BlogList Malaysia
Showing posts with label f-5e. Show all posts
Showing posts with label f-5e. Show all posts

18 April 2011

WikiLeaks: Media bohong kerajaan minta bantuan AS tentang F5

Dipetik dari Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 April: WikiLeaks melaporkan bahawa media tradisional negara telah membuat laporan palsu mengenai kehilangan jet engin F5, yang didakwa lesap secara tetiba pada 2008.

Berdasarkan kabel diplomasi Amerika Syarikat (AS) yang diledakkan WikiLekas, seorang anggota Kementerian Luar Negeri telah memberitahu Kedutaan AS di Kuala Lumpur bahawa media tradisional negara telah mengeluarkan ‘banyak kenyataan menyeleweng dan silap’ mengenai kehilangan dua engin jet buatan AS pada Disember 2009.

Kedutaan AS turut melaporkan kepada kerajaan AS bahawa mereka susah untuk mempercayai penjelasan kerajaan Malaysia mengenai skandal tersebut.


“Kami berkongsi ketidakpercayaan yang dicetuskan di dunia blogger mengenai kes dan penjelasan kerajaan mengenai orang di belakang skandal ini,” kata kabel itu lagi.

Mengikut kabel itu lagi, Kementerian Pertahanan yang di bawah jagaan Perdana Menteri, Najib Razak ketika itu turut didakwa cuba mengelak daripada memberikan penjelasan bagaimana kes ini dikendalikan..

Kedutaan AS juga berpendapat Kementerian Luar Negara cuba menjauhkan diri daripada skandal tersebut.

Kabel yang bertarikh 10 Januari 2010 ditulis oleh kaunselor politik, Brian McFeeters dan ditandatangani Duta AS James Keith turut menamakan pegawai Malaysia yang dimaksudkan iaitu Mohamed Radzi Jamaluddin, pembantu setiausaha jabatan Amerika dari Kementerian Luar Negeri.

Radzi dilaporkan berkata media tradisional telah berbohong melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah meminta bantuan daripada AS dalam skandal enjin jet F5, kerana sekiranya benar, permintaan tersebut akan melalui Kementerian Luar Negeri.

Dalam tulisannya, McFeeters turut melaporkan bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang permohonan sedemikian daripada Malaysia.

Sebanyak 3 kabel didedahkan oleh WikiLeaks minggu lepas, menyentuh mengenai skandal kehilangan enjin jet F5. Enjin J85-21 yang dibuat oleh General Electric digunakan dalan Northrop F-5 jet ringan sejak 1970 masih digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF).

Berita kehilangan engin jet mula-mula diledakkan oleh Menteri Pertahanan, Ahmad Zahid Hamidi pda 19 Disember 2009, hari yang bertembung dengan konvesyen Pakatan Rakyat yang pertama, di mana Kedutaan AS berpendapat satu peristiwa yang mungkin menenggelamkan pengumuman kementerian tersebut.

RMAF turut didakwa tiga kali gagal untuk memaklumkan peristiwa tersebut kepada AS, dimana kabel itu melaporkan AS hanya dimaklumkan pada awal Januari 2010.

Difahamkan enjin jet termaktub dalam perlembagaan pertahanan AS (United States Munitions List), di mana pemindahan secara tidak sah adalah bercanggah dengan perkara 3 dalam Arms Export Control Act, di mana kehilangan jet engin J-85 di Malaysia tertakluk kepada undang-undang ini.

Sementara itu, kabel turut melaporkan bahawa Kedutaaan AS turut menyoal pegawai daripada Malaysia mengenai lokasi spesifik enjin yang didakwa kecurian ekoran laporan media tradisional yang mengatakan bahawa engin tersebut sudah dijual kepada satu syarikat antarabangsa yang berpusat di Amerika Selatan.

“Mereka mungkin tak tahu lokasi atau disuruh merahsiakan info ini sehingga polis menghabiskan siasatan. Malaysia juga tidak memberikan penjelasan yang cukup, kenapa, selepas dua tahun, perkara ini tiba-tiba menjadi pengetahuan umum,” kata kabel itu lagi.

Kabel itu turut menyatakan bahawa terdapat laporan portal berita berkecuali yang melaporkan bahawa enjin tersebut mungkin telah tiba di Timur Tengah, terutamanya Iran, sebagaimana yang dinyatakan pihak polis di awal laporan media tradisional ketika kes ini diledakkan.

Di satu sidang akhbar, kabel itu berkata Peguam Negara, Abdul Ghani Patail telah dilaporkan berada dalam keadaan defensif ketika ditanya mengenai hubungan denga Iran, dan semua laporan mengenai kemungkinan enjin yang hilang tersebut kini berada di Timur Tengah atau Iran hilang daripada paparan media tradisional.

KLIK UNTUK SPONSOR BLOGLIST
Photobucket

Read More...

03 October 2010

Malaysia Perolehi Semula Enjin Jet Yang Hilang Bulan Ini

Mahkamah Uruguay telah memutuskan bahawa dua buah enjin F-5E jenis GE J85 21-A yang kini berada di dalam pegangan kerajaan Uruguay adalah hak milik kerajaan Malaysia.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menghubungi beliau tiga hari lepas bagi memaklumkan keputusan mahkamah itu.

"Kita akan menghantar satu pasukan terdiri daripada pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pejabat Peguam Negara ke Uruguay dalam bulan ini bagi mengambil semula enjin tersebut.

"Jabatan Peguam Negara sedang berusaha menterjemahkan keputusan mahkamah tersebut dalam Bahasa Sepanyol ke Bahasa Inggeris bagi memastikan kandungan dan maksud sebenar tidak mengelirukan mana-mana pihak dan dijangka proses ini akan mengambil masa selama seminggu," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pertahanan di sini Sabtu malam.

Ahmad Zahid berkata proses pengurusan membawa pulang enjin tersebut akan dikendalikan sepenuhnya oleh Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa Jabatan Peguam Negara.

Beliau berkata proses itu merupakan perkembangan yang positif di dalam pengurusan kes tersebut dan setiap langkah pastinya perlu mengambil kira kesan secara langsung ke atas proses pendakwaan yang sedang berjalan.

Menurutnya, proses memperoleh semula enjin berkenaan menunjukkan wujudnya hubungan baik antara kedua-dua kerajaan walaupun berlaku kes sedemikian.

Beliau berkata kejayaan kes itu adalah kerjasama baik antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga selesainya kes berkenaan.

Enjin tersebut dilaporkan hilang dari dua kemudahaan TUDM pada 20 Dis 2007 dan 1 Jan 2008.

Ahmad Zahid turut menafikan tohmahan dan fitnah yang mendakwa kedua-dua enjin tersebut bernilai RM100 juta sedangkan keseluruhan sebuah pesawat seumpama itu hanya bernilai RM2.45 juta.

-- BERNAMA

Read More...

17 June 2010

Enjin Jet - Sarjan TUDM Hanya Kambing Hitam

Peguam keluarga Sarjan N. Tharmendran, yang kini menghadapi tuduhan mencuri dua enjin jet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mahu mendedahkan semua dengan membuat laporan polis berhubung layanan buruk diterimanya ketika dalam reman.

Lawyer N. Surendran memberitahu The Malaysian Insider bahawa anak guamnya dijadikan “kambing hitam” apabila dikenakan tuduhan bersubahat dan mencuri enjin-enjin pesawat jet F5 TUDM dan ditahan reman di Penjara Sungai Buloh.

“Dia hanya seorang staf berpangkat rendah dan kami percaya tuduhan ke atas dia hanya bertujuan melindungi pihak tertentu,” kata Surendran.

TUDM mengesan kehilangan enjin jet dan rekod penyelenggaraan pada 22 Mei 2008 dan laporan polis dibuat pada 4 Ogos tahun yang sama.

Kehilangan itu dilihat sebagai isu besar yang memalukan dan menjejaskan nama kerajaan ekoran siri peristiwa menimpa Kementerian Pertahanan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji tidak akan ada sebarang usaha untuk menutup kes tersebut.


Najib merupakan Menteri Pertahanan ketika kejadian manakala Datuk Seri Dr Zahid Hamidi yang menerajui kementerian itu sekarang mendakwa ia merupakan satu kerja dalaman.

Surendran mendakwa anak guamnya itu dipaksa membuat pengakuan mencuri enjin-enjin itu.

Katanya, mereka akan mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku dalam memaksa sarjan TUDM itu selepas anggota keluarganya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pagi ini.

Akhir Mac lalu, Mahkamah Sesyen menetapkan 19 Julai ini perbicaraan kes sarjan itu dan seorang ahli perniagaan yang didakwa bersubahat mencuri dan menghapuskan enjin milik TUDM.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan tarikh bicara selama lima hari selepas pihak pembelaan memaklumkan mereka telah menerima kesemua dokumen yang diperlukan daripada pihak pendakwaan.

Mahkamah turut mendengar permohonan peguam Rakhbir Singh yang mewakili Tharmendran agar ikat jamin anak guamnya dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM150,000 dengan seorang penjamin atas alasan tidak berkemampuan.

Selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, hujahnya wang jaminan yang dikenakan terhadap Thamendran terlalu tinggi jika dibandingkan dengan nilai enjin yang didakwa dicuri itu.

Aslam yang mendengar hujahan permohonan itu kemudian menolaknya secara lisan dan mengekalkan nilai jaminan sebelum ini.

Pada 6 Jan lalu, Tharmendran, 42, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K. Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah pada tarikh yang sama, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin TUDM itu di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang pada 30 April 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Oleh kerana tidak dapat mengumpulkan RM150,000 Tharmendran ditahan di penjara sejak enam bulan yang lalu.

Surendran telah pun memfailkan rayuan berhubung perkara itu tetapi belum ada tarikh sebutan.

Read More...

