Pada 5hb Nov 2010 yang lalu saya sekeluarga cuba pulang ke kampung di daerah Kubang Pasu yang sedang ditenggelami banjir terbesar di dalam sejarah Negeri Kedah. Destinasi saya ialah ke Sungai Korok Jitra dan Perlis . Saya mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber seperti PLUS, JKR dan Polis Daerah Kota Setar untuk mencari jalan ke kampung. Terima kasih saya ucapkan kepada semua agensi ini yang memberikan maklumat.
Memang banjir kali ini sungguh menggerunkan! Pemandangan umpamakan lautan. Saya sekeluarga hampir putus asa untuk mencari jalan ke kampung untuk melihat sanak saudara yang ditimpa musibah dan ujian ini. Tapi dengan kesabaran dan keberanian meredah banjir saya teruskan juga niat ini untuk melihat mereka dan akhirnya tercapai.
Apa yang hendak dikhabarkan disini tentang betapa suci murni dan tulus ikhlas semua petugas yang bertungkus lumus siang dan malam menangani banjir ini. Dan paling tidak dilupakan tentang sifat orang-orang kampung di laluan saya dari Kampung Kuala Sungai, Kubang Rotan , Kubang Jawi, Kubang Siam dan Alor Janggus yang sangat perihatin. Mereka dengan sukarela menunggu di setiap persimpangan ban ditengah-tengah sawah untuk menunjukkan jalan dengan begitu mesra dan ramah sekali hingga membuatkan saya sangat terharu. Malah ada seorang pemuda yang lebih prihatin lagi menunjukkan arah jalan dengan memandu motosikalnya bagaikan seorang marshal konvoi dan melepaskan kenderaan saya di penghujung jalan. Saya sangat terharu dan teruja.
Apabila sampai di kampung halaman yang hampir tenggelam saya masih dapat melihat lampu dan dapat berehat sambil melihat TV. Syukur bekalan elektrik masih ada tetapi dikampung sebelah lagi nampaknya dalam bergelap. Sewaktu melihat berita TV mengenai banjir hati saya agak terkilan dan luka lantaran dakwaan dan tuduhan pimpinan kita yang masih berbau politik walaupun rakyat dalam kepayahan. Dakwaan orang itu dan ini diberi bantuan dan tidak diberi bantuan oleh kerajaan Negeri Kedah. Kita tidak dengar dakwaan seumpama itu ke atas Kerajaan Negeri Perlis. Kenapa????
Jawapannya mudah. Kerajaan Negeri Kedah di perintah oleh PAS. Inilah masa terbaik untuk pemimpin UMNO mengadu domba dan memecah belahkan masyarakat dengan menunjuk-nunjukkan kebaikan mereka dan memburuk-burukkan orang lain. Inilah perangai jahat pemimpin UMNO yang saya tidak boleh terima sama sekali. Mereka menggunakan media sebagai alat propaganda mereka.
Sepanjang perjalanan saya ke kampung tidak terlintas dan nampakpun sebarang pemisahan masyarakat kampung disegi politik UMNO ataupun PAS. Apa yang saya nampak semua orang bertungkus lumus membantu mangsa banjir dengan menghulurkan bantuan fizikal dan harta benda yang ada. Keadaannya sangat berbeza sejkali dengan kenyataan pemimpin kerajaan pusat khususnya UMNO mengenai banjir.
Jelas sekali siapa sebenarnya pemecah belah masyarakat di negara kita. Pada saya pemimpin UMNO adalah manusia nombor satu yang akan dipanggil di padang mahsyar nanti dalam kategori pemecah belah ummah kerana mereka juga adalah orang Islam yang akan sama-sama dibariskan di sana nanti. Mereka sangat cekap dan berselera dalam hal ini demi menjamin kelangsungan pemerintahan secara keji dan jijik.
Padanlah dalam pilhanraya DUN Galas, ada yang menunjukkan pancing yang diikat wang kertas sebagai tindakan sinis terhadap pemimpin UMNO yang selalu bertindak demikian dalam kepayahan rakyat. Saya yakin dan percaya pemimpin UMNO akan menggunakan strategi jijik seperti ini dalam apa jua bentuk kepayahan rakyat pada masa akan datang. Ingatlah cerita bagaimana dajjal yang datang memancing ketika kita semua diambang maut. Mereka yang lemah pastinya tergoda dan yang kuat imannya pasti dapat menyepak terajang si dajjal itu.
Pesanan untuk para pimpinan Kerajaan Negeri Kedah agar tidak bertindak demikian kerana ini bukan cara pemerintahan Islam. Jika ada mohonlah kemaafan dan taubat kepada Allah Subhanahu wataala.
Oleh Pidadua.
Kelantan: Mayat wanita bertudung tersangkut pada 'taut'
16 minutes ago
0 Komen :
Post a Comment