BlogList Malaysia

06 May 2011

Perak Akan Kekal Di Tangan BN Selepas PRU13

Zentrum: Kemarahan rakyat tak lagi relevan di Perak

Pakatan Rakyat Perak perlu menyusun strategi lebih berkesan untuk menang pada pilihan raya mum ke-13 akan datang, apabila kajian jelas menunjukkan sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN merampas kerajaan negeri awal tahun lalu, kini sudah tidak lagi relevan, lapor Harakahdaily.

Bagaimanapun, kajian terbaru oleh Zentrum Future Studies mengenai perkembangan politik di Perak mendapati menteri besar yang disingkirkan Datuk Seri Nizar Jamaluddin terus kekal sebagai tokoh pemimpin yang disegani dan diperlukan oleh seluruh rakyat Perak. Namun beliau perlu dibantu dan diimbangi dengan tokoh muda lain yang setara dengannya.

Pemimpin Zentrum, Dr Abu Hassan Hasbullah ketika mendedahkan perkara itu berkata, untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, Pakatan Rakyat ternyata sudah tidak lagi boleh bergantung kepada isu sentimen kemarahan rakyat berhubung tindakan BN itu kerana isu tersebut sudah tidak sekuat tahun 2008 atau 2009.


Menurut beliau, sebaliknya, jika isu itu terus dimainkan, ia pasti akan mendatangkan kesan lebih buruk kepada Pakatan Rakyat kerana isu berkenaan ternyata sudah berjaya dimanipulasi oleh BN untuk mengelirukan rakyat, sehingga menjadikannya sudah tidak boleh diterima oleh lebih separuh rakyat negeri itu.

Katanya, bagi menggantikannya, Pakatan Rakyat sekurang-kurangnya perlu menyusun tiga usaha penting mulai sekarang yang merangkumi kesepaduan serta kestabilan Pakatan Rakyat, penonjolan tokoh-tokoh muda berkaliber selain tokoh sedia ada dan membuktikan kemampuan mereka memberikan perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Tidak berganjak

"Dari kajian yang dijalankan oleh Zentrum di Perak jelas menunjukkan orang-orang Cina tetap tidak berganjak daripada terus menyokong Pakatan Rakyat. Ini sememangnya satu petunjuk yang cukup baik kepada Pakatan Rakyat," katanya ketika dihubungi.

Namun, menurut Abu Hassan, sokongan masyarakat Melayu dan India kepada Pakatan Rakyat di Perak ternyata semakin merosot, apabila mereka sendiri menjadi semakin keliru dengan isu rampasan kuasa dan isu-isu lain yang berjaya dimanipulasikan oleh BN.

"Sokongan orang Cina terhadap Pakatan Rakyat di Perak terus kekal sebanyak 40 peratus. Selain isu rampasan kuasa, orang Cina di Perak tetap menaruh keyakinan yang tinggi terhadap Pakatan Rakyat untuk melakukan perubahan politik di Perak.

"Tetapi bagi orang Melayu dan India yang sebanyak 60 peratus lagi, ia amat perlu ditangani dengan baik oleh Pakatan Rakyat bagi membolehkan Pakatan Rakyat berjaya dalam PRU Ke-13 nanti," katanya.

Dengan angka itu, Pakatan Rakyat hanya perlu menarik sokongan 20 peratus sahaja dari orang Melayu bagi membolehkan Pakatan Rakyat memerintah di Perak, manakala angka sekecil itu bukanlah sesuatu yang sukar dicapai jika usaha yang dilakukan itu berjaya menarik perhatian orang Melayu.

Tokoh berkaliber

Walaupun BN telah berjaya mengalih sokongan orang Melayu dari Pakatan Rakyat, tetapi pembangkang tetap berpeluang memenangi kembali hati orang Melayu jika usaha-usaha yang dilakukan berjaya menyakinkan mereka.

Abu Hassan berkata selain tokoh yang idealis dan berkaliber seperti Nizar, orang Melayu di Perak juga amat memerlukan jaminan dengan kemunculan tokoh lain yang setanding dengannya bagi mengimbangi menteri besar yang disingkirkan itu jika berlaku perkara tidak diingini.

"Tokoh itu pula diharapkan bukan dari PKR dan DAP, tetapi dari PAS sendiri. Dari kajian yang dibuat oleh Zentrum, kami mendapati ketua penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim merupakan orang yang diharapkan dan beliau amat perlu ditonjolkan ke depan oleh Pakatan Rakyat Perak," katanya lagi.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas