemui mati di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Rabu lalu.

Menjawab soalan, Ibrahim berkata, setakat ini belum ada laporan polis melibatkan anggota dikasari SPRM.

"Ini cuma kebimbangan kita. Kita tidak mahu (berlaku) paksaan dan kita tidak mahu (anggota kastam) dipukul," katanya dalam satu sidang media petang ini.

Mengulas lanjut, beliau turut meminta media supaya membetulkan laporan berhubung insiden melibatkan Allahyarham Ahmad Sarbani.

"Kita juga berharap nama Allahyarham dapat dibersihkan daripada perkataan 'membunuh diri.'

"Beliau sangat jujur. Kita ingin nama beliau dibersihkan," katanya lagi dalam sidang media itu.

KLIK LAA SPONSOR KAT BAWAH TU..
Photobucket

Read More...

07 April 2011

Rakan sekerja Sarbani syak berlaku unsur khianat

Beberapa orang rakan Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui hari ini mengesyaki berlakunya unsur khianat dalam kes kematian pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu.

Salah seorang rakannya sekerja Allahyarham, yang enggan dinamakan, berkata Ahmad Sarbani berdepan dengan tuduhan menerima rasuah.

Namun, beliau menjelaskan bahawa Allahyarham merupakan pegawai yang "paling bersih" dan paling disukai di kalangan kakitangan beliau di pejabat JKDM Selangor itu.

Katanya, kakitangan berkenaan mengetahui siapakah yang sebenarnya menerima rasuah dan Allahyarham setentunya tidak berbuat demikian.


Sumber berkenaan turut mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaksa Allahyarham supaya mengakui dakwaan berkenaan.

SPRM turut mengugut untuk memenjarakan pegawai kastam berkenaan sekiranya tidak mengakui dakwaan tersebut, dakwa sumber itu lagi. - mkini

KLIK LAA SPONSOR KAT BAWAH TU..
Photobucket

Read More...

Mustahil Sarbani boleh bunuh diri, kata rakan-rakannya

Kawasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini menjadi tumpuan rakan-rakan Ahmad Sarbani Mohamed sebaik sahaja mendengar kematian penolong pengarah Kastam itu, yang ditemui mati di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pagi tadi.

Bagaimanapun kebanyakan mereka yang kelihatan terkejut dan sedih melahirkan satu pandangan yang sama – mustahil bagi pegawai Kastam itu (gambar) yang berusia 56 tahun – boleh mengambil keputusan untuk membunuh diri dengan terjun dari bangunan tinggi.

Dengan berpakaian Kastam Diraja Malaysia sejumlah kakitangan agensi itu berhimpun di kawasan hospital sementara menunggu hasil bedah siasat.

Sesetengah pula didapati tidak dapat mengawal perasaan.


Keluarga Ahmad Sarbani pula kelihatan “mengawal” isteri dan lima anaknya, yang diiringi ke bilik menunggu dewan mayat dengan muka mereka ditutup bagi mengelak dirakamkan oleh media.

Saudara-mara juga enggan memberi sebarang komen kepada pemberita yang membanjiri kawasan bilik mayat.

Rakan zaman kanak-kanak Ahmad Sarbani, Ridzuan Mohamad memberitahu The Malaysian Insider, dia tidak percaya apabila dimaklumkan kematian penolong pengarah itu.

“Saya sangat rapat dengan dia dan dia seorang yang rendah diri. Saya merasakan tuduhan SPRM ke atasnya mengarut. Jika benar, tunjukkan bukti.

“Cara mereka menyoal siasat dia tidak adil,” katanya.

“Dia hanya dijadikan kambing kerana seseorang,” kata Ridzuan,bekas pemberita ini, yang berusia 46 tahun.

Ridzuan juga memberitahu tidak logik Ahmad Sarbani boleh membunuh diri kerana dia sentiasa mempertahankan bahawa dirinya tidak bersalah.

“Malam tadi dia panggil saya dan memberitahu saya bahawa dia sedang disoal siasat oleh SPRM. Dia berkata dia rasa tidak bersalah kerana tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Dia juga berkata dia akan menghantar satu dokumen esok (hari ini), untuk menghantar dokumen,” katanya lagi.

Seorang lagi rakannya, Ashaari Isa juga yakin Ahmad Sarbani bukan seorang yang boleh mengambil tindakan membunuh diri.

“Itu yang SPRM mahu berkata, tetapi bagi mereka yang mengenali dia secara peribadi adalah mustahil (boleh membunuh diri),” katanya lagi.

“Personaliti dan tingkah laku dia adalah bukti dia seorang yang kuat beriman,” kata ahli perniagaan berusia 57 tahun ini.

Justeru kata Ashaari, dia mahu SPRM menjelaskan mengapa seorang pegawai kanan Kastam sanggup untuk membunuh diri dan mahu ditunjukkan rakaman CCTV kepada umum.

Ashaari, yang memandu dari kampung Ahmad Sarbani di Perak, dengan rasa marah menafikan bunuh diri sebagai punca kematiannya.

“Lelaki dari kampung saya tidak akan membunuh diri, tetapi kami bunuh orang,” katanya dengan nada beremosional.

Ahmad Sarbani merupakan sebahagian daripada 62 orang menjadi radar Operasi 3B sejak minggu lalu dan dia mati dipercayai selepas jatuh dari bangunan agensi itu di Jalan Cochrane di sini, pagi ini.

Insiden terbaru ini, yang sekali lagi mengejut dan menggemparkan negara, berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock, yang ditemui mati selepas disiasat SPRM di Shah Alam, dua tahun lalu.

SPRM memulakan Operasi 3B minggu lalu dan telah menahan 62 pegawai kastam di seluruh negara.

Sebahagian besar daripada telah dibebaskan sementara menanti siasatan susulan.

Pada satu sidang media di sini tengah hari tadi, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mustafar Ali berkata mangsa ditemui mati di gelanggang badminton kira-kira 10 pagi tadi.

Ahmad Sarbani telah dibebaskan oleh SPRM selepas diikat jamin Sabtu lalu.

Mustafar berkata mayat pegawai itu ditemui di aras bawah, selepas didapati tidak kelihatan di bilik dia diminta menunggu pada pukul 10.15 pagi.

Kata beliau, Ahmad Sarbani datang ke bangunan SPRM kira-kira 8.26 pagi tanpa sebarang temu janji dengan pegawai siasatan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada sidang media itu, SPRM berkata, “antara pukul 10.15 pagi hingga 10.20 pagi satu kejadian telah berlaku di bangunan SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Cochrane, Kuala Lumpur di mana seorang individu telah ditemui meninggal dunia.”

“Individu yang ditemui meninggal dunia ini dikenal pasti sebagai Ahmad Sarbani Mohamed, berumur 56 tahun, seorang Penolong Pengarah Kastam,” kata kenyataan itu.

SPRM mengesahkan bahawa Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang telah ditahan pada 1 April lalu di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang.

“Penama tersebut setelah membantu dalam siasatan yang melibatkan Operasi 3B iaitu satu siasatan berkaitan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, telah dilepaskan melalui jaminan pada 2 April, pukul 12.30 tengah hari.

“Penama tersebut telah pun meninggalkan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas dilepaskan melalui jaminan tersebut,” kata kenyataan itu lagi.

Katanya, Ahmad Sarbani telah datang ke Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seorang diri dengan menunggang motosikal dan meminta untuk berjumpa dengan pegawai penyiasat bagi berbincang mengenai kes terhadapnya.

“Oleh kerana pegawai-pegawai sedang bermesyuarat, maka penama berkenaan telah menunggu di lobi pejabat sehingga pukul 9.30 pagi.

“Penama tersebut kemudian telah diiringi oleh seorang pegawai ke bilik pejabatnya untuk mendapatkan pegawai penyiasat menemui penama tersebut. Pegawai yang mengiringi penama tersebut telah berada bersamanya dalam bilik pejabat pegawai berkenaan,” katanya lagi.

Kenyataan itu menambah, lebih kurang 10.15 pagi, pegawai yang mengiringi beliau telah meninggalkan penama tersebut di pejabatnya dan keluar sebentar pergi mendapatkan pegawai penyiasat.

“Dalam beberapa minit kemudian, pegawai tersebut telah kembali ke pejabatnya dan mendapati penama berkenaan tiada dalam bilik berkaitan,” tambah kenyataan tersebut.

“Setelah mencari dalam kawasan pejabat, seorang pegawai telah terlihat satu tubuh manusia terlantar di tingkat satu bangunan pejabat ini.

“SPRM telah pun memaklumkan kejadian ini kepada keluarga si mati dan pihak pengurusan jabatannya serta menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil sebarang tindakan,” kata kenyataan itu lagi.

KLIK LAA SPONSOR KAT BAWAH TU..
Photobucket

Read More...

06 April 2011

Pegawai kastam mati jatuh bangunan SPRM

Seorang pegawai kastam yang membantu siasatan kes rasuah membabitkan cukai tidak dibayar, dan dibebaskan dengan ikatjamin dua hari lalu, ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibunegara pagi ini.

NONEMangsa tersebut difahamkan adalah seorang pegawai kanan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia (JKDM) Selangor.

Sementara itu, Star Online melaporkan bahawa pegawai berkenaan difahamkan balik semula ke bangunan SPRM hari ini untuk pegawai penyiasat.

Pegawai penyiasat telah memintanya menunggu di situ sementara pergi mengambil fail kes tersebut.


Bagaimanapun, apabila balik semula ke situ, dia mendapati pegawai Kastam tidak ada, kata pengarah penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali.

Menurutnya, mayat pegawai kastam itu ditemui di tingkat bawah bangunan tersebut pada jam 10.15 pagi.

KLIK LAA SPONSOR KAT BAWAH TU..
Photobucket

Read More...

04 April 2011

Rasuah Yang Amat Memalukan Negara

PENDEDAHAN SPRM berhubung kehilangan wang negara sebanyak RM108 billion setiap tahun sungguh mendukacitakan. Sebanyak RM10 billion dipinda secara haram. Kesal dan rasa hendak marah atas apa yang berlalu. Bagi mereka yang tahu menghitung dan tahu implikasi ke atas kewangan negara atas perbuatan itu benar-benar merasa geram dan dukacita. Kenapa ini berlaku?

Yang megejutkan kehilangan itu ada sangkut paut dengan Jabatan Kastam di Raja Malaysia (JKDM), yang diberi tanggungjawab mengutip pelbagai cukai untuk pendapatan negara. Jabatan ini bolehlah dianggap sebagai tangan yang menentukan berapa banyak wang negara dihimpun untuk perbendaharaan negara.

Kalau mereka menyeleweng tidak amanah dan lebih mementingkan diri sendiri, jelas amanah itu sudah diabaikan. Perbuatan mereka yang terlibat bukan saja merugikan negara dan meletakkan jabatan itu ditahap yang paling rendah.


Apa lagi wang yang hilang membabitkan jabatan ini bukan sedikit.

Mungkin ada kalangan kita akan tertanya-tanya kenapa terjadi demikian? Kenapa begitu buruk sekali jabatan berkenaan? Apakah keperluan hidup mereka tidak mencukupi sehingga sanggup mengambil idea syaitan untuk mengenapkannya?

Bila terdedahnya malapetaka akibat JKDM hari ini maka saya teringat apa yang pernah saya dengar sebelum ini. Sukar untuk dipercayai sebenarnya, tetapi bila SPRM meledakkan hari ini baru saya merasakan apa yang saya dengar itu ada benarnya, bukan sesuatu prejudis.

Pernah saya mendengar seorang bekas pengarah JKDM memberi laluan kepada mana-mana pegawainya menerima rasuah asalnya perbuatan berkenaan tidak menjejaskan nama baik jabatan. Kerana keperluan untuk hidup, rasuah dibenarkan. Beliau sendiri katanya hidup mewah lebih daripada pendapatan sebagai seorang pengarah. Paling menyedihkan lagi beliau akan berbangga kalau dapat menyamun (terima rasuah) dalam angka yang besar.

Yang paling mengejutkan lagi perbuatan itu diketahui oleh perdana menteri ketika itu tetapi beliau (PM) juga seakan-akan membenarkannya. Mungkin hasil penyamuan secara rasuah itu ada habuan untuk dirinya juga atau pun kepentingan-kepentingan politiknya.

Jadi apakah bahana atau pun seperti mana diistilah oleh SPRM itu tangan kotor dalam jabatan berkenaan wujud atas aspirasi dan semangat dan dorongan pengarah berkenaan? Mungkin dan saya yakin kenapa ada tangan-tangan kotor begitu ialah kerana mereka mendapat blessing dan perlindungan daripada pihak tertentu.

Saya percaya dan yakin perbuatan mereka sebelum ini bukan tidak boleh dihidu, tetapi kerana ada persekongkolan secara bersepadu maka mereka dibiarkan saja. Kenapa hari ini mereka dibenteras, mungkin keadaanya sudah parah dan menjadi budaya dalam jabatan berkenaan.

Kita berharap atas jenayah yang berlaku itu hendaklah dipertanggungjawabkan. Dalam hal ini pihak yang perlu bertanggungjawab ialah menteri yang mengawal jabatan berkenaan. Dan sehubungan itu sekali lagi kerajaan perlu merombak keseluruh jabatan berkenaan, membersih saki baki pengkhianat negara yang berselindung di sebalik jabatan berkenaan.

Isu kehilangan wang itu bukan berhenti setakat SPRM menahan 62 orang pegawai kastam saja tetapi ia perlu mendalam ke sarafnya. Saya percaya rasuah itu tidak akana menular begitu sekali kalau tidak ada pesekongkolan bersepadu dengan pihak berkuasa dalam politik.

Tahniah kepada SPRM, dan kejayaan itu integriti dan keyakinan orang ramai kepada SPRM akan lebih melonjak lagi. Semoga selepas ini SPRM akan menbongkar rasuah di jabatan atau agensi kerajaan lain pula.

Sumber - http://msomelayu.blogspot.com/

KLIK LAA SPONSOR KAT BAWAH TU..
Photobucket

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas