BlogList Malaysia
Showing posts with label fatwa. Show all posts
Showing posts with label fatwa. Show all posts

08 January 2013

Mufti P. Pinang Belasah Majlis Fatwa

Majlis Fatwa Kebangsaan mesti menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan bagi menyelesaikan kemelut berkaitan dengan apa yang dipanggil Amanat Haji Hadi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan, isu yang menjadi kontroversi itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan berdasarkan laporan akhbar.


"Ia mesti mengikut prosedur. Datuk Seri Abdul Hadi perlu dijemput untuk berbincang dan bagi mendapatkan penjelasan. Ia tidak boleh diselesaikan mengikut andaian," katanya.

Mengenai fatwa yang dikeluarkan mengenai amanat itu, Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa di peringkat negeri.

Kuasa mengeluarkan fatwa, katanya, adalah kuasa negeri dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak semestinya satu keputusan mutlak kerana kuasa agama kekal di bawah kuasa negeri.

Beliau menjelaskan, fatwa sesebuah negeri boleh diguna pakai oleh negeri yang menggazetnya.

“Jika fatwa yang dikeluarkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan hanya di peringkat kebangsaan, dan ia tidak akan dibawa ke negeri, ia tidak menjadi undang-undang keseluruhan kerana ia berperanan menyelaras sahaja,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pula menegaskan tiada fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan secara khusus mengenai Amanat Haji Hadi yang menjadi isu kontroversi itu.

Katanya, beberapa fatwa yang dikeluarkan mengenai isu seumpama itu adalah dibuat oleh majlis fatwa peringkat negeri.

Sebuah daripadanya adalah Majlis Fatwa Negeri Melaka, yang dikeluarkan pada 2002.

Fatwa yang diputuskan di peringkat negeri, katanya, tidak semestinya boleh diguna pakai oleh negeri lain.

“Fatwa yang ada itu ialah mengenai isu kafir-mengkafir, sama seperti fatwa (yang dibuat) oleh Kelantan. Fatwa yang ada dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Read More...

06 January 2013

Ustaz Hadi cabar Majlis Fatwa hantar surat rasmi

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan surat rasmi berkenaan keputusan mengenai ‘Amanat Haji Hadi’.

Mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Rais Yatim bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan turut memutuskan amanat itu bercanggah dengan kepentingan masyarakat Islam dan kemuliaan agama serta prinsip dakwah Islamiah, beliau menafikan menerima sebarang surat daripada mufti tersebut.


“Saya tidak menerima surat dari Majlis Fatwa Kebangsaan. Saya cabar Majlis Fatwa hantar surat kepada saya. Dia (Majlis Fatwa) tak panggil saya.

“Surat rasmi pun tidak ada…atas angin sahaja. Bukan boleh atas angin begitu…bukan ‘meniaga’ ni dan kalau berniaga pun tidak boleh atas angin. Ini soal agama,” tegasnya.

Beliau berkata ‘amanat’ itu merupakan satu petikan daripada ucapan beliau yang dibuat di Banggol Peradong 31 tahun yang lalu.

Ustaz Abdul Hadi menjelaskan beliau tidak pernah menamakan ucapan tersebut sebagai amanat tetapi dibuat oleh pihak lain.

“Amanat itu satu petikan, saya tidak menamakan ‘amanat’ tetapi orang lain yang menamakan ‘amanat’ dan yang beri nama ‘amanat’ itu termasuk Umnolah.

“Bukan saya menamakan ‘amanat’, ia petikan ucapan saya selepas itu dibentang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu. Ketua Biro Agama Umno bentang dan saya bangun (jawab)…betul, itu ucapan saya. Masa itu kenapa tidak hujah, selepas 30 tahun baru hendak hujah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat jenazah allahyarham Tengku Zaliha binti Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Maqam Diraja Masjid Abidin, di sini petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan isu penjelasan amanat tersebut bukan sekadar pilihan raya tetapi kerana hari akhirat.

Menurutnya, jika Perdana Menteri atau mufti enggan bersemuka di atas dunia, maka tunggulah pada hari akhirat ketika mengadap Allah SWT.

“Saya akan mati, mufti-mufti juga akan mati, Perdana Menteri mati, saya mati…kita mengadap Tuhan. Tuhan yang akan menentukan betul atau pun salah. Jika tidak atas dunia ini..akhiratlah. Kita bertemu dengan Tuhan jika atas dunia tak mahu bertemu,” tegasnya.

Justeru, Ustaz Abdul Hadi tetap bertegas mahukan ruang penjelasan selama satu jam bersiaran di RTM milik kerajaan kerana PAS tidak memiliki media yang menyeluruh.

“Saya tetap mahukan (siaran langsung) supaya masyarakat berlaku adil. Adil ini kena dengar semua pihak dan dengan cara itulah, sebab kita tiada media.

“Biar rakyat tahu…dia (rakyat) dengar semua barulah (faham). Ini dengar sebelah pihak, macam mana.

“ Kena dengar dulu apa yang saya hendak kata, supaya masyarakat dengar betul atau tidak apa yang saya hendak kata,” ujarnya.

- Harakahdaily


Read More...

19 May 2012

Mufti bukan Tuhan

"Keluarkan seberapa banyak fatwa yang anda (mufti) mahu tetapi fatwa anda atau pun anda (mufti) sendiri tiada pengiktirafan Tuhan," kata Irshad dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini.

Awal bulan ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan umat Islam diharamkan menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Fatwa yang dikeluarkan seminggu selepas himpunan BERSIH itu dilihat sesetengah pihak sebagai dipengaruhi agenda politik tertentu.

Meneruskan wawancara, pensyarah di New York University (NYU) itu turut mengkritik keras golongan ulama hari ini yang disifatkannya cuba berlagak seperti Tuhan dan mahu penganut Islam menurut perintah mereka tanpa penilaian kritis.

"Anda bukan Tuhan. Hanya ada satu Tuhan dan kerja itu masih belum ada kekosongan," kata Irshad sinis.

http://www.malaysiakini.com/news/198384

Read More...

14 May 2012

Dendam Harussani Pada Pas Tak Pernah Padam

Tuan Guru Nik Aziz gesa Harussani tidak campurtangan urusan politik

KUALA LUMPUR, 14 Mei — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nuk Mat menggesa Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria agar tidak mencampuri urusan politik jika mengambil pendekatan serong terhadap pendirian dan matlamat perjuangan parti Islam yang diterajuinya.

Menteri Besar Kelantan itu juga menegaskan Harussani perlu berfikir secara rasional dan waras dan melihat kepada kebenaran.

Dalam laman sosial Facebook miliknya, Nik Aziz (gambar) berkata, “mufti sebaiknya tak payah masuk campur soal parti politik lah kalau begitu serong terhadap PAS. Bila nak nilai dasar dan perjuangan parti Islam seperti PAS, kena baca sejarahnya.


Kerana asal tertubuhnya PAS adalah terlibat sama ‘orang Umno’ yang melihat Umno tak mampu berjuang Islam.”

Harussani sebelum ini berkata perjuangan PAS kini sudah menyeleweng daripada matlamat asal serta menyalahgunakan agama Islam demi kuasa dan kerusi politik.

Dipetik Berita Harian Online, beliau bersedia mencadangkan kepada Majlis Fatwa Kebangsaan supaya mempertimbangkan saranan diadakan muzakarah bagi membincangkan kewajaran parti itu menggunakan perkataan Islam dalam nama parti.

“Perjuangan parti itu semakin jauh menyeleweng daripada matlamat asal untuk menegakkan Islam yang direncanakan sejak lebih enam dekad lalu,” katanya yang juga ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.

Menurut Nik Aziz lagi, Harussani tidak memahami matlamat penubuhan dan perjuanagan PAS.

“Nampak sangat mufti tu tak baca sejarah,” katanya lagi.

Status dari Facebook milik Nik Aziz itu telah mendapat respon dan komen balasan dari 236 individu dengan 2,918 individu “suka” terhadap status tersebut.

Tambah pemimpin veteran PAS ini lagi, mufti Perlis itu juga perlu memahami kitab karya Ketua Majlis Ulama Sedunia, Dr Yusof Al-Qaradawi yang menyokong demonstrasi di Dataran Tahrir, Mesir walaupun mufti negara tersebut menentang penganjuran demonstrasi tersebut.

“Kemudian baca jugalah kitab Dr Yusof Al-Qaradawi, Ketua Majlis Ulamak Sedunia yang sering memberi pandangan menguntungkan perjuangan Islam.

“Sebagaimana perhimpunan rakyat Mesir di Medan Tahrir, Dr. Yusof Qaradawi menyokongnya bagi memerangi kemungkaran kerajaan walaupun ia ditentang oleh mufti Mesir sendiri,” tegasnya.

Justeru, beliau menuntut agar Harussani “berfikirlah dengan kebenaran bukan kewarasan tanpa kebenaran.”

Harussani dilihat mengeluarkan kenyataan tersebut ketika mengulas saranan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mencadangkan Majlis Fatwa Kebangsaan mengadakan muzakarah untuk membincangkan kewajaran PAS menggunakan perkataan Islam pada nama parti itu.

Beliau turut menggesa ahli dan penyokong fanatik dan taksub PAS agar segera kembali kepada ajaran Islam sebenar dan berfikiran waras.

“Gunakan akal yang dianugerahkan Allah untuk berfikir... sama-sama memahami isi kandungan al-Quran, jangan hanya tahu mengutuk. Banyak sangat PAS menyalahgunakan Islam untuk kepentingan politik demi mendapatkan kuasa, pengaruh, kedudukan dan kerusi,” katanya.

Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan perpecahan umat Islam kerana sifat dengki, tamak, mengejar pangkat dan kedudukan di kalangan pemimpin parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.

Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam menyertai perhimpunan Bersih 3.0, Harussani berkata, ia tidak dibuat sebelah mata seperti yang didakwa pemimpin pembangkang, termasuk Nik Aziz.

Sebaliknya, keputusan itu dicapai selepas perhimpunan Bersih 3.0 tidak lagi bersih kerana menceroboh kawasan larangan, selain mendatangkan kekacauan dan kecederaan kepada pihak berkuasa dan orang awam./~TMI



Read More...

06 May 2012

Demo Haram - AMK Tuntut Penjelasan JK Fatwa

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menuntut penjelasan daripada Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung keputusan jawatankuasa itu hari ini bahawa umat Islam haram menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang melanggar undang-undang.

Ketua pergerakan itu, Shamsul Iskandar Md Akin berkata Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia perlu menjelaskan kerana keputusan tersebut mungkin dikeluarkan dengan berdasarkan laporan media arus perdana.

Sedangkan, perhimpunan BERSIH 3.0 – bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil – mempunyai tujuan yang baik, katanya lagi dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.


"Kalau kita ambil pendekatan seperti ungkapan yang mengatakan 'mencegah lebih baik daripada mengubati' dan 'berkata benar walaupun pahit', adalah wajib (sertai perhimpunan).

"Kita mesti ada kebebasan untuk menyatakan pendirian dan pendapat dengan berani walaupun berdepan dengan risiko. Kita akan minta penjelasan daripada majlis fatwa supaya tidak dilihat fatwa ini akan memosong pemikiran orang Islam," katanya.

http://www.malaysiakini.com/news/197125


Read More...

BERSIH 3.0 - JK Fatwa Pulak Digunakan..

Demo cetus huru-hara haram, kata j'kuasa fatwa

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hari ini memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Pengerusinya Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata jawatankuasa memandang serius isu itu di mana sebahagian umat Islam telah bertindak sebagai perusuh jalanan dalam banyak perhimpunan atau demonstrasi termasuk seperti yang berlaku pada perhimpunan di ibu negara 28 April lepas.

"Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.


"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu di Sepang.

Sehubungan itu, katanya umat Islam yang menyertai demonstrasi itu perlu insaf kerana tindakan itu bukan daripada ajaran Islam kerana Islam tidak pernah menyuruh umatnya bertindak sedemikian sehingga mengancam nyawa sesama manusia demi mencapai sesuatu agenda.

Abdul Shukor berkata sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, banyak saluran perbincangan yang lebih bermanfaat boleh dilaksanakan tanpa menggadaikan keamanan negara.

Beliau berkata turut dibincangkan dalam muzakarah itu adalah gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Transeksual (LGBT) yang tidak memerlukan pengeluaran sebarang fatwa kerana ia jelas haram di sisi Islam.

Selain mengelak daripada terjebak dalam seks songsang seumpama itu, Abdul Shukor berkata umat Islam juga diminta tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan sebarang gerakan, sokongan atau kempen mengenai LGBT.

"Untuk orang yang menunjukkan sokongan dan simpati kepada LGBT pun haram juga. Tugas menghapuskan gejala ini adalah tugas semua umat Islam dan jika kita sokong perkara yang tidak baik itu dikatakan bersubahat dan berdosa jawabnya," katanya.

Beliau berkata tindakan menyanjung pemimpin yang menyokong LGBT juga perlu dielakkan kerana Islam sendiri menyenaraikan ciri-ciri pemimpin yang boleh dipilih antaranya bermoral tinggi, patuh ajaran agama, berpengetahuan dan amanah.

Abdul Shukor berkata muzakarah turut menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan bagi menyekat gejala seks songsang daripada terus berleluasa.

Dalam pada itu, beliau berkata pemimpin, individu atau media dinasihat menghentikan sikap suka mendedahkan secara terbuka perkara-perkara keji yang didakwa dilakukan mana-mana pihak.

"Ini kerana perbuatan mendedahkan keaiban orang lain lebih-lebih lagi yang berkait dengan hubungan seksual amat ditegah Islam. Jika bertujuan untuk menghapuskan kemungkaran, serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas," katanya.

- Bernama


Read More...

11 January 2012

Apa Lagi Helah SPR Nanti??

Majlis Fatwa:Guna dakwat kekal harus, dibenar

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan hari ini memutuskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) adalah harus dan dibenarkan.

Pengerusinya Prof Tan Sri Abdul Shukor Husin berkata, perkara itu diputuskan berdasarkan tiga kriteria iaitu dakwat tersebut tidak najis, tidak memudaratkan dan boleh menyerap air.

"Dakwat itu jika digunakan oleh umat Islam ia boleh diserap air jadi tidak akan menimbulkan sebarang masalah untuk menunaikan sembahyang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai perkara itu di Putrajaya.


Mesyuarat yang berlangsung di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu turut dihadiri wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Jabatan Kimia, Kementerian Kesihatan dan para mufti.

Pada Disember lalu, SPR mengumumkan dakwat kekal jenis "silver nitrate" akan digunakan pada PRU13.

Dakwat itu adalah berlainan dengan dakwat kekal yang disyorkan pada pilihan raya umum 2008, namun tidak digunakan selepas keberkesanan kaedah tersebut dipersoalkan pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor berkata, ujian yang dijalankan Jabatan Kimia dan Kementerian Kesihatan juga mendapati penggunaannya tidak memudaratkan atau pun memberikan kesan sampingan.

Bagaimanapun, katanya, keputusan itu adalah tertakluk kepada penggunaan dakwat berdasarkan sampel sama yang telah diberikan kepada Jawatankuasa Fatwa dan yang telah diuji sahaja.

"Jika SPR berhasrat menggunakan dakwat jenis lain, maka keputusan lain perlu dibuat. Tetapi difahamkan SPR hanya akan menggunakan dakwat yang sama,” katanya.


Read More...

08 December 2011

Majlis Fatwa Sahkan PRU-13 Boleh Guna Dakwat Kekal

KUALA LUMPUR,— Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat dakwat kekal yang pernah diuji dan diluluskan bagi pilihan raya umum 2008 boleh digunakan ketika pilihan raya umum ke-13 jika kandungan bahannya masih sama.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, selagi dakwat itu menggunakan bahan sama seperti pernah diuji, ia boleh digunakan kerana kandungannya mematuhi syarak dan tidak menimbulkan sebarang kemudaratan atau masalah kepada umat Islam melakukan ibadat.

Semalam, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum kali ini kini hanya memerlukan kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan dari segi kandungan dalam bahan tersebut kelak.


Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Wan Ahmad berkata, seiring dengan keputusan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang memutuskan untuk menggunakannya, dakwat kekal yang akan dibeli akan dikemukakan kepada majlis itu untuk penilaian dan ujian tentang kandungannya supaya ia tidak bertentangan dengan Islam.

“Bagaimanapun, jika jenis dakwat yang akan digunakan nanti (pilihan raya umum ke-13) berbeza dengan dakwat yang sudah diputus dan diuji sebelum ini (pilihan raya umum ke-12), maka ia perlu dianalisis terlebih dulu Jabatan Kimia sebelum diserah kepada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Fatwa bagi diputuskan sama ada ia boleh digunakan atau tidak kerana dikhuatiri mengandungi bahan terlarang,” katan Abdul Shukor dipetik Berita Harian hari ini.

Keputusan penggunaan dakwat kekal diputuskan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen minggu lalu.

Dakwat kekal yang dicadangkan untuk digunakan ketika pilihan raya umum ke-12 telah diuji dan keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 2007 mendapati dakwat itu tidak mengandungi bahan najis diharamkan syarak, tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan serta tidak menghalang air sampai ke kulit apabila digunakan.

Uji kaji dijalankan Jabatan Kimia Malaysia juga mendapati dakwat kekal itu yang mengandungi alkohol etanol juga tidak menimbul masalah ibadat bagi orang Islam.

Bagaimanapun, dakwat itu dilupuskan menerusi proses pembakaran pada November 2009 berikutan faktor keselamatan dan perundangan.

Difahamkan kerajaan mengimort dakwat hitam bernilai hampir RM2.4 juta dari India. Negara berkenaan menggunakan dakwat kekal sejak 1951 dan memperoleh bekalan dari Mysore Paints dan Varnishes Ltd (MPVL), milik kerajaan negeri Karnataka sejak 1959. Penggunaan dakwat itu dikatakan cukup berkesan bagi mengelak pengundian berganda.

Walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan memberi kelulusan untuk digunakan tetapi penggunaannya telah dibatalkan beberapa hari sebelum hari pengundian.

Read More...

07 December 2011

Dakwat kekal: SPR OK, tapi kena tunggu hasil ujian Majlis Fatwa

KUALA LUMPUR, 7 Dis — Penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum kali ini kini hanya memerlukan kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan dari segi kandungan dalam bahan tersebut kelak, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Timbalan Pengerusinya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar berkata, seiring dengan keputusan jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang memutuskan untuk menggunakannya, dakwat kekal yang akan dibeli akan dikemukakan kepada majlis itu untuk penilaian dan ujian tentang kandungannya supaya ia tidak bertentangan dengan Islam.

“Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memberi kelulusan kepada penggunaan dakwat kekal sebelum ini, cuma apabila kita beli nanti, apabila tiba bekalan nanti, kita kena beri kepada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk ujian kandangan dalam dakwat kekal supaya ia tidak meragukan umat Islam,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.


Penggunaan dakwat kekal adalah antara 10 cadangan yang dikemukakan dalam laporan awal yang dibentangkan oleh jawatankuasa pilihan khas Parlimen bagi pembahruan sistem pilihan raya di negara ini di Dewan Rakyat minggu lalu.

Agensi seperti SPR yang dinamakan dalam laporan itu diberikan tempoh dua minggu bagi melaksanakan cadangan berkenaan.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberi butiran berapa lama diperlukan bagi SPR untuk memperoleh bekalan dakwat kekal walaupun laporan media sebelum ini menyebut ia akan memakan masa dua bulan.

“Sementara PSC membuat kajian hari itu, kami juga sudah pun melakukan kajian kami sendiri, berdasarkan jangkaan, ia akan diperoleh sebaik sahaja semua urusan berkaitan selesai,” katanya lagi.

Malah beliau juga enggan memberitahu dari mana bekalan itu akan diperoleh.

Pada pilihan raya umum 2008, SPR memperoleh bekalan dari India dengan kos dianggarkan dalam sekitar RM4 juta.

Bagaimanapun penggunaannya dibatalkan pada saat-saat akhir atas alasan keselamatan dan perundangan.

Mengenai prosedur pelaksanaannya, kata Wan Ahmad, pihaknya sedang menunggu peraturan yang sedang disediakan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Itu kena tunggu. Kami akan mengumumkan sebaik sahaja kajian Jabatan Peguam Negara selesai,” kata beliau ketika ditanya mengenai cara pelaksanaannya termasuk jari yang akan digunakan untuk dicalit dengan dakwat kekal.

Wan Ahmad juga enggan menjawab apabila ditanya sama ada seseorang akan hilang hak mengundi jika enggan jarinya dicalit dengan dakwat kekal.

“Tunggulah, sehingga peraturan berkenaan siap dirangka. Itu saya tidak cakap,” kata beliau lagi.

Read More...

14 May 2011

Mat Sembab Dakwa Tok Guru Nik Aziz Keluar Fatwa Baru

Video seks: Muhyiddin dakwa Nik Aziz keluar fatwa baru

KUANTAN, 14 Mei – Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat “berkata benar walaupun pahit” berhubung isu video seks yang didakwa membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Perdana Menteri (gambar) berkata, Nik Aziz mengeluarkan fatwa baru ekoran kenyataan terbaru semalam bahawa mereka yang mengaitkan Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat dengan video seks, yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang itu, tidak akan masuk syurga.

Muhyiddin berkata kerajaan tidak pernah mengeksploitasikan isu video seks berkenaan, sebaliknya polis hanya membuat siasatan kerana ia didakwa membabitkan seseorang yang “ternama.”


“Bila keluar video sebegitu, dan ia dikaitkan dengan yang ternama, ketua pembangkang, sudah tentu ramai nak tahu.

“Jadi disebabkan jadi perhatian awam, umum, pihak kerajaan bila dibawa aduan (itu), maka perlu buat siasatan dan perlu bukti fakta yang sebenarnya,” katanya dipetik media hari ini.

Muhyiddin yang ditemui pemberita selepas menghadiri program bersama warga pendidik Pahang di sini, diminta mengulas kenyataan Nik Aziz yang mengatakan ‘tak masuk syurga tuduh Anwar’ terbabit dalam video seks berkenaan.

Dipetik Bernama, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno berkata: “(Ini) fatwa baru dia (Nik Aziz), saya fikir Nik Aziz biasa(nya) begitulah.

“Dia menjawab lebih kepada bahasa politik, bukan kepada hukum,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, apa yang penting ketika ini ialah mencari kebenaran berhubung isu video seks berkenaan bagi mengelak sebarang fitnah dan tohmahan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kota Baru semalam, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menyifatkan mereka yang mengaitkan Anwar dengan video seks, yang dikatakan mirip pemimpin pembangkang itu, tidak akan masuk syurga.

Rakaman video itu didedahkan kali pertama oleh trio “Datuk T” pada 21 Mac lalu.

Polis Diraja Malaysia semalam sekali lagi mengesahkan ketulenan video seks itu dengan memperoleh pandangan pakar dari Amerika Syarikat.

“Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga).

“Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka,” katanya.

“Walaupun orang itu menteri ke, tindakan berkenaan (mengaibkan itu) tetap tidak boleh. Malah kini televisyen dan Internet sudah menayangkan (video seks) ke seluruh dunia, pihak berkenaan akan menerima bahana nanti,” kata Nik Aziz lagi.


SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Read More...

28 August 2010

JAKIM - Masjid Sebagai Destinasi Pelancongan

PELANCONGAN keagamaan yang dikaitkan dengan pusat dan tempat bersejarah sesuatu agama adalah produk pelancongan yang berkembang pesat. Banyak negara sudah melancarkan kempen tahun melawat di negara masing-masing turut mempromosikan pusat keagamaan sebagai destinasi pelancongan.

Malaysia turut mengambil langkah sama, tetapi tidak dinafikan usaha itu terutama menjadikan masjid sebagai destinasi pelancongan menjadi isu negatif di kalangan masyarakat yang beranggapan kedatangan pelancong terutama bukan beragama Islam boleh menjejaskan kesucian masjid yang menjadi rumah Allah.

Persoalan besar timbul ialah apakah hukum orang bukan Islam memasuki masjid?

Berdasarkan pendapat Mazhab Syafie, orang bukan Islam dilarang secara mutlak memasuki Masjidil Haram seperti dinyatakan firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Sesungguhnya (kepercayaan) orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjid al-Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu daripada limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 28)


Masjid lain pula pada pandangan ulama Syafi’iyah adalah diharuskan jika bertujuan baik. Ulama ini berpegang pada hadis sahih diriwayatkan Bukhari, menjelaskan bahawa sekumpulan tentera Islam yang baru kembali dari medan perang Nejad membawa seorang tawanan perang bernama Tsumamah Utsaal dari Bani Hanifah yang ketika itu belum beragama Islam dan mengikatnya pada tiang dalam sebuah masjid.

Kemudian Rasulullah SAW menuju kepada tawanan itu seraya bersabda: “Lepaskanlah Tsumamah.” Kemudian Tsumamah berangkat menuju ke kebun kurma berdekatan masjid dan mandi. Selepas itu Tsumamah masuk semula ke dalam masjid sambil melafazkan kalimah dua syahadah menjadi seorang muslim.”

Berdasarkan hadis itu nyata bahawa jika tindakan membawa seseorang bukan Islam ke dalam masjid menjadi satu kesalahan tentu sekali Rasulullah SAW akan menegur tindakan sahabat membawa masuk Tsumamah ke dalam masjid itu.

Baca Seterusnya Di Sini

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas