Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengesahkan kerajaan negeri terpaksa membeli kompleks perniagaan Bazar Tok guru bernilai RM23 juta yang sedang dalam pembinaan daripada pemaju Sensa Timur kerana masalah teknikal.
Bagaimanapun, katanya harga bagi pembelian itu yang dibuat menerusi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) masih dalam peringkat rundingan dengan pihak pemaju.
“Saya hanya boleh mengesahkan bahawa kerajaan negeri terpaksa membeli semula kompleks bazar yang sedang dalam pembinaan itu kerana masalah teknikal... untuk menjaga kepentingan peniaga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Bubur Asyura di Kampung Sri Kemunting, Beah, dekat sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan penulis blog Kickdefella dalam blognya yang mendakwa kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian kerana membeli projek kompleks Bazar Tok Guru ekoran berlaku penyelewengan oleh PMBK di bawah pengurusan Ketua Pegawai Eksekutif Abdul Ariffahmi Abd Rahman, yang juga menantu Nik Abdul Aziz.
“Saya juga memberi jaminan peniaga yang dipindahkan dari Arkib Uda dan Pasar Lama MPKB akan diberi keutamaan memiliki tingkat bawah bazar berkenaan, sebagaimana yang dipersetujui sebelum ini,” katanya.
Tulisan blogger itu mendakwa akibat langsung daripada tindakan Ariffahmi, mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dalam mesyuaratnya yang lalu telah memutuskan untuk membayar sejumlah RM23 juta ringgit dari wang hasil pendapatan kerajaan negeri kepada sebuah syarikat swasta.
“Pembayaran yang telah dipersetujukan itu adalah bagi menyelamatkan beberapa titik air muka YAB Menteri Besar Kelantan daripada tertumpah akibat dituduh cakap tak serupa bikin,” kata penulis itu.
Ia menambah pada 6 Mac 2008 iaitu dua hari sebelum pilihan raya umum ke-12, Nik Aziz telah menandatangani satu perjanjian persefahaman bagi pihak PMBK dengan dua buah persatuan perniaga dan penjaja di sekitar Kota Baru.
Antara lain, kandungan MOU itu menjanjikan bahawa Projek Bazaar Tok Guru yang akan dimajukan oleh PMBK adalah sebuah projek tidak berorientasikan keuntungan.
Ia lebih kepada hasrat murni Menteri Besar untuk melihat para penjaja dari pasar lambak arked UDA dan peniaga pasar lama Majlis Perbandaran Kota Baru mendapat tempat baru yang lebih selesa untuk meniaga.
Bagaimanapun menantu Nik Aziz telah ‘memperhambakan’ harta kerajaan kepada pemaju swasta bernama Sensa Timur Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata tidak salah jika orang Islam mengucapkan ungkapan “assalamualaikum” terhadap orang bukan Islam.
Nik Aziz mendedahkan perkara tersebut untuk menyangkal sesetengah golongan yang masih mengamalkan fahaman adalah haram seseorang Islam memberi ucapan salam kepada orang yang bukan Islam.
“Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa dengan orang Cina, India kemudian beri salam. Sesetengah ulama kata boleh, sesetengah ulama pula kata tak boleh.
“Jadi bagi ambo (saya), boleh... sebab ia perkara khilaf.
“Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita nak ambil yang tak boleh? Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam?
“Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu, di mana tak baiknya beri salam, Assalamualaikum? Kita ambil yang mana manfaat,” Nik Aziz terus menyelar tindakan sesetengah golongan yang bertindak menyerang gereja ekoran kontroversi penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh akhbar mingguan Herald.
“Gereja-gereja ni barang (harta). Nak boleh sudahkan (siap) sesebuah gereja itu habis duit beratus-ratus ribu, kita pergi bakar. Pergi bakar semata-mata nak khianat pada harta, berdosa.
“Tambahan pula tempat itu tempat orang menyembah Tuhan (rumah ibadat). Tindakan begitu bukan caranya walau tak puas hati dengan sesuatu perkara yang timbul.
“Cuba mereka bakar masjid kita, atau pun balaisah (surau) kita sudahlah... apa yang kita rasa,” jelasnya.
Tegas beliau Nabi Muhammad SWT sendiri bahkan selalu pesan pada tenteranya jangan berperang dengan musuh sebelum dakwah mereka terlebih dahulu di samping melarang sama sekali daripada membunuh budak kecil, orang perempuan termasuk sami dalam gereja semasa bertempur di medan peperangan.
“Sampai begitu sekali kehalusan dan kesenian Islam,” ujarnya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan bahawa satu majlis jamuan makan bersama paderi dan sami akan diadakan pada hujung bulan depan bagi merapatkan semangat keharmonian yang terjalin sekian lama.
Bagaimanapun Nik Aziz tidak menyatakan tempat dan tarikh akan diadakan.
“Ini adalah usaha kerajaan Kelantan untuk membuktikan kepada umum bahawa pemerintahan kerajaan PAS sentiasa mengamalkan prinsip terbuka tidak kira perbezaaan agama, kaum atau sebagainya.
“PAS tidak nak bergaduh dengan sesiapa sebaliknya ingin selalu merapatkan keharmonian... kerana itu adalah ajaran dalam Islam malah agama-agama lain pun,” ujarnya.
Kelantan: Penduduk bimbang banjir besar tahun ini
3 minutes ago
2 Komen :
Pemimpin yang ikhlas sanggup menerima teguran dan mengakui bila tersilap.
Pemimpin yang busuk yang tetap mempertahankan kesalahan mereka sekalipun dermain dengan sumpah dan sebagainya.
Pilihlah pemimpin kita yang adil ikhlas dan membawa kesejahteraan dunia dan akhirat.
Tahniah TGNA kerana berani mengaku kesilapan walau pun bukan kesilapannya. Kesilapan beliau adalah melantik menantu yang tamak di PMBK.
Post a Comment