Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim berkata jika Selangor dan negeri-negeri lain di negara ini dikuasai atau kekal di bawah pemerintahan BN, ia tidak akan menjadi negara Islam.
"MCA akan terus mempertahankan kepentingan orang Cina dan tidak akan membiarkan Selangor menjadi sebuah negara Islam," kata Pengerusinya, Datuk Donald Lim.
"Ini juga tidak akan berlaku di mana-mana negeri dan negara yang ditadbir oleh BN. Ini adalah janji kami kepada rakyat Selangor," kata Lim (kanan dalam gambar) dalam ucapan pembukaannya di konvensyen MCA Selangor hari ini
Satu contoh Islamisasi di Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sekarang, katanya, ialah percubaan Majlis Bandaran Kuala Selangor untuk mengasing tempat di pawagam mengikut jantina.
Lim menggesa semua ADUN keturunan Cina di Selangor, khususnya dari Pakatan Rakyat, supaya menyatakan pendirian mereka terhadap cita-cita PAS untuk mewujudkan negara kebajikan Islam dan undang-undang hudud.
http://www.malaysiakini.com/news/206668
18 August 2012
MCA Selangor - Kami Akan Halang Malaysia Jadi Negara Islam
09 June 2012
Nik Aziz kecam Harussani
KOTA BHARU - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan parti itu mahu mendapat kemenangan dalam pilihan raya sebagai matlamat untuk menguasai kerajaan sekali gus membina kerajaan Islam.
Sambil mengecam kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, Nik Aziz berkata, tiada jalan lain bagi sesebuah kumpulan untuk mendapat kuasa melainkan kemenangan dalam pilihan raya.
"Kepada yang kata Pas nak kerusi, saya kata ya, saya nak kerusi, bahkan meja pun saya nak juga kerana jika tidak ada kerusi tidak boleh buat kerajaan, kalau tidak ada kerajaan, maka Islam tidak boleh berjalan, demokrasi pun tidak boleh,” katanya, semalam.
Sebelum ini, Harussani mendakwa Pas sebuah parti yang hanya mahu merebut ‘kerusi’ dalam pilihan raya dan tidak menghiraukan masa depan agama Islam dan bangsa Melayu kecuali kedudukan dan kepentingan politik semata-mata.
Dalam pada itu, Nik Aziz turut mempersoalkan kenyataan Harussani yang mendakwanya seorang yang keras hati kerana menolak muzakarah antara Umno dengan Pas.
"Apa yang saya lakukan itu adalah istiqamah, bukannya keras hati,” katanya.
Dalam pada itu, Nik Aziz turut nafi pernah ‘menjanjikan’ syurga kepada pengundi yang memilih Pas, sebaliknya beliau menjelaskan mereka yang undi Pas mendapat pahala.
- Sinar Harian
18 October 2011
Orang Melayu Perlu Sokong Kerajaan Islam - TGNA
Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan orang Melayu supaya berpegang kepada kerajaan yang berasaskan Islam.
Menurutnya, sepatutnya orang Islam tidak berpegang kepada mana-mana ideologi termasuk sistem kebangsaan yang tidak mampu memenuhi keperluan sebagaimana yang dituntut oleh agama.
Beliau turut mendakwa, sistem kebangsaan bukan daripada ajaran Islam sebaliknya menyamakannya dengan ajaran Yahudi.
“Kita di negara ini, orang Melayu beragama Islam mesti pegang kerajaan berasaskan Islam dan tidak berasaskan kepada kebangsaan sebab (kebangsaan) itu bukan daripada ajaran Islam. Itu ajaran Eropah, ajaran Yahudi dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Kebangkitan Rakyat Pas Ganti Umno di Pantai Pandak, Chendering, di sini, kelmarin.
Nik Aziz turut menyelar sikap Umno yang didakwanya cuba memisahkan politik daripada agama sedangkan perkara itu tidak pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Realitinya, beliau berkata, Islam tidak pernah memisahkan antara keduanya dan rakyat perlu mendukung kerajaan berasaskan Islam.
Sehubungan itu, katanya, mereka yang menerima bukan Islam sebagai dasar kerajaan dan mengambil kebangsaan sebagai dasar pemerintahan, bukan daripada ajaran Nabi Muhammad SAW.
“Dulu, Nabi Muhammad SAW menjadi Perdana Menteri waktu sampai ke Madinah. Umno kata agama lain politik lain, cuba tanya Umno, siapa yang memegang kerajaan di Madinah jika bukan Nabi Muhammad SAW ,” katanya.
[Sinar Harian]
11 June 2011
Negara Kebajikan - Siapa Tiru Siapa?
PAS tidak akan meniru Barisan Nasional (BN) melaksanakan program kebajikan pada rakyat yang di dalamnya mengandungi unsur rasuah, penyelewengan dan penipuan.
Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ketika ditemui di majlis minum pagi di perkarangan Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Komoniti (JKKK) Sungai Dua pagi tadi sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Najib menyaran PAS agar tidak meniru Umno untuk mewujudkan negara berkebajikan kerana perkara itu telah dilaksanakan oleh kerajaan BN.
Sebaliknya, kata Tuan Ibrahim, Negara Berkebajikan yang disarankan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar muktamar baru-baru ini mempunyai agenda tersendiri dan jauh daripada anasir buruk sepertimana yang dilakukan kerajaan pimpinan Najib.
"Siapa yang nak tiru siapa. PAS tidak seinci pun akan meniru langkah BN melakukan program kebajikan kepada rakyat kerana usaha itu sering terdapat penyelewengan, penipuan atau kepentingan kroni. Bagi PAS semua itu akan ditentang bagaimana Najib kata kita tiru BN," tegasnya.
Katanya, yang sebenarnya BN meniru langkah Pakatan Rakyat apabila cuba melaksanakan sedikit demi sedikit rancangan 10 perkara yang termaktub dalam Buku Jingga.
Beliau berkata, jika Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya selepas Pilihanraya Umum ke 13 nanti pasti rakyat akan menikmati banyak manfaat yang tidak pernah dilaksanakan di era pemerintahan BN.
Jelasnya, gagasan Negara Berkebajikan yang ingin diperkenalkan oleh PAS kepada rakyat berlainan dengan cara Umno dan BN lakukan kerana Negera Berkebajikan bukan sebuah negara yang hanya membantu rakyat semata-mata tanpa kerajaan sendiri mengubah cara pentadbiran.
“Umno melalui BN dan PAS dalam Pakatan Rakyat berlainan corak pendekatan. Umno memperkenalkan kebajikan dan mengulangi apa yang mereka lakukan bila terdesak khususnya ketika menjelang pilihanraya sama umum mahupun kecil. Tetapi PAS, tidak begitu kerana bila menang ia adalah amanah yang perlu dijagai demi memastikan rakyat mendapat manafaatnya," tambah beliau.
Katanya, konsep kebajkan yang dipandang oleh BN seperti jalan raya, sekolah, perumahan, rumah kos rendah atau sebagainya tidak memadai.
Bagi PAS, katanya ini kerana semua isu tersebut sudah menjadi kewajiban sebagai pemerintahan.
Sebaliknya, tambah beliau PAS menerusi Negara Berkebajikan lebih memfokuskan bagaimana mendapatkan dana negara untuk mengurus pentadbiran agar tidak menyeleweng.
Menurutnya, sumber yang diperolehi pula tidak hanya berlegar di kalangan kroni sahaja tanpa memberi ruang kepada pihak yang sewajarnya memperolehi berdasarkan kemahiran atau tender terbuka.
Turut hadir dalam program anjuran PAS Kawasan Tasek Gelugor dan JKKK Sungai Dua itu ialah Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Fadhil Kemi, Ketua Penerangan PAS Negeri, Zulkiply Ishak, Setiausaha PAS Tasek Gelugor, Zamri Darus, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Jamil Abdul Rahman, Penyelaras Dun Sungai Dua, Fahmi Abdul Wahab dan Pengerusi JKKK Sungai Dua, Yahya Hasan.
10 June 2011
Dr. Asri: Umno hipokrit kecam konsep negara kebajikan PAS
Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, Umno memperlihatkan sikap hipokrasi mereka dengan menentang pendirian terbaru PAS, yang minggu lalu mengetengahkan konsep negara berkebajikan.
Sehubungan itu kata Asri (gambar), Umno sebagai parti teras Barisan Nasional (BN) dan mewakili suara orang Melayu, seharusnya mengalu-alukan perubahan pendirian PAS yang sebelum ini dilabel sebagai konservatif dan fanatik.
“Saya tidak tahu apa pendirian Umno sebenarnya. Dulu Umno yang mengecam PAS kata dikuasai oleh golongan ulama, sekarang golongan profesional ada, mereka masih hentam.
“Saya lihat Umno macam hipokrit... dulu dia (Umno) yang mengatakan bahawa PAS ini (parti) jumud, jadi saya lihat ini sikap yang tidak betul,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Kita tidak sepatutnya hentam mereka, sebaliknya perlu terbuka dan mengalu-alukan perubahan pendirian PAS ini... dulu bukan Islam takut dengan konsep negara Islam, sekarang PAS lebih terbuka, lebih ke depan daripada Umno... patut Umno alu-alukan dan bukannya mengkritik PAS,” kata beliau.
Tenaga akademik ini mengulas perkembangan kritikan ke atas PAS sejak pada Jumaat lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Ke-57 menekankan konsep membangun negara berkebajikan.
Dalam komen balasnya semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata konsep negara berkebajikan dibawa Pakatan Rakyat khususnya PAS adalah selari dengan kehendak Islam.
Katanya, konsep berkebajikan tidak semestinya memberi sesuatu dalam bentuk material, sebaliknya ia boleh diberikan dalam bentuk kebaikan seperti tindakan kerajaan PAS Kelantan menghapuskan riba dan menutup kelab malam.
Justeru kata Menteri Besar Kelantan itu, kedua-dua perkara tersebut membawa kebaikan kepada rakyat dan keluarga lebih selamat daripada menerima masalah tekanan kewangan dan penularan gejala negatif sosial.
Kata Nik Aziz, berkebajikan itu ialah perkara yang boleh memberi keselamatan kepada rakyat sama ada di dunia dan di akhirat.
Ini pandangan kedua Asri mengenai pendirian PAS yang menyentuh konsep negara berkebajikan.
Sabtu lalu, beliau menyifatkan PAS sudah mula memperlihatkan “kemajuan memberangsangkan” memandangkan ia sanggup mengakui bahawa dalam al-Quran tidak disebut negara Islam, cuma ditekankan ialah negara berkebajikan.
Muktamar PAS yang berakhir Ahad lalu dilangsungkan dengan penekanan ke atas tema negara berkebajikan, susulan daripada manifesto pilihan raya umum parti itu tiga tahun lalu.
Kata Asri, sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih ke hadapan, namun hari ini dengan kenyataan Hadi akan memberi nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.
Pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Ke-57 Jumaat lalu, Hadi berkata, belum tiba masanya untuk parti itu meninggalkan usaha membentuk ‘negara Islam’, isu yang disifatkan sebagai duri dalam daging dalam hubungannya bersama DAP sebelum ini.
Hadi dipetik berkata, PAS akan meneruskan gagasan negara berkebajikan yang disepakatinya bersama komponen Pakatan Rakyat kerana perkara yang lebih penting adalah pelaksanaan dan bukannya menumpukan jenama ‘negara Islam’ itu semata-mata.
“Belum tiba masanya (tinggalkan usaha bentuk negara Islam). Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan.
“Sebab itu kalangan DAP melihat sendiri kerjasama kita dengan mereka. DAP kata mereka minum arak, kita tak boleh larang dia. Kita bukan macam kalangan setengah (pemimpin) BN yang boleh minum arak sama,” katanya.
Dalam ulasan terbaru ini, Asri berkata, pendirian Umno seolah-olah menunjukkan bahawa “keadaan sudah terbalik” memandangkan parti itu ditolak ke belakang manakala PAS pula kelihatan dan menunjukkan sikap keterbukaan.
“PAS kini nampak lebih terbuka macam Umno dalam tahun 1980-an, patut Umno lebih mengalu-alukan perubahan sikap PAS... dulu mereka yang hentam ulama PAS, kononnya PAS ini fanatik... sekarang sudah terbalik keadaan,” kata Asri lagi.
“Sekarang PAS sudah berubah, Umno pula menentang. Saya pun tidak tahu apa yang Umno buat, saya rasa Umno sudah silap perhitungan,” katanya lagi.
08 June 2011
Rumah Kata Pergi Pun Tak Reti Nak Bertaubat Lagi Ke?
Pengerusi DAP yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh menggesa mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya berkelakuan seperti seorang negarawan ulung dan menutup mulutnya.
Katanya, Dr Mahathir yang sedang “meniti usia yang senja” sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya supaya bertaubat atas segala salah laku silamnya.
“Dia banyak buat kesalahan (semasa menjadi perdana menteri) dan sepatutnya menggunakan sisa-sisa kehidupannya untuk bertaubat kerana banyak bersalah kepada negara dan rakyat,” katanaya.
“...Sebagai perdana menteri, dia sangat degil dan tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu.”
Menurut Karpal lagi, Mahathir juga tidak sepatutnya campur tangan dalam hal ehwal Pakatan Rakyat.
Beliau mengulas komen dalam blog yang dimuat-naik oleh Mahathir semalam yang mendakwa Karpal sepatutnya gembira dengan barisan kepimpinan baru PAS yang dikatkan lebih rapat dengan DAP.
Mahathir menulis Karpal tidak lagi perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya terlebih dahulu jika parti tersebut berhasrat mahu menubuhkan sebuah negara Islam kerana, perjuangan pengerusi DAP itu sudah pun tercapai tanpa perlu dia bersusah-payah.
"Tokoh yang memang besar di sebalik muktamar kali ini adalah Karpal. Perjuangannya supaya PAS gugurkan matlamat untuk mendiri negara Islam yang akan menguatkuasa hukum hudud sudah pun tercapai. Karpal tidak perlu mati untuk PAS melangkah mayatnya.
"Belum pun dia mati, PAS sekarang sudah menjadikan perjuangan untuk negara Islam dan hukum hudud tidak lagi perkara utama. Sekarang PAS akan berjuang untuk negara kebajikan," kata Mahathir dalam blognya.
Mengulas tulisan itu, Karpal berkata Mahathir juga tidak harus lupa bahawa sekitar 2001 di perhimpunan Gerakan, mantan perdana menteri itu telah berkata Malaysia adalah sebuah "negara Islam".
“Kenyataan di blognya itu tak perlu kerana dia sudah berkata demikian, kali pertama pada 2001, kecuali dia sudah lupa,” kata Karpal.
Beliau juga mengalu-alukan tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu membawa Malaysia ke sebuah negara berkebajikan jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.
.
05 June 2011
Bila Masa Pulak Muhyiddin Peduli Dan Sokong Negara Islam??
KUALA LUMPUR, 5 Jun — Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa PAS mengorbankan prinsip-prinsip Islam demi kepentingan politik sedangkan parti itu sepatutnya menggunakan muktamar kali ini untuk mencari kebenaran di sebalik isu video seks didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan presiden Umno itu juga mengecam PAS bimbang kebenaran di sebalik video seks itu, yang didedahkan “Datuk T” Mac lalu, akan mencemar imej agama yang dibawa parti itu.
“Kemungkinan mereka sudah tahu latar belakang isu video itu . . . atau siapa orang dalam video,” kata Muhyiddin di sini hari ini.
“Tetapi ia (seharusnya) telah dibawa ke muktamar mereka . . . sebagai parti politik yang diasaskan atas prinsip-prinsip Islam, mereka seharusnya mencari kebenaran,” kata timbalan perdana menteri ini selepas melawat ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini.
Pagi tadi muktamar 2011 PAS membincangkan usul dibawa Dewan Ulamanya, yang antara lain mengutuk sikap membisu di kalangan ulama rasmi kerajaan, yang didakwa tidak tegas dalam mengutuk tindakan penayangan video seks oleh “Datuk T”.
“Mengutuk tindakan kerajaan BN yang membenarkan video lucah dalam televisyen dan media cetak seolah-olah penayangan ini dilesenkan oleh kerajaan.
“Mengutuk sikap membisu di kalangan ulama rasmi kerajaan yang tidak tegas mengutuk tindakan yang tidak berakhlak, seolah-olah penayangan video ini mendapat restu daripada mereka,” kata usul itu.
Usul itu merujuk kepada penayangan video seks pada 21 Mac lalu kepada media-media terpilih, yang pelakonnya didakwa mirip Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat.
Anwar sudah pun menafikan dakwaan itu.
Menurut usul itu, fitnah adalah salah satu daripada dosa besar yang dikutuk oleh Allah kerana ia melibatkan maruah dan jati diri seseorang.
Umno dan media miliknya Kumpulan Utusan Malaysia menyerang PAS atas alasan mempertahankan Anwar dalam video seks itu.
18 May 2011
Presiden TI-M sahkan tiada ikrar PM Kristian, agama rasmi ganti Islam
KUALA LUMPUR, 18 Mei — Tiada sebarang bentuk pakatan atau konspirasi antara komuniti Kristian dan pemimpin DAP di Pulau Pinang awal bulan ini untuk menjadikan Malaysia negara Kristian, kata Datuk Paul Low.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) itu yang hadir sebagai penceramah undangan pada program Unashamedly Ethical Conference (UEC) 5 Mei lalu di George Town berkata, ikrar yang dibuat hanyalah berkaitan dengan pendekatan antirasuah.
“Saya boleh mengesahkan bahawa tiada pakatan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi atau kata sepakat mahu melantik perdana menteri daripada kalangan Kristian dibuat pada 5 Mei atau bila-bila masa ketika persidangan itu,” kata Low pada sidang media di sini hari ini.
Low (gambar) menambah, beliau amat risau ekoran dakwaan-dakwaan dibuat oleh beberapa blogger dan juga akhbar Utusan Malaysia kononnya ada sesi ikrar mahu melantik perdana menteri daripada kalangan Kristian.
Pada sidang media khas ini, beliau beberapa kali menekankan bahawa dakwaan sedemikian adalah tidak benar.
Sambil mempertahankan penganjuran persidangan itu, Low berkata, tujuannya adalah untuk menggalakkan amalan “beretika, nilai-nilai baik dan kehidupan yang bersih” di kalangan penganut Kristian.
Katanya, ikrar atau kata sepakat yang dibuat termasuklah yang berkaitan dengan lafaz Integriti Korporat kendalian Institut Integriti Malaysia (IIM), Pemandu dan TI-M.
Sehubungan itu kata Low, beliau bersedia untuk memberikan kenyataannya kepada polis.
Low juga berkata, beliau melihat isu semasa semakin membesar dan ia tidak baik bagi negara.
“... saya merasakan bertanggungjawab untuk mengatakan bahagian saya. Saya tidak boleh duduk diam. Saya telah hadir pada majlis itu, saya ada dalam gambar yang disiarkan di Internet,” kata Low lagi.
Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian agama rasmi?” pada 7 Mei lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.
Akhbar harian milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan paderi-paderi di sebuah hotel di Pulau Pinang.
Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu “pembohongan yang bahaya.”
15 May 2011
Pesanan Untuk Ibrahim Ali Yang Jahil - Islam Tak Suruh Umatnya Berbunuhan
SHAH ALAM 15 MEI : Islam adalah agama yang cintakan keamanan dan menegah umatnya daripada melakukan kehancuran di atas muka bumi Tuhan.
Malah Islam menjamin hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing seperti firman Allah S.W.T dalam Al-Quran.
Berlandaskan hujah itu, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nur Manuty berkata, adalah tidak wajar seorang Islam mahu menganjurkan suatu pertumpahan darah yang hanya membinasakan umat manusia tanpa alasan yang benar-benar kukuh.
" Islam agama yang mahukan keamanan. Semua manusia yang berlainan agama diperuntukkan dalam Al-Quran, haram darahnya kalau kita membunuh manusia. Satu nyawa yang hilang seolah-olah kita membunuh semua manusia," kata Manuty.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang menyatakan kesediaannya melancarkan perang salib ke atas penganut Kristian yang didakwa mahu merampas kedudukan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
Hakikatnya paderi Kristian yang didakwa mengadakan perbincangan mengenainya menafikan bahawa wujud dakwaan seperti yang dilaporkan media kawalan Umno, Utusan Malaysia awal bulan ini.
Menurut Nur, tindakan Ibrahim Ali yang juga ahli parlimen Pasir Mas itu mengeluarkan kenyataan sedemikian hanya bertujuan untuk "memanaskan" keadaan.
" Untuk provokasi lah tujuannya. Hendak timbulkan ketegangan supaya nanti dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas pemimpin-pemimpin Pakatan
Rakyat,"katanya.
Sementara itu, menurut ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, tindakan Ibrahim Ali yang mengugut mahu melancarkan perang jihad menunjukkan yang beliau sendiri tidak menghormati teras agama Islam itu sendiri.
" Ini lah masalah kita dari dahulu sampai sekarang. Orang yang bukan Islam, mereka tidak boleh gugat Islam, yang menggugat Islam ialah orang Islam sendiri yang tidak mengamalkan Islam termasuklah Ibrahim Ali,"katanya.
" Orang Kristian sudah katakan sebelum ini mereka memang tidak ada niat untuk cabar kedudukan Islam. Apa yang mereka mahukan ialah hak mereka untuk mengamalkan agama mereka dan itu memang suatu hak yang dijamin oleh Islam,"tambahnya lagi.
Menurut Khalid, tindakan itu juga merupakan talian hayat yang digunakan Umno-BN untuk mengembalikan sokongan pengundi Melayu terhadap parti itu setelah menyakini undi bukan Melayu tidak lagi memihak kepada mereka.
Pada masa sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishamuddin Tun Hussein pula mengeluarkan kenyataan dan dilihat cuba memejamkan mata dengan menyifatkan ia hanya pandangan Ibrahim dan tidak memudaratkan.
" Kita ada undang-undang hasutan yang sepatutnya memang boleh digunakan tetapi tidak digunakan. Tetapi dari dulu lagi, kalau (Umno-BN) membuat kerja-kerja seperti ini, yang akan ditangkap ialah orang PAS dan DAP," kata Khalid lagi.
11 May 2011
Anjing Besar Yang Kebal
Nasib gua tak sebaik nasib para blogger UMNporNO... Maksud gua, bukan nasib gua sorang je, malah nasib semua blogger pro Pakatan Rakyat tidak sebaik nasib blogger PenChaChai UMporNO...
Kalaulah kami mengedar gambar-gambar super-impose pimpinan tertinggi politikus Negara Malaysia - Hari ini kami sudah berada dalam Kem Kamunting menikmati hari-hari indah sebagai tahanan ISA (tanpa bicara).
Kalaulah kami mengedar "video seks" yang dikaitkan dengan pimpinan tertinggi politikus Negara Malaysia - Hari ini kami sudah berada dalam Kem Kamunting menikmati hari-hari indah sebagai tahanan ISA (tanpa bicara).
Kalaulah kami yang menulis artikel yang berbau sentimen perkauman - Hari ini kami sudah berada dalam Kem Kamunting menikmati hari-hari indah sebagai tahanan ISA (tanpa bicara).
Kalaulah kami menulis apa-apa artikel yang berbau sentimen keagamaan - Hari ini kami sudah berada dalam Kem Kamunting menikmati hari-hari indah sebagai tahanan ISA (tanpa bicara).
Blogger pro UMNporNO ini:
Selepas menulis artikel fitnah dalam blognya... Hari ini blogger ini masih bebas menulis.
Oleh: Perisik Rakyat
Islam tetap agama rasmi Malaysia
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan Islam adalah agama rasmi Malaysia dan meminta mana-mana pihak tidak mempertikaikan kedudukan tersebut.
Jelas Tuan Ibrahim, walaupun dalam Perlembagaan Persekutuan hanya menyebut agama Islam adalah agama Persekutuan, namun ia memberikan maksud Islam adalah rasmi negara.
“Persekutuan adalah bermaksud negeri-negeri yang bergabung membentuk persekutuan yang mana Islam adalah agama rasmi negeri-negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
“Agama rasmi Persekutuan adalah agama rasmi bagi negeri-negeri ini, jadi bila kata Islam agama Persekutuan maknanya Islam adalah agama bagi negeri-negeri itu dan ia adalah agama rasmi negara.
“Agama rasmi Persekutuan bermaksud agama rasmi Malaysia, ia sama sahaja sebab Persekutuan ini dibentuk dari negeri-negeri,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan peguam Syahredzan Johan yang mengatakan Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menggariskan bahawa Islam adalah “agama rasmi” negara dengan merujuk kontroversi yang tercetus ekoran laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu bahawa pengikut Kristian mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.
Syahredzan, ketua jawatankuasa perlembagaan Majlis Peguam berkata, tafsiran undang-undang oleh Utusan Malaysia adalah salah dan mengingatkan bahawa langkah akhbar harian itu sebagai “tanggapan salah yang bahaya”, yang boleh membawa negara ke arah rusuhan agama dan sosial.
“Dari segi Perlembagaan Persekutuan, hanya ada satu agama bagi persekutuan, tetapi bukan rasmi atau tidak rasmi.
“Perlembagaan sangat jelas dalam hal ini. Islam bukan agama rasmi,” kata beliau.
Mengulas lanjut kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara, Tuan Ibrahim berkata walaupun ada pihak mahu agama lain termasuk Kristian menjadi agama rasmi ia tidak boleh dilakukan kerana banyak prosedur yang terpaksa diikuti.
“Kalau kita lihat sebarang pindaan Perlembagaan Persekutuan ia melibatkan Dewan Rakyat, perlukan dua pertiga majoriti Parlimen dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebab itu bagi saya ini isu mainan yang sengaja diwujudkan untuk timbulkan keadaan kerana realiti ia tidak akan berlaku.
“Kedudukan Islam (sebagai agama rasmi) tidak perlu dipertikaikan dan tidak perlu bimbang dengan isu-isu yang sengaja dibuat... Islam adalah agama rasmi Malaysia,” katanya.
Justeru beliau meminta supaya semua pihak agar tidak memandang serius perkara itu seperti mana yang dilaporkan Utusan Malaysia kerana ia sengaja “dicipta” untuk mewujudkan ketegangan antara agama.
“Bagi saya ini bukan isu sebenar, ia adalah isu yang sengaja dibuat untuk menimbulkan satu suasana yang akhirnya memihak kepada Umno-Barisan Nasional (BN).
“Daripada tiada polemik jadi polemik, sedangkan perkara ini tidak pernah berlaku tapi sengaja dibuat,” katanya sambil menambah, “bagi saya isu ini adalah isu yang sengaja dibuat untuk mengalih pandangan rakyat daripada isu-isu sebenarnya yang berlaku.”
“Isu yang dihadapi oleh rakyat seperti kenaikan kos hidup, kenaikan harga gula dan kenaikan harga minyak... ini adalah isu yang dialihkan supaya rakyat tidak tumpu kepada isu yang mereka hadapi,” katanya.
Laporan Utusan Malaysia bertajuk “Kristian Agama Rasmi?”, yang diterbitkan Sabtu lalu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.
Akhbar milik Umno itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Bagaimanapun pemimpin-pemimpin DAP telah menafikan perkara tersebut sambil mengulangi pendirian mempertahankan Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Tambah Pesuruhjaya PAS Pahang ini, beliau tidak menolak isu-isu perkauman dan agama yang dimainkan Umno melalui Utusan Malaysia petanda pilihan raya umum ke-13 akan diadakan dalam tempoh terdekat.
“Ini adalah bunga-bunga kepada persiapan pilihan raya umum sebab setiap kali isu perkauman dan agama dimainkan ia adalah tanda pilihan raya (sudah dekat) dan Umno akan mengambil keuntungan di sebalik perkara ini
“Sebab itu, bagi kita, PAS dan Pakatan Rakyat sudah sepakat iaitu Islam agama rasmi, bahasa Malaysia bahasa rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu dipertahankan, hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dipertahankan, ini adalah dasar bersama kita dan tiada yang mempertikaikannya baik PAS, PKR dan DAP,” katanya.
09 May 2011
Islam Agama Rasmi tapi Cuti Hari Ahad?????
Lupakah kita siapa yang tukar cuti di Johor dari Hari Jumaat kepada Hari Ahad? Bukankah UMNO di bawah Muhyiddin Yaasin yang tukar hari cuti rasmi Johor dari Jumaat kepada Ahad? Juga, siapa yang tukar cuti umum dari Hari Jumaat kepada Hari Ahad di Perlis?
Hari Ahad ini Hari Ibadat agama yang mana? Agama Islam ke?
Konon marah pasal agama rasmi Malaysia. Tapi, mereka juga yang tukar Hari Cuti di Johor dari Hari Jumaat kepada Hari Ahad.
Juga, setakat ni, berapa negeri pimpinan UMNO yang menjadikan Hari Cuti mereka hari Jumaat?
Pahang tu hari cuti hari Jumaat ke Hari Ahad? Wilayah cuti hari apa? Melaka Cuti hari apa?
Di Selangor dan Penang, bukan UMNO yang mulakan cuti Hari Ahad ke?
Kalau Persekutuan dah buat cuti hari Jumaat, otomatik negeri semua dalam Malaysia akan bercuti hari Jumaat. Betul tak?
Dasar UMNO Parti Lidah Bercabang!!!!!
Tulang Besi
08 May 2011
Gereja timbang saman Utusan siar laporan palsu
Bishop Antony Selvanayagam mendakwa Utusan Malaysia berbohong kononnya Gereja Katolik Pulau Pinang berperanan dalam konspirasi, didakwa mahu menjadikan individu beragama Kristian sebagai perdana menteri sambil menegaskan, ia akan berunding dengan peguamnya mengenai bakal tindakan perundangan ke atas akhbar tersebut.
Katanya, beliau dan pertubuhan itu tiada tahu-menahu mengenai pertemuan yang Utusan Malaysia dakwa telah diadakan untuk menjadikan perdana menteri daripada kalangan komuniti Kristian dan mengubah status agama rasmi negara ini.
“Laporan itu tidak benar. Tiada pertemuan sedemikian di mana-mana gereja Katolik atau kemudahan di sini. Sebaga biskop, saya pastinya tahu,” kata beliau kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi malam tadi.
“Ini laporan palsu,” kata Selvanayagam.
Katanya, tiada mana-mana pihak kecuali The Malaysian Insider yangmenghubungi beliau untuk mendapatkan kesahihan maklumat sebelum menerbitkan laporan tersebut.
Justeru ditanya sama ada beliau bercadang untuk mengambil tindakan ke atas Utusan Malaysia, katanya:
“Dengan segera, buat masa sekarang, saya tidak dapat memberitahu apa-apa. Saya perlu berunding dengan Gereja Katolik dan penasihat undang-undang saya.”
Selvanayagam, yang menjadi biskop sejak 1980 juga menolak dakwaan mengaitkan Gereja Katolik dengan konspirasi politik untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini.
“Setahu Gereja Katolik, kami tidak terlibat,” katanya sambil menafikan keras tindakan kumpulan-kumpulan Islam untuk membawa gereja ke dalam kontroversi ini dengan menimbulkan isu pertikaian kalimah “Allah”.
Utusan Malaysia edisi semalam membawa laporan muka depan bertajuk “Kristian agama rasmi”, berdasarkan tulisan dibawa beberapa blogger pro-Umno.
Blog-blog itu menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang, Rabu lalu.
Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan syarat agama atau kaum bagi seseorang menjadi perdana menteri.
Pertubuhan National Evangelical Christian Fellowship (NECF) bersama Global Day of Prayer, Marketplace Penang dan Penang Pastors Fellowship menegaskan dakwaan terhadap komuniti adalah pembohongan dan telah pun menafikan dakwaan blogger berkenaan malam kelmarin.
Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi juga menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan pertemuan paderi dari seluruh negara, yang didakwa turut membincangkan agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan, sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.
Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut sebagai tetamu.
Petang semalam, DAP menolak laporan Utusan Malaysia yang mendakwa parti itu berkonspirasi dengan pemimpin-pemimpin Kristian untuk mengambil alih Putrajaya dan menggugurkan status Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Parti komponen Pakatan Rakyat itu juga mendakwa laporan akhbar milik Umno itu satu pembohongan yang bahaya kepada negara.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan, pembohongan sedemikian bercanggah dengan konsep 1 Malaysia yang dibawa oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno.
14 March 2011
Nik Aziz tunggu MCA tanpa syarat
Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat bersedia menerima kunjungan pemimpin MCA bagi membincangkan pengharaman jualan loteri di negeri itu tanpa sebarang syarat, kata setiausaha akhbarnya.
Ahmad Fadli Shaari berkata, tarikh dan tempat pertemuan itu bagaimanapun akan ditentukan kemudian, dijangka lusa (Rabu), apabila beliau pulang daripada menghadiri program di Kedah.
"Kita mengalu-alukan kesediaan MCA untuk bertemu dengan Tok Guru (Nik Aziz). Beliau terbuka, tak ada masalah," kata Ahmad Fadli yang juga ketua penerangan Pemuda PAS negeri.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Ahmad Fadli berkata, pihaknya dimaklumkan oleh MCA semalam berhubung perkara itu.
Semalam, setelah ditimbulkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MCA, presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata pihaknya mahu bertemu Nik Aziz bagi mendapatkan penjelasan berhubung tindakan kerajaan Kelantan itu.
Katanya, kecuali Nik Aziz, MCA tidak beminat berjumpa dengan sesiapapun bagi mendapatkan penjelasan kenapa pengharaman dibuat itu dibuat selepas 20 tahun PAS berkuasa di Kelantan.
01 February 2011
Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kepercayaan agama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat - yang disebutnya sebagai 'Islam Nik Aziz' - lebih teruk daripada 'Islam nasionalis'.
"Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis," kata Dr Mahathir.
Beliau rela mempertahankan (menteri mentor Singapura) Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu."
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, bayangkan sahaja pendekatan Islam bawah pemerintahan Nik Aziz ketika beliau duduk sebaris dengan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat seperti Lim Guan Eng (setiausaha agung), Karpal Singh (pengerusi) dan Lim Kit Siang (penasihat).
"Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew," sindir Dr Mahathir.
Pada 27 Januari lalu, Utusan Malaysia juga melaporkan Nik Aziz mengeluarkan kenyataan itu dengan membandingkan dengan sikap segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.
14 January 2011
PAS cadang dialog selesai isu azan
PAS Lembah Pantai mahu semua pihak yang terbabit dalam isu membantah azan di Masjid Ikhlasiah, Lembah Pantai mencarai jalan penyelesaian secara rasional bukan emosional.
Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Adlin Soleh dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebarang kaedah penyelesaian berbentuk konfrantasi hanya akan merumitkan lagi keadaan.
"Kita menolak sebarang bentuk konfrantasi yang tidak akan menyelesaikan masalah untuk jangka masa panjang.
"Oleh itu, PAS Lembah Pantai menawarkan dialog diantara kedua-dua pihak bagi menyelesaikan masalah ini,"katanya.
Apa yang penting dalam isu ini tegasnya, masyarakat bukan Islam perlu memahami dan diberi kefahaman tentang hak orang Islam mengamalkan agama termasuk dalam isu azan.
Di Malaysia katanya, bukan sekadar izu azan malah masyarakat Islam yang hidup berdekatan dengan rumah ibadah bukan Islam juga akan terdengar suara atau terbau tempias daripada upacara keagamaan agama lain.
"Kita juga memahami hak mereka beragama dan mengamalkan upacara agama mereka.
"Namun, jika kesemuanya dibangkitkan tanpa ada toleransi, ia akan mencetuskan suasana tegang dan tidak harmoni dalam negara kita," katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu bantahan azan yang didakwa 'terlalu lantang' di Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi oleh seorang peguam, sehingga pembesar suara di masjid tersebut terpaksa diperlahankan.
Peguam tersebut yang tinggal di pangsapuri Pantai Hill Park didakwa menghantar terus surat aduannya kepada perdana menteri sebelum dipanjangkan kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAWI serta akhirnya dimaklumkan kepada pihak masjid.
Dalam surat yang salinannya diberi oleh JAWI kepada pihak masjid, peguam itu mendakwa bunyi solat Subuh di masjid itu 'amat lantang' sehingga mengejutnya dari tidur.
27 December 2010
Dr. Asri Bantai Ketuanan Melayu
Keadilan Islam selamatkan Melayu bukan ‘ketuanan Melayu’, kata Asri
Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, masa depan orang Melayu akan terjamin jika sistem pentadbiran negara berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam, bukan Ketuanan Melayu yang menjadi polemik baru-baru ini.
“Yang boleh selamatkan orang Melayu bukan Ketuanan Melayu, bukan Raja-raja Melayu tetapi adalah Allah s.w.t.
“Jadi, kita perlu berlandaskan kepada prinsip keadilan Islam yang mana Islam untuk semua sama ada orang Melayu atau bukan Melayu.
“Setiap kaum perlu diberi nilai dengan Islam, tiada nilai orang Melayu tanpa Islam. Umno dibina atas dasar Melayu tetapi kalau dibina atas dasar Islam ia akan jadi lebih luas,” katanya pada Forum Polemik Ketuanan Melayu di Dewan Majlis Perbandaran Kajang di sini malam tadi.
Beliau juga mempersoalkan apabila istilah Ketuanan Melayu menjadi laungan dan slogan pihak tertentu sedangkan maksud sebenar ungkapan itu tidak dijelaskan dengan baik.
“Kena jelaskan perkataan Ketuanan Melayu ini, apa yang dipertahankan dan diperjuangkan melalui istilah ini? Adakah ia bermaksud hak keistimewaan orang Melayu atau ada maksud lain? Adakah hak keistimewaan orang Melayu ini menggunakan istilah ini (Ketuanan Melayu)?
“Maksudnya tidak dijelaskan, adakah keistimewaan orang Melayu dan Ketuanan Melayu ini mempunyai maksud sama? Jadi bagi saya relevan jika orang Melayu berpegang kepada prinsip keadilan Islam.
“Ini kerana ketuanan merujuk kepada prinsip keadilan Islam bukan Melayu atau rakyat, apa yang berlaku adalah kekeliruan istilah. Kita kena perpandukan kepada prinsip keadilan Islam,” katanya.
Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran PAS itu adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu Dr Hasan Mad, Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabky Yusof dan Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Ezaruddin Abdul Rahman.
Tambah beliau, isu Ketuanan Melayu tidak perlu dibangkitkan kerana ia bukan satu keperluan untuk diperdebatkan.
“Istilah Ketuanan (Melayu) ini adalah istilah yang kabur, jadi ia bukan keperluan untuk dibangkitkan kecuali kalau ia diperjelaskan. Malah, tindakan orang Melayu yang menggunakan istilah ini menimbulkan rasa kurang selesa di kalangan orang bukan Melayu yang mana mereka beranggapan Islam melakukan diskriminasi kaum.
“Mereka (orang bukan Melayu) bukan musuh, saya tidak nampak keperluan orang bukan Melayu adalah musuh kita, cuma banyak tindakan orang Melayu yang beri tanggapan sebaliknya.
“Kita perlu berbalik kepada Islam, Islam lebih luas tapi saya bimbang apabila istilah ini dimainkan ia akan meruncingkan lagi keadaan. Islam bukan eksklusif untuk orang Melayu sahaja, ia adil untuk semua,” katanya. - MI
20 December 2010
DAP Terima Negara Islam - Karpal Singh
Negara Islam: Karpal tutup mulut UmnoPenegasan Karpal Singh bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan sedia berbincang dengan PAS berhubung isu negara Islam, dilihat membuka satu episod baru, muafakat dalam Pakatan Rakyat.
Sebelum ini, biarpun duduk sebumbung dibawah payung Pakatan Rakyat, isu negara Islam antara yang dilihat masih menjadi tembok pemisah antara PAS-DAP.
Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pendirian terbaru Karpal itu ujarnya adalah satu kejayaan baru Pakatan Rakyat sekaligus meletakkan keakraban ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP kini pada tahap terbaik.
Ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PAS mengalu-alukan keterbukaan DAP itu dan melihat ianya satu perkembangan sangat positif dalam Pakatan Rakyat.
"Kita sangat alu-alukan kenyataan positif sebegini. Kesediaan untuk berbincang isu negara Islam ini adalah satu anjakan pemikiran besar oleh tokoh DAP itu," katanya.
Penegasan terbaru DAP itu juga katanya memperlihatkan komitmen sebenar Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Islam dan apa sahaja yang terkandung dalam Perlembagaan negara.
Ianya juga sekaligus menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan menjual Islam dan Melayu jika menguasai pemerintahan negara.
Beliau juga yakin, kenyataan Karpal itu akan menutup mulut Umno BN dari terus memanipulasi isu yang sejak dahulu membelengu PAS dan DAP itu, khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
"Dalam isu negara Islam ini, kita sebenarnya dikelirukan oleh permainan musuh-musuh kita.
"Namun keterbukaan Karpal menerima Islam sebagai agama rasmi, memperlihatkan satu komitmen bersungguh-sungguh DAP mempertahan Islam dan perlembagaan negara," katanya lagi.
Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas semalam berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.
DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memaklumkan satu pertemuan antara pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu akan dibuat secepat mungkin bagi merealisasikan hasrat itu.