06 January 2010

Banyak Lagi Kambing Akan Didakwa - Gani Patail

Kecurian Enjin Jet F5E: Ramai Lagi Akan Didakwa

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, ramai lagi yang akan didakwa di mahkamah berhubung kes kecurian enjin jet pesawat pejuang F5E yang dicuri dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dua tahun lalu.

“Ya, jika saya dapat bukti ada lagi yang terlibat, saya akan dakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada soalan para pemberita sama ada terdapat lagi suspek yang akan didakwa berhubung kes tersebut.

Malah Abdul Gani berkata, pejabatnya akan melihat sebarang kemungkinan untuk memperolehi ekstradiksi jika mereka yang terlibat di dalam kecurian itu berada di luar negara sekarang.

Hari ini, seorang sarjan TUDM dan pengarah syarikat telah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan terlibat dalam mencuri dan menjual enjin pesawat itu ke luar negara.-mstar

Read More...

KAMBING HITAM ??


N. Tharmendran, 42, daripada Pangkalan Udara TUDM Subang (kiri) dan Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K. Rajandran Prasad, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F-5E milik TUDM. -Foto The Star oleh KEVIN TAN


Majoriti rakyat berkeyakinan individu-individu itu telah dikambing hitamkan hanya untuk menjaga kepentingan pihak tertentu yang terlibat secara langsung dalam melenyapkan harta negara yang bernilai ratusan juta ringgit. Rata-rata rakyat percaya kalau enjin jet yang besar itu mampu dilenyapkan, tidak mustahil fakta dan bukti yang sekadar di dalam kertas itu juga boleh dihapuskan sebagai mana menghapuskan kotoran degil pada pakaian.

Tempoh siasatan yang lama iaitu hampir satu tahun setengah, menguatkan lagi kesangsian rakyat terhadap penemuan ajaib pihak penyiasatan yang telah sedia diragui itu. Berbagai-bagai muslihat yang boleh dilakukan dalam tempoh yang lama itu untuk menyelamatkan individu-individu besar dan berkuasa.

Read More...

Sarjan TUDM,Pengarah Syarikat Mengaku Tidak Bersalah Curi Dan Lupus Enjin TUDM

Seorang sarjan dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya di sini terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.

N. Tharmendran, 42, daripada Pangkalan Udara TUDM Subang yang berpakaian kemeja berwarna putih hanya mengangguk memahami dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan itu.

Pengarah sebuah syarikat pembekalan, K. Rajandran Prasad, 38, turut mengaku tidak bersalah di mahkamah yang sama terhadap pertuduhan dengan sengaja membantu menghapuskan barang curi milik TUDM itu.

Hakim Aslam Zainuddin membenarkan keduadua mereka diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Feb ini untuk sebutan kes itu.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, untuk melakukan kecurian dua enjin pesawat F5 jenis J8521 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi di sini.

Bagi kesalahan itu dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Rajandran, didakwa dengan sengaja menghapuskan dua enjin milik TUDM, di alamat 49 Jalan TS 6/6 Taman Industri Subang, pada 30 April 2008, mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Ketika ditanya adakah Mohamad Shukri akan didakwa, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata beliau masih belum menerima sebarang arahan.

Mengenai kemungkinan lebih ramai dituduh berkaitan dengan skandal itu, Raja Rozela berkata beliau hanya menerima arahan untuk mendakwa keduadua tertuduh sahaja.

Terdahulu, Raja Rozela memohon mahkamah memandang serius kerana barang yang dicuri bukan enjin motosikal tetapi ia adalah enjin pesawat pejuang.

Peguam bela V. Ravichandran yang mewakili Tharmendran dan peguam bela Pritam Singh Deol yang mewakili Rajandran memohon kepada mahkamah agar anak guam mereka itu diberi jaminan yang rendah berikutan kesemua akaun telah dibekukan dan tidak mempunyai wang yang banyak.

Bagaimanapun, Raja Rozela membantah kerana ia bukanlah faktor utama dalam memohon jaminan.

Rajandran dijamin oleh abangnya sementara Tharmendran gagal membayar jaminan. Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata semua usaha sedang dilakukan oleh kerajaan untuk mendapatkan semula dua enjin yang hilang itu dengan secepat mungkin yang kali terakhir dikesan di Uruguay. - BERNAMA

Read More...

05 January 2010

Kenyataan Gani Patail - Bodoh Dan Tak Logik Langsung

Malaysia antara negara paling pelik di dunia apabila 'Prebet' atau askar berpangkat rendah boleh meloloskan enjin jet di jual ke luar negeri.

Biasanya kita tahu anggota berpangkat rendah ini tidak boleh 'speaking' dengan baik bagaimana mereka boleh berurusan untuk menjual enjin tersebut.

Biasanya 'prebet' ini tiada akses untuk masuk tempat-tempat sulit dan terlarang.

Tapi lain pula di Malaysia ini. 'Prebet' dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya pula berjaya mencuri enjin dan memperdayakan boss-boss mereka. Hairan.

Tapi itulah kenyataan pelik yang dilaporkan media hari ini di mana Peguam Negara, Abdul Gani Patail mendedahkan bahawa tidak ada pegawai kanan tentera udara yang terbabit dalam kecurian dua enjin jet pejuang F-5E milik TUDM dari pangkalan tentera di Sungai Besi pada 2007.

Katanya, hanya anggota pangkat rendah yang terbabit dalam kehilangan enjin buatan Amerika Syarikat yang bernilai RM100 juta itu.

Tambahnya mereka akan didakwa tidak lama lagi.

"Siasatan masih dijalankan," kata Abdul Gani dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya.

Beliau tidak mendedahkan berapa ramai yang disoalsiasat oleh pihak polis.

Beliau juga mendedahkan bahawa destinasi terakhir dua enjin tersebut dibawa ialah Uruguay.

Abdul Gani tidak pasti sama ada enjin itu masih berada di sana atau sama ada telah dipindahkan ke tempat lain.

"Keutamaan sekarang ialah mencari enjin tersebut," katanya.

PELIK WAL AJAIB.- muslimeen-united

Read More...

30 December 2009

F5E riuh tapi Skyhawks membisu di padang pasir Arizona

Perbualan saya dengan seorang bekas General TUDM yang telah pencen mengenai kes kehilangan injin jet pejuang F5E baru baru ini cukup menarik, apatah lagi dengan kata nya “tak perlu apa apa untuk rasa terkejut” mengenai hal ini. Pengalaman sudah dilalui beberapa tahun yang lalu, apabila negara kita turut memansuhkan penggunaan pesawat pejuang 80 buah A4 Skyhawks.

Kerajaan kita telah membeli squadron pesawat ini dari USAF (United State Army Force) sebanyak 80 buah ketika awal 1984 lalu. Hanya sebanyak 35 buah saja yang di bawa ke Malaysia manakala baki nya 45 buah itu masih tersimpan di padang pasir Arizona Amerika. Difahamkan sebuah telah hilang dilaut China Selatan.

Yang menjadi lebih ‘kontraversi’ nya mengapa yang baki sebanyak 45 buah itu tidak dibawa pulang ke Malaysia? apa tujuan ianya dibeli? Kalau setakat beli untuk disimpan di padang pasir itu, rasanya ini menjadi kes lain pula. Walau pun simpanan pesawat pesawat itu di uruskan oleh sebuah syarikat disana, tetepi kerugian tetap berpihak kepada kita.

Pembayaran tempat simpanan tetap dibayar yg sudah menjangkau puluhan tahun, kes kes kecurian componentnya terus berlaku silih berganti. Kalau ianya dibawa pulang ke Malaysia boleh juga disimpan disebelah kilang besi Perwaja Kemaman, ada juga faedahnya. Pekara ini tidak ramai yang mengetahui nya, kalau boleh ianya ditutup kemas.


Di awal tahun 2001 dahulu pekara ini pernah diberi perhatian dan dicadangkan untuk menjual nya, tetapi hingga kini langsung tiada kata dan senyap begitu saja. Sehinggalah 2003 rasanya kita bertukar dan membeli pula jet pejuang dari Rusia pula, iaitu MIG-29. Maka kes skyhawks ini senyap begitu saja hampir dilupakan.

Difahamkan juga status kes pesawat ini semakin kusut dan pihak bertanggung jawab agak sukar malah pemilikan skyhawks ini masih menjadi ‘tandatanya’. Pernah beberapa kali hal ini di bangkitkan di parlimen, tetapi keputusannya tidak jelas. Pernah juga dikatakan yang ‘besi buruk’ itu telah dijual kepada sebuah syarikat di Amerika dengan harga yg rendah, tetapi dimana kepastian nya.

Sahabat ini turut menceritakan yang 45 pesawat ini hilang daripada inventori RMAF dan rekodnya entah kemana, hakikat sebenarnya tiada rekod dalam inventori RMAF dan bagaimana ini boleh berlaku. Kemana menghilangnya jet jet ini?

Begitu juga dengan kes terbaru ini, kehilangan injin F5E yg bernilai 50 juta ringgit untuk sebuah. Dikatakan 40 orang dinasihatkan berhenti dari menjalankan tugas nya diTUDM ekoran dari kes ini, mereka tidak didakwa dan bunyi nya pun 40 orang yg terlibat, semacam dalam filem P.Ramlee pulak “Ali Baba dan 40 orang penyamun”.

Sementara itu, orang ramai telah terlupa tentang 45 pesawat yang Kerajaan Malaysia membayar tetapi tidak mengambil nya dan rekod nya tak tentu hala di inventori RMAF (Royal Malaysian Army Force).

Sekarang sebuk pula untuk menjual jet pejuang MiG-29 yg pernah di pertikaikan oleh bekas PM Mahathir dan bab helikopter NURI dan pengganti nya Eurocopter EC-725 pun masih lagi tidak selesai dan kini timbul pula pemasaalahan lain pula.

-bumirel ref:drrafick/sk (sumber)

Read More...

27 December 2009

Enjin F-5E - Tidak munasabah tiada pegawai atasan terlibat

Kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa tiada pegawai atasan tentera terlibat dalam kes kehilangan dua enjin jet tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak masuk akal.

Penulis politik, Mohd Sayuti Omar berkata, kenyataan itu tidak munasabah kerana pegawai pangkat rendah tidak akan mampu melarikan enjin seperti itu tanpa bantuan pihak atasan.

Menurutnya, Ahmad Zahid mungkin cuba menjaga maruah dan kewibawaan pihak tentera, tetapi caranya tidak kena pada tempatnya.

“Walaupun kes ini cuba dirahsiakan kepada umum, akhirnya akan terbongkar. Persoalannya apakah benar hanya pegawai lain-lain pangkat yang terlibat dengan kes itu atau ada dalang di sebaliknya?

“Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menjelaskan, pihaknya perlu menyiasat pegawai tertinggi, termasuk jeneral, berhubung kes itu dan ini membuktikan bukan saja pegawai LLP terlibat, tetapi juga pegawai atasan,” katanya.


Beliau berkata, sikap Ahmad Zahid yang cuba meletakkan kesalahan kepada pegawai rendah, seolah-olah cuba menyembunyikan kesalahan pegawai atasan.

Mohd Sayuti berharap tidak ada tindakan untuk ‘melindungi jerung dan membiarkan bilis menjadi mangsa’.

“Kenyataan Ahmad Zahid tidak munasabah kerana jika tiada pegawai tertinggi yang terlibat kes itu tidak akan berlaku kerana pegawai bawahan hanya mengikut arahan pegawai atasan,” katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan kenyataan Ahmad Zahid bahawa pegawai atasan tentera tidak terlibat secara langsung atau tidak dalam kes kehilangan dua enjin jet tempur F-5E itu.

biaqpila

Read More...

25 December 2009

Mungkin Empat Enjin Jet Yang Hilang

Jumlah enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang hilang setakat ini hanya dua ataupun lebih daripada itu?

Kekhuatiran ini ditimbulkan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan mengambil kira beberapa perkembangan semasa.

"Mula-mula kata satu, kemudian dua... jadi apakah benar apa yang saya dengar kemungkinan yang hilang sebenarnya empat enjin?" kata beliau.

Azan mendakwa maklumat awal yang diterima menunjukkan kemungkinan jumlah enjin yang hilang, yang bilangannya hanya dua setakat ini, kemungkinan sudah sampai empat.

"Saya difahamkan kemungkinan empat enjin yang hilang, bukannya dua. Tetapi saya belum menerima bukti yang kukuh... berdasarkan maklumt diterima oleh saya, mungkin empat enjin sudah hilang.


"Saya berharap pihak berkuasa dapat memberikan laporan lengkap kepada umum mengenai isu ini... menjelaskan kepada umum keadaan sebenar," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Selain pendirian Jabatan Peguam Negara yang meminta agar polis menjalankan siasatan rapi, kata Azan, beliau mengesyaki perkara itu kerana Laporan Audit 2008 tidak menyertakan bahagian yang membabitkan Kementerian Pertahanan.

"Jadi timbul persoalan, sama ada Jabatan Audit Negara adalah membuat audit berkaitan dengan pengurusan Kementerian Pertahanan buat tahun 2008 dan jika ada, apakah ia ada mengenal pasti masalah besar sehingga bahagian berkaitan Kementerian Pertahanan tidak dimasukkan.

"Ataupun sememangnya Jabatan Audit Negara tidak membuat audit langsung mengenai Kementerian Pertahanan. Laporan 2007 ada memasukan Kementerian Pertahanan, yang antara lain menyentuh soal program latihan khidmat negara tetapi tahun 2008 tiada," kata Azan yang juga Timbalan Pengerusi PKR Pahang.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata siasatan polis berhubung kes kehilangan dua enjin pesawat pemintas F-5E milik TUDM kini tertumpu kepada bagaimana ia dibawa keluar merentasi sempadan negara.

Kata beliau pihaknya dalam proses mengumpul dokumen-dokumen penting bagi menyiasat perkara tersebut.

"Peguam Negara (Tan Sri Abdul Gani Patail) yang minta kita membuat siasatan ini (bagaimana enjin itu boleh ke luar negara). Jadi kita dalam proses untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting," katanya.

Salah sebuah enjin jet pesawat supersonik yang dicuri dua tahun lalu itu didakwa 'ditemui' di Argentina.

Menurut laporan akhbar, enjin turbo jet General Electric J85-21A tersebut untuk kegunaan pesawat F-5E Tiger 11 satu tempat duduk dan RF-5E Tigereye telah dibawa keluar menerusi Pelabuhan Klang ke sebuah negara ketiga sebelum ia tiba ke destinasi akhir iaitu di Argentina.

Awal minggu ini, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata selain dua buah enjin pesawat tempur F-5E yang dilaporkan hilang, peralatan lain yang berkaitan turut lesap.-(sumber)

Read More...

23 December 2009

Lebih Banyak Penyelewengan Akan Dibongkar

Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap lebih banyak kes penyelewengan peralatan ketenteraan berikutan penemuan maklumat baru kehilangan pelbagai kelengkapan, selain dua enjin jet tempur F-5E Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini.

Ia susulan pendedahan kehilangan dua enjin itu ketika proses penyelenggaraan rutin yang dilaporkan berlaku dua tahun lalu.

Malah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, tidak menolak kemungkinan lebih banyak kes penyelewengan akan dibongkar selepas ini.

"Selain dua enjin berkenaan, beberapa peralatan dan kelengkapan lain lesap. Kita sedang mengumpul maklumat lanjut berhubung perkara itu," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan dan Keselamatan Sosial Maldives, Ameen Faisal, di sini semalam.

Beliau mengulas pendedahan akhbar ini semalam mengenai kehilangan satu lagi enjin pesawat F-5E ketika dihantar dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth untuk penyelenggaraan rutin di ibu negara pada 2007.

Mengikut fail siasatan, enjin pertama dibawa keluar dari pangkalan pada 26 Jun 2007 diikuti enjin kedua lima bulan kemudian (1 November 2007) tetapi kehilangan hanya disedari pada Mei 2008 sebelum laporan polis dibuat pada 4 Ogos 2008.


Ahmad Zahid berkata, sistem rekod termasuk prosedur inventori di Kementerian Pertahanan dan tiga ketumbukan tentera sangat kemas, tetapi ia bukan jaminan tidak boleh dibolosi.

Beliau mengesahkan identiti pihak bertanggungjawab dalam kejadian itu sudah dikenal pasti berikutan penahanan empat anggota pangkat rendah di Lembah Klang dan Butterworth yang memantau proses penghantaran enjin berkenaan.

"Keempat-empat anggota masih dalam perkhidmatan tetapi sedang ditahan di sebuah tempat. Mahkamah Tentera sedang menjalankan siasatan lanjut, selain meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil.

"Kementerian juga sedang mengkaji untuk mengambil tindakan terhadap pegawai atasan pasukan yang bertugas ketika kejadian berlaku," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan kedua-dua enjin terbabit tidak hilang dari gudang simpanannya tetapi besar kemungkinan dilarikan ketika proses penghantaran.

"Kita juga akan menyiasat sebuah syarikat di ibu negara, dipercayai ejen jualan untuk mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu siasatan," katanya tanpa mendedahkan ke mana enjin kedua itu dijual.

Beliau berkata, walaupun harga kedua-dua enjin itu agak tinggi, suspek dipercayai menjual pada harga rendah berikutan susut nilainya di pasaran semasa.

"Hasil siasatan akan diumumkan kepada umum sebaik segala urusan selesai... selepas semua suspek didakwa. Kita telus dalam hal ini dan tidak berniat menyembunyikan apa-apa. Rakyat perlu tahu... ini satu pengkhianatan kepada negara," katanya.

Zahid juga berkata, pihaknya tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kehilangan enjin terbabit.

"Kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada polis kerana mereka mempunyai pengalaman dan kredibiliti dalam bidang penyiasatan," katanya.

Sementara itu, Bukit Aman akur dengan tindakan Pejabat Peguam Negara memulangkan semula fail siasatan kehilangan dua enjin pesawat tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), F-5E, atas alasan siasatan tidak lengkap.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, ketika mengesahkan sudah menerima fail siasatan yang dikembalikan itu, berkata pihaknya akan berusaha sebaik mungkin dalam menyelesaikan kes berkenaan.

"Kita akan lakukan yang terbaik dalam melengkapkan siasatan kes ini untuk tujuan pendakwaan," katanya.

Berita Harian semalam melaporkan Pejabat Peguam Negara di Putrajaya terpaksa menyerahkan semula fail siasatan kes kehilangan dua enjin berkenaan kerana tidak lengkap.

Ini termasuk ketiadaan butiran terperinci mengenai spesifikasi enjin berkenaan termasuk jenisnya.

Read More...

22 December 2009

Enjin Jet Hilang.. Terus Naik Pangkat Jadi Panglima Angkatan Tentera

Alahai Malaysia....awat jadi kelam kelibut nie... kalau Pakatan Rakyat cara dia... Barisan nasional cara dia...entah laaa kalau macam nie punya kelaku pemimpin yg dok ada aku tak berapa harap nak bagi negara nie kat depa...kat BN dah terbukti lingkop.. kat PR tengok macam nak tak nak jaa....

Cuba hangpa pikiaq... bukan main besaq Enjin jet tuuu...boleh hilang....nie bukan main suruh budak kuli odar spare part kereta kat kedai hardware...dia pie bawak pelari duit beli barang 2nd..kalau mamat tu tak kesah la aku...nie bab odar high purcase...nak kena buat meeting beli apa..keluaq quation... mintak budget...sapa handle..kira rumit laa..sebab nak odar juta-juta nie...

Enjin disedari hilang kerana tidak sampai ke destinasi: Menteri

"Siasatan mendapati bahawa sistem penghantaran yang digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) cukup baik, tetapi mungkin ia dilakukan oleh kumpulan bawahan, cukup terancang dengan (bantuan) pihak luar," katanya selepas majlis pelancaran kompeni askar wataniah Pulau Pinang dan Kedah Selatan di sini, hari ini.


tapi itulah hebatnya Malaysia kalau sembang bab kertas kerja memang hebat tapi bila perlaksanaan macam nie laa habih lintang pungkang....kalau dah enjin pon boleh hilang apatah lagi dengan claim beli skru driver, claim beli komputer berpuloh kali ganda... kira semuanya lingkop laaa....yg syoknya kes nie dah lama dah...dan pada masa tu Panglima Angkatan Tentera Udara bolek relax dan cool jaaa...dan yg syok lagi Panglima tu laa yg jadi PANGLIMA ANGKATAN TENTERA sekarang nie... hebat hebat....



Kehilangan enjin F-5E tak jejaskan skuadron 12 Scorpion TUDM: Panglima Angkatan Tentera

KUALA LUMPUR: Skuadron 12 Scorpion di Butterworth yang menempatkan pesawat F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), masih beroperasi seperti biasa meskipun dikaitkan dengan kehilangan satu daripada enjin pesawat jenis itu, kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.


(sumber)

Read More...

Bukan Setakat Enjin, Peralatan Lainpun Turut Lesap..

Selain dua buah enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang, peralatan lain yang berkaitan turut lesap, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan akan mengambil tindakan terhadap pegawai atasan dalam perkhidmatan itu yang bertanggungjawab ketika kes itu berlaku.

Satu mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu itu serta mengambil tindakan ke atas pegawai atasan tersebut, katanya.


"Hasil mesyuarat akan diberikan kepada saya selaku pengerusi untuk ulasan," katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pertahanan untuk Keselamatan Sosial Maldives Ameen Faisal di ibunegara.

Menurutnya, selain empat anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditahan terlibat dengan kes itu, pihaknya turut mengenal pasti beberapa orang lagi dalam ATM yang terlibat.

"Kami telah menempatkan mereka di tempat tertentu dalam perkhidmatan serta telah mengambil tindakan terhadap mereka. Mereka masih berkhidmat dalam ATM kerana kita sedang menunggu siasatan dari aspek perundangan Angkatan Tentera," katanya.

Ahmad Zahid berkata mereka yang ditahan itu merupakan pegawai bawahan lain-lain Pangkat (LLP) di Lembah Klang yang turut mempunyai rangkaian di Butterworth.

Beliau berkata sebuah syarikat pembeli enjin pesawat yang berada di ibunegara dan mempunyai cawangan di negara jiran turut disiasat.

Siasatan menyeluruh

"Penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan saya tidak fikir syarikat penyelenggara pesawat itu terlibat secara langsung kerana ia melibatkan sebuah syarikat pembeli yang berpangkalan di sini dan mempunyai cawangan di negara jiran.

"Saya fikir syarikat itu mempunyai rangkaian di peringkat antarabangsa. Enjin dan peralatan ini dipercayai dihantar ke negara Amerika Selatan," katanya.

Beliau berkata kehilangan peralatan itu tidak boleh diterima langsung walaupun perkara seperti itu pernah berlaku di beberapa negara luar.

"Pengkhianat, penderhaka berada di mana-mana. Kementerian Pertahanan bukan sahaja menjalankan siasatan dalaman tetapi sebagaimana yang disebut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, kita telah menyerahkan kes ini kepada polis 100 peratus.

"Pejabat Peguam Negara pun sudah mengeluarkan kenyataan bahawa siasatan yang diperlengkapkan dengan beberapa aspek perundangan harus dibuka kepada umum melalui tindakan mahkamah," katanya.

Ahmad Zahid berkata sistem rekod dan iventori semua perkhidmatan ATM cukup
kemas tetapi sekemas manapun sistem itu, pengkhianat negara mesti mencari jalan untuk membolosi semua peraturan yang sedia ada.

Beliau turut meminta bloggers tidak cuba untuk menyeleweng fakta dan memesongkan keadaan dengan pelbagai analisis dan spekulasi.

Katanya Perdana Menteri sendiri akan terus memantau hasil siasatan itu dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka yang bersalah serta akan diumumkan dari semasa ke semasa kepada orang ramai bagi memperlihatkan ketelusan kementerian.

Ahmad Zahid berkata kementerian telah meminta syarikat pengeluar peralatan itu memberi butir-butir spesifikasi dan teknikal enjin serta peralatan lain yang hilang dan dijangka menerimanya dalam masa terdekat.

Beliau berkata bagi mengelak perkara yang sama berulang, sistem penghantaran peralatan persawat untuk diperbaiki kini diperketatkan dan dipantau dengan lebih terperinci. - Bernama

Read More...

Brigedier Jeneral Dipersalahkan Atas Kehilangan Enjin Jet F-5E

Seorang Brigedier Jeneral Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diarah bersara kerana terbabit dalam kes kehilangan enjin pesawat F-5E TUDM serta pelbagai penyelewengan lain dalam pasukan itu sejak beberapa tahun lalu.

Pegawai terbabit mengetuai jabatan penting bagi pengendalian logistik pasukan, diarah bersara awal akhir tahun lalu selepas kehilangan enjin jet berharga RM50 juta di Gudang Material Udara I (Matra I), Sungai Besi disedari dan dilaporkan kepada polis, Januari tahun ini.

Turut dikenakan tindakan sama ialah beberapa pegawai dan anggota bawahan pelbagai pangkat yang terbabit dalam skandal itu.

Menurut sumber, tindakan diambil hasil siasatan dalaman oleh jawatankuasa disiplin selepas meneliti laporan audit dalaman yang mendapati banyak maklumat bercanggah, dipercayai berpunca daripada amalan salah laku.

Malah, siasatan kehilangan enjin jenis GE J85-21A itu turut membongkar pelbagai penyelewengan peralatan, termasuk salah laku membabitkan pelbagai kontrak bekalan bernilai jutaan ringgit dalam pasukan itu.

“Pegawai berkenaan diberhentikan atas kapasitinya sebagai ketua jabatan yang harus bertanggungjawab. Tindakan juga diambil selepas siasatan dalaman mendapati beliau terbabit dalam salah laku itu yang mengakibatkan pasukan mengalami kerugian besar," katanya.

Enjin berkenaan hilang bersama rekod perkhidmatan dan penyelenggaraannya dari gudang simpanannya di Pengkalan Udara Kuala Lumpur sebaik tiba dari Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth. Berikutan itu TUDM membuat laporan polis dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kejadian itu.

Selain pegawai dan anggota TUDM, ia dipercayai turut didalangi 'orang dalam' syarikat penyelenggara pesawat tentera dilantik kerajaan yang kemudian menjualnya sebagai komponen alat ganti kepada pembeli di luar negara.

Sumber itu juga berkata, tindakan itu adalah sebahagian daripada tindakan pantas ‘membersihkan’ pasukan diketuai Panglima Tentera Udara ketika itu, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin yang kini Panglima Angkatan Tentera.


Difahamkan, hampir 40 pegawai dan anggota pelbagai jabatan yang terbabit secara langsung dalam urusan logistik dan penyelenggaraan disiasat berhubung kes itu. Bagaimanapun, hanya 20 daripadanya termasuk pegawai atasan terbabit dikenakan tindakan dalaman termasuk ada yang kehilangan pencen dan pelbagai kemudahan pesara tentera yang lain.

“Selebihnya diberikan pilihan bersara awal dan ada yang diambil semula bekerja, bergantung kepada tahap kesalahan. Brigedier Jeneral itu difahamkan mendapat pencen, tetapi tidak akan terlepas daripada pendakwaan jika siasatan polis mendapati ada bukti untuk didakwa,” kata sumber itu.

Sementara itu, walaupun kenyataan rasmi Kementerian Pertahanan menyatakan enjin berkenaan berada di Amerika Selatan, namun maklumat risikan mengesahkan ia dijual kepada sebuah negara Asia Barat yang sedang giat membina jet pejuangnya sendiri.

Difahamkan, negara yang dikenakan sekatan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu amat memerlukan enjin berkenaan untuk pemindahan teknologi kerana sukar mendapat sumber lain berikutan tindakan badan dunia itu.

Di BANTING, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan ‘orang dalam’ yang terbabit dalam kehilangan enjin itu sudah dikenakan tindakan berdasarkan senarai nama yang diberikan polis selepas siasatan mengesahkan mereka terbabit.

Namun, beliau enggan mengulas jenis tindakan yang dikenakan dan bilangan kakitangan serta pegawai TUDM terbabit.

Ditanya kemungkinan ada komponen lain dijual selain enjin, Ahmad Zahid berkata, kementerian menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membongkar perkara itu.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak berniat menyembunyikan kes itu kerana memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan dan menangkap dalang yang melakukan jenayah itu termasuk orang dalam.

Katanya, kes itu tidak boleh didedahkan kerana bimbang penjenayah terbabit melarikan diri, sekali gus menyukarkan polis menyelesaikan siasatan.

"Kini kes sudah selesai siasatan dan polis sedang bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Kita yakin dengan kemampuan polis menyelesaikan kes ini selepas hampir dua tahun menjalankan siasatan kerana ia rumit dan membabitkan rangkaian antarabangsa," katanya.

Ahmad Zahid berkata, enjin F-5E yang sudah dijual ke negara lain tidak boleh diambil balik tetapi TUDM akan menggunakan dokumen yang ada untuk tindakan selanjutnya.

Di SHAH ALAM, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kehilangan enjin pesawat itu masih dalam peringkat siasatan dan biarlah pihak berkuasa menyelesaikan siasatannya.

Ditanya sama ada kejadian itu menjejaskan nama TUDM, Najib berkata: “Itu berlaku tetapi kita siasat. Kalau ada pihak bersalah, kita akan ambil tindakanlah”.

Berita Hairan

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas