KUALA LUMPUR, 22 Nov 2011: Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah menjangkakan Umno- BN bakal hilang penguasaan di tiga negeri dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan datang.
Bercakap baru-baru ini, Dr Abu Hassan yang juga Pensyarah Pengajian Media di Universiti Malaya (UM) berkata, terdapat banyak faktor yang mendorong ke arah jatuhnya tiga kerajaan itu ke tangan pembangkang
Pertamanya, peralihan sokongan golongan anak muda bukan Melayu dan kecenderungan golongan ini untuk mendaftar sebagai pengundi dapat dilihat perkembangan ke arah itu, katanya.
Sementara, kemasukan maklumat alternatif yang dimainkan oleh media baharu dan media alternatif seperti Harakah menyumbang kepada kesedaran golongan di bandar dan meresap ke kawasan berhampiran, katanya.
Beliau yakin dengan permasalahan besar yang dihadapi kerajaan hari ini, sementara tekanan ekonomi amat dirasai rakyat, tiga negeri BN ini bakal dikuasai pembangkang dengan peralihan undi seperti pada tahun 2008.
Ditanya mengenai sebarang kemungkinan negeri-negeri yang dikuasai Melayu seperti Kelantan dan Kedah akan berlaku perubahan, Dr Abu Hassan menyatakan PAS akan terus menerajui Kelantan kerana imej kepimpinan yang sangat memberi keselesaan kepada rakyat.
“Saya yakin, PAS akan terus berjaya mempertahankan Kelantan, jika mood yang ada hari ini kekal sehingga pilihan raya umum akan datang” katanya.
22 November 2011
Buat Lawak Agak-Agak Laa.. Kesian La Sikit Kat Umno/BN
06 May 2011
Perak Akan Kekal Di Tangan BN Selepas PRU13
Pakatan Rakyat Perak perlu menyusun strategi lebih berkesan untuk menang pada pilihan raya mum ke-13 akan datang, apabila kajian jelas menunjukkan sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN merampas kerajaan negeri awal tahun lalu, kini sudah tidak lagi relevan, lapor Harakahdaily.
Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Zentrum Future Studies mengenai perkembangan politik di Perak mendapati menteri besar yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin terus kekal sebagai tokoh pemimpin yang disegani dan diperlukan oleh seluruh rakyat Perak. Namun beliau perlu dibantu dan diimbangi dengan tokoh muda lain yang setara dengannya.
Pemimpin Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah ketika mendedahkan perkara itu berkata, untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat ternyata sudah tidak lagi boleh bergantung kepada isu sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN itu kerana isu tersebut sudah tidak sekuat tahun 2008 atau 2009.
Menurut beliau, sebaliknya, jika isu itu terus dimainkan, ia pasti akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada Pakatan Rakyat kerana isu berkenaan ternyata sudah berjaya dimanipulasi oleh BN untuk mengelirukan rakyat, sehingga menjadikannya sudah tidak boleh diterima oleh lebih separuh rakyat negeri itu.
Katanya, bagi menggantikannya, Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya perlu menyusun tiga usaha penting mulai sekarang yang merangkumi kesepaduan serta kestabilan Pakatan Rakyat, penonjolan tokoh-tokoh muda berkaliber selain tokoh sedia ada dan membuktikan kemampuan mereka memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
Tidak berganjak
"Dari kajian yang dijalankan oleh Zentrum di Perak jelas menunjukkan orang-orang Cina tetap tidak berganjak daripada terus menyokong Pakatan Rakyat. Ini sememangnya satu petunjuk yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi.
Namun, menurut Abu Hassan, sokongan masyarakat Melayu dan India kepada Pakatan Rakyat di Perak ternyata semakin merosot, apabila mereka sendiri menjadi semakin keliru dengan isu rampasan kuasa dan isu-isu lain yang berjaya dimanipulasikan oleh BN.
"Sokongan orang Cina terhadap Pakatan Rakyat di Perak terus kekal sebanyak 40 peratus. Selain isu rampasan kuasa, orang Cina di Perak tetap menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan politik di Perak.
"Tetapi bagi orang Melayu dan India yang sebanyak 60 peratus lagi, ia amat perlu ditangani dengan baik oleh Pakatan Rakyat bagi membolehkan Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU Ke-13 nanti," katanya.
Dengan angka itu, Pakatan Rakyat hanya perlu menarik sokongan 20 peratus sahaja dari orang Melayu bagi membolehkan Pakatan Rakyat memerintah di Perak, manakala angka sekecil itu bukanlah sesuatu yang sukar dicapai jika usaha yang dilakukan itu berjaya menarik perhatian orang Melayu.
Tokoh berkaliber
Walaupun BN telah berjaya mengalih sokongan orang Melayu dari Pakatan Rakyat, tetapi pembangkang tetap berpeluang memenangi kembali hati orang Melayu jika usaha-usaha yang dilakukan berjaya menyakinkan mereka.
Abu Hassan berkata selain tokoh yang idealis dan berkaliber seperti Nizar, orang Melayu di Perak juga amat memerlukan jaminan dengan kemunculan tokoh lain yang setanding dengannya bagi mengimbangi menteri besar yang disingkirkan itu jika berlaku perkara tidak diingini.
"Tokoh itu pula diharapkan bukan dari PKR dan DAP, tetapi dari PAS sendiri. Dari kajian yang dibuat oleh Zentrum, kami mendapati ketua penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim merupakan orang yang diharapkan dan beliau amat perlu ditonjolkan ke depan oleh Pakatan Rakyat Perak," katanya lagi.
22 January 2011
Analisis PRK Tenang Dari Prof. Dr Hassan Hasbullah
Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Tenang tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan kejayaan mana-mana parti khususnya dalam pilihanraya umum ke-13 ini,kata penganalisis politik Dr Hassan Hasbullah.
Sebelum ini , Umno-Barisan Nasional meletakkan sasaran kemenangan besar majoriti sebanyak 5,000 undi yang dilihat satu penanda aras untuk memanggil pilihanraya umum ke-13 secara mengejut dalam jangka masa lebih awal.
Sementara itu kempen lapan hari pilihan raya kecil Tenang bermula hari ini selepas proses penamaan calon selesai pagi ini. Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN dan PAS.
BN menamakan Mohd Azahar Ibrahim, 39, yang sebelum ini merupakan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS mengumumkan bekas guru, Normala Sudirman, 38, sebagai calon parti itu.
Dr Hassan Abdullah yang dihubungi TV Selangor berkata DUN Tenang yang sejarahnya Umno-BN tidak pernah kalah, tidak boleh menjadikan keputusan pilihanraya kecil ini untuk memanggil pilihanraya umum lebih awal kerana sikap pengundi sentiasa berubah-ubah.
"Semua pilihanraya kecil yang berlaku di negara kita tidak mungkin menjadi penanda aras kepada mana-mana parti politik untuk mengatakan kemenangan pada parti-parti politik tersebut sebagai satu keselesaan kepada mana-mana parti politik.
Masyarakat sentiasa berubah-ubah,manakala Dewan Undangan Negeri Tenang adalah sejarahnya menyatakan bahawa Barisan Nasional tidak pernah kalah di kawasan ini, tetapi undinya sangat merosot pada 2008 dan jika keputusan pada kali ini,Barisan Nasional mendapat undi majoriti sebanyak 5,000 masih juga bukan satu petunjuk, kerana ia merupakan satu pilihanraya kecil di mana semua operasi di peringkat nasional tertumpu ke situ sebagaimana peristiwa di Pilihanraya Kecil DUN Galas dan sebagainya," katanya.
Tambah Dr Hassan lagi bahawa banyak janji-janji dalam pilihanraya kecil ditaburkan dan seumpama drama yang jelas tidak boleh digunakan sebagai tanda aras kejayaan sesuatu parti.
"Sebab itu kita dapati bahawa banyak janji-janji bahawa ataupun manifesto yang ditaburkan pada masa pilihanraya kecil jarang terlaksana sepenuhnya, ia tidak ubah seperti sebuah drama dalam merayakan demokrasi dan tidak memberi petunjuk kepada proses pilihanraya yang sebenar," katanya lagi.
Dr Hassan juga menyatakan pandangannya bahawa terdapat beberapa faktor penentu pengundi yang dijadikan asas dalam pilihanraya kecil DUN Tenang ini.
"Di Dewan Undangan Negeri Tenang sebenarnya terdapat lima faktor utama,pertama ialah faktor kuasa kelas menengah Melayu di mana kebanyakkan kuasa kelas menengah Melayu masih lagi berpihak kepada Barisan Nasional dan mereka begitu memerhati perkembangan pihak Pakatan Rakyat ,manakala pengundi Cina kelihatan nyata dan amat jelas sekali berpihak kepada Pakatan Rakyat manakala pengundi India melihat kepada perkembangan di peringkat nasional.
Jadi kita dapati penentu di Tenang adalah pengundi Cina samada Pakatan Rakyat memperolehi keseluruhan pengundi Cina, dia akan menjejaskan pencapaian Barisan Nasional manakala jika hanya anggaran 30-40 peratus berpihak kepada Pakatan Rakyat maka keputusan tidak akan berubah seperti tahun 2008 di antara majoriti pada 2004," katanya lagi.
Dr Hassan juga yakin,golongan muda bakal menjadi antara faktor penentu besar di DUN Tenang ini.
"Pilihanraya pertama di bahagian Selatan ini untuk tahun ini seperti ada satu arus baru kerana selepas ini akan berlaku di Merlimau , maka kuasa kedua yang terbentuk adalah pengundi muda kerana pengundi-pengundi muda adalah besar di Tenang," katanya.
Kerusi DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.
Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).
Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang.
Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.
20 March 2010
Media Baru Terus Diyakini - Abu Hassan Hasbullah
Sebanyak 92 peratus rakyat Malaysia mengikuti media baru seperti laman sosial Facebook dan Twitter, kata pensyarah kanan Universiti Malaya Prof Dr Abu Hassan Hasbullah.
Katanya, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat dan Eropah, Malaysia mempunyai lebih ramai pengikut setia media baru yang lebih percayakan laporannya berbanding dengan media arus perdana.
Menggalakkan penyertaan golongan muda dalam jaringan sosial, Abu Hassan mengajak lebih banyak penyertaan golongan tersebut di internet.
Bercakap kepada kira-kira 900 pemuda di Kongres Anak Muda Kebangsaan di Petaling Jaya, Abu Hassan berkata kebangkitan media baru sekarang ini telah menjadi semacam “agama” pada masa kini.
Katanya, untuk membawa perubahan dalam negara ini, orang muda mestilah melangkah setapak lagi memasuki media baru dan meninggalkan politik lama.
“Keluarlah daripada politik primitif dan majulah ke depan,” katanya yang terkenal dengan kajian masa depan melalui pusat kajiannya Zentrum Future Studies.
15 March 2010
Prof Hassan: Wakil Rakyat 'Bebas' Parasit Demokrasi
Bertanding dan menjadi Ahli Parlimen Bebas tidak salah tetapi mengisytihar diri sebagai Ahli Parlimen Bebas sedangkan menang atas tiket parti politik tertentu, jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi.
Demikian penegasan pengasas Zentrum Features Study Malaysia, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah kepada TV Selangor.
Kebelakangan ini beberapa Ahli Parlimen yang menang atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengisyihar keluar parti tetapi enggan mengosongkan kerusi.
Sesetengah mereka pula mengaku sebagai Ahli Parlimen Bebas yang mesra Barisan Nasional walaupun kemenangan mereka diraih atas kapasiti calon Pakatan Rakyat.
Abu Hassan mengkategorikan mereka yang melompat parti , kemudian mengaku sebagai Ahli Parlimen Bebas sebagai tidak bertanggungjawab dan mengkhianati amanah rakyat.
“Ahli politik bebas itu adalah ahli politik yang berpaling tadah yang melompat keluar daripada parti dan kita dah sebut dari awal tadi dia menentang falsafah etika sebuah demokrasi sebab ketika mereka dipilih sebagai wakil rakyat mereka dipilih atas kapasiti parti yang mereka wakilkan," katanya.
Hassan menyifatkan calon Bebas yang sejati tidak bersifat partisan dengan menyokong parti tertentu dalam kebanyakan isu.
“Tetapi dalam pilihanraya ke 13 kemungkinan berkembang calon bebas ini yang lebih betul, iaitu calon bebas yang sebenar, mereka datang kerana kesedaran-kesedaran untuk memperjuangkan hak-hak minorita, hak-hak minority yang mereka wakilkan kemungkinan mereka jadi calon bebas tapi mereka tidak berpihak pada parti A parti B," tegasnya.
