Seorang wanita terkorban manakala dua lelaki cedera parah dalam satu kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang, lewat petang tadi.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands berkata kejadian yang berlaku pada pukul 5.45 petang tersebut melibatkan lima buah rumah penduduk kampung.
"Mangsa yang cedera parah dan mayat wanita berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata di sini," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus dalam kejadian itu sedang giat dijalankan oleh anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa kejadian tanah runtuh itu, jika berlanjutan, nampaknya perlu diteruskan dalam keadaan hujan dan ribut petir yang diramal di Cameron Highlands tengah hari esok.
Menurut ramalan kaji cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia di laman sesawangnya hari ini, tiada hujan pada sebelah pagi bagaimanapun, hujan dan ribut petir dijangka melanda tengah hari esok.
Hujan turut diramal pada sebelah malam, dengan suhu antara 17 dan 24 darjah celsius sepanjang hari.
Purata taburan hujan di kawasan Cameron Highlands dalam tempoh antara 8 pagi semalam dan 8 pagi ini berada pada tahap 10mm.
Jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Bernama malam ini berkata bahawa purata taburan hujan antara 50mm dan 70mm dalam tempoh 24 jam merupakan tahap amaran hujan lebat.
Sehingga kini seorang wanita terkorban manakala seorang lelaki dan seorang perempuan cedera parah dalam kejadian tanah runtuh itu yang punca kejadian belum diketahui.
07 August 2011
Seorang terkorban tanah runtuh di Cameron Highlands
24 May 2011
Kalau Tak Ambil Kesempatan Bukan Umno Namanya...
KUALA LUMPUR, 24 Mei: Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat menasihatkan pemimpin Umno tidak mendabik dada berlagak kononnya mereka 'hero' dan paling awal membantu mangsa tanah runtuh di rumah anak-anak yatim Batu 14 Hulu Langat.
Ketika menceritakan kembali suasana sebenar hari kejadian beliau berkata, bantuan mula tiba seawal jam 3 petang iaitu kira-kira setengah jam selepas kejadian berlaku.
Antara yang terawal tiba di sana menghulur bantuan katanya adalah penyelaras PAS bagi Dun Dusun Tua, Mohd Jan Sulung bersama beberapa rakannya yang mengeluarkan mangsa pertama jam 3.15 petang.
Beliau yang tiba kira-kira jam 3.30 petang kemudiannya turut membantu mangsa bersama Unit Amal dan Briged Amal PAS dengan kehadiran pihak bomba.
"Yang ditonjol media (Adun Semenyih) (Datuk) Johan (Abdul Aziz). Padahal dia datang dah pukul 4 dan tak boleh masuk pun.
"TV3 datang ambil gambar dia seolah-olah Umno lah buat semua," katanya pada sidang media sempena pelancaran Tabung Kemanusiaan Harakah untuk mangsa tanah runtuh tersebut.
Turut serta pada sidang media itu, Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamarudin Jaffar.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 petang Sabtu lalu 25 pelajar serta warden Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat tertimbus oleh runtuhan tanah ketika sedang berlatih kompang dan nasyid di khemah bersebelahan cerun bukit.
Ekoran kejadian itu, sembilan daripada pelajar yang terlibat selamat dan 16 lagi terkorban.
"Dari segi senarai yang membantu itu tidak nampak la di mana-mana Briged Amal dan Unit Amal.
"Sedangkan petugas kita hampir 250 orang dan paling ramai," katanya sedikit kesal.
Menurutnya lagi, sepanjang tempoh menyelamat itu, petugas PAS antara paling menonjol sehingga mereka lah juga terlibat semasa proses pengkebumian mangsa yang terkorban.
Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana sumbangan dari pihak PAS seperti dikesampingkan.
Pihak polis juga semasa memberi taklimat tidak menyebut penglibatan Unit Amal dan Briged Amal dan hanya menyebut agensi-agensi lain yang hanya sebilangan kecil terlibat.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, isu publisiti itu bukanlah perkara besar bagi mereka, namun sekadar memberi respon terhadap media yang menonjolkan BN kononnya 'hero' dalam isu itu.
"Saya bagitahu dengan sahabat-sahabat di sana, ini bukan masa nak cari publisiti, tapi masa untuk kita buat kerja selamatkan nyawa seramai mungkin," jelasnya.
23 May 2011
Tanah runtuh: Polis siasat tragedi, nafi madrasah amal ajaran sesat
Polis telah mengambil keterangan beberapa saksi dan pemilik Rumah Anak-anak Yatim dan Madrasah Hidayah Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini berhubung tragedi tanah runtuh kelmarin yang mengorbankan 16 nyawa.
Keterangan diambil daripada pelbagai pihak bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca tragedi.
“Kita akan lihat sekiranya wujud kecuaian dan kelalaian dari mana-mana pihak sehingga berlakunya kejadian ini,” kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah selepas melawat mangsa terselamat di Hospital Ampang hari ini.
Enam mangsa yang terselamat dalam insiden itu kini ditempatkan di wad khas hospital itu manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi.
Dipetik laporan Bernama Online, Tun Hisan berkata, fokus siasatan akan tertumpu kepada status tanah berkenaan yang dikatakan tanah pertanian dan untuk mengesahkan sama ada pembinaan rumah di tanah itu mendapat kebenaran ataupun tidak.
Beliau berkata, polis sedang berbincang dengan Jabatan Mineral dan Geosains dan agensi-agensi lain bagi mencari punca yang mengakibatkan tanah runtuh itu.
Rumah itu telah dibina lebih 10 tahun lepas dan ia merupakan tapak pertanian dan bendang.
Mengenai khabar angin kononnya rumah anak yatim itu (gambar) ada mengamalkan ajaran sesat, Tun Hisan berkata khabar angin itu tidak betul.
Satu lagi laporan Bernama Online menyebut bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) percaya hujan lebat luar biasa selama tiga hari mengakibatkan stuktur tanah menjadi lemah hingga membawa kepada berlakunya kejadian tanah runtuh.
Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Datuk Ir Ashaari Mohamad berkata, berdasarkan data taburan hujan yang diperoleh untuk tiga hari, sejumlah 29 milimeter (mm) hujan turun di kawasan itu pada Khamis lalu, diikuti 41mm pada hari berikutnya dan meningkat mendadak kepada 80mm pada hari kejadian.
“Jumlah hujan yang turun pada hari kejadian adalah luar biasa sebab jumlah normal adalah sekitar 20 milimeter. Apabila hujan turun dan meresap ke dalam tanah ia telah menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya.
Ashaari berkata berdasarkan tinjauan pihaknya ke kawasan dan puncak cerun berhampiran tanah runtuh itu, terdapat lurah laluan air yang menuju ke kawasan runtuhan.
Selain itu, pokok-pokok yang ditebang di sekitar kawasan itu juga menyebabkan kawasan berkenaan menjadi laluan air apabila hujan.
“Tanah-tanah masih bergerak dan kalau ada hujan boleh menyebabkan tanah runtuh dan kita kategorikan kawasan ini sebagai tidak selamat,” katanya.
Berdasarkan maklumat diterima, beliau berkata, kedudukan antara cerun yang berketinggian 25 hingga 30 meter dengan bangunan rumah anak yatim itu juga terlalu hampir iaitu sekitar tujuh meter atau 25 kaki.
“Kita menganggarkan sejumlah 3,500 isipadu tanah atau bersamaan 600 buah lori, tanah yang runtuh dan menimpa rumah anak yatim berkenaan dengan ketinggian runtuhan empat meter dan lebar 54 meter,” katanya.
Ashaari berkata, cerun di kawasan rumah anak-anak yatim juga telah dipotong dan itu menyebabkan berlaku ketidakstabilan pada keadaan tanah.
“Jadi hari ini kami nak teliti balik keadaan tanah dan melihat bagaimana kami boleh baiki semula struktur tanah ini. Kami juga meminta Pihak Berkuasa Tempatan mengawasi keadaan sekitar kawasan perumahan di kawasan ini kerana mereka juga terdedah kepada risiko sama,” katanya.
Dalam pada itu, RM217,000 sumbangan disalurkan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor kepada 53 waris dan mangsa tragedi tanah runtuh itu dan rumah kebajikan berkenaan.
Setiap waris kepada 16 mangsa yang terkorban menerima RM5,000 setiap seorang manakala mangsa yang terselamat menerima sumbangan berjumlah RM1,000, sementara rumah anak yatim itu mendapat sumbangan RM100,000.
Selain itu kerajaan Selangor turut menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada setiap waris.
Wajah Anak-Anak Malang Yang Tidak Berdosa
Pemotongan cerun yang tidak mengikut spesifikasi selain aktiviti penebangan pokok getah di atas cerun berkenaan dipercayai menjadi punca kejadian tanah runtuh yang mengorbankan 16 nyawa di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, di sini, semalam.
Menurut Penyelaras Program Bencana Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Tajul Anuar Jamaluddin, jangkaannya itu dibuat setelah meneliti sendiri keadaan di sekitar tempat kejadian itu pagi ini.
"Sebelum ke sini, saya melihat imej kawasan sekitar dari udara dan mendapati terdapat kawasan lompang di atas cerun tersebut dipercayai akibat aktiviti manusia.
"Apabila tiba di sini, saya pergi ke kawasan tersebut dan mendapati ia hanya ditumbuhi pokok-pokok resam. Penduduk sekitar memberitahu memang terdapat aktiviti menebang pokok getah di kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas meninjau di kawasan sekitar.
Tambahnya, keadaan itu diburukkan lagi apabila keadaan cerun yang dipotong bagi membina bangunan tersebut tidak menepati ciri-ciri keselamatan sepatutnya.
"Akibat hujan lebat, air yang bertakung di kawasan lompang itu seterusnya mengalir ke kawasan cerun mengakibatkan ia tidak stabil lalu berlaku runtuhan.
"Cerun itu dipotong tidak mengikut ciri-ciri keselamatan sepatutnya. Saya fikir, mereka tidak mendapatkan nasihat jurutera profesional bagi menjalankan tugas-tugas tersebut," ujarnya
Berdasarkan pemerhatiannya, beliau memberitahu, keadaan tanah di situ masih belum stabil kerana terdapat rekahan-rekahan besar di atas kawasan curam tersebut.
"Ia boleh runtuh pada bila-bila masa terutamanya jika berlaku hujan lebat sekali lagi. Saya juga telah menasihatkan pihak berkuasa agar tidak membawa masuk jentera berat kerana ia boleh menyumbang kepada gegaran tanah.
"Saya fikir, elok dibiarkan selama dua atau tiga hari bagi membolehkan keadaan tanah itu kembali stabil sebelum kerja-kerja pembersihan dijalankan," katanya.
Tanah Runtuh - Kenyataan Rasmi Dr Wan Azizah
Kisah tanah runtuh Hulu Langat di rumah Persatuan Anak Yatim dan Madrasah Al-Takwa, Felcra Semungkis, Batu 14 merupakan satu tragedi. Ia menggesa kita semua mengambil iktibar dengan apa yang terjadi dan mempertingkatkan lagi kesedaran serta keprihatinan dalam kehidupan seharian.
Saya sempat menziarah mangsa yang terselamat juga bersama jenazah di Masjid Bt 14. Suasana sebak dan pilu menyelubungi hadirin yang hadir, apatah lagi bagi anak-anak yatim yang terselamat bila mengenangkan teman-teman yang terkorban. Pastinya trauma yang mereka alami memerlukan sedikit masa untuk sembuh dan bakal memberi impak dalam kehidupan mendatang.
Tidak lupa dengan kecekapan dan ketangkasan anggota keselamatan serta para sukarelawan harus dipuji. Mereka bertungkus lumus menyelamatkan anak-anak dalam hujan lebat dan keadaan tanah yang masih menunjukkan pergerakan yang tidak menentu.
KEADILAN memandang tragedi ini sebagai satu peringatan kepada manusia terhadap kepentingan menjaga keselamatan di tempat tinggal, sekolah, hospital dan terutamanya tempat-tempat anak-anak yatim dan orang-orang tua. Sikap tanggungjawab terhadap ciri-ciri keselamatan mesti dititikberatkan agar kejadian sama tidak berulang.
KEADILAN menggesa kerajaan Negeri Selangor menyiasat punca terjadinya tanah runtuh ini. Siasatan juga hendaklah dilakukan ke atas semua pembinaan bangunan dilereng-lereng bukit termasuk premis-premis persendirian. Sudah cukup Negara ini berhadapan dengan kejadian seumpama ini.
KEADILAN mendoakan agar mangsa yang terlibat akan diberikan perhatian untuk mereka dapat kembali dan terus melanjutkan pendidikan mereka. Takziah kepada keluarga mangsa semoga mereka tabah dengan ujian besar ini. Kepada anak-anak yang gugur syahid kita doakan agar mereka ditempatkan bersama para muslimin beriman.
DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
MB Selangor Batal Hadiri Seminar Di Amerika Syarikat
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membatalkan program menghadiri seminar kepimpinan di Institut Aspen Colorado, Amerika Syarikat, berikutan tragedi tanah runtuh di Batu 14, Hulu Langat dekat sini yang mengorbankan 16 nyawa.
Pejabat Menteri Besar Selangor dalam kenyataan akhbar di sini berkata, Abdul Khalid dijangka tiba di tanah air petang Isnin dan akan melawat mangsa yang selamat serta bertemu anggota keluarga mangsa yang terkorban.
"Kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara kepada penghuni RumahAnak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa dan anggota keluargamereka yang terlibat di Azwen Resort, Hulu Langat," kata kenyataan itu, Ahad.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam, 16 orang terkorban manakala sembilan yang lain cedera
22 May 2011
Pelajar Cerita Detik Cemas Tanah Runtuh
KAJANG: "Saya jerit suruh yang lain melarikan diri namun tanah runtuh dalam sekelip mata menyebabkan kebanyakan rakan ditimbus," kata Mohd Iman Abdullah.
Mohd Iman, 14, adalah antara pelajar Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa yang sempat menyelamatkan diri dalam kejadian tanah runtuh itu yang menyebabkan 25 orang tertimbus.
Mohd Iman berkata beliau sempat menjerit menyuruh rakan-rakannya yang lain melarikan diri apabila melihat tanah mula runtuh.
"Ketika itu kami semua berada di bawah khemah kerana hendak menyiapkan persiapan majlis dan saya melihat tanah bergerak dan runtuh sedikit," katanya.
Seorang lagi pelajar yang terselamat Mohd Jihad Jalal, 14, berkata keadaan ketika itu huru hara dengan bunyi pekikan dan jeritan minta tolong. "Saya sendiri pada mulanya tertimbus sedikit di bahagian kaki sebelum ditarik oleh penduduk," katanya.
Mohd Faizal Isni, 17, pula berkata sebelum kejadian, dia terdengar bunyi kuat seakan ranting patah dan benda jatuh sebelum melihat tanah runtuh ke khemah.
"Ketika itu kami sedang siapkan pentas di khemah untuk sambut pegawai Finas yang dijadual datang pukul 5 petang dan saya berjaya melarikan diri sejurus kejadian," katanya.
Sementara itu, seorang penduduk setempat yang merupakan antara yang terawal tiba di lokasi kejadian berkata beliau tiba 10 minit selepas kejadian dan mendengar jeritan meminta tolong sebelum setengah jam kemudian tiada suara yang kedengaran.
"Saya nampak ada budak yang badannya separuh tersepit dan saya cuba mengalihkan runtuhan namun tidak berjaya.
"Ketika saya sampai dengar suara minta tolong tetapi setengah jam kemudian tiada suara langsung," katanya sambil memberitahu bahawa semalam hujan lebat di kawasan itu.
Warden asrama anak yatim itu, Mohd Hambali Ismail, 34, berkata kejadian berlaku selepas pelajar selesai makan tengah hari dan beberapa pelajar ditugas membersihkan ruang makan itu.
"Masa kejadian saya berada di asrama dan mendengar bunyi dentuman kuat dan saya tengok ramai pelajar dah tertimbus.
"Keadaan masa tu tak boleh gambar dengan kata-kata...," katanya yang telah lima tahun menjadi warden di situ.
Beliau berkata sebelum ini beberapa kejadian tanah runtuh kecil pernah berlaku kira-kira 50 meter dari bangunan rumah anak yatim itu.
"Kejadian ini mungkin ekoran kejadian bulan lepas," katanya. - BERNAMA
Tragedi Tanah Runtuh - Pesta Tuduh Menuduh Sudah Bermula
Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Kampung Gahal, Hulu Langat tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Bernama memetik menteri berkenaan Datuk Seri Shahrizat Jalil berkata beliau juga tidak pasti sama ada rumah anak yatim itu berdaftar di bawah mana-mana agensi di kementerian lain.
"Yang terlibat (dalam tragedi ini) ada pelajar, ada anak yatim, ada guru. Kita tidak tahu ia di bawah agensi mana," katanya kepada pemberita semasa melawat kawasan kejadian tanah runtuh di rumah anak yatim itu malam semalam.
Sehingga awal pagi ini, semua 25 mangsa yang tertimbus berjaya dicari dan dikeluarkan. Mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat pada kejadian tanah runtuh yang berlaku pada pukul 2.30 petang semalam itu.
Shahrizat berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan agensi dan kementerian berkaitan dalam masa terdekat untuk mengetahui status rumah anak yatim itu.
16 maut tragedi tanah runtuh Hulu Langat, sembilan cedera
KUALA LUMPUR, 22 Mei — Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat dekat sini, ditemui awal pagi ini.
Dengan itu 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal, demikian menurut laporan Bernama.
Operasi mencari dan menyelamat disambung pukul 8 pagi ini.
Mayat tiga daripada empat mangsa itu, dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi dan mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu, seramai 25 orang yang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim tertimbus.
Laporan semalam menyebut ada 49 orang di lokasi kejadian.
Sementara itu, satu lagi laporan Bernama menyebut, lima daripada lapan mangsa kejadian tanah runtuh yang dimasukkan ke Hospital Ampang dekat sini semalam berada dalam keadaan stabil.
Tiga lagi kritikal, kata laporan itu yang memetik Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab.
Mereka yang stabil dikenali sebagai Aizat, 12, yang cedera tangan kiri; Muhd Alauddin Sobri, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Pandan Mewah yang patah tangan kiri; Muhd Syafiq Ibrahim, 21, warden pula patah kaki kanan dan terkehel di bahagian leher; Khairul Anuar Nasri, 9, (luka kaki kanan); dan Siti Fatimah Ibrahim, 21, warden yang dikatakan mengalami trauma akibat kejadian tanah runtuh itu.
Menurut Ab Rashid, kesemua mereka cedera akibat dihempap runtuhan tanah.
Tiga lagi mangsa yang kritikal dikenali sebagai Hairi, Izudin dan Muhd Harris Izzudin Sharul Azmi.
Ada mangsa yang dihantar ke Hospital Kajang.
Tanah runtuh: Angka korban meningkat 10
Sehingga jam 11 malam tadi, angka korban dalam tagedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Hidayah Madrasah Al-Taqwa Hulu Langat meningkat kepada 10 orang.
Dalam perkembangan terbaru juga, sembilan orang yang berjaya ditemui dengan keadaan cedera dibawa untuk dirwat di Hospital Ampang.
Pasukan penyelamat kini sedang berusaha mengesan enam lagi mangsa yang masih tertimbus.
Kira-kira jam 2.30 petang tadi, seramai 25 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat.
Menurut Ahli Parlimen Hulu Langat, Che Rosli Che Mat, pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk kampung mengeluarkan mayat dan mangsa yang cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Kajang.
Difahamkan ketika itu, kesemua kanak-kanak itu berada dewan makan rumah anak-anak yatim itu membuat latihan persembahan bagi satu program yang akan diadakan di madrasah itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada satu sidang akhbar di sini berkata, 14 mangsa masih terperangkap dan mereka yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui.
Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni dan pekerja.
Dalam insiden malang itu, sebanyak 25 orang terselamat sementara 20 pelajar dan 4 penjaga menjadi mangsa.
Tambahnya, kesemua penghuni rumah itu adalah lelaki.
"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata. Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," katanya. - hrkh
21 May 2011
Terkini Kejadian Tanah Runtuh Di Rumah Anak Yatim
Kira-kira 20 kanak-kanak dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal di Hulu Langat hari ini.
Setakat pukul 5.30 petang ini, lapan daripada mereka telah dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
Seorang daripada mereka meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Ampang untuk bedah siasat manakala tujuh lagi yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan.
Difahamkan ketika kejadian kira-kira 2.30 petang tadi, semua kanak-kanak itu sedang berada di dewan makan rumah anak-anak yatim itu.
- Bernama
Antara 20 hingga 30 anak yatim dikhuatiri tertimbus di Hulu Langat
Gambar: PENGHUNI Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis dirawat selepas dibawa keluar dari tempat kejadian tanah runtuh di Kajang, sebentar tadi. - Foto BH Online
KAJANG: Antara 20 hingga 20 penghuni sebuah asrama anak yatim di Sungai Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, dipercayai tertimbus akibat tanah runtuh, jam 2.20 petang tadi.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang ketika dihubungi Berita Harian Online sebentar tadi berkata, setakat ini tiga kanak-kanak berjaya diselamatkan.
Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan ada penghuni yang terkorban dalam kejadian itu. -BH












