KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) terus mempersoal alasan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi mengesan dan mengenakan saman terhadap pesalah trafik.
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar (LPAS) dewan itu, Mohd Firdaus Jaafar, berkata tinjauan dan kajian yang dilakukan oleh LPAS mendapati rata-ratanya tidak menyokong pelaksaan sistem ini.
Ini kerana ianya dilihat bukan untuk keselamatan semata-mata tetapi lebih kepada cuba mengaut keuntungan yang agak besar dalam masa singkat.
"LPAS juga mempersoal adakah pelaksanaan kamera AES ini dapat menjamin 100 peratus keselamatan kepada pengguna jalan raya, mendisplinkan pengguna jalan raya ataupun sebaliknya hanya mahu membuat keuntungan semata-mata," soalnya.
Beliau berkata demikian mengulas alasan yang diberi kerajaan kononnya AES perlu bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.
Menurut Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai, banyak faktor lain juga yang menyumbang kepada kemalangan maut selain faktor memandu secara laju.
Ia termasuk soal kualiti permukaan jalan raya, keadaan kenderaan dan lain-lain.
"Kerajaan mahupun JKJR (Jabatan Keselamatan Jalan Raya) sepatutnya menyelesaikan faktor-faktor penting yang boleh menyumbang ke arah kemalangan jalan raya, bukannya mencari salah pengguna jalan raya yang kononya membawa kenderaan dengan laju.
"Dengan alasan seperti ini terlalu senang kerajaan Umno BN membazir ratusan juta semata-mata untuk mewujudkan kamera AES sedangkan banyak lagi kaedah dan cara yang lebih efisyen serta menjimatkan," katanya.
Malah katanya, kerajaan juga boleh menggunakan kaedah lain selain AES bagi menangani masalah kemalangan maut tersebut.
"Dah sampai masanya Kerajaan mahupun JKJR memikirkan dan juga mengkaji polisi-polisi atau plan-plan perancangan demi untuk kepentingan pengguna jalan raya dan bukannya ‘berniaga dengan nyawa rakyat’," katanya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) Datuk Mahfuz Omar turut mendedahkan satu kajian yang dibuat menunjukkan kadar kemalangan di bandar yang menggunakan kamera AES lebih tinggi berbanding bandar yang tidak menggunakan sistem tersebut.
Kajian yang dibuat sekumpulan masyarakat awam pembayar cukai di London itu mengkaji kadar kemalangan terhadap 1000 kenderaan berdaftar di beberapa bandar yang menggunakan AES dan tidak menggunakan AES.
Kajian mereka mendapati kadar kemalangan di bandar London yang menggunakan kamera AES adalah 90.9.
Sebaliknya sebuah lagi bandar Swindon di UK yang telah memansuhkan kamera AES pada 2009 hanya merekodkan kadar kemalangannya 2.0.
Berikut adalah cadangan LPAS kepada kerajaan:
- Sepatutnya pihak Kerajaan Persekutuan dan juga Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) perlu menyelesaikan masalah ini dengan menganal pasti dan membaik pulih setiap permukaan jalanraya yang mempunyai faktor risiko yang tinggi terjadi nahas kemalangan, supaya ia selamat kepada pengguna jalan raya walaupun dalam keadaan cuaca panas mahupun hujan.
- Memasang lampu-lampu keselamatan di tempat-tempat yang berisiko tinggi berlakunya kemalangan agar jalan seperti ini sentiasa kelihatan terang dan jelas semasa memandu pada waktu malam. Tetapi sebaliknya pemasangan lampu-lampu ini hanya berada di zon-zon bandar dan juga di plaza tol-tol.
- Pihak JKJR, sepatutnya menyedarkan pengguna jalanraya dengan mengadakan kempen besar-besaran punca yang menyumbang kemalangan dengan mengiklankan papan tanda seperti jumlah atau peratus kemalangan, gambar-gambar kemalangan dan juga bilangan atau angka nyawa-nyawa yang terkorban di kemalangan jalanraya. papan iklan ini perlu dipasang setiap penjuru ataupun kawasan yang berisiko tinggi berlakunya kemalagan.
- Memperkasakan pengangkutan awam.
.harakahdaily.net
30 October 2012
AES: Keselamatan atau keuntungan?
05 July 2012
Syarikat MCA Diberi Tender Saman Trafik JPJ
PETALING JAYA: Syarikat berkaitan dengan MCA didakwa bakal berkongsi untung saman trafik yang dikenakan JPJ ke atas rakyat mulai hujung tahun ini.
Bagi memaksimakan keuntungan pula, kadar saman trafik akan dinaikan ke RM300 - RM2,000 melalui satu rang undang-undang yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat.
Baru-baru ini, syarikat berkaitan MCA didakwa telah mendapat kontrak projek saman pengangkutan Sistem Penguatkuasaan Automatik (Automated Enforcement System – AES) yang akan dilaksanakan kerajaan penghujung tahun ini.
Bendahari PKR William Leong ketika mendedahkan perkara itu berkata, syarikat-syarikat tersebut adalah Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.
Beliau mendakwa, salah seorang pengarah syarikat Beta Tegap Sdn Bhd iaitu Datuk Arianta Alikusno mempunyai hubungan dengan pemimpin MCA dan pernah diberikan kontrak yang besar pada tahun 2005 daripada Kementerian Kesihatan melalui syarikat Mediharta Sdn Bhd.
“Dalam senarai pemegang saham syarikat Beta Tegap Sdn Bhd yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Arianta dan anaknya Dr Andres Teoh serta isterinya, Yap Kim See @ Yap Ai Lin dan seorang iaitu Datuk Mohd Yunus Othman merupakan antara pemegang saham syarikat itu.
“Begitu juga dengan syarikat Mediharta Sdn Bhd, adalah orang yang sama,” katanya pada sidang media semalam.
Bagaimanapun, sebelum ini MCA telah menafikan kaitan partinya dengan kontrak ini.
Mengulas lanjut, ahli parlimen Selayang itu juga mendedahkan bahawa kerajaan dan kedua-dua syarikat terbabit akan berkongsi keuntungan daripada hasil bayaran saman oleh orang ramai.
Dalam laporan kedua-dua syarikat itu katanya, setiap syarikat itu akan mendapat RM16 daripada setiap saman yang dikeluarkan.
Jumlah itu menurut William lagi akan diberikan kepada kedua-dua syarikat itu sehingga saman yang dikeluarkan mencecah lima juta.
Selepas mencecah lima juta saman, pihak kerajaan dan syarikat-syarikat terbabit akan berkongsi keuntungan masing-masing 50 peratus sehingga syarikat itu mendapat keuntungan RM272 juta setahun.
“Oleh kerana itu, kedua-dua syarikat terbabit mensasarkan untuk mengeluarkan sekurang-kurangnya 10 juta saman setiap tahun,” katanya.
Justeru, beliau meminta Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek memberi penjelasan berhubungan kaitan dengan nama-nama terbabit.
Ketika perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu, ahli parlimen Pakatan Rakyat membantah keras pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menyatakan denda minimum sebanyak RM300 dan maksimum RM2000 akan dikenakan bagi setiap kesalahan.
Mereka berpendapat bahawa pindaan tersebut bukan hanya akan terus membebankan pengguna jalanraya malah menguntungkan syarikat pengendali AES tersebut.
http://m.harakahdaily.net/index.php/headline/11472-syarikat-mca-kongsi-untung-saman-rakyat
20 March 2011
Hapuskan Kezaliman Saman Ekor Pada PRU13 Nanti
PAKATAN JANJI HAPUSKAN SAMAN EKOR JIKA MEMERINTAH..
BESUT, 20 Mac: PAS sekali lagi mempertegaskan sikapnya membantah keras pelaksanaan saman ekor oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana ia menyusah dan membebankan rakyat.
Justeru, Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berjanji pihaknya akan menghapuskan peraturan saman tersebut sekiranya diberi peluang memerintah negara menerusi pilihan raya umum akan datang.
“Kita isytihar malam ini, kalau Pakatan Rakyat perintah (negara), saman ekor kita hapus. Itu jaminan kita kalau kita perintah,” katanya.
Beliau menegaskan demikian di dalam ucapannya pada sesi ceramah sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno (HKR-PGU) Zon Besut - Setiu di Dataran PGU, di Jertih, malam tadi.
Perhimpunan selama dua hari bermula Jumaat itu merupakan siri kedua program seumpamanya dianjurkan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu. Siri pertama telah diadakan pada pertengahan Januari lalu di Dataran Tok Guru, Geliga, Kemaman.
Ceramah malam tadi merupakan acara kemuncak perhimpunan. Selain Abdul Hadi, turut menyampaikan ceramah mereka ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Datuk Abu Bakar Chik.
Menurut Abdul Hadi, kesemua parti dalam Pakatan Rakyat berkongsi pendirian mengenai berbagai perkara membabitkan kepentingan rakyat, termasuk soal saman ekor.
“Kita tahu rakyat tidak setuju (pelaksanaan) saman ekor dan PAS memang tidak setuju. DAP tak setuju, Keadilan (PKR) tak setuju. Yang setuju hanyalah Umno Barisan Nasional,” ujarnya.
Beliau malah secara sinis menganggap pelaksanaan sistem saman ekor itu sebagai bukti BN benar-benar menghayati slogan “Rakyat Didahulukan”.
Katanya, BN mendahulukan rakyat untuk merasai beban menampung kekurangan kewangan negara apabila terpaksa berbelanja lebih untuk melunaskan saman ekor itu.
Memahami tekanan hidup rakyat yang semakin meningkat, maka PAS dan Pakatan Rakyat juga katanya akan mengkaji semula harga runcit minyak. Langkah itu diyakini akan turut menghalang kenaikan berterusan harga barangan keperluan harian lain.
“Kita janjikan Negara Berkebajikan. Kita serius menjaga dan membela kebajikan rakyat. Ini bukan janji saja, kita akan buat insya Allah,” tegasnya.
10 March 2011
Jangan bayar kompaun saman ekor - Kase
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) menasihatkan mangsa saman ekor agar tidak membayar kompaun yang dikenakan biarpun tempoh promosi pembayaran berakhir hari ini.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sekiranya selepas ini mereka disenarai hitam, Kase akan membantu untuk berdepan masalah tersebut di mahkamah.
"Rakyat tidak perlu bayar, yang penting ambil insurans bawa ke JPJ untuk perbaharui cukai jalan, kalau JPJ tak benar, wajib pengarah JPJ kena bagi jawapan bertulis, kenapa.
"Kemudian bawa insurans dan surat itu, kalau polis tahan, biar dia saman, kita lawan di mahkamah," katanya ketika ditemui selepas membangkitkan perkara itu di parlimen semalam.
Tambahnya, keputusan sama ada seseorang itu bersalah dan perlu membayar kompaun hanya ditentukan mahkamah, dan bukan oleh notis saman yang dikeluarkan.
Menurutnya lagi, tindakan JPJ menyenarai hitam pesalah saman ekor adalah salah mengikut keputusan Mahkamah Kucing dalam kes Leonad Lim Yaw Chiang melawan Pengarah JPJ negeri Sarawak pada 2009.
Dalam kes itu, hakim memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam mengikut Seksyen 17(1)(d) adalah tidak betul dan bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.
(Kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.
Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.
Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.)
"Kita minta Peguam Negara nasihat JPJ supaya akur keputusan mahkamah iaitu tak boleh blacklist.
"Rakyat tidak boleh dipaksa membayar kompaun yang ditawarkan," kata Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS.
Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang didakwa akan menggunakan teknologi Redflex dalam Automatic Enforcement System (AES).
Katanya, teknologi itu telah dipertikai banyak pihak termasuk di California Amerika Syarikat dan di Arizona.
"Kenapa guna teknologi yang sudahpun dipersoal.
"Dan kenapa syarikat swasta Beta Tegap dan commercial Circle diberi hak pengendalian, sedangkan teknologi guna yang Redflex punya.
"Kenapa kerajaan tak kendalikan sendiri guna teknologi sama, kenapa perlu orang tengah?" soalnya.
08 March 2011
07 March 2011
Saman Ekor tak Wajib bayar, artikel Utusan Malaysia
Utusan Malaysia 7 Mac 2011 ISU SAMAN EKOR - MAHKAMAH, melalui kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak tahun 2009 telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di mahkamah.
Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan.
JPJ juga telah diarahkan membayar ganti rugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.
Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan.
Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.
Berbalik kepada tawaran kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman.
Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, adakah seseorang itu benar-benar melakukan kesalahan yang didakwa sehingga mereka wajib membayar denda?
Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak.
Jika ada yang tertunggak maka ia bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke mahkamah untuk menjawab saman itu.
Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap supaya OKS hadir mahkamah.
Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mengakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesailah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga saman itu. Tidak tertunggak.
Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.
Saman ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi had laju.
Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenali dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran.
Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke mahkamah bagi menjawab tuduhan memandu melebihi had laju.
ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm
02 March 2011
Saman trafik: TPM tolong jangan perlekeh rakyat sendiri
Kata TPM Muhyiddin “Traffic summons have nothing to do with politics”..Bernama . Itu komen seorang ahli politik dan seorang Timbalan Perdana Menteri. Penjelasan seperti ini hanya layak didengari oleh mereka yang tidak kisah dengan kehidupan atau tidak tahu apa langsung tentang kejadian dan peristiwa semasa.
Saya bukan seorang peguam atau hakim tetapi saya seorang graduan diantara jutaan graduan yang ada dan sedang melihat scenario politik di Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia saya mendoakan semoga peristiwa yang berlaku di Negara luar tidak berlaku di Malaysia melainkan jika pemimpin-pemimpin yang sedia ada tidak mengambil iktibar.
Berbuih mulut kita memperingatkan pemimpin-pemimpin supaya tidak memperkecilkan rakyat sendiri. Kita juga selalu menyedarkan mereka bahawa zaman sekarang adalah zaman langit terbuka. Maksudnya maklumat sangat mudah diperolehi. Lihatlah apa yang dimiliki oleh Wikileaks.
Tentang saman trafik kata TPM tidak kena mengena dengan politik adalah satu kenyataan yang boleh dikategorikan sebagai memperkecilkan rakyat atau merendahkan pemikiran rakyat sendiri. Apa tidaknya, mereka yang memperolehi saman sudah awal-awal lagi disabitkan kesalahan dan tidak diberi peluang untuk mempertahankannya secara adil di mahkamah. Rakyat yang ketakutan terpaksa membayar denda haram ini demi mengelak dari tindakan kejam seterusnya seperti disenarai hitamkan dan tidak dapat membayar cukai jalan walaupun ada wang. Bukankah tindakan seperti ini sudah melampaui batas undang-undang?
Kekalutan seperti ini dikatakan tidak berkaitan dengan politik. Siapa yang boleh mempercayainya wahai memanda? Ambillah iktibar dari pergolakan dunia hari ini khususnya di Timur Tengah. Kasihilah rakyat sendiri. Jangan terlalu tamak dan rancanglah bagaimana mahu menjana wang dengan cara terhormat bukan mencari jalan senang dengan menadah kopiah atau topi. Kurangkan pembaziran dan program-program yang tidak menjana kewangan seperti rombongan keluar negeri oleh mereka yang tidak kena mengena dengan dasar dan perancangan kerajaan. Bezakan antara aktiviti NGO, parti politik dan kerajaan. Tunjukkan kecerdikan kita sebelum kita menunjukkan kebodohan orang lain.
Man Libya / Kedahlanie
01 March 2011
Tukar BN kepada Pakatan selesai saman ekor
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu rakyat sedar bahawa kesusahan rakyat akibat saman ekor hanya dapat diselesaikan dengan menukar parti pemerintah kepada Pakatan Rakyat.
Katanya, dalam isu ini kerajaan Umno BN telah memperlihatkan sifat mereka yang tidak mahu memahami keperitan rakyat dengan tidak memberikan peluang untuk dibicarakan di mahkamah malah terus menghukum dengan menyenarai hitam tanpa dibuktikan bersalah.
"Sebab itulah, kita melihat bahawa rakyat tidak ada pilihan melainkan menukar pemerintahan BN kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya yang akan datang bagi melihat usaha murni kami ini dapat direalisasikan.
"PAS berjanji akan menghapuskan saman ekor sekiranya diberi peluang memerintah negara dalam pilihanraya akan datang bersama Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.
Beliau turut memuji usaha murni NGO Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang berusaha memberi penerangan kepada rakyat dan menuntut kerajaan menghapuskan saman ekor.
Bagaimanapun beliau kecewa dengan layanan kerajaan yang mengenepikan tuntutan Kase itu malah mengetatkan lagi akta berkaitan JPJ dan “menswastakan” urusan beberapa aspek saman ini,.
"Kita akan bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat membincangkan kaedah paling baik bagi menyelesaikan masalah tersebut dan kita percaya PKR dan DAP akan bersetuju dengan tawaran tersebut.
"PAS ingin menegaskan bahawa pelaksanaan saman ekor bukanlah kaedah terbaik untuk mendidik rakyat supaya berhemah dalam memandu di jalanraya," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan di beberapa kaunter bayaran saman JPJ mendapati tempoh promosi bagi bayaran saman tertunggak yang berakhir semalam dilanjutkan sehingga jam 12 tengahari ini.
Hari ini pula telah berkuatkuasa kadar kompaun baru di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dikeluarkan JPJ, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perubahan kadar itu membabitkan empat kategori kesalahan lalu lintas, iaitu mengikut kelas kenderaan, tahap keseriusan dan jenis kesalahan, nilai kompaun bertambah mengikut tempoh pembayaran kompaun dan kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan berulang.
Mengikut penyelarasan baru itu, pengguna jalan raya yang gagal menjelaskan kadar kompaun dalam tempoh 15 hari akan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200, seterusnya dinaikkan kepada RM300 sekiranya tidak dijelaskan dalam tempoh 30 hari.
Sementara pemandu yang gagal membayar saman dalam tempoh 60 hari pula akan diheret ke mahkamah.
Bagi pemandu yang menyumbang kepada kemalangan, kesesakan lalu lintas dan kesalahan berkaitan perkhidmatan teksi, kadar kompaun maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan dan ia tidak akan dikurangkan walaupun dijelaskan lebih awal. - hrkh
15 February 2011
Saman Ekor - Dua Syarikat Kroni Bakal Kaut Duit Rakyat Malaysia
Dua syarikat yang rapat dengan Umno dan BN bakal menerima komisyen RM3.8 billion dari hasil kutipan enam juta saman ekor,kata pengerusi anti saman ekor Datuk Mahfuz Omar.
Syarikat tersebut dilantik akhir tahun lalu untuk menyelenggara sistem penguatkuasa automatik iaitu pengguna kamera yang diguna polis untuk mengesan kelajuan kenderaan.Sebagai balasan katanya,dua syarikat itu akan menerima komisen sebanyak 35% dari kutipan saman yang terkumpul daripada pesalah trafik yang bernilai RM3.8 billion.
RM3.8 billion hanya anggaran minimum,bagi tempoh lima tahun kutipan,kemungkinan untungnya labih banyak.
Sudah pasti syarikat kutipan ini mahukan lebih keuntungan dan keuntungan itu datangnya daripada kompaun saman terhadap kenderaan rakyat Malaysia.Maka sudah pasti mereka akan cuba memastikan lebih banyak saman dikeluarkan untuk mendapatka lebih keuntungan pada syarikat mereka.
Dua syarikat tersebut ialah Beta Tegap sdn. bhd. (No:641884-A) dan Commercial Circle(M) sdn. bhd. (No:140723-V).Saya yakin dibelakang syarikat ini wujud kepentingan pimpinan Umno dan BN yang akan memanfaatkan "Lubuk" duit ini.
Mahfuz juga kesal,kerana kerajaan BN tetap membentangkan pindaan rang undang-undang (RUU) Akta pengangkutan jalan 2010 untuk bacaan pertama pada 18 Okt. yang lalu bagi mengekalkan saman ekor.
Jesteru itu,kempen ANTI saman ekor Fasa kedua akan dilancarkan dalam satu program bersama pimpinan PR pada 16 Februari ini.
Prosedur pemberian saman ekor juga dipertikaikan kerana tiada notis "Saman" dikeluarkan kepada pesalah trafik,sebaliknya hanya diberitahu melalui laman Web atau sms sahaja.
Sedangkan dalam satu kes mahkamah pada 2009,Mahkamah telah memutuskan tindakan JPJ menyenarai hitamkan kenderaan yang membeyar saman ekor,salah disisi undang-undang.
Sumber - juragan
20 June 2010
Saman Ekor - Kerajaan Cari Duit Dengan Menganiaya Rakyat
SEMUA rakyat yang sayangkan negara mengalu-alukan langkah kerajaan berusaha untuk menambahkan pendapatan negara. Dalam keadaan ekonomi meleset manakala pemimpin pula terkial-kial mencari idea macam mana untuk menambah pendapatan, apa juga ikhtiar oleh kerajaan perlu disokong oleh rakyat. Kerjasama dan sokongan rakyat sangat penting. Kalau tanpa sokongan rakyat usaha yang baik kerajaan tidak akan berhasil dan tanpa sokongan rakyat ia tidak membawa berkat.
Bagaimana pun dalam hal ini kerajaan hendaklah memahami masalah rakyat. Janganlah semata-mata kerana kerana hendak tambah wang perbendahraan negara maka rakyat jadi mangsa. Dikikis wang dari saku rakyat. Memang pun rakyat perlu dimangsakan, tetapi jangan melampau sehingga menyusahkan.
Ada beberapa tindakan kerajaan menunjukkan kerajaan begitu terdesak kerana ketiadaan wang dan rakyat dimangsakan sesuka hatinya.
Salah satu ialah mengenai tindakan pihak polis dan Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) yang tiba-tiba jadi iseng menguatkuasakan tindakan menyenaraihitamkan kenderaan yang disaman sehinggakan sukar untuk empunya memperbahari cukai jalan adalah satu tindakan menganiayakan rakyat.
Pelik, sebelum ini kenderaan yang disaman ekor tidak disenaraihitamkan. Tetapi mulai April lalu ianya telah disenarai hitamkan. Saman yang tertunggal beberapa tahun sebelum yang diberikan pengecualian tiba-tiba dikenakan tindakan tegas. Sikap tiba-tiba menjadi iseng oleh JPJ dan polis ini menunjukkan keterdesakan kerajaan dalam mencari wang!
Tindakan itu bertentangan dengan slogan Najib Razak Rakyat Didahlukan Pencapaian Diutamakan. Memahami dari seruan Najib itu, PM itu mahu memberikan kesenangan dan keselesaan kepada rakyat disamping para pegawai kerajaan dan agensinya pula berusaha sebaik mungkin mempertingkatkan mutu kerja. Apakah bagi polis dengan menguatkuasakan tindakan itu sebahagian kerja baik mereka?
Kalau polis atau JPJ menyahut seruan Najib ini sudah pasti tindakan menguatkuasakan tindakan menyenarai hitam kenderaan ini tidak dilakukan sewenang-wenangnya. Ataupun kalau hendak dikuatkuasakan haruslah dinotiskan dulu dan tidak melaksanakan undang-undang ikut suka hati dan nafsu saja.
Mungkin kalangan rakyat yang terlibat dengan masalah ini dapat merasakan bagaimana kerajaan khasnya pihak polis dan JPJ menganiaya mereka. Bayangkan berapa seseorang kena bayar kalau mereka ada dua atau tiga saman? Bukankah separuh gaji mereka harus diberikan kepada Polis hanya untuk mendapat cukai jalan baru. Ini tidak adil kerana kesalahan yang ditunding kepada mereka belum pasti lagi betul atau tidak.
Saya baru mendapat tahu hal ini dari beberapa orang rakan yang menghadapi kesulitan untuk memperbaharui cukai jalan masing-masing. Rata-rata mereka mengeluh dan menyatakan kerajaan tidak adil, menyusahkan dan menganiayakan.
Sebelum ini kenderaan yang disaman ekor (saman poerangkap laju) tidak dikenakan tindakan kenderaan disenarai hitamkan. Tuan punya masih boleh memperbaharui kenderaan masing-masing. Hanya saman di sekatan jalan yang ditanda tangani langsung oleh pemandu saja yang dikuatkuasakan. Mana-mana saman demikian kalau tidak dilunasi pihak JPJ tidak akan memperaharui cukai jalan melainkan selepas menjelaskan kepada pihak polis.
Rasanya kelonggaran ini ada baiknya dan masih dirasakan tidak begitu menganiayakan rakyat. Manakala saman yang ditandan tangani patutlah kuatkuasakan. Ada alasannya kerana saman yang ditanda tangani itu jelas kenderaan itu melakukan kesalahan. Polis dan pemandu kenderaan itu sendiri dapat mengetahui akan kesalahan mereka.
Berlainan dengan saman ekor, (perangkap laju) di mana polis bersembunyi di dalam semak atau di balik tembok. Di mana tuan punya kenderaan tidak mengetahui apakah dan dimana kesalahan mereka. Selalu terjadi bila mana kenderaan mereka dibawa oleh orang lain. Walaupun pihak polis ada mengeluarkan surat minta penjelasan siapa yang memandu kenderaan tempoh hari, tetapi surat penjelasan itu tidak pratikal.
Adakalanya surat tidak sampai kerana pertukaran alamat. Kalau mengikut prosuder biasa mana-mana saman yang tidak diserahkan sendiri kepada si pesalah ianya tidak boleh dibawa ke mahkamah?
Peraturan atau sistem saman sebegini tidak praktikal sebenarnya. Ia juga lebih kepada menganiaya rakyat. Rata-rata kalau saman ekor ini di bawa ke mahkamah saya rasa mahkamah akan menolaknya. Ada pendapat mengatakan saman ekor ini tidak valid untuk dibicarakan kerana ia tidak menurut peraturan-peratusan mengenai perundangan. Tetapi kerana sikap rakyat kita malas berurusan dengan mahkamah dan ingin mengelekkan berlaku 'kelecean' ke mahkamah menyebabkan mereka terus sahaja membayarnya.
Mungkin baik juga kalau ada sesiapa yang menghadapi kenderaan mereka disenaraihitamkan ekoran tidak melunas saman ini membawanya ke mahkamah. Biar ianya menjadi precedent apakah saman itu valid atau sebaliknya. Persatuan-persatuan penggunan mungkin boleh menguruskan hal ini. Banyak perkara yang berlaku dalam negara ini di mana rakyat diminta bayaran sedangkan ianya tidak sepatutnya.
Berbalik kepada tindakan iseng Polis menyenaraihitamkan kenderaan yang disaman ekor kerana tidak melunasi kompoun itu perlulah dikaji balik. Musim ini musim 'kaat' - musim rakyat sesak janganlah menyusahkan lagi rakyat dengan kesusahan-kesusahan baru. Harapnya Perdana Menteri peka dan prihatin mengenai hal ini ada kemungkinan juga tindakan iseng Polis ini sebahagian dari ciri-ciri mensebotajkan dan menterbalikan seruan Najib itu, rakyat hendaklah disusahkan! - mso

