Rumah Terbuka PKR Melaka Meriah, Harmonis
LAMA saya tidak ke Melaka negeri yang dulunya gah dengan kerajaannya - ada raja tetapi kini tiada lagi dan keturunannya tidak dapat dikesan. Apakah kewujudan raja atau sultan di Melaka hanya mitos? Oh jangan perdebatan soal sejarah nanti anda akan didakwa di mahkamah macam Mohamad Sabu, nyanya.
Sejarah yang ada di Malaysia adalah yang tulen dan tidak boleh ditafsirkan atau diberi apa-apa pentafsiran baru. Jangan juga berkhayal tentang sejarah.
Walaupun Melaka tidak ada raja atau sultan, tetapi kekayaan dan kemakmurannya melebihi dari negeri-negeri yang beraja dan bersultan. Apakah ini bermakna sultan tidak memberi apa-apa peranan dan kuasa selepas ia diperlembagakan?
Kejayaan dan kemakmuran itu semua adalah berkat kepandaian dan kebijaksanaan pemimpin modennya hari ini mentadbir?
Melaka yang dulu dikenali dengan jolokan kota sleepy hollow, kini sudah menjadi negeri maju. Melaka menjadi negeri tarikan pelancong ke negara ini. Ini semua kerana mitos-mitos sejarah yang ada di negeri berkenaan, seperti perigi Hang Tuah, Pulau Besar dan lain-lain. Bercakap mengenai Pulau Besar seorang kawan yang bersama malam tadi memberi tahu pulau itu tempat keras yang menjadi tempat pertepaan para pengamal ilmu mistik?
Katanya dia sendiri tidak berani pergi ke pulau berkenaan kerana bimbang ditimpa kejadian buruk. Pulau itu dianggap keramat dan tempat keras dan menjadi tempat pemujaan termasuk orang politik.
Saya tidak dapat pastikan apakah di zaman moden ini perkara-perkara tahyul, bidaah begitu masih ada. Katanya beberapa projek yang dilaksanakan di pulau berkenaan gagal. Benarkah kegagalan itu kerana ada hubung kait dengan misterius pulau berkenaan atau kegagalannya kerana kelemahan pengendali projek-projek berkenaan? Satu hari saya akan ke pulau berkenaan untuk meninjau dan melihat sendiri apa yang didakwa itu.
Berbalik kepada cerita asal, adapun malam tadi saya ke Melaka untuk menghadiri majlis Rumah Terbuka PKR negeri itu. Kebetulan Penasihat Umum PKR Anwar Ibrahim hadir sama. Tujuan saya ke Melaka untuk melihat perkembangan politik semasa di negeri tanpa raja itu. Khabar yang mengatakan sambutan terhadap ceramah dan majlis pembangkang akhir-akhir ini memberangsangkan.
Kebetulan pada masa ini saya sedang menyiapkan buku analisa pilihan raya ke-13. Jadi rasanya perlu untuk saya melihat sendiri perkembangan semasa politik di negeri yang mana bekas Ketua Menterinya dilibat dengan kes rogol tetapi tidak didakwa atas restu bekas perdana menteri itu?
Apa yang digambarkan benar. Memang suasana politik semasa di Melaka sudah berubah. Orang ramai tidak lagi seperti dulu yang menikus di rumah serta menjauhi majlis pembangkang. Saya dapat merasai ini apabila kira-kira 1 km dari tempat majlis itu diadakan polis sudah membuat sekatan jalan raya.
Semasa berhenti solat Maghrib di masjid Bukit Baru saya sudah terlihat sebuah trak yang membawa beberapa anggota FRU. Saya sudah terfikir anggota 'berkepala merah' itu akan dikerah untuk mengawal tempat majlis itu berlangsung.
Permandangan itu, FRU dan sekatan jalan raya, saya sudah dapat mengagak bahawa majlis tersebut tentu ramai. Sekatan itu diadakan untuk menyusahkan orang ramai dari menghadiri majlis berkenaan. Tindakan itu biasanya dilindungi dengan alasan itu adalah tugas polis untuk mengawal keselamatan. Alasan klise.
Sangkaan saya berdasarkan dua petanda itu trak FRU dan sekatan jalan raya ternyata benar. Walaupun ia diadakan di lokasi kurang selesa dan diganggu oleh polis, tetapi tidak menakutkan orang ramai. Tindakan polis yang mengawal atas alasan menjaga keselamatan itu tidak memberi apa-apa impak. Nampaknya semangat Hang Jebat sudah menular di Melaka dan semangat Hang Tuah yang setia tidak bertempat itu sudah mulai pupus. Lebih 3,000 menghadiri rumah terbuka itu.
Jelas sekali tindakan baik budi polis itu tidak disenangi oleh orang ramai dan penganjur. "Kita nak makan, nak beraya pun dikawal, ini sudah sampai ke peringkat gila babi.." begitulah kata Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Md Akim mengulas kawalan dan larangan polis. Orang Melaka memang terkenal dengan cakap-cakap 'brusnya.' Gurau orang Melaka juga 'kasau'.
Menurut Shamsul mulanya majlis itu hendak diadakan di tempat yang agak selesa tetapi terpaksa dipinda kerana tuan rumah tidak berani selepas dinasihati polis.
Pujian juga boleh diberikan kepada setia yang hadir malam tadi. Mereka sanggup mendengar ucapan ringkas Anwar walaupun dalam gelap. Keadaan eletrik yang malap tiba-tiba terputus terus sebaik Anwar berucap.
Keadaan itu tidak sedikit pun menganggu konstrasi orang ramai dan juga Anwar. Rakyat yang kehausan untuk mendengar penjelasan Anwar tidak berganjak sehingga Anwar berlalu ke dua lagi majlis.
"Kenapa sekejap sangat, kami mahu dengar banyak lagi cerita dari Datuk Seri.." begitulah runggut seorang hadirin berbangsa Cina sambil tidak berpuas hati dan berharap Anwar akan datang lagi ke Melaka. "Saya mahu dia datang lagi ke sini," rayunya.
Pada penilaian saya majlis malam tadi berjaya dan hebat. Melihat kepada mereka yang hadir menunjukan ada perubahan dan semangat baru di kalangan rakyat Melaka. Tercermin kesungguhan kali ini orang Melaka juga ingin menurut jejak orang-orang Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.
Mungkin kerana sambutan hangat begitulah menyebabkan Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam tidak lena tidur. Dan mungkin kehebatan sambutan itu juga maka UBN akan mengarahkan apa saja agensi kerajaan untuk menganggu atau mengagalkan himpunan Pakatan Rakyat. Katanya malam tadi Anwar terpaksa membatalkan kehadiran di majlis kedua kerana bekalan eletrik terputus secara tiba-tiba.
Paling bermakna saya melihat majlis malam tadi ia berlangsung dalam suasana harmoni. Persepakatan di antara PKR, Pas dan DAP begitu erat sekali. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran pemimpin DAP Melaka dan juga Pesuruhjaya Pas Melaka, Sdr Adly Zahari (foto single atas). Turut sama hadir ialah pengerusi PKR Johor, Chua Jui Meng dan juga Pengarah Latihan Dan Startegi PKR Kelantan, Dr Wan Suhaimi Wan Daud. [wk.kl.7:00 am 23/09/11] - mso
0 Komen :
Post a Comment