Isteri kepada salah seorang tahanan ISA yang mengadakan mogok lapar di Kem Tahanan Kamunting Nunurheni@Aini Onim berkata suaminya tidak pernah mengadu dipukul ketika dalam tahanan, tetapi lain halnya ketika beliau menemui lelaki itu semalam.
Nunurheni (kiri) berkata, pada pertemuan itu barulah suaminya itu, Razali Kassan menceritakan kejadian menyayat hati yang berlaku di dalam kem tersebut.
Dalam pertemuan tersebut, Razali yang dilihatnya berada dalam keadaan lemah dan pucat menceritakan betapa beliau dipukul oleh pegawai kem, kata Nunurheni.
"Dia biasanya tak mengadu macam itu. Dia tak pernah mengadu dia kena pukul ke. Dari mula ditahan, dia tak pernah cakap apa-apa. Dia cakap ISA baik, pembangkang yang burukkan ISA kata teruk.
"(Tetapi) semalam dia cakap dia dipukul. Macam mana, saya tak dapat membayangkan. Alasannya (dipukul) cuma (kerana) tak ikut arahan, menyusahkan kerana perlu hantar ke hospital dan tak makan bila diberi makan," kata Aini dengan sebak.
Isteri kepada seorang lagi tahanan yang menyertai mogok lapar tersebut turut menyatakan perkara sama.
Khairunniza Mohd Khir (kiri) berkata suaminya, Mustawan Ahbab turut menceritakan bahawa Razali bukan sahaja dipukul malah turut diludah oleh pegawai tersebut.
"Saya jumpa (Mustawan) dalam 30 minit sahaja. Suami saya beritahu yang Razali memang kena pukul, dibelasah, diludah kerana masih mogok lapar.
"Dia (suami) beritahu saya orang atasan yang buat. Dia tak tahu pangkat tapi dia kata, bukan orang bawahan tapi orang itu pegawai tinggi di KemTa," kata Khairunniza, 36.
Wanita berkenaan berkata demikian dalam satu program dialog di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) di Kuala Lumpur hari ini.
Razali yang berasal dari Johor ditahan di bawah ISA pada Januari 2011 kerana disyaki menyeludup senjata.
Mustawan pula ditahan pada Oktober 2010 kerana disyaki terlibat dengan kumpulan militan.
Razali dan Mustawan merupakan antara tahanan yang mengadakan mogok lapar kerana masih belum dibebaskan walau ISA sedang dalam proses untuk dimansuhkan.
http://www.malaysiakini.com/news/202480
0 Komen :
Post a Comment