Dengan musim hujan mutakhir ini, sukar bagi kerajaan Pusat untuk meyakinkan rakyat bahawa negeri Selangor akan bakal berdepan dengan krisis bekalan air. Cukup ironis, namun itulah sajian media BN saban hari kepada rakyat.
Memang benar. Yang dibicara bukannya air mentah atau air dipermukaan bumi yang dianugerahkan Allah melimpah ruah dalam bentuk hujan. Simpanan lebih besar lagi dari 7 empangan Selangor adalah air bawah tanah (ground water) yang jauh lebih lumayan yang juga belum dimanafaatkan.
Mengapa kerajaan Pusat menganggu dan mencabar kedamaian hidup pengguna dan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dengan isu ini? Mengapa mereka mahu cetus rasa takut, gundah-gulana serta keluh kesah rakyat? Mengapa mereka berhajat bagi menerbitkan rasa krisis di negeri di bawah Pakatan Rakyat ini?
Sekali lagi AIR cuba dijadi modal politik dan isu untuk menjatuhkan kredibiliti dan wibawa kepimpinan Pakatan Rakyat di bawah menteri besarnya. Berdepan dengan pelbagai kebejatan urus-tadbir yang serba dipertikaikan, khasnya pendedahan pelbagai kes rasuah dan salahguna kuasa elit pemerintah, kerajaan BN sememang mahu mengalehkan pandangan rakyat.
Apakah pemimin Umno-BN terlupa bahawa air dan penswastaannya di seluruh negara, khasnya di Selangor, adalah ‘jenayah’ dan ‘dosa’ yang belum lagi mereka tebus dan bertaubat? Ceritanya terlalu panjang untuk diziarahi kembali.
Tegasnya, umum sedar bahawa penswastaan air yang dilakukan dalam zaman Tun Mahathir gagal. Seperti mana gagalnya kebanyakan penswastaan utiliti dan perkhidmatan awam yang dulunya dikendali oleh kerajaan, kegagalan penswastaan air, cuba dirungkaikan ‘selamatkan’ dengan satu dasar bernama “Penstrukturan Semula Industri Air”. Terlalu banyak yang diselamatkan atau ‘bailout’.
Setelah hampir enam tahun selepas penubuhan Suruhanjaya Perkihdmatan Air Negara (SPAN, 2006) dan Akta Perkhidmatan Industri Air (WSIA, 2006) diperkenalkan bersama dengan pengenalan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB, 2006) bagi melaksanakan matlamat ‘penstrukturan’ dan ‘migrasi’ dari ‘regim konsesi’ ke ‘regim pajakan’, kerajaan Persekutuan masih gagal untuk menyempurnakan dasar ini untuk negeri Selangor. Mengapa?
Negeri-negeri lain termasuk negeri Pakatan seperti Pulau Pinang dan Kedah turut berjaya dilakukan ‘migrasi’ dan pemindahan asset-aset negeri kepada PAAB dan berakhir dengan Kementerian Pusat memberi hak pajakan bagi ‘merawat dan mengurus pengedaran’ air samada kepada kerajaan negeri atau pihak swasta. Contohnya, Johor pihak swasta yang dapat. Melaka dan Negeri Sembilan diberikan kepada kerajaan negeri.
Isunya ialah mengapa dalam kes negeri Selangor, kerajaan Persekutuan mengambil sikap yang berbeza? Mengapa kerajaan Persekutuan tidak mahu membuat keputusan untuk memberikan lesen pajakan kepada salah satu entiti ini: Kerajaan Negeri atau Pihak Swasta?
Nah, inilah isu besarnya yang kerajaan Pusat cuba mengelak untuk buat keputusan! Ia sekaligus membayangkan kedudukan serba–salah kerajaan Pusat dan khasnya Menteri KTTHA itu. Tidak sukar untuk membuat telahan mengapa sedemikian jadinya. Nak bagi kat swasta akan dituduh memberi kepada kroni yang telah jelas gagal, antara lainya; mengurangkan NRW atau “Air Tak Berfaedah” hasil kebocoran paip dan sebagainya serta juga gagal memenuhi beberapa terma konsesi tentang perolehan atau ‘procurement’.
Untuk diberikan kepada kerajaan negeri pula, jelas bertentangan dengan kepentingan membela kroni yang sememang hidup dengan ‘pemberian kontrak dan konsesi’ seperti ini.
Umum juga tahu bahawa sudah hampir 4 tahun kerajaan negeri mengemukakan pelbagai cadangan yang terbaik bagi menangani kemelut air di Selangor akibat air penswastaan air yang ‘menswastakan sektor yang untung’ yakni ‘rawatan air’ dan ‘merakyatkan’ sektor yang rugi yakni ‘pengedaran’.
Umum masih ingat tabiat ‘kecurangan dan pengkhianatan’ ini yang menyaksikan bagaimana Jabatan Bekalan Air Selangor (JBAS) pertama-tama diswasta aspek rawatan kepada Puncak Niaga, Abbas dan Splash. Sementara itu ‘aspek pengedaran’ yang ‘tak menguntungkan’ dikekalkan dengan JBAS yang kemudian dikorporatkan menjadi Perkhidmatan Uruan Air Selangor (PUAS) dan akhirnya juga diswastakan menjadi SYABAS (2005).
Syabas dalam pada itu menanggung kerugian sebanyak hampir RM1 bilion atas kos pembanguan (Capex dan juga Opex) sementara pihak pemilik konsesi mengaut keuntungan tetapi masih juga memerlukan hutang bagi kegiatan kos pembangunan atau Capex mereka.
Cerita untung dan rugi dan banyak mana dividen yang telah diagihkan serta hutang yang ditanggung oleh pemilik konsesi air Selangor ini, sarat di bawa dalam media, hal tentang gaji pengerusi, pengarah-penagarah dan kemewahan pejabat dan kereta dan sebagainya. Berita tentang dakwa-dakwi mahkamah satu yang cukup lumrah. Majalah ‘The Edge’ yang terkemuka itu sahaja telah banyak menjadikan isu ‘Air Selangor’ ‘lead story’ mereka beberapa kali. Jenuh dan bosan rakyat membacanya.
Bagi menggemparkan rakyat dan pengguna terkini, Syabas dan sekutu-sekutu NGOnya mendedahkan bahawa keperluan terkini rakyat Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur sudah meningkat ke paras 4329 MLD (juta liter sehari) sementara keupayaan kesemua pihak konsesi rawatan air hanya mampu membekalkan maksimum sebanyak 4371 MLD termasuk, kononnya, loji di empangan Sungai Labu yang baru.
Ini macam pendekatan “Shock Doctrine’ buku karangan Naomi Klien bagi mengejutkan lawan dan seteru politik. Cumanya, Menteri Besar Selangor ini bukan calang-calang lawan yang boleh dijatuhkan begitu sahaja. Bukankah beliau yang merancang strategi menggunakan ‘shock doctrine’ melalukan ‘morning raid’ di Bursa ‘London Stock Exchange’ bagi mendapatkan 51% saham untuk PNB ke atas syarikat gergasi British Kumpulan Guthrie dalam tahun 1981?
Lalu belum sempat kejutan tentang krisis air itu dapat dirasakan oleh rakyat Selangor, MB ini telah menghendap balas dengan ‘pengistiharan mengambilan pengurusan Syabas’. Mengikut perjanjian konsesi penswataan air, kerajaan negeri melalui peruntukan klausa 32, berhak mengambil balik pengurusan pengedaran air sekiranya pihak konsesi gagal memenuhi dan komplian kepada terma-terma perjanjian.
Persoalan samada kerajaan negeri mampu mengambil alih secara teknikal pengurusan pengedaran air yang selama hari ini dikendalikan oleh Syabas menjadi isu kedua. Ramai kakitanagn Syabas dengarnya bersedia berkhidmat dengan kerajaan negeri. Pokoknya, kerajaan negeri punya kuasa yang termeterai dalam peruntukan perjanjian konsesi.
Nah, masakan tak gelabah pihak Syabas. Hampir nak terkencing pengerusinya agaknya. Penulisan ringkas ini tidak berupaya menyenaraikan pelbagai aspek polemik dan pertikaian isu air ini. Ini bukan pentas dan forumnya. Cumanya nak dikatakan bahawa pihak kerajaan Umno-BN tersasar dalam membuat congakan dan percaturannya meleset.
Kini kerajaan negeri mencabar Syabas bahawa mereka akan menghantar satu kumpulan profesional untuk meneliti operasi harian Syarikat Bekalan Air Selangor itu, bagi mengenalpasti keadaan semasa air terawat di negeri ini.
Putar-belit isu Langat 2 dalam menggarap isu ‘krisis kerkurangan air’ di Selangor ini, lebih menampakkan kebobrokan dan pengkhianatan Umno-BN kepad rakyat. Projek yang menelan RM8.65 bilion seluruhnya itu, pada asasnya adalah untuk menangani bekalan air mentah (dan juga rawatan kemudiannya), sebagai projek perpindahan antara negeri yakni bekalan dari Pahang. Isu di sini bukan bekalan air mentah! Kenapa nak belanja sampai RM8 bilion?!
Tentunya lebih banyak tandatanya dan persoalan yang menerjah pemikiran rakyat. Bingung rakyat. Kenapa kerajaan Persekutuan mahu menambah statistik hutang yang sudah mencecah RM456.3 bilion itu? Lebih penting lagi, apakah itu prioritinya?
Paling memalukan terkini adalah penubuhan sebuah jawatankuasa Kabinet bagi menangani ‘krisis air’ ini. Lebih ‘aib lagi adalah keanggotaannya! Sudahlah TPM yang mempengerusikannya, anggota macam Menteri Pertanian itu takpayahlah. Menteri Wilayah itu menasabah juga sebab menyangkut kepentingan rakyatnya. Tetapi Menteri Senator di JPM itu buat apa dimasukkan juga kerana kalaulah untuk ‘power’ penyampaian power-pointnya itu, boleh di koop kemudian sahaja.
Umum terus bertanya perwakilan kerajaan negeri Selangor dan pakar-akar air dari pihak NGO yang bi-partisan dan juga pihak profesional kenapa tak ada?
Kesilapan-kesilapan maha besar kerajaan Umno-BN dihujung-hujung parlimen ke-12 ini semakin terdedah dan terserlah. Apakah begitu nasibnya di saat nazak pemerintahan ini, yang telah terlalu lama berkuasa – lebih 5 dekad!. Cukuplah!
----------------------------------------------------------------
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.
21 July 2012
Krisis air Selangor di musim hujan?
17 March 2012
Potong Jari Laa Kalau Hasan Jati Berani...
SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad mengundang bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali untuk berdebat mengenai tuntutan ilmu dan amanah dipertanggungjawabkan.
Menurutnya, undangan tersebut, antara lain, akan menjawab pelbagai tuduhan dilemparkan Hasan terhadapnya, termasuk sebagai parasit dalam parti.
“Jika beliau berwibawa, boleh tampil berkongsi pentas bersama saya, sama ada dalam bentuk wacana atau debat.
“Saya yakin beliau akan menyambut undangan saya memandangkan beliau bekas ahli dan faham isu ini.
“Saya berpendapat Sinar Harian mampu menganjurkan sesi tersebut dengan jayanya dalam rangka membudayakan politik berpengetahuan dan politik bersih serta murni,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dr Dzulkefly turut menafikan dakwaan Hasan bahawa beliau adalah parasit dalam Pas.
“Saya terkejut dengan tuduhannya itu. Hasan berhak menubuhkan apa sahaja pertubuhan, tetapi akhir-akhir ini banyak tuduhan, antaranya, saya bertanggungjawab mengubah perkataan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan.
“Perkara itu sebenarnya diusulkan Hasan dan muktamar meluluskan gagasan Negara Islam. Hasan juga ada menyertai siri perbahasan sewaktu dalam Jawatankuasa Pas Pusat serta merumuskan Dokumen Negara Berkebajikan,” katanya.
Beliau mendakwa, Hasan memutar-belitkan kenyataannya mengenai pelantikan seorang bukan Islam sebagai pimpinan kanan parti setelah Pas menubuhkan Dewan Perhimpunan Penyokong Pas, sama seperti dilakukan Parti Ikhwan Muslimin di Mesir yang melantik seorang Kristian Koptik sebagai presiden parti.
-sinarharian-
15 March 2012
Batal SBPA: Dari mana dapat RM3.4 juta?
Pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) dilihat akan melebarkan defisit belanjawan negara apabila penambahan sebanyak RM3.4 juta diperuntukkan bagi skim baru itu.
Ini kerana peruntukan tersebut tidak terkandung dalam Bajet 2012, dan juga tiada sebarang bajet tambahan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Justeru, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Dzulkefly Ahmad, mempersoalkan dari mana sejumlah RM3.4 juta itu diambil bagi penambahbaikan SSM bagi menggantikan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
"Ketika kerajaan ingin melaksanakan SBPA, sejumlah RM2.6 bilion diperuntukkan bagi tujuan tersebut. Apabila dibatalkan SBPA dengan penambahbaikkan SSM, kerajaan memerlukan RM6 bilion. Dalam erti kata lain dari mana sejumlah RM3.4 juta itu diambil sedangkan tiada bajet tambahan dibentangkan Perdana Menteri?" soal beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Dzulkefly juga mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh melanggar kontrak yang dimeterainya sebelum ini berhubung pelaksanaan skim itu.
Soalnya, apabila kerajaan melanggar kontrak tersebut, di manakah wibawanya sebuah kerajaan dalam menunaikan janji-janjinya kepada rakyat.
Sehubungan itu, beliau meminta Najib memberikan penjelasan berkaitan sejumlah wang yang diperuntukkan bagi tujuan penambahbaikan SSM.
Pada 8 Mac lalu, Najib mengumumkan pembatalan pelaksanaan SBPA setelah mendapat pelbagai reaksi negatif di kalangan Pakatan Rakyat dan kesatuan sekerja.
Pembatalan itu kemudiannya digantikan dengan penambahbaikan SSM.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8817-batal-sbpa-dari-mana-dapat-rm34-juta?utm_source=dlvr.it&utm_medium=twitter
21 June 2011
Siapakah yang diutamakan kerajaan BN akhirnya?
Soalan YB Rembau tentang sebab dan rasional Menteri Kewangan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan Keperluan Rizab Berkanun (Statutory Reserve Requirement-SRR) tidak meyakinkan. Berkebetulan saya juga (Kuala Selangor) menghantar soalan yang sama.
Untuk pengetahuan umum, SRR dan OPR adalah antara ‘kaedah monetari’ yang mampu digunakan oleh sesebuah kerajaan sepertimana hal cukai (taxation) dan subsidi adalah ‘kaedah fiskal’ yang digunakan untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan. Kedua-dua kaedah ini disebutkan sebagai kaedah pengimbang atau ‘stabilising measures’ dalam pengurusan ekonomi dan kewangan Negara.
Pendirian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam menetapkan kenaikan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) kepada 3% dari jumlah deposit bank-bank adalah menasabah difahami. Langkah tersebut adalah untuk menangani atau ‘menyerap’(mop-up) kelebihan kecairan akibat kemasukan dana dari luar.
Namun, langkah menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekaligus adalah sangat dipertikaikan pelbagai pihak sebab kenaikan OPR, yang merupakan ukuran kadar faedah pinjaman perbankan, sekaligus mempengaruhi kenaikan Kadar Pinjaman Dasar atau Base-Lending Rate (BLR).
Jawapan soalan lisan dua hari lalu oleh Timbalan Menteri yang sama , berkenaan sebab-punca inflasi, mendapat pengesahan bahawa punca inflasi di Negara kini, adalah disebabkan oleh “Cost-Push” atau disebabkan kos yang meningkat (akibat kos komoditi dan penarikan balik subsidi) dan bukan “Demand Pull” atau inflasi disebabkan peningkatan permintaan oleh rakyat.
Dengan kata lain, kaedah monteri, bukan kaedah penyelesaian nya secara berkesan, kalau inflasilah isu dan masalah yang hendak ditangai atau di atasi.
Dengan kenaikan OPR dan kemudiannya BLR, kerajaan wajar menyedari bahawa kos pinjaman serentak dengan itu kos menjalankan perniagaan (cost of doing business) juga mengalami kenaikan.
Sejak tahun lalu, kerajaan melalui BNM telah menaikkan OPR sebanyak 4 kali dan pada setiap kali 25 kadar mata asas (or 0.25 pewrcentage point). Dan sekaligus ini menaikkan BLR. Dengan kata lain, kalau seseorang membayar 5% kadar faedah untuk pinjaman rumah setahun lalu, maka kini ia akan mengalami 20% kenaikan dalam kos kadar faedah.
Saya bersedia menerima bahawa pengurusan ekonomi dan kewangan ini bukanlah mudah, namun jelasnya, tindakan BNM, dalam suasana rakyat menanggung kos saran hidup yang terus meningkat, hutang isi-rumah (pinjaman kereta, rumah, kad kredit dsbnya) yang ke tahap RM544 bilion atau 74% KNDK dan ekonomi yang sedang mengalami pemulihan dan pertumbuhan yang belum rancak, khususnya dalam suku pertama tahun ini, maka sikap kerajaan untuk menaikkan lagi OPR hanya akan menggalakkan rakyat untuk ‘menyimpan ‘ atau ‘saving’ dan memalapkan lagi perbelanjaan atau “consumption” untuk memacu “Pertumbuhan”.
Tindakan menaikkan OPR juga dilihat sebagai hanya menguntungkan pihak pengurus dana antarabangsa yang membawa kemasukan dana luar mengambil kesempatan kadar faedah yang tinggi dari rantau lain.
Sudahlah subsidi yang dikatakan ‘candu’ yang menjadi ‘ketagihan’ rakyat ditarik balik atas nama ‘rasionalisasi subsidi’, sekaligus mencetuskan kenaikan kos saran hidup dan inflasi, sementara pihak pemilik konsesi seprti IPP, sector air dan lebuhraya terus mensdapat pembelaan kerajaan, maka apakah kerajaan melalui BNM akan menaikkan lagi OPR dalam masa terdekat ini?
Pokonya rakyat ingin tahu, kepentingan siapakah yang menjadi keutamaan kerajaan BN ini, apabila menentukan polisi-polisi fiskal – cukai dan subsidi dan monetari –OPR dan perlaksanaan dasar-dasar kerajaan yang lain??
Selarilkah dan wajarkah polisi-plisi ini dengan slogan PM Najib –“Mengutamakan Rakyat?
Dr Dzulkefly Ahmad, MP Kuala Selangor
21 hb Jun 2011.
15 June 2011
ETP hanya jana kekayaan atas kertas
Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, ahli Parlimen Lenggong minta PERDANA MENTERI menyatakan:
(a) secara terperinci perkembangan Program ETP Kerajaan, berapa peratuskah pelaksanaannya, dan berapakah jumlah pelaburan serta peluang pekerjaan yang ditawarkan sekarang?
Saya membangkitkan dalam soalan tambahan saya tentang Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sehingga kini hanya mampu ‘menjana kekayaan atas kertas’ dan masih belum menggarap ‘kekangan utama’ atau critical bottle-neck yakni persoalan modal insane atau skilled workforce.
Bernama semalam (14 Jun) hanya melaporkan jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 2 hari lalu, mengumumkan 9 inisiatif baru di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai pelaburan RM2.77 bilion dengan jangkaan kesan Pendapatan Negara Kasar (GNI) RM18.67 bilion serta bakal mewujudkan 36,595 pekerjaan menjelang 2020.
Terdahulu PM telah mengumumkan dalam tempoh yang singkat, iaitu dari Oktober 2010 hinggalah April 2011, 70 projek pelaburan yang berpotensi, didakwa bakal memperolehi jumlah pelaburan RM106.4 bilion, mencipta 298,865 peluang pekerjaan dan jumlah pendapatan penduduk (GNI) sebanyak RM153.83 bilion menjelang tahun 2020.
Mutakhir ini berdepan dengan PRU ke-13 yang boleh sahaja beliau umumkan bila-bila masa, PM semacam terlalu ghairah untuk menyuntik rasa sedap atau feel-good factor di kalangan rakyat Malaysia dan khususnya di kalangan masyarakat bisnes.
Saya ingatkan PM, sementara saya menyanjungi usaha gigih beliau, saya juga ingin mengingatkan PM supaya tidak keterlaluan dalam membuat pengisytiharan propjek-projek EPP-ETP ini kerana ia bakal memberi kesan sebaliknya khususnya pada pasaran saham yang menjana paper wealth atau kekayaan ke atas seperti yang telah hangus dan lesap berjumlah RM52bilion dari pegangan ekuiti saham bumiputera dari jumlah sebelumnya RM54 bilion!
Lebih khusus lagi dan menjadi lebih malang mutakhir ini ialah apabila pengisytiharan demi pengisytiharan yang dibuat Perdana Menteri, apa yang berlaku hanyalah “kekayaan di atas kertas” khususnya kepada syarikat-syarikat yang disebut-sebut, yang masih dalam pelbagai peringkat komitmen bertaraf pelbagai ‘bintang’.
Harga saham GLC atau syarikat besar swasta telah melonjak seandainya namanya tersenarai dalam EPP-ETP.
Malah ada yang dua kali ganda kadar lonjakan harga sahamnya. Antara syarikat yang bermodal kecil yang namanya tersenarai dalam ETP, misalnya Tricubes Bhd yang menanggung kerugian sebelum ini, Karambunai CorpBhd, Petaling Tin Bhd dan lain-lain.
Sebagai contoh, harga saham Tricubes Bhd melonjak dari 5.5 sen pada 18 April kepada 32.5 sen pada 22 April, setelah diumumkan bahawa syarikat ini menerima projek Emel 1Malaysia, bersamaan kadar lonjakan 491%.
Paling mutakhir saham Tricunes merudum kembali ke paras 10.5 sen.
Umum tahu bahawa syarikat ini tergolong dalam syarikat GN3 atau dengan kata lain, mempunya permasalahan hutang yang perlu di’strukturkan’ pembayarannya.
Karambunai Corp Bhd dan Petaling Tin Bhd telah memperolehi satu projek pelaburan Karambunai Integrated Resort City (KIRC) yang bernilai RM9.6 bilion.
Sehingga 29 April, saham Karambunai Corp telah melonjak kepada 22.5 sen, dengan lonjakan 246% berbanding nilainya tahun lalu dan Petaling Tin pula melonjak kepada 39.5 sen, lonjakan 132% berbanding tahun lalu.
Sehingga kini dilaporkan belum ada satu yang lebih konkrit untuk kedua-dua syarikat tersebut membuat apa-apa ‘submission’ kepada Bursa Malaysia.
Namun pengumuman telah mencetus excitement dalam pasaran.
Walau bagaimanapun, kesemua projek berskala besar ini gagal menangani dan tidak dapat menutup kerapuhan ekonomi Malaysia, iaitu permasalahan struktural dalam ekonomi, misalnya kekurangan modal insan berkualiti dan kreatif, pasaran dalam negara tanpa daya saing, sektor awam yang rendah efisiennya, dasar afirmatif yang disalahgunakan yang berasaskan perkauman dan bukan keperluan.
Kesemua ini tidak dijawab dengan ETP-EPP sebagai langkah mitigasi unsur risiko pada jangka sederhana.
Seterusnya, masalah yang terpampang di depan mata adalah bagaimana EPP-ETP ini dilaksanakan, dan bagaimana pula projek-projek ini dijayakan perlaksanaannya dengan delivery yang sarat dengan ‘ketirisan dan kebocoran’ yang berakhir dengan projek menanggung kos projek atau cost-overrun sehingga ke paras jutaan ringgit bahkan billion RM seperti Istana Negara dan Projek Empangan Bakun dan lain-lain.
Rakyat mahu ETP-EPP berjaya, tetapi Najib dan kerajaan BN jangan bertindak dengan perhitungan jangka pendek sekaligus mengorbankan kemaslahatan rakyat pada jangka sederhana-panjang!
Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Malaysia, Kuala Selangor.
15 Jun 2011
17 May 2011
Nama Dr Dzulkefly Akhirnya Dimasukkan Dalam Senarai Pemilihan PAS Pusat
Setelah GB membongkar isu ketiadaan nama YB Dzulkefli Ahmad di dalam senarai 82 orang calon AJK PAS Pusat, akhirnya, pada jam 10.40 malam, nama beliau disenaraikan di dalam lamanweb harakahdaily.
Jumlah AJK yang tercatat akhirnya berubah menjadi 83 orang daripada cetakan asal senarainya 82 orang.
Kesemua media eletronik & internet sebelum ini juga melaporkan 82 orang. Justeru harakahdaily tidak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa mereka tidak mengubah senarai tersebut.
Malah stesyen-stesyen TV pada malam ini juga menyebutkan 82 orang.
Dan amat dikesalkan tiada sebarang kenyataan permohonan maaf samada dari Jawatankuasa Pemilihan atau Harakahdaily sebagai media rasmi yang melaporkan mengenai "kesilapan" berkenaan.
Sikap yang tidak beretika itu melambangkan sikap bodoh sombong dan tidak profesyenal yang tidak sepatutnya ada di kalangan pimpinan PAS dan wartawan/penulis media PAS.
Akhirnya Allah juga yang mendedahkan sepertimana doa kita sebelum ini
Kami akan tetap berdoa kepada Allah s.w.t. untuk mendedahkan setiap konspirasi (jika ada) di dalam pemilihan yang berlansung kerana banyak hal yang terselindung dan tidak telus mengenai pemilihan pimpinan kali ini.
Berikut dilampirkan video dari TVS yang juga melaporkan senarai awal AJK yang bertanding iaitu cuma 82 orang bukan 83 mengikut senarai yang terbaru.
Sumber - Greenboc
Bongkar Konspirasi Menyingkirkan Dr Dzulkefli Dari Pemilihan PAS Pusat
Apakah beliau termasuk diantara calon-calon yang diketepikan oleh "perancangan tertentu" yang menyebabkan 6 pencalonan kawasan-kawasan ditolak?
Saya harap Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustapha Ali (yang tak sepatutnya berada di dalam hal-hal pemilihan parti kali ini) tampil untuk menjawabnya sebelum ahli-ahli akar umbi berpersepsi wujud PENIPUAN di dalam hal pemilihan kali ini.
Dr. Dzulkefli, seorang yang low-profile tidak kisah sangat samada namanya dicalonkan atau tidak, tetapi ahli-ahli PAS tidak mungkin boleh menerima kerja yang tidak profesyenal yang ditunjukkan oleh Jawatankuasa Pemilihan dengan mengenepikan orang yang tidak disukai oleh mereka sesuka hati. Amanah kawasan perlu dijalankan dan disempurna dengan sebaik-sebaiknya.
Rasulullah menegaskan dalam satu hadis, Apabila amanah diabaikan, maka tunggulah masa kehancuran. (HR Bukhari dari Abu Hurai rah RA)
Baca seterusnya di - sini


