Sejarahwan Profesor Datuk Ramlah Adam berkata, beliau mengakui sumbangan golongan kiri dalam menuntut kemerdekaan tetapi ia tidak sehebat sumbangan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.
"Kita tidak nafi Burhanuddin Helmy pejuang kemerdekaan. (Ahmad) Boestamam, Zaba, Ibrahim Yaacob... Kita tidak pernah nafi.
"Tetapi perjuangannya tidak begitu hebat macam Tunku," kata Ramlah yang disambut jeritan "boo" daripada sebahagian penonton yang hadir dalam forum "Wajarkah sejarah ditulis semula?" di Shah Alam hari ini.
Kira-kira 500 hadir dalam forum anjuran Sinar Harian, rata-ratanya penyokong Pakatan Rakyat -- yang menjadikan majlis itu terganggu dengan sorakan dan laungan boo kepada ahli panel yang tidak digemari mereka.
Dalam pembentangannya yang sering disampuk oleh penyokong Pakatan, Ramlah menekankan bahawa sejarah ditulis berdasarkan dokumen dan rekod sedia ada.
Tambahnya, walaupun terdapat pelabagai tafsiran yang dibuat, terdapat "fakta keras' yang tidak dapat diubah, antaranya fakta bahawa Tunku bersama pemimpin MCA dan MIC terlibat dalam perundingan yang menghasilkan kemerdekaan.
Ramlah bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada sejarah patut ditulis semula atau tidak.
Turut menjadi ahli panel Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mohd Puad Zarkashi, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan sejarahwan Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.
Sementara itu, Mohamad pula berpendapat sejarah memerlukan renovation atau penggilapan semula ekoran tuntutan globalisasi dan pandangan yang subur dalam sistem demokrasi.
Katanya, persoalan timbul apabila terdapat sesetengah pihak sahaja ditonjolkan dalam cacatan sejarah dan perkara itu menjadi tidak disenangi pihak lain.
"Ada juga sumbangan golongan kiri dan agama. Ia perjuangan sebuah team. Bukan Shafiee Salee sahaja. Ada juga pemain lain yang jaga gol tetapi tidak dapat jaring gol," katanya membandingkan dengan perlawanan bola sepak.
Sementara itu, Mohd Puad berkata, membicarakan persoalan sejarah tidak boleh bersikap apologetik kerana sejarah tetap sejarah.
"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya menukar sejarah," katanya yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno.
Beliau bagaimanapun menerima konsep mentafsirkan semula sejarah berdasarkan fakta empiris supaya ia lebih harmoni dan murni.
Manakala Saifuddin pula berkata, persoalan persejarahan hendaklah berlangsung dengan keadaan penuh kebebasan kerana ia sesuatu yang sihat.
Mengambil contoh polemik di Filipina, anggota parlimen Machang itu berkata, di negara itu walaupun ada pihak cuba mengetengahkan tokoh lain sebaris dengan tokoh kemerdekaan negara itu Jose Risal, "tiada ditangkap dan tiada dibicarakan di mahkamah".
"Jadi, kebebasan ini tinggi nilainya kerana kamu belum tentu benar dan kami belum tentu salah," katanya lagi.
Katanya, penggalian fakta baru itu penting bagi memahami situasi sebenar di sebalik sesuatu peristiwa, seperti dalam kes Mat Indera.
0 Komen :
Post a Comment