KOTA BHARU 29 Jan - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan bahawa dengan rela hati melepaskan dan tiada halangan untuk bekas Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa daripada menyertai mana-mana parti lain.
Menurut Nik Aziz, terpulang kepada Nasharuddin untuk menyertai parti lain
“Itu dia punya pasallah, saya sebut kelmarin kepada wartawan orang laki bini lagikan bercerai. Padahal kita nak sambut bini (isteri ) itu dengan sembelih lembu, palu gong gendang lah, selawat kepada Nabi, tetapi boleh bercerai. Ini kerana parti (Ini kan pula dalam parti).
“Dalam syarikat ekonomi dia (pengurusan) buang rakan kongsi dan apa sekali, kita hidup atas dunia ini ada peraturan. Islam adalah disiplin seratus peratus dunia akhirat. Islam adalah cara nak selamatkan dunia,” katanya kepada media.
Majlis Syura Ulama Pas mengumumkan perlucutan Nasharuddin kerana berdasarkan rekod Nasharuddin yang telah melanggar beberapa peraturan jawatankuasa berkenaan.
Read More...
Summary only...
(PENUH KECERIAAN ... Tg Nik Aziz memotong kek harijadinya ke 82 di rumah Karpal Singh dengan diperhatikan keluarganya)
KUALA LUMPUR: Sikap positif yang ditunjukkan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mengunjungi Pengerusi DAP Karpal Singh disambut air mata gembira oleh para penyokong Pakatan Rakyat.
Ini kerana, bagi mereka hubungan erat antara pimpinan parti dalam Pakatan Rakyat akan menambahkan keyakinan rakyat untuk mentadbir negara dengan baik apabila Pakatan berjaya ke Putrajaya nanti.
Petang semalam, Tuan Guru Nik Aziz mengunjungi Karpal Singh di Gelugor Pulau Pinang dalam suasana perayaan Thaipusan sedang meriah di kawasan kediaman Karpal itu.
Tuan Guru Nik Aziz dengan ditemani Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Salleh Man, disambut gembira oleh Karpal dan keluarganya. Tuan Guru Aziz berkunjung ke rumah Karpal dalam rangka lawatan beliau ke Pulau Pinang semalam dan malam tadi.
Tuan Guru Nik Aziz kemudiannya memotong kek hari jadinya yang ke 82 di rumah anggota Parlimen Bukit Gelugor di Jalan Scotland itu.
Setiausaha Dewan Ulamak, Ustaz Khairudin Aman Razali ketika menyambut baik berita ini berkata, beliau pernah membuat kenyataan sebelum ini, ahli PAS wajib mengundi calon DAP di kawasan mereka.
"Ia perlu sekiranya ia membantu untuk menjatuhkan kezaliman dan menegakkan kebajikan," katanya.
Ia juga dipersetujui oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ustaz Riduan Mohd Nor.
Karpal ketika mengulas kunjungan ini berkata, "Kehadirannya memberi mesej yang kuat bahawa kesatuan kami tetap utuh walau dengan apa yang telah berlaku.
"Kami memahami dan menerima perbezaan antara satu sama lain," kata Karpal kepada media selepas kunjungan itu.
Kegembiraan ini tidak dikalangan penyokong PAS dan orang Islam sahaja bahkan di kongsi bersama oleh orang bukan Islam yang ingin melihat Malaysia yang lebih baik.
Vivek Vairakkannu dalam komennya di Facebok TG Nik Aziz menulis: "Semoga Tok menyambut hari jadi selama-lamanya. Saya anggap Tok adalah tunggak utama untuk menyatukan rakyat Malaysia dengan aman dan makmur. Harap saya jabat tangan Tok satu hari dimana saya anggap Tok bersamaan dengan Mahtma Gandhi."
Read More...
Summary only...
Salam Hari Lahir.
Hari ini tepat 10hb. Januari 2013 adalah ulang tahun kelahiran Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Nik Abdul Aziz Nik Mat) merangkap Menteri Besar Kelantan.
Ulang tahun ini adalah yang ke 82 tahun. Hadiah dari rakyat Malaysia sebagai hadiah istemewa Hari Lahir kepada TGNA ialah "kami akan beri penuh semangat Himpunan 1 Juta Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari ini di Kuala Lumpur" "1Juta Sokongan tiada berbelah bahagi kepada TGNA." TAKBIR!!
Harap sesiapa berkeinginan untuk memberi ucapan sebagai hadiah istimewa sempena hari kelahirannya dgn harapan di samping itu dapat menghadirkan diri di Kuala Lumpur 12 Januari ini nanti.
Takbir!! (TGNA adalah Bapa Rakyat Malaysia)
Read More...
Summary only...
SHAH ALAM - Di sebalik polemik mengenai isu Amanat Haji Hadi yang berterusan termasuk desakan Umno mahu ia ditarik balik, Murysidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah "memurtadkan sesiapa."
Sebaliknya kata Nik Aziz, Hadi hanya menjelaskan batasan iman dan kufur sahaja.
"Tuan Guru Haji Hadi tidak pernah memurtadkan sesiapa, beliau hanya menjelaskan batasan iman dan kufur sahaja," kata beliau antara entri terbaru laman sosial Facebook.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, seseorang Muslim tetap murtad apabila terbatal syahadahnya sekalipun tanpa Amanat Haji Hadi.
"Dalam perjalanan ke Seremban dari KLIA, membaca akhbar hari ini (semalam) masih menyebut tentang Amanat Haji Hadi. Perlu diketahui bahawa seorang pesakit tetap sakit sekalipun tidak diberitahu oleh doktor.
"Seorang Muslim tetap jatuh murtad apabila terbatal syahadahnya sekalipun tanpa Amanat Haji Hadi," kata beliau yang malam tadi menghadiri majlis kutipan dana Pas menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
Read More...
Summary only...
Artis Diana Amir atau nama sebenarnya Nur Diyana Amir Hashim, tidak dapat menahan sebak apabila bersua dan mula berbicara dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pertemuan 25 minit itu berlangsung di Pejabat Menteri Besar kira-kira jam 11.35 pagi tadi.
Diana terpaksa berdiam diri seketika mengumpul ketenangan agar sebak berlalu pergi sebaik sahaja dijemput duduk di hadapan Tuan Guru dan mendengar bicara.
Diana yang akhirnya tenang semula akhirnya sebak kembali apabila Tuan Guru bertanya apa kisah di sebalik sehingga Diana berhasrat untuk berhijrah.
“Saya teringat pesanan Rasulullah s.a.w. sebelum baginda wafat, pesanan terakhir baginda ummati…ummati…di saat kematian baginda, masih lagi mengingati umatnya, betapa sayangnya baginda pada umatnya, tetapi kita…” ujarnya dengan nada yang tersekat-sekat.
Tuan Guru tidak menafikan perkara itu, malah baginda sebenarnya adalah rujukan yang sebenar untuk manusia di dunia ini.
“Baginda tidak berpesan pada saudara mara terdekatnya, tetapi pada umat baginda termasuk kita semua,” ujarnya.
Beliau juga berkata tidak kira artis atau sesiapa sahaja rujukan atau model sebenarnya yang patut dijadikan contoh adalah baginda Rasulullah.
Diana ketika ditemui selepas itu, mengakui tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja melihat wajah Tuan Guru Nik Aziz.
“Hati saya lagi tersentuh sebaik sahaja mendengar suaranya seorang ulama yang lemah lembut,” ujarnya.
Menurutnya, beliau sudah lama berhasrat untuk bertemu dengan Tuan Guru sekiranya berpeluang untuk berbuat demikian.
Jelasnya, pertemuannya dengan Tuan Guru kerana menghormatinya sebagai seorang ulama yang dihormati semua kaum dan bukan atas kepentingan politik.
“Bab politik saya tak nak campur, itu hak masing-masing, tetapi bagi saya Tuan Guru seorang ulama, banyak ilmu yang boleh kita pelajari,” ujarnya ketika ditemui.
Diana Amir pernah melakonkan drama bersiri Sunsilk Impian, filem 3,2,1 Cinta, Senario The Movie Ops Pocot.
Diana nampak ayu dengan jubah hitam, mengenakan mekap yang agak pudar, jauh jika dibandingkan dengan watak-watak yang dilakonkan sewaktu belum berhijrah terutama dengan watak-watak ‘kasar’.
Beliau kini masih aktif berlakon, bagaimanapun terpaksa memilih watak-watak yang sesuai dengan ‘penghijrahan’ kini.
Read More...
Summary only...
SHAH ALAM - Isu pemberian tanah balak seluas 4,259 hektar di Gua Musang, yang didakwa diberikan kepada pemimpin DAP Perak bukan satu rahsia, sebaliknya pengurniaan telah diputuskan tujuh tahun lalu dan sedia diketahui oleh dua kementerian termasuk Datuk Dr Awang Adek Hussin, kata Setiausaha Akhbar kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.
"Kenyataan-kenyataan ini (laporan media) seolah-olah ingin menyebut bahawa projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini ialah rahsia sehingga ia terdedah dengan laporan blog pisau.net.
"Dalam hal ini, suka untuk saya nyatakan bahawa projek ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia dan satu surat kelulusan telah dihantar kepada pihak Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005 dan ditandatangani sendiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui," kata Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, surat kedua pula ialah daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bertarikh 16 Januari 2006, yang turut menyokong permohonan
syarikat tersebut bagi tujuan meningkatkan lagi kegiatan ekonomi negeri Kelantan.
"Surat tersebut ditandatangani olah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada masa itu iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin. Salinan surat-surat tersebut saya kepilkan bersama untuk rujukan," kata beliau lagi.
Awang Adek merupakan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan sekarang.
Justeru, Ahmad Fadhli berkata, beliau berharap semua pihak di Kelantan terutama pemimpin Umno dan pertubuhan bukan kerajaan boleh bertanya terus kepada Awang Adek berkenaan isu tersebut.
"Menyentuh kenyataan (Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi ) Pengerusi Ombak agar Tuan Guru Menteri Besar mendakwa blogger pisau.net jika benar ia merupakan satu fitnah, saya kira Ombak boleh bersabar. Mana tau, jika nasib baik, Ombak pun boleh dimasukkan bersama dalam senarai defendan nanti," katanya lagi.
Kenyataan Ahmad Fadhli merujuk kepada beberapa laporan akhbar yang masih lagi memainkan isu berkenaan sekeping tanah seluas tanah 4,259 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada Pas selepas pilihan raya umum 2008.
"Sekalipun penjelasan telah diberikan panjang lebar dalam kenyataan sebelum ini, tetapi kelihatan pemimpin Umno bersama beberapa NGO pro Umno masih belum faham atau 'berpura-pura untuk tidak faham," kata beliau.
Laporan akhbar memetik Presiden Ombak, Wan Khairul Wan Muhammad berkata, Nik Aziz tidak wajar berdiam diri, sebaliknya perlu memberikan penjelasan berhubung dakwaan menawarkan tanah balak seluas 4,259 hektar di Gua Musang kepada dua pemimpin DAP Perak.
Wan Khairul berkata, jika dakwaan tersebut tidak benar, Mursyidul Am Pas itu harus mengambil tindakan undang-undang ke atas blog pisau.net yang mendedahkan perkara itu sebelum pengakuan dibuat oleh kedua-dua pemimpin DAP terbabit.
"Kedua-dua pemimpin ini telah mengaku melabur dalam Upayapadu Plantation Sdn. Bhd. yang mendapat projek pembalakan itu, tetapi sehingga hari ini Nik Abdul Aziz masih berdiam diri.
"Beliau perlu membuat penjelasan terutamanya kepada seluruh rakyat Kelantan kerana ia bukan isu kepartian malah satu kebenaran yang perlu rakyat lihat di sebalik pemerintahan Islam," katanya. - SinarHarian
Read More...
Summary only...
Tuduhan Salah Guna Kuasa : Fitnah Nyata Terhadap YAB MB Kelantan...
Saya telah diarahkan oleh YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan untuk membuat sedikit
penjelasan berkenaan isu sekeping tanah seluas tanah 10,526 hektar milik kerajaan negeri Kelantan yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak agar mereka sudi menyerahkan kerusi Menteri Besar Perak kepada PAS selepas pilihanraya umum 2008.
Ia dilaporkan di dalam blog pisau.net yang kemudiannya dijadikan asas kepada laporan polis oleh sebuah badan bukan kerajaan Barisan Bersatu Nambikkai (Nambikkai) pada 19 Mac 2012. Ia juga turut dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 20 Disember 2012.
Hakikatnya, ini satu lagi fitnah UMNO/Barisan Nasional yang cuba memperdayakan rakyat dengan isu-isu ciptaan mereka khususnya menjelang pilihanraya umum yang ke13. Peluru-peluru terakhir UMNO/BN ini kelihatan berterabur kerana dilancarkan dalam keadaan panik dan kelam kabut ekoran kebimbangan akan terlucut kuasa selepas pilihanraya nanti.
Barangkali UMNO lupa bahawa merekalah yang telah menukar status tanah rizab melayu di bandar Baru Kubang Kerian ketika memerintah Kelantan. Ini boleh dirujuk melalui Warta Kerajaan Kelantan 22 April 1990 (ketika Kelantan masih diperintah oleh Barisan Nasional). Ini hanya sekelumit dari 'jasa baik' UMNO terhadap tanah rezab Melayu.
Dalam isu tanah seluas 10,526 hektar yang didakwa sebagai habuan kepada pemimpin DAP Perak, suka untuk dinyatakan bahawa kawasan tersebut yang terletak di Hutan Simpan Relai, Gua Musang telah diluluskan kepada Yayasan Islam Kelantan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan yang bersidang pada 13 September 2000.
Ia bertujuan untuk menjana pendapatan YIK bagi tujuan menampung urusan pengajaran dan pembelajaran anak-anak di sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan. Perlu diingatkan bahawa pada tahun 2000, Pakatan Rakyat masih belum wujud dan masih belum membentuk kerajaan di Perak.
Pada Disember 2000, Yayasan Islam Kelantan telah bersetuju menawarkan Projek Usahasama memajukan tanah ini kepada sebuah syarikat. Bagaimanapun syarikat tersebut ternyata tidak mampu untuk melaksanakan kerja-kerja memajukan tanah terbabit dan ini menyebabkan Mesyuarat Lembaga Yayasan Islam Kelantan pada 18 Ogos 2004 membuat keputusan agar tawaran projek ladang hutan ini ditarik balik dan dibatalkan.
Tawaran kepada syarikat Upayapadu Sdn Bhd (pada masa itu dipengerusikan oleh Dato Seri Wong Yeon Chai) pula dibuat melalui surat Yayasan Islam Kelantan bertarikh 28 Ogos 2005 manakala perjanjian ditandatangani pada 3 Mei 2006, hampir dua tahun sebelum pilihanraya umum 2008.
Ia merupakan usahasama projek melalui konsep pajakan dan perjanjian selama 50 tahun dengan diberikan leasehold dan bukannya hak milik. Ia juga menjana pendapatan YIK melalui kadar sewaan RM100.00 seekar setahun untuk kawasan getah klon dan RM150.00 seekar setahun untuk kawasan kelapa sawit.
Pertukaran komposisi pengarah dan pegangan saham dalam Upayapadu Plantation Sdn Bhd telah dimaklumkan kepada Yayasan Islam Kelantan pada Mei 2012 di mana ekoran pertukaran tersebut, pihak syarikat dikehendaki membayar sumbangan kepada YIK sebanyak RM1.5 juta.
Berasakan kepada kronologi di atas, dapatlah dibuat kesimpulan bahawa
1. Dakwaan yang menyatakan YAB Menteri Besar Kelantan telah memberikan 'habuan' kepada pemimpin DAP Perak agar memberikan laluan kepada calon PAS mengisis kerusi Menteri Besar adalah fitnah sama sekali. Tarikh perjanjian dengan Upayapadu Sdn Bhd yang ditandatangani pada 3 Mei 2006 dan pertukaran komposisi pada Mei 2012 adalah tidak relevan dengan tarikh pilihanraya umum 8 Mac 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional hilang kuasa di Perak.
2. Dakwaan blog pisau.net bahawa 'sekelip mata mereka memperolehi 10,526 ekar dengan nilai pasaran melebihi 30 juta ringgit' juga adalah dakwaan yang tersasar. Ini kerana tanah tersebut hanya dipajak dan tidak diberikan hak milik. Pajakan pula hanya dalam tempoh 50 tahun sahaja.
Blogger terbabit wajib mendatangkan salinan geran tanah sebagai bukti bahawa tanah tersebut telah dipindah milik.
3. Segala urusan perjanjian, pajakan dan transaksi dibuat dan dilaporkan di dalam mesyuarat samada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan, Tender, Pembangunan dan Pelaburan YIK atau Mesyuarat Lembaga YIK. Ia dilakukan melalui prosedur yang sah dan tidak bertentangan dengan undang-undang.
Saya kira, fitnah terbaru ini tentunya akan menyaksikan satu lagi episod saman yang akan difailkan di mahkamah. Ia jelas merupakan satu fitnah besar terhadap YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan.
UMNO hakikatnya sudah hilang punca untuk menonjolkan diri sebagai pejuang Melayu sedangkan pada hakikatnya, merekalah pengkhianat kepada tanah rezab Melayu.
Di Selangor misalnya, UMNO Bahagian Puchong telah cuba menjual sebidang tanah rezab Melayu kepada sebuah syarikat Lagi Gemilang Development Sdn Bhd yang mana pemiliknya adalah 75 peratus bukan bumiputra. Ia disyorkan ditolak oleh Pengarah Tanah dan Galian Selangor Darul Ehsan melalui sepucuk surat kepada Menteri Besar Selangor pada 25 Januari 2010.
Inilah dia wajah UMNO yang sebenar! Barangkali, UMNO meletakkan pihak lain seperti mereka di mana setiap perkara memerlukan habuan dan balasan. Dalam hal ini, menarik juga untuk dibincangkan apakah habuan yang diperolehi oleh UMNO ketika memberikan laluan kepada parti GERAKAN untuk mengisi kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang satu ketika dulu...
Daripada AHMAD FADHLI SHAARI, Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Kelantan.
http://www.erapasca.com/2012/12/pecah-berita-isu-tanah-tok-guru-nik.html
Read More...
Summary only...
KOTA BHARU - Di sebalik ajakan berterusan pemimpin Umno untuk berdamai, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa perpecahan Melayu kini disebabkan Umno yang tidak mengamalkan dasar Islam dalam perjuangannya.
Menteri Besar berkata, oleh kerana tindakan Umno yang enggan mengubah dasar itu menyebabkan Pas yang ditubuhkan oleh ahli Umno sendiri satu ketika dulu sukar untuk mendekati parti itu kembali.
“Saya lama dah sebut benda ni, tapi orang kata ini gimik politik... dia tak faham.
"Saya kata Melayu berpecah ni bukan kerana Pas, tetapi kerana Umno yang ada hari ini tolak pandangan Biro Ulama Umno sendiri, Pas yang ada hari ini bukan orang Pas buat, sebaliknya Biro Ulama Umno yang buat.
"Tapi Umno induk tolak... tolak Islam, kami orang Pas ni membajai dia, siram dia, pagar dia supaya tidak diganggu,” katanya kepada Sinar Harian selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-14 Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan (PKRJK) itu di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Hashim Jasin yang menegaskan Pas bersedia dibubarkan dan semua ahlinya menyertai Umno jika parti itu melaksanakan hukum Islam.
Hashim menjelaskan, Nik Aziz pernah menyebut jika Umno melaksanakan hukum Islam pada jam 12 tengah malam, Pas akan dibubarkan pada jam 12.05 tengah malam.
Hashim mengeluarkan kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Adun Tambun Tualang, Datuk Seri Shahidan Kassim yang ingin tahu sama ada beliau akan menyertai Umno jika gagal dalam pilihan raya umum akan datang kerana doa Pas agar ‘Umno KO’ tidak dimakbulkan.
Dalam pada itu, Nik Aziz berkata , perpecahan di kalangan masyarakat termasuk orang Melayu tidak akan berlaku sekiranya Umno mengambil Islam sebagai perjuangan mereka.
“Kalau Umno sendiri buang kebangsaan, kita tak akan bergaduh, Melayu pecah dua sekarang ini kerana tak terima Islam... bersatu... bersatu atas apa, perompak pun bersatu juga puak-puak dia, perompak ada geng dia, penyamun ada geng dia, orang politik ada geng dia, cuma yang itu orang panggil geng, yang ini orang panggil parti, benda sama sahaja,” katanya.
Read More...
Summary only...
Doa 'KO BN': Umno Kelantan buat laporan polis
KOTA BHARU - Umno Kelantan hari ini membuat dua laporan polis berhubung tindakan Pas membaca doa untuk menghancurkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dan tuduhan bahawa Umno sebuah parti murtad.
Mereka meminta polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Pas kerana menyifatkan segala kenyataan itu telah mengguris hati bangsa Melayu dan Islam di negara ini.
Ketua Wanita Umno Pengkalan Chepa, Zarina Md Eusoffe mengetuai kira-kira 30 anggota pergerakan itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Baharu di sini.
Ketika ditemui, Zarina berkata, mereka mahu polis menyiasat perkara itu mengikut peruntukan undang-undang yang ada termasuk Akta Hasutan kerana menyifatkan doa berkenaan boleh menghasut umat Islam bertelagah sesama mereka.
"Hati kami tersentuh. Kami orang Melayu beragama Islam dan tuduhan ini sangat melampau yang menyerlahkan sikap sebenar Pas dan Mursidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," katanya.
Beliau meminta rakyat Kelantan terutamanya menilai siapa sebenarnya pemimpin Pas itu yang ternyata mempunyai politik dendam terhadap Umno kerana sanggup mendoakan kehancuran dan menuduh Umno murtad.
Di IPD yang sama, Majlis Veteran Umno Kelantan turut membuat laporan serupa, diketuai Pengerusi Biro Ulama Majlis Veteran itu, Mohd Noor Deris.
Mohd Noor berkata tuduhan murtad oleh Nik Aziz itu itu disifatkan sebagai melampau dan meminta Sultan Kelantan campur tangan.
"Kami juga memohon perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V agar dapat segera mengubat perkara yang memudaratkan umat Islam di negeri ini," katanya.
Mohd Noor juga meminta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan menyuarakan pandangan mereka menurut nas-nas Islam berhubung perkara itu dan mengajak pemimpin Pas termasuk Nik Aziz bermuzakarah.
Pada Jumaat lepas, Pas mengadakan solat hajat dan berdoa supaya Umno hancur yang diadakan di Stadium Sultan Muhammad IV dengan dipimpin adik Menteri Besar, Nik Razi Nik Mat, sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58.
Pada Ahad, Nik Abdul Aziz mengundang kontroversi apabila mendakwa Umno murtad kerana memperlekeh dan menolak Islam. - Bernama
Read More...
Summary only...
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam).
Katanya, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.
"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.
"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.
Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan kemerdekaan dahulu.
"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.
"Sekarang (Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya," tegasnya memberi analogi.
Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut ditanya wartawan berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengaitkan Umno dengan murtad.
Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri.
"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir," katanya tidak mahu mengulas panjang.
Carian Harakahdaily terhadap kitab dimaksudkan itu mendapati, bahagian kedua di bawah tajuk 'Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam', menyebut;
Melalui percakapan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.
Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.
Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:
1. “Hukum apa ini?”
2. “Hukum ini sudah lapuk.”
3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan.”
4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus.”
5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”
6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”
7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”
8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju.”
9. Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan dijarinya.
10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.
11. Berkata: “Si anu dah mulai menyalak” – semasa ia mendengar azannya.
12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.
13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim.
http://shalehudin.blogspot.com/2012/11/bangsa-umno-wajib-baca-neh-ikut-tak.html
Read More...
Summary only...
KOTA BAHRU 17 November: Belum pernah jalan perjuangan untuk menawan Putrajaya secerah sekarang, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memetik kata-kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
“Saya masih ingat perbincangan dengan Tok Guru Nik Aziz. Kata beliau, setelah begitu lama dalam perjuangan, belum pernah nampak jalan menawan Putrajaya secerah ini, Insya-Allah. Ini doa, mudah-mudahan berhasil.
“Maka, dengan itu saya ulang. Sama ada pilihan raya Disember ini atau awal tahun depan, insya-Allah kita tawan Putrajaya,” katanya disambut sorakan semangat.
Berucap depan kira-kira 40,000 orang pada Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan semalam, Anwar berkata, Pakatan mahu membawa negara ke arah lebih baik, bukan sekadar menggantikan Umno BN.
“Tapi orang tanya untuk apa? Sekadar ganti ketua menteri, perdana menteri, ganti parti memerintah? Untuk anjakan kepada sistem nilai, fahaman etika dan tatakelola kerajaan,” katanya.
Beliau kesal kerajaan pemimpin Umno BN tiada keberanian berhadapan ‘tauke-tauke’ besar menyebabkan kekayaan negara berlegar di kalangan individu tertentu sahaja.
Turut berucap ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pemimpin Kanan DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PAS merangkap Pengarah Program, Mohamad Sabu.
Ia ialah program kedua selepas siri Himpunan Kebangkitan Rakyat dilancarkan di Taman Seremban Jaya Negeri Sembilan 2 November lalu.
Program bermula jam 5 petang dengan acara Ekspresi Anak Muda yang diwarnai persembahan kebudayaan dan ucapan pimpinan muda Pakatan.
Konvoi motosikal dari NGO R untuk Royalti yang bergerak dari beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) tiba jam 4.15 petang.
Antara persembahan menarik perhatian hadirin di luar stadium ialah tarian Sewang dari orang Asal Kuala Betis dan gendang Siam dari penduduk Tumpat.
Artis, Abby Abadi pula penceritakan pengalamannya bersama PAS dan Pakatan Rakyat. Sham Kamikaze pula menunjukkan kemahiran memetik gitar dengan memainkan dua lagu.
Tiba senja, hadirin kian ramai dan mula memasuki stadium untuk solat Maghrib, solat Hajat dan Isyak berjemaah, sebelum mengambil tempat di tengah padang atau di tempat duduk stadium.
Acara malam dimulai ucapan wakil badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Himpunan Hijau, Bersih 2.0, R untuk Royalti dan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).
Ia diikuti pidato pimpinan tertinggi Pakatan dimulai Pemimpin Kanan DAP, Lim Kit Siang; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Hadirin mengibar bendera kuning, hijau, oren dan merah pada satu-satu masa turut mewarnai lagi program malam tadi.
Tetamu dari Makah, Syeikh Dr Tahir al-Jaelani turut memberi ucapan dan diterjemah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub manakala wakil Syria meminta rakyat mendoakan pejuang di negera mereka.
Read More...
Summary only...
Nik Aziz pertahan Nurul Izzah, anggap kenyataan celaru
KOTA BHARU - Sekalipun mengakui bahawa Nurul Izzah Anwar mungkin telah mengeluarkan kenyataan yang 'celaru', tetapi Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih mempertahankannya dan menyifatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak bernasib baik kerana berada di pihak pembangkang.
Nik Abdul Aziz berkata, pelbagai pihak sengaja memburukkan dan memberi maklum balas keterlaluan ke atas Nurul Izzah seumpama bunyi bising kuat daripada 'meriam buluh dan meriam besi' walaupun anak Ketua Pembangkang itu hanya menyuarakan sedikit pandangan.
Beliau turut membandingkan kesnya sebelum ini yang didakwa 'bapa kafir' oleh seorang bekas Ketua Polis Negara tetapi tidak pula mendapat sorotan media kerana tuduhan itu mengena ke atas seorang pimpinan pembangkang.
"Kebelakangan ini bising pasal (kenyataan) Nurul Izzah, kesnya sebab apa? Sebabnya dia pembangkang, kalau dia bukan pembangkang pasti tidak mengapa.
"Bekas Ketua Polis pernah kata saya bapa kafir tetapi semua senyap belaka, sebabnya dia menuduh Nik Aziz yang merupakan pembangkang, jadi kata apa pun surat khabar senyap, radio senyap.
"Tetapi apabila Nurul Izzah buat keluar sedikit kenyataan, walaupun kenyataan dia boleh jadi celaru sungguh, tetapi geger gegok (amat riuh) lebih daripada meriam buluh, meriam besi," katanya semasa menyampaikan kuliah di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Read More...
Summary only...
KOTA BHARU - Hasrat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu bertanding di Parlimen Pekan, Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) disambut baik dan direstui Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Nik Abdul Aziz semalam memberi 'lampu hijau’ kepada Ahli Parlimen Marang itu dan menyokong kenyataannya bertanding PRU13 menentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Dia (Abdul Hadi) adalah presiden parti, jadi apa (hasrat) yang dicakapkan kita akan turut dan sokong demi kebaikan parti serta perjuangan Islam.
“Saya sangat menyokong sekiranya Abdul Hadi benar- benar mahu bertanding di Pekan pada pilihan raya akan datang untuk menentang mereka yang mengagun-gagungkan perjuangan kebangsaan daripada memilih agama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Nik Aziz yang juga Pengerusi Majlis Syura Ulama Pas tidak terkejut dengan pengumuman Abdul Hadi yang ingin berhijrah ke Pahang walaupun tidak dapat memberi jaminan sepenuhnya sama ada kemenangan memihak kepada parti mahupun pihak lawan.
“Sekarang ini menang atau kalah itu lain hal, apa yang penting adalah sokongan kepada beliau setelah menunjukkan keberanian untuk bertanding di kerusi disandang Perdana Menteri,” katanya.
Tanpa menunjukkan kebimbangan terhadap kerusi Parlimen Marang sekiranya dilepaskan Abdul Hadi nanti dengan penghijrahannya ke Pekan, Nik Aziz mengharapkan perjuangan tersebut disokong penuh.
Nik Aziz juga Menteri Besar Kelantan turut menyuarakan kebimbangan sekiranya pilihan raya yang berlangsung di Pekan tidak dilaksanakan dengan adil.
“Saya minta ketika pilihan raya nanti tidak ada pengundi- pengundi hantu yang mempengaruhi keputusannya,” katanya.
Dalam masa sama, Nik Aziz juga turut memuji keberanian Abdul Hadi itu untuk melawan mana-mana calon yang dilihat menolak kepada perjuangan Islam.
- SinarHarian
Read More...
Summary only...
KOTA BHARU: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak khususnya pihak lawan supaya melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.
Sebaliknya beliau berkata, beliau hanya akan tunduk kepada sebarang keputusan yang ditetapkan oleh pimpinan tertinggi PAS.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Sambutan Hari Inovasi Peringkat Negeri Kelantan ketika mengulas desakan pihak tertentu supaya beliau melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar Kelantan.
Sehubungan itu katanya, beliau tidak akan melayan desakan mana-mana pihak khususnya pihak yang disifatkannya sebagai ‘Umno buangan’ yang tidak putus-putus mahu beliau melepaskan jawatan.
Beliau mengulas mengenai desakan beberapa pihak yang mahu beliau berundur atas alasan sudah tidak mampu menjadi pemimpin setelah 22 tahun menerajui pemerintahan negeri itu.
Mengulas lanjut, Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, untuk berlawan dengan Umno tidak perlu tubuh yang sihat, sebaliknya kekuatan minda.
Katanya, sekiranya seorang pemimpin itu berkerusi roda sekalipun sebaliknya tidak bermasaalah dengan idea atau pemikiran, ianya tidak mempunyai sebarang masaalah.
Menurutnya lagi, tugas menjaga negeri bukan hanya tertumpu pada Menteri Besar, sebaliknya turut menjadi tanggungjawab anggota-anggota exco kerajaan negeri juga.
“Bila Menteri Besar, bererti ada dia ni adalah ketua dan bila ketua pula tentu ada pegawai di bawahnya, bila orang gelarkan saya ni Menteri Besar, bererti ada menteri kecil,”ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru untuk terus menerajui pentadbiran negeri.
Beliau yang dipetik Sinar Harian berkata, Tok Guru adalah merupakan orang yang paling layak kerana pengalaman, ketokohan dan kebolehan serta kehormatan masyarakat kepadanya.
“Kami yang minta Tok Guru untuk terus berkhidmat walaupun sudah beberapa kali beliau menyuarakan hasrat untuk berhenti,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
“Biar kami (PAS) buat keputusan ini dan ia bukan kerja mereka kerana kami lebih tahu siapa yang boleh bertanding dan memegang jawatan tersebut,” katanya.
Sebelum ini, turut lantang membuat desakan agar Tuan Guru berundur termasuk Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Read More...
Summary only...
Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat hari ini menjelaskan kenyataan lamanya yang ditafsirkan pemimpin kanan MCA sebagai membenarkan merogol orang bukan Islam.
"Saya sebut tutup aurat untuk orang Islam tidak kepada bukan Islam. Kalau tak tutup aurat 'padanlah' kalau kena rogol pun.
"Tapi oleh sebab dia pandang serong awal-awal lagi kepada Islam, maka dia beremosi. Ini sesuailah dengan Umno yang juga pandang serong terhadap Islam," beliau dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily hari ini.
Naib Pengerusi Wanita MCA Heng Seah Kie pada 20 Oktober lalu menuduh Nik Aziz membenarkan merogol wanita bukan Islam sekiranya mereka tidak mematuhi kod etika pakaian Islam.
Heng membuat kesimpulan itu berdasarkan video lama Nik Aziz yang didakwa menyebut wanita patut dirogol jika tidak menutup aurat.
Kenyataan itu kemudiannya disokong oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Sementara itu, menteri besar Kelantan juga dilapor berkata, dakwaan yang dilempar MCA terhadapnya sangat beremosi dan menampakkan pandangan serong terhadap Islam.
Beliau ditemui pada rumah terbuka sempena Aidiladha di kediamannya di Pulau Melaka semalam.
"Apabila Umno tolak Islam, takkan pula MCA nak bantu Islam. Dengan automatik parti itu akan buat perkara-perkara yang melemahkan Islam.
"Jadi mereka tidak layak memimpin negara. Negara barat marah kepada Islam, Umno pun begitu juga. Jadi apa beza Umno dengan pandangan barat," ujarnya lagi.
Read More...
Summary only...
KOTA BHARU: Bagi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kejayaan paling bererti sepanjang 22 tahun pentadbirannya apabila berjaya mengasingkan wang kerajaan daripada sistem riba.
“Paling cukup bererti bagi saya kerana kita berjaya mengasingkan wang kerajaan negeri daripada sistem riba dengan memindahkan kesemua wang dari bank yang tidak menepati syariat ke Bank Islam.
“Apa yang kita lakukan adalah mengikut garis panduan yang diajar Islam dan bukan pandai-pandai kita berbuat demikian,” katanya di sini.
Ekoran itu kata beliau menyebabkan beberapa wakil dari bank bertemu dengannya untuk menyatakan rasa kecewa berhubung tindakan kerajaan tersebut.
Ketika itu hanya Bank Islam sahaja yang tiada sistem kewangan berunsur riba di negara ini.
Menurutnya bermula dari situlah institusi kewangan lain di negara ini menubuhkan kaunter perbankan Islam sehingga berkembang pesat sekarang.
Begitu juga kata beliau sistem Ar-Rahn sehingga ditiru banyak pihak lain.
Ditanya konsep berkebajikan yang diuar-uarkan, katanya sebelum Kelantan melaksanakan dasar kebajikan, Islam sebenarnya agama berkebajikan.
“Bersesuaian dengan itu kita meneruskan program dan bantuan untuk membantu rakyat. Bantuan baja padi, al-It’aam, dividen Ladang Rakyat, skim Kifaalah, az Ziwaaj dan pelbagai lagi program kebajikan dilaksanakan untuk manfaat rakyat,” ujarnya.
Pada pertemuan itu beliau juga berharap generasi pelapis hari ini meneruskan perjuangan Islam apabila ketiadaannya nanti.
“Pemimpin lain hendaklah sambung dan teruskan perjuangan memarbatkan Islam. Syukur di Kelantan dan di negeri-negeri lain golongan profesional semakin ramai menyertai PAS termasuk juga di Sabah dan Sarawak.
“Ramai yang meninggalkan Umno dan menyertai PAS. Rakyat boleh lihat sendiri apa yang berlaku di Kelantan.
“Saya lebih pentingkan kehidupan yang mewah di akhirat berbanding di dunia sekarang. Saya tanamkan dalam jiwa saya, apabila meninggal dunia nanti saya pasti tanpa meninggalkan sebarang hutang.
“Ini sudah cukup bagi saya. Paling saya takut meninggalkan hutang di kedai runcit atau sebagainya,” katanya.
Read More...
Summary only...
Nik Aziz: Amal mawaddah, bubar Umno naung dalam satu parti
KOTA BHARU- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak umat Islam bersatu dalam satu parti dengan mengamalkan mawaddah (sifat kasih sayang) dalam politik sambil berkata, “kita tiru tindakan” bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, sejak lebih 20 tahun Kelantan, pihaknya tidak nampak ada hubungan (mawaddah) wujud di antara parti Pas dan Umno biarpun terdapat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di negeri ini.
“Kita ajak orang Melayu supaya berbalik semula kepada Islam kerana apabila kita tinggalkan cara Islam, ertinya kita sudah terlajak.
“Apabila kita terlajak, kita tidak percaya kepada Islam dan apabila tidak percaya kepada Islam, kita tidak percaya kepada al-Quran, tidak percaya kepada Nabi Muhammad dan tidak percaya kepada ALLAH…ini cukup bahaya,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Sambutan Hari Keluarga Mawaddah Peringkat Negeri Kelantan di Taman Tengku Anis, Tanjung Chat, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Kerajaan Kelantan, Wan Ubaidah Wan Omar; isteri Nik Aziz, Tuan Sabariah Tuan Ishak dan Pakar Motivasi, Dr Robiah K.Hamzah.
Nik Aziz berkata, sebagai umat manusia, mereka diminta menjaga Islam kerana ajaran agama itu cukup sempurna termasuk melalui demokrasi Islam.
Menurutnya, dalam politik, manusia perlu menghubungkan politik dengan Nabi Muhammad iaitu apabila menyebut nama Nabi Muhammad SAW, ia mengingatkan umat terhadap politik Islam.
“Dalam sembahyang, kita menyebut salam ke atas Nabi Muhammad biarpun Nabi tiada waktu kita solat, namun kita diajar ada hubungan rapat manusia dengan Nabi,” katanya.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, bagi melaksanakan mawaddah dalam kedua-dua parti (Pas-Umno) berkenaan, beliau ada membuat cadangan kepada rombongan yang sampai dari Kuala Lumpur semalam.
“Saya kata begini kepada rombongan itu semalam, kita tiru tindakan Dr Mahathir (Tun) buat kepada Parti Semangat 46 iaitu semasa Parti Semangat 46 nak masuk Umno dulu, Dr Mahathir kata bubar Parti Semangat 46.
“Begitu juga jika Umno mahu berbaik dengan Pas, kita juga mahu bubar dasar kebangsaan, kita (Pas) masukkan dasar Islam, bubar Umno, apa kurangnya dengan Islam,” katanya.
Katanya, Dasar Kebangsaan itu pertamanya adalah ajaran dari Eropah dan keduanya, Islam mampu menjamin manusia ke pintu syurga.
Read More...
Summary only...
 |
| Muka-muka tak malu.. |
Akhbar Utusan Malaysia hari ini meneruskan kempen supaya mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berundur daripada jawatan tersebut dengan menyiarkan saranan ketua Umno Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee.
Menurut akhbar itu, Syed Ali berkata, PAS akan dilihat lebih terbuka jika Nik Aziz yang disifatkannya sebagai diktator berbuat demikian.
"Bagaimanapun, saya yakin beliau tidak akan mudah melepaskan jawatan tersebut walaupun banyak pihak berpendapat timbalannya Datuk Haron Din lebih layak menggantikan beliau," katanya.
Laporan tersebut juga memetik kenyataan seorang individu yang didakwa sebagai aktivis PAS, Datuk Muslim Othman, yang mengulas satu ucapan Nik Aziz kepada pemimpin PAS Kelantan selepas pilihan raya umum ke-12.
Ucapan tersebut, didakwa berlangsung pada satu tarikh yang tidak dinyatakan, dilaporkan semalam dalam akhbar milik Umno itu dengan memetik sumber yang juga tidak dinyatakan.
Akhbar milik Umno itu mendakwa, Nik Aziz dalam ucapan tersebut menyatakan bahawa tiada siapa layak menggantikannnya bagi jawatan mursyidul am.
Muslim dalam laporan hari ini seterusnya dipetik sebagai berkata, Nik Aziz "terlajak cakap" apabila menyatakan demikian.
"Kalau kata tak ada yang layak itu tak betul dan tidak harus berlaku begitu sebab ada ahli yang kepimpinannya tersorok dan tidak dicungkil dan diketengahkan," kata Muslim lagi dalam laporan yang diperbesarkan di muka depan akhbar itu.
Akhbar pro-BN sejak awal minggu ini gigih melaporkan saranan daripada beberapa orang bekas pemimpin PAS supaya Nik Aziz berundur daripada jawatannya.
Pada Selasa lalu Utusan memetik ucapan ADUN Gaal Dr Nik Mazian Mohamed yang didakwa melahirkan kebimbangan ke atas keadaan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan "sudah tua" dan mengalami "sakit".
Akhbar itu mendakwa Nik Mazian berkata demikian ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan 2013 yang dibentangkan exco hal ehwal ekonomi Datuk Husam Musa di Dewan Undangan Negeri semalam.
Ahad lalu, akhbar edisi hujung minggu Utusan menyiarkan kenyataan bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali menuntut Nik Abdul Aziz menyerahkan jawatan mursyidul am kepada Datuk Haron Din yang kini menjadi timbalan mursyidul am.
Menurut akhbar itu, Hasan menuntut demikian untuk mengelakkan "nasi menjadi bubur" kerana ahli akar umbi PAS dakwanya menentang kerjasama dengan DAP.
Hasan turut mengapi-apikan perkara itu dengan membangkitkan pendirian pemimpin DAP ke atas pelaksanaan hukum hudud yang dakwanya "mengguris hati dan perasaan ahli serta penyokong PAS".
Semalam, akhbar Berita Harian pula menyiarkan kenyataan seorang lagi bekas pemimpin PAS Datuk Nakhaie Ahmad yang menyokong saranan Hasan – bekas rakan sejawatannya dalam parti itu.
Menurut akhbar itu, Nakhaie kenyataan Nik Aziz sejak kebelakangan ini bertentangan dengan prinsip PAS untuk memperjuangkan negara Islam.
Read More...
Summary only...
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa hairannya dengan akhbar di negara ini apabila sibuk bertanya Karpal Singh tentang hudud sedangkan yang berkuasa adalah Umno.
"Hairan saya, akhbar sibuk melaporkan kenyataan Karpal Singh sedangkan yang berkuasa hari ini ialah UMNO, dan yang menghalang hudud ialah UMNO!
"Pada saya, jika perlembagaan bertentangan dengan hudud, perlembagaan itu sendiri perlu diubah," kata Menteri Besar Kelantan itu.
TG Nik Aziz berkata demikian melalui facebooknya hari ini.
Menurut beliau, selepas mesyuarat exco pagi tadi, beliau ditanya tentang kenyataan Karpal Singh yang dilaporkan berkata hudud tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan dengan perlembagaan.
Media khasnya milik MCA, The Star mula memanaskan balik isu hudud.
Baru-baru ini, akhbar itu menyiarkan kembali kenyataan TG Nik Aziz beberapa bulan lalu tentang hudud.
Selepas itu, media itu mengarahkan wartawannya mendapatkan pelbagai komen tentang hudud termasuklah bekas pemimpin kanan PAS dan Karpal Singh yang sememangnya penentang tegar hudud.
http://www.kedahlanie.info/2012/09/hudud-kenapa-tanya-karpal-tanya-umnolah.html
Read More...
Summary only...