Noh Omar dinasihati agar tidak cuba lari daripada isu pokok dan bukannya mempersoalkan kelulusan mesyuarat exco dan Borang 5A bagi tanah 30 ekar yang dimilikinya kini “Noh tidak boleh alih isu ini, rakyat tertanya dia sebagai pemimpin Umno dapat tanah 30 ekar, sedangkan rakyat biasa sekangkang kera pun tak dapat,” dakwa Adun Sekinchan, Ng Sue Lim.
Kedudukan dan pengaruh Noh dalam Umno juga dikatakan mampu mempengaruhi keputusan mesyuarat exco Kerajaan Umno-BN ketika itu.
“Walaupun ketika keputusan mesyuarat exco dibuat Noh belum jadi Ahli Parlimen, tetapi saya percaya dia menjawat jawatan berpengaruh dalam Umno Tanjong Karang dan juga mengenali dengan baik ahli-ahli exco mesyuarat tersebut.
“Sekurang-kurang pun mesti sebagai Ahli Jawatankuasa Bahagian, kalau tidak tak kanlah dia dipilih jadi calon Ahli Parlimen Tanjong Karang,” kata Sue Lim lagi.
Sue Lim juga mendakwa Menteri Pertanian dan Asas Tani itu yang memiliki tanah seluas 30 ekar sebelum borang 5A dikeluarkan merupakan suatu amalan yang salah.
Menurut Sue Lim mengikut amalan lazim, seseorang rakyat biasa hanya dapat mengesahkan permohonan tanah mereka diluluskan setelah menerima borang tawaran terima iaitu Borang 5A.
Beliau juga memberitahu, keputusan meluluskan permohonan tanah dalam mana-mana mesyuarat sebelumnya juga boleh dipinda selagi borang tawaran itu tidak dikeluarkan oleh Pejabat Tanah.
“Sebelum Borang 5A yang sah dari Kanun Tanah Negara tidak berada dalam tangan, selagi itulah rakyat di bawah tidak dapat mengatakan ‘sipolan bin sipolan’ dapat tanah.
“Melalui mesyuarat exco, dari segi pentadbiran dan pengurusan mengiktiraf mereka memiliki tanah tersebut apabila Borang 5A dikeluarkan kepada rakyat,” kata Sue Lim.
Sue Lim turut memberitahu, rakyat biasa hanya mengetahui permohonan tanah mereka sudah diluluskan apabila mereka menerima Borang 5A kecuali bagi pihak yang mempunyai hubungan atau pengaruh dengan pihak yang membuat keputusan tersebut.
-selangorku
01 October 2012
Noh Omar Jangan Lari..
23 September 2012
Taib monopoli ekonomi punca kemiskinan di Sarawak
SARAWAK 22 Sept: Monopoli ekonomi Sarawak oleh keluarga dan kroni Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud punca jurang miskin-kaya semakin melebar di negeri itu, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak, Ahmad Nazib Johari.
“Semua projek infrastruktur awam termasuk pembinaan jalan raya, bangunan kerajaan dan hasil bumi dimonopoli kelompok sama, iaitu kroni dan keluarga Taib Mahmud.
“Yang menghairankan kerana Sarawak negeri paling banyak menerima pelaburan. Tapi, masih ramai rakyat Sarawak terpaksa berhijrah ke Semenanjng untuk mencari kerja,” katanya kepada Suara Keadilan.
Statiistik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyatakan pelaburan masuk ke negeri itu sehingga November 2011 berjumlah RM8.162 bilion, iaitu yang tertinggi di Malaysia.
Daripada jumlah tersebut, RM7.7 bilion iaitu hampir 95 peratus diperolehi menerusi projek Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).
Namun limpahan pelaburan tidak sampai kepada rakyat kerana ‘terputus ditengah jalan’ oleh anugerah kontrak dan galian hasil bumi kepada kroni Taib Mahmud.
“Hampir di setiap bahagian di Sarawak mengalami masalah kemiskinan dan kekurangan infrastruktur. Sebagai contoh, di kawasan Batang Ai tiada bekalan elektrik, sedangkan di Batang Ai terdapat empangan penjana elektrik.
“Perjalanan antara satu rumah panjang dengan yang lain terpaksa menggunakan bot ,yang kadang kala memakan masa sehingga 9 jam. Jalan Raya tidak ada.
“Begitu juga dengan kawasan luar bandar sepertii di Sadong, Batang Lupar, Kapit dan lain-lain. Ini kawasan pertanian yang penduduknya berpendapatan rendah.
“Agensi kerajaan negeri langsung tak berperanan. Wakil rakyat jarang turun padang. Tidak ada usaha pengembangan ekonomi yang tersusun,” jelas Nazib.
Tambahnya, dasar gaji minima RM800 sebulan bersamaan RM3.85 sejam oleh kerajaan pusat tidak adil untuk rakyat Sarawak kerana barangan keperluan harian di negeri itu lebih mahal dari Semenanjung.
“Tapi gaji pekerja, termasuk buruh kerajaan sangat rendah. Saya pernah berjumpa tukang kebun DBKU (Dewan Bandaraya Kuching Utara) yang berpendapatan RM550 sebulan. Tak cukup untuk sebuah keluarga.
“Pelancongan pula tak lagi jadi industri utama di Sarawak. Kalau dulu ramai pelancong Eropah datang untuk melihat hutan, gua dan Taman Negara di Sarawak, sekarang tidak lagi. Balak habis disapu. Bandar yang bergantung kepada sumber ini malap, mati.
“Kemudian, apabila tidak ada kerja, jenayah meningkat sekaligus memberi impak sosial yang negatif. Ini yang sedang berlaku di Sarawak,” jelasnya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=36545
20 August 2012
Lanun Mengganas Di Rawang
| BEGINI...Romzi melakonkan semula aksi penjenayah yang cuba memasuki rumahnya. |
RAWANG: Berang gagal memecah masuk dua rumah untuk mencuri, sekumpulan 10 lelaki bersenjatakan pedang samurai dan parang memberi amaran untuk datang semula dalam kejadian di Perumahan Primulan serta Julian, Bandar Tasik Puteri, di sini.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, 2 Ogos lalu, kumpulan terbabit memberikan amaran berkenaan kepada sebuah keluarga selepas mereka terserempak suspek yang cuba memecah masuk rumah itu.
Menceritakan semula insiden berkenaan, mangsa, Romzi Ismail, 45, berkata, ketika kejadian, dia tidur sebelum terdengar jeritan isterinya.
“Pemeriksaan mendapati pintu rumah terbuka sebelum melihat beberapa lelaki bertopeng dengan bersenjatakan parang dan pedang samurai berada di pekarangan rumah.
“Ketika itu, saya dan isteri melihat beberapa lagi lelaki cuba memecah masuk rumah jiran,” katanya ketika ditemui, kelmarin.
Menurutnya, biarpun kejadian itu disedari dia dan isteri, kumpulan terbabit langsung tidak melarikan diri sebaliknya berhimpun di hadapan rumahnya sambil mengangkat parang dan pedang samurai seperti memberi amaran kepada mereka.
Katanya, jiran yang datang sebaik mengetahui kejadian itu melihat kumpulan terbabit berjalan bersahaja tanpa rasa takut sebelum menghilangkan diri di dalam ladang kelapa sawit kira-kira 100 meter dari taman itu.
“Sekarang, kami sekeluarga begitu takut untuk tinggal di rumah kerana bimbang kumpulan itu datang lagi.
“Malah, kami juga memilih untuk tidak berada di rumah pada waktu siang kerana takut dengan ancaman berkenaan,” katanya.
Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan beberapa siri cubaan dipercayai kumpulan sama yang dilihat penduduk setempat berlegar-legar di hadapan rumahnya.
28 June 2012
Jangan Mimpi Umno/BN Akan Simpati...
Kira-kira 200 peniaga Kompleks Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) di ibu negara hari ini berdemonstrasi bagi membantah perobohan pusat membeli belah itu yang dijangka akan dilakukan awal tahun hadapan.
Perobohan kompleks itu bertujuan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan projek stesen Transit Pantas Massa (MRT).
Pengerusi Jawatankuasa Persatuan Penyewa-penyewa BB Plaza Hassan Saad yang mewakili 167 peniaga berkata, pihaknya kecewa dan menuntut pembelaan serta campur tangan daripada perdana menteri berhubung perkara tersebut.
Katanya, mereka sedih dan kecewa apabila mendapat tahun agensi kerajaan Uda Holding Berhad mahu merobohkan tempat itu, seperti dilaporkan akhbar semalam.
"Mengikut perancangan asal pelan pembinaan stesen MRT itu, bangunan BB Plaza tidak terlibat.
"Tetapi semalam UDA secara mendadak setuju pengambilan tanah BB Plaza kepada MRT dengan tidak mengkaji kedudukan masa depan kami," katanya.
Hassan juga berkata, terhadap peniaga yang sudah berniaga hampir 30 tahun di bangunan itu.
Semalam, Timbalan Presiden Kanan UDA Holdings Berhad Syed Ahmad Nazri Syed Kamaruzaman berkata kompleks BB Plaza dijangka dirobohkan bagi memberi laluan pembinaan stesen MRT oleh MRT Corp Sdn. Bhd (MRT Corp).
'Sokong PM, UDA pembohong'
Menurut Syed Ahmad, perkara itu diumumkan oleh MRT Corp yang bertindak sebagai koordinator projek berkenaan. MRT Corp juga dilapor memberi masa sehingga akhir tahun kepada peniaga, termasuk kakitangan UDA untuk mengosongkan bangunan itu.
Turut hadir Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah yang terkenal dengan penganjuran 'protes burger' depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH Datuk S Ambiga pada 10 Mei lalu.
Demonstrasi kira-itu diwarnai dengan sepanduk "BB Plaza periuk nasi kami, harap YAB PM bantu kami", "Kami sokong pembangunan, kami menentang penindasan", dan "UDA bantu ekonomi bumiputera bukan menjahanamkan ekonomi bumiputera"
Mereka juga melaungkan slogan "sokong PM'' dan ''UDA pembohong''.
Kumpulan itu juga bercadang menghantar memorandum kepada perdana menteri petang ini bagi memohon campur tangannya, kata Hassan pada sidang media selepas mengadakan demonstrasi di hadapan BB Plaza.
"(Seramai) 167 penyewa dengan 60 peratus bangsa Melayu ingin memohon ehsan dan pertimbangan berteraskan budi bicara dan kebijaksanaan datuk seri untuk bantu kami kerana kami sebulat suara tidak mahu BB Plaza di robohkan.
"Kami tidak tolak pembangunan dan pembinaan MRT tapi kami minta kaji semula di tempat lain dan tidak di BB Plaza. Kami sentiasa sokong kepimpinan datuk seri (Najib)," katanya.
http://www.malaysiakini.com/news/202141
24 December 2011
Isa sepatutnya jadi peneroka dulu, baru jadi pengerusi koperasi
FELDA tidak akan sama lagi seperti dahulu. Perpecahan yang nyata berlaku di FELDA, samada di kalangan peneroka dan pegawai-pegawai serta kakitangan-kakitangan perbadanan yang tertua negara itu. Kalau dahulu Felda merupakan satu perbadanan yang terurus dengan agak baik tetapi sekarang oleh kerana wujud elemen pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan politik peribadi ke atas Felda ini maka unsur-unsur perpecahan dalam tanah rancangan ini sedang bertambah teruk dan menakutkan.
Felda sejak tertubuhnya adalah di bawah Kementerian Tanah dan Wilayah dan dengan tekun serta kerja tidak mengenal penat lelah oleh mereka yang bertanggungjawab maka Felda telah maju dan menjadi di antara perbadanan yang paling kaya samada dalam bentuk tunai dan asetnya.
Kalau perbadanan ini mula di tadbir oleh pelaksana yang jujur seperti Tan Sri Taib Andak perbadanan ini telah berkembang di bawah kelolaan Raja Tan Sri Alias Ali sehingga Felda terkenal di seluruh dunia sebagai tanah rancangan yang paling tersusun dan ditadbir dengan baik serta beretika di bawah pimpinan Raja Tan Sri Alias Raja Ali selama 3 dekad beliau berada di sana.
Politik tidak begitu masuk campur dalam hal Felda selama ini. Kalau ada pun politik di dalamnya ianya terbatas kepada mempastikan yang matlamat asal penubuhan Felda itu di capai mengikut kehendak dasar-dasar yang di kepilkan dengan penubuhannya itu. Kerjasama semua pihak, pengurusan dari ibu pejabat sehingga pejabat pentadbiran wilayah-wilayahnya sehinggalah kepada individu-individu peneroka serta pengorbanan mereka semua telah menjadikan Felda sebagai perbadan yang paling baik pentadbirannya.
Kebaikkan pentadbiran perbadanan ini tentulah di sebabkan perbadanan ini di ketuai oleh pelaksana yang sangat komited terhadap tanggungjawab yang di amanahkan oleh pimpinan Melayu negara. Komitmen Raja Tan Sri Alias dalam membina Felda sehingga sampai ketahap ini memang menjadi contoh kepada semua pihak.
Nama Raja Tan Sri Alias di Felda itu terpahat sehinggakan ism pelaksana dasar kerajaan ini tidak akan mudah dilupakan oleh pegawai dan kakitangan Felda serta peneroka keseluruhannya. Apabila Raja Tan Sri Alias bersara Felda masih utuh kerana ism dan sistem tadbiran di bawah Raja Tan Sri Alias itu sangat berkesan dan ‘follow through’ dengan sistem Raja TS Alias itu terus menjadi asas pembangunan Felda sehingga orang politik mengetuai Lembaga Pengarah perbadanan itu bernama Tan Sri Yusuf Nor.
Tan Sri Yusuf Nor tidak mencuba-cuba untuk menggali dan menganjak cara Raja TS Alias di dalam perbadanan itu maka tidak adalah masalah besar berlaku di bawah pengerusinya TS Yusuf Nor itu.
Felda telah begitu berjaya sehinggakan ada pihak yang begitu cair air liurnya kerana kekayaan perbadanan ini hasil dari penat jerih ratusan ribu peneroka yang berada di bawah paying Felda itu. Dengan senyap-senyap Felda dipandang oleh setengah pihak sebagai perbadan yang boleh di kudakan untuk kepentingan politik setengah pihak. Maka Felda telah dipindahkan dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada Jabatan Perdana Menteri dan duduk di bawah dagu Najib Tun Razak sejak beliau masih menjadi Timbalan Perdana Menteri sehinggalah sekarang.
Sejak perpindahan Felda dari Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada pentadbiran Najib Razak inilah Felda mula di hinggapi penyakit yang berbagai-bagai. Sejak di bawah tadbiran Najib ini Felda telah menjadi tempat pelahap-pelahap negara mengambil kesempatan dan peneroka-peneroka rancangan tanah ini.
Sebelum ini peneroka dan rakyat tidak berapa menyedari apa yang telah dilakukan kepada mereka, Sekarang mereka telah celek dan mulalah anak-anak generasi Felda ini terutamanya mengambil langkah melakukan tentangan terhadap pihak berkuasa kerana tindakkan unilateral kerajaan persekutuan dalam menentukan corak Felda menghadapi masa depan yang kian mencabar.
Hasrat peneroka untuk Najib memberikan ummph yang lebih terhadap Felda nyata meleset. Najib mula memperbetulkan apa yang kurang betul tetapi beliau melakukan pembetulan itu dengan cara ibarat tikus membaiki labu. Penggubal dasar yang tidak tahu apa dan bertanggungjawab dengan sepenuhnya terhadap peneroka-peneroka yang jumlahnya ratusan ribu keluarga itu.
Beberapa ketika dahulu selepas Felda di bawa ke bawah jabatan Najib, peneroka telah mempersoalkan wang ‘reserve’ Felda yang berjumlah RM4,08 billion telah mengecil sehingga menjadi RM200 juta. Sampai sekarang isu itu belum terjawab.
Sekarang timbul isu yang berlegar dikeliling Isa Samad, pengerusi baru Felda. Sekarang pengerusi Felda sedang berperang dengan peneroka dalam isu pengerusi koperasi Felda kerana Isa telah mengambil alih jawatan pengerusi koperasi Felda dari pengurus besar Felda Dato Zulkifli Wahab. Mengikut undang-undang koperasi itu, pengerusinya adalah secara automatik dipegang oleh pengurus besar Felda atau seorang peneroka yang setidak-tidaknya telah menjadi peneroka selama 2 tahun.
Kedua-dua syarat ini membuatkan Isa tidak layak menjadi pengerusinya .Isa hanya pengerusi Lembaga Jemaah Felda dan bukannya peneroka atau pun pengurus besar Felda. Kenapa undang-undang ini dilanggar. Kenapa tidak mengikut prosedure yang betul.
Kalaulah Isa hendak juga menjadi pengerusi koperasi itu, Isa sepatutnya memilih untuk menjadi peneroka dahulu. Isa sepatutnya masuklah ke tanah rancangan dan jadilah peneroka selama dua tahun dahulu dan apabila sudah cukup dua tahun jadi peneroka barulah Najib boleh lantik beliau menjadi pengerusi koperasi Felda itu. Isa boleh jadi peneroka di Negeri Sembilan. Di Negeri Sembilan ada dua wilayah Felda. Isa boleh pilih mana-mana rancangan tanah Felda di NS.
Isa boleh jadi peneroka di Pasoh satu hingga Pasoh empat. Atau pun Felda Serting atau pun Felda Palong. Cukup dua tahun Isa boleh bertanding menjadi pengerusi koperasi Felda. Ikut undang-undang kerana undang-undang itu di gubal oleh law-makers negara.
Isa mesti ingat, tugasnya hanyalah di peringkat Lembaga Pengarah sahaja. Tugas beliau ialah untuk menjadi penjaga dasar dan pelaksanaan Felda berjalan dengan betul, bukannya untuk membuat kekecuhan. Jangan bersikap sombong; hendak melutut orang itu dan orang sana. Jangan garang dan bisa mulut tak bertempat. Ingat kuasa rakyat kekal di negara ini. Kuasa ahli politik seperti beliau itu hanya sementara sahaja.
Hanya kita berharap tindakkan peneroka mengambil tindakkan mahkamah pada 4 hb Jan 2012 nanti akan memberikan penyelesaian terhadap isu ini. Isa mesti faham, kita hidup mesti ikut undang-undang. Kita mesti mentadbir dengan kepala, jangan mentadbir dengan kaki, menendang orang di mana-mana dia pergi.
Isa masih tidak belajar dari kesilapan dan kesalahan yang lalu.
Aspan Alias
23 September 2011
MAHATHIR YANG KAYA RAYA
Satu kelebihan pemimpin-pemimpin Malaysia, khususnya Mahathir dan Daim, ialah kelicikan mereka dalam menyembunyikan kekayaan mereka.
Barangkali inilah sebabnya Mahathir masih bertahan sehingga 2003.
Sedangkan Suharto telah pun jatuh.
Bagi mereka yang hampir dengan Mahathir dan keluarganya, mereka tidak dapat lari daripada merasa kagum atau hairan dengan kekayaan Mahathir.
Bagi mereka yang tidak peka dengan penyelewengan Mahathir mereka akan rasa kagum dengan kekayaannya.
Tetapi mereka yang peka dengan keadaan sebenar akan tentu hairan bagaimana dia boleh menjadi begitu kaya.
Di antara harta milik Mahathir ialah rumah-rumah mewah yang terdapat di berbagai tempat.
Sebagai contoh, sesiapa yang berada di tol plaza Sungai Besi dapat melihat sebuah banglo besar yang terletak di atas banjaran bukit di The Mines.
Ini adalah satu dari rumahnya.
Dia juga memiliki sebuah rumah di Subang yang dibina oleh Rin Kei Meng.
Selain ini, terdapat juga sebuah lagi rumahnya di Langkawi yang dibina oleh Ting Phek Khing, sebuah lagi di Country Heights (kini diduduki Mirzan) dan yang terbaru ialah di Bukit Tinggi, Pahang.
Rumah di Bukit Tinggi ini dibangunkan oleh Vincent Tan dengan harga RM21 juta.
Selain itu, Mahathir juga memiliki rumah-rumah lain di luar negara.
Ini termasuklah sebuah mahligai di London yang dibeli menggunakan nama Daim, sebuah di Vancouver yang dibeli menggunakan nama Mirzan, sebuah lagi di Florida di atas namanya sendiri.
Mahathir juga memiliki sebuah ladang kuda (ranch) di Argentina.
Satu peristiwa yang mendedahkan kekayaan Mahathir ialah apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui mengenai tindakan Daim memindahkan RM1 bilion ke akaun di sebuah bank Switzerland sebelum Malaysia mengenakan kawalan ke atas ringgit.
Anwar telah melaporkan mengenai hal ini kepada Mahathir.
Tetapi Mahathir hanya mendiamkan hal ini.
Hanya selepas itu baru Anwar ketahui bahawa rupanya akaun itu adalah akaun bersama Mahathir dan Daim.
Patutlah Mahathir dan Daim mahadiam mengenai pemindahan wang ini.
Persoalan yang rakyat berhak ketahui ialah dari manakah Mahathir memperolehi kekayaan yang sebegini banyak?
Gajinya sebagai Perdana Menteri tidak sampai RM30,000 sebulan.
Sekiranya dia tidak membelanjakan sesen dari wang ini dia akan mengumpul RM360,000 setahun.
Dalam masa sepuluh tahun ini menjadi RM3.6 juta.
Ini bererti dalam 17 tahun dia menjadi Perdana Menteri gaji terkumpulnya tidak akan melebihi RM6.12 juta.
Ini bererti kalau diharapkan pada gajinya sahaja, Mahathir tidak mampu membayar kos pembinaan rumahnya di Bukti Tinggi.
Apatah lagi untuk membeli rumah-rumah lain, termasuk di London, Florida, Vancouver dan Argentina.
Dari manakah datangnya wang yang sebegini banyak?
Di sinilah kita dapat melihat kelicikannya.
Dia menggunakan berbagai proksi untuk memegang kekayaannya.
Di antara proksinya yang paling penting ialah anak-anaknya dan Daim Zainuddin.
Daim pula akan menggunakan proksi untuk memegang kepentingannya.
Amalan Daim ialah tidak memegang lebih dari 10% saham mana-mana syarikat di atas namanya sendiri.
Sebahagian besar kekayaannya dan Mahathir dipegang oleh proksi seperti Halim Saad, Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad, Kadir Jasin, Ting Phek Khing, Eric Chia, Vincent Tan, anak-anak Taib Mahmud dan lain-lain lagi.
Dengan ini mereka memastikan kekayaan sebenar mereka tesembunyi dari pengetahun rakyat.
Patutkah seorang Perdana Menteri yang mempunyai kemewahan sebegini banyak meminta rakyat berkorban?
Dan kita juga ingin tahu berkorban untuk apa?
Berkorban supaya wang Petronas dapat digunakan untuk menyelamatkan syarikat anaknya Mizan?
Berkorban supaya tol dapat dinaikkan untuk menyelamatkan syarikat milik UMNO, Renong?
Berkorban supaya sebanyak RM776 juta wang rakyat di Khazanah Holding dapat digunakan untuk membantu Rashid Hussain dan RHB Bank?
Berkorban supaya Mahathir dapat membina mahligai bernilai RM200 juta di Putrajaya dan membeli jet Global Express juga dengan harga RM200 juta.
Sekiranya kita mendapatkan kembali semua wang Mahathir dan Daim di bank Switzerland dan menggunakannya untuk membiayai pembinaan lebuhraya mungkin rakyat tidak perlu membayar lagi tol untuk selama-lamanya.
Sekiranya kerajaan tidak membina mahligai Mahathir di Putrajaya wang RM200 juta itu mencukupi untuk memberi pendidikan percuma selama setahun untuk semua pelajar di sebuah universiti tempatan seperti Universiti Malaya.
Wang sejumlah itu juga boleh membina 8,000 buah rumah kos rendah untuk rakyat miskin.
Bayangkanlah berapa banyak sekolah, komputer dan subsidi untuk petani yang boleh diberikan dengan wang yang dibelanjakan untuk menyelamatkan Mirzan dan RHB?
Kenapakah anak-anak Mahathir yang telah pun kaya perlu dibantu lagi.
Mirzan memiliki saham bernilai RM726.5 juta di sebelas syarikat yang disenaraikan di KLSE.
Mokhzani pula memiliki saham bernilai RM624 juta.
Sebaliknya, nasib penanam padi tidak terbela.
Harga barangan semakin naik.
Pengangguran semakin meningkat.
Dan kita semua disuruh terus berkorban.
Apakah pula pengorbanan Mahathir dan Daim serta suku-sakat dan kroni mereka?
Apakah terlalu besar pengorbanan sekiranya kekayaan Mirzan, Mokhzani, Daim, Rashid Husein dan lain-lain kroni Mahathir yang beratus juta ringgit itu berkurangan menjadi beberapa puluh juta ringgit?
Sekiranya keadaan ini berterusan, kita akan menjadi rakyat miskin dalam negara yang kaya.
Petani kita tidak akan mampu menyuapkan makanan kepada keluarga mereka.
Siswa-siswi tidak dapat belajar dengan sempurna kerana kelengkapan yang serba kurang di universiti-universiti.
Graduan kita tidak mendapat pekerjaan kerana hanya segelintir syarikat yang mendapat manfaat dari program pemulihan ekonomi.
Para eksekutif kita pula akan menjadi pegawai yang memiliki nama jawatan yang besar tetapi tidak mampu membeli rumah untuk keluarga sendiri.
Dan kita disuruh berkorban dan terus berkorban pada ketika Mahathir dan Daim serta suku-sakat dan kroni mereka membongkah kekayaan negara untuk diri mereka.
Adakah rakyat harus mahadiam melihat golongan mahakaya ini terus mahamenindas kita?
Sumber Jalan Pulang
27 April 2011
JANGAN SERAH KEDAH KEPADA PENYAMUN
Di masa pemerintahan BN, elaun setiap orang Lembaga Pengarah Permodalan Kedah Berhad (PKB) ialah sebanyak RM20-RM25 ribu setahun. Mereka yang kebanyakan terdiri dari pemimpin Umno juga menerima bonus raya RM3,000 seorang.
Di antara Ahli Lembaga Pengarah PKB ialah Dato’ Mahdzir Khalid, Dato’ Abdul Rahman Ariffin, Datuk Yaakob Hj Mohamad, Dato’ Ghazali Ibrahim, Dato’ Ahmad Sudin, Dato’ Bakri Hj Ali Mahamad, Dato’ Mohd Akhir Shafie dan Dato’ Arzmi Abdul Hamid. Kesemua mereka adalah pemimpin Umno.
Keputusan memberi elaun RM20,000 seorang tercatat dalam minit mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 3/2006 bertarikh 10 Disember 2006.
Ini bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke 13 pada 30 Jun 2007 yang memutuskan tiada ganjaran pengarah dibayar bagi tahun berakhir 31 Disember 2006. Manakala pembayaran imbuhan raya bagi tahun 2007 tidak diputuskan pada mesyuarat Lembaga Pengarah.
Penetapan ganjaran kepada Ahli Lembaga Pengarah hendaklah berasaskan kepada prestasi keuntungan yang diperolehi syarikat pada tahun kewangan tersebut, tapi mereka sudah tetapkan ganjaran pada tahun 2006 lagi, sebelum tahun kewangan berakhir.
Begitulah perangai para pemimpin UMNO mengagihkan duit PKB. Walaupun Amanah Saham Kedah yang diuruskan oleh PKB sahamnya jatuh merudum sedak diniagakan, pelabur tanggung rugi tapi ahli lembaga pengarah tetap kenyang memanjang.
http://gigitankerengga.blogspot.com/2011/04/amanah-saham-kedah-merudum-tapi-lembaga.html

