BlogList Malaysia

14 August 2011

Wahabi: Juanda harap Uthman akur nasihat Jamil Khir

Mufti Perlis terus meletakkan harapan agar pendakwah bebas Dr. Muhammad Uthman El Muhammady akan akur kepada nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang turut mahu kedua-dua tokoh agama itu berdialog bagi menjernihkan isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi.

Dalam satu kenyataan kelmarin Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata beliau berharap dan amat baik bagi kedua-dua personaliti itu akan bertemu dan berbincang secara berhemah kerana perbincangan dalam apa jua isu sememangnya dituntut dalam Islam.

“Saya harap mereka dapat ambil berkat dan semangat bulan Ramadan sekarang,” kata Jamil Khir.


Sehubungan itu kata Dr Juanda Jaya,”saya ingat... kita menyeru Dr Uthman akur dengan nasihat Datuk Seri Jamil Khir,” kata Juanda ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Uthman yang dihubungi The Malaysian Insider enggan mengulas lanjut perkara ini atas alasan mahu menghormati bulan Ramadan.

“Biar keadaan reda dulu, saya tidak mahu kata apa-apa sekarang,” kata beliau.

Juanda berkata pihaknya berharap Uthman akan menerima pelawaan beliau untuk berdialog untuk memperjelaskan keadaan memandangkan “kita tahu bahawa kerajaan tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Dr Uthman.”

“MKN (Majlis Keselamatan Negara) juga sudah memberikan pendirian mereka, saya berharap Dr Uthman akan menerima nasihat Menteri,” katanya Juanda lagi.

Sebelum ini Juanda berkata Uthman membalas pelawaan beliau dengan mengenakan pelbagai syarat seolah-olah enggan bertemu sedangkan Uthman pula menegaskan beliau tidak pernah menolak pelawaannya.

Berhubung soalan sama ada pihaknya akan mengatur pertemuan dua ulama itu, Jamil Khir menambah, soal itu termasuk masa dan tempat terpulang kepada pihak berkenaan.

“Biar mereka sendiri yang putuskan mengikut kesesuaian dan keselesaan masing-masing,” katanya dipetik akhbar kelmarin.

Dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider Rabu lalu, Juanda berharap Uthman akan menerima pelawaan mereka.

“Kami sudah beri cek terbuka, kami (tetap) menanti kehadiran beliau,” kata Juanda Jaya berhubung laporan terbaru semalam menyebut Uthman tidak menolak pelawaan Juanda agar diadakan satu dialog ketika Ramadan berhubung isu “kesesatan” dan “keganasan” Arab Saudi, yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi,” katanya.

Hari ini, Juanda menjelaskan, beliau masih meletakkan harapan agar Uthman akan menggunakan bulan Ramadan, yang tinggal sekitar dua minggu lagi, untuk datang ke Perlis bagi mengadakan dialog.

Laporan media Isnin lalu memetik Uthman berkata beliau mahu dialog yang disyorkan itu tetapi perlu diadakan secara tertutup.

“Saya tidak menolak untuk berdialog, tetapi saya mahu majlis itu diadakan secara tertutup dengan penganjuran daripada Kementerian Dalam Negeri,” kata beliau.

Juanda berkata, surat jawapan yang dibalas Uthman lebih seminggu lalu dengan jelas menunjukkan beliau telah menolak pelawaan Jabatan Mufti Perlis agar datang ke Perlis untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang telah dibangkitkan pada satu mesyuarat MKN tiga minggu lalu.

Juanda juga berkata beliau dari awal-awal lagi sudah menjangkakan bahawa kerajaan akan memberi pandangan dan pendirian yang ia tidak terlibat dalam dakwaan kononnya wujud elemen “kesesatan” dan “keganasan” di sebalik fahaman Wahabi.

“Kerajaan tidak terlibat dalam pandangan-pandangan pelik dan janggal yang dibuat,” kata Juanda.

Oleh itu kata beliau, Jabatan Mufti Perlis berharap dakwaan dapat diperjelaskan agar pihak yang menuduh dan dituduh termasuk kerajaan Arab Saudi dapat gambaran yang jelas dan membersihkan keadaan.

“Dengan penjelasan Dr Uthman sendiri, orang yang dituduh akan mendapat gambaran yang sebenar... kita berharap sangat keadaan dapat dijelaskan,” katanya lagi.


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas