12 February 2013
13 January 2013
#KL112 - Media Umno Putar Belit Dan Memperbodohkan Rakyat
Seperti biasa setiap kali berakhirnya satu-satu perhimpunan rakyat anjuran parti pembangkang, maka sudah pasti media arus perdana terutamanya Utusan Malaysa, Berita Harian, TV3 dan RTM akan memainkan peranan untuk merosakkan fikiran rakyat dengan laporan yang menyimpang dari situasi sebenarnya yang berlaku.
Tanpa menginsafi kantung media arus perdana itu kini semakin merudum, maka mereka tidak habis-habis akan terus menjadi pencacai murahan untuk mempertahankan sebuah kerajaan yang semakin "mereput" seperti UMNO Barisan Nasional sekarang ini. Kerajaan yang secara majoritinya telah ditolak rakyat terus dipertahankan bermati-matian demi survival politik masing-masing.
Jika yang mempertahankan itu ialah pemimpin yang rakus merompak harta rakyat demi memperkayakan kroni serta suku sakat mereka, mungkin ada asasnya. Namun, yang menghairankan kita, ialah golongan bawahan peringkat akar umbi yang tidak punyai apa-apa dan sekadar menyaksikan orang atas mengaut kekayaan dan kemewahan semata-mata pun terhegeh-hegeh untuk mempertahankan "parti hidup Melayu" agar terus berkuasa hingga kiamat.
Inilah yang menghairankan kita. Media arus perdana pula terus berperanan untuk merosakkan minda mereka dengan laporan yang jelas sekali amat memalukan. Utusan Malaysia dalam laporannya hari ini jelas sekali keliru dan mengelirukan rakyat apabila mendakwa "Himpunan Kebangkitan Rakyat" itu adalah "Himpunan Shamsidar".
Entah dari mana wartawan mereka mendapat maklumat sedemikian, namun apa yang pasti inilah dia lambang kebodohan Utusan Malaysia yang kononnya "Penyebar Fikiran Rakyat" itu sebenarnya.
Tidak ada seorang pun pemimpin atau peserta himpunan yang melaungkan "Hidup Shamsidar" atau sepanduk yang menyokong Shamsidar, tetapi utusan dengan bangganya meaporkan sedemikian.
Motifnya satu bagi memperbodohkan rakyat sama seperti "lembu-lembu Shahrizat" agaknya. Jika rakyat bodoh maka senangnya untuk mereka terus merompak serta menfaraid harta kekayaan negara ini kepada kaum kerabat mereka. Inilah dia matlamat dan hala tuju puak-puak ini sejak sekian lama.
Mereka mahu rakyat bodoh supaya senang untuk ditipu!. Mereka mahu generasi akan datang terus diperbodohkan seperti ibubapa mereka yang menjadi "bengong" untuk terus mengundi UMNO BN buat selamanya.
PahangDaily
01 January 2013
Amanat Hadi: Sinar Harian tawar platform perjelas isu
SHAH ALAM - Sinar Harian sedia menawarkan platform kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menjelaskan isu amanatnya yang kembali jadi kontroversi sejak beberapa minggu lalu.
Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, kesediaan itu adalah demi menyatupadukan rakyat negara ini terutama penyokong Pas dan Umno yang saling tuding menuding sejak 31 tahun lalu.
Menurutnya, akhbar itu yang terkenal dengan prinsip Telus & Tulus sedia memberi ruang sepenuhnya kepada Abdul Hadi.
"Jika beliau mahukan siaran langsung, kita boleh sediakan ruang menerusi siaran Sinar TV di www.sinarharian.com.my. Kesediaan ini adalah untuk memberi ruang kepada semua pihak sama menjernihkan keadaan dan juga membetulkan kekeliruan.
"Demi agama, bangsa dan negara, kita buka peluang seluas-luasnya kepada Datuk Seri Abdul Hadi untuk menjelaskan pendiriannya berhubung isu tersebut," katanya.
Hussamuddin yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf menjelaskan, peluang untuk membuat penjelasan mengenai sesuatu isu yang jadi polemik serta mencetuskan kontroversi menerusi Sinar Harian atau apa sahaja media terbitan syarikat itu, bukan hanya dibuka kepada Abdul Hadi atau pemimpin Pas tetapi juga kepada semua parti politik termasuk pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).
"Matlamat kita adalah untuk menghentikan persengketaan, tuduh menuduh serta membuang segala kekeruhan. Biarlah apa yang kusut kita rungkaikan menerusi penjelasan seperti ini supaya kita semua dapat hidup dalam suasana harmoni di tanah air bertuah ini," katanya.
29 December 2012
Najib Razak, Zahid Hamidi guna wang pencen tentera untuk tutup mulut Deepak – Rafizi
Pada 30 November 2012, Dato’ Seri Zahid Hamidi mengumumkan kepada wartawan dan Perhimpunan Agong Umno bahawa beliau akan menjawab dan mematahkan tuduhan Deepak yang mengaitkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelbagai salahlaku.
Malangnya, keesokan harinya, pada 1 Disember 2012 beliau tidak mengotakan janjinya itu. Tuduhan-tuduhan Deepak kekal tidak dijawab oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Saya beranggapan itu strategi Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Dato’ Seri Zahid Hamidi – iaitu untuk tidak mengendahkan tuduhan-tuduhan tersebut atas alasan ia tuduhan liar tanpa bukti.
Sehingga saat itu pun, rakyat masih samar-samar mengenai bukti yang dikemukakan oleh Deepak, apatah lagi keterlibatan Deepak dengan keluarga Dato’ Seri Najib Tun Razak menimbulkan tanda tanya mengenai motif dan kredibiliti beliau.
Oleh sebab itu, KEADILAN tidak memberi sebarang reaksi mengenai tuduhan-tuduhan tersebut, kecualilah menuntut agar ia disiasat segera.
Ternyata anggapan saya itu tidak tepat. Tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Deepak dipandang serius dan dibuktikan benar-benar mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga tugas untuk menyelesaikan kemelut ini diserahkan kepada Dato’ Seri Zahid Hamidi.
Walaupun awalnya Dato’ Seri Zahid Hamidi mengelak dari memberi jawapan, jalan penyelesaian yang beliau laksanakan mengikut perintah Dato’ Seri Najib Tun Razak akhirnya terbongkar kepada umum pada 27 Disember 2012.
Urusniaga mengejut melibatkan pembayaran RM30 juta untuk membeli 80% saham terbitan Astacanggih dan RM130 juta untuk membeli 200 ekar tanah dari Awan Megah Sdn Bhd adalah satu salahguna kuasa oleh Dato’ Seri Zahid Hamidi dan Dato’ Seri Najib Tun Razak bertujuan untuk menutup mulut Deepak dan menyelesaikan skandal ini yang kian merebak.
Urusniaga ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd, sebuah syarikat pelaburan hartanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Boustead Holdings Berhad, milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Modal dan aktiviti Boustead Holdings Berhad banyak bergantung kepada caruman dari potongan gaji anggota tentera yang disalurkan melalui LTAT. Sebagai menteri yang bertanggungjawab memikul amanah ini, Dato’ Seri Zahid Hamidi haruslah berhati-hati dalam memastikan pelaburan yang dibuat oleh Bakti Wira Development Sdn Bhd adalah pelaburan yang terbaik untuk kepentingan anggota tentera.
Sebab itu, sekiranya urusniaga ini diteliti, ia sudah tentu tidak menepati apa-apa garis panduan pelaburan baik berdasarkan perkara-perkara berikut:
1. Astacanggih adalah sebuah syarikat yang tidak mempunyai aset mahupun rekod perniagaan yang baik. Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan ia tidak pernah pun memfailkan penyata kewangannya. Selain modal berbayar sebanyak RM20 juta, syarikat ini dibebankan dengan hutang sebanyak RM98 juta dari Kuwait Finance House (mengikut rekod SSM);
2. Nilaian RM30 juta bagi 80% saham terbitan Astacanggih itu tidak ada asas. Kenyataan Boustead Holdings Berhad bahawa nilaian RM30 juta itu dicapai atas persetujuan bersama pembeli dan penjual membuktikan bahawa urusniaga ini dibuat berdasarkan pertimbangan politik, bukan pertimbangan pelaburan komersil;
3. Pembayaran RM130 juta terhadap 200 ekar tanah yang statusnya masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd bermakna Dato’ Seri Zahid Hamidi mengambil wang sebanyak RM130 juta dari caruman anggota tentera untuk membayar syarikat milik seorang pimpinan Umno tanpa ada sebarang pertukaran aset, kerana tanah 200 ekar itu masih belum dipindahmilik kepada Awan Megah Sdn Bhd;
4. Nilaian RM130 juta bagi 200 ekar tanah tersebut juga dibuat tanpa menggunakan penilaian bebas, semata-mata atas dasar persetujuan yang dicapai di antara penjual dan pembeli;
5. Pengumuman rasmi Boustead Holdings Berhad kepada Bursa Malaysia memberi alasan bahawa pembelian tanah itu bertepatan dengan bank tanah sedia ada milik anak syarikat Boustead (iaitu Jendela Hikmat Sdn Bhd) di kawasan berhampiran (rujuk perenggan 4 pengumuman). Walau bagaimana pun, semakan rekod menunjukkan tanah seluas 236 hektar yang dipindahmilikkan kepada Jendela Hikmat Sdn Bhd dinilai pada RM230 juta pada akhir tahun 2005 (rujuk laporan akhbar Utusan Malaysia yang disertakan bersama);
6. Ini bermakna tanah sekitar kawasan yang sudah dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad dinilai sekitar RM390,000 seekar, berbanding urusniaga terkini melibatkan Awan Megah yang membayar RM650,000 seekar ke atas tanah yang statusnya belum dipindahmilik.
Jelas bahawa urusniaga ini bukanlah urusniaga yang lulus pertimbangan komersial dan panduan pelaburan LTAT.
Saya hanya boleh simpulkan bahawa urusniaga ini dibuat semata-mata untuk menutup mulut Deepak dan memadamkan skandal ini. Makanya, tindakan tidak berwaspada Dato’ Seri Zahid Hamidi yang menyalahgunakan kuasanya dengan mengarahkan LTAT membayar RM160 juta mengesahkan bahawa dakwaan Deepak itu benar, sehingga mencemaskan Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Oleh itu, saya akan mula meneliti dan mendedahkan pembayaran yang dibuat oleh Deepak terhadap pihak tertentu yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak, memandangkan sudah jelas bahawa dakwaan Deepak itu ada kredibiliti dan kebenarannya.
KEADILAN akan mengadakan sidang media pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat minggu depan jam 11 pagi mengenai pendedahan ini.
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
29 DISEMBER 2012
- keadilandaily.com/
04 December 2012
AMK Mendesak PM Najib Razak Jawab 10 Soalan Sebelum PRU13
Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
3 Disember 2012
AMK Mendesak PM Najib Razak Jawab 10 Soalan Sebelum PRU13
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mendesak Perdana Menteri Najib Razak untuk menjawab segera 10 soalan penting sebelum PRU13 diadakan. Sebenarnya Najib Razak telah menjadi Perdana Menteri yang sarat dengan paling banyak skandal dalam sejarah Malaysia serta ada keperluan untuk beliau tampil ke depan dan bersihkan nama.
AMK berpendapat kegagalan Perhimpunan Agung UMNO dalam mengemukakan sebarang pandangan dan halatuju negara dalam mencapai perubahan yang baik kepada rakyat. PM Najib Razak langsung tidak menyentuh tentang isu rasuah dan penyelewengan dalam UMNO, tetapi memilih untuk serang dan mengaibkan Pakatan Rakyat.
Perbuatan Najib Razak bukan sekadar menunjukkan bahawa UMNO telah hilang keyakinan untuk menang dalam PRU13. Sekiranya beliau ada keikhlasan untuk mengakui kesalahan yang dibuat oleh UMNO/BN sejak dulu, maka 10 soalan yang dikemukakan oleh AMK perlu dijawab dengan serius agar rakyat dalam menilai dengan informasi yang mencukupi dan gambar yang sebenar.
SOALAN 1: Sekiranya Najib Razak menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang paling demokratik di dunia, kenapa sampai hari ini masih enggan untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim? Bukankah berdebat adalah sebahagian penting dalam sistem demokrasi?
SOALAN 2: Sebagai seorang pemimpin negara yang bertanggungjawab serta hormat pada kuasa rakyat, bagaimanakah Najib Razak menangani kekalahan yang bakal dihadapi oleh UMNO/BN dalam PRU13? Bagaimanakah beliau memastikan peralihan kuasa secara aman kepada Pakatan Rakyat?
SOALAN 3: Jikalau Najib Razak ingin mengambil martabat wanita, kenapa memecah rekod Malaysia dengan menjadi lelaki pertama yang merangkap Menteri Wanita? Adakah UMNO/BN ketandusan pimpinan wanita yang berkebolehan dan kredible.
SOALAN 4: Dalam konteks mencari kebenaran serta urus tadbir yang baik, kenapa kerajaan UMNO/BN menghalang peguam Perancis untuk masuk ke Malaysia untuk memberi taklimat tentang perkembangan terkini perbicaraan skandal pembelian kapal selam Scorpene? Kenapa memperalatkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke atas Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang membawa kes skandal Scorpene tersebut ke Mahkamah di Perancis?
SOALAN 5: Apakah pandangan Najib Razak terhadap skandal RM40 juta Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang merupakan komisen pembalakan serta sumbangan politik? Adakah kerajaan UMNO/BN akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan ke atas kes rasuah dan konflik kepentingan?
SOALAN 6: Kenapa Najib Razak masih mengambil sikap bisu ke atas pelbagai dakwaan serius yang dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan khasnya dalam projek Kementerian Pertahanan yang berjumlah RM100 juta pada tahun 2005 berkait rapat dengan keluarga Najib? Adakah kerajaan UMNO/BN cuba untuk melindungi kebenaran daripada diketahui oleh rakyat?
SOALAN 7: Bekas Ketua Polis Musa Hassan telah menuduh Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein Onn yang campur tangan dalam pentadbiran PDRM, bagaimanakah Najib Razak menangani isu profesionalisme dan kewibawaan polis yang dimanipulasi oleh parti UMNO/BN?
SOALAN 8: Kenapa kerajaan UMNO/BN berdegil untuk membenarkan loji nadir bumi Lynas untuk beroperasi di Malaysia walaupun ditentang kuat oleh rakyat? Adakah menarik pelaburan asing lebih penting daripada kesihatan rakyat? Rakyat didahului yang diwar-warkan dalam slogan 1 Malaysia hanya slogan kosong yang tidak bermakna langsung?
SOALAN 9: Kenapa penstrukturan semula subsidi sering kali dikenakan ke atas barang keperluan rakyat tetapi langsung tidak mengkaji semula perjanjian Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang jelas berat sebelah? Adakah Najib Razak lebih suka membuat public relation exercise tetapi enggan mengakui menangani masalah pokok kenaikan harga barang?
SOALAN 10: Walaupun pembubaran Dewan Rakyat terletak pada tangan Perdana Menteri, adakah Najib Razak akan mencontohi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid yang telah mengumumkan bahawa Dewan Negeri Selangor akan dibubar pada bulan Mac 2013? Kenapa Najib Razak masih bersenang hati dengan rakyat sentiasa meneka tarikh PRU13? Kenapa tidak menetapkan tarikh dengan lebih awal?
Oleh itu, AMK mendesak Najib Razak untuk menjawab kesemua 10 soalan tersebut dengan ikhlas. Jangan lari daripada permintaan rakyat serta menjalankan reformasi tulen termasuk perang rasuah serta melaksanakan urus tadbir yang telus dan baik sebelum PRU13.
LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia
012-2258607
01 December 2012
ISU TALAM DAN AIR BUKTI KOMITMEN KERAJAAN SELANGOR MENJAGA KEPENTINGAN RAKYAT
KENYATAAN AKHBAR
30 NOV 2012
ISU TALAM DAN AIR BUKTI KOMITMEN KERAJAAN SELANGOR MENJAGA KEPENTINGAN RAKYAT
Saya mengucapkan terima kasih kepada Dewan Negeri Selangor dan Speaker, Datuk Teng Chang Khim kerana telah mengendalikan persidangan Dewan penggal kelima dengan baik dan lancar.
Saya berpuas hati dengan perjalanan persidangkan Dewan kali ini yang mana kita bukan sahaja membentangkan belanjawan berimbang untuk lima tahun berturut-turut tetapi juga berjaya menyerahkan kertas putih pelunasan hutang Talam dan dua laporan status berkenaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air serta pengundi yang meragukan menerusi Projek Pendemokrasian.
Saya mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan. Saya terima cadangan, kritikan serta hujah-hujah yang boleh memberi penambahbaikan untuk kerajaan Selangor.
Dalam penggulungan, saya ada menyentuh isu Talam yang mana rakyat Selangor boleh melihat kaedah kutipan dibuat dengan tertib, mengikut peraturan dan tidak merugikan kerajaan negeri serta rakyat. Keputusan kerajaan Selangor mendapatkan semula hutang lapuk ini menerusi Perjanjian Penyelesaian Menyeluruh (Global Settlement Agreement) adalah keputusan yang bijak kerana penilaian adalah berdasarkan kepada penilaian pendapatan masa hadapan.
Kita telah mengeluarkan dokumen-dokumen perjanjian penyelesaian hutang ini dan orang ramai boleh menyemak dokumen ini tertakluk di bawah Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI).
Dalam isu air, kita berpendirian bahawa Langat 2 dan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Selangor hendaklah dibincangkan bersekali supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mencapai persefahaman di dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di bawah Model Holistik.
Tanpa penstrukturan semula sebagaimana yang dicadangkan, perkhidmatan air semasa yang tidak holistik akan terus menyumbang kepada pengurusan bekalan air yang tidak cekap dan membebankan pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kita juga mendapati Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tidak lagi berupaya mengendalikan pengagihan air kerana menanggung defisit kewangan dan berhutang dengan operator rawatan air melebihi RM400 juta serta gagal membayar royalti air mentah kepada kerajaan negeri sebanyak RM3 juta.
Kita berharap rakyat Selangor akan terus menyokong usaha penstrukturan semula industi perkhidmatan air untuk memastikan bekalan air lebih cekap pada harga munasabah. Ini adalah komitmen kerajaan Selangor untuk menjaga dan memelihara kepentingan rakyat menerusi pentadbiran yang cekap, berhemah telus dan bertanggungjawab.
TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
17 November 2012
Pemimpin Pas yang gila mikrofon ditegur..
Seorang perwakilan di Muktamar PAS hari ini menegur pemimpin parti yang menurutnya ghairah membuat kenyataan kepada media sehingga menimbulkan percanggahan di antara satu sama lain.
Tanpa menyebut individu yang dimaksudkan, wakil Perlis, Yaakob Abu Seman berkata tindakan pemimpin PAS itu "memeningkan kepala" jentera di bawah untuk menjawab perkara yang dibangkitkan.
"Jangan terlalu ghairah dengan mikrofon dan tape recorder wartawan. Contohnya isu kenyataan Nurul Izzah, PAS pusat kata tunggu untuk mendapatkan maklumat lengkap.
"Ini adalah sikap yang terbaik. Bermaklumat dahulu baru buat kenyataan... (Tetapi) Ada pemimpin ghairah buat kenyataan, (sepatutnya) elak terlebih dahulu," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.
Beliau mengulas laporan yang memetik kenyataan pemimpin parti itu berhubung isu kontroversi mengenai kebebasan beragama – rentetan daripada kenyataan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu forum.
Antara pemimpin PAS yang mengulas perkara itu termasuk bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, ahli jawatankuasa pusatnya Khalid Samad, serta ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib.
'Jangan terperangkap'
Di samping itu, Yaakob turut mengingatkan para pemimpin parti itu, dan juga dalam Pakatan Rakyat, supaya tidak terperangkap dalam permainan media arus perdana".
Beliau mendakwa, media pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia dan TV3 itu bertindak demikian untuk memecahbelahkan kesepakatan dalam Pakatan.
NONE"Laporan polis, saman malu belakang kira, tapi imej (pemimpin) dicalarkan dahulu (melalui laporan media) untuk memberi kesan kepada rakyat dan pengundi," katanya.
Di kesempatan itu, Yaakob turut membidas Dewan Pemuda PAS Pusat yang didakwanya "kurang menunjukkan apa yang diperjuangkan" sayap parti itu.
Beliau membandingkan perkara itu dengan usaha yang ditunjukkan PAS Pusat, yang menurutnya lebih fokus terhadap sesuatu isu seperti melibatkan Felda, saman trafik dan juga perhimpunan Gelombang Hijau.
"Kalau ingin berjuang (menarik) artis, golongan karyawan, beri kesungguhan... (Pemuda) perlu mempunyai agenda tertentu. Ada langkah-langkah dia," katanya.
Yaakob juga menggesa jentera penerangan parti supaya menggiatkan usaha untuk memberi penjelasan mengenai tawaran negara berkebajikan yang dipilih sebagai tema muktamar parti sejak tahun lalu.
31 October 2012
Bintang Porno Sudah Bengang..
| Keratan akhbar China Press yang melaporkan 20% hadirin keluar beramai-ramai ketika Chua Soi Lek (dalam bulatan) berucap. |
Chua Soi Lek hari ini membidas akhbar China Press yang menulis laporan mengenai orang ramai beredar keluar ketika jamuan makan malam MCA Johor minggu lalu, dan menuduh akhbar itu membesar-besarkannya.
"Apabila anda mengadakan satu majlis besar yang dihadiri 15,000 orang dan ia dimulakan lambat kerana hujan, anda tentu sudah menjangka orang ramai untuk meninggalkan majlis pada masa itu," kata Presiden MCA itu hari ini.
"Jika anda melihat semua akhbar, hanya China Press menulis berkaitan (keluar beramai-ramai) itu."
Dr Chua merujuk kepada sebuah artikel sebuah akhbar Cina di mana ia melaporkan bahawa kira-kira 20 peratus daripada orang ramai yang menghadiri acara "makan malam besar" yang dianjurkan oleh MCA di Kulai, Johor pada Sabtu lepas telah ditinggalkan orang ramai semasa ia berucap.
30 October 2012
Rakyat Jangan Terpedaya Dengan Media umno
Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Rakyat (Pakatan) mampu membentuk Kerajaan Pusat yang baru tanpa politik kotor dan rasuah.
Katanya, kemenangan berlandaskan politik matang dan bersih lebih signifikan berbanding budaya fitnah dan penindasan.
“Saya tidak datang untuk mencerca Najib (Razak), Rosmah (Mansor) dan Umno. Saya nak (Pakatan) menang dan rakyat bangkit menolak rasuah dan fitnah,” katanya di depan 400 penduduk di Warung Ibu Nasi Ambeng, Kg Sungai Gulang-Gulang, Permatang, Tanjung Karang pada Jelajah Merdeka Rakyat semalam.
Ketua Umum KEADILAN itu berkata, Umno BN terus goyah dan banyak isu yang gagal dipertahan melainkan memburukkan Pakatan, meskipun mereka menguasai seluruh jentera kerajaan termasuk media.
Beliau mengingatkan rakyat jangan terkeliru dengan dakyah yang dimainkan media yang terus-menerus memutarbelitkan fakta sebenar.
“Sebab apa dia (Najib) takut? Dia punyai televisyen, jentera dan wang kerana dia ada rasuah. Sebab itu dia tidak mampu jawab,” ujar Penasihat Ekonomi Selangor itu dipetik MediaSelangorku.
Anwar sekali lagi mengulangi ikrar untuk menurunkan harga minyak dalam tempoh 24 jam selepas Pakatan menawan Putrajaya selain membatalkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Jelajah itu turut disertai Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang tiba pada jam 12.30 tengahari bersama rombongan dengan menaiki bas Jelajah Merdeka Rakyat sambil diiringi motosikal berkuasa besar.
Hadir sama, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali; Ketua Penerangan Negeri, Shuhaimi Shafiei; Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dan Penyelaras DUN Permatang, Yahaya Saari.
Terdahulu, Jelajah Merdeka Rakyat mengunjungi penduduk Pekan Sungai Besi.
Selepas selesai di DUN Permatang, rombongan kemudian ke Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Jelajah diteruskan dengan solat dan tazkirah maghrib di Masjid Abu Bakar Ali Bashah, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung sebelum bergerak ke Pekan Rasa.
Pada jam 9 hingga 12 tengah malam, program diteruskan dengan Ceramah Perdana Merdeka Rakyat di Pusat Bandar Baru Batang Kali, Ulu Selangor.
Penceramah terbabit termasuk Anwar, Khalid, Azmin, Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin dan Naib Presiden, N Surendran.
24 October 2012
SELANGOR TIDAK PERNAH LULUS PEMBINAAN KABEL BERVOLTAN TINGGI
KENYATAAN AKHBAR
KERAJAAN SELANGOR TIDAK PERNAH LULUS PEMBINAAN KABEL BERVOLTAN TINGGI (275KV) OLEH TNB
Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat tidak pernah memberi kelulusan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk meneruskan Projek Pembinaan Kabel berkuasa tinggi sehingga hari ini.
Projek ini sebenarnya telah diluluskan oleh Kerajaan Selangor Barisan Nasional pada 2007.
“Oleh itu,MCA tidak berkelayakan untuk mengadu sekarang.Kenapa mereka tidak menyuarakan semasa mereka memegang kuasa masa itu?”
Sebaik saja menerima bantahan dan aduan daripada penduduk setempat tentang pembinaan ini pada tahun 2010, saya telah mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) agar tidak memberi apa-apa kelulusan pembinaan kepada TNB sehingga pihak TNB memberikan cadangan lain.
Tetapi malangnya, TNB baru-baru ini telah mula meneruskan kembali pembinaan bertumpu hanya di kawasan Taman Connaught, Kuala Lumpur di bawah pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala di Selangor pembinaan tidak diteruskan.
Justeru, tuduhan MCA Bandar Tun Razak pada 17 Oktober yang mendakwa bahawa saya dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memberi kelulusan kepada TNB untuk membina kabel ini merentasi beberapa kawasan di Cheras di Negeri Selangor dan Taman Connaught di Kuala Lumpur, adalah tidak benar.
Saya akan mencadangkan TNB dan DBKL untuk bertemu dengan penduduk Bandar Tun Razak dalam tempoh 2 minggu ini untuk mencari jalan bagi menyelesaikan perkara ini untuk kebaikan semua pihak.
Selaku Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, saya menyokong penuh projek-projek pembangunan untuk keselesaan rakyat pada masa hadapan tetapi ia perlu dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira pandangan dan ketidakselesaan rakyat yang bimbang keselamatan dan kesihatan mereka terjejas akibat projek ini.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
AHLI PARLIMEN BANDAR TUN RAZAK
18 October 2012
Kenyataan Media Guan Eng Kepada Semua Akhbar Kecuali Utusan.. Kesian Utusan
Guan Eng hantar kenyataan media kepada seluruh media kecuali Utusan..
Ini adalah kenyataan Medianya...
UMNO dan Utusan Malaysia terperangkap dengan fitnah jahat dan permainan perkauman
Laporan Ketua Audit Negara 2011 menyatakan bahawa Akaun Amanah tersebut naik 58% kepada RM33.6 juta.
Sebelum ini kerajaan negeri PR dituduh bahawa tidak menubuhkan akaun amanah sedemikian untuk membantu membina rumah untuk orang Melayu/bumi.
Sekarang bila fitnah ini dibuktikan, tidak pula minta maaf sebaliknya pusing mendakwa Kerajaan negeri Pulau Pinang menganiayai orang Bumi dan Melayu dengan tidak menggunakan wang tersebut untuk membina rumah mampu milik.
Fitnah jahat ini mempermainkan ideologi perkauman untuk menanam kebencian di kalangan rakyat dan mengancan pemimpin kerajaan negeri, khususnya saya sebagai Ketua Menteri.
Sungguhpun adalah tanggungjawab kerajaan pusat untuk membina rumah mampu milik, kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah mencatatkan rekod yang tidak pernah dilakukan dengan memperuntukkan RM 500 juta untuk membina rumah mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang, termasuk di kawasan pulau.
Usaha mengumpulkan wang RM500 juta bukanlah mudah dan perlu 4 tahun untuk mencapainya. RM500 juta hanya cukup untuk membina 18,000 yunit rumah mampu milik kepada semua rakyat pada 5 tahun yang akan datang.
Sejak 2008, kerajaan negeri melalui Penang Development Corporation(PDC) telah berjaya membina 4,000 yunit rumah kos rendah dan kos sederhana rendah dengan 8,000 yunit lagi disumbangkan oleh pihak swasta menjadikan keseluruhan 12,000 yunit.
Sekiranya kerajaan negeri menggunakan wang Akaun Amanah terdahulu, akan datang pula tuduhan jahat Utusan dan UMNO bahawa kerajaan negeri tidak mahu menggunakan wang sendiri untuk membina rumah mampu milik sebaliknya guna wang bumi.
Maka untuk mengelakkan tuduhan sedemikian, wang kerajaan negeri digunakan dahulu. Lagipun wang akaun amanah tidak mencukupi kerana untuk membina 350 yunit rumah kos sederhana rendah, kos pembinaan tanpa kira kos tanah menjangkau RM35 juta.
Fitnah jahat Utusan dan UMNO terserlah dengan kenyataan Ketua Pembangkang Pulau Pinang dan Pengerusi PERDA Dato Azhar Ibrahim menyelar kerajaan negeri tidak mahu menggunakan wang akaun RM33.6 juta untuk membina 10,000 yunit rumah kos rendah dan mampu milik.
Kenyataan Azhar ini adalah tidak masuk akal kerana ini bermakna hanya perlu RM 3,360 untuk membina sebuah yunit!
Saya ingin melihat PERDA bina rumah kos rendah dan mampu milik dengan kos RM 3,360 seyunit –mustahil dilakukan.
Kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan jaminan akan menggunakan wang akaun amanah perumahan bumiputera untuk membina rumah mampu milik.
Ia akan dibukti dengan rumah pangsa dan bukan dengan kata.
Kerajaan negeri akan menepati janji bukan macam BN yang masih belum menepati janji yang dibuat 28 tahun dahulu untuk membina rumah kelamin bagi anggota Tentera Udara Di Raja Malaysia(TUDM) di Bertam, Kepala Batas.
330 ekar tanah TUDM di Bertam, Kepala Batas tidak dibina rumah kelamin TUDM sejak 1984 tetapi disewa dengan harga hanya RM 7,000 sebulan.
Saya difahamkan 330 ekar tanah tersebut diambil alih oleh kerajaan negeri pada 1982 bagi tujuan tapak rumah kelamin TUDM dengan pampasan RM 5,148,000 ataupun harga RM 15,600 seekar.
Selepas proses pengambilan tanah siap, Geran tanah telahpun dipindahmilik dan dikeluarkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 23.2 1984.
Akan tetapi sehingga sekarang selepas 28 tahun, tiada rumah kelamin TUDM dibina di atas 330 ekar tanah.
Sebaliknya tanah tersebut yang terdiri daripada pokok kelapa sawit kini disewa dengan harga RM7,000 sebulan.
Tempoh sewaan adalah 3 tahun setiap penggal dan akan tamat pada Jun 2013.
Mengapakah UMNO, Utusan dan Azhar tidak mempersoalkan apakah faedah kepada angkatan tentera dan negara kalau 330 tanah yang diambil alih tidak digunakan untuk membina rumah kelamin tetapi disewa hanya dengan harga RM7,000 sebulan?
Lim Guan Eng
*Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 18.10.2012.*
09 October 2012
BERNAMA Bohong Lagi Kes Skandal Scorpene..
Satu kenyataan yang dikeluarkan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) bagi pihak peguam mereka di Perancis, William Bourdon lewat malam tadi (Isnin) menepis dakwaan laporan yang dipetik agensi berita nasional Malaysia (Bernama) yang menjadi 'jurucakap' kepada bekas pendakwa kerajaan negara tersebut, Yves Charpenel.
Beberapa jam sebelum itu, Charpenel yang dipetik laporan Bernama mengatakan bahawa beliau menafikan laporan-laporan media yang tersebar di kalangan beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat negara itu berhubung pembelian dua kapal selam kelas Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002. Tambah Charpenel lagi, kununnya proses perbicaraan yag sedang berlangsung sebenarnya hanyalah proses perbicaraan di media semata-mata dan bukannya perbicaraan sebenar.
Justeru katanya, media mesti dapat membezakan antara khabar angin dan fakta serta kes sesuatu perbicaraan bagi mengelakkan berlaku salah faham oleh masyarakat.
Tidak lama selepas berita tersebut dikeluarkan, maka seperti biasa berlumba-lumbalah media pencacai Umno seperti The New Straits Times (NST), mStar dan Utusan Meloya menyiarkan kenyataan tersebut (termasuk portal pro-Pakatan Rakyat, Malaysiakini) seolah-olah Charpenel menjadi jurucakap pihak pendakwaan Perancis.
Bagaimanapun, William Bourdon dalam kenyataan balasnya menyatakan bahawa adalah tidak benar sama sekali kenyataan yang dikeluarkan Charpenel yang hanya bergelar "bekas pendakwa" dengan hujahnya merujuk kepada prosiding siasatan mahkamah yang sedang berlangsung, termasuk mengeluarkan sepina pertama ke atas saksi pertama daripada tujuh yang dimohon Suaram.
Jelasnya lagi, kenyataan Charpenel bertentangan dengan fakta bahawa tribunal The deGrande Instance telah menerima permohonan Suaram bagi menyiasat skandal tersebut setelah Bourdon dan seorang lagi peguam, Joseph Breham berhujah di hadapan hakim penyiasat selama lebih tiga jam pada Mac lalu di Paris.
"Apabila selesai siasatan itu hakim penyiasat akan membuat keputusan sama ada kes itu akan pergi kepada perbicaraan penuh. Iaitu hakim penyiasat yang membuat keputusan dan bukan pihak pendakwa".
Sepanjang pengetahuannya, pihak pendakwa semasa meneliti kes itu tidak membuat apa-apa kenyataan seperti yang dinyatakan oleh Charpenel.
Dua orang hakim penyiasat tersebut ialah Roger Le Loire dan Serge Tournaire yang memutuskan untuk meneruskan siasatan mereka mengenai skandal Scorpene.
Dipercayai Bernama sengaja mengelirukan cara pemberitaannya bagi menguatkan ceritanya dengan tujuan meyakinkan pembaca walaupun diletakkan dalam perenggan berbeza seperti yang dipetik di bawah:
Seorang pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal menafikan laporan-laporan media yang tersebar di kalangan beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002.
Yves Charpenel berkata media di Malaysia harus dapat membezakan antara khabar angin dan fakta dan antara siasatan dan perbicaraan.military malaysia navy french built submarine scorpene class"Saya sedar mengenai semua kekecohan yang dibangkitkan media tertentu (organisasi) di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang saya boleh kata ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh media," katanya kepada Bernama di ibu negara, hari ini.
Charpenel, yang juga bekas ketua pendakwaan di Perancis dan kini seorang pendakwa negeri dan anggota eksekutif Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), berada di sini untuk menghadiri persidangan dan mesyuarat agung tahunan IAACA yang berakhir semalam.
25 September 2012
Plot Jatuhkan Kerajaan - 48 Jam Untuk Mohon Maaf
Enam NGO memberikan tempoh 48 jam kepada New Straits Times untuk memohon maaf berhubung laporan berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam plot untuk menjejaskan kestabilan kerajaan.
Kata mereka, laporan pada 21 September lalu itu tidak berasas dan berniat jahat.
Selain mahu ia ditarik balik, mereka berkata, permohonan maaf itu patut disiarkan di tempat yang sama dengan dakwaan yang disiarkan sebelum ini.
"Kami ambil berat perkara ini. Perkara ini sekarang sedang diteliti peguam-peguam kami," kata Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga dalam sidang media di ibu negara hari ini.
"Jadi kami jangkakan respons New Straits Times dalam tempoh 48 jam (bermula jam 11 pagi ini), kegagalan berbuat demikian menyebabkan kami mengambil tindakan sepatutnya dan menurut undang-undang ia terpulang kepada kami."
Tuntutan itu dibuat oleh kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram), pemantau media Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ, kumpulan peguam Lawyers for Liberty, badan kajian Merdeka Centre dan NGO pembangunan organisasi Pusat Asia Tenggara bagi E-Media (Seacem).
17 September 2012
Media Umno Memalukan Najib Lagi..
Dengan tajuk utamanya "Najib: United front crucial for Umno's success in polls", ternyata NST terang-terang membohongi pembaca akhbarnya!
Jika diperhatikan betul-betul gambar di atas, nyata dua imej yang sama diletakkan sebelah-menyebelah bagi menunjukkan kehadiran yang ramai sebagai latar belakang pergerakan Najib Altantuya yang bersalaman dengan ahli sebenar semasa menuju ke dewan tempat persidangan diadakan, dan dengan tujuan yang sama menutup ruang kosong tersebut.
Dengan angkuhnya, Najib Altantuya berkata: "Tanpa mendabik dada dan angkuh, kita perlu bersyukur, rasa rendah diri bahawa kejayaan yangg dicapai selama ini adalah dengan izin Allah," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno yang kununnya dihadiri 932 perwakilan dari 145 cawangan di bahagian berkenaan.
Dengan nada marah bercampur geram, Najib Altantuya menempelak Pakatan Rakyat kununnya Pekan tidak membangun selama dia menjadi ahli parlimen selepas kematian bapanya yang juga perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein.
Tetapi dia lupa akhbar pengampu nombor satunya telah mengedit gambar persidangan tersebut tanpa pengetahuannya.
Nampaknya sekali lagi NST berjaya memalukan Najib Altantuya dengan tindakan bodoh yang sememangnya mudah dihidu penyokong Pakatan Rakyat sebagaimana yang dilakukan sebelum ini oleh agensi berita nasional, Bernama yang turut mengedit gambar pengunjung rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di Seri Perdana, Putrajaya pada 20 Ogos lalu.
Dipetik dari - jalanpulang/GB
11 September 2012
08 August 2012
PRU13 - Umno Makin Gelabah.. Ini Buktinya..
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menuduh portal berita seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider (TMI) membuang komen pembaca yang menyokong BN.
Ini, kata Khairy di majlis pelancaran Pasukan Siber Pemuda BN di Kuala Lumpur hari ini, telah menimbulkan gambaran bahawa golongan muda menyokong pembangkang.
"Apabila kita baca ruang komen di Malaysiakini dan TMI, begitu ramai yang menyokong pembangkang, sedangkan kita tahu editor mereka sekat komen yang menyokong BN," katanya.
Sehubungan itu, Khairy berkata, penubuhan pasukan Siber BN itu adalah untuk bertindak balas terhadap perkara dan bagi menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat yang betul dari BN melalui Twitter dan Facebook BNCT.
Dengan itu, katanya, golongan muda tidak merasakan seolah-olah mereka sendirian di ruang siber dalam menyokong BN.
25 July 2012
'Kempen Misteri Pilihanraya' Muncul Di Media
Ketika spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya umum boleh diadakan awal September, satu kempen pilihan raya, yang dipercayai ada kaitan dengan BN dan dianggarkan menelan belanja berjuta-juta ringgit, muncul di semua platform media.
Bermula minggu lepas, iklan setengah muka dan iklan penuh warna itu muncul dalam semua akhbar arus perdana, serta pada
waktu perdana di semua saluran TV utama.
Bagaimanapun, kempen, yang dinamakan 'Saya Pilih Malaysia' itu tidak jelas menyatakan kecenderungan kepada mana-mana parti politik.
Bagaimanapun, warna tema - biru tua dan putih - ditambah pula dengan kata kunci yang ditonjolkan dalam iklan - keamanan, kemajuan, kestabilan dan perpaduan - dilihat senada dengan BN.
Promosi laman peminat Facebook 'Saya Pilih Malaysia' oleh Media Umno Malaysia - organ rasmi talian parti pemerintah - dilihat sebagai satu lagi petanda kempen itu ada kaitan dengan BN.
Menurut laman peminat, kempen ini telah menerbitkan dua
bahagian siri iklan dalam kesemua empat bahasa utama dalam akhbar-akhbar utama.
Bahagian kedua muncul dalam akhbar semalam, termasuk Berita Harian, Utusan Malaysia, New Straits Times dan The Star.
Menurut iklan itu, mesej yang seterusnya akan diterbitkan di saluran TV, iaitu RTM1, RTM2, TV3, 8TV, TV9, NTV7, Astro RIA, Astro Awani, Astro Vaanavil dan Astro AEC.
Sesiapa pun yang belakang kempen tersebut, semua iklan dalam media cetak dan elektronik dengan mudah akan menelan belanja berjuta-juta ringgit.
13 July 2012
26 June 2012
Najib Dilabel 'Demokrat Palsu'.

Kementerian Luar sedih dengan artikel dalam akhbar Kanada yang mengkategorikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai "demokrat palsu", dengan meletakkannya sebaris dengan autokrat lain dunia.
Tulisan itu, bertajuk "A 21st-century checklist of the new autocrats" disiarkan pada 8 Jun oleh The Globe and Mail.
Ia ditulis oleh ketua biro Beijing Mark Mackinnon, pemenang anugerah kewartawanan yang sudah mewawancara sebahagian pemimpin paling kontroversi dan terkemuka di seluruh dunia.
Antara mereka, ketua pembangkang Burma Aung San Suu Kyi, bekas pimimpin Soviet Mikhail Gorbachev, bekas perdana menteri Thailand Thaksin Shinawatra, Presiden Israel Shimon Peres dan Raja Abdullah daripada Jordan.
Dalam artikelnya, Mackinnon mengelaskan autokrat dalam empat kategori - demokrat palsu, egois gila, populis ganas dan kapitalis tanpa perasaan.
Najib dimasukkan dalam kategori pertama bersama Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika, perdana Menteri Ethiopia eles Zenawi dan Perdana Menteri Kambodia Hun Sen.
Bekas pemimpin yang pernah dikelaskan dalam kategori itu bekas presiden Yugoslavia Slobodan Milosevic dan bekas presiden Mesir Hosni Mubarak.
Mackinnon menulis, pemimpin ini "mengadakan pilihan raya tetapi tiada hasrat memberikan kuasa" dan "penentang politik seriusnya dipenjara dan parti mereka diharamkan atas alasan teknikal".
Dipetik dari - Malaysiakini
Laporan tersebut sila baca di ( SINI )










