BlogList Malaysia
Showing posts with label aminulrashid. Show all posts
Showing posts with label aminulrashid. Show all posts

23 November 2010

Kes bunuh Aminulrasyid: Polis akui siasatannya cuai

Seorang saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan Aminulrasyid Hamzah hari ini mengakui bahawa beliau bertindak cuai dalam penyiasatannya.

NONECif Insp Mazli Jusoh mengakui demikian ketika ditanya peguam Salim Bashir dalam perbicaraan hari ini.

Katanya, beliau telahpun mengetahui bahawa kes tersebut melibatkan tembakan senjata api ketika tiba di lokasi jenayah di Seksyen 11, Shah Alam.

Ketika ditanya, Mazli mengakui bahawa beliau tidak menemuramah anggota polis yang berada di tempat kejadian.

Ditanya lanjut, beliau juga bersetuju bahawa kenderaan polis yang mengejar mangsa merupakan bahan bukti sekunder dalam penyiasatannya.

Dalam jawapannya, Mazli berkata beliau pada masa itu telahpun mengetahui bahawa sebanyak tiga buah kereta peronda terlibat mengejar mangsa.


NONEMazli juga tidak bertindak merampas apa-apa senjata api yang digunakan oleh anggota polis berkenaan, mahupun pakaian mereka untuk mengesan individu yang bertanggunjawab melepaskan tembakan.

Mazli berkata, beliau tidak menyiasat lanjut kerana tidak menerima arahan daripada pegawai penyiasat.

Ditanya lanjut, Mazli berkata beliau juga tidak merakam gambar mayat mangsa ketika mangsa masih di dalam kereta berkenaan.

Mazli menjelaskan, beliau hanya mengarahkan jurugambarnya untuk merakamkan mayat mangsa itu setelah beliau mengalihkannya ke atas rumput di luar kereta berkenaan.

"Itu kesilapan saya tidak arahkan jurugambar untuk ambil gambar pada masa itu," katanya.

NONETambahnya, beliau juga tidak memperincikan tindakannya mengalihkan mayat mangsa berkenaan di dalam laporannya.

Mazli yang tiba di tempat kejadian pada kira-kira jam 3.10 pagi itu juga berkata, beliau hanya mengutip satu kelongsong peluru dalam penyiasatannya ketika itu.

Tambahnya, kelongsong peluru selebihnya dikutip dalam penyiasatannya di lokasi berkenaan, dua hari kemudian.

Read More...

28 October 2010

Aminulrasyid Tidak Ditembak Dari Jarak Dekat

Pakar Patologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Dr Khairul Azman Ibrahim, berkata Aminulrasyid Hamzah tidak ditembak dari jarak dekat.

Belia berkata rumusan itu dibuat berdasarkan kesan luka tembakan yang ditemui di badan mangsa berbentuk bulat dan bukan berbentuk 'bintang' yang boleh dirumuskan jika sesuatu tembakan itu dilepaskan dari jarak kurang semeter.

Beliau memberikan keterangan di dalam perbicaraan Lans Korporal Jenain Subi, 48, yang dituduh menyebabkan kematian AminulRaysid pada jam 1.30 pagi, 26 April lalu di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pagi tadi.

Dr Khairul berkata beliau juga tidak menemui sebarang kesan luka terbakar yang kebiasaannya disebabkan oleh tembakan jarak dekat.

"Saya juga dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa ada lubang kesan tembakan peluru di cermin belakang kereta yang dipandu Aminulrasyid," katanya lagi.


Khairul seterusnya berkata remaja terbabit meninggal dunia "beberapa saat atau minit" selepas peluru tersebut memasuki bahagian kiri belakang tengkorak yang memasuki sebahagian dari bahagian otak yang mengawal sistem pernafasan sebelum keluar dari tengkorak dan tersekat di bahagian kulit kepala berdekatan kening kanan mangsa.

"Peluru berkenaan menembusi bahagian depan tengkorak ttetapi tidak menembusi kulit dan menyebabkan kesan lebam di kening kanan," katanya ketika memberi keterangan di mahkamah

Beliau memberitahu mahkamah, terdapat juga kesan luka lain termasuk kesan luka cakaran, yang mungkin disebabkan oleh geseran sesuatu objek tumpul dan kesan lebam yang mungkin disebabkan oleh kesan impak dari objek tumpul serta kesan luka di bahagian lutut kerana terhentak ke permukaan dashboard kereta.

Menurutnya lagi, beliau menerima mayat Aminuulrasyid pada jam 5.55 pagi , 26 April lalu dan mayat terbabit sudah keras yang menunjukkan bahawa mangsa sudah meninggal dunia lebih dari empat jam sebelum itu.

Mahkamah kemudiannya ditangguhkan berikutan pengudaraan di bilik mahkamah berkenaan diselubungi oleh bau darah yang sudah kering selepas Dr Khairul membuka sampul bukti yang mengandungi baju T yang dipakai Aminulrasyid ketika kejadian terbabit.

Baju T tanpa kolar berwarna kuning berkenaan dipenuhi dengan kesan darah dan darah berkenaan juga meresap dua lapisan sampul surat terbabit.

Aminulrasyid ditembak kira-kira jam 1.30 pagi di Jalan Tarian 11/2, Shah Alam berhampiran rumahnya pada 26 April 2010 lalu manakala tertuduh Lans Korporal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematiannya dan boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun jika didapati bersalah.

Read More...

12 October 2010

Perbicaaran Kes Bunuh Aminulrashid Bermula


Perbicaraan seorang koperal yang didakwa menembak mati remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, bermula di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini dan dijadualkan berlangsung selama 11 minggu.

Jenain Subi, 48, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid tanpa niat di Jalan Tarian 11/2 , Seksyen 11, antara jam 1.10 pagi dan 2 pagi 26 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Saksi pertama dalam perbicaraan ini adalah lans koperal Mohd Sabri Salleh.

Katanya, ketika kejadian pada 26 April lalu, beliau ditugaskan di Bahagian Gerakan di Shah Alam antara tengah malam hingga jam 8 pagi.

Pada sekitar 1.45 pagi Mohd Sabri berkata beliau menerima panggilan dari kereta peronda SL589 memaklumkan bahawa sebuah kereta Proton Iswara putih sedang memecut dan enggan berhenti.


Katanya, kereta peronda berkenaan memohon bantuan bagi menghentikan kereta tersebut.

“Setelah beberapa minit kemudian, Saya menerima panggilan dari kereta peronda SL614 memaklumkan mereka sedang mengejar kereta Iswara dari Hotel Concorde Hotel ke Bulatan Kayangan dan kemudiannya menghala balik."

"Saya panggil anggota di SL614, Koperal Jenain (tertuduh) melalui telefon bimbitnya. Dia memaklumkan bahawa kereta Iswara itu telah hilang kawalan dan pemandunya cedera di Jalan Makyong 11/2."

Mohd Sabri berkata Jenain kemudiannya meminta beliau memanggil ambulans kerana pemandu Iswara itu cedera.

Saksi kedua, detektif lans koperal Ahmad Zamzani Abd Wahab, 25, memberitahu mahkamah bahawa dia merakamkan 41 keping gambar di lokasi kejadian.

"Saya ambil gambar di jalan, pokok yang dilanggar, kelongsong peluru, juga gambar di dalam kereta dan mangsa,” katanya.

Menurut timbalan pendakwa raya persekutuan, DPP Mohd Dusuki Mokhtar, sejumlah lima saksi akan dipanggil.

Jenain diwakili oleh peguambela Salim Bashir manakala peguam veteran, Karpal Singh bertindak sebagai peguam pemerhati untuk keluarga Aminulrasyid.

Read More...

08 September 2010

Layanan dingin ke atas keluarga kes ditembak polis

Wakil keluarga yang mendakwa pihak polis bertindak kejam ke atas ahli keluarga mereka sekali lagi diberi layanan dingin dan terpaksa berdepan dengan karenah birokrasi apabila cuba menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Mereka yang ditemani sepuluh peguam dari kumpulan NGO, Lawyers for Liberty berharap dapat berjumpa dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein atau sekurang-kurangnya, ketua setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam.

Mereka sebaliknya dihalang daripada memasuki bangunan kementerian itu di Putrajaya dan terpaksa menuggu 40 minit sebelum seorang pegawai datang dan menerima memorandum itu bagi pihak Hishamuddin.


Wakil keluarga enam kes ditembak polis dan mati ketika dalam tahanan itu termasuk kes Aminulrasyid Amzah, 15, yang meninggal dunia akibat ditembak polis di Shah Alam, Selangor April lalu, dan temannya, Azzamudin Omar, 15, yang cedera ditembak dalam kes sama.

Kes-kes lain adalah Mohd. Afham Arin, 18, dari Johor yang meninggal dunia akibat ditembak pada Oktober tahun lalu; Norizan Salleh, 30, dari Kuala Lumpur yang terkena lima tembakan juga pada Oktober tahun lalu; Shahril Azlan, 26, dari Selangor yang cedera ditembak pada April tahun lalu dan dan A Kugan, 22, yang mati dalam tahanan polis Januari tahun lalu.

Read More...

10 May 2010

Mengapa Hanya Seorang Anggota Polis Sahaja Didakwa

Pakatan rakyat hari ini mempertikai mengapa tiga lagi anggota polis yang terlibat dalam kes Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak polis 26 April lalu, tidak diheret ke mahkamah.

Lantaran itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoal kegagalan pejabat peguam negara mendakwa tiga anggota berkenaan dan bimbang kegagalan berbuat demikian mungkin sebagai cubaan bagi menutup keseluruhan peristiwa sebenar.

Hanya seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian Aminulrashid manakala tiga lagi rakannya yang dilapor berada dalam kereta peronda tidak didakwa.


Jenain dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Aminulrashid pada 26 April antara jam 1.10 pagi hingga 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bercakap kepada TV Selangor, Khalid Samad bimbang situasi ini tidak memberi gambaran sebenar kerana semua aspek, dari siasatan hingga pendakwaan dijalankan polis semata-mata sedangkan orang yang kena tuduh adalah anggota polis.

"Yang mendakwa atau yang menyiasat adalah polis dan polis atas dasar siasatan mereka melaporkan bahawa seorang saja yang menembak. Semua bukti-bukti ada di pihak polis dan peguam negara bertindak atas dasar laporan itu, mungkin mereka pun terlibat juga merangka cas-cas dakwaan yang berhubung dengan kes ini," katanya.

Pendakwaan hanya seorang anggota polis ini menimbulkan keraguan kerana ia memberi gambaran tiga lagi rakan tertuduh langsung tidak ada peranan dalam kejadian tragis ini.

"Secara umumnya kita memang tidak puas hati berhubung ketelusan itu tidak ada. Kita difahamkan banyak kelongsong peluru telah dikutip dan kita tak tahu kelongsong peluru itu dari pistol yang satu yang sama. Semua laporan forensik semua ada di pihak polis semata-mata.

"Kita rasa tidak mungkin hanya seorang daripada empat yang terlibat mungkin ada yang lain tetapi atas sebab tertentu untuk hendak menutup jalan cerita yang sebenarnya mungkin hanya satu saja yang dikambing hitamkkan,” katanya.

Read More...

Koperal Yang Menembak Aminulrasyid Didakwa Di Mahkamah

Seorang anggota polis, Koperal Jenain Subi hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana menyebabkan kematian Aminulrashid Amzah, remaja berusia 15 tahun yang mati ditembak pada 26 April lalu.

Jenain dituduh mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Aminulrashid pada 26 April antara jam 1.10 pagi hingga 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 Shah Alam membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

"Bahawa kamu pada 26 April jam antara 1.10 pagi dan 2.00 pagi di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 dalam Bandaraya Shah Alam di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan telah melakukan perbuatan ynag menyebabkan kematian Aminulrasyid bin Amzah (NO KP 950815-10-6869) dengan niat hendak menyebabkan kematian dan dengan itu kamu telah melakukan kesalahab mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah seksyen 304(a) Kanun Keseksaan. Jika didapati bersalah, kamu boleh dihukum dengan penjara hingga tempoh tiga puluh tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.”

Tertuduh berasal dari Sabah, adalah anak sulung daripada 7 beradik dan mula menyertai PDRM sejak 1985.


Dia dibawa ke perkarangan kompleks mahkamah ini kira-kira jam 11 pagi dengan diiringi sepasukan anggota polis

Kes ini mendapat tumpuan ramai berikutan mangsa baru berusia 15 tahun dan kematiannya yang disebabkan tembakan oleh anggota polis, mendapat kecaman pelbagai pihak yang bersimpati kepada keluarga mangsa.

Dalam kamar mahkamah, Timbalan Pendakwa raya, Mohammad Dusuki Mokhtar mencadangkan jumlah jamnan 35 ribu dengan seorang penjamin tetapi dibantah peguam bela, Salim Bashir yang meminta jumlahnya dikurangkan kepada RM7,000 atau RM8,000.

Menyatakan gaji anak guamnya dengan pangkat koperal sekitar RM3,000, Salim Bashir memberi alasan, tertuduh tidak berkemampuan kerana menanggung seorang isteri dan empat anak yang masih kecil.

Hakim M Gunalan kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan kes berkenaan disebut semula 10 Jun ini.

Aminulrasyid, remaja berusia 15 tahun mati ditembak pada 26 April lalu ketika dikejar peronda polis yang kemudian melepaskan empat tembakan dan satu daripadanya mengenai kepala mangsa.

Rakannya, Azamuddin Omar yang sebaya dengannya, terselamat apabila sempat melarikan diri dan kini menjadi saksi utama kes yang mendapat tumpuan dan kecaman segenap lapisan masyarakat.

Read More...

07 May 2010

Siasat Cubaan Membunuh Saksi Aminulrasyid!

SETELAH disiasat sebanyak tiga kali oleh pasukan siasatan, Azamuddin Omar, saksi utama kes kematian Aminulrasyid Amzah yang mati ditembak awal minggu lalu,berdepan dengan cubaan mahu membunuh dan serangan polis ke atas dirinya.

Peguam mewakili Azamuddin, menuntut satu siasatan khas diadakan berasingan berhubung dakwaan itu.

"Satu siasatan berasingan mesti dimulakan berdasarkan pengakuan dia tentang apa yang berlaku pada hari kejadian," kata peguam N. Surendran yang mewakili saksi berusia 15 tahun itu.

Selain disiasat, Azamuddin turut menunjukkan sendiri lokasi dan detik-detik yang membawa kepada kematian Aminulrasyid.

Siasatan setakat ini tertumpu pada kematian Aminulrasyid ketika cuba melepaskan diri daripada dikejar polis dan sekumpulan penunggang motosikal awal pagi 26 April lalu.


Menurut Surendran, Azamuddin mendengar seorang anggota polis menjerit ke arahnya agar berhenti dan apabila dia terus cuba mahu melarikan diri, dia ada mendengar anggota berkenaan mengira satu hingga tiga.

Katanya, apabila menoleh ke belakang dia ada melihat anggota polis berkenaan mengacu senjata dan bersedia untuk melepaskan tembakan.

Hanya selepas apabila satu kereta polis tiba, anggota berkenaan menurunkan senjata, sekali gus Azamuddin terlepas daripada tembakan.

Saksi itu telah menceritakan detik-detik hari kejadian itu kepada Surendran dan seorang lagi peguam, Latheefah Koya walaupun ia tidak disebutkan dalam laporan polisnya.

Bagaimanapun menurut Surendran, beliau akan meneruskan tuntutan aspek itu turut disiasat.

Surendan berkata Azamuddin tiada sebab untuk berbohong.Kebanyakan kandungan pengakuan Azamuddin selari dengan dengan apa yang diperkatakan oleh saksi-saksi lain.

"Ia juga membuktikan Azamuddin tidak bersalah," kata Surendran. - erapakatan

Read More...

06 May 2010

Kes Aminulrashid: Kebenaran Makin Terserlah

Khalid Samad dedah saksi baru

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad hari ini mendedahkan individu baru iaitu pemilik kereta yang bergesel dengan kereta yang dipandu Aminulrasyid Amzah pada malam mangsa ditembak mati oleh polis, Isnin lalu.

Pemilik kereta berkenaan, dakwa tokoh PAS itu tampil mengesahkan kebenaran kenyataan saksi utama kejadian itu, Azamuddin Omar.

Khalid berkata, pemilik kereta itu meminta pandangan sama ada beliau perlu membuat laporan polis atau tidak memandangkan pihak polis sedang mencarinya.

"Saya menasihatkan pemilik kereta tersebut membuat laporan polis dan beliau akhirnya membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di seksyen 11 pada sebelah malam selepas pertemuan tersebut.

"Berdasarkan cerita pemilik kereta itu, mengesahkan lagi kenyataan Azamuddin yang kini memasuki kali ketiga diambil keterangan oleh pihak polis," katanya kepada wartawan di sini hari ini.


Menurut Khalid, selain pemilik kereta terbabit, seorang penunggang motosikal yang mengejar mangsa (Aminulrasyid) sehingga terjatuh pada hari kejadian turut membuat laporan polis selepas kejadian itu.

Dalam laporan polis tersebut, Azamuddin yang turut berada bersama mangsa dikejar oleh tiga penunggang motosikal selepas menggesel kereta terbabit di Restoran Ali Maju di Shah Alam.

Sementara itu, Khalid turut menggesa Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar mendedahkan fakta terbabit kerana ia secara langsung mengesahkan laporan polis Azamuddin.

Malah beliau khuatir fakta tersebut disembunyikan daripada dimaklumkan daripada pengetahuan rakyat.

"Polis kenal pasti dan cam pemilik kereta yang digesel mangsa. Saya khuatir fakta disembunyikan dan tidak dimaklumkan kepada rakyat.

"Lebih-lebih lagi kini Azamuddin diheret oleh polis sehingga diambil kenyataan sehingga tiga kali," kata beliau.

Malah beliau turut menggesa polis yang melakukan tembakan tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa.

"Jika sudah tersilap jangan buat kesilapan untuk tutup. Tampil ke hadapan, mengaku dan minta maaf dengan keluarga mangsa.

"Jangan bersekongkol dengan mendiamkan diri sedangkan tahu apa yang terjadi sebenarnya," katanya. - Sumber

Read More...

Tembak - Satu Cerita, Pelbagai Versi

Kenyataan saksi utama kes kematian remaja 14 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak mati oleh polis - Azamuddin Omar yang juga penumpang pada awal pagi kejadian 26 April lalu menyebabkan versi yang didakwa oleh polis menjadi pertikaian.

Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang memaklumkan kepada pemberita berhubung apa yang berlaku pada kejadian itu, sebelum ini, berkata tindakan remaja berkenaan untuk bercakap kepada wartawan adalah 'tidak beretika'.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga beranggapan tindakan Azamuddin itu sebagai tidak wajar.

Malaysiakini membandingkan kenytaan polis berhubung kejadian itu dengan cerita beberapa saksi termasuk oleh Azamuddin.

ADENGAN KEJAR

Versi polis: Khalid memberitahu Utusan Malaysia bahawa dua anggotanya mengesan sebuah lereta Proton Iswara di Seksyen 14, Shah Alam dalam keadaan mencurigakan.


Katanya, pemandu kereta itu tidak mengendahkan isyarat p[olis supaya berhenti tetapi sebaliknya memecut. Tindakan itu menyebabkan polis mengejar dengan bantuan dua anggota lain dengan sebuah kereta peronda yang lain.

New Straits Times melaporkan polis berjaya menahan kereta itu selepas ia melanggar beberapa lampu isyarat.

Panel yang diketuai oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop, semalam mengesan laluan kereta itu yang didakwa mereka dikejar sepanjang 6 km dari Seksyen 7 ke Seksyen 11.

Versi saksi: Pada sidang medianya, Azamuddin mendakwa mereka dalam perjalanan ke restoran Ali Corner di Seksyen 7 di Shah Alam bagi membantu seorang rakan yang tayar motorsikalnya pancit.

"Bagaimanapun ketika dalam perjalanan kereta mereka bergesel dengan sebuah kereta lain dan menyebabkan Aminulrasyid menjadi panik. Dia bercadang untuk pulang ke Seksyen 11,” katanya.

Kata Azamuddin, beberapa lelaki bermotosikal yang dipercayai rakan pemilik kereta yang mereka gesel sedang mengejar mereka.

Dalam laporan polisnya selepas kejadian itu, saksi berkenaan berkata beberapa penunggang motosikal cuba mengejar mereka berhampiran Bulatan Kayangan di Seksyen 12.

Penunggang motorsikal itu dilapor berlanggar bahagian belakang kereta Iswara Aminulrasyid dan jatuh.

"Aminulrasyid semakin takut dan memecut tanpa menghiraukan keselamatan mereka mahupun orang ramai,” katanya dalam laporan.

ADENGAN TEMBAKAN

Polis: "Apabila tiba di tempat kejadian, polis melepaskan tembakan pada tayar bagi memaksa kereta itu berhenti. Kereta itu terbabas di tepi jalan,” kata Khalid.

Katanya lagi, hanya seorang anggota yang melepaskan tembakan dan empat tembakan dilepaskan, satu menepati kepala Aminulrasyid.

Saksi: Semalam, Azamuddin dipanggil polis untuk memberi keterangan buat kali ketiga dan diminta untuk mengesahkan sama ada tembakan terakhir dilepaskan sebelum atau selepas kereta itu berlanggar.

"Polis mengejar kami sehingga stesen petrol Caltex dan mula menembak," kata Azamuddin.

Remaja itu berkata polis melepaskan tembakan pada tayar kereta di hujung laluan antara Jalan Tarian dan Jalan Wau, yang lebih kurang 500 meter dari rumah mangsa hingga menyebabkan kenderaan tidak dapat dikawal dan terbabas.

Sebutir peluru menepati kepala remaja berusia 14 tahun itu.

Read More...

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas