MELAKA 20 APRIL : Tindakan kerajaan negeri Melaka menaikkan tarif air tanpa mengambil kira bebanan kewangan yang bakal dipikul oleh rakyat negeri itu amat dikesali.
Antara mereka yang lantang membantah tindakan itu, termasuk Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Kamaruddin Sidik.
Katanya, tindakan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang menaikkan tarif air secara tergesa-gesa dan tidak memaklumkannya terlebih dahulu kepada rakyat seolah-olah satu cubaan untuk mengelakkan protes rakyat.
Menurutnya ia suatu yang tidak konsisten sedangkan kerajaan negeri Melaka sendiri pernah mengkritik kenaikan harga air di Selangor dan Kedah tidak lama dulu.
"Apabila kerajaan Selangor dan Kedah buat tindakan sebegitu sebelum ini yakni menaikkan tarif air mereka bising. Tapi kini mereka naikkan tanpa sebarang pengumuman.
"Saya yakin ini ada hubung kaitnya dengan pembaziran dana kerajaan yang berleluasa dan tindakan ini adalah untuk menampung kekurangan dana ini," katanya.
Sementara itu, ADUN kawasan Ayer Keroh dari DAP, Khoo Poay Tiong, turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang dianggapnya sebagai menyusahkan rakyat.
Menurutnya, beliau difahamkan kuasa menentukan kenaikan harga air berada di dalam tangan pusat.
"Bagaimanapun, itu bukan isunya. Isu di sini adalah bagaimana harga air boleh dinaikkan sedangkan rakyat tidak dimaklumkan.
"Ramai yang tidak puas hati kerana tindakan menaikkan harga air ini telah dijalankan secara senyap, seolah-olah untuk mengelak sebarang protes," kata Khoo.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Bhd (SAMB), Mohd Khalid Nasir, ketika dihubungi bagi mendapatkan maklum balas mengesahkan memang terdapat 'penyelarasan' terhadap tarif air.
Bagaimanapun menurutnya, tindakan sedemikian adalah berdasarkan arahan yang dikeluarkan pusat.-Malaysiakini
0 Komen :
Post a Comment