BlogList Malaysia
Showing posts with label muktamar. Show all posts
Showing posts with label muktamar. Show all posts

17 November 2012

Dewan Ulama PAS syor Hadi jadi PM

Wakil Dewan Ulama PAS Pusat Asri Daud hari ini menyatakan bahawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah calon terbaik untuk menjadi perdana menteri.

"Siapa orang paling terbaik, (kalau) bukan Tok Guru Presiden (Abdul Hadi)?

"Sepatutnya Datuk Seri Abdul Hadi adalah orang paling mengetahui hukum Allah dalam membentuk kerajaan orang Islam," katanya.


Sebelum itu, Asri melahirkan rasa bimbang apabila PAS mahu mendapat kuasa politik tetapi akhirnya menggadaikan peranan dakwah.

Sementara itu, dalam sidang media selepas itu, Abdul Hadi berkata seorang pemimpin diajar dalam Islam, bahawa tidak boleh minta untuk menjadi pemimpin.

"Kita anggap (jawatan itu) satu amanah berat dan besar. (Ia) satu tanggungjawab. Apa yang penting kita ambil alih Putrajaya dulu.

"Siapa jadi PM, diterima oleh rakyat. Yang menyatukan rakyat. Tegakkan keadilan untuk rakyat, kita terima... Saya sanggup jadi nelayan balik," katanya.



Read More...

Pemimpin Pas yang gila mikrofon ditegur..

Seorang perwakilan di Muktamar PAS hari ini menegur pemimpin parti yang menurutnya ghairah membuat kenyataan kepada media sehingga menimbulkan percanggahan di antara satu sama lain.

Tanpa menyebut individu yang dimaksudkan, wakil Perlis, Yaakob Abu Seman berkata tindakan pemimpin PAS itu "memeningkan kepala" jentera di bawah untuk menjawab perkara yang dibangkitkan.

"Jangan terlalu ghairah dengan mikrofon dan tape recorder wartawan. Contohnya isu kenyataan Nurul Izzah, PAS pusat kata tunggu untuk mendapatkan maklumat lengkap.


"Ini adalah sikap yang terbaik. Bermaklumat dahulu baru buat kenyataan... (Tetapi) Ada pemimpin ghairah buat kenyataan, (sepatutnya) elak terlebih dahulu," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden.

Beliau mengulas laporan yang memetik kenyataan pemimpin parti itu berhubung isu kontroversi mengenai kebebasan beragama – rentetan daripada kenyataan naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam satu forum.

Antara pemimpin PAS yang mengulas perkara itu termasuk bekas timbalan presiden Nasharudin Mat Isa, ahli jawatankuasa pusatnya Khalid Samad, serta ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib.

'Jangan terperangkap'

Di samping itu, Yaakob turut mengingatkan para pemimpin parti itu, dan juga dalam Pakatan Rakyat, supaya tidak terperangkap dalam permainan media arus perdana".

Beliau mendakwa, media pro-kerajaan seperti Utusan Malaysia dan TV3 itu bertindak demikian untuk memecahbelahkan kesepakatan dalam Pakatan.

NONE"Laporan polis, saman malu belakang kira, tapi imej (pemimpin) dicalarkan dahulu (melalui laporan media) untuk memberi kesan kepada rakyat dan pengundi," katanya.

Di kesempatan itu, Yaakob turut membidas Dewan Pemuda PAS Pusat yang didakwanya "kurang menunjukkan apa yang diperjuangkan" sayap parti itu.

Beliau membandingkan perkara itu dengan usaha yang ditunjukkan PAS Pusat, yang menurutnya lebih fokus terhadap sesuatu isu seperti melibatkan Felda, saman trafik dan juga perhimpunan Gelombang Hijau.

"Kalau ingin berjuang (menarik) artis, golongan karyawan, beri kesungguhan... (Pemuda) perlu mempunyai agenda tertentu. Ada langkah-langkah dia," katanya.

Yaakob juga menggesa jentera penerangan parti supaya menggiatkan usaha untuk memberi penjelasan mengenai tawaran negara berkebajikan yang dipilih sebagai tema muktamar parti sejak tahun lalu.


Read More...

20 June 2011

'Takkan makan karipap pun rahsia parti'

Khalid Samad berkata, beliau mengambil tindakan itu untuk menzahirkan proses dan sikap semasa bermesyuarat supaya dicontohi semua peringkat.

Anggota jawatankuasa pusat PAS Khalid Samad menyelar pihak yang mendakwanya mendedahkan rahsia parti dengan menceritakan perjalanan mesyuarat yang membincangkan pelantikan pesuruhjaya PAS Selangor.

Katanya, beliau mengambil tindakan itu untuk menzahirkan proses dan sikap semasa bermesyuarat, termasuk keterbukaan pemimpin tertinggi PAS, supaya dicontohi semua peringkat.

"Janganlah menganggap cara kepimpinan Islam adalah aladiktator atas alasan wala (kesetiaan) yang tidak dapat difahami maksud yang sebenar; atau di atas alasan 'sami'na wa ata'na' (kami dengar dan kami taat) yang sebenarnya bertujuan untuk menutup pintu perbincangan dan syura," katanya.


Secara sinis, Khalid (kiri) bertanya, sekiranya beliau bercerita tentang makanan dan minuman semasa mesyuarat pun dikira rahsia parti.

"Kalau saya menceritakan kepada seseorang, 'semasa mesyuarat tadi saya minum kopi bersama dua ketul karipap, adakah itu menjadi rahsia parti?" soalnya.

Pada 14 Jun lalu, Khalid mendedahkan cadangan menggugurkan exco kerajaan Selangor Datuk Dr Hasan Ali sebagai pesuruhjaya PAS Selangor dibuat oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, timbalan dan tiga naib presidennya sendiri.

Menurutnya, mesyuarat pertama pada petang 12 Jun lalu hanya membincangkan cadangan kesemua pemimpin utamanya yang dibuat pada pagi hari yang sama.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid menyuarakan kehairanannya dengan sikap sebegitu kerana pihak terbabit "membaca tetapi tidak dapat memahami".

"Seolah-olah pemikiran dan hati mereka telah diselubungi kegelapan atau kebencian sehinggakan tidak dapat melihat pengajaran yang terkandung disebalik tulisan saya itu.

"Bagaimanapun, majoriti yang membaca kisah yang dipaparkan, jelas dapat melihat bagaimana proses perbincangan dan syura yang diamalkan dalam PAS," katanya.

Khalid juga menjelaskan tulisannya sebelum ini menjelaskan perbincangan itu dibincang secara tertib dan terbuka dan tiada cantas mencantas dan suasana berpuak-puak.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

12 June 2011

AJK Dan Pesuruhjaya PAS Yang Baru Dilantik

Mesyuarat pertama Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat yang dipengerusikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, hari ini selesai membentuk kabinet penuh parti itu.

Ianya menyaksikan Datuk Mustafa Ali kekal sebagai Setiausaha Agung dengan dibantu tiga penolong setiausaha Datuk Takiyuddin Hassan, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Ahmad Sabki Yusuf.

Jawatan Bendahari pula bertukar kepada Datuk Abdul Halim Abd Rahman manakala Dr Mohd Hatta Ramli yang sebelum ini penyandang jawatan itu diberi amanah sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.


Ketua Penerangan pula akan dipegang oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi jawatan AJK PAS yang dilantik pula, mereka adalah Nasharudin Mat Isa, Idris Ahmad, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Zulkefly Mohammad Omar dan Abang Ahmad Kerdee Masagus.

Perkara itu diumumkan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media di Pejabat Agung PAS sejurus selesai mesyuarat pertama itu.

"Kita telah membuat perlantikan dan dipersetujui sebulat suara.

"Perlantikan ini berkuatkuasa serta merta dan setiausaha akan mengantar surat kepada mereka," katanya.

Bagi Pesuruhjaya PAS negeri pula menyaksikan lima negeri mengalami perubahan iaitu Terengganu- Abdul Wahid Endut, Negeri Sembilan- Mohd Taufek Abdul Ghani, Selangor- Dr Abd Rani Osman, Melaka- Adly Zahari dan Sabah- Aminuddin Halim.

Kesemua negeri lain bagaimanapun kekal seperti senarai berikut:

Kelantan- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Pahang- Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Johor- Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Perak- Ust Abu Bakar Husin
Kedah- Datuk Seri Azizan Abdul Razak
P.Pinang- Ust Salleh Man
Perlis- Ust Hashim Jasin
Wilayah Persekutuan- Ust Mohd Noor Mohamad
Sarawak- Ust Adam Ahid

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

06 June 2011

Pengaruh ulama dalam PAS tidak terhakis

Dewan Ulama tidak sama sekali kecewa dengan keputusan pemilihan pusat PAS, yang disifatkan sebagai penguasaan besar oleh pemimpin kumpulan profesional, kata Ketua Penerangannya PAS Nik Zawawi Nik Salleh.

“Tidak, tidak kecewa. Saya (juga) sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama melihat ulama ada peranan (dalam membuat keputusan akhir), ahli jawatankuasa kerja pusat, dia (mereka) ada peranan kepada parti,” kata Nik Zawawi ketika ditemui The Malaysian Insider. “Pemilihan ini tidak (sama sekali) menggambarkan yang kepimpinan ulama diketepikan,” katanya lagi.

Sehubungan itu kata beliau, Dewan Ulama tidak menganggap bahawa peranan kumpulan ulama sudah terhakis ataupun disingkirkan.


“Itu tidak benar. Sebab, ahli-ahli jawatankuasa kerja pusat dipilih melalui suara ramai... ulama ada kelebihan sebab Dewan Ulama seratus peratus pemimpin (berlatarbelakangkan) agama dan begitu juga Majlis Syura Ulama, yang dilihat menentukan perjalanan parti, semuanya ulama,” kata beliau yang turut dicalonkan bertanding jawatan naib presiden tetapi tidak menerima pencalonan.

Pemilihan pusat melibatkan persaingan jawatan presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 18 ahli jawatankuasa kerja pusat. Presiden boleh melantik enam lagi ahli jawatankuasa kerja pusat.

Daripada yang dipilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 12 ahli jawatankuasa kerja pusat dianggap sebagai pemimpin kumpulan profesional.

Dewan Ulama menyaksikan juga pemilihan bagi ketua, timbalan dan naib ketua serta 12 ahli jawatankuasanya.

Sementara sayap Dewan Pemuda PAS menyaksikan penguasaan kumpulan ulama di peringkat jawatan teratas, Dewan Muslimat pula dilihat dipimpin golongan profesional.

Kata Nik Zawawi, bilangan enam orang dalam ahli jawatankuasa kerja pusat, dari latar belakang ulama, sebenarnya sudah cukup.

Jelas beliau, barisan ahli jawatankuasa kerja pusat baru ini, yang akan membantu parti menghadapi pilihan raya umum ke-13, adalah “pasukan terbaik.”

“Kita rasa ini ahli jawatankuasa yang terbaik setakat ini, kerana sesuai dengan keadaan dan dalam kerjasama kita dengan Pakatan Rakyat,” katanya.

“Ya, memang... boleh membantu Pakatan Rakyat,” katanya.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

05 June 2011

"Bukan Erdogan, ini Nik Aziz dan Hadi Awang"

Biarpun PAS diserang hebat oleh media sebelum dan selepas keputusan pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap mengucapkan tahniah kepada perwakilan dan pemimpin yang telah dipilih.

Berucap ketika menyampaikan ucapan penangguhan hari akhir Muktamar PAS ke-57 hari ini, beliau bagaimanapun tidak menyalahkan petugas media yang mebuat liputan selama tiga hari itu.

"Ada (media) menyatakan pimpinan baru ini kumpulan Erdogan.

"Saya kata ini bukan Erdogan, ini (Tuan Guru Datuk) Nik Aziz dengan Hadi Awang, ini bukan AK parti, ini Parti Islam Se-Malaysia PAS,"katanya membidas laporan media yang membuat label tersebut.


Membuat bidasan lebih lanjut, beliau kemudiannya turut memperincikan kepelbagaian latar belakang individu di dalam saf kepimpinan baru PAS itu.

Katanya kepimpinan baru yang diterajuinya itu terdiri daripada lapan ulama, dua doktor, dua jurutera, satu peguam, enam bekas pensyarah dan dua aktivis masyarakat.

Komposisi itu katanya menunjukkan kabinet PAS mempunyai pemimpin rencam termasuk ulama.

Malah katanya perlembagaan PAS juga memperuntukkan enam AJK dilantik, empat anggota dewan harian dan semua pesuruhjaya negeri untuk bersama kabinet baru.

Tahaluf siasi dalam Pakatan berjaya

Dalam ucapan itu juga, Presiden PAS itu juga menyifatkan kerjasama politik dengan PKR dan DAP, berjaya.

Kejayaan itu katanya boleh dilihat kepada sokongan bukan Islam terhadap PAS semakin meningkat akibat kefahaman mereka terhadap perjuangan keadilan Islam yang dibawa PAS.

"Persefahaman kita, mengekalkan jati diri kita sebagai orang Islam, memperkenal mesej Islam kepada bukan Islam tanpa paksaan.

"Berbeza dengan persefahaman wala' Umno BN yang menghilangkan jati diri, hilang hak dan hilang jati diri Islam itu sendiri," katanya menegaskan perbezaan.

Mengulas isu pembahagian kerusi antara Pakatan Rakyat untuk PRU ke-13 pula, beliau mengingatkan jentera di sesuatu kawasan memastikan kekuatan mereka dahulu sebelum berkira-kira mahu PAS bertanding.

"Kalau nak kerusi untuk bertanding, kawasan itu kena ada jentera, cawangan kena hidup dan kuat, (baru) kita boleh bertanding.

"Tapi tak kan semua kerusi kita nak tanding, itu bukan tahaluf,"katanya.

SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

13 June 2010

Hadi: Hanya Islam Mampu Selamatkan Melayu, Bukan Perkauman

Hanya ketakwaan, ilmu dan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi mampu membebaskan bangsa Melayu dari belenggu penindasan dan kejahilan.

Presiden Abdul Hadi Awang berkata jatidiri Melayu dapat diangkat dan dimartabatkan jika ia bertaut pada prinsip keadilan, ehsan dan kesaksamaan sepertimana yang diberi penekanan khusus oleh agama Islam.

Pemimpin Pakatan Rakyat ini dalam ucapan pergulungan beliau berkata kerangka rasis bawaan Umno hanya memenjarakan bangsa Melayu dalam kitaran permusuhan dan kejahilan yang berterusan.

Presiden Abdul Hadi Awang sekali lagi mengulangi seruannya kepada akar umbi Pas untuk membebaskan diri dari syak-wasangka yang ditanam Umno terhadap masyarakat bukan Islam.


Islam, tegas Hadi, adalah obor menerangi kegelapan manusia dan ahli-ahli Pas harus menunjukkan teladan Islam yang tinggi dengan membawa agenda politik yang merentasi keterbatasan kaum dan agama.

"Penubuhan Dewan Himpunan Penyokong Pas tidaklah sama dengan kerjasama Umno dan parti-parti Barisan Nasional. Dalam Pas, kerjasama bersandarkan undang-undang dan prinsip Islam. Kerjasama dalam Umno menggadaikan prinsip dan akhlak," tegas Presiden Pas.

Hadi menegaskan bangsa Melayu tidak mampu bergerak ke hadapan jika ia terus mengabaikan Islam yang memupuk kerjasama antara kaum berbilang budaya.

"Kita mempunyai tanggungjawab yang besar, iaitu menyedarkan orang Melayu dari politik perkauman. Tidak salah sekiranya menyayangi kaum: orang Melayu sayang pada bangsanya, begitu juga orang Cina dan India pada bangsa mereka. Tetapi yang salahnya apabila perkauman dijadikan aqidah," tegas Hadi.

Menyedari mesej Islam menghakis kekebalan Umno-Barisan Nasional, pemerintah giat menanam benih ketakutan di kalangan rakyat dengan harapan ia mampu menjauhkan orang Melayu dari Pas.

"Orang Melayu dibayangi penjajahan, dan Umno membayangkan hanya merekalah tempat bergantung orang Melayu. Sebenarnya, hanya Islam yang mampu menyelamatkan orang Melayu, bukan politik perkauman yang sempit," tegas Hadi.

Hadi menggesa akar umbi Pas untuk merapatkan saf dan berganding-bahu dalam menghadapi cabaran Malaysia baru yang adil, saksama dan peduli kepada nasib rakyat semuanya.

"Kita mengajak manusia untuk bersama-sama dalam bahtera Al-Quran. Meskipun ada yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, janganlah dibocorkan bahtera ini," tegas Hadi

Parti Islam SeMalaysia mengumumkan ia akan menggerakkan kempen memenangi 60 kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum akan datang dalam usaha menafikan majoriti dua-pertiga Umno-Barisan Nasional.

Kempen ini mensasarkan 37 kerusi Parlimen baru yang kini dalam tangan Ahli Parlimen Umno.

Read More...

12 June 2010

Mahfuz: Wajar wujud 5 jawatan naib presiden

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata sewajarnya diwujudkan lima jawatan naib presiden parti bagi mengimbangi tanggungjawab yang semakin bertambah yang perlu dipikul oleh pucuk pimpinan.

Beliau berkata tiga daripada jawatan itu wajar dipertandingkan di dalam pemilihan Muktamar PAS manakala dua lagi dilantik oleh presiden.

"Jumlah ahli yang menyertai PAS meningkat setiap masa. Ini menyebabkan keperluan tanggungjawab kepimpinan juga bertambah dan perlu diwujudkan jawatan tambahan," katanya kepada pemberita pada Muktamar PAS ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) di Kota Bharu hari ini.


Dewan Muslimat PAS semalam meluluskan usul agar diwujudkan satu jawatan naib presiden untuk muslimat sebagai pengiktirafan kepada perjuangan mereka dan turut mencadangkan satu jawatan pesuruhjaya keempat untuk di peringkat PAS negeri.

Mengenai cadangan pelantikan dua jawatan naib presiden oleh presiden, Mahfuz berkata ia perlu untuk membawa keseimbangan dengan memberikan contoh jika tiga naib presiden yang dipilih adalah wanita, dua lagi jawatan naib presiden boleh dipilih daripada lelaki.

Beliau berharap dewan parti akan mengusulkan cadangannya itu pada muktamar yang sedang berlangsung atau pada muktamar akan datang.

Read More...

11 June 2010

Luncai Pulak Dah...

Waspada dengan blog, 'luncai' luar parti

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mahu semua anggotanya memberikan ketaatan dan wala' (kesetiaan) kepada parti dan pemimpinnya yang "menjalankan tugas sepanjang masa, bukannya bermusim".

Katanya, kesemua pemimpin tersebut - yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang termasuk ulama dan profesional - dipilih sendiri oleh ahli-ahli dalam muktamarnya tahun lalu.


"Adunan ini jugalah yang memperkasakan PAS untuk memimpin negara, dengan menolak jahiliyah sekularisma yang meminggirkan Islam dan memisahkan urusan dunia daripada Islam," katanya.

Berucap dalam muktamar ke-56 parti itu di Pengkalan Chepa hari ini, Abdul Hadi juga mengingatkan anggota dan pemimpinnya tidak terpedaya dan "hanyut bersama luncai di luar parti yang berkeliaran dengan labu-labunya".

"Alhamdulillah, walaupun kita berhadapan dengan cabaran sebegini, tidak ada seorang pun di kalangan kita yang terkeluar daripada bahtera perjuangan mengikut telatah luncai-luncai itu, walau pun menghadapi ribut dan gelombang yang datang dari segenap penjuru," katanya di hadapan kira-kra 2,000 perwakilan dan pemerhati.

Read More...

10 June 2010

Timbalan Presiden Pas Hilang

“Mengapa tiada (langsung) gambar Timbalan Presiden PAS?”

Isu ini dibangkitkan oleh salah seorang perwakilan yang mendesak agar diberikan penjelasan sebab tiadanya gambar Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa pada kain rentang dan “backdrop” di dewan persidangan Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat yang berlangsung di Markas Dewan Ulama (Madu) di sini hari ini.

Isu yang dibangkitkan ini menjadi perhatian ketika desas-desus berterusan bahawa kehadiran di Kelantan Nashrudin tidak dialu-alukan walaupun beliau adalah wakil rakyat dari negeri itu.

Nasharudin merupakan Ahli Parlimen Bachok, Kelantan.

Timbalan Presiden PAS itu menjadi tumpuan selepas dikaitkan dengan usaha memihak idea kerajaan perpaduan Umno-BN, yang secara peribadi dibantah oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Nasharudin juga merupakan antara pemimpin yang menjadi sasaran disyorkan oleh Nik Aziz agar ditukar dengan diadakan satu muktamar khas. Syor itu dikemukakan empat bulan selepas pemilihan pucuk kepimpinan parti tahun lalu dan ketika PAS menghadapi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kelantan.

Ketika itu timbul spekulasi Nasharudin tidak dibenarkan turun berkempen, tetapi beliau hadir selepas rawatan ringkas di hospital.

Kain-kain rentang dan “backdrop” hanya mempamerkan wajah Nik Aziz dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Perwakilan dari Terengganu mendakwa Muktamar Tahunan PAS Pusat yang diadakan di Kelantan langsung tidak mempamerkan gambar Timbalan Presiden parti kecuali Nik Aziz bersama Hadi.

“Minta penjelasan daripada Dewan Ulama,” kata perwakilan ketika membahaskan Laporan Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat.

Menjawab pertanyaan itu, Pengerusi Lajnah Penerbitan Dewan Ulama Abdullah Abdul Razak berkata pihaknya bukan sengaja berbuat demikian kerana memadai jika meletakkan gambar Mursyidul Am dan Presiden selaku ketua.

“Mursyidul Am PAS dan Presiden adalah ketua dan menggambarkan keseluruhan parti. Sebab itu kita tidak meletakkan gambar timbalan presiden, bukan ada tujuan lain,” kata beliau yang juga Setiausaha Dewan Ulama Kelantan.

Ditanya mengenai keadaan yang sama di Kota Baru dan kawasan muktamar di Putik, Pengkalan Chepa, Abdullah berkata, “saya tidak tahu yang itu.”

Kain rentang dan “backdrop” Muktamar Dewan Ulama di sini memuatkan wajah pemimpin kananya iaitu Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib, timbalannya Datuk Ahmad Yaakob dan naibnya Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

“Wajah tiga orang diletakkan sebab ini majlis Dewan Ulama,” katanya.

Read More...

09 June 2010

Kerajaan perpaduan Umno-PAS tidak boleh - TGNA

Isu idea kerajaan perpaduan yang mendominasi muktamar tahunan PAS lalu dua tahun berturut-turut kemungkinan besar tidak akan mendapat tempat kali sambil Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula menegaskan, pihaknya tiada minat langsung untuk menerokai usaha tersebut.

“Tidak,” kata Nik Aziz dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider di pejabatnya di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut beliau, kebimbangan mengenai isu kerajaan perpaduan pernah wujud di peringkat awal selepas pilihan raya umum 2008 dan ketika Pakatan Rakyat dibentuk, tetapi kini tidak, di mana usaha ditumpukan untuk memperkukuhkan ikatan PAS-DAP-PKR itu.

Menteri Besar Kelantan mengulangi pengalaman PAS menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1971 ekoran permintaan daripada Allahyarham Tun Razak ketika itu.

“Bila kami masuk BN, PAS Kelantan jadi empat. Bila Umno rasa gagah, tendang kami. ini Umno,” katanya.


“Sekarang ini pilihan raya umum ke-12, (selepas) lima buah negeri jatuh, dia minta PAS masuk balik. Saya kata ‘i know who are you’, penipu kamu... tidak boleh,” katanya.

Bagaimanapun tegas Nik Aziz, keputusan menolak menyertai kerajaan perpaduan bukan keputusan beliau seorang semata-mata.

“Ini jangan fikir saya (seorang yang membantah), ini keputusan muktamar di Ipoh (2008) dan di Shah Alam (2009). Ini keputusan muktamar. saya menyokong (sahaja),” kata beliau yang Mursyidul Am PAS yang selama ini dilihat sebagai “orang kuat” membantah idea sedemikian.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider kelmarin, Ketua Penerangan PAS Idris Awang juga berkata PAS menganggap isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan PAS dan Umno-BN sejak selepas pilihan raya umum 2008 sudah selesai dan tidak akan menjadi antara agenda utama pada muktamar tahunan di Kelantan minggu ini.

Sehubungan itu kata beliau, pucuk kepimpinan juga tidak akan menghalang jika ada mana-mana perwakilan yang mahu membangkitkan semula isu berkenaan pada muktamar kali ini.

Malah katanya, PAS juga tidak akan menapis kandungan topik perbahasan para perwakilan.

Idris berkata, pihaknya menganggap perkara itu sudah selesai selepas pemimpin-pemimpin menjawabnya ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam, Jun lalu.

Sesi penggulungan ketika muktamar lalu dilihat menjadi ‘panas’ dengan isu kerajaan perpaduan.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu menjadi perhatian semula sejak kebelakangan ini, sehingga kemungkinan dibangkitkan lagi dalam muktamar kali ini.

Ia antara lain ekoran penekanan semula Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa pada majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata Mac lalu.

Nasharudin dipetik berkata yakin usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider, menurut Idris, Nasharudin telah menjelaskan kepada pucuk kepimpinan konteks dan maksud ucapannya itu pada majlis tersebut.

Ketika ditanya sama ada isu idea perpaduan boleh dibangkitkan lagi kali ini, Nik Aziz berkata, “kalau hendak bangkit boleh, tak mengapa.”

“Tapi kita lawan hujah lah. Masuk ke dalam Umno untuk buat apa?” kata beliau lagi.

“Pertama Umno menipu, ada bukti yang tegas. Keduanya, dulu kita lawan Umno, sebelum BN kita lawan Umno, sebab apa Umno tolak Islam, Islam adalah daripada Allah.

“Kenapa kamu tolak, kalau cahaya matahari kamu tak tolak, udara daripada Allah kamu tak tolak, air hujan dari langit kami tak tolak, mengapa kamu tolak islam... ini kamu betul-betul boneka kepada Eropah, bila Eropah kata agama politk lain, kamu pun kata agama politik lain,” katanya.

Nik Aziz juga menegaskan, Eropah bukan ajaran agama Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam penjelasannya, Nik Aziz juga membandingkan isu idea kerajaan perpaduan dengan konsep ketuanan Melayu dan ketuanan Islam.

“Ini tidak betul. Kamu sebut ketuanan Melayu, saya sebut ketuanan Islam, kalau ketuanan Melayu, Cina marah, India marah, tetapi ketuanan Islam, Cina boleh fikir, kalau masuk tak apa, kalau tidak masuk Islam kamu bertanggungjawab, kamu boleh sokong PAS, tidak masuk islam tak mengapa,” katanya.

Tambah Nik Aziz: “Antara ketuanan Melayu dan ketuanan Islam, saya pilih ketuanan Islam.”

“Islam ini kita panggil titik persamaan, orang Melayu terima Islam, orang Cina terima Islam, orang India terima Islam tapi tidak semestinya masuk Islam. terima prinsip dan konsep, cukup,” katanya.

Berhubung soalan sama ada idea kerajaan perpaduan masih wujud, Nik Aziz berkata, berdasarkan pengalaman beliau sudah tidak ada sekarang.

“Dulu-dulu ada lah... bimbang, tak percaya sebab ia perkara baru kan. Macam kahwin lah, malam pertama takut lah, lama-lama OK lah,” katanya.

Read More...

Kepimpinan TGNA Masih Diperlukan

Sementara pelbagai pihak melihat Datuk Nik Aziz Nik Mat akan mengumumkan pelan peralihan kepimpinan dalam waktu terdekat, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, peranan Menteri Besar Kelantan itu masih diperlukan sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya umum akan datang.

“Pada pandangan saya, Datuk Nik Aziz perlu (perlu) kekal (memimpin negeri),” kata Timbalan Pesuruhjaya III PAS Kelantan itu ketika ditemui selepas ceramah di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa dekat sini malam tadi.

“Jika boleh, saya berharap Datuk Nik Aziz akan kekal selepas pilihan raya umum nanti,” kata beliau dengan merujuk kepada ketokohan Nik Aziz yangmenerajui kerajaan sejak 1990.

Nik Aziz berkecimpung dalam politik Kelantan lebih empat dekad.

Nik Amar menjelaskan, PAS Kelantan masih memerlukan kepimpinan Nik Aziz, ikon politik negeri itu, dan yakin akan mengetuai parti itu dan Pakatan Rakyat di negeri Pantai Timur dalam pilihan raya umum ke-13.


Sebelum ini pernah ada cadangan supaya Nik Aziz juga dilantik sebagai ketua umum Pakatan Rakyat pendaftarannya diterima kelak.

Tahun ini genap 20 tahun Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengetuai kepimpinan kerajaan negeri sejak PAS menang pilihan raya umum 1990.

PAS dilihat mengadakan Mutkamar Tahunan PAS kali ini di Putik sempena memperingati 20 tahun kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS.

Nik Amar mahu kepimpinan Nik Aziz diteruskan selepas PU 13. - Gambar oleh Choo Choy May
Nik Aziz, 79, yang imejnya lebih terserlah sebagai seorang ulama dengan memegang jawatan Mursyidul Am PAS dianugerahkan oleg Gerakan Rakyat Anti Korupsi sebagai Menteri Besar memiliki rekod paling bersih dan tahun lalu diletakkan antara 50 tokoh Islam berpengaruh di dunia.

Malam ini buat pertama kali dalam sejarah, Nik Aziz akan merasmikan serentak muktamar tahunan ketiga-tiga sayap parti itu — Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama.

Antara yang disebut-sebut sebagai bakal meng gantikan Nik Aziz ialah Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun sebelum ini beliau dipetik berkata, belum bersedia untuk menggantikan kepimpinan Menteri Besar Kelantan.

Nik Aziz pernah membayangkan yang beliau akan mewarisi kepimpinan di negeri itu berdasarkan hirarki kedudukannya sekarang.

Sejak akhir tahun lalu timbul beberapa spekulasi berhubung pengganti yang layak bagi menggantikan menteri besar itu.

Akhir tahun lalu, Mohd Amar sebelum ini pernah mencadangkan agar Nik Aziz mengumumkan calon penggantinya bagi mengelak perebutan dan konflik dalam PAS negeri.

Selain Ahmad, dua lagi nama yang sering disebut-sebut mungkin dipilih menggantikan Nik Aziz ialah Mohd Amar sendiri dan seorang lagi Exco Kelantan iaitu Datuk Husam Musa.

Kedua-dua merekan juga merupakan Exco.

Ahmad, Husam dan Mohd Amar masing-masing merupakan timbalan pesuruhjaya PAS I, II dan III Kelantan.

Turut berucap pada ceramah malam tadi ialah bekas naib presiden Mohamad Sabu, yang kini merupakan ahli jawatankuasa PAS pusat.

Read More...

31 May 2010

Muktamar Pas Minggu Depan Cipta Kelainan

Kelantan akan menjadi tumpuan arena politik sekali agi susulan Kongres Nasional Keenam PKR yang berakhir semalam – kali ini Muktamar PAS, berlangsung minggu depan, yang akan membawa kelainan julung kali.

Tahun ini, majlis perasmian ketiga-tiga sayap parti itu akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

The Malaysian Insider difahamkan pendekatan itu akan menjadi amalan tahunan selepas ini.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika ditemui di sini.

Sehingga tahun lalu muktamar sayap Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat akan dirasmikan oleh secara berasingan, dengan tetamu khas antara lain ialah timbalan presiden parti.

“Ya, ia akan dirasmikan oleh Mursyidul Am PAS, yang juga Menteri Besar Kelantan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.


“Ini kali pertama kami membuat keputusan untuk mengadakan sekali,” kata beliau sambil menambah, ia bertujuan untuk memberikan panduan pucuk kepimpinan perwakilan ketiga-tiga sayap berkenaan.

Tahun ini genap 20 tahun PAS menerajui kerajaan negeri Kelantan. Kali ini majlis perasmian akan berlangsung di Pusat Tarbiyah PAS Kelantan di Pengkalan Chepa dekat sini.

Mustafa juga berkata, pendekatan perasmian serentak akan menjadi amalan standard selepas ini.

“Kami akan gunakan cara ini setiap tahun selepas ini,” kata Mustafa.

Pendekatan itu juga digunakan oleh Umno dan juga oleh PKR, yang merupakan salah satu komponen Pakatan Rakyat.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas