BlogList Malaysia

20 November 2010

Azmin Ikrar Pertahan Khalid MB Selangor

Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali berikrar mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sekaligus menyangkal persepsi beliau mempertikai kepimpinan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie itu menerajui kerajaan negeri itu.

Beliau juga berjanji akan mempertahankan dasar Pakatan Rakyat di Selangor selain menegakkan keadilan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat pusat.

Media sebelum ini memaparkan dakwaan kononnya ketidakpuasan hati Azmin terhadap cara Tan Sri Khalid mengendalikan ekonomi di negeri itu dengan menyifatkan percaturan lembab Menteri Besar mengakibatkan Selangor kehilangan sejumlah besar peluang bisnes.

Azmin yang hadir bersama kepimpinan PKR lan di program Rapat Umum Anwar Ibrahim di Auditorium MBSA, Shah Alam malam tadi bertegas Selangor akan dijadikan tapak pencetus momentum perjuangan PKR.


"Saya mengucapkan terima kasih atas tanda sokongan hebat PKR negeri Selangor. Selangor adalah tapak pelancaran kepada perjuangan PKR," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau juga menyifatkan suara sumbang mendesak Datuk Seri Anwar berundur dari perjuangan parti sebagai melampau, Azmin bertegas akan bersama-sama ketua pembangkang dan kepimpinan PKR mengikis pembelot dalam parti.

"Kalau Datuk Seri suruh perang kita akan turun. Saya merayu kepada Datuk Seri dan lain-lain setelah selesai pemilihan kepimpinan, kena bertegas membersihkan 'Trojan Horse' dalam parti," tegas beliau serta disambut laungan reformasi anggota-anggota yang hadir.

Tambahnya lagi, beliau percaya PKR akan menjadi parti yang lebih kuat setelah selesai pemilihan nanti.

Beliau turut membidas usaha keji bekas Ketua PKR Wilayah Persekutuan, Zaid Ibrahim yang mahu memporak-perandakan kepimpinan dan parti PKR setelah diberi kepercayaan mengalas tugas memperjuang demokrasi tulen negara.

"Ini umpama orang yang tidak ada rumah kita jemput masuk. Beri kemewahan dan sebagainya. Setelah setahun dia kata, "Boleh tak anda keluar dan biar saya yang duduk di rumah ini?"," kata beliau disambut ketawa dalam dewan.

Zaid Ibrahim baru-baru ini mengumumkan keluar PKR berkuatkuasa 16 December terus menyerang kepimpinan PKR termasuk Datuk Seri Anwar dan Azmin sebagai punca kepincangan dalam parti selain menyuruh mereka berundur dari perjuangan parti.

Zaid turut berhasrat meneruskan usaha politik dengan menubuhkan parti baru dan mengakui bahawa parti tersebut akan memperjuangkan keadilan sebenar di negara ini.

Dalam ucapan Azmin yang berkobar-kobar dihadapan lebih 2,000 anggota PKR yang hadir ke auditorium malam tadi, Azmin percaya kebangkitan rakyat menuntut keadilan tidak dapat dikekang mana-mana pihak justeru akan terus menyemarakkan semangat reformasi parti itu.

"Reformasi mesti dikukuhkan sampai ke Putrajaya untuk mengangkat martabat keadilan. Rosmah, Putrajaya bukan milik kamu," laung beliau.

Sementara itu, Tan Sri Khalid dalam ucapannya menekankan semangat setia kawan yang perlu digalas dalam perjuangan PKR.

Beliau berkata, PKR harus mementingkan semangat berpasukan mengorak langkah menuntut keadilan dan bukan mengangkat kepentingan individu.

Justeru Khalid menolak ungkapan politik tidak ada musuh dan kawan yang kekal selain menyifatkan ianya bukan amalan PKR.

"Mesti ada prinsip mengasingkan diri daripada perjuangan Umno. Demokrasi bukan murah dan hasilnya pun mahal.

Turut hadir ke program Rapat Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemakan 'Anwar Ibrahim Pengemudi Zaman' malam tadi exco-exco politik negeri Selangor dan calon kepimpinan PKR bersama anggota-anggota.

OLEH HADRI AZIZ

1 Komen :

Anonymous ,  November 20, 2010 at 1:59 PM  

Hari tu sibuk jer kutuk MB sekarang bila nak jatuh mulalah nak berbaik dgn MB.....UMNO memang busuk sebusuknya

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas