BANDAR TUN RAZAK, 16 FEB: Langkah Kerajaan Pusat menetapkan kadar nisbah hutang negara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada angka 53 peratus merupakan satu tindakan yang berani tetapi membahayakan ekonomi negara, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurutnya, kadar nisbah tersebut tidak boleh melebihi pada kadar 53 peratus itu ditetapkan oleh Menteri Kabinet BN sendiri sekaligus menunjukkan kerajaan sendiri menyedari kadar peningkatan hutang negara yang semakin membimbangkan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata demikian ketika sidang media Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Wilayah Persekutuan tengahari tadi.
Jelasnya, penetapan kadar nisbah sama juga dibuat ketika mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia.
“Saya rasa angka itu ditetapkan oleh Kabinet BN yang mengatakan tidak boleh lebih 53 peratus, menunjukkan BN sendiri rasa lebih pada itu adalah dalam keadaan yang bahaya.
“Ini menunjukan kadar 53 peratus itu BN berani dalam keadaan yang bahaya dan saya rasa masa Tun Dr Mahathir pun menetapkan angka tersebut.
“(Sekarang) untuk beliau(Mahathir) mengatakan ini adalah angka yang tidak betul, saya ingat dia sudah lupa dengan keputusan yang dia sudah buat,” kata Abdul Khalid yang sebelum itu disahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang dimenangi pada 2008 itu.
Dr Mahathir dalam satu kenyataannya kepada media sebelum ini mengatakan nisbah hutang negara kepada KDNK pada tahap 53 peratus yang dialami negara pada masa ini masih menunjukkan ekonomi yang sihat.
Terdahulu, dalam Majlis Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di sini seramai hampir 5,000 hadirin membanjiri padang bola sepak Taman Bukit Anggerik Cheras.
Turut kelihatan dalam majlis tersebut, dramatis terkenal tanah air, Abu Bakar Juah yang sempat mendapatkan autograf Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim di poster kalendar tahun 1999 koleksi miliknya yang memaparkan peristiwa tercetusnya gelombang reformasi tahun sebelumnya.
Selain itu turut memeriah majlis tersebut ialah Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohamad.
http://www.selangorku.com/?p=23021
16 February 2013
Ekonomi Negara Dalam Bahaya, Hutang KDNK 53%
27 October 2012
Timbunan hutang negara RM576 bilion melebihi had
KUALA LUMPUR 27 oKT: Timbunan hutang kerajaan mencecah 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jika jaminan hutang kerajaan diambil kira, kata bekas Pengerusi KEADILAN Terengganu, Abdul Rahman Yusof.
Beliau berkata, hutang negara ialah RM476 billion bersamaan 54 peratus daripada KDNK atau 55 peratus daripada Keluaran Negara Kasar (KNK) pada hujung 2011.
“Jaminan hutang yang diberi kerajaan mencecah lebih RM100 bilion. Jika ia diambil kira, hutang dan jaminan kerajaan melebihi 65 peratus daripada KDNK,” katanya kepada Suara Keadilan.
Abdul Rahman berkata, Malaysia mengalami belanjawan defisit 15 tahun berturut-turut sejak Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1998.
Ketika Anwar masih Menteri Kewangan antara 1991-1997, katanya, belanjawan sentiasa seimbang atau mencatat lebihan manakala purata pertumbuhan ekonomi ialah 8.7 peratus.
Sedangkan, beliau berkata, purata pertumbuhan ekonomi antara 2000 hingga 2012 hanya 1.22 peratus dengan kadar pertumbuhan paling tinggi hanya 5.9 peratus dan terendah (-7.6 peratus)
“Prestasi Menteri Kewangan sekarang (2009–2011) hanya mencatat purata pertumbuhan ekonomi 3.2 peratus.
“Jika dimasukkan 1998 – tahun Anwar dipecat, purata pertumbuhan ekonomi 1991-1998 ialah 7.0 peratus,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=38510
20 April 2012
19 February 2012
Hutang kerajaan Malaysia semakin parah
KUALA LUMPUR, 18 FEB – Hutang kerajaan UMNO-Barisan Nasional sekarang adalalh sebanyak RM456 billion, tidak termasuk RM96.9 billion “liabiliti luar jangkaan”.
Sehingga kini, hutang kerajaan persekutuan telah mencecah 53.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 53.1 peratus pada tahun 2010 dan 44.6 peratus pada tahun 2006.
Pertambahan hutang – yang terpaksa dibayar oleh generasi akan datang tanpa mengira kerajaan mana yang memerintah – semakin parah.
Menurutnya, apa yang lebih membimbangkan ialah kewangan kerajaan “di luar lembaran imbangan” tidak pula dilaporkan sebagai hutang kerajaan persekutuan, seolah-olah mahu menyembunyikan kedudukan hutang yang semakin tenat.
“Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan semakin mengeluarkan kertas hutang melalui badan-badan berkanun dan entiti dikorporatkan. Pinjaman ini adalah mendapatkan dengan jaminan yang disediakan oleh kerajaan, tetapi tidak ditunjukkan sebagai pinjaman kerajaan persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut pada tahun 2010, aktiviti pembiayaan “di luar lembaran imbangan” telah mencapai rekod tertinggi, iaitu RM96.9 bilion pada tahun 2010, meningkat 14.9 peratus daripada RM84.3 bilion pada tahun 2009.
“Ini adalah pinjaman yang telah diambil dengan jaminan kerajaan, di mana kerajaan bertanggungjawab untuk membayar sekiranya peminjam gagal untuk menyelesaikan hutang.
“Sebagai contoh, jika Yayasan Wilayah Persekutuan tidak dapat membayar balik yang dicadangkan RM300 juta pinjaman daripada KWSP untuk menyediakan pembiayaan untuk pembeli rumah kos rendah, maka kerajaanlah perlu mengambil langkah untuk membuat bayaran RM300 juta kepada KWSP,” tambah beliau.
Oleh yang demikian, walau pun pinjaman ini tidak diambil oleh kerajaan, sebenarnya kerajaanlah dan ini dikenali sebagai “liabiliti luar jangka”, ujarnya.
Contoh-contoh lain di mana kerajaan UMNO-BN gagal menangani masalah hutang:
* PTPTN dan Syarikat Prasarana Negara Bhd masing-masing berhutang RM17.0 bilion (17.5 peratus) dan RM9.1 bilion (9.4 peratus); dan kedua-duanya telah dikritik oleh Ketua Audit Negara untuk pengurusan kewangan mereka yang lemah dan ketidakmampuan mereka untuk membayar balik pinjaman.
* Syarikat Penerbangan Malaysia Bhd (RM7.0 bilion) yang ditubuhkan untuk menyelamatkan Malaysia Airlines (MAS), 1MDB (RM5.0 bilion) yang kemudiannya meminjamkan hampir semua wang kepada syarikat asing yang dipersoalkan kredibilitinya, iaitu PetroSaudi International Limited, dan SilterraBhd (RM1.0 bilion) yang telah membuat kerugian berjumlah RM2 bilion sehingga hari ini.
“Apa yang juga menarik adalah fakta bahawa pinjaman Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang dimiliki oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary juga menerima jaminan kerajaan. Hutang dijamin kerajaan ini juga telah meningkat dari RM715 juta pada 2009 kepada RM1.275 bilion pada 2010.
“Malaysia tidak perlu menunggu untuk krisis kewangan seperti yang berlaku di Greece sebelum cuba untuk membuat reformasi kewangan sektor awam. Dengan kadar hutang yang semakin meningkat, negara kita sedang menjunam ke arah bencana kewangan,” tambah beliau.
Had hutang tidak dipedulikan kerajaan UMNO-BN
Tentang kewujudan undang-undang had pinjaman kerajaan persekutuan kerana ia tidak dipedulikan dan dilanggar sesuka harti oleh kerajaan UMNO-BN.
Menurutnya, Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pembiayaan Kerajaan 1983 telah menetapkan bahawa had hutang kerajaan persekutuan berbanding dengan KDNK adalah 55 peratus, sebagaimana yang ditentukan oleh Kementerian Kewangan.
Katanya, “siling pinjaman berkanun” sebenarnya telah dinaikkan beberapa kali oleh kerajaan UMNO-BN sepanjang dekad yang lalu untuk “menghalalkan” tahap hutang kerajaan persekutuan yang telah meningkat pada yang lebih cepat kadar berbanding KDNK Malaysia.
“Siling pinjaman berkanun 55 peratus hanya berkuat kuasa pada Julai 2009 dengan perintah Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Sebelum had disemak, had itu ditetapkan pada 45 peratus pada Jun 2008, hampir 13 bulan selepas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Md Yakcop,” ujarnya.
Lima tahun sebelum itu, had itu dinaikan kepada 40 peratus pada April 2003 oleh Menteri Kewangan II ketika itu Datuk Seri Jamaludin Jarjis.Pua menjelaskan, dalam masa enam tahun sahaja, siling pinjaman berkanun telah dinaikkan sebanyak 15 peratus daripada KDNK.
“Soalnya ialah jika siling berulang kali dinaikan dengan sesuka hati, mengapa kerajaan perlu menetapkan had pada mulanya?
“Kerajaan-kerajaan seluruh dunia, terutama di negara-negara maju seperti United Kingdom dan Jerman, kini telah mengubah undang-undang mereka untuk memastikan hutang dan liabiliti luar jangka akan dimasukkan ke dalam penyata kewangan kerajaan untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti kewangan.
“Ini adalah untuk mengelakkan krisis kewangan yang telah menyelubungi Eropah 2 tahun yang lalu,” katanya.
http://pkrl.blogspot.com/2012/02/hutang-kerajaan-malaysia-tahap-parah.html
18 October 2011
Hutang negara mungkin cecah RM1 trillion
Sekiranya hutang kerajaan persekutuan berkembang pada kadar RM50 bilion setahun, ia boleh mencecah RM1 trilion menjelang tahun 2020, kata badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA).
Senario yang menggerunkan itu dikemukakan semasa kajian REFSA mengenai Bajet 2012, yang memberi amaran bahawa impian menuju Wawasan 2020 boleh "berkecai" melainkan jika kerajaan berhemah dalam perbelanjaan kewangannya.
Defisit semasa negara berada pada RM437 bilion, yang menurut REFSA adalahlebih dua kali ganda bajet defisit RM217 bilion yang dilaporkan pada tahun 2004.
"Dengan kata lain, kerajaan telah menambahkan lebih banyak hutang pada enam setengah yang lalu sejak tahun 2004 berbanding dengan 47 tahun selepas Merdeka," petik laporannya itu.
Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.
Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.
"Ini adalah 1 dengan 12 sifar di belakang - RM1, 000000000000," petik laporan itu.
Dengan mengandaikan kadar faedah sebanyak lima peratus setahun, laporan REFSA berkata, bayaran faedah sahaja akan menjadi RM50 bilion setahun.
"Ia adalah hampir keseluruhan kos projek MRT. Kami belum lagi memikirkan tentang bayaran balik hutang itu lagi, "kata laporan itu lagi.
Malaysiakini
16 October 2011
Kerajaan Pusat Hutang Kelantan RM9.4 Bilion
KOTA BHARU–Putrajaya perlu menjelaskan hutang tertunggak RM9.4 bilion kepada Kelantan, mencakupi hasil royalti minyak dan pampasan tanah yang diambil untuk dijadikan kawasan Taman Negara.
Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa berkata, anggaran hutang merangkumi RM7 bilion bagi hasil royalti minyak dan RM2.4 bilion bagi pampasan kawasan Taman Negara.
"Jumlah itu besar dan Kerajaan Pusat sepatutnya bertanggungjawab dengan perkara ini," katanya semasa menjadi berucap di Majlis Forum Rakyat di Balai Islam di sini, yang turut dihadiri Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.
Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, tuntutan di Taman Negara melibatkan kawasan 1,043 kilometer persegi termasuk kawasan hutan.
"Berdasarkan kajian awal tuntutan itu ada asas, berikutan kerajaan kehilangan nilai sewa ekonomi terlepas kerana hutan balak daripada hutan kekal tidak dibenarkan dengan nilai bersih terkini iaitu RM1.2 bilion.
"Asas kedua adalah pulangan terlepas bagi menerokai sektor perladangan kelapa sawit dengan nilai bersih terkini RM585 juta seluruh kawasan.
"Manakala, bagi komoditi getah untuk lateks dan balak pula, kerajaan kehilangan yang dianggarkan bernilai RM353 juta, manakala ladang getah hutan kini bernilai RM242 juta," katanya di hadapan 1,000 penyokong Pakatan Rakyat.
Sumber
02 December 2010
Perangkaan hutang negara: Donald, MP berbalah
Ahli parlimen Pakatan Rakyat dan kerajaan sekali lagi bertikam lidah di Dewan Rakyat hari ini berhubung perangkaan yang tidak konsisten yang dibekalkan semasa jawapan daripada kementerian-kementerian terlibat mengenai hutang negara.Ketika menjawab soalan daripada Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang), Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim (kanan) berkata hutang negara adalah wang yang dihutang negara kepada negara asing, dengan lain perkataan adalah hutang asing.
"Hutang asing negara menunjukkan trend yang menurun. Pada September 2010, hutang asing jatuh kepada RM227.5 billion," kata Lim.Bagaiamanpun, Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) bangkit dan berkata berdasarkan laporan unjuran perbelanjaan 2011 yang diedarkan kepada ahli parlimen, angka yang diberikan tidak sama.
"Menurut laporan itu, jumlah hutang kerajaan persekutuan yang belum dibayar adalah RM446.7 bilion," katanya sambil menambah jawapan timbalan menteri itu cuba memperdayakan Dewan Rakyat.
Azan berkeras hutang negara membawa maksud jumlah keseluruhan hutang kerajaan persekutuan dan tidak terhad kepada hutang asing sahaja.
Lim, sebaliknya menafikan perkara itu dan berkata definisi Azan adalah silap dan menjelaskan bahawa hutang negara adalah wang yang dihutang kepada negara asing dan bukannya hutang kerajaan persekutuan seperti yang dibacakan oleh Azan yang juga memuatkan hutang domestik atau dalam negara.
"Baca la, baca la, angka awak semua salah,” kata timbalan menteri itu.
Pada sidang akhbar di parlimen lobi kemudiannya, Azan berkata maklumat hutang negara yang diberikan oleh kerajaan sangat menyeleweng.
"Maklumat hutang negara sangat menyeleweng, bahkan 100 peratus jauh lebih rendah," katanya.
24 October 2010
Mampukah Malaysia selesaikan hutang RM101.65 bilion dalam 3 tahun?
Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya.
Nilai yang mencakupi 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri ini tidak termasuk hutang negeri asing yang bernilai RM6.2 bilion dan pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM7.2 bilion, juga perlu diselesaikan dalam tempoh tersebut.
Di samping itu, menurut perangkaan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011, KWSP menjadi "khazanah" terbesar untuk kerajaan persekutuan, apabila membekalkan pinjaman sejumlah RM56.59 bilion kepada kerajaan persekutuan dan GLC (Syarikat berkaitan kerajaan). Badan-badan ini masih berhutang RM48.36 bilion daripada KWSP sehingga hari ini.
Seandainya jumlah ini ditambah pula dengan RM93.11 bilion yang dilaburkan oleh KWSP ke atas bon kerajaan, maka jumlah dua angka ini mencakupi 40% daripada jumlah dana yang ada dalam KWSP. Dengan kata lain, KWSP menggunakan 40% wang pencen yang disimpan oleh pekerja Malaysia untuk menampung perbelanjaaan kerajaan persekutuan atau GLC.
Hutang RM101.6 bilion perlu dijelaskan
Perhitungan kasar MerdekaReview mendapati hutang sekuriti kerajaan Malaysia dan Sukuk yang sampai ke tarikh tebusannya antara tahun 2010 hingga 2012 berjumlah RM101.65000 bilion, iaitu 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri. Jumlah hutang dalam negeri telah mencecah paras RM348.6 bilion pada hujung tahun 2009.
Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011, hutang Bil Perbendaharaan yang bernilai RM10 bilion akan tiba tarikh tebusannya pada tahun ini, namun kerajaan persekutuan masih belum menjelaskan RM4.32 bilion daripadanya. Selain itu, hutang sukuk yang bernilai RM5.0 bilion yang harus dijelaskan pada tahun 2012, masih dihutang RM4.9 sehingga kini.
Sementara itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia bernilai RM92.4 bilion yang belum dijelaskan akan sampai ke tarikh tebusannya, mulai tahun ini hinggalah tahun 2012. Apa yang menarik, bon yang bakal sampai tarikh tebusan ini diterbit oleh kerajaan Malaysia antara tahun 2001 hingga 2009, dan melibatkan angka yang besar.
Akibat daripada pembaziran 10 tahun lalu
Ia sebenarnya mencerminkan pembaziran dan kekurangan disiplin ketika kerajaan mengendalikan kewangan negara sejak kemelut ekonomi pada tahun 1997. Sepanjang 10 tahun yang lalu, kerajaan persekutuan tidak bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit dan hutang yang dipikul, menjurus kepada akibat hari ini, di mana kita berada pada saat genting untuk membayar hutang dalam tiga tahun ini.
Kerajaan Malaysia sebenarnya berpeluang untuk mencapai keseimbangan belanjawannya dalam tempoh 10 tahun yang lalu, namun kerajaan masih memilih untuk mengekalkan defisit pada paras 4.3% secara puratanya. Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan melonjak secara mendadak selepas kemelut ekonomi Asia, dari RM90 bilion (atau 32% berbanding KDNK) pada tahun 1997, kepada RM306.4 bilion (atau 41.5% berbanding KDNK) pada tahun 2008.
Pada ketika angka defisit dan jumlah hutang semakin melambung, kerajaan mengemukakan pakej ransangan ekonominya dengan RM67.0 bilion. Defisit kewangan terus melonjak dari 4.8% pada tahun 2008 kepada 7.4% pada tahun 2009. Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan berkembang dari RM306.4 bilion (atau 41.5% berbanding KDNK) pada tahun 2008, kepada RM362.5 bilion (atau 52.4% berbanding KDNK) pada tahun 2009.
Menurut seorang juruaudit, kerajaan Malaysia agak bermasalah dalam disiplinnya ketika mengendalikan kewangan. Pada hakikatnya, kerajaan Malaysia berupaya untuk menyeimbangkan belanjawannya pada ketika harga pasaran antarabangsa minyak melonjak. Namun, kerajaan persekutuan telah terlepas peluang keemasan ini.
Ekonomi Malaysia telah menurun, jikalau dibandingkan dengan beberapa tahun yang lalu. Kini, kerajaan bukan sahaja berdepan dengan masalah kekurangan pendapatan, malah perlu mengekalkan perbelanjaan yang besar untuk merangsang ekonomi. Jadi, adalah sukar untuk kerajaan mencapai matlamat menyeimbangkan belanjawan.
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.

