PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Anggerik, Yaakob Sapari hari ini menafikan tuduhan fitnah oleh sebuah laman blog pro-Umno yang didakwa cuba memburukkan imej Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat beliau dan para stafnya.
Klip video itu memaparkan aksi seorang lelaki dan wanita sedang melakukan aktiviti tidak bermaruah dalam sebuah pejabat dengan tajuk entri ‘Video Klip Skandal Dalam Pejabat Adun Kota Anggerik Shah Alam’.
Namun menurut Yaakob, hasil siasatan mendapati video klip itu menunjukkan lokasi dan dekorasi dalaman pejabat yang jauh berbeza dengan Pusat Khidmat milik beliau.
Beliau sekaligus menyangkal individu (pelaku) video tersebut adalah stafnya dan percaya jurublog terbabit cuba membuat tuduhan tidak bermoral ke atas warga kerja untuk memberi gambaran negatif kepada rakyat.
Klip video
“Blogger tersebut tidak bertanggungjawab dengan memuat naik klip video yang memaparkan aksi seorang lelaki dan seorang wanita yang sedang melakukan aktiviti tidak bermaruah di dalam sebuah pejabat.
“Akan tetapi hasil kajian dan siasatan yang telah dilakukan ke atas video tersebut menunjukkan lokasi dan dekorasi dalaman pejabat di dalam video tersebut berbeza dengan pejabat pusat khidmat yang sebenar,” katanya yang juga Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor.
Gesaan turut dibuat Yaacob agar BN dan Umno tidak lagi menggunakan politik kotor dengan menuduh pemimpin Pakatan Rakyat terlibat dengan skandal tanpa bukti jelas.
Katanya tindakan sedemikian hanya untuk menganggu Pakatan Rakyat dan mengalihkan fokus rakyat terhadap isu yang lebih besar - Free Malaysia Today
0 Komen :
Post a Comment