Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya.
Nilai yang mencakupi 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri ini tidak termasuk hutang negeri asing yang bernilai RM6.2 bilion dan pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM7.2 bilion, juga perlu diselesaikan dalam tempoh tersebut.
Di samping itu, menurut perangkaan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011, KWSP menjadi "khazanah" terbesar untuk kerajaan persekutuan, apabila membekalkan pinjaman sejumlah RM56.59 bilion kepada kerajaan persekutuan dan GLC (Syarikat berkaitan kerajaan). Badan-badan ini masih berhutang RM48.36 bilion daripada KWSP sehingga hari ini.
Seandainya jumlah ini ditambah pula dengan RM93.11 bilion yang dilaburkan oleh KWSP ke atas bon kerajaan, maka jumlah dua angka ini mencakupi 40% daripada jumlah dana yang ada dalam KWSP. Dengan kata lain, KWSP menggunakan 40% wang pencen yang disimpan oleh pekerja Malaysia untuk menampung perbelanjaaan kerajaan persekutuan atau GLC.
Hutang RM101.6 bilion perlu dijelaskan
Perhitungan kasar MerdekaReview mendapati hutang sekuriti kerajaan Malaysia dan Sukuk yang sampai ke tarikh tebusannya antara tahun 2010 hingga 2012 berjumlah RM101.65000 bilion, iaitu 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri. Jumlah hutang dalam negeri telah mencecah paras RM348.6 bilion pada hujung tahun 2009.
Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2011, hutang Bil Perbendaharaan yang bernilai RM10 bilion akan tiba tarikh tebusannya pada tahun ini, namun kerajaan persekutuan masih belum menjelaskan RM4.32 bilion daripadanya. Selain itu, hutang sukuk yang bernilai RM5.0 bilion yang harus dijelaskan pada tahun 2012, masih dihutang RM4.9 sehingga kini.
Sementara itu, Sekuriti Kerajaan Malaysia bernilai RM92.4 bilion yang belum dijelaskan akan sampai ke tarikh tebusannya, mulai tahun ini hinggalah tahun 2012. Apa yang menarik, bon yang bakal sampai tarikh tebusan ini diterbit oleh kerajaan Malaysia antara tahun 2001 hingga 2009, dan melibatkan angka yang besar.
Akibat daripada pembaziran 10 tahun lalu
Ia sebenarnya mencerminkan pembaziran dan kekurangan disiplin ketika kerajaan mengendalikan kewangan negara sejak kemelut ekonomi pada tahun 1997. Sepanjang 10 tahun yang lalu, kerajaan persekutuan tidak bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit dan hutang yang dipikul, menjurus kepada akibat hari ini, di mana kita berada pada saat genting untuk membayar hutang dalam tiga tahun ini.
Kerajaan Malaysia sebenarnya berpeluang untuk mencapai keseimbangan belanjawannya dalam tempoh 10 tahun yang lalu, namun kerajaan masih memilih untuk mengekalkan defisit pada paras 4.3% secara puratanya. Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan melonjak secara mendadak selepas kemelut ekonomi Asia, dari RM90 bilion (atau 32% berbanding KDNK) pada tahun 1997, kepada RM306.4 bilion (atau 41.5% berbanding KDNK) pada tahun 2008.
Pada ketika angka defisit dan jumlah hutang semakin melambung, kerajaan mengemukakan pakej ransangan ekonominya dengan RM67.0 bilion. Defisit kewangan terus melonjak dari 4.8% pada tahun 2008 kepada 7.4% pada tahun 2009. Pada masa yang sama, hutang kerajaan persekutuan berkembang dari RM306.4 bilion (atau 41.5% berbanding KDNK) pada tahun 2008, kepada RM362.5 bilion (atau 52.4% berbanding KDNK) pada tahun 2009.
Menurut seorang juruaudit, kerajaan Malaysia agak bermasalah dalam disiplinnya ketika mengendalikan kewangan. Pada hakikatnya, kerajaan Malaysia berupaya untuk menyeimbangkan belanjawannya pada ketika harga pasaran antarabangsa minyak melonjak. Namun, kerajaan persekutuan telah terlepas peluang keemasan ini.
Ekonomi Malaysia telah menurun, jikalau dibandingkan dengan beberapa tahun yang lalu. Kini, kerajaan bukan sahaja berdepan dengan masalah kekurangan pendapatan, malah perlu mengekalkan perbelanjaan yang besar untuk merangsang ekonomi. Jadi, adalah sukar untuk kerajaan mencapai matlamat menyeimbangkan belanjawan.
*Neo Chee Hua ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal.
24 October 2010
Mampukah Malaysia selesaikan hutang RM101.65 bilion dalam 3 tahun?
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment