Harga gula dunia menurun, tapi subsidi gula di malaysia meningkat?
Sila rujuk berita di bawah neh terlebih dahulu. Berita di petik dari utusan malaysia yang pongpang pasal subsidi gula meningkat sebab kerajaan tidak bercadang nak menaikkan harga gula. Ayat yang digunakan benar2 mengelikan ahti dan minda aku.
Muahahah..

Nak baca? Yang buat aku rasa kelakar sebab dia cakap peningkatan subsidi gula adalah untuk kurangkan beban rakyat. Bagi aku, kalau benda neh betul, aku no hal. Sama sekali tak kesah. Siyes. Tapi masalahnya benda neh mengelirukan.
Aku sebenarnya tak pernah percaya ada subsidi untuk gula. Bagi aku subsidi yang dimaksudkan disini ialah ;
kerajaan nak jual harga lebih mahal dari harga yang sedia ada, bila tak dapat jual dengan harga tersebut, maka dia anggap itu ialah subsidi. Contoh ; harga gula rm.2.30. Kerajaan planning nak jual rm4. Tapi hanya dapat jual dengan rm2.30 je, jadi rm4- rm2.30 = lebihan neh di anggap sebagai subsidi. Aku menganggap macam neh. Teori aku larh. Jangan korang percaya pula. Ini ialah anggapan aku dari dulu lagi bila bab2 susbsidi neh.
Tapi yang aku nak ulas neh bukan bab teori meori subsidi neh. Sebaliknya isu harga gula mengikut pasaran dunia. Pasal apa nak pongpang gula ikut pasaran dunia? Mudah, sebab si ismail sabri yang pongpang dulu dalam artikel di atas neh. Lihat bawah sat ;

Nampak apa yang aku nampak? Si ismail cakap harga gula di pasaran dunia telah meningkat. Walaupun aku tak faham apa kaitan nya dengan kita tapi aku nak bagi korang bukti bahawa harga gula mengikut pasaran dunia telah menurun. [info dari berita semasa]
Benda kat atas neh aku dah convert kepada matawang ringgit malaysia. Lihat sini. Aku tak faham bagaimana tapi aku percaya index neh menjadi pengukur kepada harga gula sedunia. So sekarang neh soalan aku pada ismail ialah ;
1. Di dunia manakah, harga pasaran gula telah meningkat?
2. Adakah malaysia membeli gula 100% daripada luar?
3. Berapa banyak jumlah penggunaan gula di malaysia berbanding jumlah import dan jumlah penghasilan gula dalam negara? Yelah, kalau pengeluaran gula dalam negara tidak berjaya dipenuhi, itu bermaksud pengeluaran kurang berbanding penawaran, itu sebabnya ada import mengimport neh kan?
4. Ada tak gula2 yang dihasilkan dalam negara dijual kepada negara luar berbanding mengutamakan keperluan rakyat sendiri, itu sebabnya malaysia terpaksa import dan naikkan harga gula sekaligus menyusahkan rakyat malaysia. Ada tak?
5. Apa yang berlaku ketika harga gula di pasaran dunia menurun, namun kerajaan masih mengekalkan harga gula mengikut harga yang telah dinaikkan? Maksud aku disini ialah dari segi wang. Jika ada lebihan kos, apa yang kerajaan buat? Pasti dan sahihkah pengimportan gula neh melibatkan susbsidi bila harga gula dunia menurun?
6. Untuk setiap [tatau tong ka, kampit ka, kilogram ka apa ka] gula yang di import dengan nilai rm74 paling rendah, dan rm88 paling mahal, berapa banyak paket2 kecil gula dihasilkan? Ini perlu supaya kita tahu relevant ka tak relevant harga gula semakin lama semakin meningkat neh.
Di malaysia neh, kita ada 3 kilang gula sendiri. Dan ia dimiliki oleh kerajaan. Ke, dah tukar?
Muahahaha..
Lagi satu, yang aku nak tanya si ismail neh. Sejak bila gula yang aku beli di malaysia neh lebih murah berbanding rakyat bangladesh, indonesia, thailand dan geng2 PATI di malaysia neh? Sejak bila?
Dan apa point kerajaan buat kerja mengarut kat bawah neh?

1malaysia? 1gula? 1mengarut? 1bahlol?
Buang duit je cop2 benda mengarut bagai neh. Instead dok pongpang2 menyemakkan otak rakyat mengenai kerajaan bagi subsidi itu, subsidi ini, subsidi seme benda baik ko tunjukkan kepada aku apa hujahnya subsidi yang ko salurkan itu wujud dan relevant. Bai.
Ameno : Asyik kantoi je...
Sumber - amenoworld
Read More...
Summary only...
15 tahun yang lalu, Tan Sri Ani Arope mengejutkan seluruh negara dengan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), akhirnya rakyat hari ini tahu bahawa peletakan jawatannya dilakukan demi menjaga kepentingan mereka, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Ramai yang menganggap (pengunduran Ani) sebagai satu tindakan biasa seorang staf yang meletakkan jawatan, mungkin faktor umur atau prestasi kerja. Hari ini, kita tahu ianya adalah kerana sikap tegasnya dalam membantah perjanjian yang sangat tidak adil antara TNB dan IPP (pengeluar bebas kuasa elektrik),” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Ani sebelum ini di laman Facebooknya menyelar tindakan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik baru-baru ini sebanyak 7 peratus 1 Jun yang lalu dengan mendakwa ia berpunca daripada perjanjian yang tidak adil dengan IPP dan TNB.
“Anda tidak perlu pergi ke sekolah bisnes yang canggih untuk memahami mengapa kita memerlukan peningkatan tarif – Cuma perlu tengok balik syarat-syarat yang diberikan kepada IPP.
Dengan fasal ambil-dan bayar, dan dengan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, satu pihak hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan pihak lain dan dibayar 80 sen dengan kapasiti dipersetujui.
“Bagus EPU — Unit Penyamun Ekonomi,” tulis beliau di laman Facebooknya minggu lalu.
Ani mencetuskan kontroversi 15 tahun yang lalu apabila beliau lebih rela melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.
Ani turut berkata TNB tidak boleh dipersalahkan atas hal ini kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga yang perlu dibayar kepada IPP.
“TNB ialah budak belasahan. TNB tidak mempunyai kawalan harga yang ia perlu bayar kepada IPP. Pergi kepada punca masalahnya,” katanya.
Kata Tuan Ibrahim, yang juga merupakan bekas Naib Presiden PAS, apa yang dibimbangi Ani kini menjadi kenyataan apabila kerajaan Barisan Nasional berdolak-dalih untuk menyemak semula perjanjian dengan IPP yang sangat tidak adil walaupun didesak pelbagai pihak.
“Kerajaan tidak sanggup bertegas memotong subsidi sebanyak RM19 billion utk IPP berbanding tindakan mereka memotong subsidi ke atas keperluan rakyat.
"Hari ini rakyat merasa bangga di atas ketegasan Tan Sri Ani Arop menentang dasar yang tidak adil ini. Syabas dan tahniah di atas pengorbanan beliau dalam menentang kemungkaran ekonomi yang dibuat tangan Umno Barisan Nasional ini,” tambah Tuan Ibrahim.
Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus bermula Jun 1 itu adalah sebagai langkah mengurangkan subsidi yang dikatakan semakin menghauskan perbendaharaan negara ekoran keputusan kabinet untuk menaikkan harga gas asli kepada RM3 mmBtu setiap enam bulan, dari RM10.70 juta unit termal British (mmBTU) kepada RM13.70 mmBTU sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016.
Read More...
Summary only...
Nelayan laut dalam tidak lagi mendapat bekalan minyak pada harga super subsidi iaitu RM1.25 seliter, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.
Beliau berkata sehubungan itu, pengusaha bot nelayan laut dalam kategori Zon C2 perlu membeli minyak mengikut harga di stesen minyak iaitu RM1.80 seliter.
"Bukan sahaja nelayan Zon C2 yang kena beli minyak dengan harga RM1.80, lori, trak dan kontena yang berbentuk industri kena beli pada harga berkenaan," katanya selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan di Kuala Terengganu Selatan hari ini.
Noh berkata langkah itu diambil bot nelayan Zon C2 dikategorikan sebagai pengangkutan berbentuk industri kerana mempunyai ramai pekerja.
Bagaimanapun, beliau berkata kadar RM1.80 masih merupakan harga subsidi kerana jika mengikut harga industri, minyak dijual RM2.50 seliter.
"Kita sudah bagi kemudahan ini, dan ini adalah adil kerana mereka syarikat, (ada) pekerja yang ramai berbanding nelayan pantai yang hanya bersampan dengan tangkapan antara 10 kilogram dan 20 kilogram.
"Bagi nelayan laut dalam, dia boleh tangkap sehingga beribu kilogram," katanya.
Noh berkata nelayan laut dalam juga diberi insentif tambahan iaitu 10 sen hingga 20 sen bagi setiap kilogram tangkapan ikan yang didaratkan.
"Ini bermakna kalau mereka boleh tangkap ikan sehingga 40,000 tan metrik, mereka sudah boleh menampung pembelian minyak tadi.
"Kalau mereka nak dapat insentif lebih daripada kerajaan, mereka kena tangkap ikan yang banyak dan dapat insentif yang lebih. Kita buat ini bagi menggalakkan mereka mendaratkan ikan di negara kita sendiri," katanya.
- Bernama
Read More...
Summary only...
Taklimat media dan sidang akhbar oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin dimana pengurangan subsidi petrol RON95 dan kenaikkan tarif elektrik dispekulasi akan diumumkan telah dibatalkan.
Taklimat media itu dijadualkan di pejabat kementerian berkenaan di Putrajaya pada jam 12.30 tengahari dan diikuti sidang akhbar pada jam 2 petang.
Ia dipercayai berhubung kenaikkan tarif elektrik dan pengurangan subsidi petrol setelah jemaah menteri bermesyuarat pagi tadi.
Bagaimanapun menjelang tengahari, media dimaklumkan bahawa kedua-dua acara itu telah dibatalkan.
Tiada alasan diberikan tetapi seorang pembantu menteri itu memberitahu wartawan bahawa Chin masih bermesyuarat sehingga jam 12.30 tengahari tadi.
Beliau juga enggan mendedahkan sebarang butiran berhubung pembatalan itu.
Beberapa akhbar juga melaporkan bahawa jemaah menteri akan membincangkan sama ada untuk menaikkan tarif elektrik dan mengurangkan subsidi petrol RON95, diesel dan LPG pada mesyuarat mingguannya itu.
Read More...
Summary only...
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menolak dakwaan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail sambil menegaskan pendirian beliau dalam isu berkaitan subsidi adalah konsisten.
Oleh itu tegas Khairy, Saifuddin tidak sewajarnya menyerang beliau kononnya telah berubah pendirian berbanding tiga tahun lalu, sebaliknya patut menyokong usaha membantah pengurangan subsidi RON95.
Semalam, Saifuddin mendakwa Khairy bersandiwara dalam isu subsidi dan harga barangan berbanding dengan pendiriannya tiga tahun lalu.
Saifuddin berkata Ketua Pemuda Barisan Nasional itu memperlihatkan pendirian menyokong kenaikan harga barang ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan perdana menteri.
Abdullah meletakkan jawatan pada April 2009 dan digantikan oleh Datuk Seri Najib Razak.
“Pendirian saya adalah jelas dan konsisten, di mana subsidi adalah satu perbelanjaan yang semestinya distrukturkan semula oleh kerajaan memandangkan ia bukannya satu perbelanjaan produktif,” kata Khairy dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Ahli Parlimen Rembau ini berkata, pada masa sekarang hanya tiga peratus daripada penerima subsidi yang sebenarnya tergolong di kalangan rakyat miskin.
“Mesej ini adalah suatu yang konsisten dan jelas saya utarakan semasa saya masih menjadi naib ketua Pemuda Umno, sehingga kini, termasuklah di medan Dewan Rakyat, dan yang mutakhir adalah dalam akhbar The Edge cetakan minggu ini – mungkin beliau tidak membaca penerbitan sedemikian kerana ia bersifat fakta dan bukannya fatamorgana,” kata Khairy lagi.
Namun kata beliau, usaha ke arah itu harus mengikut turutan dan keutamaan terutama sekali apabila rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup dengan kenaikan harga barang makanan yang mencecah 11 peratus.
“Gesaan saya supaya subsidi RON95 tidak dikurangkan buat masa ini langsung tidak bercanggah dengan pendirian saya bahawa subsidi akhirnya perlu distrukturkan semula supaya lebih tepat sasarannya kepada mereka yang layak menerima dan mengurangkan beban defisit kepada perbelanjaan kerajaan.
“Cuma, berdasarkan pengalaman lepas dan mengambil kira beban yang dihadapi rakyat hari ini, saya bantah kenaikan harga RON95 dalam masa yang terdekat,” katanya lagi.
Sehubungan itu soal Khairy, adakah salah bagi mana-mana ahli politik mengubah pendirian atau pendekatannya sekiranya itu yang dianggap terbaik untuk rakyat.
Khairy menambah, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang patut menyokong pendiriannya membantah pengurangan subsidi RON95, bukannya menyerang beliau secara peribadi.
“Apakah beliau khuatir dengan peranan yang dimainkan oleh Pemuda Umno dalam menyuarakan pandangan rakyat jelata?” kata Khairy lagi.
Khairy juga menambah, Saifuddin barangkali tergolong di kalangan orang Melayu yang mudah lupa, ahli-ahli politik yang mengubah pendirian dan pendekatan mereka tanpa segan silu.
“Saifuddin juga tidak terkecuali. Beliau satu masa dahulu pernah dengan lagak sombong dan samseng, mengetuai gerombolan pemuda yang telah merusuh untuk menghentikan persidangan mengenai Timor Timur (kini Timor Leste) sewaktu beliau masih bersama Umno.
“Namun, selepas menyertai PKR, beliau memutar pendirian 180 darjah dalam isu ini, menjadi hero kepada kebebasan bersuara dan menuding jari kepada pihak lain yang kononnya mengarahkan beliau menyerang peserta-peserta persidangan tersebut,” katanya merujuk kepada insiden awal 1990-an.
Pokoknya di sini, jelas Khairy, terdapat perbezaan ketara antara pendirian beliau dengan Saifuddin atas alasan tidak pernah menggadai prinsip dan persoalan pokok.
“Saya bersuara demi kesejahteraan rakyat walaupun masih komited terhadap usaha jangka masa panjang untuk memperbaiki sistem subsidi yang sedia ada.
“Sekiranya, Saifuddin masih bersikap ego dan menyerang saya, saya cuma minta rakyat nilai. Apa salahnya sekiranya pendekatan saya berubah sedikit setelah mendapat pengalaman dari sejarah?” kata Khairy.
Oleh itu tegasnya, “apa gunanya semalam jika bukan untuk sandaran dan petunjuk hari in?”
“Bukankah Saifuddin juga belajar daripada pengalaman beliau atau adakah beliau juga mengambil kesempatan politik untuk menjadi hero kebebasan bersuara sekiranya kita mengguna logik yang sama?” kata Khairy sambil menambah, “tampak jelas, pembangkang umpama ayam yang terkecundang.”
Maka, katanya, oleh kerana tiada saingan idea atau pendapat bernas yang dapat ditawarkan, maka “bertempiklah Saifuddin bagi menempa nama sebagai hero pembangkang dengan suara dan lagu sumbang di pentas yang sudah roboh.”
Read More...
Summary only...
KUALA LUMPUR, 24 Mei: PAS sudah jemu mendengar alasan kerajaan yang cuba buat dalih kononnya jika subsidi tidak dikurangkan, maka banyak pembangunan untuk rakyat miskin tidak dapat dilaksanakan.
“Ke manakah wang yang diperuntukan selama ini kepada orang miskin setiap kali belanjawan negara?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).
Katanya, rakyat tidak boleh lupa wang PPRT sebanyak RM32 juta lesap ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Beliau turut mempersoalkan kenapa pula alasan untuk menaikkan harga minyak dan keperluan rakyat, maka orang miskin menjadi sandaran.
“Memanglah pemimpim BN bijak bermain kata-kata untuk menutup kelemahan kerajaan ketika menguruskan amanah rakyat,” katanya.
Menurutnya, selama ini pemimpin BN yang belanja secara tidak berhemah dan membazir ketika negara dilimpah dengan kemewahan, tanpa memikirkan apa akan terjadi jika negara mengalami kemelesetan.
Katanya, pemimpin Umno cuba mencari alasan untuk menarik subsidi bahan api dan makanan kerana fenomena global seperti kenaikan minyak di peringkat antarabangsa.
Sepatutnya, ujar beliau itu tidak boleh dijadikan alasan, kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak dan mempunyai kepakaran dalam bidang cari gali melalui Petonas.
Setakat hari ini, katanya Petronas diberi pengiktirafan di peringkat dunia dalam bidang cari gali seperti di Saudi, Sudan, Iraq dan Iran.
Justeru, tambahnya tidak hairanlah bagaimana Petronas telah membayar cukai kepada kerajaan sebanyak RM325 bilion pada 2007 hingga 2010.
Ini, katanya bermakna setiap tahun hitung panjang negara memperolehi hasil cukai yang dibiyai oleh Petronas sebanyak RM81.1 bilion.
“Perkara ini tidak berlaku sekiranya pemimpin negara ini adalah pemimpin yang mempunyai fokus ketika melaksanakan pembangunan dan memerangi rasuah dan pembaziran,” katanya.
Katanya lagi, ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badwi menjadi Perdana Menteri menaikkan harga minyak beliau memberi alasan kerajaan dapat menjimatkan wang sebanyak RM4 bilion di mana wang itu akan digunakan untuk meningkatkan pengangkutan awam.
Ini, menurutnya alasan yang tidak adil kepada penduduk luar bandar yang tidak dapat mengecapi nikmat pengangkutan awam seperti LRT, sedangkan harga minyak tetap sama antara penduduk luar bandar dan bandar.
Beliau berkata, penduduk luar bandar juga dibeban dengan kenaikan harga barang, sedangkan kemudahan pengangkutan mereka tidak dapat kecapi. - hrkh
Read More...
Summary only...
Pentadbiran Najib sepatutnya mengurangkan beban rakyat, bukannya membantu syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk Felda dengan meningkatkan keuntungan niaga menerusi potongan subsidi pengguna yang dipraktikkan sejak akhir tahun lalu, kata DAP hari ini.
Soal pemotongan subsidi juga menjadi bahan kenyataan pemimpin politik dan anggota jemaah menteri sepanjang minggu lalu dengan desas-desus bahawa harga petrol RON95 akan mengalami kenaikan bulan depan.
Justeru Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pihaknya kesal dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih cenderung membantu Felda dengan meningkatkan keuntungan perniagaan gulanya bernilai RM232 juta tahun lalu berbanding membantu rakyat dengan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen daripada RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram.
“Keuntungan yang diperoleh Felda dalam perniagaan gula didedahkan oleh anak syarikatnya, MSM Malaysia Holdings Bhd,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Lim (gambar) yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, buat pertama kali, Felda yang ditubuhkan pada 1956 merupakan badan berkanun bertujuan mengurangkan jurang kemiskinan di kalangan kaum Melayu luar bandar melalui skim penempatan semula tanah akan mengembangkan perniagaan gulanya.
“Ini diikuti dengan pengambilalihan pada 2010 oleh adik-beradik Kuok, dikuasai PBB Group Bhd iaitu Malayan Sugar Manufacturing Co Bhd (kini dikenali sebagai MSM Malaysia Holdings Bhd), sebuah ladang tebu di Perlis, 50 peratus saham gula di Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd dan 20 peratus pegangan saham di Tradewinds.
“Ketika ini, Felda yang memiliki salah satu kumpulan terbesar di dunia dalam kepelbagaian bidang pertanian menyasarkan untuk menyenaraikan MSM dalam bursa saham sekitar Julai di mana ia memiliki saham sebanyak 85 peratus. Baki saham dimiliki Koperasi Permodalan Felda Bhd Malaysia,” kata Lim.
Lim menambah, tawaran umum dikendalikan oleh CIMB Investment Bank Bhd pada awalnya menganggarkan saham syarikat tersebut bernilai RM2.46 bilion atau RM3.50 untuk setiap saham.
MSM merupakan ladang gula dan beroperasi di bawah Felda. Ia menghasilkan hampir 60 peratus daripada pengeluaran gula halus di Malaysia bernilai kira-kira RM2.3 bilion.
Tahun lalu, MSM memperoleh keuntungan sebanyak RM232 juta.
Kata Lim, keuntungan sebanyak RM232 juta itu sepatutnya mencukupi untuk mengawal sebarang penjimatan subsidi gula daripada kerajaan berbanding kenaikan harga gula.
Lim merujuk kepada kenyataan ketua setiausaha kementerian kepenggunaan bahawa kenaikan harga gula adalah untuk mengurangkan subsidi gula sebanyak RM116.6 juta daripada RM400 juta setahun.
“Apalah sangat RM116.6 juta berbanding RM232 juta keuntungan yang diperoleh MSM tahun lalu?
“Daripada menjalankan tanggungjawab sosial membantu rakyat Malaysia terutamanya golongan miskin, Felda menerima manfaat daripada RM111.6 juta yang dibayar oleh rakyat Malaysia,” katanya.
Lim berkata kerajaan BN boleh memindahkan kos sebanyak RM111.6 juta kepada MSM dengan mudah memandangkan ia dimiliki oleh Felda.
“Sebaliknya, dengan dasar BN yang terpesong dan polisi berpusat korporat yang hanya membantu syarikat-syarikat besar, sanggup mengorbankan rakyat biasa yang miskin, BN telah memilih untuk memberi tamparan kepada 27 juta poket rakyat Malaysia daripada mengenakan syarikat raksasa yang berkeuntungan besar seperti Felda atau MSM,” katanya.
Lim menambah BN belum mampu untuk menjelaskan mengapa masih tiada tindakan diambil untuk mengurangkan subsidi gas sebanyak RM19 bilion setahun kepada penjana tenaga bebas (IPP) sedangkan ia berupaya untuk mengambil tindakan mengurangkan berjuta-juta subsidi gas dan diesel yang membebankan rakyat Malaysia biasa.
“Dasar sosioekonomi yang lebih adil seharusnya direncanakan dengan mengurangkan subsidi kepada golongan kaya dan bukan golongan miskin.
“(Oleh itu) DAP mendesak kerajaan BN untuk tidak mengurangkan sebarang subsidi diesel atau gula yang akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia sehingga tindakan untuk memotong subsidi gas kepada IPP diambil,” katanya.
Read More...
Summary only...
DAP menasihatkan pentadbiran Najib agar menghapuskan “candu besar” - pemberian subsidi bernilai RM19 bilion kepada Pengeluar-pengeluar Tenaga Bebas (IPP) daripada menekan rakyat dengan memotong subsidi keperluan mereka.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Putrajaya sepatutnya menghapuskan pemberian subsidi gas kepada IPP terlebih dahulu daripada menghapuskan subsidi yang hanya akan membebankan rakyat.
“Kerajaan Barisan Nasional (BN) seharusnya menghapuskan terlebih dahulu candu besar pemberian RM19 bilion subsidi gas kepada IPP dan sektor komersial sebelum menghapuskan ‘candu kecil’ subsidi gula, diesel dan petrol untuk rakyat.
“DAP menentang sekeras-kerasnya penarikan subsidi diesel sejak 1 Jun 2011 tanpa terlebih dahulu menghapuskan subsidi gas kepada IPP yang telah menyebabkan inflasi yang teruk kepada peniaga dan pengguna,” kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan.
Tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu, pentadbiran Najib sepatutnya menghapuskan “candu besar” itu yang telah menyebabkan kerugian minimum sebanyak RM28 bilion setahun dengan anggaran beberapa lagi kerugian mencecah AS$100 bilion (RM303.06 billion) sejak 1980.
“Mengapa 27 juta penduduk Malaysia terpaksa menanggung kenaikan harga ketika beberapa syarikat raksasa dalam IPP tidak sedikitpun berasa terbeban walau satu sen dengan pemotongan subsidi tersebut? Penghapusan subsidi kepada masyarakat miskin menambah derita berikutan upah yang rendah sementara keuntungan IPP meningkat.
“Justeru kerajaan harus memadamkan candu besar dari subsidi gas yang sepatutnya boleh diselamatkan puluhan bilion ringgit setahun sebelum menghapuskan candu kecil yang hanya menjimatkan ratusan juta ringgit,” katanya.
Dalam ucapannya di London kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, subsidi bahan api ibarat “candu” kepada ekonomi Malaysia dan perlu dikurangkan secara berperingkat-peringkat untuk mengawal defisit bajet.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pentadbirannya telah memperuntukkan subsidi bernilai RM11 bilion tahun ini tetapi paras itu telah mengalami kenaikan, sehingga mencecah RM18 bilion ekoran harga minyak mentah antarabangsa yang begitu tinggi.
“Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk; sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik,” kata beliau di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford.
Bagaimanapun pemimpin Pakatan Rakyat menyifatkan BN sebenarnya telah gagal mengatasi ketagihan subsidi menerusi pendekatan-pendekatan alternatif sambil mencela pentadbiran Najib hanya menyalurkan “candu subsidi” yang memanfaatkan kroninya.
Mereka juga mendakwa kos hidup semakin meningkat sedangkan kadar upah tidak bergerak telah menyebabkan rakyat terpaksa bergantung pada subsidi.
Malah, mereka juga memberi amaran bahawa tindakan menarik balik subsidi akan menyebabkan rakyat muflis, sebaliknya kerajaan perlu menggalakkan daya saing dan mengatasi manipulasi harga barangan.
Read More...
Summary only...
Minyak naik untuk bela korporat, rakyat melarat
Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak RON 97 sebanyak 10 sen bermula tengah malam tadi dilihat untuk membela korporat dengan membiarkan rakyat hidup semakin melarat.
Sehubungan itu, PAS merakamkan perasaan sedih yang menimpa kepada rakyat Malaysia kerana terpaksa membayar kos hidup yang mahal dengan kenaikan harga minyak RON 97 sebanyak sepuluh sen menjadikan sekarang harga RM2.40 sen seliter bermula tengah malam 4 Januari 2011.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebelum pilihan raya kecil (PRK) Galas, minyak RON 97 naik 15 sen, selepas BN menang pilihanraya kecil RON 95 pula naik 5 sen.
Katanya, senario yang sama juga akan berlaku sebelum dan selepas PRK Tenang pada 30 Januari 2011 jika BN menang.
Menurutnyas, menjadi kelaziman biasa, ketika minyak naik kerajaan memberi alasan untuk mengurangkan subsidi petrol untuk 27 juta rakyat sebanyak RM11 bilion, tetapi untuk penjana bebas (IPP) milik kroni tidak dikurangkan subsidi sebanyak RM19 bilion.
Rakyat Malaysia, ujarnya tidak dengar sepatah perkataan daripada pemimpin yang kononnya rakyat didahulukan akan menarik balik subsidi untuk IPP.
“Apa yang kita kedengaran ialah subsidi untuk rakyat ditarik setiap bulan dengan kenaikan harga minyak,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, kerajaan yang ada tidak pernah memikirkan penderitaan dan keperitan rakyat sehingga berkerut dahi membayar yuran sekolah anak di awal pengajian.
Baginya, belum sempat bernafas, datang pula berita kenaikan harga minyak RON 97.
“Layaklah singkatan BN, ialah barang naik, bila naik baru naik, berapa naik, banyak naik dan BN - Bala Nanti,” ujarnya.
Read More...
Summary only...
Pentadbiran Najib tidak sewajarnya merampas subsidi rakyat, yang dikatakan hanya mampu menjimatkan RM750 juta tahun ini memandangkan Perbendaharaan mengaku mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa subsidi diselaras.
Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, mengikut Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah selaku Menteri Kewangan II sendiri, kewangan kerajaan masih kukuh dengan mempunyai RM10 bilion walaupun tanpa langkah mengurangkan subsidi tersebut.
Oleh itu kata beliau, apa tujuan kerajaan hendak mengurangkan subsidi barang-barang yang merupakan kegunaan utama rakyat.
“Kalau betul-betul kerajaan hendak mengurangkan dan menjimatkan RM750 juta, apa gunanya potong subsidi ini sedangkan kerajaan ada lebihan pendapatan RM10 bilion tanpa diselaras subsidi... apa perlunya pelarasan subsidi ini,” kata beliau.
Selain itu soal beliau, jika benar kerajaan ada lebihan pendapatan RM10 bilion mengapa dikatakan belanjawan negara defisit selama ini.
“Saya tidak tahu mana yang betul... kenyataan yang mengelirukan,” kata beliau lagi.
Kelmarin, Husni menafikan dakwaan sesetengah pihak penyelarasan subsidi dilakukan bagi menampung pendapatan negara yang berkurangan akibat boros berbelanja.
Sebaliknya kata beliau, kerajaan masih mempunyai lebihan pendapatan RM10 bilion pada tahun ini sekalipun tanpa penyelarasan subsidi itu.
“Hasil pungutan cukai terancang Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri kerajaan memperoleh pendapatan RM158 bilion tahun ini berbanding RM148 bilion ketika pembentangan belanjawan tahun lepas.
“Kerajaan mampu untuk berbelanja. Pelarasan subsidi merupakan satu inisiatif yang amat penting yang memerlukan belanjawan tambahan, jadi ia bukan isu boros,” katanya.
Husni berkata pengurangan subsidi bertujuan menjadikan ekonomi lebih efisien khususnya bagi mencapai matlamat negara berpendapatan tinggi.
Dalam perkembangan yang sama, Mahfuz turut mempertikai tindakan kerajaan membayar RM18.9 bilion setiap tahun kepada beberapa syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) yang nyata menguntungan beberapa individu tertentu sahaja.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan kerajaan supaya tidak terus membodohkan rakyat kononnya langkah menaikan harga beberapa barangan tersebut demi menjimatkan perbelanjaan negara.
Mahfuz berkata harga minyak dan barangan keperluan lain dipercayai akan terus naik enam bulan lagi sekiranya dirujuk pada jadual rasmi makmal rasionalisasi subsidi.
“Apakah ini satu permulaan yang mahu dilaksanakan oleh Najib (dan) makmal rasionalisasi subsidi ini.
“Sebab itu, saya tanya apakah motif kerajaan mahu menaikkan harga barang-barang ini,” kata beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS.
Menurut beliau, kenaikan harga minyak dan diesel sebanyak lima sen berkuat kuasa Jumaat lalu adalah mengikut jadual tersebut.
Katanya lagi, jadual tersebut turut merancang kenaikan harga gula dan gas masak serta beberapa komoditi lain yang menjadi keperluan asasi rakyat.
Melihat pada rancangan menaikkan harga beberapa barangan tersebut sehingga 2014 kelak, beliau mendesak pentadbiran Najib supaya bersikap jujur dengan rakyat.
Kata beliau, jika jadual pelarasan itu dilaksanakan, ia tidak akan membantu menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, tetapi “rakyat berbelanja tinggi.”
Read More...
Summary only...