BlogList Malaysia

23 September 2011

Muhyiddin Sahkan Umno Memang Tiada Niat Laksanakan Hukum Islam

Hudud: Soi Lek tak faham pendirian Umno, kata Muhyiddin

BANGI, 23 Sept — Kata dua Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek hari ini bahawa ia akan keluar Barisan Nasional (BN) jika hukum hudud dilaksanakan menunjukkan beliau tidak faham pendirian Umno dalam isu tersebut, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri (gambar) berkata Umno sentiasa jelas bahawa ia menyokong hudud secara prinsip tetapi tidak boleh menggubal satu akta sebab Malaysia tidak bersedia ke arah itu.

“Saya percaya kemungkinan Datuk Chua Soi Lek tidak faham pendirian sebenar (Umno) dalam soal (mengenai hudud),” kata beliau kepada pemberita di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.


Muhyiddin berkata hudud bukan satu isu dalam BN memandangkan Umno dan PAS masing-masing berbeza pegangan politik — seakan antara “langit dan bumi.”

Oleh itu katanya, masyarakat Cina tidak seharusnya menjadi mangsa keraguan kononnya Umno mahu melaksanakan hukum hudud.

Pagi tadi, MCA berkata ia akan meninggalkan BN jika Umno mahu melaksanakan hukum hudud.

“Pendirian MCA sangat jelas. Kami akan menentang dengan keras hukum hudud. Jika Umno mahu melaksanakan hudud, kami akan menarik keluar dari Barisan Nasional . . . sangat mudah,” kata Dr Chua.

Semalam, Muhyiddin berkata hukum hudud masih belum sesuai untuk dilaksanakan di negara ini.

Muhyiddin berkata, hukum Allah itu akan hanya dapat dilaksanakan sekiranya keadaan negara ini benar-benar kondusif dengan memastikan keamanan dan keadilan benar-benar wujud terlebih dahulu.

Beliau berkata sebagai negara berbilang bangsa, agama dan kepercayaan, Malaysia masih belum bersedia untuk memperkenalkan hukum hudud seperti mana yang dilaungkan oleh pemimpin PAS.

“Pendirian kita (Umno) bahawa di Malaysia, kita tak boleh melaksanakan dalam situasi dan keadaan sekarang. Saya tak fikir dalam keadaan sekarang ia sesuai untuk dilaksanakan. Itu pandangan kita. Kita tak persoalkan nak melaksanakan hukum hudud,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan berhasrat untuk terus melaksanakan hukum hudud di Kelantan biarpun ditentang rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang.

The Malaysia Insider



Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas