Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menepis dakwaan bahawa langkah kerajaan memansuhkan akta ISA adalah "hasil perjuangan" Pakatan Rakyat
Sebaliknya langkah berkenaan merupakan keputusan yang dibuat oleh BN "kerana kita dengar isi hati rakyat yang mahu perubahan."
"Jadi jangan ada orang hendak 'claim credit' kononnya pengumuman itu adalah hasil perjuangan mereka."
Beliau berkata demikian sebagai mengulas reaksi segera yang ditimbulkan pemimpin Pakatan sebaik beliau membuat pengumuman tersebut pada malam Khamis lalu.
Pemimpin Pakatan antara lainnya mendakwa, langkah memansuhkan ISA merupakan salah satu usaha yang digariskan dalam manifesto Buku Jingganya.
Malah, kata Najib, pemansuhan akta itu juga dijalankan untuk memenuhi janji beliau semasa mengambil alih sebagai perdana menteri.
Tambahnya, tindakan itu akan meletakkan Malaysia atas landasan lebih progresif dan terbuka dalam memelihara ketenteraman awam.
"Perubahan yang saya umum itu kerana kita dengar suara dan isi hati rakyat," katanya dalam program Sirih Pulang ke Gagang di kampus Universiti Teknologi Mara, Shah Alam hari ini.
Dalam program yang rata-ratanya dihadiri kira-kira 1,000 orang daripada masyarakat India itu, Najib turut menerima 7,000 permohonan daripada kumpulan yang didakwa bekas penyokong Pakatan Rakyat.
Beliau turut menerima permohonan daripada beberapa orang individu yang didakwa sebagai pemimpin akar Umbi Pakatan.
0 Komen :
Post a Comment