KUANTAN - Seorang kakitangan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Pahang (JPNINP) cedera selepas khemah yang diduduki terbalik dan terbang dalam kejadian hujan serta ribut di Teluk Chempedak, semalam.
Wanita berkenaan yang juga Penolong Guru Tadika Perpaduan Balok Makmur 1, Norhashimah Sulaiman, 23, dikatakan berada di khemah berhadapan pantai bersama beberapa lagi rakan untuk menyediakan makanan kepada peserta dan pengunjung sempena program My Beautiful Malaysia.
Norhashimah dikatakan cedera di beberapa bahagian badan, bagaimanapun tindakan cepat orang ramai dan pasukan keselamatan dapat membawa wanita itu dengan segera ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.
Pengarah JPNINP, Fairojibanu Zainal Abidin mengesahkan kejadian itu tetapi belum pasti kecederaan yang dialami kakitangannya. “Kita sudah maklum kejadian ini dan Norhashimah sudah dibawa ke HTAA untuk rawatan lanjut,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kecederaan yang dialami kakitangannya sehingga doktor mengesahkannya. Pengunjung pantai Teluk Chempedak, dekat sini, panik dan lari bertempiaran menuju ke bawah bangunan berdekatan selepas ribut dan hujan lebat tiba-tiba melanda kawasan berkenaan, semalam.
Akibat kejadian itu juga, dua pokok tumbang. Kejadian berlaku kira-kira jam 10.10 pagi ketika semua peserta siap mengadakan gotong-royong dan berkumpul di bawah khemah di dataran Teluk Chempedak untuk mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui skrin gergasi di situ.
Seorang petugas, Hazlina Ismail, 43, berkata, dia bersama rakan lain terpaksa melarikan diri apabila tiba-tiba khemah mereka terangkat dan terbalik bersama dua pokok berdekatan khemah terbabit.
“Saya dah nampak keadaan laut putih manakala angin sangat kencang dan kami yang berada di bawah khemah terasa seperti terbang,” katanya yang bertugas di bahagian jamuan. Menurutnya, dia dan beberapa rakan lain cuba bertahan dan duduk di situ sehinggalah khemah terbalik akibat angin terlalu kencang.
Rakannya, Sy Zaharah Sy Abd Rahman mengakui kejadian itu pertama kali dialaminya dan tidak menyangka ribut kuat memusnahkan khemah yang menjadi tempat mereka menyajikan makanan kepada tetamu.
Katanya, sebaik sahaja khemah ‘terbang’ dia berlari menyelamatkan diri ke bawah bangunan gerai makan berdekatan. “Saya tidak mendengar apa-apa pun kecuali angin kencang,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian rakannya cedera dalam kejadian itu.
Ketika kejadian juga, polis dan anggota keselamatan turut membantu mengawal keadaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku. Sementara itu, semua pemimpin yang bersama meraikan My Beautiful Malaysia dan pengarah agensi kerajaan terus berada bersama ketika kejadian ribut dan meneruskan acara jamuan selepas itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan dilihat menyajikan makanan kepada pengunjung dan peserta My Beautiful Malaysia.
Lautan manusia membanjiri Stadium Darul Makmur sempena Wacana Perdana yang menampilkan pendakwah terkenal Ustaz Azhar Idrus.
Orang ramai dilihat memasuki stadium sejak jam 6.00 petang lagi sebelum mereka bersolat Maghrib buat julung kalinya di dalam stadium tersebut. Inilah sejarah dan kali pertama berlaku sejak 50 tahun lalu, umat Islam berjaya sujud kepada Allah di salam stadium berkenaan sebenarnya.
TEMERLOH: Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengucapkan tahniah kepada rakyat Pahang yang menyertai Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Dataran Kerdau, malam ini.
Beliau menganggarkan kira-kira 30,000 hadir pada perhimpunan itu sekalipun pada masa yang sama berlangsung perlawanan bolasepak Piala AFF Suzuki peringkat separuh akhir antara Malaysia dengan Thailand.
(Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini, Malaysia hanya seri 1-1 di mana gol pasukan negara dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-49 manakala Thailand oleh Teerasil pada minit ke-78.)
Ini, kata Tuan Ibrahim menunjukkan bahawa isu rakyat dilihat lebih penting oleh orang ramai walaupun mereka minat kepada sukan bola sepak.
“Saya pun minat bola, tetapi isu rakyat lebih penting daripada apa yang kita lihat (bola),” ujarnya yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
Beliau juga menjelaskan bahawa PAS Pahang mempunyai komitmen yang tinggi untuk menyelesaikan isu tanah tapak rumah rakyat yang tidak mempunyai tanah.
Katanya, Pakatan Rakyat mendapat mandat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, masalah tersebut dapat diatasi.
Ini, katanya kerana Pahang mempunyai tanah yang luas, justeru tidak ada masalah bagi Pakatan Rakyat untuk memberikan tanah tapak rumah kepada rakyat negeri ini yang masih tidak bertanah. -Harakahdaily
JERANTUT - Seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang dan anak lelakinya ditahan bagi membantu polis berhubung satu kes sumbang mahram.
Pemimpin utama sebuah parti baru itu bersama anak lelakinya yang berumur 14 tahun ditahan reman pada 22 Ogos lepas bagi membantu siasatan apabila anak perempuannya yang berumur 15 tahun melahirkan seorang bayi lelaki.
Mereka dibebaskan semalam.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut DSP Zakaria Kasim, mangsa, 15, melahirkan seorang bayi lelaki tiga hari lepas di sebuah pusat bersalin di Cheras, Kuala Lumpur.
"Kedua-dua suspek, bapa dan anak itu bagaimanapun dibebaskan semalam atas jaminan pihak polis," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata polis juga mengambil sampel DNA kedua-dua suspek dan keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu.
Suspek yang juga saudara terdekat kepada seorang pemimpin kanan sebuah parti pembangkang tanah air, pernah bertanding pada pilihan raya umum ke-12.
Bagaimanapun, suspek yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri di Pahang pada pilihan raya umum lepas itu kalah kepada calon Barisan Nasional. - Bernama
Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, adalah haram dan berdosa bagi umat Islam menyokong parti yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam dan hukum hudud. - utuseks
KUANTAN, 1 Julai - Ramai pemimpin Pakatan Rakyat keliru dengan kenyataan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman yang mengingatkan masyarakat Islam di negeri ini supaya tidak menyertai perhimpunan yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
"Bukankah menjaga nyawa dan keselamatan diri adalah tuntutan Islam (syariat), maka kenapa Mufti Pahang boleh berkata begitu. Sebab itu rakyat menentang kerana ia (Lynas) boleh membahayakan nyawa dan keselamatan masyarakat Islam. Bukankah dalam Islam itu perjuangan memelihara nyawa itu perjuangan yang paling agung dan tinggi di sisi Allah. Maka menentang projek berbahaya yang boleh membahayakan nyawa itu adalah menurut syariat Islam", kata Razali Alias (foto).
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR Pahang, terkejut apabila seorang tokoh agama yang bergelar Mufti boleh keluarkan kenyataan sedemikian rupa.
"Mufti Pahang dilihat telah keluarkan kenyataan yang jelas berbaur politik dan sengaja mahu menjaga periuk nasi beliau sebenarnya. Jika dakwaan menjaga keselamatan dan nyawa itu boleh melanggar hukum syarak, makanya apa pula hukum apabila Mufti menutup mata dan membenarkan kerajaan menganjurkan acara hiburan maksiat di negeri ini", tegas Razali.
Kenyataan Mufti Pahang yang dilaporkan oleh Sinar Harian semalam
[Laporan Sinar Harian Pahang dipetik, Mufti tersebut kelmarin meminta golongan itu memahami keadaan sebenar yang berlaku dan tidak mudah terpengaruh dengan ajakan kumpulan tertentu. “Perhimpunan yang menyebabkan gangguan kepada awam boleh menyebabkan perpecahan kepada kita sedangkan ramai yang mahu keadaan aman dan damai,” katanya ketika ditemui selepas Program Halaqah Ilmu anjuran Jabatan Mufti Negeri Pahang, di sini. Beliau berkata, mereka boleh berhimpun tetapi memastikan masih di bawah hukum syarak dan dibolehkan dalam Islam. Abdul Rahman sebelum ini pernah mengingatkan umum bahawa perhimpunan dilarang dalam Islam jika boleh memecahbelahkan umat. Kenyataan beliau itu berikutan ada dakwaan kumpulan NGO anti Lynas Perhimpunan Hijau yang mahu mengadakan perhimpunan di depan Pelabuhan Kuantan di Gebeng untuk halang kemasukan bahan mentah itu].
Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang di Jalan Beserah dekat sini telah diceroboh malam tadi. Perakara itu dilaporkan oleh blog rasmi parti itu pagi ini. Kejadian tersebut disedari oleh Setiausaha Kerja PKR Pahang. Menurut beliau, beberapa dokumen penting, komputer serta peralatan pejabat didapati telah hilang. Malah, turut dirosakkan adalah talian elektrik di seluruh kawasan pejabat berkenaan (diputuskan).
"Saya ke pejabat sekitar jam 9.30 malam tadi untuk melakukan tugasan. Setiba di pejabat saya tengok rantai pintu pagar telah diputuskan. Saya percaya penceroboh masuk ke pejabat melalui siling kerana tiada kesan pintu yang dipecahkan", katanya.
Beliau percaya perbuatan khianat tersebut telah dirancang oleh pihak yang berkenaan bagi mensabotaj parti menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang. Malah, kehilangan beberapa dokumen pentong serta komputer yang mengandungi data-data parti membuktikan modus operandi yang sama dilakukan oleh penceroboh semasa kejadian yang sama di pejabat Dato' Fauzi Abd Rahman (Pengerusi PKR Pahang) di Bukit Sekilau dulu.
Malah, sebelum ini (28 Nov 2011) juga telah berlaku kecurian di lokasi (Pejabat PKR Pahang) yang sama di mana lima buah kompresor hawa dingin didapati telah hilang. Satu laporan polis akan dibuat berkaitan kes ini dan difahamkan satu sidang media akan dilakukan pagi ini berkaitan insiden tersebut. Sementara itu Keadilan Negeri Pahang mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan khianat ini dan mendesak agar pihak Polis bertindak dengan menggunakan kepakaran yang ada untuk mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab.
Bukti, kes ceroboh yang berlaku di pejabat Dato' Fauzi pada tahun 2010 modus operandinya tetap sama iaitu melalui siling premis terbabit
[Jika dilihat kepada tiga kejadian terdahulu termasuk dua melibatkan pejabat Dato' Fauzi sendiri, ternyata pihak polis begitu seukar untuk menjejaki penjenayah terbabit. Malah, hingga sekarang tidak ada maklumat tentang kejadian terdahulu dan kini ia berlaku lagi. Apa yang pasti kejadian ini menjurus kepada unsur politik semata-mata, tambahan pula penceroboh dipercayai memang berniat untuk mencuri dokumen penting yang berkaitan dengan pilihanraya sebenarnya. Maka itu, walau pun umum cuba mengelak namun kes ini mahu atau tidak, pasti ia dilakukan oleh musuh politik PKR. Siasatan yang rapi haruslah dijalankan untuk mencari dalang disebalik insiden ini. Kita tidak mahu politik berbentuk ancaman dan provokasi seperti ini menjadi permainan pihak yang berkenaan. Tuduhan dan dakwaan mungkin tidak digemari oleh pihak terbabit, namun melihat kepada modus operandi yang dilakukan maka sudah pasti ia melibatkan orang yang sama. Cuma mereka masih bebas untuk melakukan lebih banyak pencerobohan selepas ini. Bersedialah untuk berhadapan dengan semua ini. Tambahan pula menjelangnya PRU-13 tidak lama lagi].
KUANTAN, 21 April - Satu insiden pergaduhan berlaku antara penyokong UMNO dan PAS berhampiran Pejabat UMNO Kuantan, di Jalan Mahkota dekat sini malam tadi.
Kejadian yang berpunca daripada "isu bendera" itu telah menyebabkan kekecohan dan mengejutkan orang ramai yang lalu lalang di situ. Masing-masing panik melihat kejadian yang berlaku di depan mata mereka itu.
Berdasarkan maklumat, kekecohan berlaku gara-gara tindakan beberapa orang ahli Pemuda PAS Kuantan yang bertindak memacak bendera parti itu pada pokok-pokok yang terdapat bendera UMNO dan Barisan Nasional. Ini menyebabkan beberapa orang penyokong UMNO yang berada berhampiran Pejabat UMNO berhampiran menjadi marah dan mengarahkan pemuda PAS mencabut semula bendera tersebut.
Mereka kemudian bertegang leher dan menuduh antara satu sama lain. Ketika itu, kelompok penyokong kedua-dua pihak mula semakin ramai dan sudah ada yang menggasak. Sebuah kenderaan polis dengan dua pegawainya yang lalu disitu kemudian cuma menenangkan keadaan.
Penyokong UMNO marah dan menuduh PAS cuba menimbulkan kontroversi dengan memasang bendera mereka pada bendera UMNO BN yang terdapat di pokok-pokok sekitar kawasan terbabit.
Mereka juga mendakwa, bendera itu dipasang di kawasan sendiri memandangkan bangunan Pejabat UMNO Kuantan terletak berhampiran kawasan itu. Kenyataan itu ditempelak oleh beberapa orang penyokong PAS yang mendakwa, UMNO hanya berhak letak bendera di bangunan sahaja tetapi bukan di pokok-pokok berkenaan.
Malah mereka juga mempertikaikan tindakan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) tidak menurunkan bendera UMNO BN di lokasi berkenaan kerana ia jelas melanggar peraturan yang mereka tetapkan.
Malah, Yang DiPertuanya, Datuk Zulkifli Yaakob dengan tegas baru-baru ini menyatakan pihaknya akan menurunkan kain rentang, poster dan bendera parti-parti politik yang di pasang di beberapa kawasan penempatan dan jalan raya sekitar bandar ini.
Inilah yang menyebabkan penyokong PAS marah kerana semua bendera mereka diturunkan di kawasan bandar, sebaliknya bendera UMNO dibiarkan oleh pihak berkenaan. Inilah yang jadi persoalan di kalangan penyokong PAS.
Kekecohan yang sepatutnya berakhir sekitar jam 12.00 malam itu, kemudiannya bertambah panas apabila kehadiran semakin ramai penyokong kedua-dua belah pihak.
Turut kelihatan hadir Ketua UMNO Bahagaian Kuantan, Dato' Wan Adnan Wan Mamat serta lain-lain ahli jawatankuasa mereka. Biar pun beliau hadir menenangkan keadaan, namun tolak menolak terus berlaku di hadapan bangunan Hongkong & Shanghai Bank (HSBC). Pihak polis mengarahkan orang ramai bersurai, namun tidak diendahkan mereka.
Difahamkan, kekecohan kedua itu berpunca daripada tindakan penyokong UMNO mencabut dan mematahkan bendera-bendera PAS yang dipasangkan pada pokok-pokok berkenaan. Keadaan semakin kecoh apabila pergelutan hingga ke jalanraya dan menganggu lalu lintas.
Keadaan sedikit reda apabila pihak polis sekali lagi mengarahkan kedua-dua kumpulan bersurai. Beberapa orang anggota polis Cawangan Khas (SB) juga kelihatan memantau kejadian berkenaan. Keadaan sedikit kecoh apabila ada beberapa orang lelaki berbangsa India yang berbadan besar mula masuk campur.
Mujurlah tiada kejadian yang lebih parah berlaku biarpun ada diantara mereka telah dikasari antara satu sama lain. Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusof dilihat tiba di lokasi berkenaan sekitar jam 1.20 pagi ketika kekecohan sudah pun dapat disuraikan oleh beberapa anggota polis yang bertugas.
[Melihat kekecohan yang berlaku malam tadi, ternyata kesalahan bukanlah daripada kedua-dua belah pihak sebenarnya. Ini kerana, pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sepatutnya harus dipersalahkan kerana mereka tidak bertegas dengan undang-undang dan peraturan yang mereka buat.
Jika arahan untuk membuang mana-mana bendera parti politik, makanya beliau harus adil kepada semua tidak kira parti kerajaan mahu pun pembangkang.
Apa yang berlaku ini seharusnya dijadikan ikhtibar oleh pihak berkenaan. Malah, banyak lagi maklumat dimana penguatkuasa MPK hanya menjalankan tugas membuang mana-mana bendera parti pembangkang di sekitar kawasan Kuantan.
Namun, mereka biarkan bendera UMNO BN terus berkibar tanpa ada halangan. Inilah yang menimbulkan kemarahan kepada pihak yang berkenaan sebenarnya.
Sebagai sebuah agensi kerajaan yang mendapat hasil kutipan cukai daripada rakyat tanpa membezakan fahaman politik masing-masing, maka MPK harus bertindak secara profesional dan tidak perlulah dipengaruhi unsur-unsur politik. Semoga kejadian ini tidak berlaku lagi hendaknya].
Sudah-sudah lah pegang tapuk FAM tu. Dah 28 tahun dah. Tak cukup kaya lagi ke? Rasanya dah byk dah sponsorship masuk FAM tu. Bolasepak bukan makin naik, makin merudum ada la. Pepatah Melayu ada mengatakan " Bapak Borek, anak Rintik". Sorang pegang bola, sorang pegang hoki. Result? dua-dua lingkup!!!
Sultan Haji Ahmad Shah 1984- Sekarang ( 28 Tahun)
Anak bapak~
p/s: Oh Malaysiaku..Kalau takde campur tangan pihak Istana & orang politik memang bukan Malaysia namanya.
KUANTAN - Belum pun kes penggunaan wang zakat yang melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom guna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) reda, kini heboh pula berita Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pula menggunakan wang zakat.
Jika Jamil Khir didakwa gunakan gunakan wang zakat sebanyak RM63,650.00 untuk kos guaman ke atas kes Qazaf membabit Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, apa yang berlaku di sini sesungguhnya lebih mengejutkan umat Islam dan rakyat Pahang sebenarnya.
Ini kerana, daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai mengatakan MUIP dipercayai mahu menggunakan wang zakat mencecah puluhan juta ringgit semata-mata mahu mengambil alih pengurusan (membeli) hotel MS Garden Kuantan (foto) .
Difahamkan, pihak berkenaan telah pun membuat bayaran pendahuluan terhadap hotel terbabit sebanyak RM5 juta dan bakinya akan diambil melalui wang zakat. Apa yang lebih mengejutkan ialah urusan yang berkaitan telah dibuat secara "mengelirukan" hingga menyebabkan ramai pihak kini berada dalam dilema sebenarnya.
Ini kerana urusan yang berkaitan dikatakan "memanipulasi" nama pihak istana demi kepentingan beberapa kerat individu di agensi terbabit sebenarnya. Justeru itu, ramai yng terkejut dengan isu ini kerana jika benar dakwaan MUIP mahu menggunakan wang zakat untuk mengambilalih pengurusan sebuah hotel maka ia jelas sekali "lari" daripada matlamat asal zakat itu sendiri.
Malah, ia juga tersasar daripada misi MUIP iaitu "Memperkasakan Ummah Melalui Peningkatan Taqwa, Pembentukan Akhlak Yang Terpuji, Pengurusan Sosio-Ekonomi Yang Mampan, Dakwah Yang Berkesan, Pembudayaan Ilmu, Pemartabatan Adat Resam Melayu dan Perundangan Yang Berlandaskan Syariat".
Justeru itu, seluruh umat Islam di Pahang digesa bertindak untuk memastikan urusan ini tidak berlaku. Amatlah malang sekali, dikala begitu ramai asnaf (mereka yang layak) menerima wang zakat masih memerlukannya tiba-tiba wang tersebut digunakan bagi tujuan perniagaan (komersial). Maka itu, Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Dato' Sri Adnan Yaakob digesa bertindak untuk menghalang urusan tersebut.
Beginilah rupa sebuah pusat hiburan yang terdapat dalam hotel tersebut Apakah wajar wang zakat dilaburkan untuk tujuan komersial seperti ini?
[Kami akan melaporkan perkembangan terkini isu ini dalam masa terdekat selepas siasatan rapi berkaitan siapakah "orang dalam" yang terlibat dengan urusan yang berkenaan.
Sebelum ini, PDO juga telah membongkarkan kes khalwat melibatkan bekas Setiausaha MUIP sehingga diambil tindakan oleh Yang DiPertua MUIP sendiri iaitu KeBawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang.
Difahamkan pegawai terbabit telah ditukarkan ke Jerantut dan kes beliau masih dibicarakan hingga ke hari ini. Oleh itu, kami tidak teragak-agak untuk mendedahkan nama dan gambar beberapa individu yang dipercayai memainkan peranan dalam pelaburan yang cukup "memalukan" ini.
Apa yang lebih menyedihkan, kini urusan zakat difahamkan diuruskan terus oleh MUIP dan Pusat Kutipan Zakat hanya sekadar menjadi "pengutip wang zakat" semata-mata, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mengagihkan wang tersebut kepada pihak yang memerlukan. Jika benar dakwaan ini, maka ia merupakan satu episod malang dalam sejarah zakat di Pahang. Apakah cerita lembu Fidlot yang melibatkan Shahrizat Jalil akan berlaku pula di negeri ini.
Tindakan guna wang ke jalan yang tidak sepatutnya amatlah mengecewakan umat Islam. Semoga isu ini dapat dipantau dengan sebaik mungkin demi "masa depan Islam" hendaknya].
Nadir bumi: Mustapa nasihat Lynas jangan ‘tindak sebelum tiba masa’
KUALA LUMPUR, 8 Nov — Datuk Seri Mustapa Mohamed menyelar Lynas Corp yang secara terus-menerus membuat kenyataan-kenyataan mendahului pihak berkuasa berkenaan tarikh kelulusan bagi operasi loji nadir bumi mereka dekat Kuantan yang muncul kontroversi.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mendakwa syarikat Australia berkenaan “bertindak sebelum masanya” dan telah gagal untuk melibatkan penduduk setempat yang menentang operasi loji itu dengan telus.
“Mereka tidak boleh membuat kenyataan sebelum (keputusan) Lembaga (Pelesenan Tenaga Atom). Tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan seperti ini dan kita telah mengingatkan mereka,” kata Mustapa kepada The Malaysian Insider minggu lalu.
Mustapa berkata beliau memahami kebimbangan dilahirkan oleh penduduk tempatan berhubung projek itu dan telah memaklumkan kepada Lynas bahawa pihaknya tidak mengambil tindakan secukupnya untuk melibatkan mereka secara bersama.
“Mereka memandang remeh (aspek itu) tetapi telah menerima pengajaran mereka. (Kelihatan) ada ketelusan dalam satu atau dua bulan yang lalu.
“Tetapi, saya telah bertemu dengan mereka di Perth bulan lalu, tetapi ia masih belum mencukupi,” kata Ahli Parlimen Jeli ini.
Tambah beliau, kegagalan kedua-dua Lynas dan kerajaan sejak peringkat awal telah menyebabkan sesetengah orang tidak boleh dipujuk.
Mustapa didakwa bertindak sebagai “jurucakap Lynas” oleh wakil rakyat kerusi Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) minggu lalu.
Menteri itu menafikan dakwaan Naib Presiden PKR itu, yang mengetuai protes terhadap loji Lynas.
Sebelum ini, Lynas telah menjangkakan bahawa pihaknya akan diberi kelulusan oleh AELB untuk memulakan operasi pada suku terakhir tahun ini.
Bagaimanapun menurut Putrajaya, pihaknya telah meminta syarikat itu pada 19 September lalu supaya membuat beberapa perubahan dan maklumat tambahan berkenaan aspek keselamatan.
Memalukan: Sahfri Aziz Tidak Layak Menjadi Exco Kerana Tergamak "Bakar Api Perkauman" Dalam Demontrasi Isu Lynas Di Kuantan Baru-Baru Ini !
KUANTAN, 2 Jun - Orang ramai di sekitar bandar ini kesal dan kecewa dengan tingkah laku seorang Exco Kerajaan Negeri Pahang yang dipercayai menjadi "mastermind" yang membawa "budaya samseng" kepada penyokong UMNO untuk timbulkan kekecohan melampau dalam himpunan Lynas di Teluk Chempedak baru-baru ini. Exco yang dimaksudkan ialah Dato' Hj.Mohamad Sahfri Ab Aziz (foto) yang memegang portfolio Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri.
Beliau juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Ibam, dipercayai menjadi "ketua dalam gerakan untuk mengapi-apikan penyokong kerajaan supaya melakukan kekecohan dan menyerang" semua pihak yang dipercayai kumpulan membantah Lynas. Malah beliau juga didapati telah menyampaikan ucapan berbaur perkauman yang mengajak pihak berkenaan menganyang pihak yang mengadakan demontrasi aman membantah Lynas. Isu perkauman dimainkan, kononnya Lynas hanya diperjuangkan oleh orang-orang Cina sahaja.
Sebaliknya merasakan orang Melayu tidak bersama dalam bantahan berkenaan. Padahal, beliau harus tahu bahawa jika berlaku sebarang malapetaka akibat kilang Lynas maka yang akan mendapat risikonnya bukanlah orang Cina tetapi kepada semua rakyat berbilang bangsa. Soalnya, kenapa orang Cina lebih "advanced" dalam hal-hal kesihatan seperti ini. Semuanya kerana akhbar dan media pengampu UMNO yang berbahasa Melayu gagal memainkan peranan untuk menyedarkan rakyat tentang bahaya radiaoaktif.
Aksi Si Safri Aziz, Exco Pahang yang telah lari dari tugas beliau sebenarnya di sisi kiri Zaili Besar (ADUN Panching), sisi kanan Tok Sam (Setpol MB)
[Sebaliknya akhbar berbahasa Cina dilihat lebih terkehadapan dalam memaparkan berita, aktiviti dan segala maklumat yang berkaitan.Lantaran itulah kita tidak hairan mereka lebih faham dan sedang akan tanggungjawab sosial seperti ini. Tindakan Si Sahfri Aziz membuat provokasi supaya penyokong UMNO menganyang "kaum Cina" yang kononnya cuba membuat onar dalam isu ini jelas sekali sesuatu yang tidak wajar sebenarnya. Tambahan pula exco terbabit adalah bertanggungjawab terhadap "perpaduan" antara sesama kaum di negeri ini. Malahan juga tindakan mengumpul NGO beliau untuk sama-sama hadir pada hari itu jelas sekali menunjukkan beliau telah menyalahgunakan kuasanya. Apakah motif para belia diajar supaya bertindak "samseng" seperti ini?. Sedangkan beliau yang berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, Mesir sepatutnya mengajak manusia ke arah kebaikan dan bukannya ajar mereka kepada kekerasan yang akan menimbulkan perbalahan kaum di negeri ini. Apakah ini ciri-ciri seorang pemimpin yang layak untuk bergelar Exco agaknya].
KUANTAN, 1 Jun - Nampaknya teori penyelewengan projek pembinaan kilang memproses rare-earth oleh Lynas Corporation di Kawasan Perindustrian Gebeng dekat sini bertambah panas. Ia susulan terdapat pendedahan sebelum ini dan terkini mengatakan Chairman Board Of Governors Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ialah adik bongsu kepada Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Adnan Yaakob sendiri. Beliau yang dimaksudkan itu ialah Dato´ Muhammad Shahrul Ikram Yaakob (foto).
Beliau difahamkan bertugas dengan agensi terbabit mulai tahun 2009 hingga 2010. Tiada apa lagi yang boleh kita perketakan dengan pendedahan ini sebenarnya. Namun, apa yang jelas kita boleh rungkaikan ialah bagaimana kumpulan pakar IAEA yang berada di sini sekarang mahu membuat laporan negatif terhadap projek tersebut jika bekas boss mereka adalah adik kepada Menteri Besar Pahang itu sendiri?. Bukankah, ini membuktikan kepada kita memang ada permainan "adik beradik" dalam meluluskan atau pun membawa projek berisiko ini ke Malaysia. Apa jua alasan yang diberikan oleh MB Pahang untuk menidakkan perkara ini sudah tidak wajar dipercayai lagi.
Mana mungkin seorang adik mahu melanggar sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh abangnya. Inikan pula projek bernilai ratusan juta seperti Lynas ini sebenarnya. Oleh itu, rakyat tidak hairan sekarang, kenapa pakar-pakar yang sepatutnya mengambil masa sebulan untuk mengkaji tahap keselamatan Lynas telah awal-awal lagi mengatakan projek tersebut mengikut "standard yang telah ditetapkan". Padahal mereka belum pun turun padang untuk melawat ke kilang Lynas di Gebeng itu sebenarnya. Kita tidak mahu menuduh sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam hal ini. Namun, secara kesimpulannya rakyat memang tahu apakah "kaedah" mana-mana pelabur dan pihak yang mahu mendapatkan apa-apa projek di Pahang sejak dulu kini dan selamanya.
Bukti kukuh, adik MB Pahang, Dato Muhammad Shahrul Ikram Yaakob rupanya adalah IAEA Board Of Govenors Chairman tahun 2009-2010
GM IAEA Yukiya Amano bersalaman dengan adik MB di Mesyuarat Ahli Lembaga (Gabenor) IAEA di Vienna, Austria pada 13 September 2010
[Malah banyak pendedahan telah dibuat oleh pihak-pihak tertentu sebelum ini tentang ketirisan yang berlaku dalam pentdbiran Kerajaan Negeri Pahang itu sendiri. Oleh itu, kepada mereka yang bermati-matianmenyokong projek ini diminta berfikir secara rasional. Apakah kita mahu diri kita ditipu oleh kebodohan kita sendiri. Jangan dibiarkan diri kita dipermainkan oleh mereka yang berkuasa hanya untuk kepentingan periuk nasi mereka sendiri. Kami sungguh terkejut dengan maklumat terbaru ini. Namun kami boleh merasakan, memang ada sesuatu yang tidak kena bila adik MB menjadi orang kuat IAEA, sedangkan apa yang dipertikaikan ialah bagaimana projek berisiko seperti Lynas itu boleh dibawa masuk ke Malaysia terutamanya ke negeri Pahang ini?. Rupanya ada "kabel besar" yang telah bersedia untuk membawa masuk projek itu ke sini sebenarnya. Siasatan lanjut akan dijalankan tentang beberapa aspek lain lagi yang membuktikan projek Lynas wajar dibantah oleh rakyat Kuantan biarpun ada yang menyokongnya. Ini kerana sokongan yang diberikan oleh pihak terbabit adalah berdasarkan "skrip semata-mata", tambahan pula mereka dibayar untuk hadir menyokong projek Lynas seperti yang berlaku di Hotel Hyatt dan Pantai Teluk Chempedak].
Perhimpunan membantah pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan oleh kumpulan “Selamatkan Malaysia” hampir bertukar menjadi pergaduhan apabila diganggu oleh kumpulan yang tidak dikenali.
Tindakan kira-kira 120 orang yang menyertai kumpulan itu tidak disenangi kira-kira 20 lagi yang berkelah di pantai itu.
Mereka, yang mengaku penduduk tempatan, meminta aktivis Save Malaysia beredar kerana didakwa mencemarkan pantai.
'Selamatkan Malaysia' mengadakan bantahan pagi ini di pantai peranginan Teluk Cempaka, lokasi di mana sembilan anggota panel IAEA yang mengkaji kesesuaian pembinaan kilang itu menginap.
Ia juga lokasi rundingan awam dijalankan.
Kumpulan 20 orang itu kemudiannya dilihat mahu menyuraikan Save Malaysia dengan kasar tetapi dihalang pihak polis.
Bagaimanapun, perkara itu terus mengundang kemarahan pihak itu yang mendakwa penunjuk perasaan itu bukan orang tempatan.
"Kami memang daripada Kuantan, ini Tanah Melayu!" kata seorang lelaki yang dikenali sebagai Azman Attar ketika ditanya sama ada mereka mewakili mana-mana kumpulan.
Save Malaysia -- pimpinan pengerusinya Tan Boon Teet -- kemudiannya hanya duduk dan menunggu di penjuru pantai dan meninggalkan tempat itu kira-kira jam 9.30am.
Sementara kumpulan yang menyokong projek Lynas masih tetap di situ. - mkini
Dalam video ringkas yang dimuat-naik di laman sosial Facebook, syarikat perlombongan Australia - Lynas menyifatkan pantai timur di Malaysia sebagai “tempat terbaik di dunia” bagi mendirikan pusat pemprosen nadir bumi.
Dalam video sepanjang 26 saat itu, pengerusi eksekutif Lynas Corporation Nicholas Curtis menjelaskan sebab-sebab mengapa pusat berkenaan tidak didirikan di Australia meskipun telah mendapat kelulusan membina pusat penapisan di negara itu.
Katanya, mengikut perancangan asal, ia sepatutnya dibina di Australia tetapi “perkara itu tidak menjadi”.
"Australia bukan, malangnya, kompetitif dalam industri kimia berbanding pantai timur di Malaysia. Ia adalah tempat terbaik di dunia bagi mendirikan pusat berkenaan.”
Curtis berkata Lynas senang dengan persekitaran perniagaan dan infrastruktur di Malaysia dan “paling utama adalah rakyatnya”.
Namun, beliau tidak mengulas lanjut perkara berkenaan dalam rakaman itu.
Pendedahan bahawa pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng yang terletak kira-kira 25 kilometer dari timur laut Kuantan, Pahang telah menimbulkan kemarahan penduduk sekitar yang bimbang kemungkinan radiasi yang boleh menjejaskan kesihatan mereka dan juga orang ramai sekitar kawasan perindustrian tersebut.
AELB: Lynas ‘didenda’ RM50 juta bagi setiap bencana radiasi
KUALA LUMPUR, 3 Mei . — Sementara panel antarabangsa sedang meneliti aspek kesihatan dan keselamatan, Lynas Corporation akan dipertanggungjawabkan dengan syarat ‘denda’ sehingga RM50 juta bagi setiap bencana jika loji pemprosesan nadir bumi mereka di Gebeng menyebabkan kebocoran radiasi.
Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) berkata syarikat Australia itu juga perlu menamakan individu yang perlu bertanggungjawab bagi sebarang kejadian tidak diingini sebelum ia boleh dibenar beroperasi di zon industri Gebeng dekat Kuantan, dijangka akhir tahun ini.
“Dalam undang-undang, entiti yang diberi lesen perlu menamakan seseorang yang bertanggungjawab bagi lesen dan ia akan bertanggungjawab sehingga RM50 juta bagi setiap insiden,” kata Ketua Pengarahnya Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan (gambar) dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider.
Katanya, ia selaras dengan Seksyen 59(1) Akta Pelesenan Tenaga Atom.
Pada 22 April lalu, Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata kajian semula panel bebas terhadap kilang nadir bumi di Gebeng akan membantu menangani kebimbangan orang ramai terhadap aspek kesihatan, keselamatan dan alam sekitar berhubung projek itu.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan satu panel bebas akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menjalankan kajian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan loji itu bagi menolak kebimbangan bahawa ia menimbulkan ancaman radioaktif.
Kajian itu dijangka siap dalam tempoh sebulan.
Lima hingga tujuh pakar antarabangsa yang diperakui dalam bidang radiasi akan dilantik menganggotai panel itu, yang ditubuhkan susulan maklum balas daripada orang ramai.
Mustapa berkata sehingga kajian itu selesai, dan sementara menunggu keputusan kerajaan, tiada lesen praoperasi akan dikeluarkan kepada Lynas oleh AELB.
Syarikat itu juga tidak dibenarkan untuk mengimport bahan mentah dari Australia sementara kerajaan membuat keputusan terhadap hasil kajian itu.
“Mereka membuat keputusan (untuk melabur RM700 juta) sebab mereka percaya bahawa mereka boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat,” kata Raja Aziz.
Kata beliau, syarikat itu perlu membuat pradeklarasi dan mematuhi paras torium . — elemen radioaktif yang ditemui di kesemua simpanan nadir bumi dan uranium di kedua-dua bahan mentah dan sisa buangan.
Raja Aziz menambah, Lynas belum memenuhi keperluan permohonan bagi mendapatkan lesen praoperasi yang akan menyediakan tempoh selama tiga tahun bagi AELB untuk memantau dan mengesahkan sama ada keseluruhan proses pemprosesan adalah selari dengan perancangan pradeklarasi.
“Lynas ada menghantar kepada saya permohonan. Tetapi jika anda menghantar satu surat tanpa dokumentasi, ia bukan permohonan. Kami sudah melihatnya dan ia tidak lengkap,” kata beliau.
Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Kalsom berkenan menyuapkan pulut kuning sempena ulang tahun hari keputeraan Sultan Pahang Ke-80 di Istana Sultan Abu Bakar hari ini
REKOD 'cemerlang' Pahang yang tidak pernah turun ke liga bawahan berterusan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengumumkan skuad Tok Gajah itu akan kembali bersaing dalam Liga Super 2010 yang ber- mula 9 Januari depan.
Pahang sebelum ini sepatutnya telah tersingkir ke Liga Perdana 2010 setelah tewas 1-5 ke- pada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super 2009 pada 25 Julai lalu, sekali gus menduduki tangga kedua tercorot.
Pada 15 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis FAM juga mengesahkan bahawa Pahang akan turun beraksi dalam Liga Perdana 2010 bersama-sama pasukan tercorot Liga Super 2009 iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Namun, Mesyuarat Majlis FAM semalam yang dipengerusikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden FAM bertindak 'menyelamatkan' pasukan negeri itu pada saat akhir sambil 'mengorbankan' skuad B-21 kebangsaan, Harimau Muda A.
"Hari ini (semalam) mesyuarat Majlis FAM telah membuat sedikit perubahan untuk pasu- kan-pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana musim depan.
"Setelah dibincang secara panjang lebar, Harimau Muda A dicadangkan untuk tidak beraksi dalam Liga Super 2010 supaya pemain-pemainnya dilepaskan beraksi untuk pasukan negeri masing-masing. "Bagi menggenapkan 14 pasukan, Pahang dinaikkan semula ke Liga Super. Liga Perdana pula, kami akan jemput satu pasukan dari Liga FAM untuk menggenapkan 12 pasukan," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh pada sidang media semalam.
SULTAN AHMAD SHAH beramah mesra dengan pegawai yang hadir sebelum baginda
mempengerusikan Mesyuarat Majlis FAM di Wisma FAM semalam.
Mengulas lanjut perkara tersebut, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Pahang dipilih menggantikan Harimau Muda A kerana 'kedudukannya' yang paling atas dalam senarai asal pasukan-pasukan Liga Perdana 2010.
"Tiada soal pilih kasih. Keputusan ini telah dipersetujui oleh suara majoriti dalam mesyuarat Majlis FAM hari ini (semalam).
"Harimau Muda B iaitu skuad B-19 kebangsaan akan kekal dalam Liga Perdana manakala Harimau Muda A di bawah jurulatih Azraai Khor Abdullah hanya akan dikumpul apabila ada tugasan antarabangsa," jelas Khairy.
Kosmo! pada 27 Julai lalu telah melaporkan tentang kemungkinan Pahang akan diselamatkan lagi oleh FAM daripada terjerumus ke saingan Liga Perdana.
Keputusan FAM semalam sebenarnya 'ulangan' kepada tindakan mereka ketika menukar format Liga Malaysia 2007 sejurus berakhir saingan musim 2006.
FAM ketika itu mengubah format daripada lapan pasukan kepada 14 pasukan, sekali gus menyelamatkan Pahang yang menduduki tangga ketujuh daripada lapan pasukan pada Liga Super 2006.
Dalam pada itu, Sultan Ahmad Shah dalam titah baginda ketika mesyuarat semalam memberitahu, Datuk Gulzar Mohammad telah meletak jawatan sebagai Naib Presiden FAM secara sukarela berkuat kuasa 22 November lalu atas alasan kesihatan dan tumpuan kepada pernia- gaannya.
Selain itu, pada tarikh yang sama, FAM turut melantik Tan Sri Mohd. Noor Abdul Rahim sebagai Bendahari FAM yang baru mengganti- kan Datuk Cheong Keap Tai.