BlogList Malaysia

28 May 2010

Pangkalan TUDM: Pemuda PKR mahu dedah unsur ‘kronisme’

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) mahu mendedahkan pemberian satu kontrak bernilai RM400 juta, sebahagian projek pembangunan Pangkalan Udara Sungai Besi sebagai hab komersial, secara runding terus kepada syarikat kenalan perdana menteri.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau mahu membuat pendedahan itu hari ini bagi menunjukkan ‘ketelusan’ urus tadbir kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya akan mendedahkan siapa yang memperoleh projek RM400 juta ini, projek pembangunan semula kawasan Pengkalan Udara Sungai Besi, Kuala Lumpur,” katanya malam tadi.

Bagaimanapun sebelum ini Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menafikan laporan media bahawa Pangkalan Udara Sungai Besi milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan dibangunkan sebagai hab komersial.


Laporan Suara Keadilan edisi terbaru mendakwa pangkalan udara itu telah diserahkan kepada Kementerian Pertahanan untuk dibangunkan oleh 1Malaysia Development Berhad untuk dibangunkan dengan projek komersial berbilion ringgit.

Beberapa hari kemudian pada 17 Mei lalu, Panglima TUDM Jen Datuk Seri Rodzali Daud berkata walaupun kerajaan tidak bercadang memindahkan Pangkalan Udara Sungai Besi bagi membangunkannya sebagai hab komersil, tetapi ia sedia berpindah untuk tujuan tersebut.

Beliau berkata dengan pemindahan itu, ia akan membolehkan TUDM mengambil peluang mendapatkan prasarana lebih baik termasuk dapat membina ibu pejabat yang lebih moden yang dapat memberi keselesaan kepada pegawai serta anggotanya.

“Pemindahan Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Pangkalan TUDM Dengkil masih dalam perancangan,” katanya.

Rodzali berkata jika diarah pindah, aset-aset TUDM seperti pesawat dan ibu pejabat akan dipindahkan ke Pangkalan Udara Subang, dan sekiranya pangkalan itu padat, aset berkenaan akan turut dipindahkan ke tempat lain sementara menunggu pangkalan baru siap dibina.

Dalam ucapan awalan pada majlis perasmian itu, Shamsul Iskandar berkata, beliau akan membuat satu pendedahan penting berhubung kegiatan seorang lulusan universiti antarabangsa.

Menurut beliau, individu tersebut juga mempunyai hubungan rapat dengan seorang kenamaan.

Ketika bercakap dengan The Malaysian Insider Ketua AMK itu berkata, pendedahan itu melibatkan kenalan yang rapat dengan perdana menteri.

Sementara ditanya pada sidang media pula, Shamsul Iskandar berkata, individu lelaki tersebut pernah dilaporkan akhbar New York Times sebelum ini.

“Saya akan dedahkan nama dia esok (hari ini),” katanya sambil menambah AMK mahu membuat pendedahan itu bagi menunjukkan bahawa golongan bijak pandai juga tidak terkecuali daripada melakukan kegiatan seperti menipu untuk kepentingan diri.

“Bukan semua yang pandai boleh mengendalikan urus tadbir dengan baik.... begitulah sebaliknya. Kadang-kadang kepandaian tidak jamin seseorang itu jadi pemimpin yang baik, ada yang akan menggunakan untuk menipu,” katanya.

Kongres Nasional Keenam AMK dan sayap Wanita dirasmikan malam tadi. Mereka bersidang hari ini.

Blog Archive

Bloglist 3 (TERKINI)

Bloglist ProBN

Bloglist 4 (TERKINI)

Bloglist ProBN 2

Bloglist 5 (TERKINI)

  © Bloglist Malaysia by Ourblogtemplates.com> 2008

Kembali Ke Atas