PAS: Kita harus galak bukan Islam terima al-Quran, bukan herdik
KUALA LUMPUR, 14 Julai — PAS berpendirian bahawa mempelajari tentang al-Quran dan Hadis merupakan satu tuntutan yang bukan sahaja perlu digalas oleh seluruh umat Islam, tetapi juga digalakkan ke atas orang yang bukan Islam.
Justeru menurut Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Harun Taib al-Quran dan hadis merupakan sumber rujukan untuk kesejahteraan sekalian manusia.
“Sebagai orang Islam kita seharusnya menggalakkan penganut agama lain mempelajari tentang al-Quran dan hadis untuk mengenal Islam secara lebih mendalam dan bukannya mengherdik dan bertindak di luar akhlak Islam yang akhirnya menjauhkan bukan Islam dengan Islam,” kata beliau dipetik HarakahDaily hari ini.
Harun mengulas tindakan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor Datuk Mohamad Satim Diman kelmarin mempertikaikan Adun DAP kerusi Sekinchan Ng Suee Lim yang cuba mempergunakan hadis ketika perbahasan kelmarin.
Dalam laporan hari ini Satim dipetik berkata beliau kesal dengan sikap membisu wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam berhubung perkara tersebut.
Harun berkata, “bagaimana mereka ingin mengenali Islam kiranya kita menghalang mereka untuk mendekati Islam.”
“Sekiranya ada kesilapan dalam kefahaman, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam membimbing dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang tidak mesra yang akhirnya mereka lari daripada memahami ajaran Islam,” jelas Harun yang juga Adun Manir.
Beliau menjelaskan, PAS bersikap ‘menerang dan bukannya menyerang’.
Justeru, katanya, Umno wajib sedar bahawa al-Quran dan hadis adalah sumber hukum.
“Jika Umno benar-benar ikhlas cintakan al-Quran dan hadis, maka sokonglah agenda Islam yang dibawa oleh PAS,” katanya.
Dipetik dari The Malaysia Insider
0 Komen :
Post a Comment