BN mendahului Pakatan Rakyat sekurang-kurangnnya tiga peratus dalam persaingan untuk mendapatkan sokongan anak muda dalam pilihan raya umum akan datang, demikian menurut institut kajian Zentrum Future Studies.
Pengasas institut kajian itu, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah, berkata sebahagian besar sokongan itu diraih dari kalangan anak muda golongan Cina.
"Jumlah kaum muda dalam demografi SPR adalah sehingga 68 peratus, bermakna kaum muda Cina secara total daripada 88 hingga 92 peratus menyokong Pakatan," katanya dalam wacana perdana pilihan raya umum ke-13 di Kota Bharu malam tadi.
Katanya lagi, sokongan di kalangan masyarakat Cina terhadap Pakatan, tanpa mengikut gender dan umur dianggarkan pada kadar 82 hingga 88 peratus.
Bagi pengundi Melayu pula, ia kekal pada kadar 22 hingga 28 peratus, untuk memberi kelebihan sokongan 3 hingga 5 peratus kepada BN.
Bagaimanapun, ia mungkin berubah pada saat-saat terakhir pilihan raya kerana golongan muda itu disifatkannya lebih berhati-hati dan lebih cakna kepada isu.
"Bermaksud, Pakatan mampu memecut dan bentuk keseimbangan akibat sokongan kaum Melayu," katanya lagi.
Menjelaskan bacaannya itu, Abu Hassan (tengah) berkata kaum muda Melayu lebih dekat dengan budaya popular manakala masyarakat Cina lebih dekat dengan isu-su ekonomi.
Oleh itu isu rasuah dan penyelewengan seperti yang dikaitkan dengan National Feedlot Corporation (NFC) juga akan memberi impak yang besar kepada komuniti Melayu, tambahnya.
Ditemui selepas program anjuran kerajaan negeri Kelantan itu berakhir lewat malam tadi, Abu Hassan bagaimanapun enggan mendedahkan butiran kajian berkenaan kerana ia masih belum diterbitkan.
Moderator program berkenaan, Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff turut memberikan pandangannya bahawa 60 peratus daripada kira-kira seramai tujuh juta pengundi muda hanya akan membentuk sikap terhadap kepada isu-isu tersebut dalam undian mereka pada saat terakhir.
Perkara yang ditimbang oleh golongan ini melibatkan isu kebajikan – keadaan ekonomi, kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
Sementara itu, wakil BN di wacana berkenaan, Datuk Saifuddin Abdullah pula tetap yakin bahawa parti itu akan meraih sokongan daripada pengundi atas pagar.
Katanya, BN telah berjaya memujuk pengundi yang memberikan undi protes dalam pilihan raya 2008 dan parti itu juga telah menyedari "realiti politik baru" yang perlu diharungi dalam pilihan raya umum akan datang.
Timbalan menteri pengajian tinggi itu turut menyenaraikan usaha-usaha yang dijalankan parti pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menunjukkan bahawa BN telahpun sedar, termasuk kempen 1Malaysia dan juga program transformasi yang dicanang.
Beliau turut mengulangi pandangan bahawa mood pengundi dalam 18 pilihan raya kecil juga telah berubah pada saat akhir.
Mengulas data yang dikemukakan Zentrum, seorang lagi ahli panel, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution pula berkata parti itu terbuka dalam menerima apa juga kajian dan akan menggunakannya dalam menghadapi pilihan raya.
"Kita tidak amalkan sindrom penafian," katanya yang mengambil data berkenaan sebagai cabaran kepada parti untuk memperbaiki peluangnya.
Beliau juga menerima bacaan daripada pelbagai sumber lain, namun apa yang lebih penting bagi PKR adalah sistem audit dalam parti.
Audit berkenaan akan memberi gambaran sebenar kepada kekuatan parti dan masalah yang dihadapinya, katanya lagi ketika ditemui selepas program di Balai Islam, Lundang itu berakhir lewat malam semalam.
Seorang lagi ahli panel yang turut mengambil bahagian dalam wacana yang disiarkan secara langsung melalui saluran web mykelantan.tv itu ialah pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Samsul Adabi Mamat.
Read More...
Summary only...
Zentrum: Kemarahan rakyat tak lagi relevan di Perak
Pakatan Rakyat Perak perlu menyusun strategi lebih berkesan untuk menang pada pilihan raya mum ke-13 akan datang, apabila kajian jelas menunjukkan sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN merampas kerajaan negeri awal tahun lalu, kini sudah tidak lagi relevan, lapor Harakahdaily.
Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Zentrum Future Studies mengenai perkembangan politik di Perak mendapati menteri besar yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin terus kekal sebagai tokoh pemimpin yang disegani dan diperlukan oleh seluruh rakyat Perak. Namun beliau perlu dibantu dan diimbangi dengan tokoh muda lain yang setara dengannya.
Pemimpin Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah ketika mendedahkan perkara itu berkata, untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat ternyata sudah tidak lagi boleh bergantung kepada isu sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN itu kerana isu tersebut sudah tidak sekuat tahun 2008 atau 2009.
Menurut beliau, sebaliknya, jika isu itu terus dimainkan, ia pasti akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada Pakatan Rakyat kerana isu berkenaan ternyata sudah berjaya dimanipulasi oleh BN untuk mengelirukan rakyat, sehingga menjadikannya sudah tidak boleh diterima oleh lebih separuh rakyat negeri itu.
Katanya, bagi menggantikannya, Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya perlu menyusun tiga usaha penting mulai sekarang yang merangkumi kesepaduan serta kestabilan Pakatan Rakyat, penonjolan tokoh-tokoh muda berkaliber selain tokoh sedia ada dan membuktikan kemampuan mereka memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.
Tidak berganjak
"Dari kajian yang dijalankan oleh Zentrum di Perak jelas menunjukkan orang-orang Cina tetap tidak berganjak daripada terus menyokong Pakatan Rakyat. Ini sememangnya satu petunjuk yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi.
Namun, menurut Abu Hassan, sokongan masyarakat Melayu dan India kepada Pakatan Rakyat di Perak ternyata semakin merosot, apabila mereka sendiri menjadi semakin keliru dengan isu rampasan kuasa dan isu-isu lain yang berjaya dimanipulasikan oleh BN.
"Sokongan orang Cina terhadap Pakatan Rakyat di Perak terus kekal sebanyak 40 peratus. Selain isu rampasan kuasa, orang Cina di Perak tetap menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan politik di Perak.
"Tetapi bagi orang Melayu dan India yang sebanyak 60 peratus lagi, ia amat perlu ditangani dengan baik oleh Pakatan Rakyat bagi membolehkan Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU Ke-13 nanti," katanya.
Dengan angka itu, Pakatan Rakyat hanya perlu menarik sokongan 20 peratus sahaja dari orang Melayu bagi membolehkan Pakatan Rakyat memerintah di Perak, manakala angka sekecil itu bukanlah sesuatu yang sukar dicapai jika usaha yang dilakukan itu berjaya menarik perhatian orang Melayu.
Tokoh berkaliber
Walaupun BN telah berjaya mengalih sokongan orang Melayu dari Pakatan Rakyat, tetapi pembangkang tetap berpeluang memenangi kembali hati orang Melayu jika usaha-usaha yang dilakukan berjaya menyakinkan mereka.
Abu Hassan berkata selain tokoh yang idealis dan berkaliber seperti Nizar, orang Melayu di Perak juga amat memerlukan jaminan dengan kemunculan tokoh lain yang setanding dengannya bagi mengimbangi menteri besar yang disingkirkan itu jika berlaku perkara tidak diingini.
"Tokoh itu pula diharapkan bukan dari PKR dan DAP, tetapi dari PAS sendiri. Dari kajian yang dibuat oleh Zentrum, kami mendapati ketua penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim merupakan orang yang diharapkan dan beliau amat perlu ditonjolkan ke depan oleh Pakatan Rakyat Perak," katanya lagi.
Read More...
Summary only...
Menurut kajian tersebut, Pakatan Rakyat yang membariskan calon PKR, DAP dan PAS mendapat 31 kerusi.
PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) diramal kalah apabila hanya memenangi 21 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Ahad ini, menurut satu kaji selidik.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud juga diramalkan tumbang di DUN N51 Balingian, yang telah disandangnya selama tiga penggal itu.
Kaji selidik dikeluarkan oleh Zentrum PRN Sarawak dan diselia oleh Zentrum Future Studies Malaysia yang diasaskan oleh Dr Hassan Hayastani.
Dalam pertandingan tiga penjuru, calon bebas yang juga sepupu kepada Ketua Menteri itu, Datuk Salleh Jafaruddin menerima sokongan tertinggi apabila memperolehi 38 peratus sokongan dan Taib dengan 36 peratus.


Dalam perebutan kerusi yang sama juga menyaksikan calon PKR, Suriati Abdullah pula menerima 28 peratus.
Menurut kajian tersebut, Pakatan Rakyat yang membariskan calon PKR, DAP dan PAS mendapat 31 kerusi.
Keputusan daripada persepsi sokongan pengundi Sarawak itu juga menunjukkan sebuah lagi parti yang menentang BN, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menerima sokongan tertinggi di 15 kerusi dan empat DUN pula didominasi oleh calon bebas.
Bagaimanapun keputusan kaji selidik yang dinamakan ‘PRN Sarawak prediksi period 1′ tersebut merupakan keputusan bagi kajian persepsi semasa dan tidak mustahil berlaku perubahan data dalam jangka masa terdekat.
Persepsi kepercayaan politik mengikut kaum
Bagi persepsi untuk perbandingan persepsi kepercayaan politik mengikut kaum pula, BN mendahului parti-parti lain dalam meraih sokongan dari kaum Melayu dan Melanau dengan meraih 48 peratus sokongan.
Manakala PR pula mengekori BN di tempat kedua apabila meraih sokongan sebanyak 40 peratus, SNAP dengan 10 peratus dan masing-masing Parti Cinta Malaysia (PCM) dan bebas satu peratus.
Bagaimanapun data dari statistik itu juga menunjukkan BN ditinggalkan jauh di tempat kedua oleh PR yang memperolehi 46 peratus sokongan masyarakat cina dan
BN dengan 34 peratus.
Turut meraih sokongan dari masyarakat Cina yang umumnya mendiami di kawasan bandar ialah parti SNAP dengan 18 peratus diikuti PCM dan bebas dengan masing-masing juga satu peratus.
SNAP sebuah parti kaum Dayak di Sarawak pula mengungguli sokongan kaum Iban apabila dijangkakan mampu meraih sokongan sebanyak 38 peratus berbanding PR di tempat kedua dengan 32 peratus.
BN yang mengekori di tempat ke tiga bagi persepsi sokongan kaum yang sama pada ketika ini meraih sebanyak 23 peratus sokongan dan bebas dengan tujuh peratus.
PR sekali lagi meraih populariti tinggi apabila diramalkan menerima sokongan terbanyak di kalangan pengundi kaum Bidayuh dengan 40 peratus manakala SNAP mengekori rapat di tempat ke dua dengan 38 peratus.
Ketika hanya mampu meraih 20 peratus sokongan masyarakat Bidayuh, BN meninggalkan jauh pesaingnya apabila dijangka meraih 51 peratus sokongan di kalangan masyarakat Orang Ulu.
Menurut hasil kajian PRN Sarawak prediksi period 1 itu lagi, PR pula memperolehi 36 peratus dan SNAP pula sebanyak 10 peratus juga bagi masyarakat Orang Ulu.
Bagi lain-lain kaum pula, BN memperolehi 53 peratus, PR dengan 21 peratus dan SNAP pula dengan 17 peratus. - FMT
Read More...
Summary only...
Kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor terpaksa melabuhkan tirainya tepat jam 12 tengah malam ini.
Apapun, yang pasti pertembungan antara Datuk Zaid Ibrahim yang mewakili PKR dan P Kamalanathan dari BN esok dijangka sengit.
Sehingga saat ini, kedua-dua parti menggunakan tempoh kurang daripada 10 jam berkempen untuk menggerakkan jentera masing-masing hingga ke saat terakhir dalam misi menawan hati pengundi, apabilah pengundian bermula jam 8 pagi esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak serta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengetuai jentera BN menggempur kawasan-kawasan yang dipercayai kubu pembangkang.
Manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemimpin lain bertungkus lumus cuba mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti tipis, 198 undi datipada jatuh ke tangan BN.
Mursyidul Am PAS yang jelas uzur dan terpaksa bertongkat juga sedang berkempen dan bertemu pengundi di Hulu Selangor.
Lim Kit Siang dan Nik Aziz bertungkus memainkan peranan untuk tawan hati pengundi.
Jika semalam Ilham Centre dalam kaji selidiknya mendakwa kemenangan akan memihak kepada Barisan Nasional, kajian sebuah lagi pertubuhan bebas menunjukkan pengundi Hulu Selangor mula mendekati Pakatan Rakyat.
Kajian Zentrum Future Studies Malaysia, mengenai Analisis Kajian Mikro Persepsi Kepercayaan Politik menunjukkan Pakatan Rakyat yang diwakili PKR berada di hadapan dengan sokongan 51.7 peratus berbanding 48.3 peratus yang diperolehi Barisan Nasional.
Perbezaan tipis 3.4 peratus itu masih membimbangkan kedua-dua Pakatan dan BN apabila menuju penghujung kempen yang mungkin akan pengaruhi bagaimana pengundi membuat keputusan esok.
Keputusan kajian yang diperolehi sebelum tengah malam semalam menunjukkan BN memperolehi 51.4 peratus sokongan manakala Pakatan pula mendapat sokongan 48.6 peratus pengundi.
Ia akan menjadi menarik bagaimana keputusan malam terakhir hari ini sebelum pembuangan undi samada dapat memberi gambaran jelas siapa mendahului.
Zentrum yang diketuai pengasas dan presidennya Abu Hassan Hasbullah, dari Universiti Malaya mengumpulkan data secara harian kerana ia merasakan perubahan tertentu boleh mempengaruhi sentimen pengundi.
Menurutnya sokongan kecil memihak kepada Pakatan atas alasan komunikasi dan peranan media baru, di samping kain rentang, poster dan ceramah yang kini dikatan memberi kesan.
Zentrum berharap kajian ini boleh dijadikan rujukan untuk menentukan corak pengundian pada masa depan.
Pemuda sokong Pakatan
Kajian Zentrum menunjukkan 61 peratus masyarakat Melayu memilih BN manakala sokongan kaum India adalah sebanyak 54 peratus.
Namun sokongan kaum Cina kepada PKR berada pada tahap yang tinggi, iaitu 78 peratus.
Golongan lelaki pula dilihat sebagai penyokong kuatan Pakatan dengan 58 peratus manakala wanita (69 peratus) menyokong BN.
Apa yang lebih menarik ialah kajian menunjukkan 37 peratus wanita Melayu masih belum membuat keputusan sejak semalam berbanding wanita India dan Cina yang kebanyakkan mereka telah membuat keputusan.
Turut mencuri tumpuan ialah kajian mendapati 57 peratus golongan muda iaitu responden yang berusia antara 21 hingga 30 tahun menyokong pembangkang manakala 58 peratus daripada golongan mereka yang berumur 31 hingga 40 juga menyokong calon PKR.
Manakala golongan tua dan warga emas seperti mereka berumur yang 40 hingga 59 serta golongan berumur 60 ke atas adalah penyokong kuat BN.
Peranan media baru
Kajian Zentrum juga menunjukkan 72 peratus penduduk kawasan bandar bergantung pada media baru. Manakala kajian juga menunjukkan media baru berjaya menembus 42 peratus ke kawasan pendalaman.
Beberapa faktor mempengaruhi corak mengundi setelah tempoh berakhir kempen hampir tamat iaitu:
• pengaruh dan kehadiran pemimpin berpengaruh,
• pengaruh media baru dan tradisional,
• pengaruh atmosfera demokrasi seperti ugutan kepada kakitangan awam, masyarakat dan keluarga serta,
• pengaruh budaya dalam isu agama.
Kajian juga menunjukkan faktor yang akan menentukan kemenangan seseorang calon bergantung pada faktor pengundi yang akan keluar mengundi. Ia mengambil kira faktor umur dan jantina mereka.
Sementara itu, semakan dengan Zentrum Future Studies Malaysia, mendapati Pakatan terus mendahului BN apabila mereka tiba di penghujung kempen.
Berikut statistik yang diberikan.
10:00 pagi - BN 47.6% PR 52.4%
11:00 pagi - BN 49.4% PR 50.6%
12:00 tengah hari - BN 50.2% PR 49.8%
1:00 petang- BN 49.3% PR 50.7%
2:00 petang - BN 47.2% PR 52.8%
Read More...
Summary only...