Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan wang peruntukan Yayasan Taqwa untuk membiayai program politiknya di Jerai.
Bahkan beliau juga menjelaskan bantuan yang diberikan bukan menggunakan duit Yayasan Taqwa.
"Ini dakwaan tidak betul. Ia bukan duit Yayasan Taqwa.... Matlamat penubuhannya beroperasi Yayasan Taqwa di luar Wilayah Persekutuan. Sebab itu kita tengok seluruh Malaysia, bukan setakat Jerai sahaja.
"Seluruh negara kita beri bantuan melalui Yayasan Taqwa. Baru ni saya bagi bantuan di Terengganu dan Kelantan," katanya dalam sidang media di Putrajaya.
Semalam Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mendakwa Jamil menggunakan peruntukan Yayasan Taqwa untuk membiayai program politik di bahagian Jerai.
Antaranya bantuan yang diberikan mesin rumput, pam racun dan berbagai-bagai bantuan kepada penduduk di kawasan yang didakwa akan ditandinginya.
Yayasan Taqwa adalah agensi di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang mendapat peruntukan daripada majlis berkenaan dan sepatutnya menjaga kebajikan penduduk di Wilayah Persekutuan.
03 February 2012
Menteri Agama nafi guna wang Yayasan Taqwa
22 January 2012
Guna 'Duit Zakat' Untuk Beli Hotel Mewah, Kerajaan Negeri Di Gesa Halang Urusan Berkaitan
KUANTAN - Belum pun kes penggunaan wang zakat yang melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom guna wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) reda, kini heboh pula berita Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) pula menggunakan wang zakat.
Jika Jamil Khir didakwa gunakan gunakan wang zakat sebanyak RM63,650.00 untuk kos guaman ke atas kes Qazaf membabit Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, apa yang berlaku di sini sesungguhnya lebih mengejutkan umat Islam dan rakyat Pahang sebenarnya.
Ini kerana, daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai mengatakan MUIP dipercayai mahu menggunakan wang zakat mencecah puluhan juta ringgit semata-mata mahu mengambil alih pengurusan (membeli) hotel MS Garden Kuantan (foto) .
Difahamkan, pihak berkenaan telah pun membuat bayaran pendahuluan terhadap hotel terbabit sebanyak RM5 juta dan bakinya akan diambil melalui wang zakat. Apa yang lebih mengejutkan ialah urusan yang berkaitan telah dibuat secara "mengelirukan" hingga menyebabkan ramai pihak kini berada dalam dilema sebenarnya.
Ini kerana urusan yang berkaitan dikatakan "memanipulasi" nama pihak istana demi kepentingan beberapa kerat individu di agensi terbabit sebenarnya. Justeru itu, ramai yng terkejut dengan isu ini kerana jika benar dakwaan MUIP mahu menggunakan wang zakat untuk mengambilalih pengurusan sebuah hotel maka ia jelas sekali "lari" daripada matlamat asal zakat itu sendiri.
Malah, ia juga tersasar daripada misi MUIP iaitu "Memperkasakan Ummah Melalui Peningkatan Taqwa, Pembentukan Akhlak Yang Terpuji, Pengurusan Sosio-Ekonomi Yang Mampan, Dakwah Yang Berkesan, Pembudayaan Ilmu, Pemartabatan Adat Resam Melayu dan Perundangan Yang Berlandaskan Syariat".
Justeru itu, seluruh umat Islam di Pahang digesa bertindak untuk memastikan urusan ini tidak berlaku. Amatlah malang sekali, dikala begitu ramai asnaf (mereka yang layak) menerima wang zakat masih memerlukannya tiba-tiba wang tersebut digunakan bagi tujuan perniagaan (komersial). Maka itu, Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Dato' Sri Adnan Yaakob digesa bertindak untuk menghalang urusan tersebut.
[Kami akan melaporkan perkembangan terkini isu ini dalam masa terdekat selepas siasatan rapi berkaitan siapakah "orang dalam" yang terlibat dengan urusan yang berkenaan.
Sebelum ini, PDO juga telah membongkarkan kes khalwat melibatkan bekas Setiausaha MUIP sehingga diambil tindakan oleh Yang DiPertua MUIP sendiri iaitu KeBawah Duli Yang Teramat Mulia, Tengku Mahkota Pahang.
Difahamkan pegawai terbabit telah ditukarkan ke Jerantut dan kes beliau masih dibicarakan hingga ke hari ini. Oleh itu, kami tidak teragak-agak untuk mendedahkan nama dan gambar beberapa individu yang dipercayai memainkan peranan dalam pelaburan yang cukup "memalukan" ini.
Apa yang lebih menyedihkan, kini urusan zakat difahamkan diuruskan terus oleh MUIP dan Pusat Kutipan Zakat hanya sekadar menjadi "pengutip wang zakat" semata-mata, sedangkan mereka tidak mempunyai kuasa sepenuhnya untuk mengagihkan wang tersebut kepada pihak yang memerlukan. Jika benar dakwaan ini, maka ia merupakan satu episod malang dalam sejarah zakat di Pahang. Apakah cerita lembu Fidlot yang melibatkan Shahrizat Jalil akan berlaku pula di negeri ini.
Tindakan guna wang ke jalan yang tidak sepatutnya amatlah mengecewakan umat Islam. Semoga isu ini dapat dipantau dengan sebaik mungkin demi "masa depan Islam" hendaknya].
http://pahangdaily.blogspot.com/2012/01/panas-guna-duit-zakat-untuk-beli-hotel.html
13 January 2012
Tidak layak guna wang zakat untuk kes qazaf
KUALA LUMPUR, 13 Jan — PKR terus memberikan tekanan terhadap Datuk Seri Jamil Khir Baharom dengan menegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak layak menggunakan wang zakat untuk membiayai kos guamannya dalam kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini kerana menurut Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail (gambar), Jamil Khir dan dua Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menghalang hukum Islam daripada dilaksanakan dalam kes Anwar.
Dua pegawai MAIWP itu adalah setiausahanya Datuk Che Mat Che Ali yang juga Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain.
“Alasan mereka bahawa wang zakat diwajarkan penggunaannya sebab mereka termasuk dalam Asnaf fisabillah, mereka tergolongan di kalangan yang mempertahankan kedaulatan institusi Islam. Apakah orang yang menggunakan kedudukan menghalang seorang yang difitnah membawa kes ke mahkamah syariah dianggap mempertahankan kedaulatan institusi Islam?
“Adakah orang yang menggunakan kedudukan mereka menyekat pendakwa syarie meneruskan dakwaan qazaf ke atas (Mohd) Saiful (Bukhari) (Azlan) yang membuat tuduhan tanpa menampilkan saksi boleh dianggap mempertahankan kedaulatan Islam,” kata Saifuddin dalam satu kenyataan.
Malah kata Saifuddin, Ahli Parlimen Machang ini tindakan Jamil Khir yang menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman itu terus menimbulkan banyak persoalan ekoran bukti-bukti baru yang didedahkan parti itu.
“Apakah jika mereka menggunakan kedudukan untuk berbuat demikian maka mereka dibolehkan menggunakan wang zakat untuk membayar khidmat guaman mereka?
“Adalah jelas mereka bukan mendaulatkan Islam bahkan merekalah yang menghalang hukum Islam daripada dilaksanakan,” katanya.
Beliau menambah kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh dan Che Mat bahawa wang zakat boleh digunakan untuk mempertahankan institusi Islam mengundang lebih banyak persoalan.
Semalam PKR membuat laporan polis berhubung perkara ini dan menamakan Jamil Khir, Che Mat dan Shamsuddin atas kesalahan penyalahgunaan wang zakat.
Saifuddin turut menyentuh tentang pelantikan peguam yang mewakili ketiga-tiga individu Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menjadi ahli majlis MAIWP pada 25 Julai 2011.
Katanya, Jamil Khir perlu tambil memberi penjelasan berhubung persoalan yang dibangkitkan parti itu menambah “ berdiam diri bukanlah jalan terbaik.”
Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 dikeluarkan daripada dana zakat MAIWP bagi mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk ketiga-tiga mereka.
Bagaimanapun Jamil Khir menafikan perkara itu menegaskan beliau telah membayar kos guaman menggunakan geran kerajaan dan bukan wang zakat.
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pkr-tidak-layak-guna-wang-zakat-untuk-kes-qazaf/
12 January 2012
Menteri Agama Yang Cakap Bohong.. Jamil Khir Patut Malu Pada Diri Sendiri..
Menteri Agama Islam Malaysia, Jamil Khir Bahrum tidak perlu berdolak dalih lagi. Kebenaran sudah semakin terserlah bukti pula kian bertambah. Bahawa telah berlaku penggunaan wang dari akauan zakat untuk bayar fee guaman, penggunaan di luar asnaf lapan yang dibenarkan.
Elok kalau sebelum mahkamah membuat pengadilan yang boleh menyebabkan Khir bersama Pengarah MAIWP Che Mat Che Ali malu besar mereka mengambil keputusan memohon maaf secara terbuka kemudian berundur secara terhormat dari kedudukan masing-masing. Cara itu lebih afdal dari cuba membuat pembelaan diri sedangkan umum sudah mulai menjatuhi hukuman ke atas mereka atau meragui kredibiliti mereka sebagai penjawat awam dan pemimpin.
Isu penggunaan wang zakat sebanyaak RK63,650 kini sudah tidak dapat diselindung lagi. Hebohnya macamlah wang projek lembuk gemuk RM250 juta. Usaha hendak melindungi atau pun dipertahankan dengan berbagai-bagai prosuder itu tidak ubah seperti hendak melindungi anak tikus dalam poket baju. Tidak boleh.
Tikus kalau dibubuh dalam poket sambil memekupnya dari luar ia akan diam tidak bergerak. Tetapi bila kita berjalan dan tangan terlepas memekupnya dia akan bergerak dan mengagaru-garu dada kita menyebabkan kita akan kegelian dan tidak selesa.
Selama mana Khir dan Che Mat Ali nak pekuk anak tikus yang dibubuh dalam poket baju itu? Silap hari bulan kalau ia tidak bergerak ekornya yang sepanjang 10 hingga 25 cm itu akan terjelar ke luar poket. Lama-lama orang akan tanya juga, apa benda itu terkeluar, nak kata ballpen bukan, nak kata sapu tangan pun bukan. Jangan malu di dalam majlis sudahlah.
Semalam Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi telah mendedahkan bukti mengenai surat dari Ketua Audit Negara Ambrin Buang kepada Ketua PAC Azmi Khalid mengesahkan telah berlaku transaksi wang sebanyak RM63,650 dari akaun zakat untuk bayar fee guaman berhubung kes qazaf dikemukakan Anwar Ibrahim terhadap mereka.
Menurut dokumen itu tarikh wang itu dikeluar pada 21 November dan diganti enam bulan kemudian. Soal ianya diganti tidak timbul apa dipersoalkan telah berlaku penyelewengan dan pecah amanah.
Che Mat Ali kata itu wang dana dari kerajaan untuk MAIWP yang dimasukan ke dalam akaun zakat. Katanya juga wang itu tidak salah digunakan kerana ia bertujuan untuk membela maruah Islam. Kita setuju maruah Islam wajib dibela. Kita nak tanya berapa wang fee untuk bela kes murtad dibayar dari wang zakat?
Selain itu ada dua perkara yang tidak kena di sini dan menunjukkan kebendulan MAIWP dalam menguruskan wang zakat.
Pertama, kerana wang dana kerajaan dicampur sama dalam akaun zakat. Wang zakat patut diasingkan dari akaun lain dan perlu ada akauan tersendiri. Sepatutnya akaun asing - akaun mubah untuk menerima wang dana kerajaan itu dibuka. Bila ia dicampur sekali di sini menimbulkan kekeliruan dan percampuran wang suci dengan wang makruh. Kealpaan ini menjelaskan betapa cetek dan 'cakduh'nya pengetahuan Islam Khir Bahrum dan Che Mat Ali.
Kedua, ialah apabila ia diganti dengan menggunakan wang dana kerajaan berjumla RM700,000 itu menunjukkan wang dari akaun zakat telah diambil dan digunakan. Ini bermakna akauan zakat itu telah dicerohohi.
Apakah hukum menceroboh itu walaupun dengan niat yang baik boleh dilakukan? Orang yang tahu tidak mempersoalkan tetapi yang tidak tahu atau pun yang berpegang kepada prosuder kewangan akan pertikaikan.
Dalam kes ini anologi boleh dibuat begini. Jamil dan Che Mat Ali masuk ke rumah anak dara untuk membaiki bilik atap bilik tidurnya yang bocor. Niatnya baik untuk keselamatan gadis itu. Tetapi kalau mereka masuk tanpa ada muhrim boleh menyebabkan syak wasangka timbul. Apa lagi anak dara itu cantik bernilai RM63,650.
Kata Che Mat Ali wang itu untuk menjaga maruah agama. Menjaga akaun wang zakat juga adalah sebahagian menjaga maruah kesucian Islam. Cara mereka lakukan itu boleh menyebabkan integriti Islam diragui. Alasan mengatakan wang zakat naik sebanyak 24 peratus kepada sejumlah RM431 juta kutipan bukan alasan yang boleh menutup penyelewengan itu.
Kutipan itu dibuat sebelum kes itu berlaku. Macam mana selepas ini, pembayaran zakar mungkin meragui akan integriti MAIWP menyebabkan mereka akan membawa wang ke tempat lain.
Cara dan alasan dikemukakan Che Mat Ali dan Jamil Khir tidak menamatkan tanggapan buruk terhadap mereka berdua. Makin mereka bercakap makin terdedah kesalahan mereka. Seperti anak tikus dalam poket itu makin mereka cuba melindunginya anak tikus itu makin meronta-ronta kerana kelemasan disebabkan pekukkan yang kuat.
Saya tidak merasa anih sedikit pun apa yang berlaku ini. Lama sebelum ini semasa Yusuf Nor jadi menteri agama Islam Malaysia, telah berlaku penyalahgunaan MAIWP. Di mana wang MAIWP diambil (pinjam) untuk membeli saham. Selepas ia disedari wang itu dikembalikan semula ke akauan MAIWP. Sila tanya orang bernama Mustafa Abdul Rahman.
Jadi jalan terbaik Jamil dan Che Mat mengaku tersalah urus dan minta maaf kepada umat Islam dan berjanji tidak akan buat lagi. Lebih bagus mereka mengambil tanggungjawab atas kekhilafan bukan kecil itu dengan melepaskan jawatan masing-masing sebagai menteri dan pengarah MAIWP kerana jelas mereka boleh dianggap bersubahat dan saling melindungi antara satu sama lain dengan sekaki payung yang carik di tengah hujan lebat membanjir. [wm.kl.1:16 t/hari 13/01/12]
http://msomelayu.blogspot.com/2012/01/susupan-tengahari_12.html
31 December 2011
Jamil Khir Perjelas Dakwaan Seleweng Wang Zakat
SEPANG -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menegaskan laporan mendakwa beliau terbabit penyelewengan wang zakat adalah tidak benar.
Beliau berkata wang yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukannya daripada wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi dana khas yang disalurkan kerajaan untuk pembayaran yuran guaman.
"Setiap tahun kerajaan bagi bajet kepada MAIWP dan tahun ini RM700,000 diperuntukkan untuk tujuan pembayaran contohnya kes perebutan jenazah, kes libatkan saudara baru, isu murtad yang dibawa ke mahkamah, kita pakai duit ini lah," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan penyelewengan wang zakat MAIWP bagi pembayaran kos guaman beliau, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain dalam kes qazaf itu.
Sambil menyifatkan dakwaan itu dan laporan mengenai kos ubah suai rumahnya di ibu negara yang dikatakan tinggi dan mewah sebagai zalim dan kejam, Jamil Khir berkata berita seumpama itu sepatutnya diselidik terlebih dahulu sebelum disiarkan supaya tidak timbul fitnah dan salah faham rakyat terhadap pemimpin negara dan kerajaan.
Beliau berpendapat laporan itu bertujuan untuk melahirkan persepsi bahawa pihak menteri dan kerajaan selalu melakukan penyelewengan.
"Saya rasa amat tidak wajar seorang Muslim dan saya rasa yang bercakap ini pun banyak Muslim. Dia patut selidik dan kena rasa takut pada fitnah dan pembohongan yang bukan setakat habis di dunia tapi balasannya sampai di akhirat," katanya.
Menurutnya pembangkang banyak memainkan isu melibatkan kerajaan Barisan Nasional untuk dipolitikkan supaya dapat mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu-isu pokok membabitkan pembangkang termasuk qazaf.
Mengulas mengenai isu rumahnya, Jamil Khir berkata pihak berkenaan boleh membuat semakan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan menjelaskan rumahnya itu dibeli sejak tahun 1994 sebelum beliau dilantik sebagai menteri dan pembayaran bulanan juga masih dibuat sehingga kini.
"Biasalah kalau ada sedikit penambahbaikan pada rumah itu. Saya dulu mejar jeneral, dua bintang dalam pegawai kerajaan...ada pencen penuh dan tak peliklah saya layak buat pinjaman (perumahan)," katanya.
Beliau juga berkata penjelasan beliau berkaitan dakwaan itu adalah muktamad dan berharap semua pihak memahami keadaan sebenar.
-- BERNAMA
29 December 2011
Respon Nik Nazmi Kepada Jawapan MAIWP Tentang Salahguna Wang Zakat Jamil Khir
Berikutan kenyataan saya semalam, Muhamad Yamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa pembiayaan kos guaman Datuk Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dua lagi pegawai kanan MAIWP dalam menghadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim diambil daripada geran kerajaan.
Dalam kenyataannya, beliau juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah.
Pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman ini.
Malangnya Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November 2011.
Yamin juga harus sedar bahawa apabila seorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan diri mereka.
Saya berharap Jamil Khir sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama Islam Malaysia dapat segera tampil ke hadapan dan bukan menyorok di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini.
Pada Jun lalu juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.
Sekurang-kurangnya apabila isu ini mula-mula timbul peguam Zainul Rijal Talha dan Amir terbuka dalam bertanya tentang pandangan Mufti Wilayah Persekutuan.
Persoalannya, adakah pandangan tersebut diberikan dan sekiranya ya,apakah pandangan beliau? Yang nyatanya Ketua Audit mengesahkan wang zakat dibayar kepada peguam sebelum dipulangkan hampir enam bulan kemudian pada Disember 2010.
Juga mengapa wujud dwi-standard dengan kes amil zakat di Johor Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini?
Umat Islam yang menyumbang berbilion ringgit wang zakat setiap tahun di seluruh negara tidak mahu timbul sebarang keraguan terhadap pengurusan wang zakat.
NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
Dosa Besar Salah Guna Wang Zakat - ‘Jamil Khir, Usah Bersembunyi’
PETALING JAYA: PKR hari ini mendesak supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom sendiri tampil memberi penjelasan berhubung isu penyalahgunaan wang zakat sebanyak RM63,650 bagi membiayai kos guaman dalam menghadapi kes permohonan qazaf Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jamil Khir sendiri mesti tampil memberi penjelasan dan bukan menyorok (bersembunyi) di belakang pegawai kerajaan bagi menjawab isu ini,” kata Pengarah Komunikasi parti itu, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan media hari ini.
Nik Nazmi memberitahu bahawa beliau menerima jawapan berhubung isu ini daripada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Muhamad Yamin Ismail semalam yang menjelaskan bahawa kos guaman itu diambil dari geran kerajaan.
Beliau (Yamin) juga menyalahkan Anwar dan pihak-pihak tertentu yang ‘menyalahgunakan’ proses mahkamah terhadap penjawat awam yang menyebabkan dana dan wang rakyat terpaksa digunakan bagi melayan proses mahkamah.
Menurut Nik Nazmi, pada Jun 2011 juga Jamil Khir menafikan penggunaan wang zakat untuk membayar kos guaman ini.
Kata beliau, malangnya Yamin tidak menyebut tentang ‘pendahuluan’ RM63,650 daripada wang zakat yang telah disahkan oleh Ketua Audit Negara pada November 2011.
“Yamin juga harus sedar bahawa apabila seseorang itu dizalimi, beliau mempunyai hak yang diiktiraf di dalam syarak dan sistem Perlembagaan kita untuk mempertahankan dirinya,” jelas beliau.
Dosa besar
Pada Jun lalu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Md Hashim Yahya telah menegaskan sebarang salahguna wang zakat yang disalurkan selain daripada asnaf yang lapan adalah kesalahan dan dosa besar.
Semalam FMT melaporkan isu penyalahgunaan wang zakat sebanyak RM63,650 oleh MAIWP untuk membiayai kos guaman menghadapi kes permohonan qazaf Anwar.
Laporan Ketua Audit Negara November lalu mengesahkan Jamil Khir; Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk
Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guaman menghadapi kes permohonan qazaf Anwar.
Datuk Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur pula dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara semalam mempertikai kenapa wujud kes dwi-standard berhubung penyalahgunaan wang zakat.
Beliau merujuk kepada kes Redzuan Mohd Said, bekas Imam di Kulaijaya, Johor, yang didapati menyelewengkan RM19,510 kutipan zakat antara Ogos dan September tahun ini. Redzuan yang kemudiannya memulangkan wang tersebut telah dihukum empat tahun penjara dan tiga sebatan atas kesalahannya.
Dipetik dati FreeMalaysiaToday
28 December 2011
Kenyataan Media Nik Nazmi Tentang Isu Salahguna Zakat MAIWP
Jawapan Ketua Audit Negara November lalu mengesahkan Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Shamsuddin Hussain Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan menggunakan RM63,650 daripada wang zakat untuk membiayai kos guamannya mengadapi kes permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Isu ini yang telah dibangkitkan oleh YB Saifuddin Nasution di Parlimen dan dibawa ke Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.
Ketua Audit memaklumkan bahawa pada 11 Januari 2010 MAIWP menerima bil berjumlah RM63,000 daripada peguam Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir kerana mewakili ketiga-tiga mereka di atas bagi kes permohonan qazaf Anwar.
Che Mat telah meluluskan bayaran RM31,500 daripada peruntukan am pada 28 Januari 2010. Namun memandangkan geran kerajaan masih lagi belum diterima, bayaran dibuat menggunakan peruntukan zakat pada 9 Februari 2010.
MAIWP membuat pembayaran baki kos guaman RM32,150 pada 29 April 2010 menggunakan peruntukan zakat.
MAIWP telah menerima geran kerajaan pada 22 Jun 2010 sebanyak
RM700,000. Namun MAIWP hanya membuat pembayaran semula daripada peruntukan am kepada wang zakat pada Disember 2010.
Persoalannya, adakah begitu mudah untuk MAIWP menggunakan wang zakat yang dibayar umat Islam bagi asnaf-asnaf yang khusus untuk perbelanjaan lain?
Datuk Mat Zain Ibrahim, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur di dalm surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara hari ini telah membangkitkan dwi-standard kes ini dengan kes membabitkan bekas imam di Kulaijaya, Johor, Redzuan Mohd Said yang didapati menyelewengkan RM19,510 kutipan zakat antara Ogos dan September tahun ini.
Redzuan yang kemudiannya memulangkan wang tersebut telah dihukum empat tahun penjara dan tiga sebatan atas kesalahnnya.
Adakah wujud perbezaan antara seorang amil zakat biasa yang melakukan kesalahan dengan seorang Menteri dan Ketua Pengarah JAWI?
Jamil Khir tidak sepatutnya diam membisu dan segera menjawab persoalan ini yang pastinya menimbulkan kegusaran di kalangan umat Islam negara
ini.
NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
21 December 2011
02 November 2011
Wang Zakat Diguna Untuk Burukkan PAS
Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mendakwa wang zakat digunakan dalam pengedaran sejumlah buku kepada sekumpulan imam masjid, yang didakwanya bertujuan untuk memburuk-burukkan PAS.
Naib presiden PAS itu mendakwa, bayaran untuk buku bertajuk 'PAS Bukan Parti Islam' itu dibuat oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan Berhad – sebuah badan di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, ianya tidak jelas yang wang zakat telah digunakan untuk menjelaskan bayaran tersebut.
Dalam sidang media di lobi parlimen hari ini, beliau mengedarkan salinan dokumen yang didakwa sebagai arahan pembayaran, invois, sebut harga serta arahan penyerahan 250 naskhah berkenaan.
Menurut surat bertarikh 28 September itu, arahan pembayaran berkenaan dibuat oleh setiausaha sulit kanan kepada menteri di jabatan perdana menteri, Lt Kol Ab Jabar Mohamad Aris.
Salinan didakwa invois daripada sebuah syarikat bertarikh 15 September pula dialamatkan kepada menteri berkenaan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sebut harga serta arahan penyerahan untuk pembelian buku dengan jumlah harga RM4,975 itu juga dibuat oleh syarikat yang sama kepada menteri berkenaan.
Mengulas perkara itu, Mahfuz antara lainnya berkata, wang Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan itu tidak sepatutnya digunakan untuk membayar buku berkenaan.
"Wang itu daripada sumber zakat. Duit Yayasan Taqwa itu bukan untuk tujuan politik, ia untuk membiayai orang susah," katanya lagi.
Tambahnya, buku yang pernah dilihatnya itu didakwa memburukkan PAS kerana "tajuknya sendiri sudah memberi gambaran untuk menceritakan bahawa PAS adalah parti bukan Islam."
Sumber - Malaysiakini
31 October 2011
Keluar Zakat? Dia Sendiri Pernah Keluar Zakat Ke??
TEMERLOH, 31 Okt: PAS mengalu-alukan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Man berkata, dalam masa yang sama Dr Mahathir perlu juga menasihat agensi-agensi korporat yang kaya di negara ini agar turut mengeluarkan zakat.
“Bayangkan tahun lalu saja keuntungan Petronas mencecah RM80 bilion. Ini bermakna jika syarikat tersebut membayar zakat nilainya hampir RM2 bilion dan banyak boleh dimanfaatkan untuk pembangunan umat Islam negara ini.
“Sebab itulah Profesor Ungku Aziz pernah berkata, jika Pertronas menunaikan zakat perniagaannya, pelajar miskin boleh ditanggung daripada pra-sekolah hingga ke universiti,” ujarnya.
Tuan Ibrahim berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Dr Mahathir mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam yang kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain kerana lapan asnaf yang layak menerima zakat sudah tidak wujud di kebanyakan negara kaya, selain kutipan juga melebihi keperluan mereka yang ada.
Beliau juga percaya jika sebuah tabung diwujudkan bagi mengumpul sumbangan zakat daripada negara kaya, akan ada wang yang mencukupi bagi membina infrastruktur membolehkan negara miskin membangun dan menghasilkan peluang kerja menerusi pelaburan dalam industri berasaskan buruh.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian dalam ucaptama Persidangan Antarabangsa Kewangan dan Ekonomi Islam di Langkawi, kelmarin.
Menurut Tuan Ibrahim, banyak lagi syarikat korporat selain daripada Tabung Haji yang tidak menunaikan zakat dan mungkin disebabkan tidak mendapat pelepasan cukai perniagaan oleh kerajaan.
“Selain daripada Petronas banyak lagi gergasi korporat seperti Felda dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang jika membayar zakat wang tersebut boleh digunakan bagi meningkatkan sosial dan kebajikan rakyat.
“Cuma kerajaan kena laksanakan satu kaedah kepada syarikat korporat ini yang membayar zakat dikecualikan daripada cukai,” tambahnya.
Mengenai pertanyaan Dr Mahathir bolehkah wang zakat digunakan untuk pembangunan infrastruktur, Tuan Ibrahim berpendapat ia dibolehkan melalui asnaf fi sabilillah kerana takrifnya yang luas.
Namun begitu beliau berharap jawapan sebenar boleh didapatkan daripada hujah-hujah ulamak melalui kajian dan penelitian.
15 August 2011
Melaka Bina Bangunan Dengan Duit Zakat ??
Salah seorang Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa duit lebihan zakat digunakan untuk membina bangunan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM). Menurut Pegawai itu fakta ini diperolehi dari Mufti Melaka sendiri.
Beliau berkata demikian semasa perbincangan pihaknya dengan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari di Ibu Pejabat SPRM Melaka di Alai minggu lalu.
Persoalan yang timbul di sini ialah :-
1) Benarkan bangunan itu dibina dengan wang lebihan zakat?
2) Benarkan dakwaan bahawa Mufti menyatakan bangunan itu dibina dengan wang lebihan zakat?
3) Benarkan wang zakat negeri Melaka berlebih kerana tidak ada lagi asnaf yang layak menerima zakat sedangkan bilangan orang miskin masih ramai, anak-anak kita yang belajar di dalam dan di luar negara masih ramai yang tiada bantuan, orang-orang yang berjuang Fi Sabilillah masih ramai dan lain-lain.
4) Halalkan wang zakat digunakan untuk tujuan membina bangunan dan jika ianya dibenarkan ia tergolong asnaf yang mana satu?
Persoalan ini timbul ekoran 'follow up' yang dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Haji Adly Zahari terhadap laporan yang dibuat oleh PAS pada bulan Februari lalu terhadap Laporan Ketua Audit Negara 2010.
Kita sebagai rakyat mengharapkan SPRM menyiasat perkara ini, malangnya SPRM meminta PAS pula menyiasatnya keraan menurut SPRM mereka tidak menemui sebarang penyelewengan dan salah satu pihak terbabit.
SofiWahab



