20 SEPTEMBER – Tun Mahathir Mohamed telah cuba ‘menasihatkan’ kepada anak didiknya Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan pilihan raya umum yang ke-13 atas alasan bahawa imej UMNO-Barisan Nasional masih tidak menentu.
Bagi orang UMNO khususnya, pandangan seorang yang berpengalaman seperti Mahathir pastinya berasas. Justeru, para pemimpin UMNO pasti tidak akan ‘masuk telinga kiri keluar telinga kanan’.
Hari ini pula menurut laporan lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, dengan tajuk besar “ISA: Barat patut contohi Malaysia”, seharusnya mengembalikan kelegaan kem Najib yang sejak kebelakangan ini menghadapi tekanan kerana semakin kurang popular di kalangan rakyat.
Mahathir berpendapat, Amerika Syarikat dan Britain patut mencontohi tindakan Malaysia (baca: UMNO ) memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang didakwanya turut diamalkan di kedua-dua negera tersebut.
Ini bererti Mahathir memberi isyarat yang agak jelas bahawa imej Malaysia, khususnya imej Najib, sama ada di mata rakyat atau pun di kaca mata media antarabangsa sudah mula meningkat naik. Modal-modal ini akan terkumpul untuk dijadikan bahan kempen pada pilihan raya umum yang akan datang.
Realiti sebenar di Malaysia
Tiada siapa yang rasional akal fikirannya akan menyokong mana-mana akta yang zalim dan menindas, sama ada di Amerika Syarikat atau pun di Britain.
Namun apa yang Mahathir tidak katakana ialah sistem undang-undang di negara-negara yang beliau sebutkan itu, dari segi amalannya, amatlah berbeza dengan amalan di Malaysia.
Badan kehakiman dan institusi undang-undang Barat itu adalah bebas dari tekanan dan cengkaman eksekutif. Kebarangkalian untuk kerajaan mereka melakukan salah guna kuasa dengan mengenakan tekanan atau ugutan terhadap rakyat mereka sendiri amatlah rendah berbanding rekod penggunaan ISA yang digunakan oleh kerajaan terhadap rakyat Malaysia.
Tangkapan di Barat hanya dilakukan khusus untuk suspek keganasan (terrorism). Contohnya, kerajaan Presiden Barack Obama dari Parti Demokrat tidak pernah dan tidak menahan tanpa bicara mana-mana pemimpin atau ahli Parti Republikan, malah parti-parti kecil lain, walau pun mereka ada kalangan mereka yang memaki hamun presiden, membakar bendera Amerika, dan mengadakan himpunan aman berpuluh ribu orang.
Begitu juga Perdana Menteri David Cameron tidak akan menahan tanpa bicara mana-mana orang dari parti pembangkang Buruh atau mana-mana parti sosialis, komunis, fasis dan apa sahaja kumpulan yang bebas bersuara mengikut undang-undang negara Britain.
Yang menjadi sasaran mereka adalah suspek pengganas yang mahu mengebom tempat-tempat awam. Malah, tindakan itu pun dikecam oleh rakyat di negara Barat sendiri yang tidak mahu kebebasan dicengkam.
Di Malaysia, yang sering menerima bahana ISA ini rata-ratanya orang politik, golongan mazhab agama dan sebilangan kecil yang dianggap pengganas. Majoriti mangsa-mangsa ini adalah warganegara Malaysia.
Baca Seterusnya disini
20 September 2011
Permainan Politik Najib - Mahathir
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 Komen :
Post a Comment