BlogList Malaysia

19 September 2011

Mahathir Kata ISA Tak Kejam..

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan sokongan beliau terhadap penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata langkah itu akan memberi lebih kebebasan kepada rakyat Malaysia.

Namun, Dr Mahathir (bawah) menegaskan ISA yang diwarisi sejak zaman British sebenarnya tidaklah terlalu kejam kerana rakyat Malaysia masih bebas memberi pandangan dan pendapat mereka.


"Tidak semua mereka yang membuka mulut terus ditahan di bawah ISA... dan tanggapan bahawa Malaysia tidak bebas kerana ISA juga tidak tepat," katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri anjuran KelabChedet.com di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir berkata tindakan menghapuskan ISA meletakkan Malaysia "pada tahap moral yang tinggi", malah boleh dianggap setahap lebih baik daripada negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain.

"Selepas penghapusan akta itu, kita boleh mulakan kempen untuk minta mereka lepaskan tahanan tanpa bicara, sebagai contoh, di kem tahanan Teluk Guantanamo.

"Masih ada yang ditahan sejak 10 tahun lepas dan tidak dibicarakan, ditahan hanya kerana mereka orang Islam," kata Dr Mahathir.

Beliau berkata Malaysia kini lebih liberal dengan penghapusan ISA dan berhak membuat tuntutan seumpama itu terhadap negara seperti Amerika dan Britain.

"Dulu mereka menegur Malaysia kononnya zalim, menahan tahanan tanpa perbicaraan, namun itu yang mereka lakukan sekarang ini.

"Mungkin mereka baru sedar dalam situasi tertentu, Malaysia terpaksa menahan orang tanpa perbicaraan, namun apa yang mereka lakukan di Teluk Guantanamo lebih kejam dengan meluluskan undang-undang yang membenarkan penyeksaan tahanan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir khuatir puak pelampau dan perkauman di Malaysia akan mengambil kesempatan untuk membuat kenyataan yang akan merugikan negara apabila ISA dihapuskan.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu berkata beliau menggunakan blog sebagai medium untuk berkomunikasi dengan orang ramai.

"Melalui blog saya mampu membuat teguran dan menyampaikan pandangan untuk dikongsi bersama," katanya.

Berpendapat teguran yang dibuat dalam blog beliau sebagai satu keperluan, Dr Mahathir berkata blog harus digunakan untuk menyampaikan sesuatu yang betul.

Bernama



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas