BlogList Malaysia

02 July 2012

Umno Kedah Berkubur Tanpa Nesan

Parti Gerakan ganti Umno di Kedah

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
(Nota Utara, Harakah)

Pentadbiran Pakatan Rakyat di Kedah yang diterajui PAS sudah memasuki tahun kelima. Namun kelibat Umno sebagai pembangkang adalah pasif sepanjang hampir satu penggal pilihanraya ini. Ada pihak dalam Umno menyalahkan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai punca kelembapan Umno sebagai pembangkang, mahupun sebagai penggerak Umno Kedah.

Tangapan tersebut tidak betul kerana sepanjang tempoh masa lebih empat tahun sebagai pembangkang, Kedah pernah dipimpin oleh Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan Dato’ Shafie Afdhal sebagai pemimpin nombor satu Umno Kedah tapi Umno Kedah ‘sunyi sepi’ juga. Umno Kedah lemah bukan kerana pemimpin tetapi ahli bawahan sudah hilang daya juang.



Hanya ahli parti gerakan yang simpati terhadap perjuangan UMNO sedangkan ahli UMNO pun tak kelapaq dah kat UMNO.. bendera sendiri pun depa cucuh


Mungkin ada yang bertanya, apa yang perlu dirisaukan jika Umno Kedah pasif? Baguslah bagi PAS. Politik Kedah tidak begitu. PAS akan bekerja dua kali ganda jika musuh utamanya, Umno tunjuk kuat.

PAS mampu membangunkan kompleks pendidikan terbesar iaitu Muassasah Darul Ulum sewaktu jadi pembangkang apabila tanah muassasah tersebut dirampas oleh kerajaan negeri. Ada yang sanggup bertindak agresif sehingga merengkok dalam tahanan ISA.

Sebelum era Datuk Seri Azizan sekarang, PAS paling kuat dalam sejarah Kedah ialah selepas PRU 1999 apabila berkaya memenangi 12 dari 36 kerusi DUN. Lawan utamanya pada masa itu ialah Tan Sri Sanusi Junid yang menyerang PAS dengan penuh keceluparannya. PAS pernah diancam dengan ‘mandi darah’ apabila membawa masuk Mufti Selangor Datuk Ishak Baharom berceramah di Kedah.

Selepas itu PAS kurang ‘bernasib baik’ apabila Umno dipimpin oleh Dato’ Syed Razak Syed Zain yang tidak tahu mengkritik PAS. PAS memperolehi hanya lima kerusi di Kedah semasa beliau menjadi Menteri Besar mungkin juga kerana faktor nasional di mana rakyat tengah ghairah dengan kepimpinan Datuk Seri Abdullah Badawi tetapi bagi PAS Kedah sendiri pada masa itu cukup sukar berhadapan dengan BN yang semacam tidak ambil peduli dengan PAS sebagai pembangkang.

Di Selangor dan Pulau Pinang Umno begitu rakus menyerang kerajaan negeri. Di Kedah kerajaan negeri cuma diserang oleh NGO yang disertai tidak sampai 100 ahli. Orang yang sama menubuh beberapa buah NGO untuk menyerang kerajaan negeri dalam pelbagai isu. Umno hilang entah ke mana.

Tempat Umno sebagai pembangkang utama (sepatutnya) di Kedah telah diambilalih oleh parti Gerakan. Parti Gerakan muncul hampir dalam kebanyakan isu cuba menjadi juara rakyat tetapi kebanyakannya membidas ke muka sendiri.

Baru-baru ini parti Gerakan muncul membidas kerajaan negeri kerana membenarkan perumahan awam flet Seri Gemilang diduduki pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Menurut Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang permahan awam itu sepatutnya dihuni oleh rakyat berpendapatan rendah yang tidak berumah tetapi disalahguna untuk diberi kepada pelajar.

Bayangkan jika isu seperti ini dimainkan oleh DAP, maka riuhnya media talibarut BN terutamanya Utusan Malaysia akan menggerakkan sentimen perkauman kononnya DAP menentang tindakan kerajaan mengutamakan aspek pendidikan dari perkara lain. Tetapi kerana yang membawa isu tersebut Gerakan dan pihak yang diserang ialah kerajaan negeri Pakatan, maka media talibarut BN pun menyepi macam kura-kura menyorokkan kepala dalam cengkerangnya.

Pendudukan pelajar KUIN di flet tersebut hanya sementara kerana kampus induk KUIN di Kuala Ketil sedang disiapkan. Selepas semua pelajar berpindah ke sana maka flet itu akan dikosongkan dan bolehlah diduduki rakyat berpendapatan rendah tiada berumah.

Menjelang hampirnya bulan Ramadhan kali ini, mengingatkan kita kepada isu pusat hiburan di Kedah setahun lalu. Ketua Pemuda Gerakan, Tan Ken Liang ugut akan mengambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan negeri kerana menghalang hak bukan Muslim menjalankan operasi pusat hiburan di bulan Ramadhan apabila timbul ura-ura ia cuba dikuatkuasakan oleh kerajaan negeri.

Peraturan tidak membenarkan pengusaha pusat hiburan menjalankan operasi di bulan Ramadhan dibuat pada tahun 1997 sewaktu Tan Sri Sanusi Junid menjadi Menteri Besar dan diwartakan pada 12 Febuari 1998 tetapi tidak dikuatkuasakan kerana ditentang oleh Gerakan dan MCA pada masa itu.

DAP Kedah yang tidak mengulas apa-apa mengenai isu ini mendapat kecaman dari media-media talibarut Umno tapi Gerakan yang mahu menyaman kerajaan negeri tidak diganggu oleh para pemuka perkauman Melayu.

Gerakan juga membangkitkan isu kononnya rumah kos rendah yang dilancarkan di Pokok Sena dua tahun lalu belum dimulakan pembinaan. Walhal ia sudah dibina dan fasa pertama melebihi 100 unit sudah habis dijual. Tapak kosong yang ditunjukkan oleh Tan Keng Liang adalah tapak perasmian projek dahulu bukan tapak pembinaan untuk fasa pertama.

Seterusnya Gerakan menyerang kerajaan negeri kerana kononnya masih tidak dapat memulakan projek rumah kos rumah di Kubang Pasu walaupun pelancaran telah dibuat. Sebenarnya kelewatan berlaku disebabkan pemaju mengubah pelan asal, maka permohonan terpaksa melalui proses dari mula kembali. Semua maklum bahawa jabatan kerajaan akan melalui kerenah birokrasinya tersendiri demi mengambil jalan selamat. Tidak guna projek dipercepatkan macam yang berlaku di Terengganu, asyik runtuh sana sini.

Gerakan adalah pihak yang paling lantang menentang perobohan pusat pemotongan babi yang terletak di kampung Melayu di awal pentadbiran kerajaan Pakatan dahulu.

Gerakan mengkritik kerajaan negeri kerana tidak membuat tender terbuka untuk pelabur walhal kerajaan bukan pembiaya kepada para pelabur.

Gerakan juga membangkitkan isu kuota perumahan 50-50 untuk Tanah Simpanan Melayu yang ditukarganti (swapping).

Di mana saja ada isu atau dirasa boleh dijadikan isu, Gerakan Kedah akan muncul cuba menjuarainya tidak kira sama ada isu kecil atau besar, penting atau tidak, betul cara menanganinya atau tidak.

Secara peribadi saya suka kalau Umno yang berperanan sebagai pembangkang utama di Kedah bukan Gerakan. Seranglah kerajaan negeri atas apa jua isu. Sekurang-kurangnya ia akan membakar semangat para petugas PAS untuk bekerja lebih kuat dan mengatur serangan balas.

http://kedahla.blogspot.com/2012/07/mana-pi-umno-kedah-mampoih-ka-apa.html


Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas