KUALA TERENGGANU – "Saya tidak akan tinggalkan Pas. Tidak ada sebab untuk saya tinggalkan parti ini!"
Demikian tegas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib ketika menafikan dakwaan dalam sebuah blog bahawa beliau dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din akan meninggalkan Pas.
Beliau berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar kerana Pas adalah platform beliau untuk memperjuangkan agama Islam sejak dulu lagi.
“Mana boleh tinggal Pas. Pas perjuangan saya, wadah perjuangan saya," kata Adun manir itu.
Artikel yang diterbitkan 10 Januari lalu dalam blog terbabit menyebut, kedua-dua pemimpin Pas itu akan mengumumkan tindakan keluar parti sedikit masa lagi kerana membantah sokongan Pas terhadap permintaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar Bible berbahasa Melayu dibenarkan menggantikan perkataan tuhan kepada ALLAH.
Memetik blog terbabit, Haron Din dilaporkan telah bercakap kepada beberapa orang rakan rapat beliau, bahawa beliau secara serius mempertimbangkan untuk keluar dari Pas dan menumpukan sepenuhnya kerja-kerja dakwah beliau.
Sementara Harun Taib telah dinasihatkan rakan-rakan rapat beliau agar kekal dalam Pas, walaupun tidak sependapat dengan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mereka juga berharap Harun Taib harus kekal dalam Pas bagi mengimbangi sokongan ahli Pas yang masih mempercayai perjuangan menegakkan Islam parti tersebut.
Artikel bertajuk ‘Dua Harun bakal tinggalkan Pas?’ itu dipercayai diterbitkan semasa kontroversi isu kalimah ALLAH, sebelum ia diputuskan Majlis Syura Pas yang tidak membenarkan perkataan ALLAH digunakan dalam kitab Injil pada 13 Januari lepas dan mendapat lebih 150 komen daripada pelawat blog.
Mengulas isu kalimah ALLAH, Harun berkata, kenyataan yang dibuat beliau sebelum keputusan Majlis Syura dikeluarkan langsung tidak bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi dan juga Nik Aziz.
Read More...
Summary only...
SHAH ALAM - Semua mufti diingat untuk tidak masuk campur dalam hal berkaitan politik tanah air jika tidak tahu sejarah perkembangan sesebuah parti politik itu, kata Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanat mendakwa Umno kafir, yang pernah dikeluarkan lebih tiga dekad lalu.
Menurut Harun, Abdul Hadi tidak perlu menarik balik kenyataan yang pernah dibuat itu kerana apa yang dikatakan itu berpunca daripada kepimpinan Umno terdahulu.
“Kita (Pas) akui ucapan itu pernah dibuat dan beliau (Abdul Hadi) tidak perlu tarik balik. Harussani perlu ingat sejarah. Perlu ingat isu debat yang dibatalkan Umno semasa kepimpinan Mahathir ( Tun Dr Mahathir Mohamad).
“Kalau mufti tidak tahu sejarah politik, jangan campur tangan. Mufti perlu tutup mulut,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurut Harussani, tidak mudah untuk meletakkan orang itu kafir dan, perkara itu sudah pun dijelaskan yang mana ia bukan masalah parti.
Manakala, Wan Zahidi berkata, amanat tersebut tidak berbahaya kepada Umno sebaliknya kepada diri Hadi sendiri.
Amanat Abdul Hadi merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh beliau di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Ucapan Abdul Hadi telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas Pas sekitar tahun itu.
Read More...
Summary only...
SHAH ALAM – “Saya tak layan Hasan Ali. Saya tak mahu komen pasal dia." Demikian menurut Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib ketika diminta mengulas kenyataan terbaru, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, yang meminta Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan tanggungjawabnya sebagai Mursyidul Am parti tersebut.
Menurut Harun, Hasan bukan lagi ahli Pas dan “dia tidak berhak” untuk bercakap mengenai apa jua hal kepimpinan dalam Pas, apatah lagi untuk meminta Nik Aziz digantikan oleh timbalannya, Datuk Dr Haron Din.
“Tak payah layan lah Hasan Ali. Dia bukan ahli Pas,” katanya lagi sambil merujuk kepada desakan Presiden Jalur Tiga (Jati) itu yang mendakwa kenyataan Nik Aziz mempertahankan kerjasama di antara Pas dan DAP sebagai “menghiris hati” ahli dan penyokong Pas.
Ekoran kenyataannya mempertahankan DAP yang disifatkannya sebagai tidak pernah mengganggu perjuangan Pas dan menegaskan kerjasama dengan parti itu amat perlu bagi memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Nik Aziz dikecam beberapa pihak.
Hasan juga berkata, Nik Aziz “agak keterlaluan” dalam mempertahankan DAP dengan menggambarkan parti komponen Pakatan Rakyat itu tidak pernah mengganggu Pas.
Read More...
Summary only...
PAS: Kita harus galak bukan Islam terima al-Quran, bukan herdik
KUALA LUMPUR, 14 Julai — PAS berpendirian bahawa mempelajari tentang al-Quran dan Hadis merupakan satu tuntutan yang bukan sahaja perlu digalas oleh seluruh umat Islam, tetapi juga digalakkan ke atas orang yang bukan Islam.
Justeru menurut Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Harun Taib al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan untuk kesejahteraan sekalian manusia.
“Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam,” kata beliau dipetik HarakahDaily hari ini.
Harun mengulas tindakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Mohamad Satim Diman kelmarin mempertikaikan Adun DAP kerusi Sekinchan Ng Suee Lim yang cuba mempergunakan hadis ketika perbahasan kelmarin.
Dalam laporan hari ini Satim dipetik berkata beliau kesal dengan sikap membisu wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam berhubung perkara tersebut.
Harun berkata, “bagaimana mereka ingin mengenali Islam kiranya kita menghalang mereka untuk mendekati Islam.”
“Sekiranya ada kesilapan dalam kefahaman, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam membimbing dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang tidak mesra yang akhirnya mereka lari daripada memahami ajaran Islam,” jelas Harun yang juga Adun Manir.
Beliau menjelaskan, PAS bersikap ‘menerang dan bukannya menyerang’.
Justeru, katanya, Umno wajib sedar bahawa al-Quran dan hadis adalah sumber hukum.
“Jika Umno benar-benar ikhlas cintakan al-Quran dan hadis, maka sokonglah agenda Islam yang dibawa oleh PAS,” katanya.
Dipetik dari The Malaysia Insider
Read More...
Summary only...