BlogList Malaysia
Showing posts with label prk kota siputeh. Show all posts
Showing posts with label prk kota siputeh. Show all posts

16 October 2011

Perangai Buruk Adun Kota Siputeh Yang Pemalas Masuk Mesyuarat DUN

Kerajaan Negeri Kedah akan mengadakan Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kubang Pasu, yang akan diadakan di Pekan Kodiang pada 26 Oktober 2011. Program yang akan dirasmikan oleh YAB Menteri Besar itu adalah program kerajaan negeri, bukan program politik.

Tapak yang dicadangkan untuk diadakan Program Mesra Rakyat itu ialah di tapak milik Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP). Di situ ada sebuah dewan yang dibina oleh MDKP dengan mengguna peruntukan Pusat, dibina pun atas tanah milik MDKP. Belum sempat JKR serah dewan atau bangunan itu kepada MDKP pada 2008, kerajaan bertukar tangan. Tiba-tiba UMNO yang tiada kena mengena terhadap pemilikan bangunan itu ‘merampas’nya dari JKR, depa pulak yang pegang kunci.

Kerajaan negeri bercadang nak guna dewan itu sebagai sebahagian dari acara Program Mesra Rakyat, buat permohonan dengan baik untuk menyewa dari pemegang kuncinya iaitu UMNO Kodiang. Bila sampai cerita ni dekat Ketua UMNO bahagian Jerlun, Dato’ Abu Hasan Sarif dengan angkuhnya permohonan itu dicantas! Apa jadi pun sekali-kali jangan bagi dekat kerajaan negeri buat program... tegas Pak Abu.


Nak habag bagi dekat seluruh rakyat jelata negeri Kedah.. itulah UMNO. Dalam keadaan jadi pembangkang, tak dak kuasa pun angkuh bukan main. Mai kita tengok sikap kerajaan PAS negeri Kedah dalam isu penggunaan reta meredak milik kerajaan negeri kepada pihak pembangkang iaitu UMNO/BN di Kedah ni:
1.
1. Dato’ Ahmad Bashah guna premis pejabat penghulu mukim Mergong (milik kerajaan negeri) sebagai Pusat Khidmat DUN Bakar Bata dan Pejabat UMNO Bahagian Alor Setar.. sampai laa ni pun kerajaan negeri tak pernah halau.

2. UMNO Kuala Kedah buat mesyuarat agong kat dewan MBAS, pihak MBAS bagi kebenaran. Begitu juga beberapa UMNO bahagian yang lain, guna premis kerajaan negeri buat mesyuarat agong... kerajaan negeri tak pernah halang.

3. Perdana Menteri, DS Najib turun Kedah buat program kat perumahan awam Mergong, padang awam Guar Chempedak, Mini Stadium Pendang dan Dewan wawasan Jitra – semua milik kerajaan negeri dan di semua tempat kerajaan negeri beri kebenaran.

4. UMNO Kedah buat Rumah Terbuka Aidil Fitri besar-besaran di Stadium Suka Menanti, Dato’ bashah sendiri telefon MB minta kebenaran, MB kata tak dak masalah.. buatlah!

5. BN Kedah buat majlis Penerangan Perdana kat Dewan Wawasan Jitra, hentam PAS Pakatan Rakyat.. tak dak masalah ni negara demokrasi, buatlah kerajaan negeri tak pernah halang.

Tapi bila kerajaan negeri nak buat program kerajaan (bukan program politik) atas kehadiran MB, UMNO dah jadi sawan.. halang habis-habisan. Itu pun nak kira dewan tu bukan milik UMNO, depa cuma pegang kunci.. tapi angkuh lebih dari depa tu pegang kunci dunia. Depa tak sedaq kaa.. dewan yang dibina dari peruntukan Pusat tu adalah dibina dari duit cukai yang dikutip dari rakyat Kedah, termasuk orang PAS jugak. Baru pegang kunci dewan bukan main angkuh, sombong dan takabur lagi..

Macam nilah, nak bagi senang urusan rakyat lepas ni kita bagi sama pemerintahan Pusat dan Negeri... kat Pusat kita bagi PR merintah, kat negeri pulak kita jangan bagi dekat BN.. baru sama.

Depa tak bagi guna dewan tu, Program Mesra rakyat tetap akan diadakan di Pekan Kodiang. Bumi Allah taala ni luas, banyak lagi tempat boleh buat. Hangpa rantailaa dewan tu, boh pedai ayam banyak2, kawai dengan parang... tapi ingat setakat PRU ke 13 saja noooo.

Kedah La

Read More...

22 August 2011

Peringatan Untuk Adun Kota Siputeh Yang Pemalas..

Kes Kota Siputeh : Tok Abu jangan dok balog lagi nooo…

Macam hadiah rayalah bila Tok Abu Hassan dikekalkan sebagai ADUN Kota SiPuteh dan tersenyum lebaqlah Tok Bashah kerana mungkin baginya mereka dah menang.

Kalau dah dikekalkan balik itu maknanya rezeki..dan nak uji sekali lagi komitmen kerja sebagai ADUN. Tapi sedaq tak sedaq sekurang-kurangnya 50 peratus kreabiliti Tok Abu Hassan dah down. Mana tidaknya…gagal hadir dalam sidang dun…bukan sekali.. lebih dari tu…kalau sekadar difitnah dalam isu-isu tertentu..bila dah dilepaskan mahkamah..kira macam cuci baliklah fitnah tu..tapi yang ni adalah fakta dan tidak akan boleh berubah.

Sekonyong-konyong Tok Mahdzir pun berkatalah…jangan ada mana-mana pihak mempertikaikan keputusan mahkamah. Sedap bebenor SM dengar..selama ni..siapa yang tak hormat keputusan mahkamah? Dan siapa yang suka mendahului keputusan mahkamah..tak lain tak bukan hampalah UMNO APCO..


Maka bersuaralah Tok Bashah..keputusan yang memihak kepada Be End tu menandakan permulaan positif untuk Be End untuk kembali menawan Kedah. Tapi Tok Bashah lupa…kalau macam gitu rophenyer wakil rakyat kome..tak hadir sidang dun..positif pemendanya..

Rakyat semua tau…Be End/UMNO APCO akan berbuat apa saja asalkan Tok Abu Hassan memang dalam kes tu…apa yang Be End/ UMNO APCO tak kuasai..kalau badan bebas pun boleh depa kontrol..ni pula yang memang dah lama setia menjadi badut-badut lawak bodooo Be End/UMNO APCO yang memang tengah tunggu masa nak labuhkan tirai….

Walau bagaimana pun…SM hormat keputusan mahkamah tu..Cuma berharap Tok Abu Hassan jangan ponteng-ponteng lagilah ye…kalau pelajar sekolah..kerap ponteng…dicop pelajar malas..kalau wakil rakyat kerap ponteng..wakil rakyat baloq la pulak…

Oleh : SERIKANDI MUJAHIDAH


Read More...

29 July 2010

Rayuan Kes Dun Kota Siputeh Diketahui Hari Ini

Tarikh pendengaran rayuan berhubung pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh akan ditentukan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya telah menerima notis dari Mahkamah Rayuan mengenai pengurusan kes tersebut dan akan menghantar dua wakil bagi pihak kerajaan negeri.

"Kita akan menghantar penasihat undang-undang mewakili kerajaan Kedah sebagai pemerhati bersama-sama peguam kerajaan negeri ke Mahkamah Rayuan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini.

Pada 24 November tahun lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk membenarkan penangguhan interim (sementara) yang dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh sementara menunggu rayuan.


SPR mengemukakan rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan berlaku kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh, seterusnya mengundang satu lagi pilihan raya kecil berikutan kegagalan Ahli DUN kawasan tersebut, Datuk Abu Hasan Sarif menghadiri sidang Dewan pada 19 April dan 9 Ogos tahun lalu.

Dalam pada itu, Azizan berkata, beliau mahu pilihan raya kecil diadakan secepat mungkin di kerusi Kota Siputeh kerana mendakwa ia akan dapat menyelesaikan banyak masalah.

Katanya, ia antara lain bagi memastikan rakyat di kawasan DUN itu mempunyai wakil mereka selepas 'tergantung' tanpa wakil rakyat untuk satu jangka masa yang agak lama.

Malah, katanya, pilihan raya kecil itu juga boleh dijadikan sebagai kayu ukur untuk melihat sejauh mana sokongan rakyat terhadap pemerintahan pakatan pembangkang yang diterajui Pas di negeri ini.

"Saya mahu ia diadakan cepat sebab saya rasa saya cukup kuat sekarang ini untuk menang pilihan raya kecil Kota Siputeh. Kami mahu tambah kerusi Pas di dalam Dewan,'' katanya.

Dalam perkembangan lain, Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, pilihan raya umum wajar berjalan serentak di seluruh negara bagi memudahkan urusan pengendaliannya.

Beliau bagaimanapun menyerahkan kepada SPR untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

Read More...

28 April 2010

Kerusi Kota Siputeh Tetap Kosong - Speaker Kedah

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Abdul Isa Ismail tidak akan menimbangkan semula keputusan mahu wakil rakyat Kota Siputeh, Datuk Abu Hasan Sarif digugurkan kerana gagal menghadiri persidangan DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya.

Tegasnya, beliau tetap dengan pendiriannya itu kerana tiada ruang untuk membuat pertimbangan mengikut peruntukan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri sekalipun berasaskan budi bicara.

"Nak timbang macam mana kerana peruntukan itu begitu tegas," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas permintaan agar menimbangkan semula keputusannya yang mahu Abu Hasan mengosongkan kerusinya berdasarkan Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.


Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd. Johari Baharom semalam dilaporkan berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas seharusnya menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri itu daripada memenuhi kepentingan diri semata-mata.

"UMNO tidak menafikan kesalahan Abu Hasan tetapi perkara itu boleh diselesaikan tanpa melalui pilihan raya kecil," katanya.

Abdul Isa berkata, dalam soal ini, ADUN Kota Siputeh itu tidak seharusnya meminta maaf kepada beliau berhubung kegagalan menghadiri sidang DUN kerana mendakwa kesalahan itu dilakukan Abu Hasan kepada pengundi di kawasannya.

Katanya, Abu Hasan perlu bertanggungjawab mengenai tindakannya itu kepada rakyat di DUN berkenaan dan sewajarnya meminta maaf kepada mereka.

"Saya tiada kuasa untuk memaafkan ADUN Kota Siputeh daripada sudut itu kerana kesalahan itu pada rakyat.

"Saya hanya melaksanakan apa yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah," katanya.

Sehubungan itu, kata Abdul Isa, beliau sedang menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut berhubung perkara berkenaan.

Isu Abu Hasan menjadi kontroversi selepas Abdul Isa menulis surat kepada SPR memaklumkan kerusi Kota Siputeh kosong kerana Abu Hasan dua kali berturut-turut tidak hadir persidangan DUN tanpa kebenaran Speaker pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Mengikut Artikel 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, mana-mana anggota DUN yang tidak hadir persidangan dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker maka kerusi itu hendaklah dikosongkan.

Abdul Isa sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hasan bahawa beliau sakit dan turut menolak permohonan maafnya.

Read More...

26 April 2010

Jika Umno Benar-Benar Jantan, Buka Gelanggang Dun Kota Siputeh

Kali ni di PRK Hulu Selangor memang terang-terang duit dan projek berhambur...macam orang tengah makan nasi terbatuk. Tak ada segan silu, tak ada undang-undang pilihanraya tentang rasuah, tanpa had. Rasa macam rakyat Malaysia yang tinggal di luar Hulu Selangor adalah rakyat kelas kedua kerana terlalu banyak yang diberi kepada mereka yang mengundi di sana. Semua tu duit rakyat Malaysia.

Tanpa berselindung lagi, janji ditabur dengan kata dua: BN mesti menang kalau mahu ia ditunaikan oleh kerajaan (Malaysia). Sudah jemu kita mengulangi bahawa ini adalah rasuah politik dan menyalahi undang-undang dan prinsip demokrasi.
Sejak bila kempen politik jenis ini bermula? Bila ia akan berakhir? Apa kita boleh buat untuk menghentikan trend ini? Treng BN ini telah membentuk sebuah masyarakat pengundi yang berkiblatkan projek dan wang, bukan lagi kesedaran yang dibina dengan ilmu dan maklumat. Negara-bangsa (nation) kita akan dibentuk oleh kelompok rakyat yang boleh dibeli - diumpan. Ini sangat bahaya!

Kebijaksanaan, kesedaran, keupayaan membuat pilihan berasaskan akal dan fikiran yang bersandar kepada ilmu dan maklumat tidak lagi diperlukan untuk memilih kerajaan, hanya yang ada kuasa untuk menabur wang negara atau wang sendiri boleh menguasai pilihan rakyat.Ini juga amat bahaya, andainya jika seorang taukeh dadah atau along bertanding dalam pilihanraya!


Menggunakan kedudukan dalam kerajaan dan berkempen atas kedudukan itu untuk memenangkan parti adalah salah. Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Pertama Malaysia mengambil cuti 3 bulan untuk berkempen dalam pilihanraya. Dia bercakap sebagai Presiden UMNO untuk memenangkan Perikatan. Kini PM Najib, Muhyiddin dan semua menteri berkempen, bercakap dan menggunakan peruntukan dalam kementerian masing-masing untuk membeli undi bagi pihak BN. Hal ini sudah banyak disyarahkan, tapi ia terus diulangi dan semakin berkembang. Apa jenis demokrasi ni?

Ia boleh dihentikan! Jangan undi BN dalam PRU ke 13, walaupun BN menghempapkan gunung emas sebesar Bukit Uhud di depan rumah kita. Agama, negara-bangsa, maruah, akal budi, ilmu, kesedaran, kefahaman dan generasi akan datang lebih penting dari segunung emas! Berapa ramai yang mampu menggenggam prinsip ini?? Mari kita teruskan pembinaan rakyat dari kelompok ini!

Kalau Berlaku PRK di Kota Siputeh....
PAS tidak akan menggunakan kerajaan negeri untuk kepentingan parti! Ini sudah ditegaskan oleh YAB MB sejak awal lagi. Ada beberapa permohonan bantuan dari Kota Siputeh selepas kerusi itu diistiharkan kosong oleh mahkamah, antaranya permohonan memperbaiki dewan dan pagar sebuah sekolah cina di situ. MB dengan tegas menjawab, kita akan beri, tapi tunggu lepas pilihanraya, nanti dilihat sebagai 'rasuah politik' pulak.
.
YAB juga mengarahkan program Pemimpin Bersama Rakyat yang dijadualkan di Jerlun dibatalkan, buat di daerah lain. Nanti orang tuduh kita guna kedudukan sebagai MB dan Exco untuk kempen untuk PAS. Kita akan guna jentera parti sepenuhnya kalau berlaku PRK di Kota Siputeh. Kita menang dulupun bukan ada jentera kerajaan tolong kita. Kalau rakyat marah, gunalah jentera kerajaan samahunya macam BN dulu, depa kalah juga.
.
Sampai sekarang, walaupun kerajaan negeri sudah berpendirian bahawa kerusi itu kosong, tak ada sebarang projek segera dibuat di sana, selain daripada projek yang sudah diluluskan dalam Perancangan Plan Pembangunan Daerah, mengikut prosedur biasa.
.
Saya percaya, Malaysia akan melalui satu dimensi baru berparti politik andainya berlaku PRK di Kota Siputeh. Alangkah baiknya kalau berlaku jentera parti lawan jentera parti dalam PRK itu nanti, PAS Kedah sudah bersedia ke arah itu, BN bagaimana?

Muhammad Sanusi Md Nor
SETPOL MB Kedah

Read More...

16 January 2010

PRK Dun Siputeh Semakin Hampir, Peruntukan Sudah Mula Turun

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah memperuntukkan sebanyak RM7.3 juta untuk pembangunan kemudahan tadika-tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh Kedah bagi tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, daripada jumlah berkenaan, lebih RM5 juta diperuntukkan untuk menaik taraf peralatan-peralatan supaya sistem pendidikan peringkat tadika dapat dipertingkatkan.

"Bagi negeri ini, tiga kelas baru akan dibuka kerana jumlah pelajar semakin meningkat, lokasinya telah dikenal pasti dan akan dimaklumkan kemudian," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama waris-waris pelajar tadika Kemas Dewan Undangan (DUN) Kota Siputeh dan kaunter khidmat rakyat, di Kodiang dekat sini hari ini.

Katanya, setakat ini terdapat 738 kelas tadika Kemas di negeri ini, dengan bilangan pelajar melebihi 18,000 orang pada tahun ini, berbanding lebih 17,000 pelajar pada tahun lepas.

Mohd Shafie berkata, peruntukan bagi tadika Kemas seluruh negara pada tahun ini pula mencecah RM100 juta.

Sementara itu, mengenai kaunter khidmat rakyat yang julung kali diadakan hari ini, beliau berkata, sambutan amat menggalakkan dan ia memudahkan pihak kementerian mengenal pasti masalah yang dihadapi rakyat di peringkat akar umbi.

"Ini konsep pertama yang kita bawa untuk mendengar masalah dan rungutan rakyat, selepas dapat semua maklumat kita akan cuba selesaikan segera dan hari ini sambutan sangat menggalakkan, ramai masyarakat datang," katanya. - BERNAMA

Read More...

29 November 2009

Perdana Menteri Pun Boleh Hilang Jawatan Apatah Lagi ADUN

PM Vanuatu Hilang Jawatan Kerana Tidak Hadir Sidang Parlimen

Di luar negara, PM pun hilang jawatan kerana langgar undang-undang parlimen.
Parlimen sesebuah negara itu begitu tinggi martabatnya...
Di Malaysia undang-undang macam sampah...
Parlimen macam pondok-pondok..
Kalau melibatkan kerajaan BN undang-undang dan dewan sendiri tidak dihormati...
Speaker tiada kuasa...
Hinggakan di Kota Siputeh sendiri pun boleh dipertikaikan kekosongan kerusi?!.
Inilah masalah bila Undang-undang 1Malaysia yang digunakan double standard
Undang-undang haprak!! :Author Faethal



Bekas Perdana Menteri Vanuatu, Edward Natapei

Perdana Menteri sebuah negara di salah satu kepulauan Pasifik yang kecil, Vanuatu telah menanggung aib dan kehilangan pekerjaannya, selepas dia kehilangan kerusinya di parlimen kerana tidak menyerahkan surat tidak hadir kepada dewan.

Perdana Menteri Edward Natapei telah melanggar satu peraturan sebagai ahli parlimen di Vanuatu, dimana seorang ahli parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka tidak hadir tiga kali berturut-turut di persidangan parlimen tanpa memberitahu speaker sebab ketiadaan mereka.

Apa yang perlu dilakukannya kerana urusan rasmi hanyalah dengan menyerahkan satu nota pemberitahuan yang bertandatangan untuk memaklumkan mengapa beliau tidak dapat hadir. Tetapi, kerana satu kesilapan yang disebut seorang penganalisis sebagai 'flabbergasting', pejabat Perdana Menteri terlepas pandang undang-undang ini - dan ini menyebabkan Natapei telah kehilangan kerusinya, dan negara Vanuatu berada di dalam krisis politik.

Kabinet Natapei dengan segera mengadakan persidangan tergempar, manakala Natapei yang sedang menghadiri sidang kemuncak Komanwel di Trinad dan Tobago segera pulang ke Vanuatu.

Vanuatu kini dipimpin oleh kerajaan sementara sehingga parlimen itu memilih seorang perdana menteri yang baru pada minggu depan.

Sumber : www.metro.co.uk

Read More...

25 November 2009

Speaker Terima Penggantungan Pilihan Raya Kecil Kota Siputeh

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail menerima dengan terbuka perintah penggantungan sementara Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.

Beliau berkata keputusan penggantungan yang dibuat semalam, ada rasionalnya kerana mahkamah telah memberi alasan yang munasabah.

"Mahkamah Tinggi telah membuktikan saya betul tetapi saya tidak tahu bagaimana dengan keputusan Mahkamah Rayuan nanti," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Aman, di sini Rabu.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak boleh berbuat apa-apa jika kes itu mengambil masa yang lama untuk diselesaikan kerana segalanya terletak dalam bidang kuasa mahkamah.

"Tetapi secara rasmi memang kerusi DUN Kota Siputeh kosong dan sepatutnya ia tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana rakyat perlu ada wakil mereka," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak juga menerima penggantungan sementara itu dan Kerajaan Negeri juga menerimanya dengan terbuka tanpa bantahan.

Beliau berkata, sekiranya pilihan raya kecil diadakan nanti, PAS akan bersedia bertanding dengan siapa pun calon yang akan diletakkan Barisan Nasional (BN). BERNAMA

Read More...

24 November 2009

Kota Siputeh - Seperti Dijangka, Mahkamah Menyebelahi SPR/BN

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonan penangguhan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya mengadakan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menolak permohonan SPR untuk menangguhkan perintah tersebut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu diumumkan kira-kira jam 7.30 malam. Esok merupakan tarikh akhir bagi SPR melaksanakan perintah mahkamah tinggi supaya mengeluarkan writ pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, SPR boleh menangguhkan pengeluaran writ tersebut untuk mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.

Keputusan hari ini dibuat sebulat suara oleh panel hakim yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie. Dua lagi hakim ialah Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd Aziz Abdul Rahim.

Mengikut undang-undang, apabila SPR telah mengeluarkan writ tersebut, maka ia tidak boleh dibatalkan.

Sebelum itu, peguam kanan persekutuan, Kamaluddin Md Said berhujah bahawa wujud keadaan tertentu yang membolehkan penangguhan itu dibuat.

Katanya, jika SPR sudah menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian, dan jika rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi kemudiannya dibenarkan, maka pilihan raya kecil itu adalah satu pembaziran dana awam.

Kamaluddin juga menegaskan, jika pilihan raya kecil diadakan, ia mungkin menyebabkan ada dua wakil rakyat, jika rayuan SPR dibenarkan.

Manakala peguam kanan Sulaiman Abdullah, yang mewakili speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail pula berkata, jika mahkamah membenarkan penangguhan itu, ianya hanya menghalang perjalanan perlembagaan kerana kerusi tersebut telahpun diisytiharkan kosong.

"Apabila sesebuah kerusi diisytiharkan kosong, maka pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dan writ pilihan raya hendaklah dikeluarkan esok," katanya.

Sulaiman berkata, juga tidak ada keperluan segera untuk memberi penangguhan kerana Mahkamah Rayuan boleh mendengar rayuan SPR sebelum tempoh 60 hari itu.

Maka katanya, tidak ada keperluan segera untuk mahkamah membenarkan penangguhan.

Tambahan lagi, katanya, mengikut undang-undang, mahkamah tidak boleh memberi sesuatu penangguhan terhadap mana-mana perintah yang dipohon.

Read More...

Kota Siputeh: Mahkamah sedang dengar 2 rayuan serentak

Panel tiga hakim mula bersidang untuk mendengar serentak rayuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerusi Kota Siputeh Datuk Abu Hasan Sarif yang kerusinya diisytiharkan kosong.

Panel hakim terdiri daripada Datuk Sulong Mat Jeraie, Datuk Kang Hwee Gee dan Datul Abdul Aziz Abd. Rahim.

Pagi tadi, Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mendengar rayuan Abu Hasan dari Barisan Nasional (BN) yang minggu lalu diisytiharkan sebagai bukan lagi wakil rakyat Kota Siputeh pada pukul 2.30 petang ini.

Pada masa yang sama, wakil dari Jabatan Peguam Negara Datuk Kamaludin Md. Said yang bertindak bagi pihak SPR mengesahkan Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan mereka berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan agar diadakan pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, pasukan peguam yang mewakili Speaker Kedah ketika dihubungi melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan tersebut.

Peguam Edmund Bon yang dihubungi The Malaysian Insider berkata, perkembangan tersebut itu menyamai situasi ketika kes krisis Perak awal tahun ini.

“Pasukan yang sama, sifat kes yang sama,” kata Bon sambil menambah beliau terpaksa membatalkan segala temu janji sepanjang hari ini untuk bergegas ke Putrajaya.

MENYUSUL LAGI

Read More...

Kota Siputeh - SPR Bertindak Mengalahkan Parti Bertanding

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan harapan yang tinggi kepada panel hakim Mahkamah Rayuan yang akan mendengar rayuan mereka esok berhubung kedudukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah yang diisytiharkan kosong.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihakanya berharap Mahkamah Rayuan akan meneliti kes ini dengan sebaik mungkin kerana ia pertama kali berlaku di negara ini.

"Kita berharap Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan kita dan buat keputusan yang memihak kepada kita.

"Harapan kita agar panel hakim akan meneliti kes ini secara rapi kerana kes ini merupakan kes pertama kali dalam sejarah pilihan raya di Malaysia... sangat penting bagi rujukan pada masa-masa akan datang," kata kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai perkembangan terbaru berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasakuasa Khas) hari ini yang menolak permohonan SPR untuk mendapat perintah menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong.

Selain itu Wan Ahmad berkata, SPR berharap Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan dengan segera berhubung kedudukan kerusi DUN Kota Siputeh kerana pihaknya hanya mempunyai masa kurang sehari bagi mengeluarkan writ untuk memanggil pilihan raya.

"Kita jangkakan keputusan akan diketahui esok memandangkan kes ini perlu disegerakan sebab jika keputusan Mahkamah Rayuan esok menolak lagi rayuan SPR, maka tempoh yang tinggal untuk SPR menetapkan tarikh-tarikh bagi mengadakan pilihan raya hanya tinggal satu hari iaitu tidak lewat dari 25 haribulan (Rabu).

"Jadi itulah tempoh yang ada kepada kita jika dikira keputusan Mahkamah Tinggi yang isytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong pada 16 haribulan lalu," katanya.

Mengikut peruntukan di bawah Seksyen 12(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981, writ perlu dikeluarkan dalam tempoh sepuluh hari dari tarikh kekosongan.

Pada 16 November lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Ditanya sama ada SPR bersedia menerima sebarang keputusan yang akan dibuat esok, Wan Ahmad berkata: "SPR sentiasa bersedia pada bila-bila masa termasuk untuk mengadakan pilihan raya kecil.

"Tapi bagaimanapun kita masih mempunyai peruntukan undang-undang yang boleh digunakan dalam kes ini... esok adalah hari yang cukup penting bagi SPR." - mstar

Read More...

23 November 2009

Kota Siputeh - Umno Ke Mahkamah Rayuan Esok

Umno akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan esok berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Isnin yang menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendapat perintah menangguhkan keputusan mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sebagai kosong.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata Umno melalui peguamnya Datuk Hafarizam Harun akan mengemukakan rayuan berkenaan.

"Saya baru menghubungi beliau tadi dan sama ada Mahkamah Rayuan boleh membuat keputusan itu esok atau tidak, itu adalah sesuatu yang menarik kerana apa-apa pun SPR perlu membuat keputusan (tarikh pilihan raya, tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian) Rabu ini," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ahmad berkata jentera Barisan Nasional (BN) telah bersiap sedia untuk melaksanakan segala persiapan sekiranya perlu menghadapi pilihan raya kecil bagi kerusi Kota Siputeh.

"Oleh kerana kawasan itu ialah kawasan Umno dan BN, sudah tentu kita akan mengusahakan kemenangan parti dan usaha untuk memastikan, jika boleh ... peningkatan majoriti setelah usaha-usaha di Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan tidak dapat berusaha ke arah itu. Maka kita akan bersiap sedia (untuk pilihan raya kecil)," kata beliau.

Isnin lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi DUN Kota Siputeh kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

-- BERNAMA

Read More...

Kota Siputeh - SPR Gagal Dalam Rayuannya

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan mengosongkan kerusi DUN Kota Siputeh di Kedah minggu lalu.

Suruhanjaya itu bagaimanapun akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung penolakan penangguhan tersebut.

Isnin lalu, hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan bahawa kerusi itu kosong selepas penyandangnya Datuk Abu Hassan Sarif tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Dalam keputusannya, hakim menegaskan bahawa SPR bertindak secara tidak wajar dan keputusan suruhanjaya itu bahawa Abu Hassan masih merupakan wakil rakyat bagi Kota Siputeh dan kerusi DUN itu tidak kosong, perlu dibatalkan.

"Meskipun saya bersetuju bahawa SPR mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan berlaku secara kebetulan, namun saya tidak berpendapat SPR dapat mengatasi kuasa Speaker mengikut Perkara 51 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah," katanya dalam penghakimannya.

"Pada pandangan saya, Perkara 51 menjelaskan syarat yang menyebabkan kerusi menjadi kosong dan responden pertama (Abu Hassan) telah menepati syarat tersebut," kata hakim itu lagi ketika membenarkan semakan kehakiman yang difailkan oleh Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

Speaker DUN itu memfailkan semakan berkenaan pada 1 Oktober, selepas SPR membuat keputusan bahawa tidak berlaku kekosongan dalam kerusi DUN Kota Siputeh dan Abu Hassan masih merupakan wakil rakyatnya.

Abdul Isa memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Abu Hassan bukanlah wakil rakyat berikutan kegagalannya menghadiri dua persidangan DUN berturut-turut iaitu pada 19 April dan 9 Ogos tahun ini, dan kerusi itu adalah kosong.

Dalam permohonannya, Abdul Isa turut memohon perintah bagi SPR mengadakan pilihan raya kecil.-mkini

Read More...

PAS Berhadapan Laluan Sukar Di Kota Siputeh

Pas berhadapan laluan sukar untuk memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah disebabkan Kota Siputeh itu adalah kubu kuat UMNO/Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain kubu kuat, pemilihan calon sebutan ramai, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir juga menyebabkan Pas berhadapan masalah meraih kemenangan di kawasan tersebut.

Menurutnya, Pas dan parti gabungan Pakatan Rakyat (PR) yang lain iaitu PKR dan DAP tidak harus memandang remeh akan kelebihan UMNO/BN itu.

“Jika Mukhriz calonnya, kita (Pas, PKR, DAP) perlu pandang :serius sebab (Mukhriz) ada banyak kelebihan. Selain mempunyai jawatan dalam kerajaan iaitu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, (Mukhriz) dilihat sebagai tokoh yang tidak pernah menimbulkan sebarang kontroversi.

“(Mukhriz) juga Ahli Parlimen Jerlun dan disegani semua penduduk di situ. Malah, kelebihannya sebagai anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagaikan satu bonus kerana sebahagian anak-anak muda di situ melihat Tun Mahathir sebagai pemimpin di hormati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Menurut Saifuddin, kelebihan parti kerajaan tidak bermakna Pas juga tidak miliki sebarang keistimewaan tersendiri.

Katanya, kelebihan tunggal parti pembangkang adalah kejayaan menubuhkan kerajaan PR di Kedah.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, walaupun DUN Kota Siputeh kubu kuat UMNO/BN, tidak bermakna Pas telah gagal sebelum berjuang.

“Kita (PR) akan pastikan menggempur habis-habisan DUN itu sekiranya Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) memutuskan pilihan raya kecil DUN Kota Siputeh perlu diadakan.

“Kita begitu optimis mampu membuat kejutan besar sekiranya jentera PR di semua peringkat melipat gandakan gerak kerja dan bekerjasama dalam semua aspek untuk pastikan DUN Kota Siputeh milik kita,” katanya.

Read More...

22 November 2009

Menanti persaingan sengit di Kota Siputeh

Pengaruh BN makin meningkat berbanding 8 Mac 2008. Itu hasil kajiselidik yang dibuat oleh beberapa kumpulan profesional. Lantas kesimpulan dibuat bahawa jika pilihan raya umum diadakan sekarang maka, BN dapat mengekalkan majoriti dua pertiga di Parlimen dan dapat merampas semula Kelantan dan Kedah, manakala kerajaan katak BN di Perak akan dikekalkan dengan mandat mutlak dari rakyat.

Manakala BN terus menerus menggunakan serangan berangkai media-media talibarut mereka untuk melancarkan serangan ganas terhadap Pakatan Rakyat.
Ia dibantu dengan kehadiran 'budak-budak nakal' (meminjam istilah Mohd Rashidi Hassan) dan pemimpin-pemimpin 'gila bercakap' dalam Pakatan sehingga tidak sedar apa yang mereka ungkapkan itu lebih memudaratkan parti. Isu budak nakal boleh ditangani dengan rotan tetapi jika guru pula yang nakal, ini yang memeningkan kepala ahli-ahli bawahan.

Rashidi menulis: "Penulis sendiri menerima banyak respons dari kalangan penyokong Pakatan Rakyat, semuanya menyatakan betapa tensionnya mereka dengan sikap segelintir pemimpin yang suka bercakaran sesama sendiri."

Rupanya saya tidak keseorang menghadapi situasi yang sama, didesak bertalu-talu oleh ahli-ahli bawahan supaya menggunakan mata pena untuk menegur pemimpin-pemimpin seperti ini.

"Jangan kira, walaupun kedudukan mereka paling tinggi dalam parti ...," ujar seorang ahli yang semacam hilang sabar.

Saya menjelaskan, "Jika kita menggunakan serangan terbuka untuk mengatasi ketidakcerdikan mereka menggunakan media terbuka (kononnya) untuk mengatasi masalah, maka kita pun 'tak cerdik' macam mereka juga, akibatnya parti yang rugi."

Isu-isu percakaran dan komplikasi percakapan akibat 'gila bercakap' memberi impak yang buruk terhadap persepsi pengundi Melayu. Persepsi mereka terhadap Pakatan menjadi negatif.

Bagaimanapun agak melegakan kerana di saat peningkatan sokongan terhadap BN, sokongan pengundi Cina tidak banyak berubah berbanding 8 Mac 2008. Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian sependapat dengan penemuan tersebut. "Sokongan pengundi Cina tidak berubah berbanding tahun lalu," katanya.

Separuh abad PAS sangat bermasalah dengan sokongan orang Cina. Jika selepas 19 bulan orang Cina masih setia bersama BN, ia memberi gambaran bahawa mereka menyokong Pakatan bukan setakat kerana bencikan BN.

Lebih dari itu keyakinan terhadap Pakatan makin mantap. Sebabnya mudah saja, Pakatan dilihat lebih bertoleransi terhadap semua kaum. Manakala BN yang didominasi Umno makin menyerlahkan sikap perkauman Melayu sempitnya.

Di tengah-tengah itu muncul pula pilihanraya kecil Kota Siputeh. Mahkamah Tinggi mengesahkan bahawa Dato' Abu Hasan Sarif hilang kelayakan sebagai ADUN kawasan tersebut setelah dua kali berturut-turut tidak menghadiri sidang Dun.

Baca seterusnya di sini

Read More...

21 November 2009

Kota Siputeh : Apa Tugas SPR nie sebenarnya..???

Read More...

20 November 2009

Kes Kota Siputeh diketahui Isnin

Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) akan membuat keputusan Isnin ini berhubung permohonan penangguhan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap keputusannya pada 16 Nov yang mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan panjang lebar daripada Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said, yang mewakili SPR, dan Sulaiman Abdullah, peguam bagi Speaker DUN Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail.

SPR memfailkan permohonan itu pada 17 Nov selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Pada 1 Sept, Dr Abdul Isa memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.

Di samping permohonan penangguhan, SPR dan Abu Hassan turut memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusan bersejarah itu, Alizatul Khair turut mengarahkan SPR supaya mengadakan pilihan raya kecil bagi kerusi berkenaan.

Dalam penghujahannya, Kamaluddin memberitahu mahkamah bahawa jika permohonan penangguhan itu ditolak, ia akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil yang membabitkan banyak wang dan SPR telah pun membelanjakan RM200,365 pada pilihan raya umum lepas di DUN Kota Siputeh sahaja.

"Ia merupakan pembaziran wang pembayar cukai selain akan mengakibatkan ketidakadilan yang sangat besar kepada suruhanjaya berkenaan," tegas Kamaluddin.

Beliau menggesa mahkamah supaya menggunakan kebijaksanaannya dalam membenarkan penangguhan itu atas dasar terdapat keadaan khas dalam permohonan itu di mana terdapat kemungkinan dua wakil rakyat bagi kerusi berkenaan sekiranya mahkamah membenarkan rayuan SPR selepas pilihan raya kecil itu.

Beliau berkata selain SPR, agensi kerajaan lain akan turut terbabit dalam pilihan raya kecil itu dan mereka terpaksa menanggung perbelanjaan sendiri.

Read More...

SPR belanja RM200,365 untuk pilihan raya DUN Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membelanjakan RM200,365 semasa mengendalikan pemilihan wakil rakyat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh di Kedah pada pilihan raya umum yang lalu.

Perkara itu dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludddin Md. Said di Mahkamah Tinggi di sini petang ini semasa berhujah dalam permohonan untuk menangguhkan pilihan raya kecil kerusi DUN tersebut.

Permohonan itu dikemukakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Kota Siputeh dan Datuk Abu Hassan Sarif bukan lagi wakil rakyat kawasan itu.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan demikian setelah mendapati Abu Hassan gagal menghadiri dua sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu. - Utusan

Read More...

19 November 2009

Kubang Pasu : Hendak lari malu, nak hambat tak lalu

Jika tiada halangan atau campur tangan pihak tertentu dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap permohonan Speaker DUN Kedah, dikira pilihanraya Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh akan diadakan dalam waktu terdekat ini.

Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba datang khabar bahawa Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Kubang Pasu tidak mahu Johari Baharom dikekalkan di Parlimen Kubang Pasu.

Sumber dalaman pemudanya berbisik, "kita mahu Mukhriz Mahathir mewakili bapanya di parlimen berkenaan sebagai ketua bahagian"

Johari dikatakan sudah kurang aktif. Selepas isu rasuah RM5 juta yang dibabitkan sama Musa Hassan dan Polis Di Raja Malaysia tempoh hari, Johari seperti 'koma politik'.

Kata wakil pemuda itu, banyak majlis-majlis yang diadakan tidak mendapat sambutan. Wakil peribadinya di Jitra Hj Shuib juga sudah mandom.

Begitu juga dengan Cik Gu Zul yang menjadi wakilnya di Kementerian, seperti sudah tidak bertenaga dan kelihatan bersedia ke garisan untuk 'cabut'.

Apakah bisikan ini betul di saat UMNO Jerlun yang bersempadan dengan Kubang Pasu bersiap menghadapi pilihanraya Kota Siputeh ?

Jika betul, ia bakal merupakan 'advantage' pertama kepada PAS di Kota Siputeh. Keduanya, Abu Hassan Sarif ADUN sekarang dikatakan sudah bersedia untuk 'mencantas' calon penggantinya. Ketiganya, ramai pemimpin UMNO Kedah mahu Abu Hassan pergi meninggalkan DUN tersebut.

Keempatnya, banyak muka-muka baru ternganga mahu mereka dicalonkan di tempat itu. Sudah tentu akan berlaku perebutan.

Kelima, Shafie Apdal Pengerusi UMNO Kedah pula dihebohkan akan terlibat dalam rombakan kabinet.

Keenam, Ahmad Bashah Timbalan Pengerusi disifatkan oleh ahli UMNO ada serupa tiada.

Apapun, keputusan Suruhanjaya Pilihanraya pasti dinantikan biarpun Perkara 52 Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah menjadi senjata pemusnah terakhir membersihkan Abu Hassan Sarif.

"Bersesak berundur-undur, hendak lari malu, hendak menghambat tak lalu"

Siapa ?

Orang Kedah kata, "siapa lagi jika bukan UMNO"


http://alkerohi.blogspot.com/

Read More...

Mahkamah tidak berhak putuskan kedudukan Dun Kota Seputeh

Speaker Dun Perak V. Sivakumar semalam menegaskan bahawa kedudukan kerusi Dun Kota Seputeh sama ada kosong atau sebaliknya mesti diputuskan oleh Speaker Dun sendiri.

"Apa yang berlaku dalam Dewan Undangan Negeri mesti diselesaikan dewan (Undangan Negeri), tidak perlu pada keputusan Mahkamah."

Ujar Sivakumar, tindakan Speaker Dun Kedah Datuk Dr. Abdul Isa Ismail mengumumkan kekosongan Dun tersebut berdasarkan Surat Kekosongan Dun yang diterimanya sebelum ini, adalah muktamad.

"Keputusan Speaker (DUN) Kedah adalah muktamad, tidak perlu dan tidak boleh dibawa ke Mahkamah."

Tambahnya lagi, Speaker Dun hanya diminta memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) badap pelaksana itu boleh mengadakan suatu pilihanraya kecil dalam masa 60 hari.

Beliau juga mencabar BN menunjukkan klausa undang-undang yang membenarkan SPR atau Mahkamah sendiri berhak mendahului keputusan Speaker Dun.

"Nampak jelas dia (SPR) dan BN tak boleh campur tangan, sila tunjuk kepada saya di mana kuasa atau di mana autoriti Mahkamah hingga boleh memutuskan kekosongan (Dun Seputeh) itu."

Dakwanya lagi, BN cuba menghalang pilihanraya kecil Dun tersebut dari berlaku.

"BN yang minta jangan kosongkan kerusi itu (Dun Kota Seputeh)."

Dalam perkembangan berkaitan, mahkamah akan memutuskan sam ada menerima rayuan BN agar pilihanraya kecil tidak berlaku di Dun Seputeh esok.

Bagi BN, Datuk Abu Hassan Sarif masih layak bergelar Adun Seputeh walaupun sekian lama tidak menghadiri sidang Dun.

Bagi mereka, alasan kesihatan yang diberikan Abu Hassan sudah memadai untuk menghalang keputusan Speaker Kedah tersebut.

Sekiranya Mahkamah menerima rayuan tersebut, ianya menjadi satu lagi titik gelita dalam istitusi kehakiman negara, setelah Mahkamah sebelum ini mencampuri beberapa urusan autonomi dalam Dun Perak.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas