BlogList Malaysia
Showing posts with label wahabi. Show all posts
Showing posts with label wahabi. Show all posts

14 August 2011

Wahabi: Juanda harap Uthman akur nasihat Jamil Khir

Mufti Perlis terus meletakkan harapan agar pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady akan akur kepada nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut mahu kedua-dua tokoh agama itu berdialog bagi menjernihkan isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Dalam satu kenyataan kelmarin Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau berharap dan amat baik bagi kedua-dua personaliti itu akan bertemu dan berbincang secara berhemah kerana perbincangan dalam apa jua isu sememangnya dituntut dalam Islam.

“Saya harap mereka dapat ambil berkat dan semangat bulan Ramadan sekarang,” kata Jamil Khir.


Sehubungan itu kata Dr Juanda Jaya,”saya ingat... kita menyeru Dr Uthman akur dengan nasihat Datuk Seri Jamil Khir,” kata Juanda ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Uthman yang dihubungi The Malaysian Insider enggan mengulas lanjut perkara ini atas alasan mahu menghormati bulan Ramadan.

“Biar keadaan reda dulu, saya tidak mahu kata apa-apa sekarang,” kata beliau.

Juanda berkata pihaknya berharap Uthman akan menerima pelawaan beliau untuk berdialog untuk memperjelaskan keadaan memandangkan “kita tahu bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Dr Uthman.”

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) juga sudah memberikan pendirian mereka, saya berharap Dr Uthman akan menerima nasihat Menteri,” katanya Juanda lagi.

Sebelum ini Juanda berkata Uthman membalas pelawaan beliau dengan mengenakan pelbagai syarat seolah-olah enggan bertemu sedangkan Uthman pula menegaskan beliau tidak pernah menolak pelawaannya.

Berhubung soalan sama ada pihaknya akan mengatur pertemuan dua ulama itu, Jamil Khir menambah, soal itu termasuk masa dan tempat terpulang kepada pihak berkenaan.

“Biar mereka sendiri yang putuskan mengikut kesesuaian dan keselesaan masing-masing,” katanya dipetik akhbar kelmarin.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider Rabu lalu, Juanda berharap Uthman akan menerima pelawaan mereka.

“Kami sudah beri cek terbuka, kami (tetap) menanti kehadiran beliau,” kata Juanda Jaya berhubung laporan terbaru semalam menyebut Uthman tidak menolak pelawaan Juanda agar diadakan satu dialog ketika Ramadan berhubung isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi, yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi,” katanya.

Hari ini, Juanda menjelaskan, beliau masih meletakkan harapan agar Uthman akan menggunakan bulan Ramadan, yang tinggal sekitar dua minggu lagi, untuk datang ke Perlis bagi mengadakan dialog.

Laporan media Isnin lalu memetik Uthman berkata beliau mahu dialog yang disyorkan itu tetapi perlu diadakan secara tertutup.

“Saya tidak menolak untuk berdialog, tetapi saya mahu majlis itu diadakan secara tertutup dengan penganjuran daripada Kementerian Dalam Negeri,” kata beliau.

Juanda berkata, surat jawapan yang dibalas Uthman lebih seminggu lalu dengan jelas menunjukkan beliau telah menolak pelawaan Jabatan Mufti Perlis agar datang ke Perlis untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang telah dibangkitkan pada satu mesyuarat MKN tiga minggu lalu.

Juanda juga berkata beliau dari awal-awal lagi sudah menjangkakan bahawa kerajaan akan memberi pandangan dan pendirian yang ia tidak terlibat dalam dakwaan kononnya wujud elemen “kesesatan” dan “keganasan” di sebalik fahaman Wahabi.

“Kerajaan tidak terlibat dalam pandangan-pandangan pelik dan janggal yang dibuat,” kata Juanda.

Oleh itu kata beliau, Jabatan Mufti Perlis berharap dakwaan dapat diperjelaskan agar pihak yang menuduh dan dituduh termasuk kerajaan Arab Saudi dapat gambaran yang jelas dan membersihkan keadaan.

“Dengan penjelasan Dr Uthman sendiri, orang yang dituduh akan mendapat gambaran yang sebenar... kita berharap sangat keadaan dapat dijelaskan,” katanya lagi.


Read More...

09 August 2011

Ulama Chipsmore?? Kejap Ok Kejap Tak Ok..

Isu Wahabi : Uthman Nafi Tolak Tawaran Juanda

KUALA LUMPUR 9 OGOS : Pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady menafikan bahawa beliau menolak tawaran untuk berdialog berhubung isu Wahabi yang dikaitkan oleh beliau dengan "kesesatan" dan "keganasan" Arab Saudi baru-baru ini.

Sebaliknya kata Uthman, beliau mahu dialog yang disyorkan itu diadakan secara tertutup.

“Saya tidak menolak untuk berdialog, tetapi saya mahu majlis itu diadakan secara tertutup dengan penganjuran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN),” kata beliau.

Uthman yang dipetik dari Sinar Harian hari ini berkata, isu tersebut tidak sepatutnya dibincangkan secara terbuka kerana ia melibatkan keselamatan negara selain boleh menggugat hubungan baik antara negara.


“Dialog seperti ini perlu secara tertutup dengan dihadiri pakar-pakar yang dipilih oleh KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata beliau.

Uthman berkata, apa yang beliau timbulkan bukan untuk meraih publisiti tetapi sebagai maklumat kepada kerajaan untuk melihat masalah itu.

“Tidak timbul isu ada negara yang bahaya kepada Malaysia dan ibadah haji perlu ditangguhkan seperti yang dilaporkan. Saya sendiri baru sahaja menunaikan haji tahun lalu,” kata beliau lagi.

Portal The Malaysian Insider semalam membawa laporan memetik Juanda berkata Uthman telah menolak pelawaan beliau agar diadakan satu dialog berhubungi isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Menurut Juanda, beliau menerima surat penolakan Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Juanda berkata beliau amat dukacita kerana Uthman, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah, telah mengambil pendirian menolak jemputan rasmi agar berdialog secara harmoni mengenai isu tersebut yang beliau bangkitkan pada satu mesyuarat MKN dua minggu lalu.

“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan ahli akademik takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi buta,” kata beliau.

Sebelum ini, banyak pihak seperti Persatuan Ulama Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengalu-alukan idea diadakan dialog harmoni agar perselisihan berkaitan hal ini dapat diselesaikan dengan baik.

Mengulas hal sama, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi Tv Selangor semalam menyifatkan penolaan Uthman sebaga i perbuatan "kurang intelek".

Menurut Asri, sebagai seorang pemimpin agama, Uthman harus tampil menjelaskan segala dakwaan yang dibuatnya, apatah lagi beliau dijemput berdialog oleh orang yang dituduh. - TVS

Read More...

08 August 2011

Isu Wahabi: Dr Uthman tolak pelawaan dialog Mufti Perlis

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady telah menolak pelawaan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya agar diadakan satu dialog berhubungi isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi yang dikaitkan dengan soal fahaman Wahabi baru-baru ini.

Juanda menerima surat penolakan mengenai idea berdialog itu, yang dicadang diadakan ketika Ramadan sekarang, Jumaat lalu.

Sehubungan itu, Juanda berkata beliau amat dukacita kerana Uthman, yang merupakan Tokoh Maal Hijrah, telah mengambil pendirian menolak jemputan rasmi agar berdialog secara harmoni mengenai isu tersebut yang beliau bangkitkan pada satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu.


“Bagaimana mungkin seorang yang merupakan ahli akademik takut untuk berhujah secara akademik dan terbuka bagi mempertahankan pandangan dan ideanya yang telah menghuru-harakan negara dan menjejaskan hubungan Malaysia dengan Arab Saudi, akibat tuduhannya yang dibuat secara membabi buta,” kata beliau dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.

Jelas Juanda (gambar), isu itu amat penting dan mendesak untuk diselesaikan memandangkan umat Islam di Malaysia mempunyai kepentingan yang amat banyak dalam hubungan keagamaan, politik, ekonomi dan sosial dengan pihak Arab Saudi.

“Pihak di sana tentu tertanya tanya kenapakah mereka dituduh sedemikian rupa melalui premis rasmi kerajaan sedangkan kerrajaan Malaysia sering mewar-warkan mendapat kedudukan hubungan paling istimewa dengan Arab Saudi berbanding negara yang lain,” kata Juanda sambil menambah, beliau berharap Uthman tidak menolak ajakan berdialog begitu sahaja.

“Tak perlu dolak-dalik dengan banyak alasan. Kami sentiasa sedia menunggu beliau hadir untuk dialog ini untuk mendengar hujah-hujah beliau. Mereka yang dituduh juga ingin dengar tuduhan daripada mulut beliau sendiri terlebih lagi jika dialog ini diadakan di hadapan pihak mereka dan pihak lain yang terlibat agar mereka berpeluang menjelaskan kedudukan sebenar perkara yang dituduh itu, terutama kerajaan Arab Saudi,” kata beliau lagi.

Sebelum ini, banyak pihak seperti Persatuan Ulama Malaysian dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengalu-alukan idea diadakan dialog harmoni agar perselisihan berkaitan hal ini dapat diselesaikan dengan baik.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider sebelum ini, Uthman yang dipanggil MKN untuk memberi taklimat mengenai Wahabi berkata, beliau sedia menerima pelawaan berdialog Juanda dengan syarat ia diadakan secara tertutup membabitkan pakar-pakar berhubung perkara yang menjadi polemik sekarang.

“Saya sanggup hadir jika (dialog yang disyorkan) jika diadakan dengan penuh disiplin, beretika dengan disertai oleh pakar-pakar dan secara tertutup... jika tidak, saya mahu menjauhkan diri (daripada dialog),” kata beliau yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (Istac).

Sambil menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan disensasikan supaya kepentingan negara tidak terjejas, Uthman memberitahu, hanya selepas adanya hasil perbincangan, baru keputusan yang dipersetujui perlu disebarkan kepada umum.

Dalam kenyataannya hari ini, Juanda menambah, tokoh tersebut “sepatutnya tidak berdolak-dalik” memandangkan dalam laporan media sebelum ini beliau bersetuju untuk menyertai dialog secara tertutup.

“... tetapi tiba-tiba datang surat rasmi beliau yang diterima Jumaat lalu, beliau pula menolak pelawaan itu dengan pelbagai alasan yang remeh dan tidak relevan seolah-olah menyalahkan pihak lain yang telah menafikan penglibatan mereka dalam kekecohan tuduhan yang bersifat jahat ini, yang boleh menggugat kepentingan negara Malaysia,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum telah pun menafikan dakwaan tersebut menerusi kenyataan media massa sebelum ini.

Sehubungan itu, Juanda berkata, Uthman mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan Arab Saudi yang beliau dakwa sesat dan bahaya serta ganas di mana beliau sendiri sudah cukup lama bertugas di Istac, yang mendapat banyak bantuan kewangan dan dana secara langsung dan tidak langsung daripada Riyadh.

Uthman juga kta beliau, merupakan penasihat Tabung Haji yang saban tahun pergi ke Arab Saudi mengerjakan haji dan umrah serta membimbing jemaah haji Malaysia tetapi tiba-tiba beliau menyatakan negara berkenaan sebagai menganut ajaran sesat dan suka mengganas dengan pihak lain.

“Umat Islam di Malaysia wajar didedahkan dengan semangat demokrasi terbuka yang memberi ruang kepada semua manusia membela diri secara terbuka dan bertamadun apabila dituduh dengan tuduhan yang amat tidak masuk akal akibat dangkalnya kajian dan penelitian pihak tertentu. Adalah amat malang bagi Malaysia jika mereka yang dirujuk ada kepentingan peribadi dan kecelaruan minda dalam menilai sesuatu perkara akibat kesan idea asal mereka yang sememangnya diketahui adalah masalah yang ramai pihak mengetahuinya.

“Zaman untuk menggunakan kuasa secara membabi buta tanpa sokongan perundangan dan keadilan sejati sudah berakhir. Pihak yang suka menyalahgunakan kuasa dan premis pihak berkuasa wajar disiasat apabila mereka didapati suka menghasut untuk mendatangkan ketidakstabilan dalam negara ini,” katanya lagi.

Read More...

26 July 2011

Isu Wahabi: Asri nasihat ulama muda kaji kedudukan mereka dalam Umno

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berharap ulama-ulama muda, yang menyertai Umno tahun lalu, mengkaji balik kedudukan mereka dalam parti itu ekoran tindakan pihak tertentu terus mengaitkan mereka dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas.

Isu ini menjadi perhatian ekoran laporan media semalam bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meminta para mufti dan agensi agama negeri mengambil tindakan memantau amalan tersebut.

Asri dan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi mengenai laporan media semalam.


Sehubungan itu, Asri (gambar) berkata, beliau terkejut apabila ada pihak yang menganggap sekitar 40 ulama muda, kebanyakannya merupakan rakan beliau dan menyertai parti teras Barisan Nasional (BN) itu setahun lalu, didakwa menggunakan politik sebagai platform untuk mengembangkan fahaman Wahabi dan dikaitkan boleh menjurus kepada aktiviti pengganas.

“Saya tahu mereka ini (ulama muda) bertungkus-lumus membantu Umno dalam menjalankan tanggungjawab sebagai ulama muda dalam parti politik dan menjalankan kerja-kerja mendakwah, tetapi mereka dilabelkan macam ini.

“Jadi, saya meminta mereka mengkaji semula kedudukan mereka dalam parti (Umno), sama ada mahu kekal sebagai ulama muda dalam Umno,” kata Asri kepada The Malaysian Insider hari ini.

Dalam tulisan di laman Facebooknya semalam, Asri berkata “pada hari ini satu taklimat keselamatan diberikan kepada para mufti dan pegawai agama di seluruh negara... tamat pada pukul 1 tengah hari... beberapa tokoh dimasukkan sebagai mengancam keselamatan negara... saya pun dimasukkan juga... saya tidak kisah, memang ada pun pendapat saya yang tidak sama dengan kerajaan pusat termasuk dalam isu Bersih.”

“Namun yang peliknya 40 ulama muda Umno juga dimasukkan dalam senarai pengganas khusus Ustaz Fathul Bari (Mat Jahya)... demikian setelah mereka berhempas membela kerajaan Umno, inilah balasannya.”

Malah kata Asri, “(kerajaan) Arab Saudi dan ulamanya dianggap negara pengganas.. parti politik tertentu yang menerima bantuan daripada Arab Saudi juga dianggap ada unsur pengganas... sudah pasti lulusan Madinah semuanya pengganas... inilah apabila madu dibalas racun, penawar dibalas tuba... elok ulama muda Umno mengambil langkah yang drastik...”

Ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu dilihat sebagai rakan Asri. Asri juga pernah dikatakan akan menyertai Umno bersama mereka ketika itu, tetapi bekas mufti itu memutuskan untuk kekal di luar arena politik dan meneruskan pendirian beliau tanpa memihak mana-mana pihak.

Cakap-cakap mengenai isu Wahabi dan penyertaan ulama muda dalam Umno pernah kedengaran sebaik sahaja mereka menyertai parti itu tahun lalu tetapi dinafikan oleh mereka dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider.

Difahamkan mesyuarat pagi semalam merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan terorisme.

Mesyuarat itu adalah susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi.

Difahamkan mesyuarat semalam telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Selain Asri antara nama yang disebutkan ialah Fathul dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Dalam komen awal semalam, Asri berkata beliau terkejut dengan kemunculan semula isu amalan Wahabi sedangkan menurut beliau ia sepatutnya sudah “reda.”

Sementara itu, Fathul Bari memberitahu semalam bahawa beliau tidak mahu memberi sebarang komen berhubung perkembangan terbaru ini.

Beliau sebaliknya menegaskan agar pihaknya diberi peluang untuk membuat penjelasan dengan MKN.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Juanda juga muncul. Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.

The Malaysian Insider difahamkan nama Hadi dan Shahidan tidak muncul kali ini.

Isu itu sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Mengulas lanjut, Asri memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihak berkuasa boleh memanggilnya untuk mendapatkan penjelasan pada bila-bila masa, bukannya membuat tanggapan sedemikian.

“Dua hari lalu, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ada datang berjumpa saya di rumah saya (di Pulau Pinang). Ketika masa perhimpunan Bersih 2.0, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga ada menghubungi saya untuk berkongsi pandangan.

“Jadi, mereka (pihak berkuasa) boleh menghubungi saya bila-bila masa jika memerlukan maklumat dan penjelasan... bukan menyenaraikan dan melabelkan seperti ini,” kata tenaga akademik Universiti Sains Malaysia ini, yang akhir 2009 dikenakan dakwaan oleh Jabatan Agama Islam Selangor mengadakan kuliah agama tanpa tauliah di Hulu Klang.

Bertolak daripada pendiriannya berkaitan dengan isu-isu politik mutakhir, Asri juga berkata, pihak-pihak tertentu menentang fahaman Wahabi kononnya membawa fahaman sempit dan bertentangan dengan prinsip sebenar Islam.

“Saya menyokong usaha menentang jika fahaman Wahabi membawa fahaman sempit. Tetapi pihak yang membawa amalan Wahabi cuba membawa unsur progresif dan unsur-unsur yang sesuai dengan persekitaran moden, tetapi tidak meninggalkan prinsip Islam... misalnya isu kedudukan wanita dalam masyarakat.

“Seperti yang dikatakan oleh Barat, kita patut menentang dan mengelak perkara-perkara yang membawa kepada fahaman sempit,” kata Asri sambil menambah, “dalam perkembangan sekarang, mereka yang menentang kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan berhimpun juga seharusnya dianggap sebagai mereka yang mengamalkan fahaman Wahabi.”

“Sebab mereka tidak dapat membezakan antara fahaman progresif dan konservatif,” katanya lagi.

Asri merupakan antara tokoh agama progresif memberikan pandangan dan pendirian terbukanya mengenai perhimpunan Bersih 2.0 yang berlangsung di ibu negara 9 Julai lalu. Ia dikatakan kurang disenangi oleh sesetengah pihak dalam kerajaan dan Umno.

Read More...

Lagi pemimpin Umno tak setuju kaitkan Wahabi dengan terorisme

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Tindakan melabel kumpulan atau individu tertentu termasuk bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang didakwa mengamalkan Wahabi, dengan aktiviti terorisme hanya akan memecahbelahkan umat Islam negara ini, kata Datuk Saifuddin Abdullah.

Justeru tegas ahli Majilis Tertinggi Umno ini, beliau (gambar) tidak bersetuju dengan tindakan melabelkan orang tertentu sebagai pengamal Wahabi dan kemudian merumuskan mereka sebagai pengganas.

“Saya tidak setuju langkah melabelkan orang tertentu sebagai Wahabi selanjutnya menyebabkan dia dilabelkan sebagai teroris (pengganas).


“Langkah melabelkan ini hanya memecahkanbelahkan umat Islam...dalam Islam ada adab berbeza pendapat, tapi janganlah kerana berbeza pendapat sehingga terbawa-bawa dengan melabelkan seseorang itu sebagai Wahabi atau teroris,” kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi kepada The Malaysian Insider.

Ia dilihat sebagai pandangan susulan mempertahankan Asri daripada label sedemikian.

Dalam pandangan yang disiarkan menerusi blognya, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin melahirkan pendirian agar Asri dan mana-mana pihak yang dikaitkan dengan amalan Wahabi atau pengganas diberi peluang membela diri bagi menjelaskan kedudukan mereka.

Khairy menegaskan sebarang maklumat yang telah dibentangkan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hendaklah diteliti dan dihalusi secara adil dan amatlah tidak wajar sekiranya pihak yang berkenaan bersifat melulu dengan terus menjatuhkan ketetapan atau hukum tanpa usul periksa dan tidak memberikan peluang membela diri.

“Pada masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa daripada pengamatan serta pengalaman saya bertukar pendapat dengan beliau, saya dapati Dr Asri adalah seorang tokoh cendiakawan Islam yang begitu menonjol dengan pemikiran beliau yang bukan sahaja terbuka, moderat bahkan progresif di dalam usaha memajukan ummah serta usaha-usaha dakwah,” kata Khairy.

Laporan media menyebut pihak berkuasa telah mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme semalam.

Difahamkan mesyuarat yang dihadiri para mufti dan agensi agama telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin popular negara termasuk tokoh agama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Antara nama itu ialah Asri, yang pernah dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Isu mengaitkan Asri dengan fahaman Wahabi dan pengganas Jemaah Islamiah (JI) muncul awal tahun lalu.

Ketika itu nama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya juga muncul.

Nama tokoh-tokoh itu dilaporkan dibangkitkan pada satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman ketika itu.

Tambah Saifuddin, beliau berharap mana-mana pihak tidak lagi mengaitkan individu tertentu dengan fahaman Wahabi dan aktiviti terorisme kerana ia adalah strategi Barat untuk menentang Islam.

“Kita perlu faham bahawa Wahabi adalah fahaman agama yang diamalkan di Mekah dan Madinah. Adakah bermakna umat Islam Malaysia tidak boleh menunaikan Haji?

“Strategi mengaitkan Islam dengan terorisme adalah strategi Barat, kita menentang terorisme tapi kita tidak perlu menggunakan strategi seperti Barat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.

Isu Wahabi sekali lagi muncul April lalu apabila seorang pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesyaki Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang berada di Malaysia, cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform “kerajaan dengan kerajaan.”

Saifuddin dalam satu jawapan di Dewan Rakyat pada Jun 2010 pernah menyebut bahawa “saya tidak fikir kita sesuai untuk melabelkan organisasi atau individu tertentu dengan Wahabi dan kerana itu dia ada kaitan dengan terrorism.”

“Ini dengan izin, ‘over stretching the argument’. Oleh sebab itu, saya melihat tidak ada alasan kukuh untuk melibatkan empat orang itu sebagai Wahabi kah, atau terorisme kah,” kata beliau merujuk kepada Asri, Hadi, Juanda dan Shahidan.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas