BlogList Malaysia

21 May 2011

UMNO Dan Matematiknya

Saya sangat “lemah” dalam matematik bila saya katakan daripada 10 orang, 11 orang tak akan percaya. Saya sendiri hampir percaya tentang kelemahan saya dalam matematik sehinggalah akhbar arus perdana melalak mengenai DAP mahukan Perdana Menteri beragama Kristian dan Kristian patut dijadikan agama rasmi Malaysia.

Saya sedar, lingkaran kuasa boleh menjadikan sesetengah orang lembik. Apa yang sepatutnya saya sedar lebih awal tapi tidak pula tersedar ialah lingkaran kuasa itu juga telah melembikkan otak sesetengah orang.

Kita mempunyai 222 kerusi Parlimen untuk direbut. DAP bertanding 40 kerusi. Kalau mereka menang semua 40 kerusi itu pun, mungkin ahli matematik UMNO boleh jelaskan kepada saya, bagaimana dengan 40 kerusi, DAP atau mana-mana parti mampu membentuk kerajaan? Anda ada 82 kerusi dan itu pun tak cukup untuk bentuk kerajaan.


Bilangan orang Melayu lebih kurang 17-18 juta. Mereka membentuk 60 peratus penduduk negara. Kalau pun DAP dapat sokongan kesemua orang Cina, mampukah 20 peratus mereka mengatasi kumpulan yang jumlahnya melebihi 60 peratus? Mungkin ahli matematik UMNO boleh mencerahkan saya tentang ini.

Kemudian kita ada pelaung hidup Melayu. Kami tak akan benarkan DAP mengambil alih negara. Kalau suka, launglah lagi. Memang tak boleh kita nak hujah emosi dan hal tak logik sebegini.

Tetapi, PAS juga Melayu. Jadi, hidup Melayu boleh juga membawa makna hidup PAS seperti juga ia boleh beri maksud yang sama kepada UMNO. Orang UMNO telah tipu diri sendiri dengan keangkuhan bahawa UMNO itu Melayu dan Melayu itu UMNO.

Helo kawan, kamu tak boleh dapat 1.5 juta ahli UMNO untuk sokong kamu dan calon-calon UMNO pula hanya dapat sekitar 2 juta undi dari jumlah 5.7 juta pengundi pada pilihan raya 2008 lalu.

Jadi Melayu terus hidup, tetapi mereka hidup tanpa perlukan UMNO. Saya harap ramai akan sedar yang setiap Melayu mahu kekal hidup dengan slogan hidup Melayu tetapi Melayu sekarang boleh buat begitu dengan banyak lagi pilihan. Itulah perihalnya demokrasi.

Tolong jelaskan, macam manalah sebuah parti yang bertanding 40 kerusi dan belum tentu menang kesemuanya boleh membentuk kerajaan? Apa lagi untuk memerintah Malaysia seperti PAP memerintah Singapura?

Kristian dan isu-isu lain

Seorang menteri kerajaan bertanya, apa salahnya dengan Perdana Menteri Kristian? Soalan beliau tidak ada salahnya. Tidak ada salahnya jika ada Perdana Menteri Kristian dalam negara majoriti Kristian. Juga tiada salahnya jika Perdana Menteri Kristian diterima walau pun dalam sebuah negara Islam.

Dalam konteks Malaysia, mungkin menteri itu berkata demikian kerana dia beragama Kristian dan jika dia menjadi Perdana Menteri, dia rasa mampu menjaga semua rakyat. Jadi apa salahnya seorang Kristian berfikiran begitu bagi dirinya dan impiannya mahu menjadi Perdana Menteri?

Yang kedua, dia mungkin berfikir begitu kerana dia tahu cadangan sedemikian tak akan diterima di Malaysia. Melayu-Islam menguasai kerusi parlimen dan jumlah mereka memang banyak di parlimen.

Kecualilah kalau semua ahli parlimen Melayu boleh dibeli dengan harta dan wanita. Atau semua orang Melayu boleh menerima penganut Kristian sebagai Perdana Menteri.

Katakanlah ramai Melayu selesa dengan idea di mana seorang penganut Kristian menjadi Perdana Menteri. Jadi, apa maksudnya ini? Ia menunjukkan bahawa orang Melayu kecewa dengan seorang Melayu yang juga seorang Islam yang menjadi Perdana Menteri. Cuba fikir tentang perkara itu.

Yang ketiga, majoriti penduduk adalah Melayu beragama Islam yang berkemungkinan besar TIDAK akan menyokong cadangan sebegitu.

Jadi apa yang menteri Kristian itu katakan tidak salah kerana dia tahu perkara itu adalah satu angan-angan Mat Jenin.

Tetapi, ada baiknya juga menteri itu berkata demikian kerana ia akan menjadikan orang UMNO haru-biru dan penuh kegilaan.

Kristian sebagai agama rasmi menggantikan Islam?

Islam adalah agama rasmi, atau jika tak rasmi pun, ia memang dianggap rasmi. Lagipun, ianya agama rasmi sebab majoriti rakyat Malaysia adalah orang Islam.

Orang Melayu adalah majoriti penduduk Malaysia. Jumlahnya saja akan menghalang golongan minoriti untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi.

Tetapi mari kita teliti cadangan itu. Tentang agama rasmi, apa maksud mereka? Adakah mereka mahukan Kristian diterima sebagai agama yang dijamin dalam perlembagaan supaya boleh diamalkan oleh sekelompok rakyat Malaysia? Kerana mereka juga tahu, dengan membuat demikian, agama yang dijamin perlembagaan berhak untuk mendapat pembiayaan, sumbangan dan sebagainya.

Malah jika itulah yang mereka maksudkan, ia adalah satu cadangan sah bagi Kristian mengamalkan agama mereka secara sahih di Malaysia. Penganut Kristian mempunyai hak untuk takut bahawa agama mereka itu akan dihapuskan. Mereka mahukan pengiktirafan dan saya rasa itu adalah tuntutan yang tidak ada salahnya. Dalam hal pembiayaan atau sumbangan, saya tak rasa mereka mahukan apa-apa dari kerajaan.

Saya rasa tak masuk akal bahawa majoriti yang tak boleh dijatuhkan dari tampuk kuasa akan menjadi tak keruan tentang laporan tak berasas mengenai jihad salib Kristian ini.

Secara serius, kerajaan patut bertindak terhadap mereka yang menyemarakkan hasutan-hasutan itu.
Jika ternyata pelakuan mereka berniat jahat, bubuh saja mereka di bawah ISA. Mungkin dengan berehat seketika sebagai tetamu kerajaan, ia boleh membantu sesetengah orang mengurangkan berat badan dan orang lain pula boleh belajar seni dan sains mengawal kemarahan.


*Rencana ini diterjemahkan oleh Roketkini dari blog Sakmongkol AK47. Penulis ialah Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz yang merupakan wakil rakyat Pulau Manis (2004-2008).

* Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Roketkini


Betah berjalan sana-sini -oleh Sakmongkol AK47
by Roketkini



SPONSOR BLOGLIST DI BAWAH
Photobucket

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas