BlogList Malaysia
Showing posts with label mansuh isa. Show all posts
Showing posts with label mansuh isa. Show all posts

02 July 2012

Pakatan Akan Tukarkan Kem Kamunting Jadi Universiti

YDP PAS Taiping, Us Mohd Fakhrudin Abd Aziz

PAS dan Pakatan Rakyat berjanji sekiranya berjaya menawan Putrajaya dalam PRU13, Kem Tahanan ISA di Kamunting akan digantikan dengan sebuah Universiti atau Institusi pendidikan. demikian ditegaskan oleh Ust Mohd Fakhrudin Abd Aziz,YDP PAS Taiping ketika berucap dalam Himpunan Anti ISA di hadapan Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) sebentar tadi.


"Kami dipihak PAS dan Pakatan Rakyat berjanji jika kita menang malam ini esoknya semua tahanan akan dibebaskan,kem ini kita tutup dan kita gantikan dengan sebuah universiti atau apa-apa institusi pendidikan yang lebih memberi manfaat kepada rakyat, ini kerana akta zalim ini telah banyak menahan orang yang tidak mempunyai bukti kesalahan dan ini jelas amat bercanggah dengan ajaran Islam". ujar beliau.


Sementara itu wakil daripada Dewan Pemuda PAS Perak, Us. Mohd Akmal Kamarudin pula memberi ingatan sekiranya pihak kerajaan tidak menutup dan membebaskan tahanan-tahanan ISA di Kem Tahanan tersebut, Pemuda PAS Perak dan Pemuda Pakatan Rakyat Perak sanggup bersama-sama Keluarga mangsa serta GMI untuk menggerakkan seluruh ahlinya berkumpul bagi mendesak dan menyatakan sokongan kepada penghapusan akta zalim tersebut. "kami Pemuda PAS Perak sentiasa menyokong tuntutan pembebbasan mangsa dan sekiranya tahanan yang sedang mogok ini tidak dilepaskan kita akan gerakkan seluruh ahli pemuda PAS Perak ke Kem Tahanan Kamunting ini sehingga akta zalim ini dihapuskan dari muka bumi malaysia ini"


bagi ikon ISA , Pn Norlaila pula menyifatkan kem tahanan ini seperti neraka bagi ahli keluarga, ini kerana setiap kali mereka menziarahi suami, mereka terpaksa bergaduh dengan pegawai-pegawai yg ada disitu. "Ini belum lagi ditambah dengan ugutan dan penyiksaan mental yang terpaksa dihadapi oleh isteri dan anak-anak tahanan". Ujar beliau dalam keadaan sebak. Oleh itu beliau yang turut ditemani suami dan anaknya sekali lagi menuntut agar kem dan akta zalimi ini ditutup

http://demokrasi93.blogspot.com/2012/07/kem-kemunting-pr-akan-ganti-dengan.html


Read More...

Isteri: Tahanan ISA dakwa dipukul pegawai kem

Isteri kepada salah seorang tahanan ISA yang mengadakan mogok lapar di Kem Tahanan Kamunting Nunurheni@Aini Onim berkata suaminya tidak pernah mengadu dipukul ketika dalam tahanan, tetapi lain halnya ketika beliau menemui lelaki itu semalam.

Nunurheni (kiri) berkata, pada pertemuan itu barulah suaminya itu, Razali Kassan menceritakan kejadian menyayat hati yang berlaku di dalam kem tersebut.


Dalam pertemuan tersebut, Razali yang dilihatnya berada dalam keadaan lemah dan pucat menceritakan betapa beliau dipukul oleh pegawai kem, kata Nunurheni.

"Dia biasanya tak mengadu macam itu. Dia tak pernah mengadu dia kena pukul ke. Dari mula ditahan, dia tak pernah cakap apa-apa. Dia cakap ISA baik, pembangkang yang burukkan ISA kata teruk.

"(Tetapi) semalam dia cakap dia dipukul. Macam mana, saya tak dapat membayangkan. Alasannya (dipukul) cuma (kerana) tak ikut arahan, menyusahkan kerana perlu hantar ke hospital dan tak makan bila diberi makan," kata Aini dengan sebak.

Isteri kepada seorang lagi tahanan yang menyertai mogok lapar tersebut turut menyatakan perkara sama.

Khairunniza Mohd Khir (kiri) berkata suaminya, Mustawan Ahbab turut menceritakan bahawa Razali bukan sahaja dipukul malah turut diludah oleh pegawai tersebut.

"Saya jumpa (Mustawan) dalam 30 minit sahaja. Suami saya beritahu yang Razali memang kena pukul, dibelasah, diludah kerana masih mogok lapar.

"Dia (suami) beritahu saya orang atasan yang buat. Dia tak tahu pangkat tapi dia kata, bukan orang bawahan tapi orang itu pegawai tinggi di KemTa," kata Khairunniza, 36.

Wanita berkenaan berkata demikian dalam satu program dialog di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.

Razali yang berasal dari Johor ditahan di bawah ISA pada Januari 2011 kerana disyaki menyeludup senjata.

Mustawan pula ditahan pada Oktober 2010 kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan.

Razali dan Mustawan merupakan antara tahanan yang mengadakan mogok lapar kerana masih belum dibebaskan walau ISA sedang dalam proses untuk dimansuhkan.

http://www.malaysiakini.com/news/202480


Read More...

21 June 2012

Zalim Dan Macam Binatang..

Bekas tahanan ISA dakwa ramai dipukul, dikencing

Seorang bekas tahanan ISA mendakwa, para tahanan bukan sahaja dipukul malah turut "dikencing" oleh pihak berkuasa kem tahanan di Kamunting, Perak dalam satu kejadian berdarah pada 2004.

Menurut Yazid Sufaat yang dibebaskan daripada ISA pada 2008, mendakwa tindakan itu dilakukan oleh "kira-kira 100 orang" anggota Unit Keselamatan Penjara (UKP) yang memakai kelengkapan anti-rusuhan.

Insiden itu bukan dilakukan oleh polis, seperti yang didakwa dalam satu nota yang didakwa diseludup keluar oleh kakitangan kem.


Yazid mendakwa, anggota UKP itu membariskan mereka mengadap satu tembok dan kemudiannya meludah dan kencing ke atas mereka.

"Jika saya jumpa mana-mana antara mereka lagi, saya akan kencing di atas kepala mereka (sebagai balasan)," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui semalam.

Dalam kejadian pada Disember itu, penyeksaan fizikal ke atas tahanan warga Malaysia berlaku dalam tempoh sehari suntuk, namun ia berlarutan selama beberapa hari ke atas tahanan warga asing, dakwa Yazid.

Tambahnya, ada di antara rakan-rakannya yang patah tangan dan rusuk, selain luka-luka serius dan menerima banyak jahitan.

http://www.malaysiakini.com/news/201506


Read More...

09 April 2012

Aktivis anti-ISA berarak ke parlimen

Sekumpulan kira-kira 50 orang berarak ke bangunan Parlimen hari ini untuk menggesa Perdana Mernteri Datuk Seri Najib Razak supaya segera memansuhkan undang-undang ISA.

Kumpulan yang diketuai NGO Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) itu berhimpun di Taman Tasik Perdana pada kira-kira jam 11 pagi untuk berarak sejauh kira-kira 700 meter ke bangunan Parlimen.

Enam orang wakil kumpulan berkenaan, diketuai pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh, kemudiannya memasuki kawasan bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada perdana menteri dan juga ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Bagaimanapun, hanya Anwaryang tampil untuk menerima memorandum berkenaan.

Anwar berkata, beliau akan menyerahkan salinan untuk Najib itu ke Pejabat Perdana Menteri dan juga menyiapkan rang undang-undang persendiriannya untuk memansuhkan ISA yang akan difailkannya.


Read More...

17 March 2012

Apabila Puan Hakim hulurkan sekotak tisu untuk Hishamuddin Rais...

Mengikuti perbicaraan kes saman lima orang bekas Tahanan ISA melawan Ketua Polis Negara Norian Mai, Menteri Hal Ehwal dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia mengimbau kenangan 11 tahun yang lalu. Bezanya ketika itu ialah kami turun naik ke Mahkamah berhari-hari tanpa jemu bagi membela nasib mereka yang telah ditahan tanpa dibicarakan. Mereka di dalam tahanan polis selama 60 hari dan kemudiannya dihantar ke Kamunting selama dua tahun.

Tahanan di bawah akta zalim ISA menghapuskan semua hak yang ada pada seseorang manusia bebas. Kami di luar berjuang tanpa jemu untuk membebaskan mereka dengan menggunakan segala ruang yang ada.


"REFORMASI! REFORMASI! UNDUR MAHATHIR UNDUR!" menjadi kalimah keramat ketika itu. Rakyat berani bangun melawan, mendedahkan kezaliman. Mereka ditangkap sebelum tarikh keramat 14 April yang dikenali sebagai "BLACK 14" bagi mengenang tarikh di mana Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun ke atas Anwar Ibrahim. Satu perhimpunan besar-besaran telah dirancang untuk diadakan di perkarangan pejabat SUHAKAM di Kuala Lumpur.

Sehari selepas tangkapan media menyiarkan di muka hadapan tajuk mereka ditangkap di bawah ISA dengan niat untuk menggulingkan kerajaan dengan menggunakan kekerasan dengan memiliki senjata, bom, molotov cocktail. Juga menggunakan khidmat guru-guru silat. Gambar kesemua mereka yang ditangkap juga turut dipaparkan di muka hadapan sebagai individu-individu yang mahu menggulingkan kerajaan dengan kekerasan.

"Memiliki senjata, bom, pelancar roket dengan tujuan menggulingkan kerajaan dan mengancam keselamatan negara." Kenyataan Ketua Polis Negara, Norian Mai ketika itu. Dengan tuduhan itu mereka semua telah ditangkap dan dipisahkan secara zalim dari ahli keluarga.

Selama dua bulan mereka ditahan di Pusat Tahanan Reman Polis mereka telah disiksa dan dizalimi. Disogok dengan soalan-soalan yang tiada kena mengena langsung dengan tangkapan dan tuduhan ke atas mereka. Kami mendengar pengalaman perit mereka melalui keluarga ketika ditahan dan kemudiannya melalui penceritaan sendiri ketika dibebaskan.

Siapa yang berniat jahat dalam penangkapan mereka dan apakah tuduhan dan fitnah yang dikenakan ke atas mereka terjawab kini dalam kes saman yang sedang berlangsung bermula pada 27 Februari 2012 hingga 15 Mac 2012. Tarikh yang ditetapkan oleh Puan Hakim Lau Bee Lan, yang diharap mendengarkan kes ini dengan adil dan saksama.

Bekas tahanan ISA yang terlibat dalam tindakan saman di Mahkamah ini ialah Saari Sungib, Tian Chua (gambar kanan), Hishamuddin Rais, Dr Badrulamin Bahron dan Pak Din, Badaruddin Ismail.

Sebagai seorang yang mengikuti perjalanan tangkapan ini sejak hari pertama tangkapan pada tarikh 10 April 2001 sehingga saat mereka dibebaskan pada 2 Jun 2003, saya berusaha untuk tidak melepaskan peluang hadir ke mahkamah mendengar perbicaraan ini. Saya telah melihat bagaimana keluarga mereka menderita setelah dipisahkan secara zalim bila polis dan SB secara kejam dan kasar menahan mereka di rumah atau di pejabat. Bukan seorang dua polis yang hadir, bukan sebuah atau dua buah kenderaan polis yang datang mengepung tetapi di dalam jumlah yang banyak dan ramai dengan niat tidak lain untuk menimbulkan rasa takut di kalangan tetangga dan ahli keluarga. Seolah mereka penjenayah besar!

Selama dua bulan di tahanan reman polis mereka tidak dibenarkan langsung bertemu peguam pilihan mereka. Pertemuan keluarga juga sukar, mereka hanya dapat berjumpa sekali atau dua kali sahaja sepanjang penahanan. Itupun di bawah kawalan polis dan polis cawangan khas. Mereka tidak bebas, mereka tidak bebas bersuara dan menceritakan apa yang mereka lalui. Mereka di arah berlakon agar menunjukkan mereka "OK" di dalam tahanan polis dan keluarga tidak perlu risau dan keluarga tidak perlu berkempen kerana hanya akan membuatkan mereka ditahan dengan lebih lama lagi.

Apabila berada di dalam kamar Mahkamah Tinggi Sivil 5, Mahkamah Jalan Duta di hadapan Hakim Lau Bee Lan yang mendengar kes tersebut, saya merasa puas apabila setiap perlakuan zalim dan tidak berperikemanusiaan pihak polis dan Cawangan Khas khususnya didedahkan di dalam Mahkamah di hadapan Hakim.

"Diletakkan di dalam sel yang sempit, tiada ruang udara, tiada lubang cahaya, tiada tempat membuang air, hanya diberikan botol untuk membuang air, tidak tahu masa, tidak tahu siang dan malam." Ini antara kisah mereka.

Disoal siasat berjam-jam setiap hari bukannya dengan tujuan mencari bukti terhadap pertuduhan ke atas mereka sebaliknya ianya menjadi ruang untuk menaburkan fitnah kotor ke atas pimpinan pembangkang, khususnya Anwar Ibrahim, malah ke atas isterinya Wan Azizah dan puteri mereka Nurul Izzah.

"SB suka membebel-bebel, berulang-ulang, paling sakit hati ialah SB mengatakan Anwar Ibrahim memiliki lebih dari 30 orang wanita." Sebahagian dari pendedahan oleh Saari Sungib (gambar kiri) tentang soal siasat SB.

Sebenarnya sebagai seorang manusia saya tidak sanggup mencatatkan di sini soalan-soalan yang didakwa sebagai soal siasat ke atas tahanan ISA yang terbabit. Ianya sungguh tidak bertamaddun dan zalim. Tuduhan ke atas mereka ialah memiliki bom dan mahu menggulingkan kerajaan tetapi soalan yang dihamburkan ke atas mereka ialah tentang seks, fitnah seks ke atas Anwar Ibrahim khususnya tentang kebodohan pimpinan pembangkang contohnya "Syed Hussin Ali adalah seorang yang bodoh dan akan kekal bodoh."

Saya kira antara yang paling teruk dihina ialah Hishamuddin Rais apabila beliau dituduh sebagai seorang yang suka makan ular dan babi dan banyak lagi yang tidak mungkin sanggup saya menulisnya. Kita tunggu kelahiran bukunya jika ada.

Hati saya sakit bilamana pihak Pendakwaraya cuba mengatakan bahawa sebenarnya tahanan ISA ini tidak trauma dan disakiti sedangkan mereka terus menerus mengalami mimpi-mimpi ngeri hingga kini apabila mengingati kembali peristiwa tangkapan ISA. Ini diceritakan sendiri oleh isteri Saari Sungib, Puan Aliza Jaffar.

Malahan masakan Hishamuddin Rais (gambar kiri) yang terkenal dengan "Stand-up Comedy" tidak dapat menahan perasaan dan menangis sebak apabila dipinta oleh peguambela menceritakan perasaannya tentang penahanan yang tidak sah itu. Beliau mengambil masa yang lama untuk berkata dan Puan Hakim sendiri menghulurkan sekotak tisu untuk diserahkan kepada beliau. Ini adalah situasi yang amat memilukan. Bukan mereka pinta layanan istimewa tetapi mereka bukan banduan dan tidak pernah dibuktikan kesalahan mereka.

Dari keterangan saksi-saksi polis cawangan Khas yang terlibat menangkap, mereka mengaku tidak menjumpai apa-apa bukti tentang bom atau senjata malah surat-menyurat yang mengaitkan dengan pertuduhan. Namun polis-polis cawangan Khas ini jugalah yang menandatangani persetujuan agar mereka terus ditahan setelah tamat tempoh 48 jam yang didakwa terlalu singkat untuk mengumpulkan bukti. Padahal hingga kini tiada bukti yang pernah dijumpai.

Mereka terpaksa merengkuk dan dizalimi selama 60 hari oleh pihak Polis Di Raja Malaysia dan disambung lagi dipisahkan dari ahli keluarga selama dua tahun setelah kononnya Menteri Dalam Negeri ketika itu berpuashati dengan soal-siasat polis. Ini berlaku hanya kerana mereka berani melawan United Malays National Organisation - UMNO dan bukan kerana mereka mengancam keselamatan negara.

Maka betullah ungkapan dari lirik lagu rakyat: "Rakyat Berani perompak akan lari... Rakyat sekolah tidak akan dikalah...rakyat bersatu tidak akan ditipu".

Kita mesti harus berani melawan. Berani mendedahkan kezaliman sebagaimana beraninya lima orang bekas tahanan ISA ini mendedahkan kezaliman pemimpin dan kejahatan mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan rakyat dan negara.

Salut untuk semua pejuang yang berani!

*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.

Dipetik dari - http://www.merdekareview.com/bm/news_v2.php?n=12840


Read More...

18 November 2011

Ketua Polis & Hishammuddin Pertahan Guna ISA

KUALA LUMPUR, 18 Dis ― Penahanan 13 anggota kumpulan militan di Sabah baru-baru ini menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibuat selepas polis mendapat maklumat risikan dari dalam dan luar negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

“Saya bertindak atas maklumat risikan bukan dalam negara sahaja, (malah) dari serata dunia. Ini (isu keselamatan) berhubung kait dengan rantau lain.

“Ini bukan isu main-main.

“Saya terpaksa bertindak ikut kekuatan undang-undang yang masih relevan di negara kita and saya telah memberi penjelasan kepada Menteri Dalam Negeri,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat Polis Diraja Malaysia untuk perwakilan asing di Maktab PDRM Cheras di sini.


Dipetil Bernama Online, beliau (gambar) diminta mengulas mengenai kenyataan Pesuruhjaya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling, yang menggesa polis supaya menjelaskan kedudukan sebenar penahanan itu supaya tidak disalah tafsir dan menimbulkan sangkaan buruk.

Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan juga mempertikaikan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menjanjikan mahu memansuhkan ISA tetapi mereka ditahan.

Ismail berkata, soal keselamatan tidak harus dipermainkan kerana keselamatan negara adalah tanggungjawab utama polis iaitu bagi membendung apa sahaja boleh mengancam dan menggugat keselamatan negara.

“Kita buat (tindakan ini) demi keselamatan negara. Kita tidak boleh tunggu sehingga sesuatu itu berlaku. Nasihat saya kepada sesiapa juga, jangan putar belitkan,” katanya.

Ismail semalam mengesahkan tujuh rakyat Malaysia dan enam warganegara asing ditahan di Sabah sejak Isnin lalu mengikut Seksyen 73 (1) ISA kerana disyaki ada kaitan dengan usaha untuk menghidupkan kembali gerakan militan di Sabah.

Identiti dan nama kumpulan militan itu tidak dinyatakan namun sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan polis menahan anggota militan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Omar yang juga dikenali sebagai kumpulan Kaltim dan berpangkalan di Kalimantan.

Laporan media menyebut kumpulan militan berkenaan menggunakan Tawau sebagai lokasi transit untuk pengumpulan senjata yang diperoleh dari selatan Filipina.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula kesemua enam warga Indonesia yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti militan akan diusir segera ke negara asal mereka.

Beliau berkata, tujuh warga tempatan yang turut ditahan bersama mereka akan didakwa di mahkamah sebaik siasatan selesai dan segala bukti dapat dikumpulkan.

Katanya, semua yang ditahan itu didapati mendapat latihan ketenteraan serta terbabit dalam penyeludupan senjata dan kegiatan mereka dikategorikan serius bukan saja oleh Malaysia tetapi juga pihak berkuasa Indonesia dan agensi lain di peringkat antarabangsa.

“Buat masa ini, semua mereka ditahan di bawah ISA kerana akta itu masih boleh digunakan untuk membendung kegiatan keganasan sehinggalah akta baru digubal pada Mac tahun depan,” katanya.

Menyatakan bahawa beliau sebelum ini sudah dimaklumkan mengenai kegiatan kumpulan itu oleh pihak Indonesia, Hishammuddin mengingatkan semua pihak supaya tidak cuba mempolitikkannya kerana ia menyentuh secara langsung keselamatan dan kedudukan negara.

“Kita tidak gunakan sewenang-wenangnya ISA. Ia akan terhad kepada isu keganasan jadi pengesahan pihak Indonesia itu sedikit sebanyak membantu membuktikan kewajaran tindakan kita,” katanya.

Walaupun negara tidak dijadikan sasaran, Hishammuddin berkata beliau tidak mahu melihat Malaysia dijadikan negara transit atau tempat menyimpan senjata atau dijadikan tempat latihan untuk merancang aktiviti keganasan di rantau ini.

Tiga belas individu yang ditahan di Tawau, Sabah sejak Isnin lalu itu disyaki terbabit dalam kegiatan subversif, termasuk cubaan menghidupkan kegiatan militan yang dikhuatiri boleh mengancam keselamatan negara dan rakyat.

September lalu, Najib mengumumkan ISA dimansuhkan dan memberi jaminan dua undang-undang baru yang akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang serta perbuatan jenayah tidak akan digunakan untuk menahan sebarang individu semata-mata kerana ideologi politik.

Bagaimanapun, dua akta baru bagi menggantikan ISA perlu dikuatkuasakan dahulu sebelum pemansuhan ISA boleh dilakukan.

Read More...

17 November 2011

11 Orang Ditangkap Di Bawah ISA Di Sabah

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Penangkapan terbaru membabitkan sekurang-kurangnya 10 orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Sabah Isnin lalu membuktikan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya 'sandiwara'.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh berkata, ianya secara jelas menunjukkan bahawa Najib sememangnya tidak ikhlas dengan pengumumannya sebelum ini untuk memansuhkan ISA.

"Penahanan terbaru ini menjadi satu singgungan yang kuat kepada rakyat.

"Ia tak memberi apa-apa makna kepada janji perdana menteri untuk memansuhkan ISA melainkan hanya sandiwara untuk mendapat sokongan rakyat," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas maklumat terbaru berhubung penahanan 10 aktivis Islam di bawah akta itu di Sabah, 14 November lalu.

Semalam, Pesuruhjayanya PAS Sabah, Mohd Aminuddin Aling berkata tangkapan pendakwah dan aktivis Islam dengan perbagai profesion tersebut dilakukan oleh pegawai-pegawai polis dari Jabatan Pasukan Petugas Khas (Operasi Counter Terorism) Bukit Aman diketuai oleh DSP Azman Omar.

Menurutnya, keluarga atau waris yang ditangkap dimaklumkan sehari kemudian bahawa mereka ditangkap di bawah Seksyen 73(1) AKDN 1960 (ISA).

Menurut Syed Ibrahim, GMI bagaimanapun mendapat maklumat sekurang-kurangnya 11 hingga 14 orang yang ditangkap dalam operasi hari tersebut.

"(Dengan pengumuman Najib) Kita jangka tak ada lagi tangkapan besar-besaran seperti apa berlaku ini.

"Tapi malangnya kita lihat tindakan tidak menyokong janji yang dibuat," jelasnya sambil mendakwa akan mengeluarkan kenyataan rasmi GMI hari ini.

Sementara itu, GMI menurutnya akan mendapatkan maklumat lanjut dari waris mangsa tahanan untuk membuat tidakan susulan.

Beliau menyeru pihak keluarga terutamanya dan PAS Sabah memberi kerjasama untuk tujuan tersebut.

"Ramai yang ingat (selepas pengumuman Najib), tidak ada lagi mangsa yang ditahan, dan tiadak ada lagi yang akan ditahan.

"Sebenarnya masih ada yang belum dibebaskan dan masih berlaku tangkapan-tangkapan baru," jelasnya.

- HarakahDaily

Read More...

30 September 2011

ISA Tak Mansuh Lagi.. Kena Masuk Parlimen Dulu ..

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan akan mengemukakan usul untuk memansuhkan akta ISA 1960 ke parlimen pada Mac depan.

Sementara itu, usul untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1959 dan Akta Buang Negeri 1959 pula akan dibawa ke parlimen pada sesi bermula minggu depan, katanya lagi.

Selain itu, usul pindaan ke atas Seksyen 27 Akta Polis 1967 pula akan dibentangkan pada November, tambahnya.

"Minggu depan saya akan mulakan proses itu. Tetapi akta ISA, kita kata bulan Mac tahun hadapan sebab kita kena gubal dua akta baru. Yang lain, yang mana kita boleh buat cepat, kita akan buat cepat.


"Saya sendiri akan membentangkannya (di parlimen)," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC petang ini.

Sehubungan itu, Najib berkata Majlis Tertinggi Umno sebulat suara memberi sokongan terhadap pengumumannya pada 15 September lalu berhubung cadangan kerajaan untuk memansuhkan akta berkenaan.

"Majlis tertinggi berpendapat bahawa ini adalah merupakan pelengkap kepada tranformasi yang bermula dengan GTP, ETP dan kini PTP yang mana ini menunjukkan bahawa kita mempunyai agenda yang begitu komprehensif dan menyeluruh," katanya.

Ditanya mengenai reaksi akan umbi Umno berhubung cadangan kerajaan itu, Najib berkata "kebanyakannya memahami" hasrat kerajaan dan ramai pemimpin akan terlibat untuk memberi penerangan kepada mereka.



Read More...

29 September 2011

Jangan Tiru ISA Kata Majlis Kangkung Negara

Ahli akademik kanan negara hari ini berkata, undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus meniru amalan undang-undang yang zalim itu.

Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, yang mengetuai Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam di bawah Majlis Profesor Negara, menekankan bahawa kerajaan perlu mengimbangi hak memelihara keselamatan negara dengan hak individu.

Katanya, undang-undang yang dicadangkan untuk menggantikan ISA perlu lebih fleksibel daripada Akta Patriot Amerika Syarikat dan Akta Anti-Keganasan di United Kingdom.


"Kami ingin lihat undang-undang berkaitan dengan keselamatan dalam negara dan ketenteraman awam yang tidak mengikuti undang-undang Amerika Syarikat atau United Kingdom yang sangat tegas berhubung penahanan seseorang individu.

"Undang-undang (baru itu) juga tidak sepatutnya mencontohi ISA," kata Nik Ahmad pada sidang akhbar hari ini.



Read More...

28 September 2011

Pakatan tolak undang-undang ganti ISA

Pakatan Rakyat tidak akan menerima sebarang undang-undang untuk menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mahu dimansuhkan oleh kerajaan, kata timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

Pendirian Pakatan, tegasnya, adalah jelas, iaitu mansuhkan ISA sepenuhnya dan tiada undang-undang baru menggantikannya.

Bercakap selepas satu forum awam malam tadi, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak berkata, Pakatan bersedia untuk membantu kerajaan dalam mendraf rangka kerja pasca-ISA.

Azmin berkata pihaknya akan menunggu respon kerajaan terhadap tawaran kerjasama tersebut.

Penalis forum mengenai pasca-ISA itu ialah ahli parlimen Subang, R Sivarasa; profesor undang-undang, Abdul Aziz Bari, dan penganalisis politik, Wong Chin Huat.

Ditanya mengenai "rangka kerja" tersebut jika ia bukan undang-undang untuk menggantikan ISA, Azmin berkata, pakatan akan membentangkan cadangannya untuk reformasi pasukan polis.

Menurutnya, pasukan polis yang berwibawa akan mampu bertindak menangani ancaman keselamatan negara tanpa memerlukan tahanan tanpa bicara.



Read More...

21 September 2011

Mansuh ISA - 1 Malaysia Kena Kencing

Nazri: Tahanan tanpa bicara akan diteruskan

Amalan penahanan tanpa perbicaraan akan diteruskan walaupun dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan undang-undang pencegahan yang lain, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Menurut beliau dua undang-undang baru yang bakal diperkenalkan bagi menggantikan ISA akan juga membenarkan penahanan tanpa bicara kerana ia adalah elemen penting dalam usaha memerangi keganasan.

Katanya, Peguam Negara akan berunding dengan ahli parlimen, hakim dan pihak-pihak yang berkepentingan lain di dalam dan juga luar negara kerana menangani keganasan adalah usaha antarabangsa.


"Malah bagi kesalahan jenayah biasa, seseorang boleh ditahan tanpa bicara. Kami namakannya tahanan reman 14 hari, - ia juga merupakan satu bentuk penahanan tanpa perbicaraan," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka anjuran bahagian undang-undang, Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Menurut Nazri, penahanan dalam keadaan seumpama itu tidak bererti seseorang itu dianggap bersalah.

"Rakyat juga sedar bahawa kita perlu untuk menahan seseorang sebelum boleh dapat mengumpul bukti," katanya.

Walau bagaimanapun, jelasnya, elemen yang sedang diperbetulkan ialah tempoh tahanan yang terlalu lama boleh disifatkan sebagai tindakan menindas.

Sementara itu, bercakap kepada Bernama selepas megadakan dialog bersama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di Kuala Lumpur hari ini, Nazri berkata dua undang-undang baru yang akan menggantikan ISA tidak akan digunakan bagi menahan pihak yang berbeza ideologi politik.

azlanKatanya, kedua-dua akta itu akan hanya digunakan bagi mengekang kegiatan pengganas dan ekstremis agama.

Selain itu, pihak yang didapati bersalah di bawah kedua-dua akta tersebut hanya akan ditahan setelah dijatuhi hukuman oleh mahkamah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan beberapa pihak yang mendakwa dua akta baru yang akan menggantikan ISA itu akan mengekalkan ciri-ciri ISA yang didakwa mereka akan menindas tahanan.

Mengulas desakan pembangkang yang mahu bekas tahanan ISA diberi pampasan berikutan pemansuhan akta itu, Mohamed Nazri berkata, ia sewajarnya tidak dijadikan isu kerana mereka ditahan di bawah undang-undang yang sah pada ketika itu.

"Ia berlaku mengikut undang-undang, (jadi ada) tidak perlu meminta maaf dan tidak perlu pampasan. Kenapa perlu persoalkan? Ia sepatutnya tidak jadi isu," kata Nazri.

Pada Khamis lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam perutusan khas Hari Malaysia mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Najib berkata dua undang-undang baru itu akan digubal di bawah "semangat serta payung" Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah. -mk



Read More...

19 September 2011

Mahathir Kata ISA Tak Kejam..

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan sokongan beliau terhadap penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata langkah itu akan memberi lebih kebebasan kepada rakyat Malaysia.

Namun, Dr Mahathir (bawah) menegaskan ISA yang diwarisi sejak zaman British sebenarnya tidaklah terlalu kejam kerana rakyat Malaysia masih bebas memberi pandangan dan pendapat mereka.


"Tidak semua mereka yang membuka mulut terus ditahan di bawah ISA... dan tanggapan bahawa Malaysia tidak bebas kerana ISA juga tidak tepat," katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran KelabChedet.com di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia "pada tahap moral yang tinggi", malah boleh dianggap setahap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

"Selepas penghapusan akta itu, kita boleh mulakan kempen untuk minta mereka lepaskan tahanan tanpa bicara, sebagai contoh, di kem tahanan Teluk Guantanamo.

"Masih ada yang ditahan sejak 10 tahun lepas dan tidak dibicarakan, ditahan hanya kerana mereka orang Islam," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Malaysia kini lebih liberal dengan penghapusan ISA dan berhak membuat tuntutan seumpama itu terhadap negara seperti Amerika dan Britain.

"Dulu mereka menegur Malaysia kononnya zalim, menahan tahanan tanpa perbicaraan, namun itu yang mereka lakukan sekarang ini.

"Mungkin mereka baru sedar dalam situasi tertentu, Malaysia terpaksa menahan orang tanpa perbicaraan, namun apa yang mereka lakukan di Teluk Guantanamo lebih kejam dengan meluluskan undang-undang yang membenarkan penyeksaan tahanan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir khuatir puak pelampau dan perkauman di Malaysia akan mengambil kesempatan untuk membuat kenyataan yang akan merugikan negara apabila ISA dihapuskan.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu berkata beliau menggunakan blog sebagai medium untuk berkomunikasi dengan orang ramai.

"Melalui blog saya mampu membuat teguran dan menyampaikan pandangan untuk dikongsi bersama," katanya.

Berpendapat teguran yang dibuat dalam blog beliau sebagai satu keperluan, Dr Mahathir berkata blog harus digunakan untuk menyampaikan sesuatu yang betul.

Bernama



Read More...

Rakyat Semakin Cerdik Untuk Menerima Undang-Undang Baru Mengantikan ISA

'Lebih undang-undang menekan ganti ISA'

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat cukup matang untuk tidak meletakkan harapan tinggi dalam isu pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan undang-undang lain yang mengehadkan kebebasan sivil dan politik.

anwar ibrahim and wan azizah sodomy trialKetua pembangkang berkata, beliau menjangkakan dua undang-undang menggantikan ISA sama terhad, walaupun mungkin tidak lebih ketat, daripada versi sedia ada.

Anwar menambah, rakyat perlu berwaspada bilakah akta itu hendak dibatalkan dan di kalangan pimpinan Umno sendiri, ia dijangka cukup ketat dan keras "asalkan bunyinya bukan ISA".

"Saya tidak percaya rakyat mudah diperbodohkan dan menilai kedudukan dalam pengumuman kerangka kenyataan oleh Apco.

"Biar rakyat menilai dengan sendiri. Kempen Pakatan batalkan ISA berkesan," katanya yang juga anggota parlimen Permatang Pauh.

Anwar berkata, harus diingati bahawa ISA digunakan untuk mempertahankan ketuanan Melayu dan melindungi kedudukan Umno dalam kerajaan.



Read More...

Dolah Badawi Sudah Bangun Tidur Laa...

KUALA LUMPUR, 19 Sept — Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berharap tidak akan ada pihak dalaman yang akan menentang secara “senyap seperti gunting dalam lipatan” usaha penggantinya Datuk Seri Najib Razak yang mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan beberapa undang-undang lain.

“Saya harap barisan pimpinan di belakang Datuk Seri Najib, parti-parti politik baik dalam Barisan Nasional atau pun di luar akan memberi sokongan penuh kepada beliau untuk merealisasikan perjuangan untuk membawa perubahan.

“Saya harap tidak akan ada mereka yang menentang dalam senyap seperti gunting dalam lipatan kerana dasar yang beliau ingin wujudkan dengan pemansuhan ISA akan membawa manfaat kepada rakyat dan negara dalam jangka masa panjang,” kata beliau hari ini.


Najib menggantikan Abdullah (gambar) sebagai Perdana Menteri pada April 2009.

Abdullah juga berkata beliau berharap mereka yang dipertanggungjawabkan untuk menggubal akta dan undang-undang baru keselamatan akan berfikiran progresif dan tidak cuba menggubal undang-undang yang dapat disalahgunakan untuk menyekat perkembangan minda rakyat yang waras, intelek dan berintegriti.

“Saya yakin dan percaya bahawa Perdana Menteri dan barisan pimpinan di bawah beliau telah berfikir dengan dalam dan rasional sebelum mengumumkan pemansuhan ISA dan enakmen darurat, dan saya juga yakin bahawa beliau akan melakukan apa yang telah dijanjikan,” kata Abdullah ketika berucap menerima ijazah kehormat doktor keusahawanan dalam pembangunan modal insan sempena Majlis Konvokesyen Pertama Universiti Malaysia Kelantan.

Najib mengumumkan pemansuhan ISA dan tiga deklarasi darurat serta langkah mengkaji semula beberapa undang-undang yang lain ketika menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia Khamis lalu.

Dalam ucapannya, Abdullah menyifatkan pengumuman oleh Najib Khamis lalu sebagai satu perkara yang diharap akan mencatat sejarah kerana ISA dan beberapa enakmen keselamatan yang lain sudah lama menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Kata Abdullah, semasa mengambil alih menjadi Perdana Menteri pada 2003 beliau telah bertekad untuk memberi lebih kebebasan supaya rakyat negara ini dapat memperkembangkan fikiran dan intelek tanpa sekatan dan tanpa ketakutan bahawa undang-undang seperti ISA akan digunakan terhadap mereka.

“Saya juga telah menjayakan tiga perundangan yang memberi perubahan kepada undang-undang berkaitan dengan pencegahan rasuah, pelantikan hakim dan integriti agensi penguat kuasa,” kata beliau sambil menambah, beliau juga berhadapan dengan tentangan dari dalam dan luar parti pimpinannya.

“Saya mengaku bahawa saya mendapat tentangan bukan sahaja dari luar tetapi juga dari dalam kerana ada golongan ‘hardliners’ yang ingin mengekalkan sistem yang lama, yang masih ingin menguasai aliran maklumat serta menggunakan akta-akta dan enakmen untuk membisukan rakyat,” katanya lagi.

Namun tegas Abdullah, majoriti bersetuju bahawa dalam perkampungan dunia sekarang, menentang peralihan zaman akan membawa rebah.

“Dan, kita berjaya dalam usaha kita untuk memberikan hak kepada rakyat untuk bersuara dengan lebih kebebasan. Kebebasan ini amat perlu untuk membina modal insan kita yang lebih bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya lagi.

Jelas Abdullah, ada juga yang menyalahkan beliau kerana memberi terlalu banyak kebebasan kerana mengikut mereka ia menjadi faktor ke arah keputusan pilihan raya umum 2008.

“Tetapi pada diri saya, saya tidak pernah menyesal memberi lebih kebebasan sebab itu adalah hak asasi manusia.

“Pada saya, masyarakat yang waras dan bertamadun akan satu hari kelak akan dapat membezakan antara kaca dan permata, dan mereka akan dapat tapis pembohongan dan fitnah dengan kebenaran dan keikhlasan,” kata bekas presiden Umno dan bekas pengerusi BN.

Justeru kata Abdullah lagi, beliau cukup bangga dengan tindakan Najib untuk memansuhkan ISA kerana “saya percaya itu adalah satu lanjutan dari tindakan kerajaan dahulu untuk menegakkan lagi hak asasi manusia.”

“Tetapi perjalanan ke arah mencapai matlamat penuh Perdana Menteri Najib mungkin juga berhadapan dengan cabaran-cabaran seperti saya dalu... ‘the job of a reformist is not easy’.”



Read More...

18 September 2011

'Sebelah tangan suap, sebelah lagi pukul'

KUALA LUMPUR, 18 Sept: Jangan hanya janji mahu kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, tetapi luluskan segera permit Suara Keadilan, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

"Tak perlulah (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) menambahkan lagi koleksi janjinya, banyak yang tidak ditunaikan.

"Jangan hanya janji nak kaji Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, tapi pada masa yang sama terus menyekat permit Suara Keadilan," katanya.

Mohamad melihat janji Najib itu tidak ubah seperti "sebelah tangan seolah-olah mahu menyuap makanan tetapi sebelah tangan lagi terus memukul kepala kita dengan kayu".


"Najib kata mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik, tetapi kebebasan bersuara terus ditahan hanya kerana ideologi politik.

"Permohonan PAS untuk menerbitkan akhbar harian ditolak, pihak pembangkang tidak diberikan peluang dan liputan yang sama dalam media milik rakyat seperti RTM," katanya ketika diminta memberikan ulasan lanjut kepada pengumuman Perdana Menteri dalam perutusan khas Hari Malaysia.

Antara lain, Najib berjanji akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan mengkaji beberapa undang-undang seperti Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Dalam reaksi awalnya kepada janji-janji Najib itu, Mohamad berharap peruntukan dalam akta baru bagi menggantikan ISA tidak menyerupai akta tersebut.

"Kita tidak mahu pengumuman penghapusan ISA ini sebagai gimik pilihan raya tetapi ia benar-benar diusahakan kerana ia adalah tuntutan sebahagian besar rakyat di negara ini," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu Jumaat lalu.

Ketika ditanya adakah rakyat perlu berterima kasih dengan pemansuhan ISA, Mohamad berkata, yang penting untuk dipersoalkan ialah mengapa akta yang telah menzalimi banyak pihak itu disalahgunakan?

"Samalah apabila kita dibebaskan selepas ditahan di bawah ISA, tidak relevan pertanyaan adakah kita hendak berterima kasih atau tidak, yang perlu dipersoalkan ialah kenapa tangkap kita di bawah ISA, kenapa zalimi kita?" kata beliau.

Beliau mengingatkan supaya jangan berlebihan menyambut janji-janji Najib itu.

"Tengok dulu adakah akta yang menggantikan ISA itu. Adakah ia zalim seperti ISA juga? Adakah ia boleh disalahgunakan untuk menzalimi aktivis parti pembangkang?" katanya.



Read More...

Pakatan Berhak Mendapat Kredit Atas Pemansuhan ISA

LAKI Rosmah kata pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang masih valid bukan perjuangan Pakatan Rakyat jadi Pakatan Rakyat jangan cuba hendak ambil kredit atasnya. Kita hendak tanya yang melaung dan mendesak supaya ISa dihapuskan selama ini siapa, Umno ke Pakatan Rakyat?

Menurutnya pemansuhan itu adalah keinsafan dan keperihatinan kerajaan. Saya rasa Pakatan Rakyat tidak begitu perlahap untuk mengambil kredit atas pemansuhan itu pun. Tetapi yang pastinya rakyat suka kalau ia benar-benar dihapuskan dan pemansuhan itu bukan bersifat menuang arak ke dalam botal baru.

Saya hendak tanya Najib pemansuhan yang dilihat sebagai transformasi politiknya yang berani. Soal ini mudah sahaja dan boleh dijawab oleh sesiapa saja dalama kepada masing-masing.


Akta ISA wujud sejak tahun 60 lagi. Ia bukan wujud setahun dua ini. Sudah lima orang PM yang melalui akta berkenaan termasuk bapa Najib sendiri, Razak bin Hussein. Dalam tempoh itu sudah ribuan orang yang berdosa dan tidak berdosa ditahan menerusi akta berkenaan.

Selama itu juga pembangkang dan mereka yang ditahan di bawah akta itu merasakan ianya dizalimi. Malahan ada yang trauma sampai ke hari ini. Contohnya seorang ahli akademik yang sebelum ini berperanan untuk menjadi ketua menteri di sebuah negeri, terus lari lintang pukang meninggalkan jelumu politik bila mana beliau ditahan di bawah akta berkenaan.

Bukan itu saja dia menyalahkan sahabatnya yang membawanya ke dalam parti. Bukan saja menyesali sebaliknya menuduh sahabatnya itu sebagai jahat, pengkhinat kepada bangsa dan negara padahal sebelum ini semasa sahabatnya berkuasa dialah orang yang memuja dengan nasib dan nazam setiap hari.

Tidakan polis menelanjangkannya kemudian suruh merangkak dan telornya yang dua biji dijentik menyebabkan dia jadi phobia dengan akta berkenaan. Jangankan melihat gari melihat jerjak besi jendela saja dia sudah menggeletar ketakutan. Itu contoh betapa takutnya manusia kepada ISA.

Akta itu sudah begitu lama dan ia ditentang oleh rakyat. Kalau benarlah UBN prihatin dan insaf kenapa baru sekarang ianya dihapuskan. Najib pula kalau benar prihatin dan tidak terdesak dan bising dengan desakan beliau akan mengumumkan pemansuhan itu sebagai saja beliau angkat sumpah menjadi PM, dan bukan tunggu 16 September 2011. Kenapa Najib menunggu begitu lama, apakah beliau tidak mendapat kelulusan dari isterinya Rosmah?

Bukankah dalam tempoh Najib jadi PM desakan bertakut-talu supaya akta itu dihapuskan? Makanya pemansuhan akta berkenaan adalah disebabkan desakan rakyat. Najib bertindak akur kepada kehendak rakyat maka wajar kalau disifatkan penghapusan akta itu kerana rakyat. Rakyat berhak merayakan atas apa yang berlaku.

Saya yakin kalau Pakatan Rakyat menang dan memerintah Malaysia 2008 lalu antara perkara utama dilakukan menghapuskan akta berkenaan, kerana itulah manifestonya. Jadi bila Najib memansuhkan ia adalah perlaksanaan manfesto Pakatan Rakyat di mana kebaikannya diperolehi rakyat.

Baguslah Najib sudah sedar kepada kuasa rakyat yang tidak boleh dihalang dengan sejuta retorik dan slogan. Najib merasai bahawa akta itu sudah tidak dapat membatas kuasa politiknya. Jadi apabila akta ISA sudah tidak digeruni lagi maka tidak ada guna bagi Najib mempertahankannya.

Dalam konteks hari ini ISA samalah seperti senjata keris yang pernah digunakan untuk mempertahankan diri. Apabila sudah ada senjata moden, pistol, bom dan sebagainya maka senjata kalsik itu tidak diperlukan lagi. Orang sudah tidak gerun dan sedia mematahkan senjata berkenaan.

Justeru bagi Najib tidak ada gunanya memakai senjata berkenaan, setidak-tidaknya ia perlu ditukar dengan hulu dan sarung baru agar menggerunkan. Dua akta baru yang akan digubal bagi menggantikan ISA untuk membenteras keganasan dan jenayah terancam dan subversif mungkin lebih kurang sama dari segi kekejaman dan kezaliman dengan ISA.

Saya yakin dan percaya kalau Najib merasakan ISA dapat membendung penagaruh pembangkang dan menyelamatkan beliau beliau akan menggunakannya. Tetapi kerana sudah insaf ISA bukan lagi senjata, rakyat hari ini sedia berhadapan dengan apa saja, maka Najib sedia mengumumkan pemansuhan akta hutan rimba itu.

Keismpulannya pemansuhan ISA yang dibuat Najib adalah kejayaan rakyat dan Pakatan. Kalau rakyat dan Pakatan tidak memperjuangkannya Najib dan UBN tetap akan menggunakan akta usang dan lapok itu.

Pemansuhan itu tetap membawa keuntungan kepadanya. Di luar UBN mahu melihat kerajaan bersikap adil dan prihatin dari segi lain mereka dapat menggubal undang-undang baru. Kita sedang menunggu apakah rupa dan bentuk undang-undang baru yang bakal digubal nanti, ataupun ia tidak sempat tergubal kerana selepas ini Pakatan Rakyat mengambil alih negara? [wm.kl.11:19 am 19/09/11]

Dipetik dari mso.



Read More...

Mansuh ISA - Pakatan Rakyat Bukan Rakyat Negara Ini Ke??

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelar kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuh bukan kerana tuntutan Pakatan Rakyat, sebaliknya bagi mendengar luahan hari rakyat.

"Hairan saya, (angggota) Pakatan Rakyat bukan rakyatkah?" soalnya yang juga menteri besar Kelantan.

Najib semalam dilapor menegaskan, keputusan memansuhkan ISA dibuat kerajaan BN mendengar isi hati rakyat yang inginkan perubahan sedemikian.


Justeru, katanya, jangan ada pihak yang mahu mendapat nama bahawa pengumuman itu hasil perjuangan mereka.

Menulis di laman Facebook beliau hari ini, Nik Aziz berkata, baginya perkara baik tidak salah untuk ditiru.

"Bukankah Rasulullah SAW memerintahkan supaya mengambil apa jua hikmah (kebijaksanaan) di mana saja ia ditemui?" katanya.

Dalam perutusan Hari Malaysia beliau pada Khamis lepas, Najib mengumumkan ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan negara.

Najib menjelaskan keputusan itu selaras dengan hasratnya untuk mengkaji ISA ketika mengambil alih jawatan perdana menteri dua tahun lepas.



Read More...

17 September 2011

Nama lain tapi ‘maksudnya’ ISA – Anwar

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat supaya tidak terlalu ghairah dengan pengumuman mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana undang-undang baru bakal menyusul.

Ketua Pembangkang itu berkata, langkah Datuk Seri Najib Razak itu wajar dibimbangi kerana Perdana Menteri bakal menggantikan akta yang sama dengan nama berbeza.

“Langkah Najib membatalkan ISA, kita alu-alukan, cuma kita harus waspada sebab pembatalan itu berlapik kerana Najib akan perkenalkan dua undang-undang baru dan tidak diketahui secara terperinci.


“Menteri Dalam Negeri (KDN) mengatakan dia akan kaji undang-undang sedia ada yang ada dalam negara lain, maknanya mungkin perkenal beberapa cara tahanan tanpa bicara.

“Kalau ada undang-undang baru, mempertahankan prinsip yang sama, namanya mungkin lain tapi maksudnya ISA,” katanya pada sidang media di ibu pejabat hari ini.

Pada 15 September lalu, Najib yang terdesak untuk mengekalkan kuasa akibat tekanan pembangkan dan puak dalaman Umno membuat pengumuman untuk memansuhkan ISA yang akan diganti dengan dua akta baru tetapi tidak memberi perincian.

Anwar berkata, dua akta baru itu tidak akan mengubah sistem autokrasi yang sedia ada, malah meneruskan amalan penindasan terhadap rakyat.

“Bahayanya kerana undang-undang baru yang akan diperkenalkan dan ini hanya satu sudut sistem penindasan autokrasi ada.

“Kita minta batalkan ISA, timbulkan suasana yang lebih lunak menghormati prinsip demokrasi, maka ia harus ada ruang yang lebih terbuka,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.

Berkaitan isu sama, Anwar menyebut tanpa menghalang pihak lain menuntut ganti rugi, tidak akan menuntut pampasan walaupun dua kali tahan mengikut ISA.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=2043



Read More...

Najib Kata Mansuh ISA Bukan Agenda Pakatan Rakyat..


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan bahawa langkah kerajaan memansuhkan akta ISA adalah "hasil perjuangan" Pakatan Rakyat

Sebaliknya langkah berkenaan merupakan keputusan yang dibuat oleh BN "kerana kita dengar isi hati rakyat yang mahu perubahan."

"Jadi jangan ada orang hendak 'claim credit' kononnya pengumuman itu adalah hasil perjuangan mereka."


Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi segera yang ditimbulkan pemimpin Pakatan sebaik beliau membuat pengumuman tersebut pada malam Khamis lalu.

Pemimpin Pakatan antara lainnya mendakwa, langkah memansuhkan ISA merupakan salah satu usaha yang digariskan dalam manifesto Buku Jingganya.

Malah, kata Najib, pemansuhan akta itu juga dijalankan untuk memenuhi janji beliau semasa mengambil alih sebagai perdana menteri.

Tambahnya, tindakan itu akan meletakkan Malaysia atas landasan lebih progresif dan terbuka dalam memelihara ketenteraman awam.

"Perubahan yang saya umum itu kerana kita dengar suara dan isi hati rakyat," katanya dalam program Sirih Pulang ke Gagang di kampus Universiti Teknologi Mara, Shah Alam hari ini.

Dalam program yang rata-ratanya dihadiri kira-kira 1,000 orang daripada masyarakat India itu, Najib turut menerima 7,000 permohonan daripada kumpulan yang didakwa bekas penyokong Pakatan Rakyat.

Beliau turut menerima permohonan daripada beberapa orang individu yang didakwa sebagai pemimpin akar Umbi Pakatan.



Read More...

Ahli Gabungan Pro-ISA Mati Terkejut Dan Ramai Yang Gila Babi

KUALA LUMPUR, 17 Sept — Gabungan NGO Bersama Malaysia, yang dua tahun lalu bertembung dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk menyokong Putrajaya agar mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akan membuat pendirian rasmi Isnin ini — sama ada menyokong inisiatif pentadbiran Najib ataupun sebaliknya.

“Ya betul, kami akan bermesyuarat Isnin ini bagi melihat dan membuat pendirin... tunggu lepas mesyuarat, pandangan ahli jawatankuasa akan diambil kira,” kata Setiausaha Gabungan NGO Bersama Malaysia Mohd. Jurit Ramli ketika ditanya sama ada langkah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bercanggah dengan pendirian mereka dua tahun lalu.

Sebahagian daripada 20,000 penyokong Gerakan Mansuhkan ISA berarak di ibu negara pada 1 Ogos 2009 sebelum menuju ke arah Istana Negara. — Foto Ihsan The Star
Ketika bercakap kepada The Malaysian Insider hari ini, Mohd Jurit mengakui pihaknya agak terkejut dengan langkah diumumkan oleh Najib kelmarin.


“Pada pandangan kami agak terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri kerana satu tindakan yang berani.

“Kami megambil pendekatan menunggu dan melihat penggubalan undang-undang baru yang akan menggantikan ISA. Kami hanya mengharapkan satu undang-undang yang boleh menjamin keamanan dan kesejahteraan Malaysia yang berbilang kaum terjamin,” kata beliau.

Pada 1 Ogos 2009, penyokong GMI dan Gabungan NGO Bersama Malaysia berhimpun di ibu negara untuk mengetengahkan pendirian masing-masing.

Perhimpunan itu diadakan empat bulan selepas Najib mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri keenam dan turut menjanjikan ISA akan dikaji semula.

Bagaimanapun, kehadiran GMI yang mengatasi bilangam peserta perhimpunan Gabungan NGO Bersama Malaysia ketika itu, menggesa Najib memansuhkan terus ISA.

Gabungan NGO Bersama Malaysia pula mahu ISA dikekalkan dan mereka juga memutuskan untuk menyerahkan memorandum kepada Istana Negara meminta ISA terus digunakan.

Lebih 200 penyokong GMI termasuk dua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menyertai himpunan anti-ISA pada hari itu, yang dianggap oleh pihak berkuasa sebagai tidak sah, ditahan.

Malah ketika itu, Mohd Jurit memberitahu kumpulan mereka juga menyifatkan telah mencapai sasaran mereka dengan mesej “tidak semua sokong ISA dimansuhkan.”

Banyak pihak yang menyokong agar ISA dikekalkan dua tahun lalu itu hari ini melahirkan pandangan menyokong pengumuman Najib kelmarin, memutuskan untuk memansuhkan ISA.

Dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia kelmarin, Najib mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan dan dua undang-undang baru yang sesuai akan digubal bagi memelihara keamanan, kesejahteraan, kesentosaan serta kerukunan hidup rakyat dan negara.

Dua undang-undang baru akan digubal di bawah “semangat serta payung” Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.

Perdana Menteri menegaskan bahawa undang-undang baru itu akan memperuntukkan tempoh tahanan polis yang lebih pendek daripada yang dijalankan pada masa ini.

Kerajaan juga menjamin bahawa mana-mana individu tidak akan ditahan semata-mata hanya kerana ideologi politik.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 di samping akan mengkaji semula beberapa undang-undang lain bagi memastikan ia memenuhi kehendak semasa.

Kajian semula komprehensif ini akan melibatkan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 di mana prinsip pembaharuan tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan pengeluaran lesen sehingga dibatalkan.

Kerajaan juga akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Beliau juga berkata kebenaran berhimpun akan diberi selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan kelak dengan mengambil kira norma-norma di peringkat antarabangsa.



Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas